Categories
NASIONAL

Exco Selangor Buat Laporan Polis Selepas Di Tumbuk


SHAH ALAM 06 APRIL : Ahli Dewan Undangan Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah cedera ditumbuk oleh dua lelaki di sebuah restoren di Jalan Sekolah Kampung Baru, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, Ean yang juga Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram ditumbuk oleh lelaki terbabit selepas selesai makan di restoren itu.

Ketika keluar dari restoren itu, dua lelaki terbabit menghampirinya dan terus memarahi serta bercakap dengan nada kasar.

“Seorang daripada lelaki itu terus menerpa ke arah saya dan memukul bahagian kiri wajah menggunakan tangan, dia turut memukul dan menarik tangan saya.”

“Sebelum beredar, rakan peniaga berkenaan turut mengugut mengancam nyawa saya. Sebaik kejadian, kedua-duanya terus melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diletakkan di luar restoran,” katanya.

Ean berkata beliau ditumbuk di hadapan 20 ahli jawatankuasa DAP Seri Kembangan dan beberapa pelanggan di restoran itu.

Katanya, beliau mengenali salah seorang daripada dua lelaki terbabit.

Jelasnya, salah seorang lelaki terbabit merupakan salah seorang peniaga daripada 184 peniaga yang dipindahkan ke pasar rakyat Jalan SK  6/1.

“Peniaga itu tidak berpuas hati dengan lokasi tapak gerainya itu, manakala rakannya itu merupakan seorang ahli parti politik lain,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perkara itu berunsurkan politik.

“Saya yakin perkara ini didalangi oleh politik pembangkang (BN), ” katanya.

Bagaimanapun, Ean hanya mengalami kecederaan ringan itu membuat laporan polis di Balai Polis Seri Kembangan selepas setengah jam kejadian.

Malah, salah seorang suspek itu ditahan polis pagi tadi bagi membantu siasatan.

Categories
SELANGOR

Status Tanah Tapak Pasar Rakyat SK6/1 Seri Kembangan Selesai

SUBANG JAYA 29 MAC : Keraguan status tanah bagi Pasar Rakyat SK6/1 Seri Kembangan yang berlarutan sejak tiga tahun lalu selesai apabila dikenal pasti milik sah kerajaan negeri.

Sebelum ini, khabar angin mempertikaikan status tanah pasar baru itu bukan milik kerajaan negeri, disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ia disebarkan supaya peniaga diluar pasar lama di Jalan 10/3 dan Jalan Besar membuat bantahan agar tidak bersetuju dipindahkan ke pasar baru.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Asmawi Kasbi berkata, pemindahan ini bertujuan mengurangkan kesesakan akibat aktiviti menjaja di tepi jalan disamping pembangunan perumahan yang semakin banyak di Taman Universiti Indah, Taman Serdang Raya dan Taman Seri Serdang.

“Saya ingin mengatakan di sini bahawa pasar itu adalah sepenuhnya dikawal oleh MPSJ dan tidak ada tindakan undang-undang atau perkara berbangkit lagi mengenai status tanah.

“Kerana tanah itu milik kerajaan negeri dan dibangunkan oleh MPSJ dan akan mnguruskan pasar itu pada masa sekarang dan masa-masa akan datang,”katanya selepas Majlis Mesyuarat Penuh MPSJ.

Hadir sama, Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Jelasnya, seramai 184 peniaga sudah bersetuju untuk berpindah ke lokasi baru itu dan peniaga akan diberikan kunci pada Ahad ini (1 April) serta akan mula beroperasi Isnin depan.

Pasar baru itu melibatkan sebanyak 104 unit bazar dan 80 unit bagi pasar basah.

“Kita juga minta peniaga-peniaga yang masih berniaga di pasar lama menghentikan operasi perniagaan mereka dan MPSJ akan menghantar pegawai penguatkuasa bagi memantau peniaga di kawasan lama itu untuk memastikan tiada sebarang perniagaan dijalankan,”katanya.

Berkenaan lesen perniagaan, pihak MPSJ akan menghantar pegawai dari Bahagian Perlesenan pada Isnin depan supaya peniaga dapat membuat permohonan lesen dan pembayaran boleh dibuat pada masa itu.

“Ini memudahkan peniaga supaya tidak perlu bersusah payah untuk datang ke MPSJ dan kadarnya mengikut jenis jualan perniagaan dari RM120 hingga RM240 setahun,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM21.8 juta Untuk Pembangunan Kampung Baru

SHAH ALAM 26 MAC : Sejak 2008, sehingga kini Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 21.8 juta bagi pembangunan kampung baru termasuk RM 1 juta di bawah Geran Selangorku.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri meluluskan sebanyak 362 projek infrastruktur dalam masa empat tahun pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor.

“Sebanyak 88 projek untuk membina dan membaik pulih jalan, 115 projek untuk membina dan membaik pulih longkang, 32 projek pula untuk membina juga menaiktaraf dewan dan balairaya JKKK (Jawatankuasa Kemajuan Kampung), dan 18 projek bagi membina pintu gerbang.

“Sementara itu, sebanyak 15 projek dijalankan untuk mengubahsuai atau membina bumbung gelanggang bola keranjang, badminton dan pingpong, 12 projek khusus untuk menaiktaraf kelengkapan taman permainan kanak-kanak, 25 projek pula untuk menggantikan jambatan atau catwalk serta 57 lain-lain projek seperti papan tanda, lampu, pagar dan sebagainya,” ujar Ean Yong.

Di samping projek-projek infrastruktur, Kerajaan Negeri juga melaksanakan pelbagai program masyarakat untuk penduduk kampung baru.

“Antaranya ialah kempen ‘Riang Ria Membaca’ dan perlancaran laman web ‘i-Kampung Baru pada 20 Oktober tahun lalu.

“Kita juga memperkenalkan projek perintis pemilihan Pengerusi JKKK dan baru-baru ini, kita menjalankan usahasama dengan Taiwan Tzu Chi Foundation Malaysia bagi melaksanakan program kitar semula di kampung baru,” jelas Ean Yong.

Categories
SELANGOR

Kg Baru Bukit Angkat Dapat Kemudahan Sukan

KAJANG, 21 MAC : Penduduk di Kampung Baru Bukit Angkat dan sekitarnya terus menikmati kemudahan secara berterusan dengan Kerajaan Negeri diterajui Pakatan Rakyat (PR) menyalurkan pelbagai bantuan demi kesejahteraan penduduk berkenaan.

Terbaru, gelanggang bolakeranjang di kampung itu yang dibina tanpa bumbung pada 2009 mengalami perubahan dalam tempoh singkat apabila pada awal tahun ini dinaiktarafkan dan kini siap berbumbung bagi memberi lebih keselesaan kepada penduduk khususnya golongan muda untuk bersukan dan beriadah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Baru Bukit Angkat, Fong Tiam Fah berkata, dengan terbinanya gelanggang bolakeranjang itu dengan dilitupi bumbung akan meningkatkan lagi minat anak muda di kampung itu untuk mengerakkan pelbagai aktiviti sukan.

Menurutnya, tindakan menaiktaraf gelanggang itu adalah jelas Kerajaan Negeri amt prihatin dengan keperluan penduduk yang memerlukan satu tempat beriadah yangsempurna dan lengkap.

“Sebelum ini walaupun gelanggang ini ada tetapi ia tidak berbumbung dan keadaan ini menimbulkan masalah kepada penduduk akibat cuaca panas

atau ketika hujan.

“Dengan kemudahan berbumbung kini penduduk khasnya anak muda akan rasa lebih selesa untuk menggunakannya. Saya selaku ketua kampung merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, Pembantu Khas Adun Kajang, Ong Seng Peng menjelaskan gelanggang bolakeranjang itu dinaiktarafkan dengan pemasangan  bumbung melibatkan kos sebanyak RM170,000.

Beliau berkata, gelanggang yang dibina pada 2009 itu mengalami proses pembinaan secara berperingkat menerusi peruntukan disediakan Kerajaan Negeri.

“Gelanggang bolakeranjang ini dibina Kerajaan Negeri pada 2009 kerana menyedari betapa perlunya penduduk tempatan diberi kemudahan untuk bersukan dan beriadah.

“Selaku Adun di kawasan ini, Lee Khim Sin sentiasa mendampingi penduduk tempatan dan menerusi usaha dilakukan maka kemudahan itu tersedia melalui peruntukan Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram diketuai Exconya, Ean Yong Hian Wah,” katanya.

Ong berkata, kemudahan gelanggang itu diharap digunakan sebaik mungkin oleh penduduk di kawasan itu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri tentunya akan menyalurkan bantuan dan menyediakan lebih banyak kemudahan kepada rakyat di kampung itu khasnya dan Selangor amnya.

Categories
SELANGOR

Tempoh Daftar Kilang Haram Dilanjutkan

SHAH ALAM 20 MAC : Kerajaan Selangor melanjutkan tempoh pelaksanaan Program Pemutihan Kilang Haram sehingga 31 Disember depan.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Hitam, Ean Yong Hian Wah berkata tempoh itu dilanjutkan berikutan kejayaan Kerajaan Negeri dalam menangani masalah kilang haram.

Ean Yong berkata sehingga Mei tahun lalu, sebanyak 1,021 lot tanah iaitu 45.48 peratus daripada jumlah 2,250 lot tanah pertanian telah mengemukakan permohonan tukar syarat tanah kepada Kerajaan Negeri.

“Pecahan permohonan tukar syarat tanah mengikut daerah pula, Petaling sebanyak 47.61 peratus, Klang 58.99 peratus, Gombak 70.45 peratus, Hulu Langat 29.34 peratus, Kuala Langat 41.15 peratus, Sepang sebanyak 38.64 peratus, Hulu Selangor 47.06 peratus dan Kuala Selangor sebanyak 50 peratus,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz.

Ean berkata sebanyak 857 permohonan telah diluluskan dan jumlah premium tambahan yang berjaya dikutip oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM112,261,194.34.

” Bagi kilang haram yang tidak mengambil bahagian dalam program pemutihan itu, mereka boleh diambil tindakan dibawah Kanun Tanah Negara dan juga undang-undang kecil PBT masing-masing,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

MB: Tingkat Kredibiliti Untuk Jana Perkhidmatan Terbaik

SHAH ALAM, 5 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan penjawat awam di negeri ini untuk mempertingkatkan kredibiliti sejajar usaha kerajaan negeri memperkukuhkan integriti kakitangan awam demi memastikan memberi mutu perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Abdul Khalid berkata demikian semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang dihoskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veteriner Selangor yang diadakan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

” Jika saudara menjadi pemimpin yang mempunyai kreadibiliti, maknanya bukan saudara yang menentukan,tetapi orang yang berhubung dengan saudara itu yang menentukan samada saudara mempunyai kreadibiliti,” kata beliau.

Beliau juga menegaskan buku bertajuk “Credibility: How Leaders Gain and Lose It, Why People Demand It ” hasil tulisan Jossey-Bass, perlu dibaca oleh kalangan penjawat awam kerana buku tersebut memperincikan pengertian kreadibiliti dalam kepimpinan dan hubungan antara manusia supaya dapat diaplikasikan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Exco Selangor, Teresa Kok, Rodziah Ismail,Ronnie Liu, Dr Xavier Jeyakumar, Dr Yunus Hairi, Dr Halimah Ali, Ean Yong Hian Wah, Dr Yaakob Sapari dan Pengarah Perkhidmatan Jabatan Veteriner Selangor, Dr Abdul Latif Borhan.

” Masyarakat lebih cenderung untuk memilih pemimpin bukan disebabkan oleh kuasa tetapi adalah hasil yang ada pada kuasa dia, kerana pemimpin itu memimpin melebihi jangkaan iaitu maknanya pimpinan itu akan menghasilkan apa yang dijanjikannya.

” Lebih 80 peratus mereka menilai kepimpinan itu kalau pemimpin itu boleh dipercayai,apabila pemimpin itu dipercayai maka dia tidak lagi perlu menjerit untuk memberikan arahan ke sana dan ke sini agar pekerja bawahannya melaksanakan kerja , ” katanya.

Abdul Khalid juga mengingatkan penjawat awam juga terus melaksanakan dan menghayati konsep amanah dalam menjalankan tugas.

” Saya ingin membawa negeri Selangor menjadi satu negeri yang mempunyai kredibiliti,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Veteriner Selangor, Dr Abdul Latif Borhan dalam ucapannya berkata Jabatan Perkhidmatan Veteriner telah membangunkan sembilan tapak projek ternakan yang baru berkeluasan enam puluh hektar di Hulu Selangor bagi program translokasi penternak.

“Pertembungan antara kawasan penempatan manusia dan kawasan penternakan telah menyebabkan isu alam sekitar dan kacau ganggu semakin hangat diperdebatkan pada masa ini.

Notis penutupan ladang ternakan telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan kerana lokasi ladang ternakan berkaitan tidak lagi sesuai dengan pembangunan kawasan sekitarnya,” katanya.

Menurut beliau lagi, berlaku operasi penutupan ladang telah dikuatkuasakan melibatkan sembilan buah ladang lembu tenusu dan dijangkakan banyak lagi operasi seumpamanya akan digerakkan.

“Jabatan Perkhidmatan Veteriner akur dengan keputusan kerajaan ini, malah akan terus membantu pihak berkuasa tempatan yang berkaitan memindahkan ternakan yang terlibat ke tempat lain.

“Namun selaku penjana dan pemelihara industri haiwan tempatan,jabatan ini juga prihatin dengan masalah yang dihadapi penternak yang terlibat,” kata beliau.

Kira-kira lebih 400 penjawat awam dari Jabatan Perkhidmatan Veteriner Selangor hadir dalam majlis perhimpunan bulanan itu.