Categories
NASIONAL

PR Ucap Tahniah Kejayaan Dr Muhammad Morsi Dan Rakyat Mesir

SHAH ALAM 21 JUN : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang dilakar calon Parti Pembebasan dan Keadilan (FJP), Dr Muhammad Morsi menerusi peratusan undi melebihi 50 peratus di dalam keputusan pilihan raya Mesir.

“Keputusan ini dicatat oleh Parti FJP di dalam suasana tegang yang menyaksikan pengumuman Menteri Keadilan lantikan tentera Mesir yang mengumumkan darurat, justeru memberi kuasa penuh kepada Tentera Mesir sekaligus membubarkan parlimen,” kata satu kenyataan media.

Kenyataan media bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar,Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad berkata kejayaan Dr Morsi adalah pilihan majoriti rakyat Mesir yang menyaksikan sokongan menyeluruh kumpulan konservatif dan juga kelompok sekular atas nama demokrasi.

Jelas kenyataan itu, dukungan dan undi majoriti yang masih diraih Dr Morsi membuktikan iltizam warga Mesir untuk memilih kerajaan demokratik, bukannya sebarang regim yang masih berada di dalam genggaman ketenteraan.

“Pengumuman tentera Mesir juga tidak membantu kuasa parlimen Mesir untuk melakar deraf perlembagaan baru bagi negara tersebut, yang akhirnya merampas kuasa serta hak yang termaktub dalam mana-mana negara demokrasi,” katanya.

Tegas kenyataan itu, PR meminta agar pihak kerajaan Malaysia, Majlis Tertinggi Ketenteraan Mesir (SCAF) dan masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya untuk menghormati keputusan majoriti rakyat Mesir itu.

“Dan tidak campur tangan demi memastikan ketenangan dan semangat demokrasi kekal bersinar di Mesir,” kata kenyataan itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Harga Geran Tanah Umno-BN : RM24,000 Harga Pakatan : RM1,000

BESTARI JAYA 04 JUN : Jika di bawah Umno-BN dulu, seorang penduduk Kampung Jaya Setia perlu membayar sampai RM24,000 jika mahukan geran tanah.

Harga yang tinggi bagi mendapatkan geran adalah sebab utama 320 orang kampung itu tidak mendapat hak milik kepada tanah yang ibubapa mereka teroka selama lebih 40 tahun.

Namun, keresahan mereka bertukar menjadi kesyukuran apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Selangor.

Ketua kampung, Osman Badaie, 65, berkata semua penduduk amat menghargai jasa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sangat prihatin dengan rakyat di negeri ini.

Melalui ?Skim Hakmilik Persendirian?, kesemua pemohon dari Kampung Jaya Setia bakal menerima geran tanah dengan premium RM1,000.

Osman berkata dengan bayaran premium RM1,000, penduduk di sini mampu untuk mendapatkan geran pemilikan tanah masing-masing.

“Kami penduduk sangat-sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar kerana bermurah hati mengurangkan beban kami.

“Sebelum ini, kami dikehendaki membayar sebanyak RM24,000. Jumlah itu sangat mahal, penduduk tidak mampu tetapi selepas Menteri Besar bertukar tangan, Alhamdulillah semuanya selesai,” katanya ketika ditemui.

Semalam 79 penduduk menerima geran hak milik tanah mereka dalam fasa kedua proses pemberian geran oleh kerajaan negeri.

Dalam fasa pertama, seramai 118 mendapat geran mereka, manakala 123 penduduk lain akan menerima geran dalama fasa ketiga pada September depan.

Majlis penyampaian geran hak milik tanah itu disempurnakan oleh Menteri Besar dan MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Seorang lagi penerima, Abdul Hamid Sever Khan, 54, melahirkan rasa lega kerana penantian 47 tahun untuk memiliki tanah bapanya telah berakhir.

“Ini merupakan tanah yang diteroka oleh allahyarham bapa saya, sekarang saya mewarisi tanah ini. Ini merupakan saat paling gembira apabila dapat memegang geran sendiri.?

Abdul Hamid yang mempunyai tiga orang anak, berkata hasil titik peluh bapanya mengerjakan tanah itu terbayar dengan penerimaan geran itu.

Seorang lagi penerima Noriaini Abu Bakar, 62, pula berkata geran tersebut adalah hadiah yang amat bermakna untuk seluruh keluarganya.

Katanya, beliau dan allahyarham suaminya berusaha untuk mendapatkan geran pemilikan itu bagaimanapun tidak berjaya kerana tidak mampu.

“Walaupun tanah rumah ini hanya suku ekar tetapi ianya bermakna kerana hanya ini sahaja peninggalan arwah suami saya kepada saya dan tujuh anak yang lain.

“Saya sangat gembira dan sekiranya suami saya masih hidup dia juga semestinya gembira.

?Saya sangat berterima kasih kepada Menteri Besar kerana tidak sampai lima tahun beliau memegang jawatan sebagai MB tetapi beliau sangat prihatin dengan golongan seperti kami,” katanya.

Dalam majlis itu juga, sembilan orang menerima RM1,500 sebagai pertolongan khairat kematian waris-waris mereka di bawah Skim Mesra Usia Emas.

Sebanyak lima buah sekolah sekitar Ijok juga menerima bantuan sebanyak RM5,000 setiap sekolah.

Antaranya, Sekolah Agama Rakyat Kafa Integrasi Al-Hilal, SAR Kafa Al-Awwabin, Maahad Tahfiz Al-Hidayah Wal Ehsan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih dan SJKC Ijok.

Categories
NASIONAL

Dr Dzulkefly: Mentaliti ‘Politik Longkang’ Dalam Umno-BN

SHAH ALAM 01 APRIL : Tuduhan dan serangan setiap hari terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai mentaliti ‘politik longkang’ yang diamalkan oleh Umno-BN.

MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata tuduhan dari bekas-bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan media Umno secara bertali arus itu hanya mahu mengalih perhatian dan tumpuan rakyat berhubung isu kelemahan pentadbiran Umno-BN.

“Rakyat semakin bosan dengan amalan Umno-BN yang menyalahgunakan kuasa, rasuah, ugutan dan sebagainya. Oleh kerana mereka takut hilang kuasa, mereka mengambil jalan untuk menyerang peribadi pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

“Mereka juga takut apabila kemampuan PR mendedahkan banyak kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran mereka,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, rancangan jahat itu ditimbulkan oleh pembodek-pembodek baru yang dilihat hanya untuk menjatuhkan pemimpin PR.

“Cukuplah dengan politik longkang itu, kalau berani bertarung dan bersaing secara bersih dan adil berdasarkan prestasi dan kepimpinan bukan hanya pandai memfitnah serta melaga-lagakan pihak lain,”katanya.

Dr Dzulkifli yang juga mengulas tuduhan Senator, Datuk S. Nallakaruppan baru-baru ini menyifatkan senator itu sebagai ‘Bapak Ayam’.

“Ini kerana ketika beliau (Nalla) membuat tuduhan, mengatur dan menyusun perbuatan jahat secara tidak langsung beliau tidak sedar mengakui diri sendiri bapak ayam,”katanya.

Dr Dzulkifli juga mempersoalkan mengapa Nalla dipilih menjadi senator.

“Amat pelik dan aneh, mengapa beliau dilantik sebagai Senator? Mengapa bapak ayam itu dilantik sebagai Senator? Bukankah Senator dilantik berdasarkan integriti dan personaliti yang baik? Jadi dimana teladan yang baik bagi Nalla.

“Ianya dilihat hanya mahu mengaibkan seseorang, membuat pengakuan bagi tujuan menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas informasi sahaja,”katanya.

Sebelum ini, Datuk S. Nallakaruppan yang juga Presiden Parti India Malaysia (MUIP) mendakwa pelbagai fitnah jahat bertujuan mengaibkan Ketua Umum PKR tersebut.

Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Nalla dan Utusan Melayu (M) Bhd atas tuduhan itu.

Categories
NASIONAL

Dr Dzulkifly: Lebih Baik Kerjasama Dengan DAP Dari Umno

SHAH ALAM, 29 FEB: “Lebih baik saya minum kopi dengan DAP daripada minum arak dengan Umno,” demikian tempelak Ahli Parlimen Kuala Selangor, YB Dr Dzulkefly Ahmad ketika menjawab soalan Ketua Penerangan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Ruslan Kassim.

Menurut Dr Dzulkefly, meskipun Umno dianggotai oleh orang-orang Melayu, tetapi parti itu mengamalkan budaya yang mampu merosakkan rakyat dan negara ini.

“Walaupun DAP dianggotai majoriti sahabat kita bangsa Cina yang bukan Islam tetapi mereka tak ajak saya edar video lucah, luluskan lesen judi, ambil rasuah, kroni, salah guna kuasa dan macam-macam lagi.

“Tetapi dengan Umno, mereka suruh edar video lucah, rasuah, galakkan rakyat main judi, samseng dan macam-macam budaya lain yang merosakkan rakyat dan negara ini.

“Jadi mana lebih baik? Saya berkawan dengan Melayu Umno atau Cina DAP?,” ujar Dr Zulkefly.

Terdahulu dalam pusingan soal jawab, Ruslan Kassim telah bertanyakan kepada Dr Dzulkefly mengapa Pas memilih untuk berkerjasama dengan DAP yang majoritinya dianggotai orang Cina tetapi bukannya orang Melayu dalam Umno.

Selain Dr Dzulkefly dan Ruslan Kassim, wacana Sinar Siri ke-11 yang membincangkan tajuk ‘Mengapa Undi Melayu Berpecah’ itu turut menampilkan Ahli Parlimen Pandan, Ong Tee Keat dan Pengerusi PKR Johor dan Datuk Chua Jui Meng.

Categories
NASIONAL

Tee Keat, Perkasa Sokong Debat Anwar-Najib

SHAH ALAM, 29 FEB: Cadangan debat antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disokong sebulat suara oleh para panelis Wacana Sinar termasuk Ketua Penerangan Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA), Ruslan Kassim ketika diajukan pertanyaan dalam isu terbabit.

Isu debat antara dua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (Pakatan) dan Umno-BN itu timbul apabila ianya dicadangkan moderator wacana yang bertajuk ?Mengapa Undi Melayu Pecah?? Dr Maszlee Malik di sini.

“Saya rasa ianya dipersetujui oleh semua panelis bahawa menjelang pilihan raya tak kira Melayu, Tionghua, India dan lain-lain mahu buat keputusan yang baik.

“Kita perlu calon PM dari BN dan Pakatan untuk berdebat membincangkan hala tuju negara ke mana hendak dibawa negara ini, adakah panel kita setuju?,” soal Maszlee yang disambut dengan persetujuan para panelis.

Ruslan, tanpa mengulas panjang dalam isu debat Anwar-Najib, sekali lagi memberikan persetujuan menyokong debat itu diadakan apabila sekali lagi wartawan bertanyakan soalan sama kepada beliau.

Persetujuan para panelis wacana bagi memberikan sokongan terhadap cadangan debat Anwar-Najib itu diadakan juga mendapat tepukan gemuruh oleh wartawan dan orang ramai dalam sidang media itu.

Selain Ruslan, Wacana Sinar Siri ke-11 itu turut menampilkan MP Pandan dari Umno-BN, Datuk Seri Ong Tee Keat, MP Kuala Selangor dari Pas, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Chua Jui Meng sebagai ahli panel.

Mengulas isu sama, Tee Keat menganggap ianya satu cadangan yang relevan untuk membantu pengundi membuat pilihan yang tepat dalam pilihan raya yang akan datang.

“Ia memang satu cadangan yang tepat dan memang relevan. Memang kita harap-harapkan majlis sedemikian rupa dianjurkan, tetapi pada masa yang sama janganlah kita jadikan satu wadah berceramah,” kata beliau.

Sebelum ini, cabaran debat yang diajukan oleh Anwar kepada Najib tidak mendapat reaksi positif dari Najib.

Categories
NASIONAL

Perpecahan Undi Melayu Beri Manfaat Untuk Rakyat, Negara

SHAH ALAM, 29 FEB: Perpecahan undi Melayu yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu dianggap sebagai satu perkembangan yang sihat dalam politik negara.

Senario itu juga berlaku disebabkan masyarakat Melayu mulai sedar bahawa Umno tidak boleh diharapkan untuk membantu masyarakat kaum itu memajukan diri untuk bersaing dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Demikian menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam Wacana Sinar Siri Ke 11 yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam hari ini.

Menurut beliau yang juga merupakan ahli jawatan kuasa PAS Pusat, pemikiran orang-orang Melayu sebelum alaf baru telah ditanam dengan mitos bahawa Umno merupakan satu-satunya parti yang berjuang untuk orang-orang Melayu.

“Hakikatnya undi Melayu telah berpecah semenjak pilihan raya pertama dahulu tetapi ianya tak ketara seperti sekarang kerana pada masa itu minda orang-orang Melayu telah ditanam dengan mitos bahawa hanya Umno yang perjuangkan nasib Melayu.

“Tetapi zaman sekarang adalah zaman pencerahan, Melayu sudah mula celik politik, semakin bijak, tahu bahawa Umno bukanlah parti yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Maka undi Melayu yang dahulu majoriti sokong Umno dengan cuma sedikit ke parti pembangkang, sekarang dah mula beralih sokongan mereka dalam PRU-12 lalu.

“Sekarang orang Melayu dah nampak dan jelas bahawa perpecahan undi itu adalah sesuatu yang positif dalam mematangkan politik orang-orang Melayu dan banyak beri manfaat kepada rakyat dan negara ini,” beritahu beliau,” katanya dalam siri wacana bertajuk ‘Mengapa Undi Melayu Pecah?’ itu.

Beliau juga menganggap perpecahan undi di kalangan orang Melayu tidak harus dijadikan isu oleh Umno untuk kepentingan politik mereka.

“Sebenarnya perpecahan undi orang Melayu ini tidak menimbulkan pertikaian akademik pun tetapi isu sebenarnya ialah mengapa undi Umno berlaku penguncupan.

“Lalu Umno jadikan isu ini sebagai satu senjata dengan memainkan politik ketakutan terhadap orang-orang Melayu agar terus menyokong Umno supaya Umno terus dapat berkuasa,” ujar Dr Dzulkefli lagi.

Selain Dr Dzulkefli wacana yang dihadiri kira-kira 500 orang itu turut menampilkan panelis Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat, Ketua Penerangan Pertubungan Peribumi Perkasa, Ruslan Kasim dan Pengerusi PKR negeri Johor, DatukĀ  Chua Jui Meng.