Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dijangka berlegar di paras 1,600

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Bursa Malaysia dijangka berlegar di paras 1,600 mata minggu depan dengan kecenderungan meningkat berikutan perkembangan luaran yang bercampur aduk, kata para peniaga.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata pasaran dijangka terus meningkat lebih tinggi berikutan keyakinan terhadap perkembangan penyelidikan vaksin Covid-19.

Manakala bagi perkembangan negatif, Innes berkata, pasaran juga akan mencerna data jualan runcit China yang lebih buruk daripada dijangkakan.

Jualan runcit China pada Jun turun sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun, lebih buruk daripada unjuran pertumbuhan 0.3 peratus sebelumnya, selepas mencatatkan penurunan sebanyak 2.8 peratus pada Mei.

Ini membayangkan pengguna tidak berbelanja dan memberi prospek buruk kepada jangkaan pemulihan ekonomi didorong pengguna dan mungkin menjejaskan ekonomi serantau seperti Malaysia yang mempunyai hubungan eksport kukuh dengan republik itu.

Selain itu, Innes memberi tahu Bernama, harga minyak yang stabil meskipun jangkaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengundurkan pengeluaran, akan memberikan prospek positif kepada kaunter minyak dan gas.

Minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate kedua-duanya berada di atas paras US$43 dan US$40 setong pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata pelabur akan lebih menumpukan kepada perkembangan terkini berkaitan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China apabila pentadbiran Presiden Donald Trump menimbang larangan perjalanan ke AS ke atas ahli-ahli Parti Komunis China dan keluarga mereka.

“Dari segi sejarah, sebarang perkembangan negatif hubungan antara AS dan China akan menjejaskan ekuiti Asia secara keseluruhannya,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) disokong oleh perkembangan positif berkaitan vaksin Covid-19 dan peningkatan saham penjagaan kesihatan, susulan belian kukuh dalam saham pengeluar sarung tangan.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama itu meningkat 4.49 mata untuk ditutup kepada 1,596.33 daripada 1,591.84 pada minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 65.64 mata kepada 11,272.45, Indeks FBMT 100 naik 68.83 mata kepada 11,130.21 manakala Indeks FBM Emas Shariah menokok 187.33 mata kepada 12,999.28.

FBM 70 meningkat 235.89 mata kepada 14,052.74 dan Indeks FBM ACE naik 315.25 mata kepada 7,490.9.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 107.74 mata kepada 6,968.82, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 30.80 mata kepada 13,577.44 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.38 mata kepada 138.68.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 45.32 bilion unit bernilai RM28.93 bilion daripada 47.26 bilion unit bernilai RM24.58 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 21.69 bilion saham bernilai RM23.41 bilion daripada 27.37 bilion saham bernilai RM20.36 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 4.96 bilion unit bernilai RM1.97 bilion daripada 3.34 bilion unit bernilai RM1.26 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 19.08 bilion saham bernilai RM3.35 bilion daripada 16.54 bilion saham bernilai RM2.96 bilion.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur hari ini berikutan aktiviti jualan sederhana membabitkan saham-saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran serantau mencatat sentimen yang positif.

Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.46 mata kepada 1,508.78 daripada 1,511.24 sewaktu ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka susut 0.09 mata kepada 1.511.15.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 283 berbanding 147 manakala 274 kaunter lain tidak berubah, 1,228 tidak didagangkan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 727.65 juta unit bernilai RM246.34 juta.

Dalam pada itu, Malacca Securities menerusi nota penyelidikannya menjangkakan indeks petunjuk utama itu menyaksikan dagangan dalam jajaran kecil hari ini sepertimana dua sesi sebelumnya susulan kebimbangan membabitkan penularan Covid-19.

Namun, peningkatan Wall Street berserta harga minyak mentah yang lebih tinggi berkemungkinan besar terus memacu sokongan terhadap indeks utama untuk mencatat kenaikan yang sederhana.

“Kami beranggapan sektor minyak dan gas akan terus meningkat seiring dengan kenaikan minyak mentah (pada masa ini minyak mentah Brent yang juga penanda aras global didagangkan pada harga hampir US$43 setong) yang didorong oleh permintaan bagi jangka masa panjang.

“Kami juga melihat paras psikologi pada 1,500 dan kenaikan sekitar 1,550 pada masa ini. Sebarang penurunan pula adalah sekitar 1,490 dan disusuli paras 1,460,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan TNB masing-masing naik dua sen kepada RM7.68 dan RM11.80, Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM6.28 manakala Public Bank turun 18 sen kepada RM16.60 dan IHH Healthcare rugi sembilan sen kepada RM5.43.

Bagi saham paling aktif, Iris Corp untung satu sen kepada 18.5 sen, Radiant Globaltech naik 2.5 sen kepada 36.5 sen, Anzo menambah setengah sen kepada 12.5 sen manakala MQ Technology tidak berubah pada 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 5.05 mata kepada 10,610.92, Indeks FBMT 100 susut 8.59 mata kepada 10,458.64 namun FBM 70 naik 22.95 mata kepada 12,962.11.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.39 mata kepada 135.19, Indeks Kewangan susut 23.83 mata kepada 12,990.39 manakala Indeks Perladangan meraih 11.67 mata kepada 6,758.41.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.2750/2850 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini, didorong oleh kenaikan harga minyak mentah global.

Pada 9.18 pagi, ringgit disebut harga pada 4.2750/2850 berbanding dolar AS daripada 4.2770/2850 yang dicatatkan semalam.

Seorang peniaga berkata harga minyak global menunjukkan tanda-tanda pemulihan berikutan pengeluaran yang lebih terhad ketika sebahagian besar negara membuka ekonomi masing-masing.

“Harga minyak global berpotensi untuk mencecah sehingga US$50 setong pada akhir tahun dan sebarang kenaikan harga itu sememangnya baik untuk pendapatan minyak dan gas Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama kecuali bagi dolar Singapura yang menyaksikan ringgit mengukuh pada 3.0621/0704 daripada 3.0657/0717 semalam.

Ringgit bagaimana pun susut berbanding yen Jepun kepada 4.0028/0133 daripada 3.9987/9080, rendah berbanding pound Britain kepada 5.3211/3344 daripada 5.3035/3151 dan turun berbanding euro kepada 4.8060/8189 daripada 4.7954/7052.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Harga minyak global pacu ringgit kukuh minggu depan

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Aliran peningkatan harga minyak mentah ketika ini dijangka terus memacu pengukuhan ringgit berbanding dolar AS pada minggu depan, kata seorang penganalisis.

Menurut laporan, aliran kenaikan itu adalah yang pertama sejak April lepas yang menyaksikan permintaan terus mempengaruhi usaha untuk mengurangkan bekalan minyak sedia ada.

Penganalisis berkata laporan kelonggaran sekatan perjalanan di Eropah dan beberapa bahagian Asia serta Afrika susulan penularan Covid-19 juga telah mendorong permintaan apabila perniagaan terus beroperasi semula.

Pada masa sama, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) telah menyuarakan keyakinan bahawa semua anggotanya akan akur dengan persetujuan untuk mengurangkan pengeluaran berikutan kebimbangan mengenai kemunculan penularan baharu virus maut itu di China dan negara-negara lain.

Bagi Malaysia yang juga pengeksport bersih minyak mentah dan produk petroleum, sebarang pergerakan harga minyak mentah akan mempengaruhi prestasi ringgit.

Namun, Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata pergerakan ringgit-dolar AS boleh dihadkan pada julat kecil pada minggu depan tanpa sebarang perubahan ketara sentimen risiko global.

“Jika dolar AS terus mengalami penyusutan sepertimana pada separuh pertama bulan ini, keadaan itu mungkin mendorong ringgit-dolar AS ke arah tahap psikologi 4.30.

“Bagaimana pun, sebarang perkembangan ketara yang menyebabkan minat terhadap risiko di pasaran global akan menyaksikan ringgit di paras 4.25,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit diniagakan dalam lingkungan paras sokongan 4.2504 dan 4.2622 berbanding dolar AS manakala paras rintangan pada 4.2902 dan 4.3030.

Malah, sepanjang minggu ini ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding dolar berkenaan dengan kadar purata pada 4.2753.

Antara faktor yang mempengaruhi perkembangan itu adalah kebimbangan mengenai penularan baharu Covid-19, kadar pengangguran, kenaikan harga minyak serta keputusan kerajaan membenarkan pegawai dagang asing memasuki semula negara ini.

Malaysia kini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berlanjutan sehingga 31 Ogos, 2020.

Bagi asas mingguan, ringgit ditutup rendah sedikit pada paras 4.2670/2700 berbanding dolar AS daripada 4.2650/2700 pada Jumaat lepas.

Ringgit juga mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.0614/0662 daripada 3.0706/0753 namun susut berbanding yen Jepun pada 3.9897/9964 daripada 3.9663/9717.

Berbanding euro, ringgit meningkat pada 4.7854/7926 daripada 4.8280/8353 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.2983/3075 daripada 5.3944/3024 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RON97, RON95 naik tiga sen, diesel empat sen

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Harga bagi setiap liter RON97 dan RON95 naik tiga sen manakala diesel pula naik empat sen bagi tempoh 20 hingga 26 Jun 2020.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, berdasarkan penetapan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga baharu seliter bagi RON97 ialah RM1.89, RON95 (RM1.59) dan diesel RM1.77.

Kenaikan ini dipengaruhi perubahan harga minyak yang diproses, selari dengan harga minyak mentah dunia pada masa ini.

Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga petrol naik lapan sen, diesel 10 sen

SHAH ALAM, 12 JUN: Harga bagi setiap liter RON97 dan RON95 naik lapan sen manakala diesel pula naik 10 sen bagi tempoh 13 hingga 19 Jun 2020.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, berdasarkan penetapan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga baharu seliter bagi RON97 ialah RM1.86, RON95 (RM1.56) dan diesel RM1.73.

Kenaikan harga ini disebabkan peningkatan harga produk yang diproses seiring kenaikan harga minyak mentah dunia.

Kerajaan akan terus memantau impak perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah perlu memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjaga, demikian menurut kenyataan itu.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Harga minyak stabil bantu prestasi positif ringgit

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Ringgit dijangka diniagakan pada paras 4.25 hingga 4.27 minggu depan sekiranya tiada kejutan tercetus daripada mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

OPEC dan sekutunya akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu bagi membincangkan persetujuan mengenai pengeluaran minyak dan keputusan sama ada melanjutkan pemotongan pengeluaran minyak sebanyak 9.7 juta tong sehari selepas Jun.

Sebelum ini, OPEC bersetuju membuat pengurangan itu pada Mei dan Jun bagi meningkatkan harga.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global Axicorp Stephen Innes berkata harga minyak mencatat peningkatan minggu ini dan sekiranya sekutu pengeluar minyak bersetuju mengurangkan pengeluaran di tengah-tengah keyakinan terhadap pembukaan semula aktiviti ekonomi, harga minyak diunjur menokok lebih tinggi pada minggu depan.

“Ini sepatutnya memberikan kelebihan kepada ringgit,” katanya kepada Bernama.

Faktor lain peningkatan ringgit turut didorong oleh kelemahan dolar AS ketika harapan terhadap pemulihan ekonomi dan sentimen risiko global yang lebih baik.

“Saya berpendapat ringgit akan menerima manfaat daripada sentimen serantau,” tambahnya.

Harga minyak mentah dilihat menunjukkan beberapa petanda kestabilan sepanjang minggu ini dengan dagangan minyak mentah Brent pada paras US$40 setong.

Bagaimanapun, ketegangan perdagangan yang meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China mengehadkan peningkatan unit tempatan.

Ini khususnya selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan sekatan kepada syarikat penerbangan China ke AS mulai 16 Jun atau lebih awal daripada itu berikutan sekatan serupa oleh kerajaan China terhadap syarikat penerbangan AS untuk menyambung semula perkhidmatan mereka ke China.

Malah, AS turut melucutkan keistimewaan perdagangan khas dengan Hong Kong sebagai reaksi kepada langkah China mengenakan undang-undang keselamatan nasional ke atas hab kewangan itu.

Di peringkat tempatan, ringgit turut menerima rangsangan daripada peningkatan semula Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan pada Mei.

PMI IHS Markit melonjak kepada 45.6 pada Mei daripada paras terendah 31.3 pada April, menunjukkan kelembapan ekonomi yang semakin pulih.

IHS Markit berkata sektor pembuatan Malaysia memberi petunjuk bahawa ia semakin stabil pada pertengahan suku kedua dengan pengurangan jumlah pengeluaran, pesanan baharu dan pekerjaan yang masing-masing mencatatkan penurunan.

Sepanjang minggu ini, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding dolar US iaitu antara 4.2590 dan 4.3150.

Berdasarkan mingguan, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar US kepada 4.2640/2700 daripada 4.3450/3500.

Unit tempatan itu turut meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0604/0658 daripada 3.0768/0810 dan naik berbanding euro kepada 4.8328/8409 daripada 4.8369/8433.

Ringgit lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.9019/9085 daripada 4.0528/0586 minggu lepas, namun merosot berbanding pound Britain kepada 5.3859/3947 daripada 5.3435/3514 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Pertumbuhan pasaran baharu susut 3.5 peratus – Moody’s

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Kos ekonomi krisis akibat Covid-19 di tengah-tengah penutupan ekonomi global, tidak termasuk China terkumpul dengan cepat, dengan ekonomi pasaran baharu diunjurkan mencatat pertumbuhan -3.5 peratus pada 2020, turun dari jangkaan 3.2 peratus sebelumnya berlakunya wabak tersebut.

Ekonomi China dijangka tumbuh satu peratus pada 2020.

Dalam satu kenyataan, Moody’s Investors Service berkata ia menjangkakan ekonomi negara maju G-20, sebagai satu kumpulan, akan merosot sebanyak 5.8 peratus pada 2020. Walaupun dengan pemulihan secara beransur-ansur, pertumbuhan sebenar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 di kebanyakan negara maju dijangka dapat berada di bawah tahap sebelum berlakunya penularan COVID-19 (coronavirus).

“Penguncupan aktiviti ekonomi pada suku kedua menjadi teruk dan pemulihan keseluruhan pada separuh kedua tahun ini berlaku secara beransur-ansur.

“Pemulihan juga mungkin tidak sama di semua sektor kerana kebimbangan jangkitan mengubah tingkah laku pengguna walaupun sekatan aktiviti perniagaan dan mobiliti ditarik balik,” kata Naib Presiden Moody, Madhavi Bokil.

Beliau berkata perbelanjaan dalam aktiviti ekonomi yang memerlukan hubungan manusia yang tinggi seperti makan di luar, pergi ke pawagam, perjalanan udara dan menggunakan pelbagai pengangkutan, tidak mungkin menjadi normal sepenuhnya sehingga kadar jangkitan turun ke tahap yang sangat rendah atau vaksin atau rawatan yang berkesan tersedia untuk virus tersebut.

“Banyak perniagaan berusaha untuk kekal bertahan dalam keadaan ini, dan akhirnya beberapa perniagaan ditutup tanpa mengambil kira sokongan dasar terhadap ekonomi,” katanya.

Permintaan terhadap minyak secara beransur-ansur meningkat pada separuh kedua tahun ini seiring dengan pelonggaran langkah-langkah penjarakan sosial. Bagaimanapun, peningkatan permintaan ini, digabungkan dengan had penyimpanan, menunjukkan bahawa pengeluaran inventori akan menjadi perlahan.

Hasilnya, Moody’s menjangkakan harga minyak akan kekal rendah, dengan purata Brent US$35 setong (US $ 1 = RM4.35) dan kontrak untuk West Texas Intermediate (WTI) tahun ini ialah pada harga US$30 setong.

Madhavi berkata harga Brent dan WTI masing-masing naik hingga secara purata US$45 dan $40 setong, pada tahun 2021, kerana peningkatan aktiviti ekonomi secara beransur-ansur.

Penutupan yang lebih lama atau berulang akan merosakkan ekonomi sebenar, yang berpotensi mencetuskan krisis kewangan. Dalam senario seperti itu, kejutan ekonomi akan menghasilkan krisis kewangan jauh lebih buruk daripada pengalaman krisis kewangan global, dari segi skala.

Ketidaksamaan yang semakin meningkat, kerana bahagian yang paling lemah mengalami kejutan, akan menyebabkan ketidakpuasan sosial dan ketidakstablian politik, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga RON95 dan RON97 kekal, diesel turun tiga sen

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing kekal RM1.25 dan RM1.55 seliter bagi tempoh 18 sehingga 24 April ini.

Harga runcit diesel pula turun tiga sen seliter kepada RM1.43.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan harga berkenaan berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga RON97 naik, RON95 dikekalkan

SHAH ALAM, 3 JAN: Menerusi Mekanisme Harga Automatik (APM)  secara mingguan, harga runcit petrol RON97 bagi tempoh esok hingga 10 Januari naik dua sen seliter kepada RM2.65.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, harga RON95 dan diesel terus dikekalkan pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter.

“Menerusi formula APM, harga runcit petrol RON95 dan diesel sepatutnya naik masing-masing kepada RM2.35 dan RM2.43 seliter bagi tempoh sama,” jelas kenyataan itu.

Katanya, harga RON95 dan diesel tidak berubah selaras keputusan kerajaan untuk menangguhkan Program Subsidi Petrol.

Difahamkan, dengan pengekalan harga runcit RON95 dan diesel kerajaan terpaksa menanggung subsidi RM128.24 juta bagi tempoh itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

RON97 turun 5 sen, RON95, diesel kekal

SHAH ALAM, 9 OGOS: Harga runcit produk petroleum RON97 turun 5 sen kepada RM2.49 seliter manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 serta RM2.18 seliter, bagi tempoh 10 sehingga 16 Ogos, bermula tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, anggaran subsidi bahan api yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh itu berjumlah RM59.28juta.

Berdasarkan pecahan tiga produk itu, jumlah tanggungan subsidi Kerajaan bagi RON95 berjumlah RM44.24 juta, RM15.04 juta bagi diesel manakala RON97 tidak diberikan subsidi.

Berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.19 dan RM2.28 seliter masing-masing.

Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Categories
NASIONAL

RON97 naik 4 sen, harga RON95 dan Diesel kekal

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 JUL : Harga runcit RON97 naik 4 sen kepada RM2.53 seliter manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 serta RM2.18 seliter, bagi tempoh hingga 6 sehingga 12 Julai, bermula tengah malam ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, anggaran subsidi bahan api yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 6 sehingga 5 Julai 2019 adalah berjumlah RM99.53 juta.

Berdasarkan pecahan tiga produk itu, jumlah tanggungan subsidi bagi RON95 berjumlah RM72.73 juta, RM26.80 juta bagi diesel manakala RON97 tidak diberikan subsidi.

Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.23 seliter dan RM2.32 seliter masing-masing.

Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.