Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Tiga daerah di Selangor catat kes dua angka

SHAH ALAM, 28 MEI: Tiga daerah mencatatkan kes positif Covid-19 dua angka semalam, maklum Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Agensi itu menerusi perkongsian data di Facebook menjelaskan daerah tersebut adalah Hulu Selangor sebanyak 77 kes diikuti Kuala Langat (54) dan Sabak Bernam (31).

Manakala, Petaling kekal merekodkan kes tertinggi empat hari berturut-turut dengan jumlah 874 kes.

Daerah lain yang turut merekodkan tiga angka adalah Klang 513 kes serta Hulu Langat (458), Gombak (448), Sepang (115) dan Kuala Selangor (105).

Daripada keseluruhan 2,675 kes dilaporkan, sebanyak 2,633 membabitkan jangkitan dalam komuniti manakala 42 dikesan di penjara.

Kes sembuh di Selangor semalam adalah 2,539 sekali gus menjadikan 167,651 individu pulih sejak pandemik menular.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor cadang jadikan klinik kesihatan pusat beri vaksin

SHAH ALAM, 24 MEI: Selangor akan menggunakan klinik kesihatan sedia ada di negeri itu sebagai tempat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 khusus kepada pesakit yang mempunyai penyakit kronik, kata Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

“Kita telah mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan dan mereka amat menyokong syor itu dan saya akan mendapatkan kebenaran tersebut secara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam hari ini, bagi hari pertama pemberian vaksin Covid-19 Astrazeneca.

Selain itu, beliau berkata jabatan tersebut juga akan melaksanakan program imunisasi untuk pesakit terlantar melalui ‘program outreach’.

Mengenai program imunisasi menggunakan vaksin Astrazeneca itu, beliau berkata sebanyak 42,000 dos akan diberikan di IDCC dengan jangkaan pemberian sebanyak 3,000 dos sehari bermula hari ini hingga 6 Jun.

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai agar tidak mencuba nasib dengan ‘walk-in’ atau menunggu di mana-mana PPV untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi mengelakkan kesesakan di pusat tersebut.

“Kita telah ada senarai menunggu, jadi tidak perlu mereka untuk mencuba nasib datang ke PPV dan kita tidak pernah memberi vaksin ini kepada mereka yang walk-in,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Petaling catat kes harian tertinggi

SHAH ALAM, 20 MEI: Sebanyak 40 peratus jangkitan baharu Covid-19 di Selangor dilaporkan di Petaling dengan 914 kes, menurut data Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Jumlah di daerah itu melibatkan mukim Petaling (405), Damansara (243), Sungai Buloh (182) dan Bukit Raja (84).

Diikuti Hulu Langat dengan 398 kes iaitu Ampang (146), Kajang (108), Cheras (83), Semenyih (39), Hulu Langat (17) dan Beranang (lima).

“Klang mencatatkan 388 kes iaitu Klang (326) dan Kapar (62). Sebanyak 239 jangkitan baharu di Gombak melibatkan Batu (121), Hulu Kelang (42), Kuang dan Rawang (41) dan Setapak (13),” katanya menerusi Facebook.

Jabatan berkata lima lagi daerah melaporkan kes kurang dari 100 iaitu Sepang (82), Hulu Selangor (65), Kuala Selangor (63), Kuala Langat (54) dan Sabak Bernam (24).

“Semua kes hari ini merupakan penularan tempatan termasuk 50 dikesan dari penjara,” katanya.

Selangor terus merekodkan jangkitan Covid-19 tertinggi apabila 2,277 kes dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan 161,584 kes selain pertambahan 10 kematian.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 2,000 kes baharu Covid-19 di Selangor, Petaling tertinggi

SHAH ALAM, 19 MEI: Selangor mencatatkan 2,251 kes positif Covid-19 hari ini dan 976 daripadanya dikesan di Petaling.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan daerah tersebut mencatat angka kes tertinggi dengan 402 daripadanya di mukim Petaling diikuti Damansara (264), Sungai Buloh (240) dan Bukit Raja (70).

“Klang pula merekod 478 kes iaitu 398 dikesan di mukim Klang dan selebihnya di Kapar.

“Daerah ketiga tertinggi, Hulu Langat dengan 275 jangkitan yang berlaku di di Cheras (84), Ampang (67), Kajang (60), Semenyih (13), Hulu Langat (lapan), penjara (42) dan satu kes import,” kata agensi itu menerusi Facebook.

JKNS berkata Gombak mencatat 163 kes iaitu 91 di Batu, Rawang (30), Kuang (17), Hulu Kelang (16) dan Setapak (sembilan).

Manakala, 127 kes di Kuala Langat dengan Tanjung 12 (65), Telok Panglima Garang (41), Bandar (12) dan Morib serta Jugra masing-masing empat dan Batu (satu).

Kuala Selangor pula merekod 115 kes meliputi Ijok (51) diikuti Jeram (43), Bestari Jaya (11), Kuala Selangor (lima), Tanjong Karang (empat) dan Hujung Permatang (satu).

Daerah yang mencatatkan kes bawah 100 pula adalah Sepang (85) manakala Hulu Selangor dan Sabak Bernam masing-masing 16.

Hari ini, jumlah kes baharu Covid-19 seluruh negara melepasi angka 6,000 dengan catatan 6,075.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Empat daerah catat jangkitan bawah 100, kes di Petaling turun sedikit

SHAH ALAM, 18 MEI: Empat daerah di negeri ini iaitu Sepang, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam mencatatkan kes harian Covid-19 kurang 100.

Sabak Bernam melaporkan jangkitan terendah iaitu sebanyak 37 kes membabitkan mukim Sabak (29), Pasir Panjang (empat), Sungai Panjang (dua) dan kes import (dua).

Menurut data Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Hulu Selangor merekodkan 45 kes melibatkan 25 jangkitan di Serendah, Batang Kali (12), Ampang Pecah (enam) dan Hulu Yam (dua).

“Sepang melaporkan 77 kes iaitu Dengkil (61), Labu (10), mukim Sepang (lima) dan satu kes import.

Petugas kesihatan Selcare membantu proses pendaftaran orang ramai yang mengikuti program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Stadium Mini Sungai Besar, Sabak Bernam pada 25 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kuala Selangor pula merekodkan 68 kes iaitu Ijok (36), Kuala Selangor (11), Jeram (tujuh), Bestari Jaya (enam), Tanjong Karang (lima), Api-api (dua) dan Hujung Permatang (satu),” kata jabatan itu.

Agensi itu berkata jangkitan di Petaling turun kepada 459 kes berbanding 621 kes semalam. Mukim Petaling menyumbang 192 kes, Damansara (122), Sungai Buloh (117) dan Bukit Raja (28).

Sementara Hulu Langat merekodkan 437 kes membabitkan Kajang (147), Ampang (118), Cheras (114), Semenyih (32), Hulu Langat (15) dan Beranang (11).

Gombak pula melaporkan 246 kes iaitu Batu (122), Rawang (57), Hulu Klang (40), Kuang (19) dan Setapak (lapan) manakala Klang mencatatkan 237 kes iaitu 204 di mukim Klang dan Kapar (33).

“Sebanyak 137 kes dikesan di Kuala Langat membabitkan Telok Panglima Garang 49 kes diikuti Batu (43), Tanjung 12 (29), Kelanang (enam), Bandar (lima), Morib (empat) dan Jugra (satu),” kata jabatan itu.

Selangor mencatatkan 1,743 kes baharu dengan 1,206 pesakit berjaya sembuh dan 18 kematian.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tandas dibersih empat kali sehari, 75 peratus pesakit Covid-19 puas hati

SHAH ALAM, 18 MEI: Tandas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dibersihkan empat kali sehari mengikut jadual, kata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Jabatan berkata tinjauan dilakukan mendapati 75 peratus pesakit turut berpuas hati dengan tahap kebersihan tandas berkenaan.

“Untuk makluman kerja pembersihan tandas dilakukan pada jam 10 pagi-12 tengah hari, 3-5 petang, 8-10 malam dan 2– 4 pagi.

“Ada pesakit memberikan komen positif berhubung perkara ini menerusi media sosial. Bagaimanapun jumlah penggunaan tinggi selain sikap membuang sampah merata-rata menyebabkan saluran tersumbat,” katanya menerusi Facebook.

Kenyataan sebagai maklum balas terhadap laporan portal berita berhubung luahan pesakit ketika mendiami pusat berkenaan termasuk keadaan tandas yang jijik.

Berhubung isu suhu, JKNS berkata pihaknya akan mengatasi masalah itu dengan menetapkan suhu piawaian antara 22 hingga 24 darjah celcius selain meneruskan pantauan.

“Untuk bekalan makanan pula, PKRC sediakan sebaik mungkin bagi elakkan pembaziran. Kenderaan saji (food truck) disediakan secara percuma sehingga 10 malam manakala pesakit yang masuk selepas waktu itu akan diberikan roti, biskut, jem kaya, air kotak dan mineral.

“Agihan makanan diutamakan kepada warga emas, kanak-kanak serta pesakit yang mempunyai diet terapeutik. Walaupun proses agak lambat namun pihak PKRC akan memastikan ia selesai dalam tempoh dua jam,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesakit makin ramai, pusat Covid-19 Serdang sedang dipertingkat

SHAH ALAM, 17 MEI: Sebuah lagi dewan dibangunkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) 2.0 bagi menampung tambahan pesakit.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata langkah itu diharap memberi keselesaan kepada pesakit berikutan hampir 60 peratus dari 5,869 katil sedia ada sedang digunakan.

Dalam kenyataan di Facebook, agensi itu berkata purata jumlah kemasukan pesakit pada ketika ini sekitar 600 sehari dan pernah mencecah sehingga 1,800 orang.

“Pesakit yang dimasukkan ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 perlu melalui penilaian kesihatan berpandukan kategori rawatan mengikut gejala terutama pesakit kategori tiga.

“Di samping bertanyakan sejarah kesihatan, pesakit perlu menjalani pemeriksaan fizikal dan kesihatan lain yang mengambil masa terutama melibatkan jumlah yang ramai pada satu-satu masa,” katanya.

Kenyataan itu menjawab laporan portal berita berhubung luahan pesakit yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan katil selain cuaca sejuk dan tandas yang jijik.

Jabatan itu berkata, PKRC pada awalnya dikhaskan untuk pesakit kategori satu dan dua, manakala warga emas berusia lebih 70 tahun dan kanak-kanak bawah dua tahun ditempatkan di Sungai Buloh.

Bagaimanapun, peningkatan mendadak kes menyebabkan pesakit dipindahkan ke pusat kuarantin bersepadu itu sekali gus menambah bilangan katil dari 60 kepada 752.

“Kapasitinya akan ditambah menjadi 1,000 katil dalam waktu terdekat. Peningkatan ini sudah tentu meningkatkan cabaran kepada petugas dalam memastikan penyampaian perkhidmatan sebaik mungkin kepada pesakit,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Petaling sumbang hampir 40 peratus kes di Selangor

SHAH ALAM, 17 MEI: Hampir 40 peratus daripada 1,650 kes harian Covid-19 di negeri ini membabitkan daerah Petaling, kata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Menurut data dikongsi agensi itu di Facebook, daerah terbabit mencatatkan 621 kes, naik dua kali ganda berbanding 248 kes yang dilaporkan semalam.

Mukim Petaling yang berada dalam daerah itu merekodkan 259 kes diikuti Damansara sebanyak 183 kes, sementara Sungai Buloh (117) dan Bukit Raja (62).

Hulu Langat, daerah yang mencatatkan jangkitan kedua tertinggi melaporkan 391 kes membabitkan Kajang (137), Cheras (112), Ampang (76), Semenyih (39), Beranang (14) dan Hulu Langat (13).

Klang pula melaporkan 209 kes iaitu 183 jangkitan di mukim Klang dan 16 lagi di Kapar. Gombak mencatatkan 161 kes iaitu Batu (70), Kuang (42), Rawang (27), Hulu Kelang (20) dan Setapak (dua).

“Sebanyak 137 kes dikesan di Kuala Langat, masing-masing di Telok Panglima Garang (96), Tanjung 12 (25), Batu (11), Bandar (empat) dan Kelanang (satu).

“Sepang melaporkan 53 kes dengan Dengkil (38), Sepang (lapan) dan Labu (tujuh). Kuala Selangor merekodkan 43 kes melibatkan Ijok (22), Jeram dan Kuala Selangor (lapan), Bestari Jaya (empat) serta Tanjong Karang (satu),” menurut jabatan itu.

Agensi tersebut menambah sebanyak 26 kes baharu dicatatkan di Hulu Selangor membabitkan 23 kes di Serendah, manakala masing-masing satu di Rasa, Ampang Pecah dan Batang Kali.

“Jangkitan terendah dilaporkan di Sabak Bernam sebanyak enam kes iaitu Bagan Nakhoda Omar (tiga), Pasir Panjang (dua) dan Pancang Bedena (satu),” katanya.

Keseluruhannya, Selangor mencatatkan 155,311 kes Covid-19 sejak pandemik menular.

Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Covid-19: Jumlah sembuh atasi kes baharu di Selangor

SHAH ALAM, 16 MEI: Bilangan kes sembuh Covid-19 di Selangor hari ini dengan 1,572 mengatasi jangkitan baharu sebanyak 1,275.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Facebook memaklumkan ia menjadikan negeri ini mencatat jumlah keseluruhan pulih 148,219 kes.

Sementara itu, ketua pengarah kesihatan berkata Selangor masih merekodkan angka harian tertinggi dengan kesemua kes membabitkan jangkitan tempatan.

“Sebanyak 865 kes berpunca saringan kontak rapat, 179 daripada kluster sedia ada manakala 231 lagi lain-lain saringan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau berkata lapan kematian baharu dilaporkan membabitkan enam lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang wanita warga asing berusia lingkungan 47 hingga 78 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Keseluruhannya, Selangor merekodkan 153,663 kes positif dengan 493 individu maut sejak pandemik melanda.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Stadium Malawati hanya pusat penilaian, bukan tempatkan pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 16 MEI: Stadium Malawati di sini berperanan sebagai Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan tidak menempatkan pesakit dijangkiti wabak tersebut seperti didakwa.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menegaskan individu ke pusat terbabit akan dinilai sama ada perlu dimasukkan ke hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), PKRC swasta atau pemantauan di rumah.

“Sepertimana sedia maklum, bilangan kes positif di Selangor meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini. Ini secara langsung menambah beban tugas di CAC Stadium Malawati.

“Kami amat komited dalam membendung Covid-19,” kata JKNS sambil memaklumkan video yang tular memaparkan kedatangan harian untuk penilaian dan pelepasan.

Semalam, tular video selama seminit di media sosial menunjukkan orang ramai beratur untuk masuk ke CAC di Stadium Malawati yang dikatakan akan menghuni pusat berkenaan buat sementara waktu.

Jabatan itu menambah kesesakan juga berlaku berikutan terdapat saringan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dengan individu positif perlu menjalani calitan menggunakan kaedah tindak balas berantai polimeras masa nyata (RT-PCR) jika tiada epid link.

Jelasnya, jika kes tersebut mempunyai epid link yang kuat, kaedah PCR tidak perlu dilaksana memandangkan sudah dianggap sebagai kes pasti Covid-19.

“Di Selangor, itu amalannya kerana jumlah kes yang banyak dan perlu dipercepatkan proses rawatan pesakit. Jika semua keputusan RTK diambil kira, kerisauan akan ada kes positif palsu,” katanya.

Stadium Malawati beroperasi sebagai CAC bagi daerah Petaling sejak 8 Februari lalu dengan kapasiti seramai 1,000 hingga 1,200 pesakit untuk dinilai sehari.

CAC dibentuk pada akhir Januari bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke pusat berkenaan. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Kerajaan Negeri sedia bantu ringan beban KKM

SHAH ALAM, 16 MEI: Kerajaan Selangor sentiasa berusaha memenuhi keperluan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dari segi bantuan sukarelawan atau kemudahan kesihatan.

Dato’ Menteri Besar berkata walaupun Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri tetapi pihaknya sedia membantu untuk meringankan beban mereka.

“Pengurusan CAC di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKNS, tetapi Kerajaan Negeri bersedia beri bekerjasama untuk membantu selagi boleh.

“Kerajaan Negeri akan memasang khemah untuk kemudahan pesakit dan petugas di luar CAC,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter merujuk kesesakan di CAC Stadium Malawati.

Katanya, beliau juga difahamkan JKNS mengalami masalah kekurangan petugas perubatan kerana mengurus  Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS yang turut menerima pesakit negeri lain selain terlibat urusan program imunisasi.

Hari ini, JKNS berkata pihaknya bercadang menambah kapasiti kepada 1,000 katil di PKRC terbabit susulan kemasukan ramai pesakit kategori tiga iaitu bergejala dengan radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen.

Katanya, penambahan katil pesakit kategori itu bertujuan menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang selaras dengan peningkatan angka pesakit Covid-19 pada masa kini.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Pusat kuarantin Serdang cadang tempatkan 1,000 katil pesakit kategori tiga

SHAH ALAM, 16 MEI: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bercadang menambah kepada 1,000 katil bagi menampung pesakit wabak tersebut.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan langkah itu dibuat susulan kemasukan ramai pesakit kategori tiga iaitu bergejala dengan radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen.

“Awalnya kita hanya ada 60 katil untuk kategori tiga pada Januari lalu tetapi kini PKRC Bersepadu MAEPS menempatkan seramai 757 pesakit dan bercadang menambah kapasiti bagi menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang.

“Justeru, pesakit kategori tiga akan ditempatkan di dewan berhampiran ICU sementara supaya pemantauan lebih rapi dapat dilaksanakan manakala pesakit kategori satu dan dua yang stabil diletakkan di Dewan DG,” katanya di Facebook.

Bagaimanapun, PKRC berusaha sebaik mungkin memisahkan kategori pesakit warganegara dan bukan warganegara di dewan berkenaan.