Categories
NASIONAL

PAKATAN ada strategi hadapi saingan tiga penjuru

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) mempunyai strategi tersendiri andai terpaksa berhadapan saingan tiga penjuru di beberapa kawasan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Sekreteriat PAKATAN, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, berdasarkan keadaan semasa mungkin itu realiti yang perlu dihadapi dalam landskap politik negara.

“Kemungkinan rasanya banyak (pertembungan) tiga penjuru antara Pakatan Harapan-Barisan Nasional-PAS.

“Saya tidak boleh beritahu banyak kerana ia membabitkan strategi kita,” katanya.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan penonton pada Siri Forum Demokrasi: Memerangi Budaya Takut Dalam PRU-14 di Auditorium Institut Darul Ehsan (IDE) semalam, beliau berkata, segalanya terserah kepada pengundi untuk memilih walaupun ramai akan bertanding.

Mengulas perkara sama, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya berharap peratusan rakyat akan keluar mengundi, pada PRU14 meningkat sehingga 90 peratus bagi melakukan perubahan.

Namun, berdasarkan mood semasa kecenderungan itu sukar dilihat berbanding PRU13.

Menyentuh soal budaya takut yang dibincangkan, Maria berkata, perkara itu sudah berlarutan sejak sekian lama termasuk ketika Bersih 2.0 menganjurkan perhimpunan kali pertama, pada 2010.

“Apabila terbabit dengan Bersih, saya masih ingat pada 2010 kita menganjurkan Perhimpunan Bersih 2.0.

“Kta dapat serangan daripada kerajaan menerusi media. Kita dikatakan anti-Islam, nak tumbangkan kerajaan. Setiap hari kita perlu jawab tuduhan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Manipulasi istilah ‘pembangkang’ cipta ketakutan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 MAC: Istilah ‘pembangkang’ sering digunakan untuk mencipta persepsi buruk hingga menakutkan rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kegagalan membawa perubahan.

Felo Penyelidik IESAD, Prof Madya Dr Hamdan Dato’ Mohd Salleh berkata, perkataan itu disifatkan negatif, termasuk penggunaan istilah seperti ‘Kerajaan Pembangkang Selangor’, ‘Kerajaan Pembangkang Pulau Pinang’ dan ‘Kerajaan Pembangkang Kelantan’.

“Ketakutan adalah persepsi yang diadakan dengan kewujudan istilah seperti ‘Kerajaan Pembangkang’

“Pembangkang adalah ayat negatif. Apabila ketakutan menjadi elemen dalam membuat pemilihan, ia akan mengundang masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Siri Forum Demokrasi: Memerangi Budaya Takut Dalam PRU-14, di Auditorium Institut Darul Ehsan (IDE).

Dr Hamdan, pentafsiran istilah ‘pembangkang’ dalam bentuk negatif itu menyukarkan rakyat khususnya di kawasan luar bandar atau kurang capaian maklumat membuat perubahan.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja mempengaruhi kawasan Semenanjung, malahan membabitkan Sabah dan Sarawak.

Selain istilah ‘pembangkang’, terma Melayu-bukan Melayu, hak Islam-hak bukan Islam dan Bumiputera-hak bukan Bumiputera yang sering dimainkan juga turut digunakan untuk menakutkan rakyat dalam membuat perubahan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

IDE: Sokongan terhadap MB dan Kerajaan Negeri meningkat 65%

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 JAN: Sokongan rakyat Selangor terhadap Kerajaan Negeri diterajui Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, meningkat 65 peratus menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) pada awal Januari ini mendapati ia meningkat tiga peratus berbanding 62 pratus pada kajian dijalankan, pada Ogos tahun lalu.

Timbalan Pengerusinya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, catatan peningkatan itu satu petanda positif kepada kepimpinan Dato’ Menteri Besar untuk memenangi PRU14.

“Peningkatan kepercayaan rakyat mencerminkan tawaran Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dikemukakan dalam tempoh pentadbirannya menunjukkan kesan positif dan efektif dalam membela isu rakyat.

“Ini sekali gus menunjukkan penerimaan positif terhadap Belanjawan 2018 dibentangkan bagi memastikan kesejahteraan hidup penduduk Selangor,” katanya.

Beliau berkata, IDE menjalankan kajian penerimaan rakyat Selangor terhadap kepimpinan Mohmed Azmin sejak 2015 iaitu dari awal memikul amanah sebagai Dato’ Menteri Besar.

Kajian terbaru IDE pada 5 hingga 7 Januari lalu, katanya, membabitkan 3,277 responden iaitu pengundi di Selangor merangkumi semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapati Mohamed Azmin selaku pemimpin mesra rakyat, turun padang dan mampu membawa kemajuan, di Selangor.

Responden adalah terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India serta terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, tempat tinggal, taraf pendidikan dan lain-lain diprofil berdasarkan nisbah 2,247,3565 pengundi, di negeri itu.

“Hasil dapatan ini menunjukkan sokongan kepada gabungan Pakatan Harapan (PAKATAN) di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar terus kukuh dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan kerajaan sedia ada walaupun berhadapan dengan isu seperti persempadanan baru pilihan raya dan pertandingan tiga penjuru.

“Pada masa sama, sokongan kepada Umno-Barisan Nasional (BN) didapati semakin merosot dan amat terserlah berhubung ketidakpuasan hati rakyat dalam isu berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kenaikan harga barang, penyelewengan, keyakinan kepimpinan dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata, kaji selidik dijalankan merangkumi penyelidikan pelbagai isu semasa seperti jika berlaku pertandingan tiga penjuru, persepsi rakyat terhadap parti politik, kecenderungan pengundian, pandangan terhadap su semasa, prestasi perkhidmatan wakil rakyat di DUN dan pencapaian inisiatif Kerajaan Negeri.

Katanya, ia diperoleh daripada Survei Mood Rakyat Selangor 2018 menjelang PRU14 dijalankan IDE yang dilaksanakan secara sistematik membabitkan 50 penemuduga terlatih dan dilakukan secara bersemuka menggunakan inovasi terkini dan aplikasi IDE e-survey dibangunkan IDE.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Beza persempadanan semula sebelum dan selepas 2008

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JAN: Persempadanan semula kawasan pilihan raya, sebelum 2008 menyaksikan pengundi majoriti Melayu dipecahkan ekoran kecenderungan kaum itu memilih pembangkang, berbanding kaum lain.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, pendekatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimanapun berubah selepas itu dengan menyaksikan kawasan campuran pula dipecahkan dalam persempadanan semula.

“Apabila langkah itu dibuat, kawasan bercampur inilah yang banyak dimenangi pembangkang atau jika di Selangor, ini adalah parti pemerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Demokrasi: “Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Untuk Mengekalkan Kemenangan BN: Dimana Hak Pengundi”, di Auditorium IDE, semalam.

Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) itu berkata, pola sokongan pengundi sejak 2008 berubah dengan menyaksikan kemerosotan mendadak sokongan kepada BN, di kawasan campuran.

Katanya, kawasan majoriti Melayu yang sebelum ini berpontensi besar dimenangi pembangkang bertukar menjadi kawasan yang pengundinya cenderung memilih BN, selepas 2008.

“Antara contoh yang boleh dilihat membabitkan Dewan Negeri Sri Andalas diwakili Dr Xavier Jayakumar.

“Beliau menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan majoriti 15,000 tetapi apabila berlaku persempadanan semula, kawasan yang paling ramai pengundi India hilang menyaksikan peningkatan pengundi Melayu pula sehingga 74 peratus,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PRU11: Pak Lah bukan ‘wow factor’ BN menang besar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JAN: Kemenangan terbesar diraih Umno-Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11), pada 2004 bukan disebabkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman sebaliknya berkata, hal itu ekoran kuasa persempadanan semula yang sentiasa memihak kepada parti berkenaan.

“Ramai yang kata kemenangan BN pada masa itu adalah faktor Pak Lah (Abdullah), namun sebenarnya ia kesan persempadanan semula yang dilaksanakan selepas PRU10,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Demokrasi: “Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Untuk Mengekalkan Kemenangan BN: Dimana Hak Pengundi”, di Auditorium IDE, di sini, hari ini.

Katanya, persempadanan semula dilaksanakan apabila Umno-BN mendapati undi diperolehi, pada PRU10 merosot teruk ekoran kemarahan rakyat khususnya pengundi Melayu berhubung kes fitnah ke atas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Dr Mohammad Redzuan berkata, pembangkang berjaya menafikan kemenangan dua pertiga Umno-BN, pada PRU-12 apabila wujud tsunami politik yang tidak diduga.

“Jika kekal dengan persempadanan sedia ada, amat sukar untuk BN menang dua pertiga tetapi dengan persempadanan baru, kemungkinan itu ada.

“Ia bergantung kepada sejauh mana persempadanan dapat dilaksana berdasarkan model dan reka bentuk dilakukan serta dinamik yang boleh menimbulkan pelbagai kesan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Bantah persempadanan semula selamatkan PAKATAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) wajar berterima kasih kepada Kerajaan Selangor ekoran keputusan Kerajaan Negeri mencabar persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan pembubaran Parlimen ditangguhkan.

Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, penangguhan itu sekali gus memberi peluang kepada PAKATAN untuk mengatur strategi paling berkesan hingga saat akhir, sebelum melangkah ke gelanggang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Jika tidak kerana Kerajaan Negeri membawa bantahan di mahkamah, hampir pasti Parlimen sudah dibubarkan tahun lalu dan memberi banyak kelebihan kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Forum Demokrasi: “Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Untuk Mengekalkan Kemenangan BN: Dimana Hak Pengundi”, di Auditorium Institut Darul Ehsan (IDE), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Shaharuddin berkata, jika persempadanan semula yang dicadangkan SPR itu berjaya dilaksanakan, peluang PAKATAN untuk menumbangkan BN, pada PRU-14 semakin tipis.

Siri forum anjuran IDE menampilkan tokoh akademik tidak asing, iaitu Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) merangkap Timbalan Pengerusi IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dan Ketua Analisis Politik dan Sosial di Penang Institute, Dr Wong Chin Huat.

 

Categories
NASIONAL

Reformasi akta dana politik perlu holistik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 DIS: Penggubalan semula akta dana awam untuk parti politik perlu bersifat holistik dengan memberi tumpuan aspek ketelusan dan integriti.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia perlu merangkumi dua faktor utama yang memerlukan perubahan secara jelas dan menyeluruh bagi menghalang wujudnya salahlaku penggunaaan dana awam bagi tujuan parti politik.

“Ia tidak cukup sekadar dengan hanya penggubalan undang-undang itu sahaja, tetapi perlu diubah daripada aspek budaya, soal sikap, amalan dan perilaku individu itu sendiri.

“Untuk memastikan ianya berdiri secara holistik, perundangan lain juga perlu digubal contohnya penggubalan undang-undang atau akta melibatkan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Dana Awam untuk Parti Politik di Auditorium, Institut Darul Ehsan, hari ini.

Mengakui perkara sama, Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming mencadangkan perubahan Reformasi sumbangan dana politik yang mengehadkan kepada parti politik dan bukan individu tertentu.

“Kita mengakui masih wujudnya kelompongan itu, namun akhirnya dalam manifesto Pakatan Harapan yang diumumkan pada Perhimpunan Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi menyaksikan Pakatan tampil dengan cadangan baru lebih holistik.

“Pendekatan terbaik termasuklah menetapkan setiap penyumbang terhad kepada maksimum RM50,000 sahaja dan sebarang sumbangan melebihi RM10,000 mesti direkodkan.

“Selain itu, sumbangan politik hanya bleh dibuat oleh individu dan bukan badan-badan korporat untuk membanteras pengaruh korporat terhadap pemimpin,” katanya.

Terdahulu, penganjuran Forum Dana Awam dilaksanakan Insitut Darul Ehsan bagi mengupas kemelut dan isu pemberian dana awam bagi tujuan kepentingan politik individu tertentu yang berlaku kini.

Ia susulan pendedahan media antarabangsa mengaitkan wujudnya sentimen penyelewengan dana awam dan sumbangan politik terhadap pimpinan utama negara yang dilabel sebagai, Malaysian Official Number 1 (MO1).

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pusat Kajian Maqasid IDE sesuai saranan Sultan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 SEPT: Institut Darul Ehsan (IDE) menubuhkan Pusat Kajian Maqasid Shari’ah dalam menggerakkan kajian dan mengangkatnya sebagai asas penggubalan dasar Kerajaan Negeri.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Dato’ Kamarudin Jaafar berkata, ia bersesuaian dengan titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menyentuh perkara itu dalam Istiadat Pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pada 2015.

“Bersesuaian semangat titah diraja itu, IDE berhasrat melakukan kajian intensif berkenaannya dengan objektif utama menbantu Kerajaan Negeri mengaplikasi al-maqasid dalam perumusan dan pelaksanaan dasar pentadbiran.

“Selain itu, ia meratakan kesedaran berhubung al-maqasid dalam kalangan pelbagai lapisan rakyat, pembuat dasar, pentadbir, pendidik, pemimpin masyarakat dan massa rakyat,” katanya ketika Muzakarah Pakar Maqasid al-Shari’ah 2017 anjuran IDE, di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi inisiatif dan usaha berterusan Pusat Kajian Maqasid al-Shari’ah IDE, beberapa program juga aktiviti ilmiah bagi membincangkan aspek itu secara mendalam dilaksanakan.

Kamarudin berkata, seminar dan bengkel secara berkala berkenaannya dianjurkan dengan dihadiri kelomppok berkaitan dan IDE berhasrat meneruskan usaha merakyatkannya menerusi pelbagai perancangan menyeluruh serta bersifat jangka masa pendek juga panjang.

“Asas kepada penubuhan IDE sendiri mewujudkan masyarakat berteraskan keilmuan dengan misi pencerahan dan pencerdasan masyarakat.

“Justeru, IDE sentiasa menggerakkan program keilmuan, pendidikan, pencerahan dan pencerdasan rakyat serta masyarakat,” katanya mengambil contoh penubuhan Pusat Kajian Pembinaan Bangsa IDE bagi menyantuni isu berkaitan masyarakat majmuk, perpaduan dan kepelbagaian masyarakat unik dalam satu bingkai kesatuan sebagai warganegara.

Muzakarah Pakar Maqasid al-Shari’ah 2017 bertemakan “Pembangunan Hijau dan Kelestarian Alam Sekitar” dirasmikan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong dan dihadiri Pengerusi IDE, Dato’ Dr Siddiq Fadzil serta hadirin lain.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Atasi sasaran, catat 31.6 peratus rizab hutan simpan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 SEPT: Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan 31.6 peratus dalam usaha mengekalkan rizab hutan simpan kekal dan ia berjaya melepasi sasaran ditetapkan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata Kerajaan Negeri komited dalam usaha itu bagi mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kawasan tanah biarpun Selangor adalah negeri paling padat dengan industri, penduduk dan termaju di Malaysia.

“Kita mempunyai dasar perlindungan hutan terbaik di negara ini di mana sejak 2009, telah melaksanakan moratorium selama 25 tahun tiada pembalakan komersial.

“Kita telah menggubal enakmen negeri yang baru bagi memastikan pendengaran awam sebelum sebarang warta keluar rizab hutan simpan kekal dilaksanakan,” katanya dalam majlis perasmian Muzakarah Pakar Maqasid al-Shariah 2017 di bangunan IDE, di sini, hari ini.

IDESelain perlindungan hutan, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga melaksanakan kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) bagi mewujudkan komuniti dan persekitaran lestari selain melancarkan kempen #Bebas Plastik sejak 2009 dalam usaha pemeliharaan alam sekitar juga kepelbagaian biologi.

Katanya, usaha Institut Darul Ehsan menganjurkan muzakarah membincangkan isu berkaitan alam sekitar dipuji dan sewajarnya digalakkan kerana ia mempertemukan ahli akademik, pembuat dasar dan masyarakat untuk berbicara serta berkongsi idea dalam isu berkenaan.

“Isu alam sekitar adalah isu global yang penting untuk diwacanakan.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memelihara akam sekitar tetapi usaha ini dilihat masih gagal dalam mewujudkan kesedaran dan pengurusannya yang lebih berkesan.

“Dalam isu ini, saya melihat peranan agama dan budaya perlu diangkat secara serius dalam memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber alam semula jadi diberi perhatian sepenuhnya,” katanya.

Elizabeth berkata, beliau percaya setiap agama sejagat tanpa mengira bangsa dan keturunan, berpegang kepada prinsip semua makhluk adalah khalifah yang mesti menunaikan tanggungjawab menyayangi segala ciptaan tuhan.

“Ini jelas menunjukkan mana-mana agama amat menitikberatkan penjagaan alam sekitar dan menolak sebarang eksplotasi ke atasnya.

“Prinsip penjagaan alam sekitar harus ditegakkan da dilaksanakan merentasi perbezaan agama,” katanya.

Muzakarah Pakar Maqasid al-Shariah 2017 anjuran IDE bertema “Pembangunan Hijau dan Kelestarian Alam Sekitar” menghimpunkan beberapa ahli akademik dan pihak berkaitan bagi membincangkan isu berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi IDE, Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Ahli Lembaga Pengarah IDE, Dato’ Kamarudin Jaafar dan hadirin lain.

=EZY=

Categories
SELANGOR

IDE: Pusat Kajian Bangsa wadah perpaduan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 SEPT: Institut Darul Ehsan (IDE) menubuhkan Pusat Kajian Bangsa IDE dengan matlamat membangun dasar-dasar dan program yang membantu perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia.

Majlis peluncuran disempurnakan Timbalan Pengerusi IDE, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman pada sesi sidang meja bulat di Bangunan IDE.

Beliau berkata perbezaan yang ada di Malaysia seharusnya tidak dilihat sebagai kelemahan sebaliknya dijadikan kekuatan oleh rakyatnya.

“Kepelbagaian seharusnya dilihat sebagai satu sumber kekuatan yang menyegarkan, bukannya sebagai kelemahan menyukarkan.

RAKYAT MALAYSIA“Di sebalik wujudnya perbezaan kaum dan agama, sebenarnya wujud sekian banyak persamaan dari segi nilai dan prinsip fundamental yang seharusnya dibangun dan dikembang menjadi elemen persefahaman dan perpaduan dalam membentuk dasar dan program yang memperkukuh bangsa Malaysia dalam erti kata sebenar,” katanya.

Antara objektif penubuhan pusat kajian ini adalah untuk menyediakan platform bagi percambahan pemikiran, mengkaji serta menilai aspek hubungan serta persefahaman antara kaum dan agama dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Pusat kajian ini juga berperanan untuk mencadangkan dasar dan program meningkatkan perpaduan selain menggalakkan amalan politik merentasi perkauman.

Program pusat kajian ini terdiri daripada tiga komponen iaitu kajian, perkongsian dan pemberdayaan komuniti.

‘Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan’ menjadi tajuk perbincangan sidang meja bulat yang disertai Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik, Ketua Pengarah Operasi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomo (IDEA) Tricia Yeoh, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Denison Jayasooria dan Aktivis Kesenian, Eddin Khoo.

Hadir sama Pengerusi IDE, Prof Adjung Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang sebelum itu menyampaikan ucapan aluan berdasarkan karyanya bertajuk ‘Pembinaan Bangsa Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan’.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

82% setuju GST punca kenaikan kos sara hidup

Respon terhadap pandangan Rakyat Malaysia tentang Cukai Perkhidmatan dan Barang (GST)

Berdasarkan survei Malaysia yang di jalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE), rakyat Malaysia bersetuju bahawa kenaikan kos sara hidup adalah berpunca Cukai Perkhidmatan dan Barang (GST) yang telah di laksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional pada 1 April 2015

Mengikut kajian, 82% rakyat Malaysia telah menjawab setuju bahawa GST adalah punca utama kenaikan kos sara hidup, manakala hanya 8% sahaja yang tidak bersetuju.

Jumlah ini juga turut mencerminkan penolakan rakyat Malaysia terhadap GST yang telah mengakibatkan harga barang yang semakin naik dan memberi kesan yang teruk kepada ekonomi rakyat Malaysia.

Survei IDE - infografikIDE telah menjalankan beberapa siri survei sebelum ini, turut mendedahkan bahawa trend penolakan pengundi yang semakin meningkat dapat dilihat sejak 2015 apabila soalan berkaitan GST diajukan, walaupun kerajaan Barisan Nasional telah menggunakan segala medium yang ada untuk memberi pendedahan yang positif mengenai GST dari semasa ke semasa.

Berdasarkan “tracking” IDE sejak 2015, didapati bahawa:

1. Persepsi masyarakat bahawa isu GST telah menyebabkan kenaikan harga barang.

2. Kenaikan harga barang ini memberikan kesan kepada sara hidup dan masalah ekonomi rakyat khususnya yang tinggal di kawasan-kawasan bandar.

3. Kenaikan harga barang dirasai rakyat secara menyeluruh oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah dan ‘miskin bandar’.

4. Kajian IDE juga mendapati keluhan dan ketidakpuasan hati masyarakat terhadap GST ini adalah merentas umur, kaum dan pekerjaan termasuk tempat tinggal.

5. Lebih 55% Penyokong Barisan Nasional (BN) dikalangan responden, turut menyuarakan bantahan dan ketidakpuasan berhubung dengan dasar GST di negara ini.

GST - infografikHasil dapatan ini diperoleh daripada set soalan Survei Malaysia 2017 yang dijalankan oleh IDE pada 11 hingga 15 Ogos 2017 melibatkan seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.

Kajian ini dilaksanakan secara akademik dan saintifik oleh IDE dengan melibatkan 64 orang enumerator terlatih yang turun secara bersemuka dengan 4468 responden di semua negeri yang dibahagikan mengikut Parlimen.

IDE menggunakan inovasi terkini dalam penyelidikan dengan menggunakan tablet dan aplikasi IDE e-survey yang dibangunkan sendiri oleh IDE.

Inovasi ini membolehkan profil sampel responden, lokasi enumerator dan tugasan mereka dipantau secara real time di bilik operasi IDE bagi memastikan ketepatan survei berdasarkan profil responden yang telah ditetapkan.

Responden terdiri daripada pelbagai kaum melibatkan Melayu, Cina dan India serta terdiri dari pelbagai latar belakang pekerjaan, tempat tinggal, taraf pendidikan dan lain-lain.

Selain survei yang dijalankan, IDE juga mengadakan perbincangan berkelompok dengan pelbagai kumpulan bagi menentukan keabsahan dan menyemak dapatan.

===============================================================

Kajian ini diketuai oleh PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD REDZUAN OTHMAN dan kumpulan pakar penyelidik IDE dari pelbagai latar belakang.

Survei ini adalah sebahagian dapatan daripada Projek Survei Malaysia 2017: MOOD RAKYAT I MOOD OF THE NATION boleh dijadikan asas untuk mengukur persepsi rakyat terhadap isu-isu yang dikaji bagi tempoh 6 bulan.

Maklumat lanjut boleh didapati daripada laman web IDE: www.ideselangor.com.

Categories
NASIONAL

50% pengundi dah tetapkan sokongan PRU

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati 50 peratus pengundi di Semenanjung Malaysia telah memilih parti mana yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Kajian yang melibatkan 4,486 responden itu turut mendapati sebanyak 22 peratus pengundi akan membuat keputusan parti mana yang akan dipilih selepas penamaan calon dan sembilan peratus akan membuat keputusan seminggu sebelum hari pengundian.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Profesof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata kaji selidik dijalankan pada pada 11 hingga 16 Ogos itu turut mendapati sebanyak 19 peratus lagi akan membuat keputusan di saat akhir iaitu pada hari pengundian.

RAKYAT MALAYSIA“Golongan terbesar adalah yang awal lagi sudah membuat keputusan parti mana nak dipilih. Kemungkinan besar mereka ini adalah ahli sesuatu parti itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan ‘Survei Malaysia 2017, #MoodRakyat – Kajian Trend Masyarakat Malaysia Dalam Isu Semasa’ terhadap soalan kepada responden ‘pada ketika manakah keputusan dan pendirian memilih sesuatu parti dibuat’.

Sementara itu apabila responden ditanya berkenaan tahap kepuasan dengan situasi politik dan amalan demokrasi di Malaysia, kajian mendapati sebanyak 18 peratus sangat tidak berpuas hati, 27 peratus tidak berpuas hati dan 36 peratus kurang berpuas hati dengan situasi politik dan amalan demokrasi di Malaysia.

Kajian terhadap soalan berkenaan juga mendapati hanya 19 peratus sahaja yang memberikan persepsi berpuas hati.

=EZY=