Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cegah remaja bunuh diri, kesan perubahan tingkah laku

SHAH ALAM, 3 JULAI: Ibu bapa dan rakan perlu peka melihat perubahan tingkah laku remaja yang mengalami masalah kesihatan mental dan mungkin mendorongnya membunuh diri.

Pakar psikologi kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata petanda seseorang termasuk individu berusia 15 hingga 18 tahun mengalami masalah itu antaranya sikap ceria menjadi murung dan mengurungkan diri dalam bilik kerana enggan bertemu masyarakat luar.

Menurut Dr Fauziah Mohd Saad, ibu bapa, adik beradik dan rakan sebagai insan terdekat harus segera memberi bantuan dengan mencurah kasih sayang serta cuba mengembalikan semangat individu terbabit.

“Apabila merasa disayangi serta ada keyakinan diri, mental mereka kembali stabil berdepan apa jua masalah dan tidak lagi berniat melakukan tindakan luar jangka seperti membunuh diri.

“Kalau tidak dicegah awal mungkin lebih parah, lazimnya kalau seseorang itu nekad membunuh diri…dia akan memberitahu perinciannya termasuk bila dia mahu melakukannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Statistik bunuh diri dilaporkan media pada Khamis menunjukkan lebih dari 1,000 kes bunuh diri dicatatkan sejak tahun 2019 sehingga Mei tahun ini kebanyakannya melibatkan mangsa berusia 15 hingga 18 tahun, iaitu seramai 872 orang.

Fauziah berkata masalah keluarga dan peribadi termasuk terlanjur dalam perhubungan antara faktor remaja di usia terbabit mengambil jalan mudah dengan membunuh diri.

“Sebab itu selain peranan individu terdekat, kerajaan juga perlu menggiatkan lagi kempen pencegahan bunuh diri di semua peringkat usia.

“Nilai positif harus diterapkan dalam diri seseorang supaya daya tahan mereka ditingkatkan untuk menghadapi kehidupan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pelihara kesihatan mental ketika depani pandemik

SHAH ALAM, 5 MAC: Kesihatan mental dikhuatiri melanda segelintir masyarakat ketika negara berdepan wabak Covid-19. Hilang pekerjaan dan sumber pendapatan merosot dikenal pasti antara punca.

Justeru, KKM mewujudkan Talian Sokongan Psikososial bagi membantu golongan terjejas mendapatkan pandangan saat mengharungi detik sukar ini.

Antara 25 Mac sehingga 19 Oktober 2020, sebanyak 36,269 panggilan diterima Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS). Antara isu yang dibangkitkan antaranya tekanan, bimbang, marah serta murung.

Talian 08-833 8088 bertujuan membantu mereka yang memerlukan khidmat sokongan emosi dan bantuan awal psikologi.

Tidak terkecuali perkhidmatan kaunseling kepada petugas hadapan bagi mengenal pasti kelesuan minda serta membantu dari aspek kesihatan mental.

Di Selangor, sokongan psikososial boleh didapati di Klinik Kesihatan Bandar Botanic, Klang dan Klinik Kesihatan Kajang.

Jenis perkhidmatan bantuan sokongan psikososial

  • Terapi sokongan
  • Bantuan praktik
  • Program komuniti, promosi dan pencegahan

Bagaimana mendapat bantuan sokongan psikososial?

  • Dapatkan rujukan pegawai perubatan untuk berurusan dengan pegawai kerja sosial di klinik
  • Pegawai kerja sosial perubatan akan melakukan penilaian biopsikososial untuk:
    a) Kenal pasti masalah
    b) Tentukan kesesuaian dan keperluan bantuan
    c) Buat lawatan ke tempat tinggal jika perlu
  • Dokumen sokongan yang perlu untuk permohonan bantuan:
    a) Laporan pengesahan penyakit, rawatan dan syor keperluan bantuan
    b) Sebut harga bagi pembelian peralatan perubatan /ubat yang disyor
    c) Salinan kad pengenalan dan ahli keluarga yang tinggal serumah
    d) Salinan slip gaji pesakit dan ahli keluarga terkini (jika bekerja)
  • Salinan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja terkini (sekiranya ada)
  • Salinan bil-bil kos perbelanjaan bulanan seperti telefon, elektrik, air dan lain-lain yang berkaitan
  • Dokumen sokongan lain jika diperlukan akan dimaklumkan

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Categories
PENDAPAT RENCANA

Kesihatan mental kanak-kanak perlu dijaga

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Baru-baru ini, tular di sosial media dalam dan luar negara, khususnya kalangan penggemar siri 16 episod di Netflix, drama bersiri Korea Selatan (KDrama) bertajuk ‘It’s Okay Not to Be Okay’ lakonan pelakon kegilaan ramai, Kim Soo Hyun dan Seo Ye-Ji.

Tular bukan kerana tarikan rupa paras gandingan utamanya, tetapi lebih kepada jalan cerita yang mengupas secara kreatif serta mendalam tentang di sebalik kepincangan kisah zaman kanak-kanak setiap watak. Itu yang cukup menarik perhatian penulis.

Mengisahkan kehidupan dua beradik yatim piatu (si abang berperwatakan anak autisme) bersama seorang penulis buku cerita kanak-kanak terkenal, drama ini sebenarnya berkait rapat dengan permasalahan zaman kanak-kanak yang berantakan. Keadaan itu kemudiannya menyebabkan setiap watak utama ‘menderita’ apabila meningkat dewasa.

Secara literalnya, ‘derita’ yang dialami merujuk kepada plot utama drama yang mengetengahkan isu kesihatan mental yang meruncing hari ini — bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa, tetapi juga kanak-kanak.

Semestinya juga ia suatu perkara yang tidak boleh sama sekali dipandang ringan. Apatah lagi, kalau punca dan faktor utama kebarangkalian adalah berpunca daripada pengalaman zaman kanak-kanak yang rapuh dan tidak didokong oleh cerita positif seperti penderaan, penceraian atau kematian ibu bapa.

Kesihatan mental ‘pandemik’ dunia

Melihat penularan genre KDrama ini di laman-laman media sosial, penulis membuat hipotesis bahawa hanya menerusi platform komersial begini, barulah anggota masyarakat sedar betapa kesihatan mental wajar diberikan perhatian dan rawatan.

Sudah tiba waktunya juga untuk isu ini ditangani secara holistik, dengan melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat dan profesionalisme.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli memberitahu Bernama, trauma atau gelisah, sememangnya boleh berlaku ke atas kanak-kanak, sekaligus memberikan kesan jangka panjang sekiranya tidak dipulihkan segera.

“Kesihatan mental kanak-kanak di Malaysia hari ini, menurut saya, sangat membimbangkan.

“Melihatkan gaya hidup masyarakat yang antaranya, kurang memberi perhatian terhadap emosi anak-anak serta pendedahan berlebihan terhadap gajet tanpa kawalan, sudah tentu ini semua berpotensi besar menjadikan kesihatan mental mereka menjadi lebih serius dan memerlukan tindakan segera semua pihak, khususnya ibu bapa,” katanya.

Merujuk kepada data Cencus of Population, Play Therapy UK yang menunjukkan sejumlah 982,253 kanak-kanak di Malaysia memerlukan terapi, direkodkan pada 2011, Putri Afzan Maria menjelaskan proses tumbesaran anak-anak terutamanya ketika enam tahun pertama, mereka sangat memerlukan komunikasi dan perhubungan yang positif dan rapat bersama ibu bapa.

Menurut beliau, angka tersebut meningkat kepada 1.6 juta orang pada 2015.

“Di peringkat ini, emosi, itu patut diberikan perhatian dahulu, dan bukannya pencapaian akademik atau siapa lebih dahulu pandai membaca, menulis dan mengira. Trend ini, tanpa sedar, sebenarnya menjadi antara punca utama.

“Perlu diingat, definisi kesihatan mental itu luas. Bukan hanya tertumpu kepada terma gila sahaja, tetapi masalah seperti post-traumatic stress disorder (PTSD), kemurungan (depression/mood disorders) dan attention-deficit/hyperactivity disorder (ADHD) juga adalah tergolong dalam kumpulan tersebut.

“Dan bayangkan anak-anak hari ini, seawal usia dua tahun juga perlu berdepan masalah kesihatan mental yang tidak sihat ini. Justeru, bila langkah pencegahan harus bermula? Adakah kita memandang serius perkara ini, hari ini?” katanya, yang juga Pengasas rangkaian Tadika KinderKaizen dan Sekolah Sri Aria.

Kajian konstruktif

Bersependapat dengan Putri Afzan Maria, wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Dr Rashed Mustafa Sarwar berkata, isu yang dibangkitkan sememangnya mencemaskan dan perlu diberi perhatian bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi juga orang dewasa secara global.

Menurut beliau, melihat kepada berleluasanya isu tersebut, ia bukan lagi pandemik yang tersembunyi, justeru, usaha serta langkah membina perlu dilaksanakan sekarang.

“Berhubung dengan isu kesihatan mental, kami (Unicef Malaysia) masih belum mempunyai pengetahuan mendalam mengenainya lagi.

“Itulah sebabnya mengapa kami memulakan kajian berasaskan bukti dan saintifik mengenai kesihatan mental serta kesejahteraan psikologi kanak-kanak dan golongan remaja di Malaysia. Kajian ini kami mulakan awal tahun ini dan berharap dapat menyiapkannya, sekiranya mungkin, tahun hadapan,” kata yang memulakan perkhidmatannya sejak Julai tahun ini.

Menurut Dr Rashed, kajian tersebut yang merupakan yang pertama di Malaysia adalah usaha gandingan dengan kerajaan Malaysia, pertubuhan swasta, ahli akademik serta institusi penyelidikan di samping negara lain di rantau Asia Tenggara termasuk Vietnam, yang menjalankan kajian yang sama, baru-baru ini.

“Sudah tentunya juga usaha ini turut melibatkan pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di sini. Isu ini isu baru dan semua negara perlu tahu aspek yang lebih informatif, tingkah laku serta komunikatif dan WHO sudah tentunya bekerjasama dengan kami,” tambahnya.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019), 2.3 peratus orang dewasa mengalami kemurungan, sementara 7.9 peratus kanak-kanak berusia 5 hingga 15 tahun didapati mengalami masalah kesihatan mental.

Hak kanak-kanak dan pelaburan

Dr Rased menambah, memandangkan kesihatan adalah hak kanak-kanak, isu kesihatan mental sudah tentunya menjadi menjadi pendorong utama untuk semua pihak di seluruh dunia menggerakkan usaha untuk menyokong kesihatan mental.

“Kesihatan mental kanak-kanak adalah kombinasi pelbagai hak asasi kanak-kanak yang mengukuhkan lagi (kesihatan mental), dalam perspektif yang betul.

“Sekiranya kita lihat punca kesihatan mental, setiap satu daripadanya datang daripada pelbagai hak, sebagai contoh; hak bermain, hak mendapatkan pendidikan yang betul, serta hak dilindungi daripada penderaan, keganasan dan pengabaian. Lantas, tanpa diragui lagi, kesihatan mental mempunyai komposisi banyak hak yang memperkukuhkan lagi isu ini,” katanya.

Mengulas tema Hari Kesihatan Sedunia tahun ini ‘Greater Investment, Greater Access’, Rashed berkata, beliau amat bersetuju memori zaman kanak-kanak yang hebat adalah ‘pelaburan’ untuk keadaan kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak yang lebih baik dalam perjalanan hidup mereka ke arah keremajaan.

Sehubungan dengan itu, beliau berpendapat, semua rakyat Malaysia seharusnya menyayangi kanak-kanak dan menjauhkan daripada mereka, budaya yang berbahaya, terutamanya tidak mendedahkan mereka kepada stigma isu kesihatan mental.

“Rakyat Malaysia bernasib baik hidup dalam masyarakat yang mempunyai nilai kekeluargaan yang kukuh. Untuk membantu kanak-kanak yang terkesan, tolonglah kukuhkan nilai kekeluargaan dan beri lebih perhatian kepada keperluan kanak-kanak iaitu kasih sayang dan penjagaan,” katanya.

Kesan Covid-19

Sementara itu, wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru berkata, isu kesihatan mental tahun ini dibincangkan khususnya, ketika kehidupan harian kita banyak berubah akibat kesan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, apabila semakin ramai kanak-kanak yang terkesan, keadaan semakin mendesak untuk lebih banyak pelaburan dibuat bagi program kesihatan mental, baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, yang mengalami kekurangan pembiayaan yang teruk.

Dengan merujuk kepada laporan NHMS 2019, yang mendedahkan bahawa hampir setengah juta orang di Malaysia mengalami simptom kemurungan, Dr Lo menambah, pandemik Covid-19 mendedahkan jurang yang luas dalam mendapatkan, bukan sahaja khidmat penjagaan kesihatan tetapi juga secara tidak langsung, keperluan yang besar.

“Baru-baru ini kami membuat tinjauan dalam suasana pandemik Covid-19 mengenai impak ke atas perkhidmatan kesihatan yang lain. Berkait dengan khidmat kesihatan mental yang kritikal, laporan itu menyebut 93 peratus di seluruh dunia menghentikan perkhidmatan tersebut, sedangkan keperluannya semakin meningkat.

“Ini sebabnya mengapa WHO & Unicef berganding bahu untuk menyokong negara di seluruh dunia, agar memperkukuhkan kesihatan mental serta menangani sokongan sosial-psikologikal, serta perkhidmatan kesihatan asas yang lain,” katanya.

Menurut Dr Lo, kerjasama dengan pihak Malaysia boleh diperkuatkan lagi terutamanya mengenai program pencegahan serta promosi kesihatan mental.

“Malaysia sememangnya aktif dalam bidang ini sejak tahun-tahun kebekalangan ini. Banyak berita baik tetapi masih banyak juga yang perlu dibuat.

“Sekiranya ada fokus terhadap kegiatan berasaskan komuniti, ini boleh membantu memperluaskan talian hayat kesihatan mental. Usaha memusatkan kakitangan yang terlatih yang mempunyai ijazah asas psikoligi untuk melatih kakitangan yang lain, amat dialu-alukan. Malaysia juga boleh memperluaskan lagi program yang sedia,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa sedia dana munasabah atasi gejala kesihatan mental

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan perlu memperuntuk dana munasabah bagi membendung gejala kesihatan mental, terutama dalam situasi ekonomi yang meruncing akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dana mencukupi boleh mendukung kumpulan yang terkesan dengan masalah tersebut meliputi petugas barisan hadapan.

“Jangan kita pinggirkan mereka yang terdedah pada gejala ini dan stigma mesti ditangani sebaiknya. Mereka tidak harus berasa sunyi.

“Malah kita mesti tingkatkan semangat kebersamaan dalam mendukung antara satu dengan yang lain dalam suasana krisis hari ini,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat menjelaskan sebanyak 44 peratus rakyat Malaysia terkesan dengan masalah kesihatan mental sejak Covid-19 melanda negara.

Menurut Anwar, keadaan lebih membimbangkan apabila segelintir pihak berhadapan gejala penderaan di rumah dan tekanan akibat terkurung, selain kehilangan kerja serta sumber pendapatan harian.

“Kanak-kanak juga terdedah dengan gangguan mental sebagai akibat penutupan sekolah yang mengakibatkan aktiviti kokurikulum terhad serta kekangan masa bersama rakan-rakan.

“Apa yang kita hadapi hari ini ternyata suatu yang tidak pernah kita alami sebelumnya dan dampaknya sangat besar tatkala ia meningkatkan kegelisahan, tekanan dan kesunyian dalam kalangan warga yang terpaksa melalui fasa pengurungan dan sebagainya,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Kesihatan mental antara fokus bantu rakyat hadapi Covid-19

SHAH ALAM, 10 OKT: Isu kesihatan mental antara fokus umum Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat, terutama ketika berdepan pandemik Covid-19 saat ini.

Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 yang diumum pada 1 April memperuntuk RM1 juta untuk perkhidmatan kaunseling bagi menangani isu itu melalui kelas interaktif.

“Selangor telah mengadakan program pengurusan kesihatan mental secara maya untuk menekankan kepentingan pendidikan serta kesedaran mengenai kesihatan mental,” tulis Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter hari ini.

Hantaran itu sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun.

Diraikan sejak 1992, sambutan itu tahun ini memilih tema “Pelaburan lebih baik, akses lebih baik-Kesihatan mental untuk semua, di mana sahaja”.

Pada 7 September lalu, EXCO kesihatan awam menegaskan negara perlu mempunyai indeks lebih tepat bagi menilai kesihatan mental dan psikologi rakyat.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata kesihatan mental seperti kemurungan, kerisauan dan keresahan dijangka menjadi penyakit nombor dua dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan remaja.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2001, kira-kira 450 juta penduduk dunia mempunyai penyakit mental yang juga salah satu punca utama ketidakupayaan.

Badan itu berkata kira-kira satu daripada empat individu berisiko untuk mendapat masalah kesihatan mental sepanjang hidup mereka.

 

 

Categories
EXCO SELANGOR

Negara perlu ada indeks tepat ukur kesihatan mental rakyat

SHAH ALAM, 7 SEPT: Negara perlu mempunyai indeks lebih tepat bagi menilai kesihatan mental dan psikologi rakyat, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata kesihatan mental seperti kemurungan, kerisauan dan keresahan dijangka menjadi penyakit nombor dua dalam kalangan masyarakat termasuk golongan remaja.

“Kita perlu tingkatkan program kesedaran serta memberi sokongan terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ramai yang hilang pekerjaan.

Dr Siti Mariah Mahmud memberi rumusan Sindiket 1B : Kesihatan Awam Dan Bandar Berdaya Huni ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sesiapa sahaja boleh mengalami kesihatan mental, siapa pernah ada perasaan lebih baik mati daripada hidup, itu tanda anda alami kesihatan mental,” katanya ketika merumuskan Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan perlu meningkatkan kemudahan awam termasuk menyediakan menyediakan laluan khusus untuk basikal selaras usaha menjadi negeri berdaya huni.

“Reka bentuk laluan juga perlu mesra orang kelainan upaya (OKU), warga emas, wanita dan kanak-kanak, semua ini nampak remeh tetapi sebenarnya penting kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diberi perhatian

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diakui dan ditangani dengan betul kerana mereka juga mampu mengalami masalah yang sama seperti orang dewasa

Penaung Befrienders Kuala Lumpur Tan Sri Lee Lam Thye berkata meskipun terdapat perbincangan intensif mengenai kesihatan mental sejak beberapa tahun lepas, kebanyakannya memfokus kepada kesejahteraan mental orang dewasa.

“Ini sesuatu yang baik memandangkan betapa tabunya subjek penyakit mental…. tetapi inilah masanya untuk kita mengakui kepentingan kesihatan mental bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa.

“Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, sejumlah 424,000 kanak-kanak didapati bergelut dengan isu kesihatan mental… Ini adalah sesuatu yang membimbangkan kita semua dan isu ini perlu ditangani dengan betul kerana kanak-kanak adalah masa depan dan harapan kita,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kemampuan untuk menyedari bahawa seorang kanak-kanak memerlukan bantuan adalah penting kerana intervensi awal boleh meningkatkan kesejahteraan mereka, dan dengan penjagaan serta rawatan yang betul, kebanyakan isu kesihatan mental boleh dirawat.

Lee berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan mental anak-anak mereka, termasuk menyediakan persekitaran di rumah yang penuh dengan kasih-sayang dan penjagaan selain menggalakkan perbualan sihat dengan mendengar secara aktif serta membenarkan mereka bercakap tanpa bersikap menghakimi dan kritikal.

“Mereka akan bersikap lebih terbuka untuk bercakap mengenai masalah mereka, termasuk perasaan yang sukar dan tidak selesa, serta meminta bantuan sekiranya mereka berdepan kesulitan pada masa akan datang.

“Jika anda bimbang dengan kesihatan mental anak anda, mintalah bantuan… bercakap dengan orang yang profesional seperti psikiatri atau kaunselor,” katanya sambil menambah Befrienders KL menawarkan sokongan emosi kepada sesiapa yang berasa tertekan atau ingin bunuh diri, dengan menghubungi talian bantuan 24 jam mereka di 03-7627 2929.

Lee berkata persekitaran sihat di sekolah juga amat penting kerana kanak-kanak menghabiskan banyak masa di sekolah setiap hari dan mereka perlu dilengkapi kemahiran bagaimana menangani tekanan secara berkesan, menyelesaikan masalah dan membina ketahanan diri.

Beliau berkata dengan menggabungkan kesemua elemen ini dalam silibus sekolah membantu meningkatkan kesihatan mental kanak-kanak manakala tenaga pengajar boleh membantu menjadikan sekolah tempat lebih selamat dengan mengawasi insiden buli kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak dan boleh membawa kepada insiden bunuh diri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah Kawalan: Masa untuk jaga kesihatan mental

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu merupakan masa untuk semua pihak menjaga dan mengekalkan kesihatan mental dalam menghadapi cabaran penularan wabak Covid-19, menurut Pertubuhan Befrienders Kuala Lumpur.

Penaungnya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata Covid-19 yang diisytiharkan pandemik dilihat membawa ketakutan, kebimbangan dan tekanan melampau dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya mengehadkan masa dalam talian serta melakukan beberapa aktiviti di rumah seperti melukis, menonton video dalam talian, meditasi, menulis jurnal dan berdoa.

“Kongsi mesej positif dan menggalakkan di media sosial misalnya kisah pesakit yang telah pulih dan pengorbanan petugas barisan hadapan dalam menjaga pesakit Covid-19,” katanya, dalam kenyataan, di sini hari ini.

Selain itu, katanya, rakyat boleh mendapatkan maklumat yang sahih mengenai perkembangan jangkitan itu daripada Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagi individu yang tinggal bersendirian, mereka dinasihatkan untuk berhubung dengan orang tersayang (keluarga) menerusi panggilan telefon dan panggilan video, katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 hingga 31 Mac ini sebagai langkah membendung penularan jangkitan COVID-19.

Dalam pada itu, Lee berkata kerajaan perlu menyediakan sokongan psikososial terutamanya kepada pekerja kesihatan di barisan hadapan yang berurusan dengan pesakit COVID-19.

Sementara itu, individu yang berdepan dengan masalah kemurungan dan memerlukan seseorang untuk mendengar dan berkongsi masalah boleh menghubungi talian bantuan Befrienders di Kuala Lumpur/Selangor pada talian 03-79568145.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan kaji undang-undang kesalahan bunuh diri

SERENDAH, 21 OKT: Kerajaan sedang dalam proses penilaian dan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mengkaji keperluan meminda undang-undang berhubung kesalahan bunuh diri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dalaman bersama agensi-agensi lain mengenai isu kesihatan mental yang kini semakin meningkat.

“Saya telah membincangkan isu menjadikan bunuh diri sebagai satu jenayah semasa mempengerusikan mesyuarat antara agensi berkaitan isu kesihatan mental.

“Pada mesyuarat itu, saya dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) telah menekankan keperluan kerajaan untuk mengkaji semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya selepas melancarkan ‘Digital Space’ (Makmal ICT) di Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah (PPKKS), di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata Jabatan Peguam Negara sedang meneliti dan mengkaji perundangan sedia ada berkaitan isu berkenaan.

“Setelah kajian itu selesai, saya akan bincang perkara ini dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye supaya Seksyen 309 Kanun Keseksaan dimansuhkan dan tidak menghukum individu yang cuba membunuh diri kerana mereka bukan penjenayah, sebaliknya menderita penyakit mental seperti kemurungan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata peruntukan RM80 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan baru-baru ini akan digunakan untuk menaik taraf, membaiki dan menyelenggara 67 institusi JKM termasuk pusat jagaan kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya dan warga emas.

Katanya JKM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam proses menyediakan maklumat lengkap dan menyaring keperluan setiap institusi bagi mengelakkan pemberian peruntukan yang bertindih.

Mengenai ‘Digital Space’ yang merupakan satu hasil kolaborasi strategik antara Malaysia Airports Holdings Berhad dan KPWKM melalui JKM itu, Dr Wan Azizah yakin sokongan dan usaha sama sedemikian akan dapat memantapkan program-program pembangunan masyarakat.

‘Digital Space’ itu menempatkan 13 unit komputer di dalam sebuah makmal ICT PPKKS yang dinaik taraf dan bakal memanfaatkan lebih 50 pelajar di pusat berkenaan.

-BERNAMA