Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Putrajaya wajar contohi Selangor buat saringan Covid-19 percuma

SHAH ALAM, 11 OKT: Kerajaan Persekutuan wajar mencontohi inisiatif saringan Covid-19 secara percuma yang dilaksanakan Kerajaan Selangor bagi menjejak jangkitan pada peringkat awal.

EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata saranan itu susulan jangkitan virus ketika ini pada tahap membimbangkan dengan kes harian mencecah lebih 600 individu.

“Kedah dan Sabah mencatatkan kes harian yang sangat kritikal iaitu pada kadar tiga angka berbanding negeri lain. Perkara ini perlu dipandang secara serius.

“Sudah tiba masanya program saringan Covid-19 secara besar-besaran dilaksanakan oleh pihak kerajaan,” tulisnya di Facebook.

Rodziah berkata meskipun saringan dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 sejak 27 September, namun ia tidak meliputi sejarah perjalanan individu yang tiba lebih awal dari tarikh tersebut.

Beliau berkata situasi itu membimbangkan berikutan berlaku pengesanan kes daripada mereka tidak bergejala disusuli penambahan kluster terbaharu ketika ini.

“Ia menggambarkan bahawa jangkitan Covid-19 berada pada kadar amat serius dan perlu ditangani secara efektif,” kata Ahli Dewan Negeri Batu Tiga.

Kerajaan Negeri melakukan saringan bersasar secara percuma kepada rakyat Selangor di 16 klinik Selcare bermula 4 Oktober lalu.

Setakat semalam, seramai 732 individu yang pulang dari Sabah antara 20 hingga 26 September menjalani saringan dengan lima daripadanya dikesan positif Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Rombak portfolio EXCO: Budayakan inovasi, urus bencana

SHAH ALAM, 7 OKT: Portfolio ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dirombak susulan pelantikan dua EXCO baharu Borhan Aman Shah dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada 17 September lalu.

Lima portfolio baharu turut diwujudkan sejajar dengan keperluan semasa iaitu pembudayaan inovasi & Smart Selangor, pengurusan bencana, pemberdayaan pekerja, perpaduan dan industri halal.

Rombakan itu yang berkuat kuasa serta-merta pada 7 Oktober diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Besarlah harapan saya agar penstrukturan ini dapat memanfaatkan seluruh warga negeri Selangor melalui khidmat bakti terbaik ke arah merealisasikan agenda Selangor Maju Bersama,” katanya.

Amirudin memegang portfolio tambahan, pembudayaan inovasi dan Smart Selangor serta pengurusan bencana.

Dua lagi portfolio dijenamakan semula iaitu Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar yang sebelumnya dikenali Perumahan & Kehidupan Bandar dan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam (dahulu Kesihatan).

Borhan dilantik pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan, manakala Mohd Zawawi mengetuai Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal.

Rombakan kecil portfolio turut dibuat melibatkan tiga EXCO iaitu Rodziah Ismail yang dilantik pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan.

Hee Loy Sian pula mempengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal, manakala V Ganabatirau menerajui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosioekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja.

Dr Siti Mariah Mahmud kekal dengan portfolio termasuk nama baharu kesihatan awam. Kedudukan dan nama portfolio empat EXCO lain tidak berubah.

Borhan dan Mohd Zawawi menggantikan Datuk Abdul Rashid Asari dan Haniza Mohamed Talha yang tidak lagi mewakili parti Kerajaan Negeri susulan perubahan politik nasional awal tahun ini.

Abdul Rashid sebelum ini memegang jawatan EXCO kebudayaan, pelancongan, peradaban Melayu dan warisan. Manakala Haniza memimpin portfolio perumahan dan kehidupan bandar.

 

 

 

Categories
EXCO SELANGOR

Pembukaan Persiaran Shorea legakan penduduk, jimat masa

SHAH ALAM, 29 SEPT: Pembukaan Persiaran Shorea melegakan penduduk terutama di Saujana Utama yang menanti lebih 10 tahun.

Timbalan pengerusi Majlis Permuafakatan Penduduk Zon 8 berkata dengan pembukaan jalan ini penduduk dapat menjimatkan masa perjalanan selain dapat menyuraikan aliran trafik terutama di waktu puncak.

“Alhandulillah akhirnya Persiaran Shorea ini dapat digunakan penduduk setempat. Kita faham berlaku sedikit kelewatan kerana masalah haiwan berkeliaran sebelum ini tetapi kini penduduk boleh menggunakannya,” kata Wan Ismail Hashim ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Persiaran Shorea di sini semalam.

EXCO Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim sebelum itu berkata walaupun jalan sepanjang 4.4 kilometer (KM) berkenaan siap sepenuhnya tahun lalu dengan kos RM60 juta tetapi terdapat haiwan ternakan yang berkeliaran di kawasan ini.

Bagaimanapun masalah itu berjaya diatasi apabila semua haiwan ternakan akan selesai dipindahkan ke lokasi baharu penghujung November ini.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jawatan EXCO kukuhkan pentadbiran, galas amanah rakyat

KLANG, 17 SEPT: Dua muka baharu EXCO Selangor menyifatkan jawatan yang disandang bukan untuk bermegah sebaliknya diiringi tanggungjawab besar untuk mengukuhkan pentadbiran negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah berjanji akan menggalas amanah diberikan dengan baik bagi memastikan nasib rakyat sentiasa terbela.

“Saya menzahirkan kesyukuran dan ribuan terima kasih kepada tuanku kerana memberi kepercayaan menggalas jawatan dan akan membalas kepercayaan ini dengan berkhidmat sedaya mampu,” katanya.

ADN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN negeri Dato’ Seri Amirudin Shari kerana memberi peluang untuk menyumbang kepada negeri.

“Saya akan gunakan pengalaman dan ilmu yang saya ada untuk mengukuhkan pentadbiran negeri selain memastikan pembangunan negeri seiring dengan pengembangan agama Islam,” katanya.

Borhan dan Mohd Zawawi mengangkat sumpah sebagai EXCO di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Balairung Seri Istana Alam Shah, hari ini.

Pada 5 Mac pentadbiran Kerajaan Negeri tidak lagi dianggotai Bersatu selepas mengambil kira dinamik politik semasa peringkat Persekutuan.

Susulan itu ADN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari tidak lagi memegang jawatan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

Perubahan politik turut menyaksikan jawatan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar kosong susulan pelucutan keahlian Haniza Mohamed Talha dalam KEADILAN dengan syor Lembaga Disiplin ketika mesyuarat bulanan pada 28 Jun.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Rombakan kecil portfolio EXCO minggu depan

KLANG, 17 SEPT: Kerajaan Negeri melakukan rombakan kecil portfolio EXCO yang bakal diumum pada minggu depan susulan pelantikan dua muka baharu hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyusunan barisan EXCO masih diperincikan kerana perlu melakukan perbincangan dengan pihak berkaitan terlebih dahulu.

“Saya ada masa lebih kurang seminggu untuk berbincang dan menyusun bagi mengukuhkan barisan pentadbiran serta dapat menguruskan agenda negeri.

“Selain mengisi dua kekosongan kerusi, perubahan portfolio hanya melibatkan satu atau dua perkara sahaja termasuk portfolio yang saya pegang,” kata Dato’ Menteri Besar ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan EXCO di Balairung Seri Istana Alam Shah.

Beliau turut melahirkan kesyukuran kerana dapat menyelesaikan urusan pelantikan EXCO baharu selepas tertangguh beberapa bulan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 5 Mac, pentadbiran Kerajaan Negeri tidak lagi dianggotai Bersatu selepas mengambil kira dinamik politik semasa peringkat Persekutuan.

Susulan itu Ahli Dewan Negeri Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari tidak lagi memegang jawatan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

Perubahan politik turut menyaksikan jawatan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar kosong susulan pelucutan keahlian Haniza Mohamed Talha dalam KEADILAN.

Pada 10 Julai, Dato’ Menteri Besar mengumumkan memangku portfolio perumahan dan kehidupan bandar.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Borhan, Zawawi angkat sumpah EXCO Selangor

KLANG, 17 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah dan Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengangkat sumpah sebagai EXCO Kerajaan Negeri yang baharu di Balairung Seri Istana Alam Shah, hari ini.

Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan diadakan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Borhan dan Mohd Zawawi kemudian melafazkan Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu mereka patuhi sepanjang memegang jawatan.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan melantik ADUN Sungai Kandis, Zawawi Ahmad Mughni sebagai EXCO sempena Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di Istana Alam Shah, Klang pada 17 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Antara Aku Janji tersebut adalah menyimpan rahsia perbincangan, memelihara serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama bukan Islam, memelihara institusi raja, memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain dan melaksanakan tugas dengan penuh integriti.

Pada 5 Mac, pentadbiran Kerajaan Negeri tidak lagi dianggotai Bersatu selepas mengambil kira dinamik politik semasa peringkat Persekutuan.

Susulan itu ADN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari tidak lagi memegang jawatan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

Perubahan politik turut menyaksikan jawatan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar kosong susulan pelucutan keahlian Haniza Mohamed Talha dalam KEADILAN dengan syor Lembaga Disiplin ketika mesyuarat bulanan pada 28 Jun.

Selain Borhan dan Ahmad Zawawi dari KEADILAN, EXCO lain dari parti tersebut ialah Mohd Khairuddin Othman, Rodziah Ismail dan Hee Loy Sian.

Wakil DAP ialah Dato’ Teng Chang Khim, Ng Sze Han dan V Ganabatirau manakala Dr Siti Mariah Mahmud dan Ir Izham Hashim dari Amanah.

 

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hari Sungai serentak 25 lokasi 26 September, sedarkan masyarakat

KUALA SELANGOR, 31 OGOS: Selangor bakal menyambut Hari Sungai Sedunia di 25 lokasi secara serentak pada 26 September ini, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata sambutan tersebut selaras inisiatif Friends of River (FoR) bagi mengatasi isu pencemaran serta menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan sungai kepada kehidupan seharian.

“Sungai merupakan sumber bekalan air kepada manusia tetapi masih ramai terus melakukan pencemaran tanpa timbul perasaan bimbang sekiranya sungai tidak lagi boleh bekalkan air kepada kita.

“Sempena sambutan tahun ini, FoR akan diwujudkan bagi pemeliharaan dan pemuliharaan melibatkan pemimpin serta komuniti setempat,” katanya selepas merasmikan Pangkalan Jeti Terapung Batu 8, Kampung Asahan semalam.

Beliau berkata semua inisiatif tersebut memerlukan pembabitan semua pihak berkepentingan dan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata.

“Sumber air rakyat Selangor buat masa ini dibekalkan daripada Sungai Selangor dan Sungai Langat tetapi dalam masa sama kualiti air Sungai Klang berjaya ditingkatkan,” katanya.

Mengikut Landasan Lumayan Sdn Bhd yang melaksanakan projek Gerbang Maritim Selangor melibatkan pembersihan, pemulihan dan pembangunan Sungai Klang, jumlah sampah Sungai Klang dikutip setiap hari antara 35 tan (paling banyak) hingga tujuh tan (paling sedikit).

Categories
EXCO SELANGOR

Ceroboh Hutan Simpan Bukit Cerakah: Ternakan disita, tiga lelaki ditahan

SHAH ALAM, 13 OGOS: Sebanyak 27 lembu dan 59 kambing yang diternak secara haram di Hutan Simpan Bukit Cherakah disita semalam.

EXCO Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata dalam operasi bersepadu beberapa agensi kerajaan itu tiga individu dipercayai penceroboh kawasan larangan berkenaan turut ditahan.

“Penceroboh mendirikan dua kandang serta sebuah pondok dan menjalankan aktiviti menternak lembu, kambing, itik, angsa dan ayam.

Sebanyak 27 lembu dan 59 kambing yang diternak secara haram di Hutan Simpan Bukit Cherakah disita pada 12 Ogos 2020. Foto: Pejabat EXCO Alam Sekitar

“Akibat kegagalan mereka mematuhi notis dikeluarkan Februari lalu, kandang dan pondok dirobohkan. Ini menunjukkan Kerajaan Selangor serius menangani isu penerokaan hutan simpan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata lima motosikal, sebiji lori dan dua unit pam air yang ada di lokasi turut disita.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 32 (1) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985. Sabit kesalahan individu berkenaan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

PBT mula pantau taman permainan, rekreasi, kuat kuasa larangan – EXCO

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah memulakan pemantauan di taman permainan dan rekreasi negeri ini susulan pelaksanaan larangan merokok, rokok elektronik (vape) dan minum arak, pada 14 Julai lalu.

EXCO kerajaan tempatan,berkata hasil pemeriksaan sehingga kini, masih tiada orang awam yang dikenakan tindakan atas kesalahan terbabit.

“Saya gembira dengan perkembangan ini dan berharap supaya keadaan berkenaan akan berterusan dan marilah kita sama-sama menyayangi dan menjaga taman permainan sebagai tempat riadah,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

Pada 14 Julai lalu, Selangor mengumumkan untuk mengharamkan aktiviti merokok termasuk rokok elektronik dan minum arak di taman awam di seluruh negeri.

Larangan baharu yang disenaraikan sebagai kesalahan Undang-Undang Kecil Taman 2005 itu membolehkan orang awam dikenakan kompaun sehingga RM1,000 sekiranya ingkar.

Categories
AGENSI SELANGOR

MB tunggu mengadap Sultan Selangor persembah nama calon EXCO

SHAH ALAM, 21 JULAI: Dato’ Menteri Besar masih menunggu tarikh bagi mengadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk mempersembahkan nama calon EXCO.

“Saya sedang menunggu untuk mengadap Tuanku,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ringkas pada sidang media selepas merasmikan program RiDE di Foyer Bangunan SUK hari ini.

Setakat ini, tiga jawatan EXCO kosong selepas berlaku perubahan kepimpinan dalam Pakatan Harapan dan meninggal dunia.

Jawatankuasa tetap pendidikan kosong selepas penyandangnya Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos 2018 dan tanggungjawab itu diambil alih oleh Amirudin.

Dua lagi kekosongan membabitkan jawatankuasa tetap kebudayaan dan pelancongan, peradaban melayu dan warisan serta jawatankuasa tetap perumahan dan kehidupan bandar.

Categories
EXCO SELANGOR

Kontraktor kecil dilatih jadi lebih profesional, berdaya maju

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerajaan Selangor sedia melatih kontraktor kecil di negeri ini bagi membolehkan golongan berkenaan lebih profesional dan berdaya maju.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata langkah itu bagi memastikan mereka mampu bersaing sehingga ke peringkat lebih tinggi.

“Latihan perlu diberi kerana ada kontraktor tertentu tidak mempunyai peralatan yang betul ketika mengendalikan projek tertentu.

“Malah ada diantara mereka yang masih berada di takuk lama serta tidak ada peningkatan kualiti, oleh itu Kerajaan Negeri mahu supaya golongan ini dilatih supaya mempunyai daya saing bukan saja dalam negeri tetapi juga di peringkat global,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Cabut Undi Online Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Daerah Petaling, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabaran Pengairan dan Saliran JPS Selangor, Datuk Ir Gapar Asan dan Pegawai Daerah Petaling, Johary Anuar.

Majlis cabut undi tender secara dalam talian itu kali pertama dilaksanakan JPS di negeri ini dan menerima pendaftaran 1,467 kontraktor.

Ia melibatkan 228 tender projek dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.5 juta.

Pendaftaran dibuka pada 5 Jun dan ditutup pada 10 Jun lalu, sementara tarikh cabut undi dijalankan hari ini dan paparan keputusan undi pada hari esok.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

MPKK guna aplikasi ‘Kita Kan Sekampung’, pertama di Malaysia

PETALING JAYA, 1 JUN: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bakal menggunakan aplikasi khas untuk memudahkan masyarakat membuat aduan dan memberi maklum balas, kata EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.

Rodziah Ismail berkata aplikasi ‘Kita Kan Sekampung’ sedang dibangunkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan setakat ini dalam peringkat akhir percubaan sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

“Aplikasi ini adalah pertama di Malaysia dan kita jangkakan dapat digunakan dalam tempoh terdekat disemua kampung tradisi di Selangor sekaligus meningkatkan keberkesanan komunikasi dua hala.

“Jadi ketua kampung ada aplikasi khas untuk berurusan dengan komuniti, orang kampung dan kepemimpinan peringkat atasan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan khas kewangan RM300 kepada setiausaha dan AJK Biro MPKK daerah Petaling.

Seramai 228 penerima dari 19 kampung tradisi di Petaling menerima manfaat tersebut melibatkan peruntukan RM68,400.

Pada 15 Mei lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan khas kewangan RM300 sekali bayar kepada setiausaha dan AJK Biro MPPK di 371 kampung tradisi membabitkan implikasi kewangan RM1.335 juta.

Mengulas lanjut Rodziah berkata penggunaan aplikasi pintar di peringkat MPPK seiring dengan inisiatif pelaksanaan Negeri Pintar terulung di peringkat serantau.