Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih lapan peratus kanak-kanak terima dos pertama Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Seramai 289,912 atau 8.2 peratus populasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Malaysia menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data di laman web CovidNow, sebanyak 13,607,475 atau 57.8 peratus populasi dewasa dalam negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19; sejumlah 22,940,521 individu atau 97.5 peratus telah lengkap vaksinasi, manakala 98.7 peratus atau 23,217,374 menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,797,227 individu atau 89.9 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi, manakala 2,878,738 atau 92.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi tempoh 24 jam lepas, sebanyak 164,572 dos vaksin diberikan meliputi dos pertama sebanyak 45,251 termasuk 42,659 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, dos kedua (1,637) dan dos penggalak (117,684) menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin diberikan di bawah PICK meningkat kepada 65,524,828 dos.

Menurut data di portal GitHub Kementerian Kesihatan sebanyak 21 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Sabah melaporkan sembilan kes, masing-masing empat kes di Johor dan Perak; Kedah (dua); serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di media sosial pagi ini memaklumkan kadar kebolehjangkitan (Rt) negara mencatatkan 1.32 semalam dengan Labuan merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.96 diikuti Sarawak (1.56) dan Sabah (1.51).

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Walau sembuh, pesakit Covid-19 boleh alami masalah kesihatan berbulan-bulan

SHAH ALAM, 15 FEB: Walaupun sudah sembuh daripada Covid-19, seseorang pesakit masih boleh mengalami masalah kesihatan yang berlarutan selama beberapa bulan selepas jangkitan tersebut.

Dikenali “long Covid-19 syndrome”, masalah tersebut boleh berpanjangan 12 minggu atau lebih akibat komplikasi jangkitan virus terhadap beberapa organ di dalam tubuh.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan sindrom ini menjejaskan kehidupan bekas pesakit dan ia boleh dihadapi oleh mereka yang bergejala ringan atau serius.

Menurut infografik KKM di Facebook hari ini, masalah kesihatan tersebut termasuklah sukar bernafas ketika menjalankan aktiviti, lesu, gelisah dan sukar tidur malam.

Bekas pesakit juga boleh mengalami kurang daya ingatan, ruam di bahagian telinga atau tekak, cirit-birit dan loya. Penjelasan lengkap KKM seperti di bawah:

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Apa sahaja vaksin penggalak lebih baik dari tiada, kata menteri

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan penggunaan vaksinasi dos pengalak Pfier-BioNTech atau AstraZaneca untuk Covid-19, namun mana-mana vaksin penggalak adalah lebih baik daripada tidak mengambilnya, kata Menterinya Khairy Jamaluddin hari ini.

Dalam ciapan di akaun Twitternya beliau berkata walaupun KKM menyarankan dos penggalak Pfizer atau AstraZeneca untuk memberi tambahan perlindungan yang terbaik, ada masyarakat yang masih meminta pilihan.

“Tetapi mengambilnya adalah lebih baik daripada tidak mengambilnya,” katanya sambil berkongsikan kenyataan dikeluarkan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd hari ini, yang menyatakan vaksin Sinovac akan ada di semua pusat vaksinasi Offsite (PPV Offsite) di bawah Program Imunisasi Covid-19 (PICK) secara percuma bermula Isnin.

Mengikut kenyataan ProtechHealth itu, mereka yang layak untuk mendapatkan dos penggalak dan mahu mendapatkan vaksin jenis Sinovac boleh melihat kepada senarai PPV Offsite di laman sesawang ProtectHealth: www.protocthealth.com.my.

“Bagaimanapun KKM masih menyarankan dos penggalak Pfizer kepada penerima Sinovac, kerana ia menawarkan perlindungan yang lebih tinggi,” menurut kenyataan ProtectHealth itu.

Sebelum ini, Khairy berkata penerima vaksin dos primer Sinovac kini boleh memilih jenis vaksin yang sama untuk dos penggalak mereka. Keputusan itu disebabkan keengganan penerima vaksin Sinovac untuk mengambil dos penggalak dari jenis yang berbeza, seperti Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.

Khairy juga dilaporkan sebagai berkata terdapat 3.5 juta penerima dos primer Sinovac yang masih belum menerima dos penggalak mereka, dan KKM akan mengeluarkan janji temu untuk mereka.

Sementara itu dalam satu ciapan berasingan pagi ini, Khairy merakamkan ucapan tahniah kepada Sarawak dan Melaka, kerana peratusan tinggi bagi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).

“Tahniah kepada Sarawak dan Melaka, kerana laju memberi perlindungan kepada kanak-kanak. Terima kasih kerana memastikan anak-anak anda selamat dari Covid-19,” katanya.

Infografik bersama ciapan tersebut menunjukkan 7.7 peratus kanak-kanak di Sarawak dan 6.0 peratus kanak-kanak di Melaka, sudah mendapat suntikan vaksin Covid-19 setakat Jumaat 11 Februari.

Ini diikuti Lembah Klang dengan 5.8 peratus, Negeri Sembilan (3.3), Perlis (2.2), Labuan (1.8), Sabah (1.5), Kedah (1.2). Perak (0.6), Terengganu (0.5) dan Pulau Pinang (0.4).

Dua negeri dengan peratusan terendah vaksinasi untuk kanak-kanak ialah Johor dan Pahang, yang masing-masing mencatatkan kadar liputan vaksinasi PICKids 0.1 peratus sementara di Kelantan peratusannya adalah 0.

Berdasakan infografik yang sama, kategori umur kanak-kanak yang paling banyak mendapatkan vaksinasi Covid-19 ialah 10 dan 11 tahun.

Kadar vaksinasi PICKids dilihat mula menunjukkan trend peningkatan sejak 9 Februari sehingga semalam, dengan 97,975 kanak-kanak sudah mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kementerian kesihatan lulus vaksin Covaxin

KUALA LUMPUR, 10 FEB:  Vaksin COVID-19 COVAXIN diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataannya, beliau berkata kelulusan bersyarat itu dipersetujui melalui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-369, yang telah bersidang hari ini.

“Kelulusan itu masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau, serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

Beliau berkata, COVAXIN yang didaftar di bawah Averroes Pharmaceuticals Sdn Bhd dan dikilangkan oleh Bharat Biotech International Limited, India itu digunakan untuk imunisasi aktif bagi mencegah COVID-19 yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Dr Noor Hisham memaklumkan PBKD juga turut bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat kepada produk dolutegravir (DTG) versi generik, iaitu TEGRAD (Dolutegravir FilmCoated Tablets 50mg).

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas persidangan kali ke-369 tersebut dan produk berkenaan dikilangkan oleh Hetero Labs Limited, India dan pemegang pendaftaran di Malaysia, Camber Laboratories Sdn. Bhd.

Katanya penilaian NPRA mendapati TEGRAD sesuai digunakan secara kombinasi dengan produk anti-retroviral lain bagi rawatan Human Immunodeficiency Virus (HIV) dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas.

“TEGRAD adalah produk generik DTG pertama yang didaftarkan di negara ini dan merupakan manfaat daripada perjanjian Voluntary Licensing (VL) di antara Medicines Patent Pool (MPP) dan pemilik paten DTG, ViiV Healthcare yang dimeterai pada bulan November 2020.

“Hetero Labs Limited, India merupakan salah sebuah pengilang yang diberi lesen oleh MPP di bawah perjanjian VL ini, untuk menghasilkan produk generik DTG bagi negara-negara tersebut, termasuk Malaysia,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata usaha menjadikan negara ini mendapat akses di bawah VL dimulakan KKM bermula 2014.

“KKM mula bekerjasama dengan MPP, agar rundingan dengan pemegang paten melibatkan akses ke atas ubat generik DTG bagi merawat pesakit HIV dewasa tahun berikutnya,” katanya.

Menurutnya, ini selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), DTG sebagai rawatan utama bagi pesakit HIV.

Katanya, kelulusan produk akan memberikan akses lebih luas kepada ubat tersebut dengan kos yang lebih berpatutan, tidak kira di fasiliti kesihatan awam mahupun swasta.

“KKM melalui NPRA akan terus memantau dan menilai data-data terkini dari semasa ke semasa berkenaan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk DTG ini, bagi memastikan perbandingan manfaat-risikonya kekal positif.

“KKM juga akan terus komited dengan usaha-usaha untuk mempertingkatkan akses kepada ubat-ubatan yang berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin, dos penggalak bantu kurang kes masuk hospital, ICU dan kematian

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Vaksinasi dan dos penggalak telah banyak membantu mengurangkan kes-kes kemasukan ke hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian ketika gelombang Omicron melanda negara ketika ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi laman sosial Twitter rasminya beliau berkata bagaimanapun keadaan ini berbeza ketika negara dilanda gelombang Delta sebelum ini apabila kes harian mencecah lebih 10,000, dan indikator utama Covid-19 juga tinggi.

“Ketika itu masih ramai belum menerima vaksin Covid-19. Berlainan pula apabila gelombang Omicron melanda negara ketika ini,” katanya.

Menurut infografik perbandingan indikator utama Covid-19 semasa gelombang Delta dan Omicron yang turut dimuat naik, kes harian baharu adalah sebanyak 11,079 pada 13 Julai 2021, manakala semalam 11,034 kes baharu direkodkan.

Bagi kes kemasukan ke hospital sebanyak 1,988 kes direkodkan pada 13 Julai lepas dan 1,253 kes direkodkan semalam manakala bagi bilangan kemasukan kes Covid-19 ke ICU, sebanyak 1,436 kes direkodkan pada 13 Julai 2021 manakala semalam merekodkan sebanyak 135 kes.

Kes kematian harian pada 13 Julai tahun lepas adalah sebanyak 193 manakala semalam sebanyak sembilan kes direkodkan.

Berdasarkan infografik sama, kadar vaksinasi pada 13 Julai 2021 adalah sebanyak 3,940,548 manakala kadar vaksinasi yang direkodkan bagi semalam adalah 25,723,208 dengan jumlah yang lengkap divaksin dan dos penggalak sebanyak 12,473,139.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah jangkitan terus meningkat, hampiri angka 14,000 kes hari ini

SHAH ALAM, 8 FEB: Jangkitan Covid-19 terus meningkat menghampiri angka 14,000 dengan 13,944 kes direkodkan hari ini.

Trend peningkatan bermula pada Khamis dengan 5,720, 7,234 (Jumaat), 9,117 (Sabtu), 10,089 (Ahad) dan 11,034 pada semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook memaklumkan jumlah keseluruhan kini 2,939,198 kes.

Berikut perincian daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini:

–  73 kes (0.52 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima
–  13,871 kes (99.48 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua
Kategori 1 : 3,942 kes (28.27 peratus)
Kategori 2 : 9,929 kes (71.21 peratus)
Kategori 3 : 54 kes (0.39 peratus)
Kategori 4 : 11 kes (0.08 peratus)
Kategori 5 : 8 kes (0.05 peratus)

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerima Sinovac boleh ambil dos penggalak jenis sama – Khairy

PUTRAJAYA, 7 FEB: Penerima vaksin dos primer Sinovac kini boleh menerima jenama vaksin yang sama sebagai dos penggalak, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya, ia berikutan keengganan segelintir penerima vaksin Sinovac menerima suntikan dos campuran Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.

“Walaupun KKM (Kementerian Kesihatan) masih berpandangan bahawa kita lebih galakkan mereka terima Pfizer atau AstraZeneca, tetapi mana-mana dos penggalak lebih baik daripada tiada dos penggalak langsung,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Sebagai analoginya, beliau berkata KKM menyarankan individu mengembara ke tempat musim sejuk dan memberi kot percuma tetapi mereka enggan menerimanya dan hanya memakai kemeja-T sahaja.

“Okaylah, kemeja-T itu lebih baik daripada mereka tidak pakai apa-apa, jadi kita akan beri mereka pilihan,” katanya menambah bahawa sehingga kini terdapat 3.5 juta penerima vaksin primer Sinovac masih belum mendapat (dos) penggalak mereka lagi dan KKM akan mengeluarkan janji temu bagi dos penggalak,” katanya.

Menurut Khairy lagi, sijil vaksinasi penerima dos primer Sinovac dalam aplikasi MySejahtera juga akan bertukar menjadi putih sekiranya individu berkenaan tidak mendapatkan dos penggalak sebelum Mac ini.

“Jika mereka tidak mendapatkan dos penggalak pada Februari ini, sijil vaksinasi kuning mereka akan bertukar menjadi putih mulai 1 Mac,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengulangi peringatan agar semua penduduk berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.

Mengenai bekas pesakit Covid-19 yang dibenarkan pulang dari pusat kuarantin dan kebolehjangkitan virus sekiranya berada dalam ruang kenderaan yang terhad, Khairy berkata kesannya adalah sangat minimum.

“Sangat-sangat minimum (kebolehjangkitan). Sebaik sahaja anda keluar dari PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19), anda adalah negatif (daripada wabak itu),” katanya menyarankan agar mengelakkan sentuhan pada individu dalam kenderaan.

Mengenai kesan advers susulan imunisasi (AEFI) berkaitan dos penggalak, Khairy berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan mengeluarkan laporan mingguan kes dan kategori AEFI untuk orang ramai menyemak maklumat atau kes tular di media sosial seterusnya memberi keyakinan kepada mereka mendapatkan dos penggalak.

Beliau berkata secara keseluruhan, Sistem Pelaporan AEFI NPRA telah menerima 24,788 laporan AEFI termasuk 1,004 laporan melibatkan dos penggalak vaksin Covid-19 sehingga 31 Jan lepas.

“Kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak direkodkan pada 84 bagi setiap satu juta dos berbanding kadar pelaporan AEFI keseluruhan 390 per satu juta dos.

Laporan untuk AEFI bagi dos penggalak secara berkadaran adalah jauh lebih kurang (rendah) berbanding dos primer. Ini terpaksa saya bangkitkan kerana sekarang ini berlaku banyak tuduhan mengatakan dos penggalak telah menyebabkan kesan advers yang serius,” katanya.

Beliau berkata daripada jumlah laporan AEFI bagi dos penggalak, 64 laporan diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar lima laporan bagi setiap satu juta dos.

Katanya, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding laporan AEFI serius yang diterima bagi keseluruhan termasuk dos pertama dan kedua, iaitu pada kadar 27 laporan bagi setiap satu juta dos.

“Majoriti AEFI yang dilaporkan adalah ringan dan biasanya akan pulih dalam tempoh masa beberapa hari sahaja. Trend ini adalah setara dengan pelaporan yang diterima bagi dos primer tetapi dengan kadar pelaporan yang lebih rendah untuk dos penggalak,” katanya.

Beliau berkata kadar pelaporan ISRR (Immunisation stress-related reaction) bagi dos penggalak lapan kali lebih rendah berbanding dengan dos pertama dan tiga kali lebih rendah berbanding dengan dos kedua.

Khairy berkata laporan pemantauan kesan advers di negara rujukan lain seperti Amerika Syarikat dan Australia menunjukkan penemuan sama dengan Malaysia iaitu tiada perubahan trend pelaporan kesan advers yang dilaporkan semasa pemberian dos penggalak berbanding dos primer.

Selain itu, beliau memaklumkan pelaporan AEFI melibatkan kanak-kanak setakat hari ini adalah sifar daripada hampir 18,000 dos vaksin yang diberikan.

Mengenai pelaporan AEFI bagi pemberian lebih 5.6 juta dos vaksin kepada remaja berumur 12 tahun sehingga 17 tahun, beliau berkata sebanyak 74 pelaporan AEFI serius iaitu 0.013 per seribu dos dan kebanyakan kes itu telah pulih.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Omicron: KKM aktifkan semula jawatankuasa khas kawal penularan Covid-19

PUTRAJAYA, 7 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap siaga menghadapi gelombang Omicron berikutan peningkatan kes Covid-19 dengan mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF).

Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata jawatankuasa khas itu akan melaksanakan tindakan pantas mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan.

“Antaranya tindakan awalan pantas berkenaan adalah menambah dan mengubah suai katil bukan Covid-19, membina hospital medan dan penyumberluaran pesakit ke hospital swasta.

“RRTF ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Asmayani Khalib yang akan membuat pelaporan terus kepada saya,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Selain itu, Khairy berkata KKM telah bersiap sedia dengan 120 hospital, sembilan hospital penuh Covid-19 dan 111 hospital hibrid serta 43 Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan kapasiti 10,810 buah katil setakat semalam.

Selain itu, Khairy berkata semua klinik kesihatan bersedia menerima kedatangan pesakit yang tinggi susulan gelombang Omicron dengan 370 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Klinik Kesihatan dan komuniti beroperasi bagi membuat penilaian pesakit positif Covid-19, setakat hari ini.

CAC antaranya berfungsi mengenal pasti pesakit yang memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah, menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan dan menyelaras pesakit yang perlu dirujuk Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital.

Mengenai kontak rapat kepada kes posifif Covid-19, Khairy berkata individu berkenaan tidak perlu hadir ke CAC dan melakukan ujian saringan Covid-19 sekiranya tidak mengalami sebarang gejala.

“Kontak rapat akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital dan hanya perlu jalani kuarantin di kediaman.

“Sekiranya bergejala, perlu lakukan ujian kendiri. Jika positif dan berada dalam kategori 2A, teruskan pengasingan di tempat kediaman tanpa perlu hadir ke CAC,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes positif Covid-19 dalam kategori 1 dan 2A serta tidak berisiko tinggi, tidak perlu hadir ke CAC namun perlu melakukan pemantauan kesihatan kendiri dengan melakukan pemantauan kesihatan harian kendiri menerusi aplikasi MySejahtera.

Individu positif bagi kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mengalami simptom yang semakin teruk pula dikehendaki hadir ke CAC atau hospital berhampiran bagi pemeriksaan lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 12.1 juta penduduk dewasa terima suntikan dos penggalak

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Jumlah individu dewasa yang menerima dos penggalak Covid-19 kini mencecah 12,157,974 orang atau 51.9 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini, setakat semalam.

Berdasarkan data di laman web CovidNow, sejumlah 22,927,434 individu atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 99.1 peratus atau 23,204,846 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berumur antara 12 dan 17 tahun, sejumlah 2,789,988 individu atau 88.6 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi, manakala 2,868,262 individu atau 91.1 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 100,810 dos diberikan semalam meliputi 2,497 dos pertama, 2,603 bagi dos kedua manakala 95,710 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 63,743,710 dos.

Sementara itu, menurut portal Github Kementerian Kesihatan, lapan kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam dengan tiga di Perak, dua di Kedah manakala masing-masing satu kematian direkodkan di Johor, Kelantan dan Pahang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tamat tahun ini, kontrak 1,243 penolong pegawai perubatan dilanjut

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperakukan pelanjutan kontrak petugas kesihatan yang akan tamat kontrak pada tahun ini.

Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada 26 dan 28 Jan lepas bersetuju meluluskan pelantikan semula secara kontrak 1,243 Penolong Pegawai Perubatan Gred U29, melibatkan graduan Institut Latihan KKM yang tamat kontrak pada 2 Feb.

“Pemakluman mengenai pelanjutan kontrak ini telah pun dimaklumkan kepada Ketua Jabatan. Tawaran pelanjutan kontrak bagi kohort lain yang tamat kontrak dalam tahun 2022 akan dibuat secara berfasa sebaik perakuan KKM diluluskan oleh agensi pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam,” katanya.

Mohd Shafiq berkata pelanjutan kontrak ini dibuat mengambil kira situasi negara dalam peralihan dari fasa pandemik ke fasa endemik dan usaha memulihkan perkhidmatan tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Merujuk kepada artikel disiarkan sebuah akhbar semalam bertajuk “Giliran Penolong Pegawai Perubatan Mogok Esok?”, beliau berkata KKM menghargai peranan penting Penolong Pegawai Perubatan di KKM bersama barisan hadapan lain khususnya dalam menangani pandemik.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri jangka kes Covid-19 naik, minta rakyat tidak panik

SHAH ALAM, 3 FEB: Kes harian Covid-19 dalam negara dijangka naik mendadak dalam tempoh singkat berikutan penularan varian Omicron, kata menteri kesihatan.

Situasi sama turut dialami negara lain susulan kebolehjangkitan tinggi varian itu dan akan terus dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jelas Khairy Jamaluddin.

“Tetapi kita jangan panik kerana sudah berada di tahap masyarakat terima hakikat Malaysia perlu hidup dengan Covid-19 dan liputan vaksin antara tertinggi di dunia,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata KKM sedang membuat perolehan bagi mendapatkan ubat antiviral Paxlovid untuk kegunaan golongan berisiko, rentan dan komorbiditi di negara ini.

Khairy menambah pengurusan wabak dan pesakit Covid-19 merekod perkembangan positif dalam tempoh singkat apabila kebanyakan penghidap virus itu ditempatkan di rumah bagi pengasingan.

“Ini suatu pencapaian memberangsangkan dan dengan Paxlovid, kita akan dapat terus kurangkan bebanan dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam,” katanya.

Berdasarkan perangkaan KKM, kes harian Covid-19 sekitar 4,000 hingga 5,000, namun kebanyakan pesakit dalam kategori satu dan dua.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Negara lebih bersedia hadapi lonjakan kes Omicron – Khairy

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Malaysia dilihat lebih bersedia untuk menangani lonjakan kes Covid-19 varian Omicron selain berpengalaman dalam melindungi golongan rentan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Dalam tweetnya hari ini, Khairy berkata keadaan tidak sama seperti Jun hingga September tahun lepas kerana kini, negara lebih bersedia susulan pelaksanaan vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Lebih sebulan lepas, saya berkata bahawa kita menjangkakan Omicron akan menjadi dominan di sini seperti yang berlaku di tempat-tempat lain dan apabila ia berlaku, kes akan meningkat. Itulah, sebabnya kita mempercepatkan program pemberian suntikan dos penggalak.

“Kini, kita dapat melihat ramalan peningkatan cepat kes. Bagaimanapun, tidak perlu panik. Terdapat petunjuk kukuh untuk penyahgadingan antara kesan yang teruk dengan jumlah kes,” katanya.

Beliau berkata program vaksinasi untuk orang dewasa, remaja dan tidak lama lagi untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun berjalan lancar dengan penggunaan hospital masih terkawal.

“Sebab itulah, kita boleh memendekkan tempoh kuarantin, membenarkan orang ramai mengawal diri dan mengawal gangguan pada tahap minimum,” tambahnya.

Khairy berkata dengan lebih 50 peratus individu dewasa dan hampir 70 peratus warga emas telah menerima dos penggalak Covid-19 masing-masing, beliau berharap semua pihak dapat mengharungi gelombang Omicron melalui pendekatan teliti yang ditentukur dan berkadaran.

“Ikut SOP (tatacara operasi piawai). #TRIIS. Dapatkan dos penggalak. Pastikan anak-anak anda divaksin. Kita boleh melakukan ini,” katanya.

– BERNAMA