Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Boost tambah ganjaran ePenjana kempen #KasiTambah

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: E-dompet tempatan, Boost, melancarkan kempen #KasiTambah bersempena dengan inisiatif ePENJANA, yang mempunyai manfaat dan ganjaran khas menarik serta meluas yang melengkapkan kredit RM50 ePENJANA yang diberikan kerajaan.

Menurut syarikat itu, bagi menuntut kredit RM50 ePENJANA dengan Boost, pengguna perlu melakukan proses pengesahan akaun eKYC (Know Your Customer) serta memuat turun dan menjadi pengguna berdaftar di MySejahteraApp.

“Sepanjang empat bulan lepas, rakyat Malaysia telah menjalani gaya hidup digital yang mana penggunaan e-dompet telah menjadi tabiat pembayaran mereka setiap hari. Kami percaya insentif RM50 ePENJANA akan menggalakkan lagi penggunaan meluas e-dompet dalam kalangan rakyat Malaysia” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khairil Abdullah.

E-dompet tempatan itu juga berharap apat memainkan peranan dalam usaha padu untuk membina semula ekonomi Malaysia dan perniagaan tempatan serta merancakkan semula mata pencarian rakyat Malaysia agar lebih kukuh dalam situasi normal baharu ini, katanya.

Insentif RM50 e-PENJANA bermula secara rasmi semalam dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan di bawah RM100,000 berdasarkan kepada rekod terkini Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan menjadi pengguna berdaftar MySejahtera App.

Kempen Boost’s #KasiTambah menawarkan faedah dan ganjaran menarik termasuk peluang membawa pulang kereta Perodua Myvi atau motosikal Yamaha bagi melengkapkan kredit RM50 ePENJANA yang diberikan kerajaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ERL lanjut diskaun 15 peratus e-dompet TnG hingga akhir tahun

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) melanjutkan promosi diskaun 15 peratus bagi pembelian tiket menggunakan aplikasi e-dompet Touch ‘n Go eWallet sehingga 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor berkata seperti perniagaan sektor perjalanan dan hospitaliti yang lain, jumlah penumpang tren turut terjejas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“ERL meneruskan pakej bernilai kami dan akan bekerjasama dengan rakan kongsi bagi menawarkan tambang promosi untuk menarik minat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata awal tahun ini, ERL bekerjasama dengan TNG Digital dengan menawarkan promosi tersebut bermula 1 Januari hingga 30 Jun.

“Sebagai pengangkutan ke lapangan terbang terpantas di bandar raya ini, kerjasama ini menepati misi kami dalam menyediakan perkhidmatan yang cepat, mudah dan harga berpatutan kepada pelanggan kami,” katanya.

Para pelanggan boleh menikmati promosi tersebut di KLIA Ekspres dan KLIA Transit, termasuk tambang konsesi atau layari www.KLIAekspres.com/touch-n-go-ewallet-deal untuk keterangan lanjut.

KLIA Ekspres dan KLIA Transit ketika ini beroperasi bersama dari pukul 6 pagi hingga 11.10 malam setiap hari dan jadual akan dikemaskini dari semasa ke semasa serta disesuaikan mengikut peningkatan jumlah penumpang.

“Mana-mana penumpang yang mempunyai suhu badan 37.5 darjah Celsius atau lebih tidak dibenarkan masuk. Semua penumpang mesti memakai pelitup separuh muka setiap masa ketika menaiki tren dan sesiapa yang enggan berbuat demikian tidak akan dibenarkan menaiki tren,” tambah Noormah.

Sementara itu, kajian perjalanan oleh ERL baru-baru ini melibatkan 657 rakyat Malaysia mendapati mereka akan melakukan perjalanan dengan 35 peratus daripadanya merancang sedemikian sebaik sahaja kawalan sempadan dilonggarkan dan 26 peratus lagi akan berbuat demikian dalam enam bulan akan datang.

“Lebih menarik, hanya 33 peratus daripada responden akan melakukan penerbangan untuk tujuan perniagaan. Ini dapat dikaitkan dengan norma baharu menjalankan perniagaan berikutan pandemik Covid-19. Selebihnya merancang untuk percutian mereka yang seterusnya, dengan satu pertiga mempertimbangkan destinasi percutian domestik,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor sasar lebih ramai peniaga guna e-dompet

SELAYANG, 19 JUN: Kerajaan Negeri menyasarkan lebih ramai peniaga termasuk penjaja kecil menggunakan transaksi pembayaran tanpa tunai melalui aplikasi e-dompet atau boost dalam urusniaga.

Pegawai Penasihat Dasar EXCO Usahawan Mohd Suffian Ahmad Saifuddin berkata ia bagi memastikan golongan tersebut tidak ketinggalan dalam teknologi digital sekali gus mengetengahkan potensi perniagaan melalui capaian laman maya.

“Kebanyakan peniaga mengadu jualan kurang terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia disebabkan mereka masih mengamalkan perniagaan secara fizikal.

“Kita berharap untuk pembangunan (inisiatif) seterusnya, mereka boleh mencapai ke arah itu (transaksi tanpa tunai) termasuk berniaga dalam talian bagi menambahkan pendapatan dan pelanggan,” katanya selepas lawatan ke pasar pagi bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri berusaha menjadikan rakyat Selangor sebagai masyarakat pintar meliputi semua aspek kehidupan termasuk membabitkan kemudahan berbelanja.

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Manfaatkan aplikasi dalam talian untuk beli barang – MB

SHAH ALAM, 15 APRIL: Rakyat perlu bijak memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan beralih kepada pembelian barangan menerusi aplikasi dalam talian bagi mengelak ancaman Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata terdapat banyak aplikasi secara maya yang boleh dipilih pengguna untuk mendapatkan keperluan mereka.

“Dalam usaha kita untuk memerangi Covid-19, kita harus bijak mencegah penularan virus. Ada banyak pilihan platform dalam talian yang menjual keperluan harian,” tulisnya di Twitter.

Beliau turut menyarankan masyarakat supaya membuat pembayaran secara digital sekiranya membeli barangan di kedai.

“Jika anda ke kedai, anda digalakkan mengunakan kad tanpa sentuh dan e-dompet,” tulisnya.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Faedah dan masalah e-dompet

E-dompet menjadi aplikasi paling banyak dimuat turun di Malaysia bagi suku ketiga tahun lalu berdasarkan penyelidikan iPrice, sebuah platform pemasaran tempatan.

Dengan lebih 61,500 rakan niaga dan kira-kira 3.5 juta pengguna, keadaan itu sekali gus membuktikan urus niaga digital kian diminati masyarakat.

Apatah lagi, kadar penembusan internet di negara ini yang mencecah 87.4 peratus manakala penggunaan telefon pintar mencapai 78 peratus memudahkan lagi proses urus niaga digital.

Setakat ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan 42 lesen kepada pengendali aplikasi termasuk Touch n’ Go, Grabpay, Boost, BigPay, Paypal, SamsungPay dan Ipay88.

E-dompet popular berikutan perkhidmatan itu memudahkan pengguna membuat urus niaga termasuk membeli produk atau perkhidmatan secara dalam tali-
an tanpa perlu banyak pergerakan fizikal.

Keselamatan digital

Pun begitu, di sebalik keterujaan sebahagian masyarakat, kajian Pengguna Perbankan VMware 2020 mendapati hampir 46 peratus pengguna khuatir terhadap ciri-ciri keselamatan dalam hal kewangan.

Mereka bimbang wang dalam e-dompet terdedah kepada penjenayah digital yang mungkin menggodam sistem aplikasi tersebut.

Ini mengakibatkan 70 peratus pengguna memilih kaedah tradisional termasuk pemindahan antara wang dalam talian, mesin juruwang automatik atau tunai kerana tahap kepercayaan mereka terhadap ciri-ciri keselamatan e-dompet diragui.

Selain itu, pengguna juga berdepan lambakan pengendali e-dompet apatah lagi kebanyakan perkhidmatan itu tidak menyeluruh hingga mengakibatkan sesetengah pengguna keliru.

Di negara lain, China misalnya, sebuah negara yang dianggap antara kuasa ekonomi dunia masa kini, hanya ada dua pengendali iaitu Alipay dan Wechat Pay.

Di Singapura pula, hanya ada 10 pengendali e-dompet antaranya DBS Paylah, FavePay, SingTel Dash dan AllPay manakala Hong Kong lebih mirip kepada China dengan tambahan Apple Pay dan PayMe yang fungsinya sama.

Isu lambakan pengendali e-dompet pernah dibangkitkan Timbalan Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia Mohamad Yusrizal Yusoff berikutan sesetengah perisian aplikasi ‘berat’.

Sebaliknya, Gabenor Bank Negara Malaysia percaya lebih banyak pengendali e-dompet bermakna lebih pilihan ada di tangan pengguna.

“Matlamat adalah untuk memanfaatkan pengguna. Mereka mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan e-dompet yang memenuhi keperluan mereka.

“Apa yang penting adalah memastikan ada platform lazim yang memudahkan pembayaran,” kata Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Data peribadi terdedah?

Segelintir penguna juga khuatir data peribadi mereka terdedah jika menggunakan aplikasi e-dompet.

Namun, pensyarah Universiti Teknologi Mara mengingatkan orang ramai, ada banyak perkhidmatan lain yang memerlukan maklumat peribadi mereka untuk pendaftaran pelbagai kad keahlian dan diskaun produk tertentu.

Dr Irni Eliana Khairuddin juga mengingatkan orang ramai mengenai peruntukan undang-undang yang melindungi kerahsiaan mereka.

“Oleh itu, pengguna perlu ingat bahawa Malaysia mempunyai Ak-ta Perlindungan Data Peribadi 2010 bertujuan mencegah penyalahgunaan data pengguna justeru pengendali e-dompet pula tidak boleh bertindak sesuka hati menggunakan data pelanggan mereka,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hasrat ke arah warga tanpa tunai tidak mustahil

SEREMBAN, 20 FEB: Pendigitalan ekonomi dan transformasi teknologi yang pesat terus akan menjadi pemangkin kepada kemajuan sesebuah negara dan sudah pasti, Malaysia juga tidak terkecuali daripada perkembangan itu.

Menuju ke arah itu, kerajaan dilihat bersungguh-sungguh dalam menggerakkan usaha, termasuk menyediakan capaian teknologi 5G Malaysia bagi mengalakkan lagi rakyat membudayakan teknologi menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

Mewujudkan masyarakat tanpa tunai bagi negara ini meskipun dilihat masih lagi jauh ke hadapan dan memakan masa yang lama untuk direalisasikan, namun cita-cita besar kerajaan untuk menjadi negara seperti Sweden, Kanada, Jepun dan China yang merupakan antara yang berjaya mewujudkan masyarakat tanpa tunai, adalah tidak mustahil.

Inisiatif e-Tunai Rakyat yang dilancarkan pada 15 Januari lepas merupakan antara langkah kerajaan dalam menggalakkan masyarakat menggunakan teknologi, apatah lagi di kala negara sedang melangkah ke era teknologi khususnya dalam dunia Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, Noor Azillah Mohamad Ali berkata usaha bagi menerangkan pelbagai aspek mengenai aplikasi transaksi tanpa tunai, e-Dompet yang semakin mendapat tempat di kalangan rakyat khususnya belia, kini perlu digandakan bagi mendedahkan golongan lain termasuk masyarakat di luar bandar mengenai manfaatnya.

“Pembayaran tanpa tunai ini adalah medium baharu yang mana kerajaan ingin membawa kepada masyarakat tanpa tunai, dan kesediaan masyarakat bukanlah secara total setakat ini, tetapi akan berlaku secara berperingkat.

“Bagi masyarakat yang berada di bandar, penerimaan itu adalah lebih tinggi berbanding masyarakat luar bandar,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Menyifatkan industri e-Dompet ini akan pesat membangun pada masa akan datang, beliau berkata ini dibuktikan dengan sejumlah 42 dompet digital yang telah diluluskan oleh Bank Negara Malaysia, setakat ini.

Bagaimanapun katanya, capaian internet yang lemah khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, berkemungkinan akan memberi cabaran kepada matlamat kerajaan itu.

Ketika ini, lebih daripada 10 platform e-Dompet diwujudkan seperti Boost, GrabPay, WeChat Pay, Touch n Go Wallet, Paypal dan Setel dan setiap daripadanya memiliki fungsi yang berbeza.

Merujuk kepada perangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai jumlah transaksi dibuat melalui perbankan internet meningkat kepada 833.9 juta transaksi pada 2018 berbanding 741.9 juta transaksi pada 2017, Noor Azillah berkata sekiranya trend itu berterusan, adalah tidak mustahil untuk institusi kewangan tergugat seperti mana yang pernah berlaku di Sweden.

Sweden akan menjadi negara pertama tanpa tunai di dunia menjelang tahun 2023 dan akan mengeluarkan mata wang digitalnya sendiri pada tahun hadapan.

“Menurut hasil kajian Nielson Malaysia tahun lepas, pengguna di Malaysia telah berubah kepada penggunaan e-Dompet sebanyak lapan peratus dan apabila semakin banyak pilihan e-Dompet di pasaran yang menawarkan promosi menarik kepada pengguna, adalah tidak mustahil akan ada sedikit perubahan kepada landskap kewangan,” katanya.

Sementara itu, pemilik restoran makanan barat, A&J Burger Grill and Western Mohd Johar M. Jaffar, 37, berkata perniagaan yang diusahakan sejak lapan tahun dahulu kini terpaksa beralih arah kepada sistem tanpa tunai memandangkan ia lebih digemari pelanggan khususnya golongan muda yang cenderung kepada konsep tanpa tunai selain mereka boleh mendapat bayaran balik tunai serta ganjaran.

“Selain itu, ia juga mengurangkan risiko ketirisan daripada juruwang yang mengendalikan kaunter dan bayaran menjadi lebih mudah kerana akan terus masuk ke dalam akaun bank tanpa perlu risau risiko ragut, kecurian memandangkan tidak perlu lagi menyimpan wang tunai di restoran,” katanya yang memiliki lima aplikasi e-Dompet seperti Boost, FavePay, Touch n Go e-Wallet, GrabPay dan QR Pay Maybank.

Anak kelahiran Johor itu berkata e-Dompet juga memudahkan semua urusan transaksi pembayaran dan bergantung kepada data internet berbanding transaksi yang menggunakan kad debit atau kad kredit, yang menggunakan sistem talian, yang kadang kala kurang stabil.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keselamatan e-dompet tidak harus diragui

SEREMBAN, 3 FEB: Dengan pengenalan e-dompet yang semakin mendapat sambutan ramai, salah satu isu yang sentiasa dititikberatkan pengguna adalah soal yang berkaitan dengan keselamatan data peribadi.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Rekod, Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor, Dr Mohd Nizam Yunus bagaimanapun berkata bagi setiap sistem atau aplikasi yang dibangunkan, pastinya ia mengambil kira soal keselamatan data bagi mengelak disalah guna atau dicuri pihak tertentu.

Beliau berkata bagi mana-mana sistem atau aplikasi, ia pastinya mempunyai kelemahan tertentu seperti pencerobohan dan sebagainya, namun beliau percaya penyelia sistem itu sudah bersedia dengan semua kemungkinan, dan sentiasa memberi keutamaan dalam menyediakan perlindungan data peribadi pengguna.

“Secara amnya, rakyat tidak perlu risau dengan e-dompet ini kerana keselamatannya sentiasa dijaga dengan rapi oleh pihak penyelia (aplikasi),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata ada juga pengguna yang melahirkan rasa bimbang kemungkinan wang dalam aplikasi berkenaan hilang begitu sahaja, namun menurutnya perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana biasanya sistem log sedia ada merekodkan setiap transaksi, dan senarainya memang boleh diakses pengguna.

Sementara itu, seorang lagi pensyarah kanan di fakulti yang sama, Dr Irni Eliana Khairuddin berkata setiap sistem yang diwujudkan hari ini terutamanya sistem kewangan, dibina dengan teknologi sekuriti yang tinggi dan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Ini termasuklah dengan sistem e-dompet. Ramai yang bimbang akan data peribadi mereka digunakan pihak-pihak tertentu, namun mereka juga perlu diingatkan, bahawa bukan sahaja e-dompet, malah ada banyak perkhidmatan lain yang memerlukan mereka mendaftar dan memberikan data peribadi, yang boleh disalah guna.

“Ini termasuklah seperti melanggan internet atau mendaftar keahlian kad-kad pasar raya, yang mana apabila mereka menandatangani borang langganan itu, secara tidak langsung mereka juga telah bersetuju untuk membenarkan pihak berkenaan menggunakan data peribadi mereka.

“Namun perlu diingat, pihak itu bukan boleh sewenang-wenangnya menggunakan data mereka kerana ia dilindungi oleh Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” katanya dan menambah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 diwujudkan dengan tujuan mencegah penyalahgunaan data peribadi orang awam untuk tujuan komersial.

Irni Eliana berkata data berkenaan turut boleh digunakan pihak terbabit untuk membuat unjuran mengenai penggunaan produk atau perkhidmatan tertentu yang sering kali digunakan masyarakat.

“Sebagai contoh daripada data peribadi itu, statistik penggunaan e-dompet bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) boleh dijana untuk mengetahui transaksi produk atau perkhidmatan yang paling kerap mereka gunakan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan galak pembayaran tanpa tunai di hentian rehat dan rawat

KUALA KELAWANG, 21 JAN: Kementerian Pengangkutan menggalakkan pelaksanaan kaedah pembayaran tanpa tunai dalam sistem pengangkutan awam dan di kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) di seluruh negara.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata ia bertujuan memodenkan sistem pengangkutan awam, di samping memberi dorongan kepada masyarakat untuk lebih bersedia ke arah sistem ekonomi digital.

“Di peringkat kementerian kita memang alu-alukan penggunaan pembayaran tanpa tunai ini dan saya rasa penggunaan e-dompet ada potensi yang sangat besar, ia perlu diperluaskan ke pelbagai bidang termasuk di R&R dan sistem pengangkutan awam khususnya bas henti-henti.

“Kita mahu modenkan sistem pengangkutan awam, sekali gus melicinkan perjalanan bas, selama ini bas henti-henti memang kita tahu guna duit syiling atau wang kertas dan kadang-kadang tidak begitu efisien sehingga menyukarkan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Dewan Orang Ramai Titi di sini, semalam.

Turut hadir Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad.

Loke yang juga ahli parlimen Seremban dan Ahli Dewan Undangan Negeri Chennah berkata beliau meminta pengusaha pengangkutan awam melaksanakan sistem tanpa tunai untuk kebaikan dan kemudahan orang ramai.

Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan bahawa data peribadi mereka dilindungi.

“Saya rasa kerajaan sudah berikan pelbagai penjelasan dan jaminan bahawa tiada isu penyalahgunaan data peribadi dan pendaftaran e-dompet hanya mengambil maklumat asas sahaja sama seperti penggunaan aplikasi lain.

“Tambahan, kita ada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan mana-mana pihak yang mendapati terdapatnya penyalahgunaan data peribadi mereka, laporan polis boleh dibuat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tidak cadang bayar bantuan kebajikan guna e-dompet

SHAH ALAM, 16 JAN: Kementerian Kewangan tidak bercadang menggunakan mekanisme e-dompet bagi menyalurkan bantuan kebajikan kepada masyarakat.

Menterinya Lim Guan Eng berkata walaupun kerajaan menggalakkan rakyat menjalani kehidupan tanpa tunai, namun tidak semua terdedah dengan sistem bayaran digital.

“Buat masa ini, kita mahu menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk menggunakan sistem ini supaya ia lebih senang diterima secara umum,” katanya lapor Berita Harian.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi melaksanakan inisiatif e-Tunai Rakyat untuk menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perluas sistem e-dompet, tingkat keselamatan

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Kerajaan disaran mempergiatkan lagi inisiatif menggalakkan penggunaan e-dompet dalam kalangan masyarakat seiring hala tuju majoriti negara ke arah masyarakat tanpa tunai.

Senator Datuk Lee Tian Sing berkata sebagai contoh di China, transaksi digital berkenaan digunakan secara meluas dengan bantuan pengendali perkhidmatan seperti Ali Pay.

“Kerajaan seharusnya mempertimbangkan untuk meningkatkan industri e-dompet (dalam negara) memandangkan hanya lapan peratus sahaja transaksi digital ini digunakan dalam sektor pembayaran (di Malaysia),” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020.

Tian Sing juga mencadangkan kerajaan membuat ketetapan berhubung pihak yang akan membangunkan sistem dan perisian e-dompet dalam memastikan keselamatan terjamin.

Sementara itu, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff turut menekankan kepentingan kerajaan mengangkat agenda digital yang memanfaatkan rakyat terutamanya di luar bandar.

“Bagi saya, agenda digital perlu diangkat dan ia akan menjadi pemangkin kepada agenda ekonomi yang dirancang selain menjadikannya sebagai perkara yang diraikan (memberi manfaat) semua rakyat,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Touch ‘n Go bakal tawar e-dompet mudah alih

SHAH ALAM, 9 JAN: Anak syarikat CIMB Group Holdings Bhd, Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) menerima kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memperkenalkan dan mengendali perkhidmatan e-dompet mudah alih.

CIMB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perkhidmatan yang menggunakan landasan teknologi Alipay itu akan diuruskan TNG Digital Sdn Bhd, syarikat usaha samanya dengan Ant Financial Group (Ant Financial).

Teknologi pembayaran Alipay daripada Ant Financial, pada masa sekarang menyokong lebih dari 450 juta pengguna di China.

E-dompet mudah alih itu akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati pengalaman ekosistem pembayaran yang selamat, selesa dan lancar melalui penggunaan kod tindakan segera bagi membeli-belah dalam talian, membuat pembayaran bil, runcit termasuk pemindahan dana dengan landasan serupa.

Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB, Syahrunizam Samsudin berkata, syarikat menjangkakan pelanggan semasanya yang terdiri daripada pengguna tol lebuh raya, transit dan tempat meletak kenderaan akan mendaftar segera bagi menikmati tambahan dalam perkhidmatan berkenaan.

“Dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk mempercepatkan pembentukan ekosistem pembayaran digital yang kukuh dan selamat, kami amat teruja selepas menerima kelulusan bagi e-dompet ini.

“Pada hari ini, Touch ‘n Go adalah peneraju nombor satu dalam pembayaran mikro dan kami berpendapat bahawa tawaran ini adalah penambahan dalam usaha memperkukuhkan cadangan nilai kami dan seterusnya, mengerakkan negara serta pelanggan kami ke alam digital pembayaran,” katanya.

TNGSB memegang hak harta intelek sistem Touch ‘n Go, yang juga adalah piawaian de facto kepada kad pintar tanpa sentuhan di Malaysia.

Syarikat terbabit dimiliki CIMB, MTD Equiti Sdn Bhd dan PLUS Expressways Bhd.

*Sumber: BERNAMA