Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelajar Cemerlang SPM DUN Sementa terima hadiah istimewa

Dr Daroyah Alwi pelajar cemerlang

SHAH ALAM 22 OKT : Pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa bakal menerima hadiah istimewa.

ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi, berkata ganjaran yang dijanjikan itu sebagai peransang kepada calon SPM untuk berusaha dan fokus dalam menghadapi peperiksaan yang akan berlangsung, pada November ini.

Katanya, ganjaran itu akan diberikan kepada pelajar seluruh DUN berkenaan yang berjaya mendapatk keputusan A untuk semua mata pelajaran.

“Sesiapa pelajar SPM dari DUN Sementa tidak kira bangsa Melayu, India atau Cina yang berjaya mendapatkan keputusan A untuk semua mata pelajaran, perlu berjumpa saya untuk mendapatkan hadiah istimewa yang dijanjikan itu.

“Selepas keputusan SPM dikeluarkan nanti, mereka boleh terus pergi ke Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Sementa untuk memberi butiran terbabit dan kejayaan mereka akan diraikan.

“Sebagai ADUN, kejayaan yang mereka kecapi adalah kebahagiaan saya dan dorongan ini diharap bakal memotivasikan mereka serta membakar keazaman yang tinggi untuk terus berusaha demi mencapai apa dicita-citakan,? katanya dalam ucapan penutup bagi program Seminar Fastrack SPM 2013 di Dewan Kuliah, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), baru-baru ini.

Seminar satu hari anjuran Biro pendidikan dan PKM DUN Sementa itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan dan berjaya mengumpulkan kira-kira 120 calon SPM dari seluruh sekolah kawasan berkenaan di bawah Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Daroyah yang juga Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata inisiatif kerajaan negeri meluluskan peruntukan bagi melaksanakan PTRS terbabit dilihat sangat relaven dan bijak.

“Bukan semua keluarga mampu menghantar anak mereka mendapatkan kelas tuisyen. Dengan adanya PTRS, kita dapat membantu mengurangkan beban mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pendidikan generasi muda pelapis negara adalah keutamaan kepada kerajaan negeri demi melahirkan modal insan cemerlang yang akan menyambung legasi kejayaan di Selangor,? katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan tubuh jawatankuasa kaji belanjawan 2014

MP

PETALING JAYA, 22 OGOS: Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kajian sebelum satu belanjawan bayangan dibentangkan sebelum Belanjawan 2014 dibentangkan.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mendapatkan satu formula terbaik untuk dimasukkan dalam belanjawan bayangan Pakatan Rakyat sekaligus mencabar Belanjawan 2014 yang dijangka akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 25 Oktober nanti.

Jawatankuasa yang dikordinasikan institut rakyat itu dibahagikan kepada sembilan kumpulan yang diketuai Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berdasarkan kementerian tertentu dan bidang kepakaran masing-masing.

Sembilan kumpulan tersebut, kajian isu nasional dan antarbangsa; ekonomi dan kewangan; keselamatan; pendidikan dan pekerjaan; pertanian, perladangan dan pembangunan luar bandar; pengangkutan dan pembangunan bandar; pengurusan sumber dan kelestarian; masyarakat, kebajikan dan gender serta polisi berkaitan Sabah dan Sarawak.

“Parti-parti dalam Pakatan Rakyat akan memberikan pandangan mereka dalam isu tertentu di kementerian tertentu,” kata Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming di sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat hari ini.

Penubuhan jawatankuasa kajian itu juga bagi memberi penekanan terhadap keberkesanan sesuatu projek kerajaan kepada rakyat terbanyak.

“Kita akan cuba jadikan bajet bukan sahaja efisyen habiskan bajet sahaja tetapi mesti efisyen mencapai objektif memberi manfaat secara maksima kepada rakyat.

“Kos yang begitu tinggi tidak mencapai matlamat sebenar tidak wajar diteruskan, juga dengan projek rundingan terus tanpa tender terbuka kerana banyak projek yang diberi secara terus mengalami kegagalan dan rakyat terpaksa menanggung kos dua, tiga kali ganda,” kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Kamarul Bahrin Shah dalam sidang media sama.

Selain Dr Kian Ming dan Kamarul Bahrin, Ahli Parlimen lain yang turut memainkan peranan masing-masing dalam jawatankuasa itu nanti, Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), G. Manivanan (Kapar), Datuk Idris Jauzi (Batu Pahat), Julian Tan Kok Ping (Stampin, Sarawak) dan Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju). 12

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat lain juga akan turut menyumbang idea masing-masing bagi melahirkan satu belanjawan alternatif sekaligus mencabar Belanjawan 2014 Barisan Nasional.

Turut hadir dalam sidang media itu, pakar ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajudin yang mewakili Institut Rakyat.

Setiap tahun sebelum belanjawan tahunan diumumkan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan Pakatan Rakyat.

Pembentangan Belanjawan Pakatan Rakyat itu, turut menarik minat Najib yang juga Menteri Kewangan untuk menciplak samada idea dari Belanjawan Pakatan Rakyat, polisi yang diperkenalkan dalam manifesto Pakatan Rakyat mahupun Belanjawan Negeri Selangor.

Antaranya, penurunan harga kereta, skim pemeriksaan mamogram percuma, rumah mampu milik, skim tuisyen yang terlebih dahulu diperkenalkan Kerajaan Selangor dan lain-lain. -MZA