Categories
SELANGOR

KDEBWM giat bersihkan kawasan terjejas banjir kilat

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 12 NOV: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) komited membersihkan beberapa kawasan di Ampang Jaya yang terjejas ekoran kejadian banjir kilat yang berlaku semalam.

Ketua Penyelia Kawasan, Muhammad Buang berkata, KDEBWM cawangan Ampang Jaya cukup agresif mencari jalan penyelesaian untuk membersihkan sampah yang tersangkut.

“KDEBWM juga membuat pembersihan bagi aliran longkang yang tersangkut khususnya di kawasan perangkap sampah, scupper drain dan laluan longkang yg terganggu.

“Keadaan yang kritikal berpunca daripada longkang monsun serta main drain yang air naik melebihi dari paras kritikal dan sampah melimpah ke jalan-jalan raya sehingga terjejas laluan lalu lintas,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Muhammad berkata, KDEBWM juga akan terus menjalankan tanggungjawab serta berintegriti bagi menyelesaikan permasalahan berkenaan dalam kadar segera.

Semalam, beberapa kawasan rendah di pinggir Ibu kota termasuk di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2) dan beberapa kawasan di Ampang Jaya membabitkan Jalan 39, Kampung Cheras Baru, Jalan 24 Taman Kencana, Ampang campuran, Kampung Melayu Ampang dan Kampung Tasek Tambahan Sri Bayu dilanda banjir kilat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan, hujan lebat sejak jam 3 petang itu menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air kira-kira setengah meter hingga satu meter.

Selain menyebabkan kesesakan lalu lintas, beberapa buah rumah turut dinaiki air antaranya di sekitar Kampung Melayu Ampang, Taman Kosas, Ampang Utama dan Taman Melur.

Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Mohamad Samat berkata, pihaknya dimaklumkan tiga rumah di Taman Melur dimasuki air lumpur.

“Kejadian banjir lumpur ini disebabkan hujan lebat, rumah ini berada di kawasan rendah dilimpahi air.

“Saya sudah memaklumkan kepada pihak berkaitan untuk mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPKj terima 59 kompaktor KDEBWM

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KAJANG, 29 JUN: Sebanyak 59 unit lori kompaktor bagi kutipan sampah domestik dan 60 unit Arm Roll bagi pembersihan awam diserahkan kepada sub kontraktor Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang dilantik KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, 10 unit diserahkan bagi fasa pertama dan selebihnya diberi secara berperingkat.

Katanya, bermula 1 Julai, KDEBWM memulakan perkhidmatan kutipan sampah domestik di kawasan pentadbiran MPKj sekali gus berharap masalah aduan permasalahan sampah dapat diturunkan.

“KDEBWM dapat memberikan perkhidmatan terbaik seperti dicapai di Klang, Ampang Jaya dan Selayang dengan aduan sampah menurun sehingga 95 peratus dalam tempoh tiga bulan.

“Pengurusan sisa pepejal berteraskan Smart Waste Management sebagai satu solusi berkesan dan terbaik bagi memastikan tahap kebersihan yang tinggi dapat dilaksanakan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Kompaktor Kontraktor di MPKj, di sini, pagi tadi.

Hadir sama,  Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir dan Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuti Bakar.

Amirudin berkata, dengan aset lori kompaktor berteknologi moden dilengkapi GPS, tracking, CCTV, reverse camera dan system AVLS yang mampu memantau dan mengesan pergerakkan semua lori akan mencapai sistem pengurusan sampah yang lebih sistematik.

Katanya, sehingga kini KDEBWM memiliki 172 unit kompaktor bagi operasi sampah domestik dan 170 unit lori Arm Roll bag skop pembersihan awam untuk suku ketiga 2018.

“KDEBWM akan memiliki lebih 300 bagi setiap unit kompaktor dan Arm Roll untuk digunakan di kawasan Majlis Perbandaran dan Daerah.

“Dana kewangan yang diberikan kerajaan negeri telah pun dibelanjakan untuk pembelian lori-lori tersebut bagi memastikan kutipan dapat dilaksanakan dengan baik dan berjalan lancar,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut mengumumkan, KDEBWM bersetuju menyumbangkan 100 unit tong sampah untuk diagihkn di kawasan Kajang bagi menggantikan tong sampah yang uzur dan tidak mencukupi.

Categories
SELANGOR

KDEBWM proaktif pastikan Selangor bersih

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 10 MAC: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menyumbangkan 94 tong sampah jenis ‘leach bin’ dan 30 jenis ‘chute bin’ bernilai RM150,000 sebagai tanggungjawab sosial korporatnya.

Pengurus Besarnya, Ramli Tahir berkata, usaha berterusan itu bagi merealisasikan aspirasi Smart Selangor kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan penduduk untuk diedarkan ke kawasan yang dikenalpasti.

“KDEBWM merasakan ia merupakan tanggungjawab bersama dan perlu membelanjakan sedikit aset untuk kemudahan penduduk.

“Apabila KDEBWM mengambil alih pengurusan sampah, kita mendapati banyak aset-aset sedia ada tidak boleh diguna pakai.

“Oleh itu, kita perlu menukar kepada yang lebih baik,” katanya kepada SelangorKini selepas program Gotong Royong Perdana KDEBWM di Padang AU2, di sini.

Dalam program itu, Ramli berkata program terbabit merupakan julung kali diadakan dengan menjemput Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Program gotong royong sentiasa diadakan bersama penduduk sebagai komitmen berterusan menjadikan Selangor kekal memiliki persekitaran bersih.

“Bagi memastikan program ini berjalan lancar, KDEBWM turut menyediakan pelbagai peralatan kebersihan dan kemudahan untuk kegunaan peserta sepanjang gotong royong diadakan.

“Kita juga menyediakan jentera lori armroll dan pekerja untuk proses kutipan sampah dan jentera High Pressure Tanker akan digunakan bagi pembersihan longkang sekitar AU2,” katanya.

Pada masa sama, KDEBWM turut mengadakan demonstrasi penggunaan jentera road sweeper baru yang dilengkapi dengan pemantauan kenderaan vehicle monitoring system bagi memudahkan pergerakan jentera dari satu kawasan ke kawasan kerja yang lain.

Categories
SELANGOR

Komitmen KDEBWM urus sisa pepejal dipuji

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 10 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memuji usaha KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dalam menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri ini.

Beliau berkata selepas pengambilalihan KDEBWM di beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), mencatatkan penurunan aduan lebih 90 peratus.

“Sejak mengambil alih di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), aduan mencatatkan penurunan sebanyak 97 peratus iaitu daripada 225 aduan kepada lima aduan diterima sebulan.

“Manakala, di Majlis Perbandaran Selayang (MPS), KDEBWM menerima 1,300 aduan dan berjaya dikurangkan kepada 20 aduan sebulan, ketika ini.

“Dengan kejayaan ini, KDEBWM berjaya membuktikannya sebagai badan yang cukup cemerlang dalam memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat Selangor,” katanya di Program Gotong Royong Perdana KDEBWM, di Padang AU2, di sini.

Mohamed Azmin berkata penubuhan KDEBWM tepat pada masanya dalam usaha merealisasikan agenda ‘Smart State’.

“Kita tidak boleh berada ditakuk lama. Pimpinan perlu terima kemajuan untuk lebih bersaing dengan negeri dan negara lain.

“Atas usaha ini, Kerajaan Negeri menubuhkan KDEBWM yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri untuk melaksanakan kerja pembersihan dengan menggunakan modus operandi Smart Waste Management (SWM).

“Kini, terbukti penubuhan KDEBWM ini, Selangor lebih baru dari sebelumnya,” katanya.

KDEBWM dilantik sebagai Project Management Company (PMC) untuk mengorak langkah untuk penambahbaikan pengurusan sisa pepejal.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) dipilih sebagai pilot project dalam menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam.

KDEBWM bukan syarikat baru. Pada 2008, KDEB mengambil alih syarikat Jetson Corporation Sdn Bhd yang turut memiliki 21 peratus pegangan saham di dalam Alam Flora Sdn Bhd.

Pada 2012, KDEBWM meningkatkan keupayaan kapasiti asetnya dengan membuat pembelian 50 kompaktor untuk disewakan kepada sub kontraktor di Selangor supaya kerja kutipan sampah dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Categories
SELANGOR

KDEBWM bekal 52 lori RORO, mudah kerja pembersihan sampah pukal MPAJ

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JAN: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan menyediakan sejumlah 52 lori Roll On Roll Off (RORO) bagi memudahkan kutipan pembersihan sampah pukal di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hujung bulan ini.

Pengurus Besarnya, Ramli Mohd Tahir berkata, setakat ini KDEBWM menyediakan 46 lori kompaktor bagi memudahkan kegunaan kutipan sisa pepejal dan domestik sahaja.

“Oleh kerana, kutipan sampah pukal tidak boleh menggunakan kompaktor yang ada, jadi kita menyediakan lori RORO untuk kutipan sampah pukal di seluruh kawasan pentadbiran MPAJ.

“Ini bagi melancarkan operasi kutipan pembersihan sampah pukal di sini bagi terus memberi keyakinan penduduk sekitar terhadap perkhidmatan ditawarkan KDEBWM,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Ramli berkata hanya terdapat empat aduan bagi sisa domestik pada Disember lalu berbanding 225 aduan pada Mac, manakala 126 aduan bagi pembersihan pukal.

Untuk rekod, Disember lalu, KDEBWM merekodkan kutipan sejumlah 13995.75 tan sampah dengan purata harian kutipan sebanyak 451.5 tan.

Terdahulu, KDEBWM mengambil alih 100 peratus kerja pembersihan awam di kawasan pentadbiran MPAJ.

Pada Julai 2016, KDEBWM mula menggalas tanggungjawab mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan berjaya mengurangkan jumlah aduan daripada 800 sehingga tujuh, pada Jun lalu.

Pada 1 Mac 2017, KDEBWM mula mengambil alih pembersihan awam di MPK secara berperingkat.

Pada masa sama, KDEBWM diberi tanggungajawab mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

KDEBWM adalah anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) yang bertanggungjawab sebagai koordinator pengurusan projek di kawasan pentadbiran MPK, MPAJ dan MPS.

Categories
SELANGOR

KDEB bakal ambil alih 68 zon pembersihan awam MPK

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 JAN: KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) bakal melengkapkan pengambilalihan pengurusan pembersihan awam Majlis Perbandaran Klang (MPK) tahun ini.

Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, proses pengambilalihan KDEBWM dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 1 Mac 2017 lalu.

Katanya, KDEBWM sehingga kini telah mengambilalih 60 zon pembersihan awam MPK.

Beliau berkata, baki 8 zon lagi akan diambil alih secara berperingkat bagi melengkapkan keseluruhan 68 zon pembersihan awam di seluruh daerah Klang yang sebelum ini diuruskan oleh MPK.

“Pengambilalihan ini akan menjadikan KDEB Waste Management bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perkhidmatan pembersihan awam di MPK,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Difahamkan antara kawasan yang terlibat di dalam fasa terakhir pengambilalihan yang melibatkan tujuh fasa secara keseluruhannya itu membabitkan Taman Sri Andalas, Taman Eng Ann, dan Bandar Armada Putra, Pulau Indah.

Terdahulu, Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasin Bidin berkata, RM25 juta setahun telah diperuntukan kepada kepada KDEBWM untuk menguruskan pungutan sisa pepejal domestik di seluruh daerah Klang.

Selaras aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebuah negeri pintar di bawah inisiatif Smart Selangor, KDEBWM memperkenalkan pelbagai mekanisme aduan.

Ia dilaksanakan bagi memudahkan warga Klang untuk menyalurkan aduan berhubung kutipan sisa pepejal domestik dan pembersihan awam termasuk aplikasi iClean Selangor.

Aplikasi ini boleh dimuat turun dari Android Play Store dan Apple App Store.

Categories
PBT SELANGOR

Kerjasama KDEBWM-MPS tingkat kebersihan Selayang

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 27 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berharap jalinan kerjasama dimeterai bersama KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dapat meningkatkan tahap kebersihan di kawasan itu.

Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman, berkata pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan KDEBWM atas kerjasama itu dengan harapan ia memberi kesan positif dengan masalah sampah dapat diatasi.

“Dengan jentera baru dan segala kemudahan ini, kita berharap KDEBWM bersama MPS serta kerjasama semua ketua jabatan, ahli majlis dan masyarakat mampu mengurangkan masalah sampah di kawasan Selayang.

“Kita juga membuat inisiatif baru terhadap lori sampah MPS iaitu kita sertakan lagu korporat untuk pemberitahuan kepada masyarakat mengenai kehadiran lori sampah di kawasan perumahan dan sebagainya,” katanya kepada media.

CP2A9617Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pukal antara MPS dan KDEBWM serta Penyerahan Lori Kompaktor Baru KDEBWM di lobi MPS di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, MPS turut menerima baki lapan lori kompaktor baru menjadikan jumlah keseluruhan 44 buah.

Sementara itu, Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri diketuai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan MPS kerana memberi peluang serta menaruh kepercayaan kepada KDEBWM untuk mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pukal di kawasan itu, sejak Mac lalu.

Katanya, sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri, memang menjadi hasrat KDEBWM untuk membantu dalam perkara berkaitan dan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak.

“Kita memang berazam meningkatkan prestasi dan melakukan segalanya yang termampu bagi memastikan kutipan sampah berjalan lancar.

“Matlamat kita ialah kutipan sampah meningkat menjadi banyak, aduan berkurangan dan Selangor semakin bersih,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

KDEBWM serah 14 kompaktor berteknologi tinggi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUNGAI BULOH, 19 SEPT: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menyerahkan 14 lori kompaktor masing-masing kepada sub kontraktor Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Ia melibatkan lapan unit kepada MPS dan enam unit lagi kepada MPAJ bagi mengurus kutipan sisa pepejal domestik di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, keperluan itu dilaksanakan secara berperingkat sebelum penyerahan akhir lori diserahkan kepada sub kontraktor terlibat.

990f420d-7641-4fe1-8f91-16c6d6363eed“Lori ini buatan Jepun dan telah diuji di pasaran dengan pelbagai kemudahan berteknologi tinggi terkini.

“Kamera litar tertutup pula turut dipasang di belakang, dalam ruangan sampah yang dapat mengesan sebarang aktiviti di persekitaran lori.

“Selain itu, terdapat alat GPS turut dipasang untuk mengesan pergerakan lori ini,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor Baru KDEB di Kilang Green Concerns, pagi ini.

Untuk rekod, KDEB menyerahkan keseluruhan 20 unit lori jenis ‘roll on roll of’ dan 34 unit lori kompaktor baru daripada keseluruhan 44 uniti yang perlu diserahkan kepada MPS untuk kutipan pepejal di Selayang.

Manakala, 34 unit lori kompaktor baru daripada keseluruhan 46 unit perlu diserahkan kepada kepada MPAJ, bagi kawasan Ampang Jaya.

d9aab02c-550d-4810-84a0-a15d281ced62Penyerahan lori itu sejajar dengan komitmen KDEB membawa perubahan dan pembaharuan kepada perkhidmatan kutipan sisa pepejal yang lebih efektif dan efisyen.

KDEB merupakan syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor melalui pegangan saham Kumpulan Darul Ehsan diberi tangungjawab melakukan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pemebersihan awam di Selangor secara berperingkat.

Bermula 1 Mac lalu, KDEB mengambilalih perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di MPAJ, MPS dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu sampah haram di perumahan terbengkalai di Klang

Isu sampah haram di perumahan terbengkalai di Jalan Dato Abdul Hamid 29A, Taman Sentosa Klang

KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM), syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor melalui pegangan saham di dalam Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah diberi tanggungjawab melakukan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Negeri Selangor secara berperingkat.

Mulai 1 Julai 2016, KDEBWM telah diberikan mandat oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai Project Management Company (PMC) bagi menguruskan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal secara bersepadu di Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai projek perintis (Pilot Project).

Pihak KDEB Waste Management Sdn Bhd telah mula melakukan kerja-kerja pembersihan awam secara berperingkat di MPK mulai 1 Mac 2017.

Manakala bagi kawasan sekitar Jalan Dato Abdul Hamid 29A yang dilaporkan oleh Buletin Utama TV3 tersebut telah mula diambilalih kerja-kerja pembersihan awam mulai 1 Julai 2017.

Kerja KDEBWM 1Kerja-kerja pembersihan awam yang dilakukan oleh pihak KDEBWM meliputi kawasan perumahan yang telah diserahmilik oleh pemaju kepada pihak MPK dan tidak meliputi kawasan perumahan yang belum diserahmilik kepada MPK atau kawasan perumahan terbengkalai.

Hasil tinjauan pihak KDEBWM, mendapati sampah haram yang dilaporkan adalah sampah yang telah dibuang di dalam kawasan perumahan terbengkalai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pada 11 September 2017, Pihak KDEBWM telah membantu melakukan kerja-kerja pembersihan bersama pihak MPK bagi membersihkan kawasan tersebut sebagai usaha keprihatinan KDEBWM terhadap aduan penduduk-penduduk di kawasan sekitar.

Ketika ini, kerja-kerja pembersihan sedang giat dilakukan oleh pihak sub-kontraktor KDEBWM bersama pihak MPK.

Hasil lawatan ADUN N49 Seri Andalas, YB Tuan Dr Xavier Jayakumar A/L Arulanandam, En Ramli bin Mohd Tahir, Pengurus Besar KDEBWM dan wakil pihak MPK di kawasan perumahan terbengkalai tersebut, satu langkah awal akan dilakukan bagi mencegah pembuangan sampah haram di dalam kawasan perumahan terbengkalai akan tersebut iaitu dengan menutup laluan masuk kenderaan di Jalan Dato Abdul Hamid 29A tersebut.

Pihak KDEBWM akan terus bekerjasama dengan pihak MPK secara berterusan bagi memastikan pembersihan kawasan perumahan yang didiami oleh penduduk-penduduk Taman Sentosa, Klang berada dalam keadaan baik dan sempurna

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan Selangor 2018: Fokus pengurusan sisa pepejal

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerajaan Negeri bercadang memperluaskan lagi operasi dan pengurusan sisa pepejal oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu dilihat berjaya menguruskan sisa pepejal dengan sangat baik sejak mula beroperasi pada Julai 2016.

Katanya, ia termasuk mengurangkan lambakan aduan daripada penduduk sehingga lebih 90 peratus.

ean-yong“Kita akan teruskan rancangan untuk KDEBWM mengambil alih PBT lain agar kerja pengurusan sisa pepejal sama ada sisa domestik atau pembersihan awam berjalan secara lebih sistematik dan efisyen.

“Ia juga sebagai respon kepada kajian kepuashatian rakyat Selangor yang meningkat, namun mahu Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada kerja pembersihan, infrastruktur awam serta pencegahan jenayah,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, kajian Merdeka Centre yang bermula pada 23 Januari hingga 29 Jun lalu mendapati 72 peratus atau 8,640 responden mewakili penduduk Selangor menyatakan kepuasan mereka terhadap prestasi Kerajaan Negeri dan PBT.

Pada Julai 2016, KDEBWM mula mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan hampir 800 aduan diterima, dan berjaya menurunkan sehingga tujuh aduan sahaja pada Jun lalu.

KDEBWM KOMPAKTOR (1)Pada Mac lalu, syarikat itu kemudiannya diberi tugas mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Pada awal perkhidmatan, aduan di MPS mencecah sehingga 1,249 aduan, namun menurun kepada 85 pada Julai lalu sementara di MPAJ aduan menurun kepada enam, daripada 227 yang dicatatkan pada Mac.

Categories
SELANGOR

KDEBWM sedia 44 kompaktor urus sisa pepejal MPS

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SELAYANG, 8 MEI: Sekurang-kurangnya 44 lori kompaktor disediakan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) untuk ditempatkan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS), sehingga Ogos ini.

Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, 10 kompaktor sudah diserahkan kepada MPS bagi melancarkan lagi pengurusan sisa pepejal dikawasan itu.

“Empat lori kompaktor diserahkan kepada sub kontraktor sebelum ini dan hari ini KDEBWM menyerahkan enam lagi lori kompaktor.

KDEBWM KOMPAKTOR (1)“Manakala, baki 34 lori akan diberikan dalam tempoh tiga bulan berikutnya,” katanya selepas majlis penyerahan lori baru di Dataran MPS, di sini, pagi tadi.

Ramli berkata, setiap lori mampu mengutip lebih 11 tan sampah sehari membabitkan 3,000 kediaman.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato’ Juhari Ahmad berkata, beliau yakin dengan penggunaan kompaktor baru yang dilengkapi pelbagai peralatan dan teknologi canggih dapat meningkatkan kualiti serta mutu perkhidmatan sisa pepejal.

“MPS sentiasa bersedia membantu KDEBWM untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan terbaik bagi memastikan keselesaan serta kesejahteraan warga MPS terjamin.

“Saya berharap semua sub kontraktor yang menerima kompaktor baru ini akan lebih bersemangat dalam meningkatkan kualiti serta mutu perkhidmatan kutipan sisa pepejal,” katanya.

Difahamkan, KDEBWM mengambil alih perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di kawasan MPS, sejak 1 Mac lalu.