Categories
NASIONAL

PM terima darjah kebesaran tertinggi Jepun, hargai hubungan baik kedua negara

TOKYO, 4 NOV: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menerima darjah kebesaran ”The Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers” daripada Maharaja Jepun sewaktu lawatan kerja beliau selama tiga hari bermula Isnin (5 Nov).

Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris berkata pengurniaan darjah kebesaran tertinggi negara Jepun oleh Maharaja Akihito yang akan berlangsung di Istana Maharaja di sini pada Selasa adalah berikutan sumbangan besar Perdana Menteri atas pengukuhan hubungan baik antara kedua-dua negara.

“ Secara tradisi darjah kebesaran itu diberikan kepada penerima di kalangan pemimpin luar seperti Perdana Menteri dan negawaran terbilang dalam dan luar Jepun,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini Ahad.

Perdana Menteri akan menjadi pemimpin ketiga dari Asia yang menerima darjah kebesaran itu selepas bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew dan bekas Perdana Menteri India Manmohan Singh.

“ Perdana Menteri dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga akan menghadiri santapan tengah hari bersama Maharaja dan Maharani Jepun pada Rabu di Istana Maharaja,” katanya.

Lawatan kerja kali ini merupakan yang ketiga buat Dr Mahathir sejak beliau kembali memegang jawatan Perdana Menteri pada Mei dengan lawatan pertama pada Jun dan yang kedua pada Ogos.

Ahmad Izlan berkata selepas menerima darjah kebesaran itu pada hari kedua lawatan, Perdana Menteri dan delegasi Malaysia juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe di pejabat rakan sejawatannya itu.

“ Kedua-dua perdana menteri akan membincangkan berkenaan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun serta isu serantau dan antarabangsa yang membabitkan berkepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata pada hari kedua, Dr Mahathir juga akan menghadiri persidangan Japan-Malaysia Economic Association (Jameca)-Malaysia-Japan Economic Association (Majeca) kali ke-36 dan Forum Perniagaan Malaysia di sini.

Sebelum itu, pada hari pertama lawatan, Perdana Menteri Menteri akan menerima ijazah kehormat doktor falsasafah dari Tsukuba Universiti of Tokyo yang merupakan pengiktirafan institusi pengajian tinggi tersebut atas sumbangan beliau memajukan pertukaran antarabangsa dalam bidang penyelidikan dan pendidikan.

Pada hari ketiga pula, Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama di Toyo University di sini dan berinteraksi bersama generasi muda Jepun khusus siswa dan siswi universiti tersebut.

“ Perdana Menteri merupakan penasihat kehormat Asia Public-Private Partnership universiti tersebut,” katanya.

Sewaktu lawatan kerja tiga hari itu, Perdana Menteri juga diiringi oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata Jepun adalah rakan perdagangan utama bagi Malaysia dan ia adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia.

“Bagi Jepun, Malaysia adalah rakan dagang kesebelas terbesar di dunia, dan keempat di kalangan negara ASEAN selepas Thailand, Vietnam dan Indonesia,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu juga berkata lawatan Perdana Menteri di kedua-dua universiti itu adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk menarik universiti Jepun menubuhkan cawangan luar negara mereka di Malaysia.

“Penubuhan kampus cawangan universiti Jepun di Malaysia akan membolehkan pelajar Malaysia mendapat akses kepada sistem pendidikan Jepun pada kos yang lebih rendah.

“Pada masa yang sama, pelajar juga boleh belajar bahasa Jepun, nilai dan budaya. Ini juga boleh memberi manfaat kepada pelajar dari rantau ini, “,katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia masih pertimbang tawaran pinjaman Jepun

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Perbincangan antara Kerajaan Malaysia dan Jepun masih berjalan berhubung pinjaman yang ditawarkan negara itu, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, kerajaan juga sedang mempertimbangkan dan hanya akan menyetujui sekirannya tawaran itu memenuhi kehendak dalam mengatasi masalah hutang yang ditanggung negara ketika ini.

“Ia masih dalam perbincangan, kita sedang melihat tawaran diberikan Kerajaan Jepun itu.

“Kita boleh mempertimbangkannya sekiranya kadar faedah diberikan rendah dan boleh membantu menyelesaikan hutang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berakhir wacana Bicara Minda: Ekonomi Kesejahteraan Untuk Semua di ibu pejabat Media Karangkraf di sini, hari ini.

Beliau berkata, proses peribincangan bagi mencapai persetujuan masih berjalan antara kedua-dua pihak.

“Sebelumnya, Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) mengadakan pertemuan dengan delegasi Jepun dan mereka mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan,” katanya.

Selepas mengambilalih pentadbiran Kerajaan Persekutuan dari Barisan Nasional, pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendapati negara menghadapi masalah hutang lebih RM1 trilion.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, kerajaan menimbang mendapatkan kemudahan pinjaman itu bagi mengurangkan ‘high cost of money’ kerana kadar faedah hutang diambil pentadbiran terdahulu terlalu tinggi iaitu lebih enam peratus.

Pada masa dahulu, Kerajaan Malaysia pernah menerima kemudahan pinjaman daripada Jepun pada kadar faedah 0.7 peratus dengan tempoh bayaran semula selama 40 tahun.

Categories
GLOBAL

Lima cedera taufan Trami landa Okinawa

KAGOSHIMA 29 SEPT: Lima penduduk cedera apabila taufan Trami dengan kelajuan 217 kilometer sejam melanda pulau Okinawa di selatan Jepun, hari ini.

Taufan itu dijangka melanda seluruh Jepun pada esok dan berterusan hingga Isnin ini.

Imej yang disiarkan di televisyen memaparkan dahan pokok berterbangan selepas ditiup angin kencang hingga menghalang laluan di jalan raya utama di Naha.

Ia turut membawa ombak kuat dan hujan lebat ke seluruh pulau berkenaan.

Stesen penyiaran NHK melaporkan, kira-kira 600 penduduk sudah dipindahkan ke pusat penempatan di Okinawa, manakala bekalan elektrik ke lebih 121,000 kediaman terpaksa ditutup buat sementara waktu.

“Sekurang-kurangnya 386 jadual penerbangan ke barat Jepun sudah dibatalkan,” lapor NHK.

Menurut pihak berkuasa, lima penduduk dipercayai cedera, tetapi setakat ini, tiada kematian dilaporkan.

“Jumlah mangsa dijangka meningkat kerana kami masih mengumpul maklumat.

“Justeru, kami menggesa penduduk supaya sentiasa berhati-hati ketika taufan melanda,” kata pegawai dari pejabat pengurusan bencana Okinawa, Motoki Minei kepada AFP.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Kapal selam Jepun berlatih di Laut China Selatan

TOKYO 17 SEPT: Jepun melakukan latihan taktikal perang membabitkan kapal selam buat kali pertama di Laut China Selatan, lapor akhbar hari ini.

Langkah itu dijangka mencetuskan kemarahan China yang menuntut sebahagian besar kawasan berkenaan.

Kapal selam Kuroshio menyertai tiga lagi kapal perang Jepun di perairan barat daya Terumbu Scarborough yang dikawal China, lapor akhbar Asahi Shimbun

China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan yang menjadi laluan perkapalan dunia dengan nilai AS$5 trilion (RM20.69 trilion) dan turut dituntut Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Ketegangan meningkat mengenai Terumbu Scarborough sejak ia ditawan Beijing dari Manila pada 2012.

Tentera maritim Jepun melakukan latihan praktikal anti kapal selam termasuk mengesan kapal selam musuh dengan alat sonar, kata Asahi yang memetik sumber kerajaan Jepun.

Sumber itu berkata, ia adalah latihan tentera laut yang sah kerana bertempat di perairan antarabangsa yang memberi hak ases mengikut undang-undang antarabangsa.

Selepas itu, kapal selam berkenaan akan berlabuh di pelabuhan Cam Ranh, tengah Vietnam, sebagai tanda kerjasama pertahanan di antara Tokyo dan Hanoi, kata Asahi.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Jepun alami cuaca panas melampau, catat paras tertinggi 41.1 celsius

TOKYO 24 JUL: Jepun mengeluarkan amaran baharu berikutan cuaca panas melampau dengan suhunya yang tertinggi berada pada paras 41.1 darjah Celsius, catatan rekod tertinggi yang pertama pernah dicatatkan.

Pada minggu lalu, cuaca panas berkenaan menyebabkan 15 orang maut dan memaksa lebih 12,000 lagi penduduk dimasukkan ke hospital dalam tempoh dua minggu bulan ini.

Jumlah kematian dijangka meningkat manakala agensi berita Kyodo melaporkan, pada Sabtu lalu sahaja seramai 11 orang terkorban di negara ini.

Daerah Kumagaya di Saitama, luar Tokyo telah mencatat rekod suhu paling tinggi di negara ini iaitu 41.1 darjah Celsius manakala Ome di barat Tokyo mencatatkan suhu 40.3 darjah Celsius.

Ini merupakan kali pertama suhu melebihi 40 darjah Celsius pernah direkodkan di kawasan Tokyo.

Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan, lebih 12 bandar dan pekan di negara ini menyaksikan peningkatan suhu sekitar 40 darjah Celsius.

Pegawai agensi itu, Minako Sakurai berkata, orang ramai yang berada di kawasan yang mempunyai suhu 35 darjah Celsius atau le­bih dinasihati lebih berhati-hati bagi mengelak strok haba.

“Orang ramai perlu lebih berhati-hati kerana kebanyakan mereka akan menjadi lebih penat selepas beberapa hari mengharungi cuaca panas,” katanya.

Agensi Pengurusan Bencana Alam Jepun menggesa orang ramai menggunakan penyaman udara, minum air secukupnya dan banyakkan berehat.

Suhu panas melampau yang melanda negara ini berlaku selepas kejadian hujan lebat dan tanah runtuh yang mengorbankan lebih 220 orang di bahagian barat dan tengah Jepun baru-baru ini.

Kebiasaannya musim panas di Jepun amat panas dan lembap.

Bagaimanapun, suhu pada tahun ini mencatat rekod paling tinggi dan mengejutkan rakyatnya selain mencetuskan kebimbangan menjelang Sukan Olimpik 2020 yang akan diadakan pada Julai dan Ogos di Tokyo.

SUMBER: AFP

 

Categories
NASIONAL

Pinjaman yen dapat kurangkan kos hutang negara – Mahathir

KUALA LUMPUR 23 JUL: Kerajaan menimbang untuk mendapatkan kemudahan pinjaman daripada Jepun bagi mengurangkan ‘high cost of money’ kerana kadar faedah hutang yang diambil pentadbiran terdahulu terlalu tinggi iaitu sebanyak enam peratus, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata nilai wang Yen Jepun lebih murah berbanding Ringgit, dengan Yen bernilai AS$1 sen, manakala RM1 bernilai AS$ 25 sen, dan membayar balik hutang negara dengan Yen Jepun bermakna negara tidak dibebani dengan kadar faedah tinggi sebanyak lebih daripada enam peratus.

Katanya kerajaan juga hanya akan meminjam Yen sebanyak nilai AS$ atau jumlah Ringgit yang dihutang.

Menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini, Dr Mahathir turut mendedahkan bahawa kerajaan sebelum ini membayar komisyen 10 peratus kepada Goldman Sachs daripada hutang yang diambil.

“Ini bermakna kerajaan dahulu mendapat hanya 90 peratus daripada wang yang dihutang tetapi membayar faedah ke atas 100 peratus wang dihutang. Faedah ke atas 90 peratus meningkat kepada 6.6 peratus,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata satu ketika dahulu, kerajaan Malaysia pernah menerima tawaran pinjaman mudah daripada kerajaan Jepun pada kadar faedah 0.7 peratus, dan tempoh bayaran balik selama 40 tahun.

“Kita tidak tahu sama ada kerajaan Jepun boleh memberikan kadar faedah serendah itu lagi, membayar balik hutang dengan Yen berfaedah serendah itu lagi, tetapi membayar balik hutang dengan Yen berfaedah rendah bermakna kita tidak lagi dibeban dengan faedah lebih tinggi dari enam peratus hutang asal.

“Hutang Yen akan mengganti hutang AS$ atau Ringgit. Kita masih berhutang tetapi kos hutang menurun. Inilah sebabnya yang kita cuba mendapat pinjaman Yen daripada kerajaan Jepun,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun Mahathir hargai Jepun sedia pertimbang pinjaman mudah

PUTRAJAYA 12 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghargai sikap Jepun yang sedia mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk mendapatkan bantuan pinjaman mudah yang kini sedang dikaji oleh negara itu.

Hal itu disampaikan oleh Menteri Luar Jepun, Taro Kono kepada Mahathir ketika Kono melakukan kunjungan hormat ke atas beliau di Perdana Putra di sini hari ini.

Kono kini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula Selasa.

Semasa melawat Jepun bulan lepas, Mahathir telah memohon pinjaman yen dari Jepun dalam bentuk pinjaman mudah dan rakan sejawatannya Shinzo Abe memberitahunya akan mempertimbangkan permohonan itu.

Sebahagian daripada pinjaman itu dijangka digunakan untuk menyelesaikan hutang-hutang lama untuk menyeimbangi kos pinjaman yang tinggi.

Wisma Putra dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena kunjungan hormat Kono itu hari ini berkata, Mahathir amat berpuas hati dengan hasil perbincangannya dengan Abe di Tokyo pada 12 Jun lepas di mana kedua-dua Perdana Menteri bersetuju untuk memperkasa dan memperkukuhkan semula Dasar Pandang ke Timur yang dilancarkan pada 1982.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Angka kematian banjir Jepun cecah 199 orang

TOKYO 12 JUL: Angka kematian bencana banjir yang melanda beberapa bahagian di Jepun, meningkat kepada 199 orang, sementara puluhan lagi penduduk dilaporkan masih hilang.

Jurucakap Kerajaan Jepun, Yoshihide Suga, berkata operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan mangsa bencana berkaitan cuaca yang disifatkan terburuk pernah berlaku di negara ini, dalam tempoh tiga dekad.

“Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengunjungi salah satu wilayah yang ditimpa bencana itu semalam, dan beliau merancang untuk melawat satu lagi kawasan yang teruk dilanda banjir, esok,” kata Suga.

Abe membatalkan lawatan ke empat negara yang dijadualkan berlangsung minggu ini, selepas angka kematian akibat bencana berkenaan mencatatkan peningkatan.

Dalam pada itu, harapan untuk menemui mangsa yang selamat semakin tipis, walaupun paras air semakin surut.

Ketika ini, sekurang-kurangnya 10,000 penduduk yang berpindah atau diselamatkan kini berlindung di pusat penempatan sementara.

Kerajaan berjanji untuk menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang ingin pulang ke rumah masing-masing.

“Kami akan melakukan sedaya upaya yang mampu untuk memastikan penduduk terbabit tidak perlu tinggal lama dan dalam keadaan tidak selesa di pusat perlindungan sementara,” kata Abe.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

Malaysia bakal meterai MoU pertahanan dengan Jepun

KUALA LUMPUR 12 JUL: Malaysia akan memperkukuhkan kerjasama pertahanan dengan Jepun menerusi pemeterian beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan negara itu menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata beliau tidak sabar untuk ke Jepun akhir tahun ini bagi menghadiri majlis menandatangani MoU antara Malaysia dan Jepun bagi meningkatkan hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara itu.

“Malaysia mengiktiraf sumbangan Jepun dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan pada peringkat global.

“Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan dalam mesyuarat Kabinet bahawa Malaysia mahu mengikut corak pertahanan yang diamalkan oleh Jepun,” katanya berucap pada majlis resepsi Hari Self Defence Force (SDF) Jepun di kediaman rasmi Duta Besar Jepun di Malaysia, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Luar Jepun, Taro Kono, Duta Besar Jepun di Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzzaman Ahmad Badaruddin.

Mohamad juga juga menyampaikan permohonan maaf Dr Mahathir kerana tidak dapat menghadiri majlis itu.

“Sepatutnya, Perdana Menteri mahu hadir pada majlis ini namun ada perkara penting yang tidak dielakkan. Beliau meminta maaf kerana tidak dapat hadir,” katanya.

Sementara itu, Taro berkata hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun sentiasa kukuh dalam pelbagai bidang.

“Kita boleh bekerjasama dalam banyak perkara…kami amat bangga untuk membincangkan isu-isu tersebut,”katanya yang tiba di sini semalam.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana mengambil berat mengenai situasi banjir di barat Jepun yang sehingga kini meragut hampir 200 nyawa.

Terdahulu, Taro mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr Mahathir, rakan sejawatannya, Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia ucap takziah mangsa banjir Jepun, sedia hulur bantuan

KUALA LUMPUR 11 JUL: Malaysia merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh di barat Jepun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau amat berdukacita terhadap angka kematian yang tinggi sambil menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia,

Sekurang-kurangnya 155 orang dilaporkan terkorban dalam bencana itu – angka kematian tertinggi yang disebabkan oleh hujan yang melanda Jepun dalam masa lebih daripada tiga dekad.

“Sebagai sahabat lama Jepun dan sebagai negara yang terdedah kepada banjir semasa musim monsun, Malaysia berasa sangat sedih terhadap kehilangan banyak nyawa dan kemusnahan harta benda disebabkan banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat di barat Jepun,” kata beliau menerusi catatan dalam laman Twitter.

Dr Wan Azizah juga berharap semoga mereka yang masih hilang dapat ditemukan dengan segera.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia bersedia untuk menghulurkan apa-apa bantuan yang mungkin diperlukan oleh Jepun dalam keadaan yang sukar ini.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa rakyat Jepun dapat mengatasi tragedi ini.

Categories
GLOBAL

Kerajaan Jepun umum mangsa meningkat kepada 141 orang

TOKYO 10 JUL: Angka kematian akibat banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Jepun meningkat kepada 141 orang.

Menurut jurucakap Kerajaan Jepun, puluhan lagi penduduk dilaporkan masih hilang dan lebih 70,000 kakitangan, termasuk polis, bomba dan penyelamat serta tentera sedang bertungkus lumus untuk mengesan mangsa yang terselamat, ketika paras air semakin surut.

Jumlah kematian itu adalah paling buruk yang pernah dicatatkan dalam bencana membabitkan banjir, sekali gus memaksa Perdana Menteri Shinzo Abe membatalkan lawatannya di empat negara mulai akhir minggu ini.

Abe dijangka melawat kawasan bencana berkenaan pada hujung minggu ini.

Dalam pada itu, operasi menyelamat kini tertumpu di kawasan yang sebelum ini terputus akibat banjir dan tanah runtuh.

Ratusan penduduk yang berlindung di bumbung kediaman masing-masing ketika paras air meningkat kini menjadi tumpuan pasukan penyelamat.

SUMBER: AFP

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Jepun umum mangsa meningkat kepada 122 orang

TOKYO 10 JUL: Angka kematian akibat banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Jepun meningkat kepada 122 orang.

Menurut jurucakap Kerajaan Jepun, puluhan lagi penduduk dilaporkan masih hilang dan lebih 70,000 kakitangan, termasuk polis, bomba dan penyelamat serta tentera sedang bertungkus lumus untuk mengesan mangsa yang terselamat, ketika paras air semakin surut.

Jumlah kematian itu adalah paling buruk yang pernah dicatatkan dalam bencana membabitkan banjir, sekali gus memaksa Perdana Menteri Shinzo Abe membatalkan lawatannya di empat negara mulai akhir minggu ini.

Abe dijangka melawat kawasan bencana berkenaan pada hujung minggu ini.

Dalam pada itu, operasi menyelamat kini tertumpu di kawasan yang sebelum ini terputus akibat banjir dan tanah runtuh.

Ratusan penduduk yang berlindung di bumbung kediaman masing-masing ketika paras air meningkat kini menjadi tumpuan pasukan penyelamat.

SUMBER: AFP