Categories
PBT SELANGOR

Murid sekolah, tadika kumpul hampir 100,000kg bahan kitar semula

PETALING JAYA, 21 OKT: Hampir 100,000 kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya dikumpul dalam Pertandingan Kitar Semula Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Fraser Neave Holdings Bhd (F&N) 2019.

Kutipan 98,320.3kg yang dikumpul dalam pertandingan bermula 1 Mac hingga 31 Ogos lalu membabitkan murid tadika dan sekolah daerah Petaling Jaya itu meningkat empat kali ganda berbanding jumlah dikumpul tahun lalu sebanyak 27,269.3kg.

Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata pertandingan yang memasuki tahun kedua itu bakal menyaksikan MBPJ menjimatkan RM2.5 juta setahun, yakni kos pelupusan sampah yang dibelanjakan pihaknya berbanding RM8.5 juta sebelum ini.

Beliau berkata dengan adanya program seperti ini, MBPJ dapat membantu pihak sekolah memberi kesedaran kepada murid-murid betapa pentingnya usaha menjaga alam sekitar dan melakukan aktiviti kitar semula.

“Program ini juga membantu pihak sekolah dalam mengumpul dana sekolah iaitu hasil jualan barangan kitar semula tersebut dimasukkan ke dalam tabung sekolah,” katanya pada majlis penutup dan penyampaian hadiah pertandingan di sini, hari ini.

Surat khabar, barang elektronik, bekas kotak minuman dan plastik merupakan antara barang kitar semula yang dikumpul dalam pertandingan disertai 27 buah sekolah dan tadika itu.

Pertandingan itu menyaksikan Orange Tree Academy muncul juara bagi kategori tadika dan membawa pulang wang tunai bernilai RM500 manakala Sekolah Kebangsaan Sri Kelana menang bagi kategori sekolah rendah (RM1,400) dan kategori sekolah menengah pula dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman (RM1,400).

Dalam pada itu, wakil pelajar SMK (P) Sri Aman, Aliya Ahmad, 15, berkata selain memupuk semangat cintakan alam sekitar, pengalamannya mengumpul bahan kitar semula bersama rakan-rakannya yang lain berjaya menerapkan nilai kebersamaan seterusnya membantu sekolahnya menang pada tahun ini.

“Sudah semestinya ia merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana banyak cabaran perlu dihadapi namun semangat serta tanggungjawab menjaga alam sekitar dalam diri setiap pelajar membawa kami ke tahap ini,” katanya.

Gurunya pula, Nor Hafizah Mohd Amran, 43, menyifatkan penyertaan kali kedua sekolahnya dalam pertandingan ini membuahkan hasil apabila muncul johan selepas sekadar mendapat tempat keempat tahun lepas.

“Kami sangat bangga apabila dapat muncul pemenang pada tahun ini dan mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada pengetua sekolah Misliah Kulop yang akan bersara tahun depan selepas banyak memberi sokongan padu kepada kami,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ kumpul 44,979.50 kg bahan kitar semula

AMPANG, 16 OKT: Sejumlah 44,979.50 kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya dikumpul pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), sejak 1 Mac hingga 31 Ogos lalu.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, kempen kitar semula dengan kerjasama Fraser & Neave Holding Bhd dan Tektra Pak Malaysia itu menerima penyertaan dari 25 sekolah berbanding 16 sekolah pada tahun lalu.

Katanya, langkah itu memberi pendedahan kepada orang ramai berhubung kepentingan menjaga alam sekitar dan mengitar semula barangan terpakai, selain meningkatkan pembabitan semua pihak.

“Kita mahu meningkatkan pengetahuan pelajar dan penduduk berkenaan 4R iaitu Rethink (fikir semula), Reduce (kurangkan), Reuse (guna semula) serta Recycle (kitar semula) supaya dapat membudayakan amalan berkenaan yang menjadi langkah berkesan dalam menguruskan sisa pepejal secara mampan demi generasi akan datang.

“Selain itu, usaha ini dapat memupuk dan meneruskan semangat amalan kitar semula dalam kalangan pelajar serta menyemai perubahan tingkah laku secara berterusan kepada pelajar juga masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Antara Sekolah MPAJ, di Galeri MPAJ, di sini pada 14 Oktober lalu.

Hasrolnizam berkata, kerjasama dijalinkan antara Pihak Berkuasa Tempatan, syarikat swasta dan sekolah dalam menggerakkan amalan kitar semula diyakini mampu merealisasikan Ampang Jaya ke arah Bandar Rendah Karbon 2017-2030, terutama daripada aspek pengurusan sisa pepejal.

“Pemeliharaan alam sekitar dan seterusnya amalan kitar semula adalah satu perkara yang amat penting untuk mencapai pembangunan mampan, berkualiti dan seimbang.

“Program kitar semula ini akan diperkasakan dan diteruskan pada tahun akan datang untuk kelestarian alam sekitar.

“Kita juga berharap pelajar dan pihak sekolah dapat memanfaatkan serta menerapkan nilai murni daripada program ini,” katanya.

Dalam kempen berkenaan, sebanyak 16 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah bersaing antara satu lain mengumpulkan bahan kitar semula terbanyak termasuk kertas, plastik, aluminium serta kotak minuman bagi merebut wang tunai berjumlah RM16,800.

Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Taman Melawati dinobatkan sebagai juara bagi kategori sekolah kebangsaan, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali mengungguli kategori sekolah menengah.

Tiga kategori lain turut dipertandingkan antaranya Anugerah Khas Sekolah Kebangsaan, Anugerah Khas Sekolah Menengah dan Anugerah Guru Contoh.

Categories
PBT SELANGOR

Kitar semula MBSA pupuk kesedaran generasi muda

SHAH ALAM, 2 OKT: Kempen Kitar Semula peringkat sekolah anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberi galakan kepada masyarakat khususnya pelajar untuk menerapkan amalan kitar semula.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim berkata, kempen yang memasuki kali ke-13 itu juga bertujuan memupuk kesedaran menjaga alam sekitar demi generasi akan datang.

Katanya, beliau berterima kasih kepada Fraser & Neave Holdings Bhd dan Syarikat Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd kerana tidak berputus asa memberikan kerjasama, sekali gus menaja kempen berkenaan sejak dilancarkan pada 2007.

“Kempen ini untuk mendidik masyarakat terutama pelajar dan golongan muda terhadap kepentingan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, kempen ini juga adalah salah satu usaha menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030 dan optimis penurunan penghasilan karbon sebanyak 45 peratus pada tahun itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Penutup Kempen Kitar Semula peringkat Sekolah 2019 anjuran MBSA di Dewan Bankuet MBSA, di sini hari ini.

Pada masa sama, Haris optimis kanak-kanak, pelajar dan guru serta komuniti setempat dapat bergandingan bersama MBSA untuk memastikan sasaran itu mencapat matlamatnya.

Katanya, kempen kitar itu semula membabitkan pertandingan pengumpulan bahan kitar semula dari tiga kategori iaitu enam pra sekolah, 26 sekolah rendah dan 18 sekolah menengah di sekitar Shah Alam.

“Pada tahun ini, pertandingan ini berjaya mengumpul kutipan barangan kitar semula sebanyak 190,367.99 kilogram (kg) berbanding 175,161kg pada tahun lalu dan mengumpul 1,525 unit kutipan sisa e-buangan (elektrik dan elektronik),” katanya.

Categories
SELANGOR

Pupuk amalan kitar semula sejak awal

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 7 APRIL: Masyarakat digesa menanam sikap amalan kitar semula sejak dari awal sebagai usaha memupuk sikap kebersihan, terutama di kawasan kediaman masing-masing.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memungut hampir 700 tan sampah sarap setiap bulan, dianggarkan RM 21 juta setahun. 

“Jika kita perlu wujudkan tabiat kitar semula, hasil dari kos perbelanjaan itu mampu dipulangkan kembali kepada rakyat,”. 

“Kita lihat contoh Surau Al-Husna di Seksyen 20, di sini mengamalkan sikap kitar semula, pada 2008 dan mengutip hasil RM56,000 pada tahun berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Gotong-Royonf Perdana Perbadanan Pengurusan PN10422 di Pangsapuri 19B Blok satu hingga lima, di sini, hari ini. 

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan termasuk membina kebuk sampah yang boleh mengagihkan barang kitar semula di pangsapuri berkenaan.

Rodziah berkata, pendekatan kebuk sampah itu sekali gus menjadikan kawasan itu “fron waste to wealth”.

“Hasil jumlah kutipan dan pendapatan boleh dimasukkan ke Badan Pengurusan Bersama (JMB) supaya dijadikan program menambah baik infrastruktur di kawasan penduduk,” katanya. 

Categories
PBT SELANGOR

Guru teladan rangsang pelajar amal kitar semula

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Guru perlu menunjukkan teladan baik kepada pelajar supaya melaksanakan amalan kitar semula barangan sebagai usaha membantu kelestarian ekosistem.

Zaileha Husin, 53, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 berkata, keikhlasan seorang guru bakal memberi perangsang kepada pelajar dalam penerapan nilai murni supaya amalan kitar semula bukan sahaja dilakukan di sekolah tetapi di rumah.

“Kita kutip bahan kitar semula kena ikhlas. Tugas guru adalah mengajar tetapi mengutip sampah dan menyediakan tempat (membuang bahan kitar semula) untuk pelajar juga menjadi tanggungjawab kita.

“Saya sendiri menjadikan amalam mengutip bahan kitar semula seperti botol sebagai denda kepada pelajar yang tidak mencapai keputusan baik dalam ujian supaya mereka ingat kepentingannya kepada alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima Anugerah Guru Cemerlang Kempen Kitar Semula Peringkat Sekolah anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Fraser & Neave (F&N) Holdings Bhd di Dewan Banquet MBSA, di sini.

Berkhidmat hampir 15 tahun di SMK Seksyen 16, katanya, amalan kitar semula disambut baik semua pelajar dan guru menerusi pembabitan dalam Kelab Kitar Semula selain menyertai beberapa pertandingan.

Katanya, langkah itu meningkatkan minat pelajar untuk melaksanakan amalan terpuji itu dan hasilnya sebuah tong sampah menggunakan penutup botol berjaya disipakan sekolah berkenaan.

“Untuk mengumpul barangan kitar semula, kita akan mengadakan pertandingan antara kelas dengan pemenang dipilih setiap bulan.

“Kita juga ada rekod jumlah yang dihantar setiap kelas dan pada penghujung tahun, kelas terbaik akan menerima penghargaan sempena Hari Kualiti,” katanya.

Kempen Kitar Semula Peringkat Sekolah kali ke-12 itu dianjurkan dengan sumbangan tunai RM28,200 daripada F&N Holdings Bhd, sementara Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd menyumbang wang tunai RM1,500 untuk hadiah Anugerah Khas Tetra Pak Tertinggi.

Pada 2018, pertandingan itu berjaya mengumpul kutipan barangan kitar semula sebanyak 175,161 kilogram (kg), berbanding 143,946 kg pada 2017. manakala 1,044 unit kutipan bagi sisa elektronik.

Categories
SELANGOR

MBI lancar inisiatif galak amalan 3R

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 OGOS: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor melancarkan Inisiatif Kitar Semula bagi memupuk kesedaran berkenaan konsep ‘Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula’ (3R) dalam kalangan warga kerja, di Bangunan Darul Ehsan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Shahreen Raja Othman berkata, hampir 7,000 tan sampah dihasilkan, di Selangor setiap hari dan dihantar ke tapak pelulupusan sisa pepejal.

“Semakin hari kita sudah tiada tempat untuk buang sampah. Kita sebenarnya tidak diajar sejak mula (untuk mengamalkan 3R).

“Setiap hari sampah yang dibuang adalah makanan sekitar 30 hingga 40 peratus. Kita perlu belajar dari Jepun yang paling berdisiplin mengamalkan 3R,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Katanya, sisa pepejal itu boleh diproses kepada bentuk lain, sekali gus menyelamatkan tanah yang menjadi kawasan pengumpulan sebelum dilupuskan.

Inisiatif MBI itu turut membabitkan kerjasama Kloth Malaysia Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Eksekutif, Nik Suzila Nik Hassan dan Mahanom Basri selaku Pengerusi Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS).

Bersempena dengan inisiatif 3R itu, MBI menyediakan tiga tong sampah bagi pengasingan kertas, barangan plastik dan tin aluminium.

MBI turut menempatkan sebuah tong khas bagi orang awam membuang fabrik yang tidak lagi digunapakai.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pertandingan kitar semula di sekolah beri impak positif pelajar

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 11 OKT: Pertandingan kitar semula di peringkat sekolah memberikan impak positif kepada pelajar apabila ia berjaya menyemai amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, pertandingan itu yang memasuki kali ke-11 tahun ini turut meningkat daripada segi penyertaan sekaligus mengalakkan lagi minat pelajar untuk membudayakan aktiviti berkenaan.

“Kami meletakkan sasaran menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030 selain turut mengadakan pelbagai program.

“Syabas diucapkan kepada peserta kerana berjaya mengumpulkan sebanyak 143,946.2 kilogram barangan kitar semula berbanding 121,321.2 kilogram barangan kitar semula pada tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Seksyen 18 Shah Alam, Hafizah Abdul Samad berkata, kewujudan pertandingan itu terbukti berkesan kerana banyak memberikan kesedaran kepada pelajar dan warga sekolah.

“Kempen ini wajar diteruskan kerana turut memberi manfaat kepada mereka untuk memulihara alam sekitar apabila amalannya bukan setakat di sekolah malah di mana sahaja mereka berada.

“Diharap untuk program akan datang, pelajar dapat menyertai pelbagai lagi kategori dipertandingkan bagi mencungkil bakat mereka,” katanya.

Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah 2017 yang diadakan sejak 2006 merupakan antara inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu pra sekolah, sekolah rendah dan menengah dengan pelajar perlu mengumpulkan sebanyak mungkin barangan kitar semula seperti kertas, plastik dan aluminum disamping acara sampingan pertandingan rekacipta.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Barang kitar semula sebagai ‘yuran’ larian

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 APR: Orang ramai dipelawa menyertai Larian Kitar Semula sempena Program Hari Tanpa Kenderaan dan Sambutan Hari Bumi 2017 di Dataran Kemerdekaan, pada 16 April ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, mereka yang berminat perlu membawa barangan kitar semula sebagai yuran larian berkenaan.

Katanya, ‘yuran penyertaan’ itu perlu dibawa ke tempat penghantaran di Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Tingkat 4, Wisma MBSA, sebelum 14 April ini.

SHAHRIN“Antara barangan kitar semula yang boleh digunakan sebagai yuran peryertaan adalah 10 naskhah surat khabar, tujuh botol plastik berpenutup (1 liter), 15 botol plastik berpenutup (500 ml), 15 tin Aluminium dan 15 bekas air kotak sebarang saiz.

“Mereka yang menetap di kawasan berjauhan dari Wisma MBSA boleh membawa barangan kitar semula pada hari program mulai jam 6 pagi untuk mendapatkan T-Shirt dan nombor,” katanya kepada Selangor Kini.

Larian itu meliputi jarak lima kilometer, manakala pendaftaran terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 17 tahun ke atas.

Seramai 1,000 peserta terawal berpeluang memiliki t-shirt percuma selain layak menerima ‘sticker’ bernombor dan sijil penyertaan, manakala 1,000 peserta yang berjaya menamatkan larian bakal menerima medal.

Shahrin berkata, Larian Kitar Semula bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta kepentingan menjaga dan memulihara alam sekitar.

“MBSA juga berharap program ini dapat memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti Shah Alam,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, mereka yang berminat boleh hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di talian 012-646 3897 (Rohaizat), 014-923 2387 (Ilan) atau 014-259 0546 (Mahendran).

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MPK komited didik masyarakat kitar semula

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 25 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) komited untuk mendidik masyarakat berkenaan kepentingan kitar semula kerana ia amalan penting untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Yang Di Pertuanya, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, tahap kesedaran masyarakat tentang kepentingan kitar semula masih lagi rendah, namun tidak mematahkan semangat MPK yang sentiasa berusaha mendidik mengurangkan jumlah sisa yang masuk ke tapak pelupusan, sekali gus mencapai matlamat sisa sifar demi kelestarian alam sekitar.

“Kesedaran itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai sekiranya wujud kemahuan yang tinggi dalam kalangan masyarakat terutama bagi menerapkan budaya kitar semula di pelbagai peringkat umur.

go green 1“MPK sentiasa komited dalam hal berkaitan kitar semula dan minggu lalu kita mengadakan Program Kitar Semula Minyak Masak bertempat di Masjid Kampung Raja Uda, Masjid Meru (31 Ogos), fasa kedua di Masjid KRU (2 September) dan setiap bulan semua jabatan melakukan perkara yang sama (kitar semula minyak masak).

“Kesedaran itu makin bertambah dan ia sesuatu yang positif dalam usaha menerapkan budaya amalan kitar semula bagi memastikan persekitaran yang didiami sentiasa bersih dan terjaga,” katanya di Program Sehari Bicara Alam: ‘Go Green–Segalanya Bermula Di Sini’ baru-baru ini.

Yasid berkata, konsep 3R sebenarnya sudah melalui satu tempoh yang cukup lama sejak ia dilancarkan sekitar tahun 90an tetapi hingga hari ini sambutannya masih tidak menyeluruh ekoran sikap orang ramai tidak peduli atau mengharap pihak lain untuk melakukannya menyebabkan sampah terus bertambah.

Katanya, situasi makin serius jika tidak ditangani dan bakal memberi kesan tidak elok terhadap persekitaran, sekali gus menjejaskan kualiti hidup masyarakat.

-NFN-

Categories
SELANGOR

4 PBT laksana projek perintis kitar semula asing sampah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 OGOS: Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) mula melaksanakan projek perintis kitar semula bagi kajian pengasingan sampah, sejak Disember 2015.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata PBT terlibat ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Daerah Hulu Selangor yang dilaksanakan secara kerjasama dengan Tetuan P E Research Sdn Bhd.

eanyong“Seterusnya, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan memutuskan Majlis Bandaraya Shah Alam, MBPJ dan Majlis Perbandaran Subang Jaya turut bekerjasama dengan Tetuan P E Research Sdn Bhd.

“Kerjasama itu khusus bagi merancang dan merangka pelan tindakan kitar semula serta pengurangan sisa pepejal di punca atau daripada sumber awal.

“Kita jangka pelan tindakan itu dapat dibentangkan kepada Kerajaan Negeri pada penghujung 2016,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan berhubung rancangan Kerajaan Negeri mengurangkan masalah sampah.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Jom Guna 2.0 galak masyarakat kitar semula

Oleh : AFEEQA AFEERA

BATU CAVES, 14 DIS : Ekoran peningkatan sisa pepejal di kediaman berstrata, Kerajaan Selangor menggerakkan kempen Jom Guna 2.0 sebagai langkah menggalakkan amalan kitar semula.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata jumlah sampah di kediaman jenis itu agak kritikal meskipun kutipan sampah dilakukan lima kali seminggu.

Kitar semulaKatanya, antara punca dikenalpasti adalah penggunaan bekas makanan seperti polisterin dan plastik yang terlalu tinggi.

“Kempen ini menggalakkan penduduk menggunakan bekas makanan kitar semula di samping penggunaan mangkuk tingkat untuk membungkus makanan.

“Ia bertujuan mengurangkan pengeluaran sampah daripada bahan yang tidak boleh dikitar semula dan kita harap kempen ini akan berjaya,” katanya pada Pelancaran Kempen Jom Guna 2.0 : Projek Pengurangan Sisa Isi Rumah Komuniti Pangsapuri di Pangsapuri Nuri, di sini, semalam.

Kitar semulaPada masa sama, Iskandar berkata, setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerima 100 mangkuk tingkat untuk diedarkan kepada penduduk sebagai inisiatif tambahan.

Katanya, Kerajaan Negeri turut merasmikan pusat kitar semula di kawasan pangsapuri supaya penduduk lebih terdedah kepada amalan kitar semula seperti dilakukan di Sepang sebelum ini.

“Kempen ini memerlukan usaha bersungguh kerana masyarakat ambil mudah perkara ini tanpa sedar ia akan memberi kesan kepada kawasan mereka,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Fail mesyuarat kitar semula pelihara alam

Oleh: NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 29 OKT: Dalam usaha menangani masalah iklan haram, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengorak setapak lagi dengan melaksanakan inisiatif hijau dengan menghasilkan fail mesyuarat menggunakan banner dan bunting haram.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata banner dan bunting yang dirampas ketika operasi dijalankan dihantar ke Koperasi Dagang Seni (Malaysia) Berhad di Bandar Puteri untuk menghasilkan fail mesyuarat itu.

MPSJKatanya, usaha itu juga membantu golongan ibu tunggal menjana ekonomi mereka melalui kemahiran seni jahitan dan menghasilkan produk seperti itu supaya ia boleh digunakan atau dikomersialkan.

“Sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), MPSJ mempunyai banyak bidang kuasa mengurus tadbir perbandaran termasuk dari aspek pengindahan bandar.

“Salah satunya menjadi cabaran besar MPSJ dalam menangani masalah iklan haram yang menjejaskan keindahan alam sekitar serta mengundang isu keselamatan dan sosial,” katanya kepada pemberita.

Nor Hisham berkata setakat ini, sebanyak 1,000 unit produk itu sudah dibeli oleh MPSJ bagi kegunaan pejabat.

“Inisiatif ini bukan sekadar menyokong amalan 3R, tetapi juga merupakan inovasi sosial MPSJ yang memberi impak kepada masyarakat,” katanya.

EZY