Categories
AGENDA NASIONAL

Bah di Terengganu, Kelantan makin buruk, bilangan mangsa pindah meningkat

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) — Keadaan banjir dilaporkan semakin buruk di Terengganu dan Kelantan apabila bilangan mangsa meningkat di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan masing-masing 3,434 orang dan 2,186 orang, setakat 5 petang ini.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan 67 PPS dibuka di lima daerah iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan Dungun membabitkan 985 keluarga.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan iaitu Jalan Pelantoh (Kampung Pelantoh), Jalan Teladas Air Putih (Jambatan Lama Teladas), Jalan Air Putih (Masjid Kampung Tebak), Jalan Air Putih (susur keluar Tol Chukai) dan Jalan Air Putih (Kampung Dadong-Sawah Padi) di Kemaman.

Selain itu, Jalan Jerteh-Keruak (Kampung Duek) dan Jalan Jerteh-Keruak (Kampung Jerubun), Besut; Jalan Pengkalan Merbau-Pelong (Kampung Seri Kenangan), Setiu; Jalan Tepus-Kuala Jengai (Kampung Rantau Panjang), Dungun dan Jalan Simpang Gaung-Simpang Sungai Tong (Kampung Kuala Ping) dan Jalan Bukit Diman-Tersat (Kampung Pengkalan Ajal), Hulu Terengganu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, lapan sungai iaitu Sungai Chalok, Sungai Setiu dan Sungai Nerus di Setiu; Sungai Telemong, Sungai Marang (Marang),  Sungai Kemaman dan Sungai Tebak di Hulu Terengganu serta Sungai Dungun telah melepasi paras bahaya.

Di KELANTAN, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, mengingatkan penduduk di negeri ini supaya tidak menjadikan bencana banjir sebagai pesta tahunan, walaupun situasi yang dihadapi ketika ini dianggap sebagai air hujan bertakung.

“Begitu juga warga emas atau orang dewasa yang mahu pergi melihat haiwan ternakan dan sebagainya sekiranya ditenggelami air, kalau boleh pergi ke tempat tersebut biarlah berteman bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas, di sini hari ini.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan, sebanyak 30 PPS dibuka masing-masing sembilan di Kuala Krai dan Tanah Merah manakala tujuh di Pasir Mas dan lima di Jeli melibatkan 622 keluarga.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 35.27 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.69m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (22.04m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.13m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.42m).

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Jumlah penduduk Terengganu, Kelantan berpindah meningkat

KUALA TERENGGANU, 26 FEB: Hari kedua banjir di Terengganu menyaksikan peningkatan mendadak jumlah penduduk terjejas kepada 2,525 orang daripada 712 keluarga pagi ini berbanding 1,237 orang daripada 339 keluarga malam tadi.

Peningkatan itu susulan penambahan 29 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ketika ini ialah sebanyak 51 buah di lima daerah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan Dungun menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di Terengganu dengan 69 individu daripada 24 keluarga ditempatkan di empat PPS ketika ini.

“Daerah Kemaman merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,203 orang daripada 328 keluarga di 18 PPS diikuti Hulu Terengganu (650 orang, 196 keluarga di 11 PPS), Setiu (198 orang, 71 keluarga di tujuh PPS) dan Besut (405 orang, 93 keluarga di 11 PPS).

Jumlah mangsa banjir di KELANTAN juga terus menunjukkan peningkatan setakat 8 pagi ini, iaitu 853 orang daripada 237 keluarga berbanding 400 orang daripada 113 keluarga, malam tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 21 PPS dibuka melibatkan masing-masing lapan di Tanah Merah dan Jeli manakala empat di Kuala Krai dan satu di Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan beberapa sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Sungai berkenaan ialah Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli merekodkan bacaan 29.75 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.79 m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (21.50 m), Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (42.50 m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.32 m).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

223 penyakit berjangkit dikesan di lebih 50 PPS Kelantan

KOTA BHARU, 28 DIS: Sebanyak 223 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir di lima daerah di Kelantan sejak kejadian banjir besar pada 17 Dis lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata kesemua kes itu dikesan sejak 17 hingga 26 Dis lepas di lebih 50 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka dalam tempoh itu.

“Kes itu dikesan hasil ujian saringan di PPS yang dibuka di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas sebelum ini.

“Antara penyakit yang dikesan adalah penyakit jangkitan kulit (95), jangkitan saluran pernafasan (79), radang usus akut atau gastroenteritis (11), demam yang tidak bersimptom (lapan) dan selebihnya lain-lain penyakit biasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Persekutuan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata orang ramai diingatkan supaya mendapatkan bekalan air dan makanan yang bersih bagi mengelak dijangkiti penyakit kencing tikus, kolera, tifoid dan keracunan makanan semasa banjir.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga sungai di Kelantan lepasi paras amaran

KOTA BHARU, 17 DIS: Situasi semasa tiga sungai di Kelantan telah melepasi paras amaran susulan hujan berterusan di beberapa kawasan sejak tiga hari lepas, setakat pukul 8 pagi ini.

Menurut portal info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai tersebut ialah Sungai Lebir di Kuala Koh, Gua Musang iaitu pada paras 71.76 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (23.19 m) dan Sungai Kelantan di Kampung Jenob, Tanah Merah (23.28 m).

Sementara itu, Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas pula berada pada paras waspada kerana trend air sungai sedang menaik dengan masing-masing merekodkan bacaan 22.43 m dan 7.16 m selain Sungai Relai di Jalan Felda Aring, Gua Musang turut berada pada paras waspada dengan trend menurun.

Terdahulu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS menerusi kenyataannya semalam telah mengeluarkan amaran banjir akan berlaku di beberapa lokasi di jajahan Kuala Krai, Jeli, Gua Musang, Tanah Merah dan Machang hari ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran cuaca buruk, siap siaga hadapi banjir di Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) hari ini menasihatkan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi hujan lebat berterusan yang dijangka berlaku melibatkan kawasan berisiko tinggi.

NDCC dalam kemas kini notis kesiapsiagaan operasi bencana juga memohon supaya pihak jawatankuasa itu memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), selain memastikan aset pengoperasian mencukupi dan sedia digunakan.

Terdahulu hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga dengan jangkaan hujan lebat berterusan melibatkan kesemua jajahan di Kelantan dan daerah di Terengganu sehingga esok.

Dalam kenyataan sama, amaran hujan berterusan tahap kuning atau waspada juga dikeluarkan untuk kawasan di Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan dan Lipis (Pahang); Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak) dan kesemua daerah di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan lokasi di Kelantan berisiko berlaku kepala air, tanah runtuh

TUMPAT, 25 NOV: Lapan lokasi di Kelantan dikenal pasti berisiko berlakunya kejadian kepala air, tanah runtuh dan mendapan tanah berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Beliau berkata lokasi berisiko berlaku kepala air adalah Air Terjun Lata Rek, Gunung Stong dan Chuchuh Puteri di Kuala Krai manakala lokasi berisiko tanah runtuh adalah Jalan Kuala Betis-Lojing, Jalan Gua Musang-Lojing dan Lebuhraya Timur Barat Jeli-Grik.

“Mendapan tanah pula berisiko berlaku di Kampung Kubang Kuau, Bachok selain runtuhan tebing di Kampung Celagi, Pasir Mas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Ar-Rasyidin di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini hari ini.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai atau pengguna jalan raya supaya berwaspada bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya bilik gerakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan akan beroperasi 24 jam dan pihaknya bersama-sama pihak berkuasa tempatan juga sentiasa memantau kawasan berisiko terbabit.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata pihaknya telah memanggil lebih 10 saksi bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT), baru-baru ini.

“Antara yang dipanggil termasuk anggota polis, orang awam dan rakan-rakan OKT yang berada di lokap sama. Keputusan laporan bedah siasat dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya.

Pada 16 Nov lepas, lelaki berusia 23 tahun itu sedang dirakam percakapan dan dokumentasi bagi membantu siasatan kes kecurian kenderaan di Pejabat Cawangan Bantuan Teknikal Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan sebelum dilihat dalam keadaan bergetar dan mulut berbuih.

Pegawai dan anggota yang menjalankan proses rakaman percakapan itu bertindak membawa lelaki itu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan sebelum lelaki terbabit meninggal dunia pada hari sama.

Kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut berikutan laporan bedah siasat oleh pakar forensik patalogi HRPZ II tidak dapat mengesahkan punca sebenar kematian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keluarga anak tertukar lantik peguam, ambil tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Dua keluarga yang tiga anak mereka tertukar sejak lahir 20 tahun lepas, dipercayai akibat kecuaian kakitangan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan, telah melantik barisan peguam untuk menasihati dan mengambil tindakan undang-undang yang perlu.

Jurucakap bagi pihak Tetuan Sam Masri & Associates, Tetuan Khairul Naim Rafidi, Tetuan Azam Rashid & Co serta Tetuan Mohd Nasir & Co, peguam Samry Masri berkata barisan peguam itu dilantik pada November tahun lepas.

“Kejadian yang berlaku telah menyebabkan kesengsaraan dan penderitaan kepada anak guam kami dan dua keluarga mereka. Lantaran itu kami akan sedaya upaya memastikan keadilan dapat terlaksana sebaiknya,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama semalam.

Beliau berkata pihaknya telah menulis surat kepada pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan kerjasama pihak hospital itu untuk membekalkan rekod-rekod kelahiran dan perubatan yang berkenaan.

Pada masa sama katanya pihak barisan peguam juga menyambut baik kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin dan Pengarah Hospital HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali yang akan menyiasat perkara itu dan akan mengesan dokumen serta petugas terlibat.

“Kami juga menghargai kenyataan serta pandangan yang diberikan oleh Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, pakar psikologi, serta pihak-pihak lain yang simpati dengan nasib anak guam kami serta kedua-dua keluarga mereka,” katanya

Bernama sebelum ini melaporkan tentang dua keluarga yang mengharungi kisah tragis apabila tiga bayi perempuan termasuk sepasang kembar, tertukar selepas dilahirkan 20 tahun lepas.

Kejadian itu disedari selepas ketiga-tiga mereka, Adryani Iwani, ‘kembarnya’ Adryana Irwani, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada September tahun lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK DUN Melor ditangguhkan

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kelantan yang sepatutnya diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu Dr Md Yusnan Yusof ditangguhkan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.

“Memandangkan Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Jan 2021 [P.U.(A) 7/2021] dan peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa maka Pilihan Raya Kecil bagi DUN N.23 Melor, Kelantan ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN itu, semalam.

Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah memperuntukkan yang kekosongan sesuatu kerusi DUN Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.

Semalam, Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Melor susulan kematian Md Yusnan pada 30 April lepas.

Md Yusnan, 53, meninggal dunia di rumahnya di Melor, Kelantan pada 2.28 pagi akibat serangan jantung.

Beliau memenangi kerusi DUN Melor bagi dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 meningkat, Kelantan batal operasi bazar Ramadan

KOTA BHARU, 11 APRIL: Kerajaan Kelantan membatalkan pengoperasian bazar Ramadan di seluruh negeri berikutan peningkatan serius kes Covid-19 di negeri berkenaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin.

Dr Izani berkata semua acara rasmi kerajaan negeri kecuali mesyuarat-mesyarat penting turut dibatalkan sepanjang bulan Ramadan.

“Kita dapati kadar kebolehjangkitan (di Kelantan) telah naik kepada 1.12 dan ini menggambarkan betapa seriusnya keadaan sekarang. Kita juga menjangkakan kes tiga angka akan berterusan dan mungkin meningkat dalam tempoh seminggu akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kecil Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Dr Izani berkata berikutan pembatalan program rasmi berkenaan, lokasi program Madinah Ramadan iaitu solat tarawih di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV mungkin dijadikan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko rendah (PKRC).

Pada 29 Mac lepas, Dr Izani dilaporkan berkata kerajaan Kelantan membenarkan pengoperasian bazar Ramadan di seluruh negeri berkenaan dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat, manakala program Madinah Ramadan dibenarkan namun hanya dengan 500 jemaah berbanding kapasiti asal 1,300 orang.

“Saya memohon maaf kepada seluruh rakyat kerana semasa kes pada tahap dua angka kita membenarkan bazar Ramadan dibuka, Madinah Ramadan, majlis berbuka, tadarus dan sebagainya.

“Namun, kerana kita jangka kes semakin serius maka kita terpaksa membatalkan semua program terbabit termasuk program tilawah melibatkan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada malam ini. Malah, semua program kerajaan juga dibatalkan kecuali mesyuarat yang terlalu penting,” kata Dr Izani.

Kelantan mencatatkan 171 kes positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes itu sebanyak 7,021 dengan merekodkan 21 kluster yang masih aktif, setakat semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kelantan negeri pertama dilawati jawatankuasa pengurusan darurat

PASIR MAS, 30 JAN: Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat yang ditubuhkan pada 16 Jan lepas memulakan lawatan ke negeri-negeri hari ini dengan Kelantan menjadi lokasi pertama.

Pengerusi bersama jawatankuasa itu Datuk Takiyuddin Hassan berkata hari ini mereka meninjau sempadan Malaysia-Thailand bagi melihat keperluan serta langkah yang perlu dilaksanakan dalam mengekang penularan Covid-19 dari luar negara.

Hasil lawatan hari ini akan dibentangkan pada pertemuan dengan pimpinan kerajaan negeri esok, katanya kepada pemberita selepas tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dekat Rantau Panjang.

Terdahulu, Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mengadakan lawatan ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di Tumpat.

Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat ditubuhkan bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar dan ia dipengerusikan secara bersama oleh Takiyuddin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Jawatankuasa itu turut dianggotai lapan ahli tetap iaitu ketua pengarah Perkhidmatan Awam, ketua setiausaha Perbendaharaan, peguam negara, panglima angkatan tentera, ketua polis negara, ketua pengarah kesihatan, ketua pengarah keselamatan negara dan ketua kluster.

Penubuhan jawatankuasa itu merupakan susulan perisytiharan darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula 12 Jan lalu hingga Ogos tahun ini sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor serah RM500,000 bantu mangsa banjir Kelantan

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Selangor hari ini menyerahkan bantuan berjumlah RM500,000 kepada Kelantan bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.

Kelantan antara tiga negeri pantai timur selain Pahang dan Terengganu yang menerima sumbangan RM2 juta bagi meringankan beban kerajaan serta rakyat pascabencana.

Bantuan secara maya diserahkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Amirudin dalam ucapannya berkata sumbangan berkenaan sebahagian usaha membantu keluarga anak Kelantan yang berhijrah ke negeri ini.

“Ramai anak Kelantan mencari rezeki di Selangor jadi sumbangan ini diharap membantu keluarga mereka. Saya pernah merasai pengalaman melihat keadaan dan mangsa banjir yang terjejas teruk pada 2014,” katanya pada sesi penyerahan itu.

Sementara itu, Ahmad menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan terbabit selain menganggap ia tepat pada masanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Banjir pada penghujung Disember hingga awal Januari membabitkan perpindahan 10,000 mangsa, justeru bantuan ini akan diagih kepada semua yang terjejas,” katanya.

Pagi tadi, Amirudin turut menyerahkan bantuan kepada Pahang dan Terengganu yang diwakili menteri besar kedua-dua negeri. Pahang menerima RM1 juta manakala Terengganu sebanyak RM500,000.

Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor diperuntuk dalam Pakej Kita Selangor yang diumumkan pada 20 Januari lalu bagi mendepani tempoh perintah kawalan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP seluruh Kelantan, tiga daerah Sarawak mulai esok – menteri

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Seluruh negeri Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok hingga 26 Januari, manakala di Sarawak PKP dilaksana di daerah Sibu, Selangau dan Kanowit bermula esok hingga 29 Januari.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) susulan terdapat peningkatan kes Covid-19 di Kelantan serta tiga daerah di Sarawak.

“Sejak 10 Januari, purata kes harian di Kelantan meningkat antara 80 hingga 100 kes malah kes aktif turut meningkat secara mendadak dalam tempoh 14 hari.

“Jajahan Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Gua Musang, Machang, Kuala Krai dan Tanah Merah kini zon merah manakala Pasir Puteh dan Pasir Mas zon kuning dan Jeli zon jingga,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Beliau berkata semua tatacara operasi piawai (SOP) PKP yang diumumkan sebelum ini terpakai di Kelantan dan tiga daerah di Sarawak antaranya hanya dua wakil isi rumah dibenar keluar untuk mendapatkan barangan keperluan.

Ismail Sabri berkata, KKM turut melaporkan berlaku peningkatan kes secara mendadak yang melibatkan kluster dalam komuniti di seluruh negeri itu ketika ini.

Beliau berkata sehingga semalam secara kumulatif sebanyak 1,649 kes positif direkodkan di Kelantan.

Di Sarawak, beliau menjelaskan sejak 31 Disember hingga 13 Januari 2021, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh 14 hari iaitu daripada dua kepada 251 kes.

Beliau berkata kebanyakan kes adalah dari Kluster Pasai di Sibu dan Mukah yang merekodkan sejumlah 394 kes daripada jumlah kes secara keseluruhan.

“Kluster ini melibatkan 18 rumah panjang yang bertaburan di seluruh bahagian Sibu, justeru KKM menasihatkan agar PKP dilaksanakan di tiga daerah itu,” katanya.

– BERNAMA