Categories
BUDAYA RENCANA

Bocor

Tak ada aurora
malam disebat hujan
mengasak bumbung tua
berselang derau
mimpi yang garing
kembali lemau
gegas kami menadah
jernih lelehan darah

Mengapa berpinak waktu
kian banyak ditakung
hingga habis bekas ibu

Dan mengapa ia sama tiris
seperti kocekku?

Tidur kami tergigil
jika esok matahari terjegil
akan kupinta kepingan kulitnya
buat merawat luka atap, atau
tika menunggu saku bunting
bisakah mandulkan hujan?

 

Siti Alimah

Categories
BUDAYA RENCANA

Jam menanggalkan jarumnya lalu menghitung…

Oleh Lokman Hakim

Ilustrasi Matarojit

KUOTA internet untuk bulan ini sudah habis. Tiada Google Meet dapat dilangsungkan. Kerja tergendala.

Pagi ini, jam dinding dan jam tanganku menanggalkan jarumnya lalu berlari keluar dari bingkainya. Aku tidak sempat mengejarnya. Aku buntu melihat kejadian seumpama itu berlaku pantas.

Di bilik sebelah, Mama dan Adif sekadar merenung laptop lusuh yang sudah padam. Kenapa, Mama? Laptop rosak. Usianya sudah lapan tahun. Hantar ke kedai pun tak guna – ia sudah ditinggalkan waktu. Setiap perisian di pasaran sudah tidak sepadan dengan kemampuannya, jawab Mama, dengan muka bermekapkan kepenatan.

Aku bagitahu Mama, jam-jam di dalam rumah ini sudah tertanggal jarumnya. Mama dan Adif terpegun mendengar berita itu. Aku tunjuk setiap bingkai jam yang kosong. Tiada jarum, tiada angka, dan tiada papan. Aku kata, mungkin kiamat sudah hampir. Mama tak setuju. Kiamat itu hanya Allah SWT yang tahu. Kita jangan memandai-mandai atau bergurau mengenainya, tazkirah ringkas Mama menyusul. Lebih-lebih lagi, kejadian jam menanggalkan jarumnya itu bukan tanda-tanda kiamat. Usah mengarut.

Adif pula anak pintar yang sudah faham erti tahun yang menghilang. Pendidikan sudah dicutikan, ujarku. Menteri Pendidikan sudah ditipu jam demi jam yang kononnya menyimpan nilai ilmu. Diseragamkan tika kuota internet ibarat muka laut yang kadang bergelora, kadang tenang. 

Boleh kita jalan-jalan? Tanya Adif. Mestilah tidak boleh. Wabak sedang mengganas. Prosedur operasi standard juga boleh tahan bergelora perubahannya. Seganas mutasi wabak. Kataku, boleh sahaja nak jalan-jalan cuma harus bersyarat. Jalan-jalan di halaman rumah. Oh ya, kalau hendak jalan-jalan ke taman, haruslah pakai baju sukan lengkap dengan kasutnya. Barulah boleh jalan-jalan tanpa pakai pelitup muka. Lagipun memakai pelitup muka ketika bersukan itu lebih memudaratkan. Peluh yang membasahi pelitup muka boleh meningkatkan kadar jangkitan.

Penjarakan sosial dan bla, bla, bla… Adif jemu mendengarnya lalu berlari ke ruang tamu menghadap televisyen. Netflix juga sudah kaput, pastilah sebab kuota internet yang bermasalah. Mujur ada Astro. Ah, cuaca cerah di luar, tanpa sebarang tanda hujan. Mama kata, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Aku setuju. Aku harus setuju walau apa sekalipun Mama kata. Andai nadanya tidak serius, barulah memilih untuk tidak bersetuju.

Hari ini kita berhenti dengan pendigitalan, fikirku. Bercuti. Cuti tanpa menge-melkan notis. Cuti kecemasan. Jam sudah melarikan diri. Kami harus mendapatkannya kembali kerana sistem sedia ada masih bergantung pada jam. Sistem pengupahan pekerja. 8 hingga 5 atau potong gaji. Kecekapan melaksanakan tugasan tiada dalam sistem berasaskan jam, kau tahu?

Adif sahut dari ruang tamu, Just let it be lah, Papa! Biarlah jam tu nak pergi mana pun! Lalu aku membentak dalam hati, eh, anak aku sudah biadap, mana dia belajar kebiadapan begini? Aku teringat setahun dua ini pendidikan Adif berada dalam huru-hara. Mana dia mahu belajar? Aku sendiri sibuk dengan kerja. PKP, PKPB, PKPD dan segala bentuk P boleh muncul tetapi kerjaku tetap di situ – konvensional (tiada huruf ‘P’ dalam ‘konvensional’ – ingat itu). Harus ke pejabat walau esok kiamat sekalipun. 

Ah, jika lihat jadual yang ditentukan Kementerian Pendidikan, fokus utama adalah jumlah jam untuk setiap subjek harus cukup. Aku jatuh simpati pada Adif, guru-gurunya, Mama dan juga pada diriku sendiri.

Jadi itulah hikmah jam melarikan diri. Ia mahu kita belajar meninggalkan sistem sedia ada. Covid-19 itu sudah menjadi seorang guru yang tidak peduli pelajar ikut pengajarannya atau tidak. Kalau bebal mengenal Covid-19, hadaplah sistem lapuk yang membunuh teruk macam wabak. Covid-19 akan terus membaham mana-mana orang yang tak mampu beradaptasi dengan perubahan. 

Aku kata – jam harus dicari. Kawasan tempat kita menginap tak dapat dengar azan. Mana boleh tahu masuk waktu Maghrib bila, waktu Isyak bila kalau tak ada jam. Lalu Mama tuding pada pergelangan tangan aku. Ah, gelang kuarantin. Aku lupa. Kami sekeluarga harus berkurung untuk sekurang-kurangnya seminggu lagi. Tenang, tiada gejala setakat ini. Kalau sekadar keluar di kawasan taman ini, pakai jaket atau baju lengan panjang, pasti orang tak ambil peduli sangat.

Adif: Come on Papa, don’t be a dick. Tangan rasa ringan. Cili dalam peti sejuk bagai memanggil-manggil. Calit ke mulut Adif, bisik cili dalam imaginasiku.

Di mana silapnya? Aku tak rasa aku mencarut depan anak. Mamanya aku tak tahulah. Kadang-kadang speaking juga bila membebel. Salah Youtube agaknya. Tidak-tidak. Jam menanggalkan jarumnya lalu menghitung kamu. Setelah Adif belajar mencarut dari Youtube atau TikTok. Setelah aku tak tahu nak tuntut hak selaku pekerja yang waktu bersama keluarganya sudah dirampas tugasan kerja hakiki atas nama Bekerja Dari Rumah. Setelah Mama terpaksa menjadi cikgu mengajar Adif menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan guru melalui deretan whatsapp dan e-mel.

Bertempik-tempik. Pastilah jam menanggalkan jarumnya lalu menghitung kamu, kita dan semua yang bergantung pada sifat kuantitatif pada waktu. Aku bertempik pada Adif supaya dia tidak biadap. Adif juga bertempik tatkala ibu memaksanya menyiapkan kerja sekolah. 

Langit gelap. Bintang-gemintang tidak kelihatan. Kegelapan merayap dari luar lalu meresap ke dalam.

Categories
BUDAYA RENCANA

Kaki bulan

Hari-hari yang merantaikan pesan
tentang berkurung
tentang kebodohan yang dikurung
manusia bersesak-sesak untuk diam
menyarung tubuh haiwan dengan kepala sendiri
seperti pipit menanti induk pulang
dengan cebis daging di jalanan
mendengar kicau sendiri
yang melantunkan angan-angan.

Ada yang berjengket untuk sampai ke malam
memagari setiap rongga dengan doa yang dipaksa
dia menaruhkan separuh nyawa
kepingin menjadi kaki bulan
sebagai bebayang langkah yang terlucut
dan tangannya sentiasa ditadah
mengharap cahaya terburai
untuk dilumur pada tubuh yang malap

Di luar – bulan berselimutkan langit
petanda sial yang panjang
nah, bulan terkurung
(dia)
terlepas menjadi kakinya lagi.

 

Khalil Zaini
Tanjong Malim

Categories
BUDAYA RENCANA

Ngepan

Oleh Clariessa Kesulai

Ilustrasi Matarojit

 

Saya hanya berjalan pantas tanpa menoleh kepada sesiapa sambil menunjukkan lenggok badan sedikit kaku. Sepanjang minggu kedua berada di rumah panjang empat puluh empat pintu ini, jiwa saya cukup terseksa untuk menyusun langkah di hadapan sekumpulan wanita berusia yang duduk berkerumun di ruai ini setiap hari. Mujur pesanan dan amanat arwah nenek masih menguatkan kesabaran saya untuk terus menetap di sini.

Saban hari semakin menonjol perwatakan saya yang kelelakian – lebih dikenali sesetengah orang sebagai pengkid atau tomboi. Saya sering memakai seluar jeans lusuh, berjersi pasukan bola sepak Liverpool beserta rambut disisir mengikut potongan muka; mendatangkan persepsi serong penduduk kampung. Mereka menganggap ciri-ciri fizikal saya amat menjauhi sifat feminin yang sepatutnya ada pada seorang perempuan.

Malah mereka turut mencemuh tujuan kedatangan saya untuk memenuhi hasrat arwah nenek. Ini sangat tidak masuk akal.

“Mana mungkin seorang perempuan berkelakuan tomboi layak memakai busana Ngepan sebegini. Arwah Nek Sunti sudah nyanyuk agaknya sehingga lupa pemakaian Ngepan perlu mengikut kehormatan dan kemuliaan maruah seorang wanita sebenar!” Kata isteri tuai rumah sambil berdecit-decit mulutnya melipat dan menyusun beberapa set pakaian Ngepan di dalam kantung bahai.

Sekali lagi ia mengingatkan saya bahawa selain arwah nenek, isteri tuai rumah turut memiliki kebolehan menenun dan menghasilkan sendiri koleksi busana tradisi bangsa kami di rumah panjang ini. Saya sempat melihat wanita separuh usia itu sengaja menutup rapat zip kantung tersebut lalu menepuk-nepuknya beberapa kali.

Saya teringat amanah utama arwah nenek untuk menjaga harta peninggalan keluarga termasuk Ngepan pemberiannya sebaik mungkin.

Dalam fikiran saya, mungkin isteri tuai rumah sedang risau terhadap beberapa perkara.

Pertama: Dia masih menyimpan rasa bersaing dan tercabar dengan koleksi busana Ngepan tenunan arwah nenek sejak dahulu.

Kedua: Tempat pertama dalam pertandingan ratu cantik yang bakal menjelang di rumah panjang setiap tahun telah ditempah untuk anak daranya. Saya tidak menolak kemungkinan kehadiran saya sebagai memenuhi amanah nenek untuk turut menggayakan busana tradisi dalam pertandingan itu kian menggusarkan hatinya.

Di atas semua itu, saya tetap dipandang sebagai seorang tomboi yang sering dijauhi pikatan kaum lelaki. Personaliti diri saya hanya mencemarkan budaya penggunaan Ngepan, menurut mereka.

Di sebelahnya ialah Mak Runai ibu kepada tujuh anak bujang, ketawa sinis menampakkan celah gigi palsunya yang sedikit keme-
rahan akibat daun sirih sedang dikulumnya. Matanya tidak pernah ketinggalan menatap jenis pemakaian dan tingkah laku saya sepanjang masa.

“Sesiapa yang memakai Ngepan ini hendaklah bukan calang-calang orangnya. Dia selayaknya digelar kumang. Seorang wanita yang serba boleh melakukan kerja sebagai suri rumah mahupun berkerjaya. Malah, paras rupanya dan sifatnya pula harus setanding dengan perempuan asli.”. Terbatuk-batuk dia meludahkan air liur pekat merah bersama sisa sirih lunyai dikunyah di celah-celah lubang lantai papan.

Sekali lagi, saya menganyam kesabaran dalam hati. Saya tetap waras mengingati kenyataan arwah nenek bahawa darjat seorang wanita yang layak digelar kumang lahir daripada pertuturan kata serta adab santun. Bukan paras rupa atau bentuk tubuhnya yang dipuja.

Saya duga, wanita-wanita yang bergelar ibu di rumah panjang ini tentu sedang seperti cacing kepanasan. Tidak kenyang makan atau tidur lena seperti malam-malam sebelumnya. Masing-masing berangan-angan betapa jelitanya anak dara mereka menggayakan Ngepan di hadapan Yang Berhormat yang turut dijemput.

Cuma, kali ini sambutannya agak berbeza seminggu sebelum pertandingan berlangsung.

Isteri tuai rumah membuat persidangan khas di hadapan penduduk kampung di ruai. Ada perkara lebih mustahak harus diselesaikan segera selepas kejadian misteri di rumahnya subuh tadi.

Kantung bahai yang berisi Ngepan habis diselongkar. Anehnya, ia tidak hilang. Dibiarkan berselerak begitu sahaja seolah-olah si pelaku belum berjaya menemui apa yang dinginkan.

Tiada sesiapa mengaku menceroboh rumah tuai rumah.

“Sepanjang menetap di kampung ini, belum pernah kami berani masuk ruang rumah tuai rumah kecuali diajak. Lagipun, hanya orang terdekat isteri tuai rumah sahaja layak ke situ,” sahut seorang lelaki tua tidak berbaju menampakkan beberapa ukiran tatu bunga terung di kedua-dua bahunya.

Sekali lagi, Mak Runai di sebelah isteri tuai rumah mencuri-curi memandang saya dengan penuh sinis. Mungkin sedang menilik jersi apa yang saya pakai hari ini khasnya selepas kemenangan pasukan Liverpool semalam.

Kecut. Saya tidak takut dituduh tapi bimbang memikirkan si pelaku akan bertindak serupa terhadap peninggalan Ngepan arwah nenek. Kemungkinan berlaku seterusnya adalah desakan pembatalan pertandingan ratu cantik oleh isteri tuai rumah sekiranya dalang sebenar belum ditemui.

Isteri tuai rumah tidak senang sepanjang hari. Habis satu rumah panjang diajaknya berjaga sehingga beberapa malam. Ada yang membantah tanpa peduli terus melabuhkan kelambu di kamar masing-masing. Ada pula yang membawa busana Ngepan mereka ke mana-mana termasuk memeluknya erat di ranjang setiap malam.

Malangnya, lena masing-masing kembali terjaga. Tikus-tikus yang lama bermastautin di setiap sudut siling rumah ikut kaget lalu berlari lintang-pukang menuju celah-celah tingkap dan pintu rumah. Masing-masing membayangkan rumah panjang ini sedang dibadai malapetaka.

Jeritan isteri tuai rumah menggamatkan hening rumah panjang waktu subuh menjelang.

“Mak Runai! Mak Runai!” Dia tercungap-cungap mengambil nafas yang hampir hilang.

“Habislah Ngepan aku! Aku tidak pernah rela sesiapa mengusik harta bendaku tanpa kebenaran.”

Isteri tuai rumah terkulai lemah di pelukan suaminya kerana tidak menduga apa yang sedang berlaku. Mak Runai masih tidak sedarkan diri akibat disergah isteri tuai rumah. Lebih memeranjatkan, dia terbaring dengan masih memakai Ngepan. Mungkin dia telah menemui saiz yang sesuai.

Anehnya, Mak Runai dikhabarkan tidak mempunyai anak dara atau anak sepupu perempuan. Ketujuh-tujuh anak bujangnya semuanya telah berhijrah ke kota.

Satu pesanan arwah nenek kembali menyedarkan saya: Pemakaian busana Ngepan dalam bangsa kita tidak pernah melakukan diskriminasi mahupun rasisme dari segi warna kulit, usia atau ukuran darjat seorang pe-
rempuan.

Saya tidak mahu mengulas panjang. Pantas saya masuk ke dalam rumah, mencari koleksi Ngepan yang telah saya susun rapi dalam almari bilik.

Lega. Setidak-tidaknya saya telah berjaya menunaikan amanah utama arwah nenek.

Glosari

Ngepan: Busana tradisi perempuan kaum Iban
Ruai: Tempat penduduk berkumpul di rumah panjang
Kumang: Gelaran untuk perempuan/wanita
Tuai Rumah: Ketua kampung

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Dalam lelap binari

(i)
ketika puisimu memilih terlelap dalam lenamu
dua suara menetas; lengking biru
kembar sabda yang merdu

(ii)
ia pun didengari lewat mimpi berpintu:
terpendam wahyu yang menipu

(iii)
begitulah, kau masuki rongga tidur:
di atas meja lumpuh kaubaringkan sepasang surat
kata-kata telah miring ke barat

 

Qurratul ‘Ain

Categories
BUDAYA RENCANA

Kerana merahsia jernih air dan putih tombong di dalam tempurung

Maruahnya yang hitam
potretnya yang silam
privasinya yang malam
meski telah disorok jauh
tinggi di tandan kelapa
tetap dijolok jatuh
malah dikopek semahunya.

Tebal sabut rahsianya
rakus disiat-siat
lalu dijadikan penunu media
juga pengepung unggun berita
agar tak ditiup-padam
dingin angin hakikat.

Lalu api mula membesar
jadi pembulinya
membakar serbut sabar
dengan pijar nista
dungu berjelaga di bibir
dan jari wargamaya
tular ke skrin siber –
difitnah sebagai pintar
lantas, warasnya rentung
ditakung air mata.

Kini, apa yang tinggal
cuma tekal tempurung hak
yang diketepi
setelah dikikis botak
akan tetapi
mengapa ia tak ditetak?

Istajib Mokhtar

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Hanyut

Oleh Aliaa Alina

Ilustrasi oleh Matarojit

Bangi: Aku mengemas barang di meja, membelek fail-fail kerja yang akan dilupuskan memandangkan syarikat ini bakal menamatkan operasi kerana tidak mampu lagi untuk menanggung kerugian. Mejamu yang berada di sebelahku sudah setahun kosong, apabila engkau terlebih dahulu diberhentikan perkhidmatan pada peringkat awal wabak ini melanda. Aku menutup suis lampu dan menoleh sebentar ke ruangan pejabat yang gelap-gelita tidak berpenghuni. Kotak itu diletakkan bersebelahan bagasi pakaian dan kunci rumah sewa sudah pun diserahkan kepada pemiliknya. Tanpa berlengah lagi, aku terus memandu pulang untuk menemuimu di Georgetown.

Shah Alam: “Di sana, rumahku menghadap lautan dan engkau boleh nampak feri yang datang dari arah Seberang Perai,” ujarmu berulang kali semasa kita berada di balkoni apartment.

Engkau sudah bertekad untuk pulang jika ada syarikat yang sudi menerimamu bekerja. Bunyi hingar-bingar kereta tidak lagi dihiraukan, matamu tertutup rapat dan bibirmu tersenyum puas membayangkan kepulanganmu di bandar lama itu..

Walaupun aku mencintaimu tetapi aku tidak pernah berkongsi cintamu terhadap lautan. Luasnya tidak bersempadan dan aku gerun memikirkan makhluk-makluk yang mungkin mendiami di segenap dasarnya yang gelap.

“Dahulu, setiap kali ibu dan ayah bertengkar, aku berlari keluar dari rumah dan menyembunyikan diri di dalam lautan. Entah mengapa, apabila tubuhku berada di dalamnya, kegusaranku hilang dan fikiran ini menjadi tenang. Seolah-olah air itu mempunyai kuasa untuk membawa kesedihanku pergi, Joanna.”

Gopeng: Aku terjaga apabila merasakan tubuhku terhenti di suatu tempat. Mata dibuka sedikit, dan mencuri pandang engkau yang merenung dari tingkap kereta ke arah sebuah rumah di seberang jalan. Tanganmu kusentuh, dan ada kesan luka-luka kecil di hujung jari kerana diketip gigi, suatu tabiat buruk dilakukan setiap kali engkau keresahan.

“Aku ingin menemuinya, tetapi aku masih tidak dapat memaafkan dia kerana tergamak meninggalkan ibu dahulu.”

“Sayang, jika engkau tidak bersedia, kita boleh kembali semula ke sini,” pujukku walaupun aku ingin benar melihatmu berdamai dengan Ayah. Malangnya, engkau masih enggan untuk berdamai dengan dirimu sendiri.

Aku menemui ayah sebulan selepas hari pengebumianmu. Kami saling bertanyakan khabar, dan rekah di wajahnya semakin jelas berbanding kali terakhir aku melihatnya. Selepas aku menceritakan tentang keinginanmu yang tidak kesampaian, dia sedu-sedan menyatakan kekesalan kerana tidak pergi menemuimu walaupun menyedari kehadiranmu di seberang jalan.

Aku segera menyentuh tangannya dan di hujung jari-jemari yang sudah berkedut, dapat dirasakan parut-parut kecil timbul di permukaannya.

Kellie’s Castle: Engkau keberatan untuk singgah di rumah ayahmu namun tanpa ragu-ragu, engkau berhenti di istana terbiar ini. Matamu galak, dan engkau ligat memicit punat kamera untuk merakam setiap inci ruang dan debu di mahligai Kellie.

“Mengapa Agnes sanggup meninggalkan sebuah istana yang dibina untuknya?” soalku ketika kita berjalan di dalam ruangnya yang sepi.

“Rumah adalah di mana jiwa kita berada, Joanna. Ia bukan lagi rumah jika hanya jasad terperangkap tetapi roh kita sedang menghuni di tempat lain.”

Ketika itu, aku kian menyedari betapa kuatnya keinginanmu untuk pulang ke rumah lama di Georgetown.

Ipoh: “Sayang?” panggilku melihat engkau termenung ketika menunggu pesanan dim sum di Taman Canning. Wajahmu gundah, engkau sudah lama berhenti tersenyum sejak menerima notis penamatan perkhidmatan di tempat kerja.

“Aku tak rasa perkahwinan kita patut diteruskan dalam keadaan sebegini,” ujarmu muram.

“Jangan bimbang, duit simpanan kita masih mencukupi untuk membayar kos perkahwinan dan engkau pasti mendapat kerja di tempat lain.”

“Joanna, sudah berpuluh syarikat dihubungi tetapi tiada satu yang membalasnya. Bagaimana jika aku menganggur lebih lama, boleh jadi setahun atau dua tahun. Siapa tahu bila wabak ini akan pergi?” balasmu dengan nada yang tinggi.

Aku terdiam, terkesima melihat kemarahanmu yang jarang timbul lantas engkau segera meminta maaf kerana gagal mengawal emosi.

“Engkau perlu meraikan minggu-minggu terakhirmu sebagai lelaki bujang di Langkawi seperti yang telah dirancang,” cadangku tetapi engkau segera menggeleng.

Aku terus memujuk bahawa tempahan resort dan bot sudah dibayar, maka ini adalah peluang yang baik untuk menenangkan dirimu yang kecelaruan. Tiada kata putus yang diberikan pada hari itu, namun beberapa minggu kemudian, engkau datang menemuiku sebelum berangkat ke sana.

“Semoga lautan dapat membersihkan kegusaran ini, seperti telah ia lakukan ketika aku kecil dahulu.”

Kita berpelukan dan aku mulai keberatan untuk membiarkan engkau pergi tetapi aku yakin bahawa engkau pasti pulang semula kepadaku.

Malangnya, lautan telah mengambil engkau buat selamanya.

Terowong Menora: Lampu berbalam-balam membuatkan aku pegun melihat diriku yang bergerak laju di dalam terowong lantas membangkitkan kegerunan klaustrofobia yang bersarang dalam diri.

Aku tidak senang duduk kerana berasa panik mendadak. Kau segera menoleh, sesekali matamu mengerling ke arah jalan yang cerun.

“Joanna,” panggilmu perlahan.

“Aku benci terperangkap di dalam ruangan tertutup,” ujarku menekup dada yang berombak kerana sukar untuk bernafas.

“Jangan bimbang, engkau selamat bersamaku.”

“Berapa lama lagi kita harus berada di dalam terowong ini?”

Engkau memegang erat stereng dan aku dapat merasakan pergerakan kereta yang semakin laju menuju keluar dari terowong. Aku beransur tenang apabila kita sudah menghampiri penghujungnya. Mungkinkah kelegaan ini turut dirasai oleh Dante setelah lelah mengharungi berlapis-lapis purgatori – dan akhirnya dia tiba jua di syurga bersama Beatrice.

Georgetown: Setelah mengetahui kehilanganmu, aku mengurung diri di dalam bilik sementara menunggu tubuhmu pulang semula kepadaku. Menurut mereka, engkau menghilang pada suatu malam dan ada saksi melihat kelibatmu bersendirian di tengah lautan. Akhbar melaporkan bahawa engkau ditarik arus yang kuat dan tubuhmu tewas dalam pergelutan itu.

Aku sudah tidak peduli tentang apa sebenarnya yang terjadi, yang pastinya aku enggan untuk mempercayai bahawa engkau memilih untuk dipusarakan di dalam lautan. Tubuhmu gagal ditemui dan aku beranggapan bahawa lautan sudah menelanmu sepenuhnya. Sehinggalah pada suatu pagi, seorang kanak-kanak lelaki menemui tubuhmu terdampar di tepi pantai di tengah bandar ini

Aku terus melangkah, sesekali dilambung ombak menjadikan aku cemas dan hilang punca. Ketakutan membuatkan aku ingin berpatah balik, tetapi tubuhku enggan menuruti kerana keinginan ini terlalu mendalam. Rumah adalah di mana jiwa kita berada, dan tiada tempat lain yang harus kutuju selain pulang ke pangkuanmu.

 

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Nafas malam pertapa

(i)
seekor jengking merayap
pada wajah malam pertapa,
saat dia selesai pada pertapaannya,
di gua nafsu yang gelap amat.
sesudah itu, dia berjalan keluar
dengan memikul semusim keringat
telah lama dia berada dalam tapanya
tanpa melakukan apa-apa;
sehingga jengking pun menyentak sedarnya
yang telah lama tidak disiram matahari
dan bergaul sapa; –
dengan hujan dengan pepohon
dengan tanah dengan rumput
dengan sungai dengan bukit
dengan batu dengan pasir

(ii)
suatu senja, camar telah mengirim
pesan terbesar kepada pertapa:
alam adalah pantulan daripada wujud kita
yang perlu digembur dengan nafas
dan disubur dengan cinta;
telah sia-sialah pertapaannya selama ini
kerana yang hendak ditinggalkannya
ialah nafsu dirinya;
tetapi yang telah meninggalkannya
ialah baki-baki manusiawi;
daripada denyut urat dan degup jantungnya
tanpa merawat luka kancil yang tercedera
dan memberi minum pada pepohon yang dahaga

(iii)
sesudah hujan luruh,
daun-daun yang masih kuyup,
seekor sarwa terbang ke dalam gua
meninggalkan sepotong surat tidak bernama
membawa catatan agung tuhan
daripada pengutus rahsia:

celakalah orang-orang yang sembahyang;
yang lalai hatinya dalam sembahyang;
yang hanya ingin dilihat dan dipuji;
dan enggan memberi bantuan.

tersentak nafas pertapa
sedangkan baki hayat
tinggal berdikit cuma
tapi yang melekat di dahinya
cumalah sekadar khayal
debu-debu gua pertapaannya

A Muziru Idham

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Lelaki yang hilang dari rumah

Oleh Nasser Mikraj

Ilustrasi oleh Matarojit

SAYA menemukan seorang lelaki rupanya sudah sekian lama bersembunyi dalam laci almari baju saya. Dia yang lengkap bersut kemas dan memeluk briefcase berwarna hitam itu terkebil-kebil memandang saya sebelum bingkas menutup kembali laci dan menguncinya dari dalam. Sehingga hari ini, sudah masuk seminggu laci itu masih berkunci dan saya masih percaya lelaki itu masih berada di dalam tanpa mahu cuba menyuruhnya keluar. Tiada apa-apa yang berubah dalam kehidupan saya selepas penemuan itu. Saya tetap perlu bangun awal pagi dan bersesak di jalan raya seperti biri-biri keluar kandang untuk ke tempat kerja. Saya juga masih bekerja untuk menunggu hujung bulan ke hujung bulan dan terus-terus bersangka baik dengan julat gaji yang menurut firasat majikan boleh menampung sehingga tujuh keturunan.

Ya, tiada apa yang berubah ketika saya pulang, laci almari itu masih terkunci dan saya masih tidak mahu memikirkan bagaimana lelaki itu boleh terus bertahan hidup di situ. Saya juga merasakan tiada keperluan untuk menghalau lelaki itu keluar apatah lagi menuduhnya sebagai penceroboh apabila kehadirannya jelas tidak mengubah apa-apa. Kesunyian yang berperut buncit tetap akan datang mengetuk pintu rumah bermula senja, melompat-lompat di katil sebelum merayap di dinding seperti seekor cicak tanpa sebarang tujuan. Bil utiliti tetap sama. Barang makanan tetap itu-itu. Saya juga masih selesa memilih siaran tv sambil sibuk menjadi sesiapa sahaja di gelanggang media sosial.

Namun suatu pagi, saya sekali lagi menemukan seorang lelaki yang lain pula bersembunyi dalam ruang sejuk beku di peti ais. Dia yang lengkap memakai serban, berjubah selain memakai kopiah lambang jabatan agama itu terketar-ketar memandang saya sambil mengisyaratkan untuk segera menutup pintu ruang itu dengan jari yang saya kira sedang menghitung bilangan zikir. Saya mula paranoid. Perasaan itu juga seakan mula menukarkan saya menjadi seekor cicak yang galak membunyikan cak cak cak di seantero ruang sebelum dilibas jatuh oleh kesunyian berperut buncit sewaktu cuba merayap pada dinding. Saya mula cega ketika membuka apa-apa atas dasar kekhuatiran akan lebih banyak penemuan dalam rumah ini dan ianya benar-benar berasas tuan puan sekalian.

Saya menemukan seorang lelaki berkot putih sambil memegang suatu alat menyerupai stetoskop dalam rak kasut. Beliau mencerlung ganas ke arah saya sebelum bingkas menyorok dalam kasut. Ketika menutup rak itu, saya mendengar suaranya seakan membebel panjang namun hanya abjad s, o dan p sahaja yang duduk terpinga-pinga dalam telinga saya. Di bilik air, seorang lelaki dengan weskot hijau pula saya temukan terumbang-umbang berpaut pada pelampung hitam dalam tangki simbah. Saya cuba menghulurkan tangan untuk membantunya namun dia segera menepis dengan kasar dan mengisyaratkan untuk segera memasang kembali penutup tangki itu. Apabila saya menekan butang simbah, nafas cungapnya begitu jelas kedengaran. Saya juga dapat merasakan ada manusia di siling rumah, dalam kotak tisu, di bawah sofa malah di mana-mana.

Perlahan saya merasakan saya ialah dandelion yang ditiup angin perubahan dalam rumah. Saya seperti terapung di seantero rumah sebelum sekali lagi dilibas jatuh oleh kesunyian berperut buncit ke lantai. Buat pertama kali selepas sekian lama, saya berasa tidak tenteram dalam rumah sendiri sehingga kalau saudara cuba membisikkan istilah ‘rumahku syurgaku’ dengan meniru gaya iklan Yusuf Taiyob, saya akan mula memusuhi saudara tanpa sebab. Saya cuba berlapang dada dan menganggap apa-apa yang saya temukan di rumah ini tidak lain sekadar jerat muslihat kesunyian berperut buncit dengan wajah menjengkelkan itu yang terus-terus ingin mengikat saya dengan gari halusinasinya. Apa? Saudara mencadangkan agar saya melaporkan sahaja kepada pihak berkuasa? Ah, dengan kehidupan yang kian menakutkan di luar sana, pihak berkuasa sendiri hampir tidak mampu menjaga diri mereka sendiri.

Saya cuba menjalani kehidupan seperti biasa, kembali digembala majikan dan kapitalis selain berasak-asak dengan sistem yang punatnya dimainkan figura berupa katak dan ular. Saya cuba menjalani rutin seperti biasa; menonton siaran tv sambil terus sibuk-sibuk menjadi sesiapa sahaja di gelanggang media sosial. Namun segala-galanya seakan janggal seolah-olah seribu kamera litar tertutup diacu hanya untuk mengamati setiap pergerakan saya. Saya terkebil-kebil seperti seekor rakun yang terperangkap dalam rumah sampah di tengah-tengah ruang tamu sebelum diselamatkan oleh kerasionalan fikiran saya sendiri. Bagaimana saya ingin mengubah apa yang saya tidak persetujui dengan sistem kehidupan di luar sana kalau di rumah sendiri saya takut untuk bersuara? Ya, sebagai penanggung bil terbesar di rumah ini, saya mempunyai hak menentukan iklim di rumah ini harus beredar bagaimana. Entah semangat melawan dari mana sekonyong-konyong datang meradung segala ketakutan yang enggan keluar dari rumah termasuklah kesunyian berperut buncit yang baru ingin memanjat dinding.

Sambil mengepal penumbuk, saya meluru ke kamar terlebih dahulu dan membuka laci almari kasar sebelum mendapati ia kosong. Saya bergegas pula ke arah peti sejuk, tangki simbah, rak kasut malah menyelongkar hampir segenap isi rumah, tetapi tiada seorangpun yang dijumpai. Saya terduduk kembali di sofa seperti melihat satu bebola salji besar berguling-guling menabrak api kemarahan yang marak. Ah, mungkin saja mereka telah lari. Saya menyimpul senyum dan ingin terus menghebahkan ‘kemenangan’ ini ke media sosial sebelum pantulan dari skrin telefon memperlihatkan wajah saya yang pelbagai seperti wajah lelaki-lelaki yang hilang dari rumah.

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Lelaki di bawah pohon jambu

Oleh Arif Zulkifli

Ilustrasi oleh Matarojit

LELAKI itu masih berdiri di situ, di bawah pohon jambu yang entah berapa tahun teguh berdiri dekat dengan laman rumahku. Langsir usang yang berada di dalam genggaman, bergegar laju, mengikut rentak gigil tanganku. Aku menoleh ke belakang, melihat tiga anak kecilku sedang seronok bermain sesama mereka. Serta-merta, satu keluhan berat terlepas daripada mulut.

“Mak keluar sekejap. Jangan ke mana-mana.”

Aku tinggalkan rumahku dan masuk ke dalam kegelapan. Bintang di langit bersinar terang, lebih terang daripada api lilin yang menerangi ruang tamu rumah. Sesekali dingin malam nakal menyapa bahagian kulitku yang terdedah tak dilitupi kain.

Susuk lelaki itu semakin jelas. Segala apa mengenai lelaki ini adalah hitam — daripada baju hingga ke seluarnya sehitam arang, rambutnya zulmat, matanya; matanya adalah jelaga, adalah angkasa raya, adalah lubang hitam yang menyedut masuk aku ke lembah ketiadaan dan sebab itu setiap kali aku bersemuka dengannya, matanya takkan aku tatap.

“Berikan aku masa lagi. Kami masih belum bersedia. Aku masih belum bersedia.”

Lelaki itu cuma diam, dan alam turut sama diam. Hilang terus bunyi cengkerik. Dan kerana alam terlalu diam, telinga aku jadi bingit dengan desing sunyi. Aku menahan nafas sementara menunggu jawapan darinya.

Kurasakan beberapa abad telah berlalu — padahal sesaat dua cuma — akhirnya dia mengangguk perlahan dan terus berlalu pergi. Alam kembali bising dan aku akhirnya dapat bernafas semula. Badanku basah dengan peluh dan kehadiran angin malam langsung tak membantu untuk menghilangkan gigil. Aku masih lagi selamat. Buat masa ini.

***

Matahari lambat bangun hari ini. Langit masih dengan selimut malamnya. Selepas kukucup dahi setiap anak-anakku, aku terus mengayuh basikal menuju ke pasar; tempatku mencari rezeki. Bakul rotan berisi sayur-sayuran yang kupetik dari belakang rumah, kuikat di belakang basikal. Jalan merah berlumpur membuatkan kayuhanku sedikit sukar. Aku tak perasan pula hujan turun malam tadi. Atau pun ia basah kerana embun. Apa-apa pun, jalan ini masih kekal merah tak berturap sejak nenekku masih muda lagi — menurutnya.

Masih kuingat, keluhannya ketika aku yang masih kecil sedang membonceng basikal yang dikayuhnya. “Entah bilalah jalan ni nak diturap. Sejak nenek muda dulu pun jalan masih merah berlumpur macam ni.” Dan nampaknya jalan ini akan kekal begini untuk berpuluh tahun lagi.

Kiri-kananku penuh dengan bendera-bendera bermacam warna yang digantung. Ada beberapa helai yang jatuh di atas tanah, dikotori lumpur. Hampir aku terlupa minggu hadapan pilihan raya. Entah apa lagi janji yang bakal ditaburi ‘mereka’.

Setelah tiba, aku mengunci basikalku di sebuah papan tanda jalan. Sempat aku menjeling tulisan Cina yang disembur dengan cat sembur hitam menutupi tulisan jawi. Bakul rotan dikendong dan aku berjalan masuk ke dalam pasar. Semoga ada rezekiku di sini hari ini.

Matahari sudah lama memunculkan diri, tetapi sayurku cuma berkurang satu dua. Aku cuba untuk tidak mengeluh, tetapi aku terlalu risau dengan tong beras yang hampir habis isinya di rumah. Kalau hasil jualanku sedikit, bagaimana mahu menyuap mulut-mulut kecil di rumah?

Suasana pasar tiba-tiba menjadi riuh. Dari kejauhan, aku melihat beberapa anggota berseragam biru gelap masuk ke dalam pasar. Cepat-cepat aku meraba bahagian mulut, memastikan masih ada topeng muka di situ. Beberapa minggu lalu, peniaga selang dua tapak daripada tempatku disaman polis, hanya kerana dia membuka topeng mukanya sekejap kerana terasa sesak nafas dan dia sendiri menghidapi asma. Padahal waktu itu kedainya kosong tak berpelanggan, tetapi polis enggan mendengar apa-apa alasan dan habis terbang seribu ringgitnya.

Gerombolan polis tadi rupa-rupanya mengiringi seorang lelaki gempal, bercermin mata. Aku kira dia datang daripada golongan ‘mereka’ yang bertanding. Dia kemas berbaju batik — pakaian yang kukira sangat tak sesuai untuk ke pasar — dan yang peliknya, wajahnya langsung tak ditutupi topeng muka. Mulutnya merekah senyum sambil tangannya bersalam-salaman dengan peniaga yang datang merapat. Aku pasti lewat setiap salamannya itu, not ungu berganti tangan, dan peniaga yang mendekat tadi pun ikut sama tersenyum.

Apabila dia berjalan di hadapan tapak niagaku, aku cuma meletakkan tangan di dada dan menunduk. Wajahnya jelas berubah kelat, tapi cuma sesaat dua. Dan dia pun berlalu pergi. Hatiku meraung, menyuruh tangan menyambut not yang dihulur, tetapi otakku masih waras.

Cukup 30 minit menujuk muka, dia pun hilang. Pasar kembali lengang dan sayurku masih kekal banyak itu sehingga habis waktu berniaga. Kayuhanku pulang ke rumah terasa berat sekali, seperti seluruh bumi diletakkan di atas bahu.

***

Sudah lima hari berlalu sejak lelaki gempal itu datang ke pasar, dan sepanjang lima hari itu juga aku cuma berada di rumah. Pasar ditutup selama dua minggu apabila lelaki gempal itu didapati positif Covid. Beras sudah habis langsung, dan duitku cuma tinggal beberapa keping not hijau. Malam ini terasa panjang sekali. Sudah tiga hari kami sekeluarga makan sup sayur. Keluhan anak-anak terpaksa aku senyapkan dengan pujuk dan janji.

Hampir tumpah air mata yang aku tahan, apabila melihat anak sulungku memberikan separuh daripada sup sayurnya kepada adik paling kecil. Katanya padaku, dia tak lapar lagi, tapi keroncong perutnya lebih bingit daripada cengkerik di luar.

Sampai bila aku harus terus begini? Punca rezekiku ditutup langsung. Bukan aku tak mahu mencari kerja lain, tetapi kawasan aku tinggal ini, semuanya pun sama susah seperti aku. Bagaimana mereka mahu mengupahku kalau mereka sendiri menguis-nguis baki duit di dalam tabung?

“Kakak, jaga adik sebentar. Mak mahu keluar.”

Aku pasti lelaki itu masih setia berdiri di bawah pohon jambu, menunggu. Langkahku diorak perlahan, tetapi penuh dengan kepastian. Malam ini, aku beranikan diri untuk menatap matanya.

“Bawa kami pergi.”

Tiga perkataan yang ditunggu-tunggu lelaki itu, akhirnya aku luahkan. Dia mengangguk sekali, dan tiba-tiba sahaja aku sedang terbaring di bilikku. Tiga anak kecilku sudah lama dibelai lena di sebelah. Api lilin yang menyala malap, menggeliang-geliut membuatkan bayang-bayang kami empat beranak nampak seperti sedang menari di dinding.

Aku perasan sesusuk lembaga hitam — yang aku sangat pasti adalah lelaki di bawah pohon jambu tadi — berdiri dekat dengan lilin. Dengan sekali nafas, dia menghembuspadamkan api lilin itu dan aku tenggelam dalam lena yang sangat, sangat panjang.

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Pengalaman empar sedekad Fadilah Karim

Oleh Zahid M Naser

SAYA mengambil sedikit masa untuk menulis karangan kecil ini, kerana pengalaman menonton pameran A Decade: Fadilah Karim (2010-2020) di Segaris Art Centre Publika tidak begitu menghaluskan mata kasar saya. Maka saya harus mencari sudut-sudut lain ketika mengamatinya.

Berulang kali saya merujuk nota. Tenaga saya mulai kering, namun jiwa harus optimis, saya pujuk agar jangan putus asa, (Zarah Terbit memang sedari awal telah diarahkan begitu). Fadilah Karim berhak untuk saya berikan waktu.

Malam ini, saya mulakan menulis. Saya mengingati semula pengalaman berdepan dengan karya-karya pelukis prolifik ini. Saya mahu mengingati detik-detik estetik yang saya rasakan saat berdepan dengan karya-karya skala besarnya. Detik estetik memang memiliki musuh – musuh detik-detik estetik adalah lencongan daripada perasaan yang sebenar-benarnya.

Saya mahu lontarkan perasaan yang jujur. Pengalaman yang tentunya dapat mengungkap kedirian saya.

Maka, apakah sudut yang saya cerap ketika mengalaminya? Apakah ia begitu penting diungkapkan? Bagi tujuan menghargai pengkarya yang saya fikir telah sedia memiliki kilatnya sendiri. Persoalan sedemikian perlu saya jawab dengan berusaha mengingati pengalaman berdepan dengan Fadilah Karim melalui karya-karyanya.

Naratif besar

Mengamati naratif besar daripada dekad karya Fadilah Karim sebetulnya mudah dan senang. Mudah, kerana saya tahu sebagai pelukis, tentulah dia telah pandai melorek berus dan membancuh warna (lebih-lebih lagi Fadilah mempelajarinya di universiti) – meneliti femur, tendon, kranium dan lain-lain. Dan kerana prolifiknya, sedikit sebanyak pandailah juga dia bercerita. Semua itu, bagi setiap pelukis sememangnya asam dan garam. Ia bukan sukar bagi seorang pelukis yang menguasai teknik lukisan.

Hal ini, barangkali boleh dibandingkan dengan orang yang saban hari menulis. Kemahiran menulis adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari oleh sesiapa pun – ia mudah dikuasai bagi orang yang sungguh-sungguh mahu menguasainya. Ia adalah aktiviti menyambung-nyambung ayat dan perkataan bagi menyampaikan tujuan dan maksud fikiran si penulis.

Namun, dalam ‘pergulatan artisan’ – Baik pelukis, mahu pun penulis (atau bahkan dalam cabang apa pun) – hal ini sedikit sebanyak memerlukan usaha yang lebih. Kadang-kadang kita berjaya, kadang-kadang kita gagal menguasai diri kita sendiri. Jika ini berlaku, adalah normal kemasyghulan dan kesedihan dirasakan pengkarya.

Jadi, kerana itu, tidak menghiraukan sudut-sudut teknikal. Saya mencari hal lain ketika menyaksikan A Decade: Fadilah Karim 2010-2020. Detik-detik estetik perlu saya rasakan dan alami penuh ekstasi, perlu menenggelamkan saya kerana perjalanan 10 tahun adalah kisah yang kompleks. Saya mahu lekuk dan keluk naratif yang mengujakan, dan lencongan tadi saya tak mahu tahu.

Saya mahu kejujuran-kejujuran dalam pengalaman saya. Dan juga kejujuran dalam dekad karya Fadilah.

Saya katakan pada benak akal saya, “Cari plot-plot kecil dari keseluruhan karya yang dipertontonkan!

“Cari pengalaman sedar-mula, ritma-gerak dan kualiti-kualiti yang bukan repetitif!”

Saya sedar kualiti estetik hanya menjelma ketika pengalaman itu dirasakan bersatu dalam setiap jiwa yang mengalaminya. Sehingga barangkali terbawa-bawa ke dalam mimpi. Namun, malang saya, ini tidak berlaku.

Jika penghabisannya dilihat lesu bahkan terbisu, karya itu sukar menarik jiwa estetik. Kerana ia memenggal kewahdahan, memancung fikiran. Seakan nikmat yang kita tak tahu dari mana kita rasakan – saya percaya nikmat yang sempurna adalah nikmat yang kita berjuang untuknya, yang sukar kita genggam. Itulah maksud saya tentang kelencongan artisan yang sering membaham rakus kedirian. Kita lebih menikmati kehidupan apabila ia dikerjakan sepenuh jiwa dan raga. Separuh jiwa boleh menjadi satu lagi musuh detik-detik pengalaman estetik.

Mencerap realiti

Menyerap realiti memerlukan usaha pemusatan diri dalam ketunggalan. Fadilah hanya mencerap realiti dirinya sendiri. Idea-idea dari luar fikirannya tidak begitu tercerna. Reaksinya terlihat pasif. Ada ‘secalit’ ketakutan atau kebimbangan daripada pelukis kita ini.

Kerana itu, pengamatannya tidak menjentik jiwa pengembara seperti saya. Kembaranya tidak berbukit malah mengempar-ngempar. Terlalu mengufuk. Mengalaminya, tidak membuat saya puas dan menjadi lebih kukuh.

Mungkin dekad yang dipertontonkan ini boleh kita kirakan sebagai ‘pemanasan badan’. Saya atau kita mungkin perlu berdoa agar permulaan dekad yang baru saja menjengah ini – menjadi dekad karya yang menjangkau tempoh pemanasan badan si pengkarya.

Kerana, seperti yang saya katakan, setiap pelukis memang memiliki ‘kilatnya’ yang tersendiri. Tinggal lagi, dia mungkin perlu menempa kilat itu dengan pemerhatian yang mendakap kedalaman dan kedangkalan yang ada. Saya mahu menikmatinya, mahu mengalaminya dengan penuh debaran.

Untuk Fadilah, saya menunggu dekad itu!

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Seminggu sekali

nama lain untuk cinta:
jemarimu memeluk
tenggorokku. kemas.

nama lain untuk kita:
dua nafas saling kejar
-mengejar. pantas.

malam pun malu. malap
lampu hanya mampu men
– dengar kita bernaik saksi

antara satu sama lain.

 

Jack Malik