Categories
SELANGOR

Peruntukan RM390,000 bina semula balai raya

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 16 JAN: Kerajaan Negeri memperuntukan RM390,000 bagi tujuan meroboh dan membina semula pembangunan infrastruktur Balai Raya Kampung Dato’ Lee Kim Sai, di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, balai raya itu dibina semula bagi menggantikan pembinaan sebelum ini yang berstruktur papan.

“Balai raya yang bakal siap Februari ini adalah berstruktur batu dan lebih moden daripada asal.

“Kerja menaik taraf perlu dijalankan bagi memudahkan komuniti di kawasan Kampung Dato’Lee Kim Sai ini melakukan aktiviti kemasyarakatan,”katanya.

Beliau berkata ketika membuat lawatan ke tapak pembinaan Balai Raya Kampung Dato’Lee Kim Sai, di sini, hari ini.

Terdahulu, balai raya dua tingkat itu turut mempunyai pelbagai kemudahan seperti bilik mesyuarat di tingkat atas dan kawasan lapang di bahagian bawah untuk mengadakan aktiviti ‘indoor’.

Pada masa sama, Hian Wah berkata, pembangunan balai raya itu dimulakan projeknya pada 7 September tahun lalu dan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Gombak.

Terdahulu, pada Belanjawan 2018 Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta untuk pembangunan kampung baru.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

i-Kampung Bagan kongsi keunikan 19 kampung bagan Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 DIS: Keunikan 19 kampung bagan di Selangor kini dibukukan menerusi siri khas, ‘i-Kampung Bagan Selangor – Garis Pantai Yang Hilang dari Peta’.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, inisiatif itu diterjemah bagi merekodkan budaya, sejarah dan keistimewaan setiap kampung bagan di Selangor.

Katanya, ia sekaligus dapat memperkenalkan kewujudan kampung bagan yang masih kurang disedari rakyat terutama penduduk bandar.

“Usaha ini juga penting kerana kampung bagan berkenaan juga tidak dapat ditemui di dalam peta, mungkin kerana saiznya yang tidak besar.

“Jadi, dengan terbitnya buku ini, rakyat kini berpeluang mengenali lebih dekat setiap kampung bagan dan kisah menarik di sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran ‘i-Kampung Bagan Selangor – Garis Pantai Yang Hilang dari Peta’, di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Ean Yong berkata, sebanyak 1,500 cetakan sedia untuk diedarkan secara percuma di agensi berkaitan seperti perpustakaan, sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, penerbitan buku berkenaan juga mampu membuka ruang lebih luas bagi sektor pelancongan dan ekonomi berkembang di kampung bagan.

“Selain pemandangan indah, setiap kampung juga mempunyai hasil laut dan keunikan tersendiri dan nilai ini mampu menjadi utama pelancongan.

“Apabila sektor pelancongan berkembang, ekonomi juga dapat digiatkan dan memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.

Antara kampung bagan yang terkenal dengan sektor pelancongan adalah Kampung Bagan Pulau Ketam, Seri Sekinchan dan Pasir Penambang.

Untuk rekod, Selangor mempunyai jumlah kampung bagan tertinggi di Malaysia dengan 19, diikuti Perak (16), Johor (7) dan Pulau Pinang (2).

=EZY=

Categories
SELANGOR

RM200,000 naik taraf gelanggang bola keranjang

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 5 DIS: Sejumlah RM200,000 diluluskan Kerajaan Negeri bagi menaik taraf gelanggang bola keranjang di Kampung Baru Ijok.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dijangka mengeluarkan tender projek naik taraf itu dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya menjangkakan kerja pembinaan dimulakan awal tahun hadapan dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

“Gelanggan sedia ada sudah agak lama dan perlu diperbaiki dan dinaik taraf untuk kemudahan anak muda di sini melakukan aktiviti sukan.

“Kita akan naikkan gelanggang berbumbung dan membolehkan aktiviti berkenaan dijalankan dalam apa jua cuaca,” katanya.

Terdahulu, beliau meninjau kerja mencantikkan bumbung deretan kedai di Kampung Baru Sri Berjuntai, sebelum singgah melawat Kampung Baru Ijok, di sini, hari ini.

Ean Yong berkata, sejumlah RM15,000 turut dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi mendirikan kira-kira 40 papan tanda jalan dwi bahasa di Kampung Baru Ijok.

“Kesemua papan tanda sudah didirikan di sekitar kampung ini pada bulan lalu.

“Lebih istimewa, papan tanda ini juga mengandungi tulisan jawi selain tulisan rumi, dan Cina, selaras dengan dasar MDKS” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Deretan kedai 70 tahun berwajah baru, lebih ceria

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 5 DIS: Sejumlah RM20,000 disumbangkan Kerajaan Negeri bagi menyokong inisiatif mencantikkan sebaris kedai lama di Kampung Baru Sri Berjuntai.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, sebahagian peruntukan digunakan bagi membaiki bumbung rosak di 12 kedai terlibat.

Katanya, selebihnya pula dibelanjakan bagi mengecat bumbung deretan kedai berusia lebih 70 tahun itu dengan reka bentuk beridentitikan Batang Berjuntai.

“Kerajaan Negeri amat menggalakkan usaha sebegini, terutama dalam mencipta mercu tanda kampung baru di sini.

“Mungkin usaha ini juga dalam menjadi tarikan pelancong pada masa hadapan seterusnya mencambah pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan cek kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Baru Sri Berjuntai, Yoong Hoi Keun, di sini, hari ini.

Ean Yong berkata, penduduk turut memberikan kerjasama baik bagi menjayakan inisiatif berkenaan.

“Di peringkat awal lagi, jawatankuasa terlibat berjumpa secara empat mata dengan setiap pemilik bagi menjelaskan tujuan kita.

“Selepas semua bersetuju dan memberikan sokongan, kita mulakan kerja sejak seminggu lalu dan kini ia hampir siap sepenuhnya,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Jalan Baru Kwantung beri kemudahan kepada penduduk

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 3 DIS : Akses yang menghubungkan Jalan Kwantung 1 ke Taman Kajang Raya kini lebih singkat dan lancar dengan pembukaan jalan baru sepanjang 180 meter itu di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, isu jalan berkenaan sudah lama dibangkitkan penduduk di kawasan itu dan Kerajaan Negeri ambil peduli masalah berkenaan sekali gus pembinaan jalan itu diwujudkan.

“Kerajaan Negeri memandang serius isu berkenaan memandangkan sebelum ini penduduk menggunakan satu jalan sahaja menyebabkan kesesakan yang amat teruk setiap hari terutamanya pada pagi hari minggu kerana terdapat pasar pagi di sini,” katanya.

Beliau berkata pada Majlis Perasmian Jalan Baru Kwantung di sini, hari ini.

Ean Yong berkata, RM140,000 peruntukan daripada Kerajaan Negeri untuk membina jalan sepanjang 180 meter itu.

“Kos agak tinggi kerana jalan baru berkenaan dibina menggunakan besi dan konkrit malah dibawah jalan ini ada longkang yang besar,” katanya kepada SelangorKini.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Balai Seni Sasaran, tarikan terbaru Kuala Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 21 NOV: Balai Seni Sasaran diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi Kuala Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, galeri berkenaan bukan sahaja dilengkapi karya seni artis tempatan malah turut disempurnakan dengan karya artis antarabangsa.

Katanya, ia termasuk artis luar negara dari Jepun, Mesir, Mongolia, India dan Filipina.

“Uniknya, ia adalah galeri pertama di Selangor yang diuruskan oleh persatuan dan komuniti setempat.

“Galeri ini semestinya menambah lagi tarikan di Kuala Selangor yang sebelum ini terkenal dengan kelip-kelip dan pulau cermin,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian Balai Seni Sasaran Kuala Selangor, di Jalan Sasaran, di sini, hari ini.

Pada Disember 2016, beliau turut menyempurnakan majlis pecah tanah balai berkenaan yang turut dihadiri Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor, pada masa itu, Noraini Roslan.

Siap sepenuhnya pada Oktober lalu, balai dua tingkat itu meliputi tingkat atas yang berfungsi sebagai ruang pameran sementara ruang lapang di tingkat bawah boleh digunakan bagi penganjuran pelbagai aktiviti.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hybrid Biological Process pertama di Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

BERANANG, 21 NOV : Hybrid Biological Process diperkenalkan Kerajaan Negeri untuk memproses sisa pelupusan sampah dengan lebih jimat dan berkualiti.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri menggalakkan teknologi hijau sekali gus konsep itu boleh diguna pakai.

“Projek perintis ini dapat memproses sehingga 100 metrik tan (MT) pengurusan sisa pepejal sehari sekali gus dapat menjimatkan kos dan kualiti alam sekitar terjamin.

“Penggunaan MSW dapat kurangkan kebergantungan 95 peratus terhadap kaedah “sanitary landfill” malah dengan teknologi hijau ini bau busuk juga dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media ketika membuat lawatan ke Projek Konsep Pembangunan Sumber Hijau Dalam Pengurusan Sisa Pepejal (MSW), di Kawasan Perindustrian Beranang, di sini, semalam.

Sementara itu, projek yang sudah beroperasi sejak September lalu itu adalah teknologi daripada negara Eropah yang sudah lama melaksanakan aktiviti berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif AE Carbon Capital Sdn Bhd, Victor Yeow berkata, mereka berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi peluang untuk melaksanakan projek perintis itu.

“Dengan wujudnya projek ini sampah dirawat secara semulajadi dan biologikal, ia tidak menggunakan konsep pembakaran sekali gus akan mengeluarkan gas menjana elektrik.

“Objektif projek ini adalah untuk kurangkan sampah jangka masa panjang dan ia adalah input terbaik untuk penghasilan nilai tambah kepada barang perusahaan seperti baja organik, katanya.

Selain itu, penghasilan baja berkenaan sesuai pada tanaman sayuran dan Cameron Highland adalah antara tempat yang sering menempah baja dari syarikat berkenaan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Penduduk Kampung Baru Kundang terima 100 tong sampah, gelanggang baru

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 18 NOV: Bagi memastikan keselesaan penduduk, Kerajaan Negeri membelanjakan RM200,000 bagi menaiktaraf gelanggang berbumbung bola keranjang Kampung Baru Kundang.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, gelanggang terbabit bukan sahaja dijadikan tempat beriadah tetapi juga boleh dijadikan sebagai tempat masyarakat setempat menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Saya yakin gelanggang ini bukan sahaja untuk bersukan tetapi juga aktiviti kemasyarakatan dan sekaligus meningkatkan perpaduan dan kerjasama antara mereka,” katanya ketika menghadiri Majlis Perasmian Gelanggang Bola Keranjang Berbumbung Kampung Baru Kundang di sini, hari ini.

Jelasnya, kerja menaiktaraf gelanggang yang sebelumnya agak uzur dan tidak berbumbung itu selesai pada bulan lalu.

Sebelum itu, selain merasmikan gelanggang baru, Ean Yong turut menyerahkan sumbangan 100 tong sampah kepada penduduk di situ.

Turut hadir pada program yang dihadiri oleh lebih 100 penduduk itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Dewan atas tanah rizab pendidikan dibina sebelum 2008

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 NOV: Dewan orang ramai di atas tanah rizab pendidikan, di Jalan 19 Taman Putra, Ampang dibina sebelum Pakatan mengambil alih pentadbiran negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, bangunan itu dibina penduduk setempat sebagai balai raya sebelum diambil alih Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), pada 2009.

“Pengambilalihan ini selaras keputusan Majlis Mesyuarat Negeri Bilangan 15/2008 bertarikh 18 Jun 2008 memutuskan mengambil alih mana-mana bangunan yang dibina di atas rizab kerajaan atau kawasan lapang diurus tadbir pihak majlis,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Tiew Way Keng pada sesi soal jawab di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Hian Wah berkata, ketika ini, MPAJ sedang menyelaras pewartaan semula tapak bangunan itu daripada rizab pendidikan kepada kemudahan awam.

Categories
SELANGOR

PBT Selangor bayar GST RM6.167 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor telah membayar cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) berjumlah RM6.167 juta sejak 2015.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, setakat ini ada tuntutan GST yang belum dipulangkan kerana berlaku kekeliruan antara kedua-dua pihak.

“Hasil perjumpaan pada 10 Ogos 2017, kedua-dua pihak bersetuju memperbetulkan kekeliruan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut yang dikemukakan ADN Balakong, Ng Tien Chee pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Menurutnya, antara alasan yang diberikan Kastam adalah tuntutan kredit tidak munasabah.

Katanya, sistem GST masih baru dilaksanakan dan perkara utama yang perlu diberikan penekanan adalah komunikasi antara PBT dan Jabatan Kastam.

Categories
SELANGOR

Tiada rumah dirampas sepanjang 2017

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri tidak merampas sebarang rumah terbiar pada 2017, kata Ean Yong Hian Wah.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru itu berkata, rampasan tanah dibuat Kerajaan Negeri kini mengikut Seksyen 100 Kanun Tanah Negara (KTN) bagi kegagalan pembayaran cukai.

Ia turut melibatkan Seksyen 127 hingga Seksyen 130 KTN bagi tanah yang melanggar syarat.

“Mengikut Seksyen 100 KTN memperuntukkan bahawa tindakan pelucuthakan boleh diambil sekiranya tiada cukai dibayar mana-mana pemunya tanah yang telah diberimilik dan dianggap sebagai tunggakan.

“Pentadbir Tanah seterusnya boleh melucuthakan tanah tersebut menjadi Tanah Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Selangor 2018.

Menurutnya, di bawah Seksyen 127 hingga 140 KTN, Kerajaan Negeri boleh melucuthakan mana-mana tanah yang telah melanggar syarat nyata tanah tersebut.

Categories
SELANGOR

RM41.8 juta duti hiburan setakat September

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Sejumlah RM41.8 juta berjaya dikutip Kerajaan Negeri menerusi Duti Hiburan, setakat 30 September lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, ia meliputi 74 peratus daripada jumlah diunjurkan tahun ini, RM56.5 juta.

Katanya, kutipan RM38.4 juta diperolehi daripada duti hiburan panggung wayang sementara baki RM3.4 juta daripada taman tema, pertunjukan pentas, konsert, perlumbaan kereta dan motosikal serta lain-lain.

“Kutipan hasil duti hiburan pada tahun semasa mengalami penuruan sebanyak RM2.5 juta berbanding 2016.

“Antara faktor utama ialah kurangnya sambutan penonton terhadap tayangan filem tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berhubung prestasi kutipan duti hiburan.

Ean Yong yang juga ADN Seri Kembangan berkata, Kerajaan Negeri bercadang menyediakan garis panduan berhubung pengeluaran lesen hiburan kepada pusat sukan rekreasi yang menyediakan permainan sukan lasak.

Katanya, ia termasuk All Terrain Vehicle (ATV) dan aktiviti sukan air serta ‘indoor theme park’ dengan permainan seperti ‘water climbing’ dan ‘trampolines’.

“Pengusaha premis ini mengenakan bayaran fi kepada pengunjung yang menggunakan fasiliti mereka.

“Premis diberi lesen Pusat Sukan Persendirian dan tidak tertakluk kepada Akta Duti Hiburan 1953 (Akta 103),” katanya.