Categories
SELANGOR

Ayuh kibarkan Jalur Gemilang, semai cintakan negara

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 16 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze menggalakkan semua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Subang Jaya khususnya untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda sokong dan cintakan negara.

Michelle berkata, beliau optimis masyarakat komited memberikan sokongan sekaligus menghormati pejuang dahulu yang bersusah payah mendapatkan Kemerdekaan terhadap negara ini.

“Saya sendiri sudah menyumbangkan 400 Jalur Gemilang untuk digantung dan dikibarkan di seluruh Subang Jaya dan optimis supaya masyarakat di sini turut memberikan sokongan terhadap kempen ini.

“Kempen kibarkan Jalur Gemilang bukan sahaja dapat menceriakan kawasan rumah penduduk tetapi menyemarakkan suasana menjelang Hari Kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku bertempat di Pasaraya Mydin USJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Michelle berkata, beliau memuji inisiatif Mydin Mohamed Bhd yang sentiasa komited bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam melaksanakan program MyMerdeka itu.

Katanya, program yang sudah memasuki tahun ketiga itu bertujuan meraikan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara bebas, aman dan makmur serta memberi kesedaran patriotisme dalam kalangan rakyat.

“Program MyMerdeka ini memberi makna yang cukup signifikan dan bermakna kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat di Malaysia.

“Penganjuran program sebegini dilihat dapat menyemarakkan kesedaran terhadap sambutan Kemerdekaan yang diraikan oleh seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira fahaman ideologi politik budaya dan agama,” katanya.

Program MyMerdeka Sayangi Malaysia itu merupakan pameran berkonsepkan komunikasi visual secara bersemuka yang turut mendapat kerjasama bersama Mydin Mohamed Bhd dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN).

Program itu memberi kesedaran kepada pengunjung melalui penghayatan secara visual yang memaparkan aspirasi atau hasrat kerajaan mewujudkan negara bersatu padu dan mengamalkan toleransi antara kaum.

Antara pengisian menarik program selama empat hari sehingga 19 Ogos itu antaranya Pameran Sejarah Negara, Pameran Raja Kita, Pameran Koleksi Logo Hari Kebangsaan, Kempen MyPledge dan Shop, Collect & Redeem 2018.

Categories
PBT SELANGOR

MPK optimis masyarakat kibar Jalur Gemilang

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 15 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) optimis masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang sempena menghormati bulan Kebangsaan yang bakal tiba, pada 31 Ogos ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, MPK turut komited menganjurkan Program Kibar Jalur Gemilang bertujuan menyemarakkan perasaan patriotik dalam kalangan warga kerja dan masyarakat, terutama di daerah terbabit.

“Semangat penghayatan kemerdekaan ini amat penting dan perlu terus dihidupkan dalam diri supaya ia terus terpelihara dan terjaga.

“Kempen ini bertujuan menggalakkan warga kerja MPK dan rakyat kawasan seliaan kami mengibarkan bendera Malaysia bagi menunjukkan rasa cinta kepada negara, sekali gus menanam sikap patriotik dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Program Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-61 peringkat MPK, di Dewan Hamzah, di sini, hari ini.

Mohamad Yasid berkata, program itu dilaksanakan untuk menzahirkan penghargaan masyarakat terhadap pejuang kemerdekaan tanah air selain menghayati pengorbanan mereka selama ini.

Pada masa sama, turut diadakan gimik memasang bendera Jalur Gemilang yang dilaksanakan Mohamad Yasid dan pertandingan pakaian beragam bertemakan bulan kemerdekaan dalam kalangan kakitangan.

Categories
PBT SELANGOR

Jangan kibar bendera lusuh – MBSA

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyeru orang ramai supaya tidak mengibarkan Jalur Gemilang yang sudah lusuh sempena bulan kemerdekaan kali ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, rakyat Malaysia perlu menunjukkan sikap patriotik terhadap negara dengan mengibarkan bendera yang masih elok.

“Kami memohon orang ramai khususnya di sekitar kawasan pentadbiran MBSA untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Selangor, mulai 16 Ogos sehingga 25 September ini di premis masing-masing.

“Arahan ini meliputi semua bangunan pejabat kerajaan, swasta, kilang, kedai, masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam seperti gereja, kuil, tokong serta kediaman,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, MBSA turut menyeru masyarakat di sekitar Shah Alam untuk memasang bendera dengan cara yang betul dan tidak menggunakan Jalur Gemilang yang sudah koyak hingga menghilangkan bentuk fizikalnya.

Katanya, pemilik bangunan juga digalakkan menghias dan mengecat semula bangunan serta menceriakan premis masing-masing.

“Pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Selangor diharapkan dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dan menaikkan semangat patriotik kepada orang ramai sempena Hari Kemerdekaan Ke-61 tahun ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Perdana Menteri lancar Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018

GEORGE TOWN, 4 OGOS: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 peringkat kebangsaan dalam suasana cukup meriah dan penuh semangat kebangsaan di Padang Kota Lama di sini.

Program yang menandakan permulaan sambutan Hari Kebangsaan negara dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku’ dimeriahkan oleh ribuan rakyat yang menyaksikan sambutan yang pertama kali dianjurkan kerajaan Pakatan Harapan setelah mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 Mei lepas.

Turut hadir isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan menteri-menteri kabinet serta barisan exco kerajaan negeri.

Program itu bermula pada pukul 7.45 malam dengan persembahan boria oleh Kumpulan Boria Putera Wawasan diikuti persembahan koir oleh artis PENTARAMA Jabatan Penerangan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri dan penari Majlis Kebudayaan Pulau Pinang.

Antara lagu yang dipersembahkan oleh artis PENTARAMA ialah Assalamualaikum; Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta; Baleilaka; Wei Ho Li Ai Tio Pa Lang; Malam Ini Kita Punya; dan Malaysia Baru.

Upacara membawa masuk Jalur Gemilang pula dilakukan oleh lapan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diketuai Lt Sobra Mulisa Ahyum dari KD Sri Pinang manakala Pasukan Pancaragam Pusat memainkan lagu Negaraku dan Jalur Gemilang diketuai Lt Mohd Shahram Ramli dari TLDM Lumut, Perak.

Simbolik pelancaran ialah pelepasan 14 belon bersaiz besar ke udara dan meletup mengeluarkan 1,400 belon kecil berbentuk hati. Turut dipersembahkan ialah lagu tema Hari Kebangsaan ke-61 bertajuk ‘Kita Punya Malaysia’ oleh Bunkface ciptaan Sam Bunkface.

Program malam ini turut dimeriahkan dengan konsert Sayangi Malaysiaku yang menampilkan artis-artis popular tanah air seperti Ella, Siti Nordiana, Suki, Azlan & The Typewritter dan Waris serta pertunjukan bunga api.

Perdana menteri kemudian melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang akan menjelajah ke seluruh negara membawa mesej kenegaraan dalam inisiatif untuk menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang.

Konvoi yang akan berakhir di Putrajaya pada 31 Ogos terdiri daripada 20 kenderaan dan 40 motosikal berkuasa tinggi melibatkan 135 perserta terdiri daripada Jabatan Penerangan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Finas, MalaysiaAktif dan Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi ST1300.

Turut menjayakan majlis pada malam ini ialah kumpulan Aktivis Sayangi Malaysiaku iaitu 300 sukarelawan berumur antara 18 dan 35 tahun yang berperanan sebagai kru promosi patriotik, kru media sosial, pasukan sorak, dan pasukan gotong royong.

Pada sebelah pagi berlangsung acara Larian Merdeka sejauh 5 kilometer di Jalan Padang Kota Lama melibatkan 3,000 peserta.

Pelbagai acara diatur bagi memeriahkan program tiga hari bermula 3 Ogos, antaranya pameran ‘Caring Bridge’ yang disertai 80 agensi kerajaan dan swasta serta syarikat telekomunikasi; Konsert Sayangi Malaysiaku; Jualan My Best Buy Fama; Karnival Food Truck; Persembahan Buskers Sayangi Malaysiaku;

Pertandingan Bintang Patriotik; program Zikir Sayangi Malaysiaku; majlis keagamaan di beberapa masjid, gereja dan kuil di sekitar George Town serta Pameran MyMerdeka Sayangi Malaysiaku di Mydin Bukit Mertajam.

SUMBER: BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Semarak kibarkan Jalur Gemilang

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 22 OGOS: Sempena sambutan kemerdekaan ke-60, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Kempen Kibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan perasaan patriotik dikalangan warga kerjanya.

Pemangku Yang Dipertua MPSJ, Zulkarnain Che Ali berkata, program itu merupakan salah satu inisiatif penyampaian Khidmat Pesanan Masyarakat MPSJ sempena bulankemerdekaan Malaysia yang ke-60.

“Kempen ini bertujuan menggalakkan warga kerja MPSJ dan rakyat di kawasan seliaan kami mengibarkan bendera Malaysia bagi menunjukkan rasa cinta kepada negara sekaligus menanam sikap patriotik di kalangan mereka.

Kempen“Secara tidak langsung melalui kempen ini turut menzahirkan penghargaan masyarakat terhadap pejuang kemerdekaan tanah air, di samping menghayati pengorbanan mereka selama ini,” katanya.

Pada masa sama, Zulkarnain turut memasang bendera jalur gemilang di kenderaan milik majlis itu antaranya jenis kereta peronda unit trafik Jabatan Penguatkuasa MPSJ, kenderaan pacuan empat roda dan motosikal.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

Program kayuhan santai semarak sambutan kemerdekaan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 16 OGOS: Seramai 300 peserta melibatkan komuniti Shah Alam serta ahli kelab basikal menyertai Program Kayuhan Santai sempena Kempen Kibarkan Jalur Gemilang peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2017.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, program itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi antaranya Hikers Climbers, Polis dan Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana.

“Para peserta akan berkayuh sejauh 23 kilometer bagi menyerahkan bendera jalur gemilang di beberapa perhentian iaitu sekolah di sekitar Shah Alam.

“Antara sekolah terlibat adalah Sekolah Rendah Kebangsaan Seksyen 2 dan 20, Sekolah Menengah Seksyen 2 dan 16 serta Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Midlands di seksyen 7.

IMG_20170816_093752-1024x683“Kita juga memberikan 200 t-shirt percuma kepada 200 peserta terawal mendaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Kayuhan Santai dan Pemasangan Bendera Jalur Gemilang di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini pagi tadi.

Pada masa sama, Zaharin turut memasang bendera jalur gemilang di 40 kenderaan milik majlis itu antaranya jenis kereta peronda, kenderaan pacuan empat roda, lori kompektor, lori open tipper, lori tail serta van jenazah.

Tambahnya lagi, program itu bertujuan menyemarakkan lagi semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan kakitangan MBSA serta orang ramai.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Merdeka bukan sekadar kibar Jalur Gemilang

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 OGOS: Kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata tetapi merangkumi pembebasan diri, jiwa dan pemikiran terpasung.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemikiran dan jiwa rakyat tidak sepatutnya dipenjara kembali sehingga hilang ‘courage of conviction’ menegur kerosakan.

Katanya, keadaan itu hanya akan membuatkan sang penguasa terus rakus membungkam suara rakyat yang berani tampil menegakkan keadilan dan kebenaran.

“Saya yakin pejuang kemerdekaan dahulu juga tidak mahu melihat penjajahan beralih tangan dari penjajah asing kepada penjajahan baru dalam kalangan sang penguasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan dan Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Selangor 2017, di sini, hari ini.

IMG_20170814_104532Hadir sama, Speaker Kerajaan Negeri, Hannah Yeoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri mahu memaknai erti kemerdekaan dengan pembangunan dan kemajuan unggul demi rasa kasih juga cinta kepada rakyat.

“Apa yang lebih penting penghayatan nilai dan semangat dizahirkan jalur gemilang untuk kita menggilap kembali semangat patriotisme serta kecintaan kepada tanah air.

“Pembangunan dilaksanakan bukan sekadar membangunkan gedung atau infrastruktur untuk rakyat tetapi sama penting dengan pembangunan jati diri bangsa,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bendera Malaysia dikibar separuh tiang Hari Perkabungan Negara 22 Ogos

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Bendera Malaysia hendaklah dikibarkan separuh tiang di seluruh negara dan semua acara berunsur hiburan hendaklah ditangguhkan semasa Hari Perkabungan Negara pada Jumaat ini.

Menurut kenyataan media Jabatan Perdana Menteri (JPM), semua pihak diminta memakai pakaian berwarna suram dan tidak berwarna terang/garang pada hari perkabungan sempena ketibaan jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 ke tanah air.

Pada hari berkenaan juga, semua rancangan hiburan di semua saluran radio dan televisyen hendaklah ditangguhkan dan diganti dengan bacaan al-Quran dan program berunsur keagamaan.

malaysia-flag-l“Bagi mereka yang beragama Islam dan terlibat secara langsung (dalam majlis sambutan ketibaan jenazah), mereka (termasuk petugas media) digalakkan memakai songkok (tanpa lilitan warna putih), manakala pegawai dan petugas wanita perlu memakai selendang berwarna hitam,” kenyataan itu menyebut.

Peraturan hari perkabungan yang ditetapkan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa JPM perlu dipatuhi di semua peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat swasta, stesen radio dan televisyen serta orang ramai.

Hari Perkabungan Negara diisytiharkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersempena ketibaan jenazah mangsa tragedi MH17 yang bertujuan menzahirkan rasa dukacita seluruh rakyat Malaysia di atas tragedi itu.

Majlis sambutan ketibaan jenazah akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pesawat MH17 milik Malaysia Airlines yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh di Ukraine.

Categories
NASIONAL

‘Janji Ditepati’.. Akhirnya Memakan Diri

KOMENTAR : Kelunturan semangat mengibarkan Jalur Gemilang semakin ketara terutama tahun ini berbanding tahun sebelumnya yang mungkin disedari ramai pihak namun menganggap ianya ‘perkara biasa’.

Walaupun mengibarkan Jalur Gemilang bukan pra-syarat utama mengekspresikan semangat kemerdekaan, namun ianya kekal sebagai satu elemen penting meraikan ulang tahun bersejarah bagi negara.

Fenomena ini sepatutnya difikirkan semua pihak terutama parti pemerintah yang saban tahun memikirkan konsep baru sambutan kemerdekaan agar terus tersemat di sanubari rakyat Malaysia.

Gambaran ini melambangkan rakyat sudah muak dengan apa yang berlaku dalam iklim politik negara terutama pendedahan pelbagai skandal yang melibatkan pimpinan negara dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 dihujani kontroversi bermula dengan pengenalan tema ‘Janji Ditepati’ yang dilhamkan kerajaan sebagai lambang ‘kejayaan’ mereka mentadbir negara selama ini.

Tema bermotifkan ‘kelangsungan politik’ ini nyata mendapat kritikan banyak pihak yang jelas tidak melambangkan semangat patriotik seperti tahun sebelumnya.

Ruang kritikan turut diserikan dengan ungkapan sinis ‘Janji Dicapati’ sebagai tanda protes rakyat dengan tema yang disifatkan sebagai ‘syok sendiri’.

Kesinambungan kontroversi diteruskan dengan pengenalan lagu tema ‘Janji Ditepati’ dengan lirik ciptaan sepenuhnya oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim.

Paling mencuri tumpuan, rangkap ?Janji Sudah Ditepati, Kini Masa Balas Budi? menyaksikan kritikan hebat pelayar internet yang mengaggap rangkap berkenaan sebagai ?menuntut? rakyat mengenang kembali jasa pemerintahan Umno-BN.

Pakatan Rakyat (PR) turut menempelak tema berkenaan dengan berpendirian tema kemerdekaan perlu tampil tanpa berbaur politik kepartian.Justeru ianya tidak langsung melambangkan inspirasi sebenar rakyat pelbagai kaum di negara ini

Jawatankuasa Tema Hari Kemerdekaan yang dibentuk PR tampil dengan tema lebih dinamik dan segar, Sebangsa, Senegara Sejiwa yang lebih mencerminkan Malaysia yang merdeka.

Tidak cukup dengan itu, kehadiran lebih 10,000 rakyat pada malam ambang merdeka ‘Janji Demokrasi’ mengukuhkan lagi kepedulian rakyat yang sebenarnya bosan dengan Umno-BN.

Apakah transformasi politik yang cuba dibawa Najib Razak menemui jalan buntu sehingga isu kecil sebegini gagal diselesaikan?

Nyata retorik politik ini sebenarnya gagal menambat hati rakyat meskipun pemberian beberapa insentif terutama durian runtuh bagi peneroka Felda dan pemandu teksi.

Situasi ini sebenarnya menggambarkan hanya pihak tertentu yang ‘terbela’ walhal masih ramai yang menderita dengan kenaikan harga barang, kegagalan anak muda memiliki rumah pertama dengan kos yang tinggi dan beban hutang pembiayaan pendidikan.

Bukan ingin menimbulkan unsur hasad dengki mahupun cemburu terhadap golongan Felda mahupun bekas tentera yang banyak berbakti kepada negara tetapi harus diingat, banyak golongon marhaen yang belum menikmati hasil negara secara saksama dan adil.

Harus diingat, pemberian ini sebagai modal kepada rakyat supaya terus memilih mereka bila ‘tiba masa balas budi’.

Tidak hairanlah apabila kempen mengibar jalur gemilang yang diberi kempen meluas tidak mendapat sambutan rakyat. Ini disebabkan persepsi rakyat merasakan mengibar jalur gemilang seolah-olah bersengkol dengan kerajaan mengibarkan bendera Umno-BN untuk berkempen.

Kepimpinan BN sebenarnya telah memperoleh ‘klu’ berhubung sokongan rakyat terhadap kepimpinan Najib apabila menyaksikan satu dari 300 kenderaan dijalan raya yang mengibarkan jalur gemilang.

Hakikatnya rakyat sebenarnya menunggu ‘masa balas budi’ untuk membawa perubahan kepada Malaysia untuk mencapai erti kemerdekaan sebenar dengan lebih mendalam.

Categories
SELANGOR

MBSA Edar 500 Jalur Gemilang Sempena Kemerdekaan

SHAH ALAM 3 OGOS : Sempena sambutan hari kemerdekaan kali ke 55 pada 31 Ogos ini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyerahkan 500 bendera Jalur Gemilang di Dataran Shah Alam pagi tadi.

Program yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan bertujuan mengajak rakyat mengingati hari kemerdekaan dengan bersama-sama memasang bendera di kenderaan rasmi MBSA dan kenderaan awam.

Mohd Atan berkata jalur gemilang itu diedarkan sebagai simbolik dan sokongan MBSA kepada Kempen Kibarkan Jalur Gemilang.

Dengan mengambil contoh pergolakan yang berlaku di luar negara, beliau mengajak rakyat di seluruh negara mengingati pentingnya kemerdekaan pada setiap lapisan masyarakat.

“Ini kerana kita perlu menjaga keamanan agar tidak berlaku pergolakan seperti negara luar. Ia penting untuk negara kita dan kita patut bersyukur dengan keadaan ini,” katanya.

Mohd Atan turut menggalakkan pemasangan Jalur Gemilang di premis-premis perniagaan, bangunan kerajaan dan swasta, kedai, sekolah dan tadika serta di kawasan perumahan.

“Kita juga berharap masyarakat di sekitar Shah Alam agar dapat memasang bendera dengan cara yang betul dan tidak menggunakan bendera yang lusuh bagi menerapkan rasa bangga dan hormat pada negara,” katanya.

Selain itu, MBSA akan mengedarkan poskad khas kepada pemilik premis di sekitar kawasan pentadbiran MBSA sebagai hebahan kepada pemilik premis.

Disamping itu, MBSA juga akan memasang Jalur Gemilang gergasi di Wisma MBSA.