Categories
NASIONAL

Arahan berbentuk ugutan, Ku Nan perlu minta maaf pada gelandangan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 JULAI: Pelbagai reaksi ditunjukkan pengguna laman sosial Facebook selepas kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas golongan gelandangan, baru-baru ini.

Ada pengguna laman terbabit mahu Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memohon maaf berhubung kenyataan yang disifatkan mereka sebagai ‘arahan’ dalam bentuk ugutan dalam isu gelandangan itu.

Mereka berpendapat arahan yang berbentuk ugutan itu menimbulkan kemarahan dan pelbagai respon daripada lapisan masyarakat.

gelandanganFadzlullah Abdullah, berkata seharusnya Najib meminta Ku Nan memohon maaf kepada rakyat Malaysia terhadap kelantangan beliau.

“PM kena juga minta menteri itu minta maaf kerana mengeluarkan arahan dalam bentuk ugutan sehingga menimbulkan kemarahan dan respon negatif dan beliau sendiri kena buat ‘damage control’,” katanya.

Selain itu, Azhar Ameir mahukerajaan tidak terus menyalahkan rakyat apabila golongan berkemampuan bertindak membantu kumpulan gelandangan itu.

Katanya, tindakan yang mereka lakukan itu ekoran pengambilalihan tanggungjawab daripada kerajaan yang tidak prihatin isu terbabit.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Rakyat hendak tengok perubahan dan ia hanya boleh datang daripada mereka yang berada di tampuk kuasa. PM perlu selamatkan keadaan, jangan pedulikan kata pembodek (Ku Nan). Rakyat mesti didahulukan, bukan Ku Nan,” katanya.

Manakala, bagi Thiago pula, kunjungan Najib itu menunjukkan drama Umno bermula.

pc 1“Baru sekarang sedar? Selama ni tak terfikir ke? Ni la akibat harga barang naik dan harga rumah makin naik,” kata Alexander James.

Kunjungan Najib itu dibuat sehari selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membuat tinjauan sama ke atas satu operasi dapur umum di negeri itu.

Lim menitiskan air mata kerana sedih melihat keadaan golongan terbabit dalam kunjungan yang mendapat liputan meluas itu.

Najib turun dalam lawatan mengejut itu selepas timbul bantahan ke atas keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menghalang operasi dapur umum, yang memberi makanan percuma kepada golongan miskin, daripada terus beroperasi di pusat bandar.

Langkah Najib itu kebetulan dibuat selepas teguran tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin yang menggesa menteri mencontohi sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering turun padang sepanjang menjadi perdana menteri.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng menyifatkan Najib hanya cuba meraih publisiti dengan melakukan tinjauan ke atas kumpulan gelandangan di Kuala Lumpur tanpa memberi sebarang kebaikan kepada golongan itu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

SAMM bantu miskin kota, edar makanan & 2 trak pakaian

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) meneruskan usaha mendekati golongan miskin kota tidak berumah dalam program Singgah Sahur Bersama Gelendangan Kota awal pagi tadi.

Program memasuki tahun ke lima itu melibatkan pengedaran 700 pek mengandungi nasi berlauk, roti krim, kurma, air kotak, air mineral, selipar, selimut, sabun mandi, berus gigi dan ubat gigi serta sejumlah dua trak pacuan empat roda pakaian sumbangan orang ramai.

gelandanganPenyelaras SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, program ini diadakan bagi membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap golongan tercicir dan tertindas dalam kemajuan ekonomi negara.

“Pada tahun pertama tidak sampai 10 orang dengan sumbangan yang sangat terhad.

“Ketika itu matlamat kami ingin menyedarkan dengan menarik perhatian masyarakat khususnya anak muda betapa dalam kerakusan ekonomi kapitalisme ada kelompok yang tercicir dan tertindas.

“Kami juga ingin mendesak agar penguasa memberikan perhatian khusus terhadap isu ini dengan memberi mesej mengenai hak semua untuk akses kepada makanan,” kata beliau kepada Selangor Kini sebaik selesai program dijalankan di sekitar ibu kota Kuala Lumpur malam tadi.

badrul sharinKata Badrul Hisham lagi, terdapat peningkatan kesedaran masyarakat yang ketara tahun ini apabila kumpulan beliau tersempak dengan pelbagai kumpulan lain yang menjalankan aktiviti sama.

“Pada tahun ke lima ini menjadi realiti apabila kami bertembung dengan banyak kumpulan melakukan perkara sama termasuk kumpulan Umno yang sebelum ini tidak mempedulikan isu ini,” kata beliau lagi.

Badrul Hisham menggesa agar program seumpama ini dapat diteruskan dan tidak hanya bermusim.

Program yang bermula jam 12.00 tengah malam dan berakhir pada jam 2.30 pagi itu berjaya menarik kira-kira 100 penyertaan aktivis SAMM dan sukarelawan yang terdiri daripada rakan-rakan laman sosial facebook SAMM.

Kumpulan itu dipecahkan kepada lapan kumpulan dan berjalan kaki di selurh

Sukarelawan terlibat juga sempat bersama-sama bersahur dengan nasi lemak bungkus dan minuman air mineral di Dataran Merdeka selepas selesai program.

Sepanjang Ramadhan kali ini SAMM menjalankan lebih 60 program bantuan dalam pelbagai bentuk seperti bergotong royong membersihkan rumah warga emas miskin.

SAMM juga menguruskan lebih RM10,000 wang zakat dan sumbangan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan yang tercicir dari senarai penerima bantuan kebajikan.

EZY

Categories
NASIONAL

Siswazah UIAM pengasas dapur jalanan terima Anugerah Kemanusiaan Muhammad Ali

SHAH ALAM 12 JULAI: Pengasas dapur jalanan yang menubuhkan Projek Nasi Lemak, Mastura Mohd Rashid menerima Anugerah Kemanusiaan Muhammad Ali dari Kedutaan Amerika Syarikat atas usaha memberi makan dan membantu golongan kurang bernasib baik.

Siswazah berusia 24 tahun dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menubuhkan Projek Nasi Lemak, dapur jalanan ​​yang mengedarkan makanan kepada golongan gelandangan di Brickfields, Ampang dan kawasan Chow Kit pada hari Jumaat.

MASTURA_RASHID_Beliau menerima pembiayaan bagi projek itu selepas memenangi geran bernilai RM10,000 daripada Kedutaan Amerika Syarikat

“Saya tidak pernah tahu tentang anugerah ini sehinggalah pencalonan saya pada bulan April tahun ini,” kata Mastura dipetik The Malaysian Insider.

Beliau menambah di samping gembira, beliau juga tidak pernah menjangkakan akan memenangi anugerah itu.

“Saya rasa ia kerana Projek Nasi Lemak yang tidak terikat dengan mana-mana pihak dan inisiatif yang dilakukan oleh golongan belia,” tambah Mastura.

Projek Nasi Lemak ditubuhkan pada 2012 oleh Mastura, dengan sukarelawan yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar UIAM.

EZY

Categories
NASIONAL

Lawat gelandangan, Najib cari publisiti selamat imej buruk BN

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat gelandangan di ibu kota, malam kelmarin sekadar ingin mencari publisiti bagi menyelamatkan imej Barisan Nasional (BN) yang dirosakkan menteri kabinetnya.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata lawatan pemimpin tertinggi negara sambil melihat kegiatan dapur jalanan dan agihan makanan kepada gelandangan disifatkan agak terlewat, bahkan tidak memberi sebarang faedah kepada golongan itu.

Beliau berkata, nasib warga miskin kota tidak berubah walaupun Perdana Menteri sendiri turun padang melawat golongan berkenaan.

najib“Saya hairan melihat Perdana Menteri sekadar datang melawat gelandangan di kaki lima dan kemudian membiarkan sahaja mereka di situ tanpa berbuat apa-apa. Bagaimana mungkin warga miskin terus dibiar tidur di kaki lima selepas lawatan Perdana Menteri?

“Ini jelas menunjukkan bahawa beliau tidak pernah berbuat apa-apa sejak lima tahun lalu dan beliau sendiri tidak tahu apa yang patut dilakukan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Lip Eng berkata, beliau dan beberapa orang rakan sebelum ini pernah mengedarkan sejumlah makanan kering kepada gelandangan di Kuala Lumpur bagi menolak dakwaan Najib bahawa kononnya ibu kota sudah tidak lagi mempunyai warga miskin tegar.

Katanya, Perdana Menteri dan partinya tidak banyak membantu untuk meringankan beban yang ditanggung insan tidak bernasib baik, sebaliknya hanya pandai membuat pengumuman dan janji kosong.

“Adakah selepas lawatan ini Najib akan merangka penyelesaian terbaik bagi menangani permasalahan gelandangan dan warga miskin kota atau adakah cadangan ‘mengangkut’ peminta sedekah serta mengenakan saman terhadap mereka yang memberi sedekah adalah rancangan terbaik yang mampu beliau fikirkan?

limlipeng“Lawatan Perdana Menteri sama tarafnya dengan satu-satunya gol yang dijaringkan Brazil dalam perlawan separuh akhir Piala Dunia menentang Jerman selepas dimalukan dengan tujuh gol,” katanya.

Kelmarin, Najib dilaporkan tiba pada jam 10.40 malam dan meluangkan masa kira-kira sejam melihat aktiviti pengagihan makanan dan minuman oleh sukarelawan dan berjalan di sekitar Bangunan Cahaya Suria di ibu negara.

Najib, yang ditemani Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bertegur sapa dengan gelandangan yang tidur di tepi jalan.

Isu gelandangan di ibu kota menjadi topik hangat selepas Tengku Adnan berikrar membersihkan Kuala Lumpur daripada pengemis dan golongan tidak berumah, terutama dalam lingkungan 2 kilometer daripada Lot 10 di Bukit Bintang.

Untuk tujuan itu, pemberi sedekah dan sukarelawan dapur umum juga akan disaman jika terus membantu golongan itu.

Tengku Adnan membenarkan aktiviti dapur jalanan beroperasi sehingga 16 Ogos ini, iaitu selepas sambutan Aidilfitri.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kementerian gagal faham isu gelandangan, hanya jaga imej bandar

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 9 JULAI: Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) kesal dengan persoalan yang dibangkitkan pegawai keselamatan yang mempertikaikan tindakan memberi makanan percuma kepada warga miskin kota dan tindakan golongan terbabit kembali ke tempat asal selepas ditahan.

Pegawai Program EMPOWER, Wong Kar Fai, berkata hal itu berlaku kerana golongan terbabit tidak mempunyai rumah untuk tinggal dan tiada hak kebajikan.

Katanya, perkara itu dibangkitkan pada mesyuarat bersama agensi kerajaan berkenaan permasalahan warga miskin kota tanpa rumah yang berlangsung, semalam.

gelandangan“Kami kecewa dengan seorang anggota mewakili polis yang mempersoalkan sampai bila tindakan memberikan makanan secara percuma akan dilaksanakan. Ada yang tanya, kenapa suka makan percuma.

“Bila ditangkap dan dilepaskan, mereka kembali ke tempat asal mereka, kenapa? Saya tidak menjawab di sana, sebaliknya nak jawab di sini.

“Jawapannya, kepada dia balik ke situ sebab tidak ada rumah. Di mana kebajikan sosial dia sehingga polis yang menjalankan operasi setiap hari boleh tanya soalan bodoh begitu,” katanya.

Turut dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan adalah kerajaan harus turun padang dan berunding bersama dengan warga miskin kota tanpa rumah dan menghentikan semua operasi berkenaan golongan terbabit.

20140706_010436Katanya, tanggapan stereotaip agensi kerajaan seperti kotor dan bimbang berkenaan keselamatan yang sering digunakan selama ini perlu dibuang demi memastikan kumpulan tanpa rumah itu mendapat pembelaan serta diberikan bantuan.

Selepas rundingan itu, beliau berpandangan, kementerian sebenarnya gagal memahami isu sebenar dan cuma melihat daripada segi imej kebersihan bandar sahaja.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Ramai gelandangan tidak miliki KP, sukar mencari kerja

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Tidak memiliki kad pengenalan merupakan masalah paling besar yang dihadapi kebanyakan warga miskin tegar kota tidak berumah di Kuala Lumpur sehingga menyukarkan mereka mendapat pekerjaan lebih baik.

Salah seorang golongan miskin tegar kota yang cuma mahu dikenali dengan panggilan Abang Din berkata, hal ini berlaku, ramai antara mereka terpaksa melarikan diri dengan tergesa-gesa daripada ditangkap hingga menyebabkan beg pakaian yang mengandungi Mykad dan barangan penting lain tertinggal dalam keadaan kelam kabut.

20140706_005401“Bila penguatkuasa menjumpai beg kami, mereka akan selongkar dan buang barang-barang kami merata-rata macam sampah termasuk kad pengenalan kami,” kata Abang Din ketika ditemui Selangor Kini berhampiran Bangkok Bank, di sini.

Jelas Abang Din yang juga mengalami nasib sama, ramai yang kehilangan Mykad tidak memohon Mykad baru kerana tidak mampu membayar denda yang tinggi yang dikenakan Jabatan Pendaftaran Masyarakat (JPN).

Jurucakap bagi sekumpulan sukarelawan Dapur Jalanan yang menjalankan aktiviti mengagihkan makanan kepada golongan miskin tegar kota, Wong Kar Fai turut mengesahkan diberitahu perkara sama dari ramai warga miskin tegar kota yang menjadikan kaki lima Bandaraya Kuala Lumpur tempat tidur mereka.

“Ini bukan perkara baru, dah ramai beritahu perkara sama. Ada beg diletakkan berhampiran ada juga yang menyorokkan beg sebelum tidur tetapi anggota penguatkuasa menjumpai beg pakaian mereka dan kemudiannya diselongkar, disepak dan dibuang macam sampah.

“Ini menyebabkan mereka sukar mendapatkan pekerjaan lebih baik sebab tiada MyKad. Kalau ada majikan yang terima pun cuma berniat untuk memanipulasi tenaga mereka dengan memberikan upah sangat rendah dengan alasan tidak mempunyai MyKad,” kata beliau kepada Selangor Kini.

Kata beliau lagi, lebih memburukkan keadaan apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenakan denda yang tinggi daripada RM100 bagi individu kali pertama kehilangan Mykad dan meningkat sehingga RM500 bergantung kepada jumlah kehilangan menyebabkan golongan itu tidak mampu membayarnya.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Tak perlu sekat bantuan gelandangan, atur cara lebih baik

Oleh: AFEEQA AFEERA

CHERAS, 6 JUL: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menghalang badan bukan kerajaan (NGO) daripada memberi makanan percuma kepada gelandangan di ibu kota.

Katanya, bantuan kepada golongan berkenaan tidak seharusnya disekat, sebaliknya kerajaan perlu mengaturkan cara terbaik supaya pemberian itu dapat disalurkan secara tertib dan betul.

“Saya rasa ada baiknya bulan Ramadan ini kita mencari jalan untuk menolong orang yang memerlukan. Kita tidak boleh menghalau orang miskin yang memerlukan pertolongan kerana itu adalah tanggungjawab kita semua, tanggungjawab negeri dan negara.

gelandangan“Kita mesti mencari jalan supaya menyusun pemberian ini secara teratur,” katanya kepada Selangor Kini selepas mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai di Tesco Extra, dekat sini.

Abdul Khalid berkata, beliau menyokong penuh usaha pemberian makanan kepada orang yang memerlukan bagi tujuan mengurangkan bebanan serta kesusahan yang dialami dalam kehidupan seharian mereka.

Pada masa sama, beliau berkata, cadangan Kerajaan Pusat untuk membina rumah perlindungan “one stop centre” bagi menangani masalah kemiskinan dan gelandangan boleh dilaksanakan namun mengakui ia bukan mudah untuk dilakukan.

“Bukan senang nak buat (one stop centre). Nak edar bubur lambuk pun bukan kerja senang, kena ambil masa. Ia boleh dilakukan tetapi caranya mesti betul,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Tengku Adnan sebelum ini didakwa memberi arahan supaya menghalang NGO yang memberi makanan percuma kepada golongan miskin beroperasi dalam lingkungan dua kilometer daripada pusat membeli-belah Lot 10, Bukit Bintang.

Beliau berkata, kawasan berkenaan dikira sebagai tempat tumpuan pelancong yang dibimbangi akan menjadi kotor dengan kehadiran orang miskin dan gelandangan.
anak-gelandangan-3Beliau juga mengumumkan bahawa kerajaan akan mengenakan denda ke atas golongan pemberi sedekah dan menangkap pengemis bagi membasmi kegiatan seperti itu.

Kenyataannya itu menerima pelbagai kritikan daripada aktivis NGO dan juga pemimpin politik sehingga beliau terpaksa mengeluarkan satu lagi kenyataan dalam nada lebih lunak.

Katanya, kementeriannya akan berbincang dengan 12 NGO yang telah dikenalpasti aktif memberi makanan kepada golongan gelandangan bagi bagi menetapkan lokasi yang bersesuaian supaya pengagihan makanan dan bantuan lain dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Sentimen awam cetusan Ku Nan, tingkat penyertaan sukarelawan Dapur Jalanan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 6 JUL: Sukarelawan yang terbabit dalam aktiviti mengedarkan makanan percuma kepada golongan miskin tegar bandar bertambah secara mendadak sejak tercetus isu penguatkuasaan mendenda orang ramai yang memberi makanan kepada keumpulan terbabit.

Hal itu dapat dilihat apabila akitiviti memberi makanan percuma yang dijalankan kumpulan amal Dapur Jalanan berjaya menarik kira-kira 250 sukarelawan, malam tadi iaitu paling ramai setakat ini.

Kumpulan 250 sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang itu dipecahkan kepada beberapa kumpulan mengikut kawasan yang ditetapkan.

20140706_005401Salah satu daripada kumpulan terbabit beroperasi bermula dari Jalan Panggung dan bergerak ke Pasar Seni, Jalan Medan Pasar, Lebuh Ampang dan kawasan sekitarnya.

Ahli Dapur Jalanan yang juga jurucakap bagi sub kumpulan itu, Wong Kar Fai, berkata pertambahan sukarelawan itu isyarat jelas bahawa Dapur Jalanan tidak akan tunduk kepada arahan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mahu bandaraya Kuala Lumpur bebas golongan miskin tegar bandar.

“Pada malam ini, sukarelawan semakin ramai kerana sentimen masyarakat awam terhadap isu miskin tegar bandar dan ini suatu pencapaian yang bagus, bukan untuk Dapur Jalanan tetapi untuk masyarakat awam sendiri.

“Kita lihat kenyataan Tengku Adnan itu tak masuk akal dan kami perlu buat sesuatu sebab makanan, kaunseling dan kesihatan adalah hak semua,” kata Kar Fai ketika ditemui Selangor Kini di sini, malam tadi.

Katanya, Tengku Adnan sewajarnya menjalankan kajian terhadap masalah yang dihadapi golongan terbabit bagi mendapatkan penyelesaian total, bukan menyembunyikan masalah ini daripada mata umum.

“Bila Tengku Adnan kata ini untuk membersihkan ‘bandar dia’ dari kekotoran yang dikaitkan dengan warga miskin tegar kota, jelas membuktikan dia tak melihat punca akar masalah sebenar iaitu struktur sosio ekonomi.

“Dia cuma mahu sorokkan masalah ini dengan menangkap dan mengurung dengan operasi tangkapan supaya tiada warga miskin kota kelihatan dan adakah ini berkait rapat dengan Tahun Melawat Malaysia?” katanya.

20140706_010436Kar Fai berkata, kepercayaan sesetengah masyarakat bahawa golongan miskin tegar kota tidak mempunyai pekerjaan hanya mitos kerana hal itu berlaku sebaliknya.

Bagaimanapun, tenaga golongan terbabit sering dimanipulasi majikan masing-masing dengan dibayar upah yang rendah antara RM10 hingga ke RM20 sehari.

Pendapatan yang diperoleh golongan terbabit hanya mampu menampung keperluan membeli makanan sahaja sehingga memaksa mereka mengambil keputusan untuk tinggal di jalanan sahaja.

“Sepatutnya ini tanggungjawab kerajaan tetapi mereka tak buat dan bila orang lain nak buat mereka halang pula,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Gelandangan: “Kami menjijikan kamu? Terimalah balasan Allah nanti”

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Golongan gelandangan di Kuala Lumpur menyifatkan langkah Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar yang mahu mengenakan denda kepada pihak yang menghulurkan sumbangan kepada golongan itu dan penerima sumbangan adalah tindakan tidak berperikemanusiaan.

Salah seorang gelandangan yang ditemui Selangor Kini di Jalan Tunku Abd Rahman, di sini ,yang cuma mahu dikenali sebagai Pak Long, 68, percaya tindakan itu diambil berikutan menteri di kementerian terbabit, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansorm menganggap golongan yang menjadikan kaki lima Bandaraya Kuala Lumpur itu sebagai menjijikkan.

photo 2-756717“Mungkin dia rasa orang seperti kami menjijikkan, sedangkan kami tidak mencuri, tidak buat maksiat, bahkan ramai di antara kami yang bekerja. Pak Long sendiri bekerja jaga parkir dan tak paksa orang mahu bayar atau tidak. Kalau tak bayar pun Pak Long tetap redha dan senyum pada orang itu.

“Orang kaya seperti dia jangan angkuh. Balasan bukan di akhirat sahaja. Kita hidup lagi Allah dah berikan balasan atas setiap apa yang kita lakukan tak kira walaupun menteri. Kita tak akan berkuasa selamanya dan takkan mampu menongkat langit.

“Sekarang, dia buat macam ini tetapi silap hari bulan agaknya masa nak pilihan raya nanti dia benarkan semula,” katanya yang berasal dari Melaka itu.

Pak Long mula tinggal di jalanan selepas menghadapi tekanan hidup apabila kehilangan insan tersayang iaitu isteri dan empat anaknya dalam satu kemalangan jalan raya yang tragis di Melaka hampir dua tahun lalu.

pengemisSelepas kehilangan semua anggota keluarganya, Pak Long sering dilihat tidur di pusara isteri dan anaknya akibat tekanan perasaan yang melampau sehingga menyebabkan segelintir penduduk kampung menganggapnya gila.

Pak Long berkata, setiap kali berada di rumahnya, ingatan dan bayangan orang tersayang sentiasa wujud menyebabkan dia sentiasa berada di dalam kesedihan.

Kira-kira hampir sebulan selepas itu, beliau mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur akibat tidak lagi mampu menanggung perasaan rindunya kepada arwah isteri dan anaknya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perlu dasar pandang ke hadapan bantu gelandangan, bukan hukum secara melulu

Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad

Pengumuman Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menghukum peminta dan pemberi sedekah adalah amat mengecewakan.

Tindakan melarang NGO-NGO membuat program dapur-dapur jalanan di zon-zon tertentu juga mestilah mengambilkira keperluan dan kebajikan golongan gelandangan, bukan untuk memindahkan masalah dari satu tempat ke tempat yang lain sahaja.

Suatu kajian menyeluruh harus dibuat yang melibatkan semua agensi terbabit dan NGO-NGO yang berpengalaman di dalam membantu isu peminta sedekah dan gelandangan agar punca utama masalah ini dikenalpasti dan suatu langkah proaktif dapat dikenalpasti.

Suatu dasar yang lebih bersifat memandang ke hadapan dan bukan menghukum semata-mata perlu dirangka bagi mencari penyelesaian terhadap isu peminta sedekah dan gelandangan dapat diselesaikan dengan sepenuhnya.

# Nik Nazmi adalah Timbalan Speaker DNS