Categories
SELANGOR

JAIS: Ekhsan boleh merayu jika mahu

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 25 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) masih membuka peluang kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Ekhsan Bukharee Badarul Hisham membuat rayuan.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata, keputusan rayuan berhubung perkara itu bergantung kepada jawatankuasa disiplin jabatan berkenaan.

“Terpulang, jika dia ingin merayu, Jais akan proses. Yang penting dalam surat Jais sebelum ini, tak tulis dia tak boleh merayu.

pengarah jais a“Ini adalah proses biasa dalam mana-mana jabatan. Jika tindakan tata tertib diambil, kakitangan terlibat mempunyai hak merayu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Hotline 24 Jam Jais di Dataran Sakinah, Bangunan Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

Pada 8 April lalu, Ekhsan dihalang memasuki Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi menuntut janji Kerajaan Negeri menaikkan elaun guru Kafa dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.

Sementara itu, pada 22 Mei lalu, Jais mengesahkan penamatan perkhidmatan Ekhsan berkuatkuasa 1 Jun ini selepas mendapati dia melanggar perjanjian perlantikan guru Kafa.

Haris berkata, tindakan itu juga diambil berdasarkan prestasi pengajaran dan pembelajaran Ekhsan yang mendapat markah rendah serta gagal menunjukkan kesungguhan berubah walaupun diberi nasihat.

“Membuat kenyataan awam itu antara salah satu daripada kesalahan dia. Dia didapati gagal mematuhi nasihat panel penyiasat supaya membatalkan sidang media.

guru kafa“Notis penamatan perkhidmatan diambil berdasarkan tindakan bukannya tuntutan dia. Hal ini perlu jelas dan Jais tidak menganiaya sebaliknya bertindak mengikut prosedur yang dia sendiri jelas,” katanya.

Haris mengingatkan, bJais berhasrat tinggi membentuk barisan guru murabbi dalam melahirkan pelajar berkualiti dan memandang serius serta tidak akan berkompromi kepada mereka yang bermasalah.

“Jangan kata Jais pilih kasih. Dalam rekod kami, ramai guru Kafa diambil tindakan atas pelbagai kesalahan, jadi kenapa kes ini perlu ada keistimewaan pula,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

JAIS: Ekhsan langgar perjanjian perlantikan

SHAH ALAM, 22 MEI: Pemecatan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) Sekolah Rendah Agama Pekan Kapar, Klang, Ekhsan Bukharee Badrul Hisham dibuat selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendapati beliau melanggar perjanjian pelantikan.

Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim dalam satu kenyataan mengesahkan pemecatan guru terbabit yang berkuatkuasa, bermula 1 Jun ini.

“Media dipohon merujuk surat penamatan perkhidmatan beliau,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Jais-logo kecikPada 8 April lalu, Ekhsan dihalang memasuki Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi menuntut janji Kerajaan Negeri menaikkan elaun guru Kafa dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.

Memetik laporan The Malaysian Insider, Ekhsan dalam satu sidang media di bangunan SUK pagi tadi mendedahkan empat sebab pemecatan beliau dalam surat yang diterimanya, pada 20 Mei lalu.

Ekhsan berkata, beliau didapati gagal mematuhi nasihat panel penyiasat supaya membatalkan sidang media yang dijadualkan, pada 14 April lalu.

Beliau juga gagal mematuhi persetujuan yang dibuat bersama panel penyiasat pada 24 April lalu untuk berhenti daripada membuat kenyataan media dan melakukan provokasi masuk ke sidang DNS walaupun dihalang pengawal bertugas, pada 8 April lalu.

Sementara itu, prestasi kerja beliau juga direkodkan sebagai rendah dan gagal menunjukkan kesungguhan berubah walaupun diberi nasihat oleh Unit Pendidikan Islam Daerah dan Bahagian Pendidikan Islam Jais.

Surat ditandatangani Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan Islam) Jais, Mohamad Amir Danuri, bertarikh 14 Mei lalu.

Categories
SELANGOR

EXCO: Kerajaan Negeri tak arah pecat Ekhsan, itu keputusan profesional JAIS

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 22 MEI: Kerajaan Selangor tidak pernah mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memecat Ekhsan Bukharee Badarul Hisham daripada jawatannya sebagai guru Kafa.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sebaliknya keputusan itu dibuat JAIS secara profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak.

jais kuala langat 1“Kerajaan Negeri memberi kuasa kepada semua jabatan menguruskan pentadbiran mereka secara profesional.

“Jadi, tindakan yang dibuat juga haruslah profesional. Tidak ada satu bentuk arahan diberikan Kerajaan Negeri untuk memecat Ekhsan.

“Kalau JAIS anggap ada kesalahan, maka boleh ambil tindakan sewajarnya tanpa arahan politik,” katanya pada sidang media di Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Langat, di sini, hari ini.

Dr Ahmad Yunus berkata, beliau yakin JAIS sudah mengambil kira pelbagai sudut dan memenuhi prosedur sebelum memutuskan memecat Ekhsan.

Pada 8 April lalu, Ekhsan dihalang memasuki Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi menuntut janji Kerajaan Negeri menaikkan elaun guru Kafa dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pecat guru KAFA, Kerajaan Negeri tunggu penjelasan JAIS

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 MEI:  Kerajaan Negeri masih menanti penjelasan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung pemecatan guru sambilan Sekolah Rendah Agama Pekan Kapar, Ekhsan Bukharee Badrul Hisham.

Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, keputusan pemecatan itu dilakukan JAIS mengikut bidang kuasa jabatan berkenaan.

“Kita akan dapatkan maklumat dan penjelasan JAIS kerana buat masa ini hanya dimaklumkan surat sudah dikeluarkan sejak minggu lepas.

yunus“Jadi, kita kena lihat dan teliti dahulu sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan,” katanya kepada selepas sidang media Selangor Islamic Fest 2015 di Yayasan Restu, di sini, hari ini.

Bukharee dilaporkan menerima surat penamatan perkhidmatan berkenaan semalam selepas mengemukakan surat tunjuk sebab dan mengahdiri prosiding sebelum ini.

Mengulas lanjut, Yunus menjelaskan JAIS berhak mengemukakan surat berkenaan mengikut bidang kuasanya.

“Dia (Bukharee) juga berstatus sementara dan bukan kontrak. Bagaimanapun, dia boleh kemukakan rayuan mengikut saluran yang betul tetapi terpulang kepada Bukharee,” katanya.

Pada 8 April lalu, Bukharee dihalang memasuki Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi menuntut janji Kerajaan Negeri menaikkan elaun guru Kafa dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

KAFA: Exco sedia kaji faedah perubatan, kebajikan selepas bersara

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 28 APR: Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi sedia mengkaji peningakatan kebajikan guru Kafa selepas mendengar beberapa cadangan.

Antara cadangan yang dikemukakan dalam sesi dialog yang diadakan di Astana Mewah, Kampung Paya Jaras, di sini, meminta Kerajaan Negeri menyediakan skim faedah untuk membiayai rawatan perubatan guru Kafa kerana ketika ini mereka terpaksa menanggung sendiri.

Dr Ahmad Yunus berkata, guru Kafa dikategorikan sebagai kakitangan sambilan yang menerima elaun bulanan dan bertugas selama empat jam sehari berbanding kakitangan awam.

“Mereka dikategorikan kakitangan sambilan. Ini tertakluk kepada kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bukan kuasa Kerajaan Negeri untuk menentukan kategori ini.

“Bagaimanapun, kita dah dengar cadangan mereka dan sedia perhalusinya sebelum dibincangkan di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Selain cadangan faedah perubatan, guru Kafa turut mencadangkan Kerajaan Negeri mempertimbangkan skim faedah selepas persaraan.

Cadangan itu ekoran mereka akan terputus pendapatan bulanan apabila bersara, manakala simpanan Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (KWSP) juga kecil kerana hanya menerima elaun RM1,300 sebulan.

Mereka turut meminta Kerajaan Negeri segera membaiki bangunan sekolah yang daif apabila masih menggunakan sistem pendawaian lama kerana membahayakan pelajar dan guru.

-NFN-

MB : Kenaikan elaun guru KAFA dijangka tahun depan

Tiada kenaikan untuk tahun 2015 berikutan Kerajaan Negeri menetapkan tiada bajet tambahan dalam Belanjawan 2015. Namun perkara itu sedang diteliti bagi Belanjawan 2016

Categories
AGAMA SELANGOR

Q&A : Antara keadilan untuk guru KAFA dan penjawat awam

Elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di Selangor menjadi kontroversi berikutan perbuatan individu tertentu yang mendapat perhatian media. Ikuti wawancara NORHAYATI UMOR bersama Exco Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Pakatan Rakyat berjanji menaikkan elaun melalui manifesto PRU 13, dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan. Adakah ia sekadar janji?

Saya tidak menafikan kenaikan itu antara manifesto PRU 13. Sebelum PRU pun kita bincangkan perkara itu di peringkat negeri supaya ia dilaksanakan kerana kita melihat keperluannya. Selepas 2014, Menteri Besar ketika itu mahu melihat justifikasi yang perlu supaya setanding kenaikan.

Dalam sidang dewan disebut bahawa kajian kenaikan sudah selesai. Ia terlewat disebabkan penilaian penambahbaikan dalam kajian. Penjelasan?

jais kafaUmumnya, guru KAFA hanya mengajar empat jam bermula 2.30 petang hingga 6.30 petang. Kita melihat bagaimana untuk mempertingkat atau memperkasa guru KAFA melalui kenaikan itu.

Apabila adanya insentif, kita dapat mempertingkat kesediaan mereka sebagai guru. Seterusnya memberi impak baik hasil kenaikan itu. Contoh, pelajar lebih cemerlang. Jadi, kita mempertimbang justifikasi terbaik selaras kenaikan.

Apakah dan bagaimanakah justifikasi itu dinilai?

Antaranya masa mengajar yang tidak setanding dengan penjawat lain. Kita juga mempertimbang tempoh perkhidmatan guru. Ini bermaksud, ada guru berkhidmat tiga bulan, setahun, 10 tahun, 15 tahun dan mungkin lebih. Jadi, kita menilai semua itu ia bagi keadilan kepada semua. Tidak boleh diberi sama rata.

Beberapa justifikasi lain yang dicadang ialah bagaimana mahu memperkasa kekuatan guru itu sebagai pendidik. Dari segi pengetahuan agamanya ataupun kursus yang kita rancang supaya mereka benar-benar bersedia sebagai seorang pendidik.

Kerana ada perbezaan tempoh berkhidmat memerlukan kajian?

yunusYa. Itu yang kita lakukan. Kalau kira ia tidak adil kerana ada perbezaan tempoh perkhidmatan.

Bilakah sebenarnya kajian itu akan selesai?

Kajian dibuat tahun lepas kerana kita jangka hujung tahun itu juga selesai, kemudian dipersembah kepada Kerajaan Negeri untuk dibincang. Namun, pentadbiran Kerajaan Negeri ketika itupun tidak meletakkannya dalam belanjawan.

Ketika ini, kajian sudah selesai. Hanya menunggu masa dibincang pada peringkat negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Kajian akan dibentang oleh pengkaji diketuai Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Profesor Madya Datuk Halim Tamburi.

Kita hanya menunggu perbincangan dengan MMKN untuk putuskan justifikasi apa yang kita beri dalam memperkasa guru-guru  di samping menaikkan elaun RM1,500 itu.

Bilakah akan dibawa ke MMKN?

Saya sudah arahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyediakan kertas berkaitan. Insya-Allah selepas mempersembahkannya kepada Dato’ Menteri Besar untuk pengetahuan beliau, kita akan bawa ke MMKN dan putuskan.

Jika sudah dibawa ke MMKN, bilakah kenaikan dapat diimplementasi?

Ia tidak akan mengambil masa lama. Pada hakikatnya, konsep yang dibawa ini tiada dalam belanjawan tambahan tetapi implementasinya akan dilakukan tahun depan. Soal keputusan, kita boleh putuskan bila-bila masa walaupun tidak dibajetkan tahun ini.

KAFA-Grafik

Belum dibawa ke MMKN tetapi yakin dapat diimplementasi?

Secara dasarnya, saya sudah berbincang dengan Dato’ Menteri Besar. Kita melihat ia bukanlah sesuatu jumlah begitu besar walaupun melibatkan lebih 6,000 guru KAFA. Implikasi kewangan kurang RM18 juta setahun. Saya melihat Dato’ Menteri Besar seolah-olah bersetuju.

Berapa kali elaun guru KAFA dinaikkan dan berapa nilainya?

Ini elaun bukan gaji. Kalau dulunya (zaman pentadbiran Umno BN) sekadar RM250 kemudian RM700 tetapi pada era Pakatan, dinaikkan kepada RM1,000 dan kemudian, naik lagi kepada RM1,300.

Kini, kita bercadang naikkan kepada RM1,500. Kita mahu jadikan ia sebagai pendapatan tetap kerana tiada kenaikan kalau ikut perjanjian. Mereka penjawat sambilan bukan penjawat awam. Pada masa ini, sumbang-an Kerajaan Persekutuan hanya RM800 manakala Kerajaan Selangor sebanyak RM500.

Apakah ada pihak sengaja mensensasi isu ini sedangkan kenaikan tetap dilaksanakan cuma menunggu masa sesuai?

Isu bermula dari dua daerah yang saya turun padang menerusi program ‘Kampungku’. Kita sudah jumpa dengan semua guru. Saya kira sebahagian besarnya cukup memahami. Bukan kita tidak mahu laksanakan tetapi menunggu masa sesuai untuk diputuskan.

Ia perkara yang tidak berapa molek. Kalau sekadar menyampaikan surat, tidak perlu masuk ke Dewan Negeri Selangor (DNS) ketika bersidang sedangkan boleh diserah kepada wakil. Saya pun boleh berjumpa. Tiada masalah. Cara itu tidak kena kerana DNS ada peraturannya.

Nasihat kepada guru KAFA terhadap kenaikan itu, apatah lagi ketika ini, kehidupan semasa amat menekan rakyat?

Bersabarlah supaya kita berlaku adil dengan penjawat lain. Tidak dinafikan pekerjaan itu cukup mulia kerana pada masa sama ia mengangkat Islam. Tetapi justifikasi yang kita lakukan, baik supaya ia setanding imbuhan itu nanti.

Kita buat mengikut pasar garis kemiskinan. RM1,500 ialah kadar minimum, mungkin akan diguna pakai kepada semua kerana ia merupakan elaun, kita lihat kaedah mana yang baik dan adil.

Categories
SELANGOR

Exco: Elaun guru KAFA naik tahun depan

Oleh NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 APR: Elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) akan dinaikkan kepada RM1,500 tahun depan selepas isu justifikasi tempoh perkhidmatan selesai.

Exco Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Yunus Hairi berkata ia dijangka dilaksanakan tahun depan selepas dibentang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau mengakui jumlah kenaikan itu tidak besar berikutan implikasi kewangan kurang RM18 juta setahun kerana melibatkan cuma lebih 6,000 guru.

“Kita boleh putuskan bila-bila masa. Untuk tahun ini, memang tidak ada tapi akan dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan,” katanya kepada SelangorKini.

Ketika pentadbiran Umno BN, elaun guru KAFA di Selangor hanya RM250 sehingga RM700 tetapi sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa, ia dinaikkan kepada RM1,000 hingga RM1,300.

Beliau berkata, punca kelewatan kenaikan berkenaan ialah penilaian justifikasi tempoh perkhidmatan 8,117 guru yang berbeza-beza.

“Ada tiga bulan, lima tahun dan 15 tahun. Jadi kita perlu ambil kira tempoh itu bagi keadilan,” katanya.

Yunus juga tidak menafikan kenaikan itu sebahagian manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan berjanji menyelesaikannya secepat mungkin.

FZL

Categories
SELANGOR

Exco: Mana datang jumlah guru KAFA 10,000?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 APR: Jumlah guru Kafa di Selangor hanya 6,742 bukan 10,000 seperti didakwa kumpulan yang mengaku mewakili suara hati 10,000 guru sekolah terbabit, semalam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS – Sekijang) berkata, jumlah keseluruhan tenaga pengajar sekolah agama di bawah Kerajaan Negeri pula 8,177 orang.

yb yunus hairi“Untuk maklumat Ahli Dewan, daftar yang ada jumlah guru Kafa adalah 6,742. Kalau kita lihat secara menyeluruh mengikut jawatan pada 2014, guru tetap 1,111 orang, guru kontrak (324), guru Kafa (6,742).

“Ini bermakna jumlah hanya 8,177 orang. Saya tak tahu bagaimana beliau mendapat statistik mewakili 10,000 suara hati guru Kafa,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Shuhaimi Shafiei (PKR-Seri Muda).

Semalam, sekumpulan empat hingga lima orang yang mendakwa mewakili suara hati 10,000 guru Kafa cuba merempuh masuk untuk bertemu Adun yang menghadiri sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan hanya membenarkan mereka bertemu wakil Pejabat Menteri Besar untuk menyerahkan memorandum itu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

KAFA: Exco tempelak Adun BN ‘spin’ di TV

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 APR: Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik (BN) ditempelak berikutan tindakan beliau mengeluarkan kenyataan berkenaan isu gaji guru Kafa yang tidak menggambarkan keadaan sebenar kepada media, semalam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Kamarol bukan sahaja tidak faham, bahkan tidak mahu bertanya ketika beliau menggulung perbahasan di Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

MB guru Kafa SAR 01“Saya dah jelaskan beberapa kali, cuma malam tadi saya agak terkejut bila buka televisyen tengok Sungai Air Tawar yang saya tak tahu dia dah semak jawapan saya atau dah periksa ‘hansard’ yang diemelkan mendakwa saya kata kajian sedang dijalankan.

“Kalau Sungai Air Tawar faham apa yang saya jawab dan dia baca ‘hansard’ yang diberikan, saya kata bahawa kajian sudah selesai.

“Itu yang saya jawab dan begitu juga yang tertera di ‘hansard’ cuma sekarang isunya kita nak lihat daripada kajian itu, apakah justifikasi yang kita dapat untuk memartabatkan guru Kafa ini.

yunus“Adakah ia akan memberi satu tambah nilai yang akhirnya sampai kepada anak kita yang mereka ajar,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Shuhaimi Shafiei (PKR-Seri Muda).

Dr Ahmad Yunus Hairi juga kesal dengan tindakan Kamarol yang cuba mempolitikkan isu berkenaan kerana guru Kafa sendiri menerima penjelasan yang pernah dibuat dalam dua program Kampungku, baru-baru ini.

Semalam, isu gaji guru Kafa dibangkitkan ekoran terdapat cadangan menaikkan gaji guru terlibat daripada RM1,300 ketika ini kepada RM1,500.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor terima peruntukan RM35.3 juta bayar elaun imam & guru Kafa

Oleh: LIZAWATI MADFA

KAJANG, 29 JAN: Sejumlah RM35.3 juta peruntukan daripada Kerajaan Pusat diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk tujuan pembayaran imbuhan dan elaun imam, guru takmir serta guru Kelas Agama dan Fadhu Ain (Kafa) di negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan dan menghargai kerjasama Kerajaan Pusat terutama dalam hal berkenaan Islam.

“Diharapkan imbuhan ini dapat memperkasa usaha dan komitmen semua pihak khususnya dalam memerangi cabaran umat Islam, hari ini.

Multaqa imam, ajk, takmir, guru kafa di KUIS (9)“Semoga bantuan daripada Kerajaan Pusat melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berterusan pada masa akan datang,” katanya dalam majlis perasmian penutup program Multaqa Imam, Ahli Jawatankuasa Masjid, Guru Kafa dan Guru Takmir Peringkat Negeri Selangor 2015 di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mai), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Pada masa sama, beliau mengumumkan senarai sembilan Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) Selangor yang dilanjutkan kontrak untuk tahun ini.

“Kontrak ini (contract for service) ini bagaimanapun bersifat sementara sebelum beralih kepada ‘contract of service’ yang masih lagi dalam perbincangan antara Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Elaun guru KAFA Selangor dijangka naik lagi tahun ini

Oleh: LIZAWATI MADFA

KAJANG, 29 JAN: Elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Selangor dijangka akan dinaikkan lagi tahun ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kajian berhubung perkara berkenaan sudah siap dan akan dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

Multaqa imam, ajk, takmir, guru kafa di KUIS (1)“Kita akan melihat beberapa justifikasi yang akan dipertimbangkan untuk dibentangkan dalam bentuk cadangan dalam MMKN seminggu dua lagi.

“Buat masa ini, kita memberi tumpuan bagaimana dapat memberi lebih faedah kepada guru Kafa ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian penutup Majlis Multaqa Imam, Ahli Jawatankuasa Masjid, Guru Kafa dan Guru Takmir Peringkat Negeri Selangor 2015 di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), di sini, hari ini.

Multaqa imam, ajk, takmir, guru kafa di KUIS (9)Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Sebelum ini, gaji guru Kafa dinaikkan dari RM738.30 kepada RM1000 dan elaun penyelia Kafa, dari RM1112.00 kepada RM1500.

Kerajaan Negeri sekali lagi mengumumkan kenaikan gaji guru Kafa dari RM1000 kepada RM1300 dengan meluluskan tambahan elaun RM300.

-NFN-