Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh kluster baharu sumbang 143 kes Covid-19 di Selangor

SHAH ALAM, 29 JUN: Sebanyak tujuh kluster baharu Covid-19 dikesan di Selangor dengan empat daripadanya merupakan jangkitan tempat kerja.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan menyebut kluster terbabit dikesan di Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Rekod Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menunjukkan sebanyak 143 kes positif dicatatkan selepas 646 individu disaring di semua lokasi terbabit.

Perincian kluster seperti berikut:

1. Industri Balakong Sembilan (tempat kerja, 20 kes)
2. Jalan PJS Lapan (tempat kerja, 17 kes)
3. Tapak Bina Sunsuria City (tempat kerja, 34 kes)
4. Industri Sungai Chua Satu (tempat kerja, 11 kes)
5. Cahaya Enam (komuniti, 13 kes)
6. Jalan Empat Bandar Baru Bangi (komuniti, 39 kes)
7. Jalan Tanggilan (institusi pendidikan swasta, sembilan kes)

Sebanyak 27 kluster baharu dikesan di seluruh negara yang turut melibatkan Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Johor, Perak, Kelantan, Putrajaya, Sabah dan Sarawak.

Bermula tahun lalu, sebanyak 2,821 kluster dikesan dengan 1,934 ditamatkan dan 887 masih aktif.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat kluster baharu libatkan pekerja kilang, buruh binaan di Selangor

SHAH ALAM, 28 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan empat lagi kluster tempat kerja di Selangor, menurut ketua pengarah kesihatan.

Menerusi kenyataan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kluster Industri Jalan Dolomite Dua di Gombak; Industri Jalan Laksamana Satu dan Industri Waja 2 di Klang serta Kuala Langat melibatkan jangkitan pekerja kilang.

Manakala kluster Industri Tapak Bina Lingkaran Eco Majestic di Hulu Langat merupakan penularan kes kumpulan buruh binaan.

Seramai 894 individu disaring dari semua kluster terbabit dengan 88 daripadanya didapati positif termasuk 14 kes dilaporkan hari ini.

Selain kluster berkenaan, KKM turut mengesan 18 lagi kluster baharu dalam negara melibatkan kategori tempat kerja dan komuniti.

Kluster masing-masing dilaporkan di Johor, Kuala Lumpur dan Sarawak (tiga); Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah (dua) serta Terengganu (satu).

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan 24 kluster baharu, lapan di Selangor

SHAH ALAM, 23 JUN: Sebanyak lapan kluster baharu Covid-19 di Selangor daripada 24 kluster yang direkodkan hari ini, majoriti jangkitan di tempat kerja.

Menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia, kluster tersebut ialah Industri Jalan Bacang, Tapak Bina Warisan Puteri, Jalan Perdagangan Alam Jaya, Jalan Enam Selatan Dua, Jalan Bandar Satu, Industri Jalan Kidamai Dua dan Industri Perusahaan Utama.

Satu kluster membabitkan jangkitan kumpulan berisiko tinggi iaitu kluster Jalan Sepang.

Kluster berkenaan dikesan di Kuala Selangor, Petaling, Klang, Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat dan Kuala Langat.

Semua kluster merekodkan 305 kes positif hasil saringan ke atas 775 individu.

Sebanyak 16 kluster lain seluruh negara yang dilaporkan melibatkan kategori golongan berisiko, komuniti, tempat kerja dan pusat tahanan.

Categories
SELANGOR

Tujuh kluster baharu di Selangor, majoriti babit tempat kerja

SHAH ALAM, 22 JUN: Sebanyak tujuh kluster baharu Covid-19 direkodkan di Selangor hari ini dengan majoriti membabitkan jangkitan di tempat kerja.

Kluster tersebut ialah Jalan Persiaran Enam, Industri SS Lapan Sungai Way, Tapak Bina Laluan Klang, Jalan Permata 22, Industri Kampung Bukit Angkat dan Jalan Kebun Baru.

Kluster Tembok Ulu Teris di Sepang pula berpunca dari pusat tahanan.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kluster-kluster berkenaan dikesan di Kuala Selangor, Petaling, Klang, Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat dan Kuala Langat.

Semua kluster itu merekodkan 203 kes positif hasil saringan ke atas 2,079 individu.

Selain tujuh kluster terbabit, 14 kluster lain turut dilaporkan melibatkan kategori golongan berisiko, pendidikan tinggi, komuniti, tempat kerja dan pusat tahanan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan 60 kluster perayaan, lebih 3,000 positif Covid-19

SHAH ALAM, 10 JUN: Sebanyak 60 kluster perayaan membabitkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai dikesan sepanjang 13 Mei hingga hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 58 kluster Aidilfitri dan dua sambutan Gawai itu merekodkan 3,511 kes positif selepas 13,023 individu disaring.

Jelasnya Sabah mencatatkan bilangan tertinggi dengan 11 kluster, diikuti Sarawak (lapan) dan Kedah (tujuh).

“Sebanyak 20 kematian dilaporkan dari kluster kategori ini dan sehingga kini 11 kes masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Peningkatan kes dan kematian dari kluster ini adalah serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh singkat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes akan terus meningkat sekiranya masyarakat masih leka dan tidak mengambil iktibar dari perkara ini.

“Kita wajar contohi negara jiran yang berjaya kawal situasi pandemik hasil kerjasama semua pihak dan kepatuhan tinggi kepada tatacara operasi piawaian (SOP).

“Oleh itu rakyat digesa kekal duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak selain mendaftar pengambilan vaksin bagi membentuk imuniti kelompok,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan 12 kluster Aidilfitri, seorang pesakit Covid-19 maut

SHAH ALAM, 26 MEI: Sebanyak 12 kluster Aidilfitri dikesan membabitkan 470 jangkitan Covid-19 di tujuh negeri, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Katanya, seorang mangsa dari kluster Jalan Tahir Manan di Selangor, salah satu kluster itu, meninggal dunia manakala dua lagi dari kluster Simpang Sahari di Labuan ditempatkan di unit rawatan rapi.

“Jumlah ini dijangka akan bertambah dan mungkin melibatkan lebih banyak negeri,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham juga menjelaskan sebanyak 470 kes dari semua kluster berkenaan hasil saringan terhadap 2,541 individu.

Hari ini genap dua minggu sambutan Aidilfitri yang disambut umat Islam seluruh negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster rentas negeri naik antara April hingga Mei

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Kluster rentas negeri terus merekodkan peningkatan sepanjang April hingga Mei, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata dalam tempoh itu, sebanyak 19 kluster dicatatkan daripada keseluruhan 50 kluster akibat rentas negeri sejak awal tahun ini, melibatkan 6,291 kes.

“Dari segi bilangan kluster, setakat 20 Mei lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan 1,966 keseluruhan kluster sejak pandemik ini melanda negara kita.

“Daripada jumlah itu, terdapat 528 kluster aktif manakala 1,438 lagi kluster diisytiharkan tamat,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Ismail Sabri juga berkata beberapa kawasan termasuk mukim, pangsapuri, taman perumahan serta perkampungan di Perak, Kuala Lumpur, Pahang dan Sabah dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 28 Mei hingga 10 Jun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor kesan empat kluster babit tempat kerja, kumpulan risiko tinggi

SHAH ALAM, 24 MEI: Terdapat empat kluster baharu dikesan di negeri ini hari ini membabitkan tempat kerja dan kumpulan berisiko tinggi.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan kluster yang dilapor adalah sebahagian daripada 20 kluster baharu seluruh negara.

“Kluster pertama adalah Jalan Tengkorak dikesan di Kuala Selangor yang mana 611 individu disaring dengan lapan dikesan positif Covid-19.

“Kluster Jalan Bestari Satu pula 53 individu positif daripada 343 individu yang disaring. Ia dikesan di Klang dan Petaling,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan.

Katanya, kluster Jalan Dato Sellatheven sama seperti kluster pertama dan kedua membabitkan tempat kerja yang dikesan Klang dengan 86 orang didapati positif daripada 247 yang disaring.

“Kluster kumpulan berisiko tinggi iaitu Jalan Jed pula dikesan di Klang dan Kuala Langat yang mana 85 orang disaring dengan 14 didapati positif,” katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan secara keseluruhan sebanyak 2,045 kluster dikesan dalam negara dengan 1,475 kluster telah tamat dan 570 kluster masih aktif.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Hampir setengah juta dijangkiti virus, kes aktif lebih 52,000

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai Covid-19 dan perkara berkaitan di Malaysia dari 15 hingga 21 Mei 2021.

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Malaysia semakin dibayangi kemungkinan berhadapan dengan kes harian baharu lima angka setelah tiga hari berturut-turut merekod kes harian baharu Covid-19 sekitar enam ribu pada Rabu (19 Mei), Khamis (20 Mei) dan semalam.

Ini ditambah dengan penularan varian baharu Covid-19 yang lebih ganas dari United Kingdom, Afrika Selatan dan India yang sudah dikesan menular dalam komuniti negara ini.

Perkara ini turut menjadi kebimbangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini apabila beliau berkata “Malaysia kini berada pada titik genting. Dijangkakan jumlah kes harian akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.”

Penularan koronavirus maut Covid-19 yang dilihat semakin parah mutakhir ini juga menyebabkan kes kumulatif hampir mencecah 500,000 kes. Semalam, kes kumulatif yang direkod adalah sebanyak 498,795 kes sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melepasi paras 50 ribu iaitu 52,106 kes.

Malaysia pernah mencatat kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melepasi angka 50 ribu pada 6 Februari 2021 iaitu 50,894 kes.

Sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat 21 Mei 2021, Malaysia menambah sebanyak 6,493 lagi kes harian baharu Covid-19 dengan Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar, sebanyak 2,163 kes.

Kelmarin, Malaysia merekod sebanyak 6,806 kes harian baharu Covid-19, yang tertinggi sejak Malaysia mengesan kes pertama Covid-19 pada 25 Januari 2020. Lonjakan kes semalam mengatasi rekod hari Rabu 19 Mei 2021 iaitu 6,075 kes.

Rekod tertinggi kes harian baharu sebelum ini dilaporkan pada 30 Januari 2021 iaitu sebanyak 5,728 kes dengan Selangor menyumbang kes harian baharu tertinggi iaitu 3,285 kes.

Sepanjang tempoh rangkuman terkini mingguan Bernama (15 hingga 21 Mei 2021), Malaysia merekod lonjakan kes harian baharu Covid-19 yang konsisten antara tiga ribu hingga lebih enam ribu dan dibimbangi boleh mencecah lima angka.

Berikut adalah bilangan kes harian baharu yang dicatat sepanjang tempoh tersebut:

15 Mei (4,140 kes), 16 Mei (3,780 kes), 17 Mei (4,446 kes), 18 Mei (4,865 kes), 19 Mei ( 6,075 kes), 20 Mei (6,806 kes) dan 21 Mei (6,493 kes).

Petugas kesihatan mendapatkan sampel calitan bagi mengesan jangkitan Covid-19 di Kuala Lumpur pada 11 Mei 2021. Foto REUTERS

Lonjakan kes harian baharu yang mendadak kebelakangan ini turut mencemaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kes yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) terus meningkat, begitu juga bilangan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

Semalam, sebanyak 643 kes direkod di ICU dan 363 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam paparan Facebook peribadi beliau menyebut setakat 18 Mei 2021, kadar penggunaan katil rawatan kritikal / ICU Covid-19 di Lembah Klang, secara keseluruhannya mencapai 89 peratus.

Menurut beliau, Selangor, WP Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Negeri Sembilan mencatatkan penggunaan katil Covid-19 ICU melebihi 80 peratus.

Hospital Covid-19 pula, kata beliau, meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit COVID-19 dengan mengubah fungsi (repurpose) wad biasa. Walau bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.

Beliau pada 20 Mei menyatakan, kadar penggunaan katil ICU Covid-19 bagi seluruh negara mencapai 83 peratus.

“Peningkatan kes-kes secara mendadak kebelakangan ini memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Rakyat adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap untuk terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar. Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita!”

Dengan 498,795 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 42 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Malaysia mengatasi Nepal (488,645 kes) dan di hadapan Malaysia adalah Maghribi (516,091 kes).

Banyak kes kematian

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan akhbar KPK mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia pada Jumaat 21 Mei melaporkan sebanyak 50 lagi kes kematian, melibatkan 49 orang warganegara dan seorang bukan warganegara. Ini menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 2,149 kes.

Daripada 50 kes kematian itu, 22 kes dilaporkan berlaku di Selangor, lapan (8) kes di Sarawak, lima (5) kes di Johor, empat (4) kes di Kedah, tiga (3) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing dua (2) kes di Negeri Sembilan, Perak, dan Melaka, serta masing-masing satu (1) kes di Pulau Pinang dan Kelantan.

Kes tertinggi kematian direkod kelmarin sebanyak 59 kes, melibatkan 58 warganegara dan seorang bukan warganegara.

Daripada jumlah 59 kes itu, Johor melaporkan kes kematian tertinggi iaitu 14 kes, sementara 10 kes di Selangor, lapan (8) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, enam (6) kes di Kelantan, masing-masing empat (4) kes di Negeri Sembilan dan Melaka, masing-masing tiga (3) kes di Kedah, Perak, dan Terengganu, dua (2) kes di Sarawak, serta masing-masing satu (1) kes di Sabah dan Pulau Pinang.

Selain semalam, Selangor turut mencatat angka kematian tertinggi pada 15 Mei (26 kes), 16 Mei (8 kes), 17 Mei (20 kes), 18 Mei (18 kes) dan 19 Mei (19 kes).

Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021. Larangan rentas daerah dan negeri juga dikuatkuasakan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Kes warganegara merebak

Penularan tempatan kes Covid-19 di Malaysia melibatkan warganegara masih pada kadar 90 peratus sepanjang tempoh rangkuman terkini mingguan Bernama (15 hingga 21 Mei 2021).

Rekod KKM semalam, daripada 6,493 kes baharu, sebanyak 6,491 kes adalah penularan tempatan, melibatkan 6,038 orang warganegara (93.0 peratus) dan 453 orang bukan warganegara (7.0 peratus). Dua lagi kes adalah kes import (1 warganegara 1 bukan warganegara).

Berikut adalah data yang menunjukkan keseluruhan situasi kes baharu, kes kumulatif dan kes import, berdasarkan makluman KKM:-

Petugas kesihatan menganalisis sampel calitan di pusat saringan Covid-19 di Kuala Lumpur pada 11 Mei 2021. Foto REUTERS

Sabtu 15 Mei – Kes baharu : 4,140 kes (466,330 kes kumulatif); Kes tempatan : 4,131 kes [3,728 warganegara (90.2%); 403 bukan warganegara (9.8%)]; Kes import : 9 kes (9 warganegara);

Ahad 16 Mei – Kes baharu : 3,780 kes (470,110 kes kumulatif);Kes tempatan : 3,778 kes [3,441 warganegara (91.1%); 337 bukan warganegara (8.9%)]; Kes import : 2 kes (2 warganegara);

Isnin 17 Mei – Kes baharu : 4,446 kes (474,556 kes kumulatif);Kes tempatan : 4,443 kes [4,230 warganegara (95.2%); 213 bukan warganegara (4.8%)]; Kes import : 3 kes (3 warganegara);

Selasa 18 Mei – Kes baharu : 4,865 kes (479,421 kes kumulatif);Kes tempatan : 4,860 kes [4,650 warganegara (95.7%); 210 bukan warganegara (4.3%)]; Kes import : 5 kes (3 warganegara, 2 bukan warganegara);

Rabu 19 Mei – Kes baharu : 6,075 kes (485,496 kes kumulatif);Kes tempatan : 6,072 kes [5,452 warganegara (89.8%); 620 bukan warganegara (10.2%)]; Kes import : 3 kes (1 warganegara, 2 bukan warganegara);

Khamis 20 Mei – Kes baharu : 6,806 kes (492,302 kes kumulatif); Kes tempatan : 6,804 kes [6,122 warganegara (90.0%); 682 bukan warganegara (10.0%)]; Kes import : 2 kes (2 warganegara).

Jumaat 21 Mei – Kes baharu : 6,493 kes (498,795 kes kumulatif); Kes tempatan : 6,491 kes [6,038 warganegara (93.0%); 453 bukan warganegara (7.0%)]; Kes import : 2 kes (1 warganegara; 1 bukan warganegara);

Setakat 21 Mei 2021, sebanyak 4,508 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada Covid-19 kini 444,540 kes (89.1 peratus).

Sementara rekod kes sembuh harian sepanjang tempoh rangkuman ini:-

15 Mei (3,432 kes), 16 Mei (3,990 kes), 17 Mei (2,784 kes), 18 Mei (3,497 kes), 19 Mei (3,516 kes), 20 Mei (3,916 kes) dan 21 Mei (4,508 kes).

Masih banyak kluster baharu

Kluster baharu semakin banyak dikesan mulai 15 hingga 21 Mei 2021) dan untuk Jumaat 21 Mei, KKM mengumumkan sebanyak 18 lagi kluster baharu.

Berdasarkan laporan harian Dr Noor Hisham mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia, kluster baharu itu terdiri daripada 10 kluster tempat kerja, lima kluster keagamaan dan tiga kluster komuniti.

Rekod kluster baharu sepanjang tempoh rangkuman ini:- 15 Mei (15 kluster), 16 Mei (11 kluster), 17 Mei ( 14 kluster), 18 Mei (19 kluster), 19 Mei ( 22 kluster), 20 Mei (24 kluster) dan 21 Mei (18 kluster).

Secara keseluruhannya sehingga 21 Mei 2021, negara merekod sebanyak 1,984 kluster dan 1,455 kluster daripadanya ditamatkan, sementara 529 kluster masih aktif.

Sementara itu, Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Facebook peribadinya pada Jumaat 21 Mei 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 21 Mei 2021 untuk seluruh negara kekal 1.17. Negeri mencatat Ro tertinggi ialah WP Labuan 2.55, Kedah 1.26 dan Perak 1.25.

R-Naught (Ro/Rt) iaitu kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan sepanjang tempoh rangkuman Bernama secara konsistennya berada pada kadar lebih 1.0. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Rebakan virus makin parah, kluster aktif ancam komuniti

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Penularan koronavirus maut Covid-19 yang semakin mengancam komuniti dengan ledakan kes harian baharu mutakhir ini sehingga melebihi 4,000 kes, meletakkan Malaysia kembali dalam keadaan ‘genting’.

Dengan kes harian baharu sebanyak 4,498 yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat pukul 12 tengah hari (Jumaat 7 Mei), jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melonjak kepada 34,789 kes.

Jumlah kes kumulatif pula sudah melepas paras 430,000 iaitu 432,425 kes.

Selangor berterusan sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama (1 hingga 7 Mei 2021) menyumbang jumlah kes harian terbanyak. Semalam, Selangor mencatat 1,424 kes, diikuti Sarawak 750 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 436 kes.

Kes harian baharu melebihi tiga ribu dicatat pada 6 Mei (3,551), 5 Mei (3,744 kes), 4 Mei (3,120 kes) dan 2 Mei (3,418 kes).

Laporan harian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia, turut menunjukkan semakin banyak kluster baharu dikesan.

Semalam, sebanyak 19 buah kluster baharu dilaporkan dengan kluster tempat kerja 10 kes, kluster komuniti empat (4) kes, kluster keagamaan tiga (3) kes dan dua kluster pendidikan.

Pada Rabu 5 Mei 2021 sahaja, sebanyak 20 kluster baharu dilaporkan dengan lapan (8) kluster tempat kerja, enam (6) kluster komuniti, empat (4) kluster pendidikan dan dua (2) kluster keagamaan.

Setakat 7 Mei 2021, terdapat 425 kluster yang masih aktif dan 102 kluster menambah kes baharu.

Jumlah kes pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi turut kritikal dan setakat hari ini 7 Mei, Dr Noor Hisham dalam paparan Facebook peribadi beliau menyatakan, negara merekodkan kemasukan sebanyak 506 kes ke ICU, iaitu jumlah yang tertinggi semenjak pandemik ini bermula. Sebanyak 295 kes daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Menurut beliau, kemasukan kes kritikal ke ICU meningkat sebanyak 44 peratus berbanding tempoh dua minggu yang lepas di seluruh negara dan beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak menunjukkan kadar peningkatan yang lebih tinggi.

Seorang pekerja kesihatan yang memakai pakaian pelindung menyusun katil hospital bagi merawat pesakit Covid-19 di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur. Foto REUTERS

Sebanyak 22 hospital mencatatkan kadar penggunaan katil ICU Covid-19 melebihi 70 peratus dan ada yang mencecah lebih 90 peratus. Beberapa hospital bukan Covid-19 juga terpaksa merawat pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan kerana pesakit ini tidak dapat dipindahkan ke hospital Covid-19 akibat kesesakan ICU. Ada juga pesakit yang terpaksa diberi bantuan alat pernafasan di wad-wad biasa.

Ledakan kes harian baharu yang bagaimanapun tidak dikaitkan sebagai ‘Gelombang Keempat’, membuatkan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa buah negeri/daerah.

Pada 4 Mei, PKP diisytiharkan untuk enam (6) daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Klang, Petaling, Kuala Langat, Gombak dan Sepang, berkuatkuasa dari 6 hingga 17 Mei 2021.

PKP turut diisytiharkan untuk tempoh 7 hingga 20 Mei 2021, bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi, Johor; Mukim Taiping, Daerah Larut Matang dan Selama, Perak; di 14 mukim dalam daerah Besut (kecuali Mukim Hulu Besut), Terengganu.

Malaysia turut menyekat kemasukan pengembara dari Nepal, Bangladesh, Sri Lanka dan Pakistan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan ia sebagai susulan tambahan sekatan penerbangan dari dan ke India, berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

Malaysia mencatat kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari India dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1. Mengumumkan perkara ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata di samping itu, negara juga mengesan sebanyak 48 kes varian Afrika Selatan, B.1.351, UK B.1.1.7 (8 kes), dan varian Nigeria B. 1.525 (2 kes).

Malaysia pernah mencatat kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melepasi angka 50,000 pada Gelombang Ketiga Covid-19 iaitu sebanyak 50,894 kes pada 6 Februari 2021.

Setakat ini, di bawah Gelombang Ketiga Malaysia hanya sekali mencatat kes harian baharu tiga angka iaitu pada 29 Mac 2021, sebanyak 941 kes.

Warganegara kes terbanyak

Menurut Dr Noor Hisham hari ini (7 Mei 2021), daripada 4,498 kes harian baharu, sebanyak 4,493 adalah penularan tempatan sementara kes import sebanyak 5 kes iaitu 1 warganegara (WN) dan empat (4) bukan warganegara (WN).

Secara puratanya, WN menyumbang sekitar 90 peratus kepada kes penularan tempatan berbanding BWN.

Berikut adalah data yang menunjukkan situasi berkenaan, termasuk kes harian baharu dan kes kumulatif, berdasarkan makluman KKM, bagi tempoh rangkuman mingguan Bernama (1 hingga 6 Mei 2021).

1 Mei – kes baharu : 2,881 kes (411,594 kes kumulatif,); kes tempatan : 2,865 kes [ 2,609 WN (91.1%)]; 256 BWN (8.9%); kes import : 16 kes (5 WN dan 11 BWN);

2 Mei – kes baharu : 3,418 kes (415,012 kes kumulatif); kes tempatan : 3,408 kes [ 3,134 WN (92.0%); 274 BWN (8.0%)]; kes import : 10 kes (1 WN dan 9 BWN);

Jururawat memakai sut perlindungan diri memeriksa pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur pada 21 April 2020. Foto REUTERS

3 Mei – kes baharu : 2,500 kes (417,512 kes kumulatif); kes tempatan : 2,496 kes [ 2,301 WN (92.2%)]; 195 BWN (7.8%) ; kes import : 4 kes (2 WN dan 2 BWN);

4 Mei – kes baharu : 3,120 kes (420,632 kes kumulatif); kes tempatan : 3,114 kes [ 2,918 WN (93.7%); 196 BWN (6.3%)]; kes import : 6 kes (1 WN dan 5 BWN);

5 Mei – kes baharu : 3,744 kes (424,376 kes kumulatif); kes tempatan : 3,737 kes [ 3,514 WN (94.0%); 223 BWN (6.0%)] ; kes import : 7 kes (1 WN dan 6 BWN);

6 Mei – kes baharu :3,551 kes (427,927 kes kumulatif); kes tempatan : 3,535 kes [3,242 WN (91.7%); 293 BWN (8.3%)]; Kes import : 16 kes (10 WN dan 6 BWN);

7 Mei – kes baharu :4,498 kes (432,425 kes kumulatif); kes tempatan : 4,493 kes [4,179 warganegara (93.0%); 314 bukan warganegara (7.0%)]; kes import : 5 kes (1 warganegara dan 4 bukan warganegara);

Dengan 432,425 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 42 (berbanding 43 minggu lepas) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Malaysia kini mengatasi Arab Saudi (424,445 kes) dan di hadapan Malaysia adalah Maghribi (513,016 kes).

Setakat 7 Mei 2021, sebanyak 3,449 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada Covid-19 kini 396,004 kes (91.6 peratus).

Sementara rekod kes sembuh harian sepanjang tempoh rangkuman ini:-

1 Mei ( 2,462 kes), 2 Mei ( 2,698 kes), 3 Mei ( 2,068 kes), 4 Mei (2,334 kes), 5 Mei (2,304 kes), 6 Mei (2,709 kes) dan 7 Mei (3,449 kes).

Ledakan kluster baharu

Sehingga Jumaat 7 Mei 2021, Malaysia mencatat sebanyak 1,759 kluster dan 1,334 daripadanya diisytihar tamat. Sebanyak 425 masih aktif dan 102 daripadanya menambah kes baharu.

Tiga kluster yang mencatat pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Jalan Kempas Pagoh (70 kes), Kluster Jalan Besar Sungai Jawi (47 kes), dan Kluster Beladin (45 kes).

Sebanyak 19 klluster baharu diumumkan hari ini (7 Mei 2021), dan maklumat seperti tertera di bawah:-

Sabtu 1 Mei – 14 kluster baharu, melibatkan masing-masing empat (4) kluster komuniti, kluster tempat kerja, dan kluster sektor pendidikan termasuk satu (1) kluster institusi pendidikan KPM, serta dua (2) kluster keagamaan.

Ahad 2 Mei – 11 kluster baharu, melibatkan lima (5) kluster komuniti, empat (4) kluster sektor pendidikan termasuk dua (2) kluster institusi pendidikan KPM, serta dua (2) kluster tempat kerja.

Isnin 3 Mei – 9 kluster baharu, melibatkan masing-masing tiga (3) kluster komuniti dan kluster tempat kerja, dua (2) kluster sektor pendidikan termasuk satu (1) kluster institusi pendidikan KPM, serta satu (1) kluster pusat tahanan.

Selasa 4 Mei – 17 kluster baharu, melibatkan tujuh (7) kluster komuniti, lima (5) kluster tempat kerja, empat (4) sektor pendidikan termasuk satu (1) kluster institusi pendidikan KPM, dan satu (1) kluster keagamaan.

Kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar melakukan proses sanitasi di Masjid Ar-Rahman, dekat Alor Merah yang diarah tutup sepenuhnya pada 9 September 2020. Foto BERNAMA

Rabu 5 Mei – 20 kluster baharu, melibatkan lapan (8) kluster tempat kerja, enam (6) kluster komuniti, empat (4) sektor pendidikan termasuk tiga (3) kluster institusi pendidikan KPM, dan dua (2) kluster keagamaan.

Khamis 6 Mei – 14 kluster baharu, melibatkan lapan (8) kluster tempat kerja, masing-masing dua (2) kluster komuniti dan kluster sektor pendidikan termasuk satu (1) kluster institusi pendidikan KPM, serta masing-masing satu (1) kluster kumpulan berisiko tinggi dan kluster keagamaan.

Jumaat 7 Mei -melibatkan 10 kluster tempat kerja, empat (4) kluster komuniti, tiga (3) kluster keagamaan, dan dua (2) kluster sektor pendidikan termasuk satu (1) kluster institusi pendidikan KPM.

Sementara itu, Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Facebook peribadinya pada Jumaat 7 Mei 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 7 Mei 2021 untuk seluruh negara kekal 1.10. Negeri mencatat Ro tertinggi ialah Terengganu 1.35, Kedah 1.28 dan Perak 1.25.

R-Naught (Ro/Rt) iaitu kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan sepanjang tempoh rangkuman Bernama (1 Mei hingga 7 Mei 2021) secara konsistennya berada pada kadar lebih 1.0. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Perincian kes

Berdasarkan perincian KKM mengenai 4,498 kes Covid-19 yang dilaporkan KKM pada Jumaat 7 Mei 2021, Selangor menumbang kes harian baharu terbanyak iaitu 1,424 kes. Daripda jumlah itu, sebanyak 1,074 kes adalah daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19; 259 kes daripada lain saringan Covid-19, sementara 91 kes daripada kluster termasuk kluster baharu.

Untuk rekod, Selangor juga menyumbang kes harian baharu terbesar sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (1 Mei hingga 7 Mei 2021) iaitu pada 1 Mei (759 kes), 2 Mei (1,200 kes), 3 Mei (637 kes), 4 Mei (675 kes), 5 Mei (1,548 kes) dan 6 Mei (1,137 kes).

Kes harian baharu tiga angka melibatkan sembilan negeri iaitu Sarawak 750 kes (*2), WP Kuala Lumpur 436 kes (*3), Johor 327 kes, Pulau Pinang 313 kes, Kelantan 297 kes, Kedah 209 kes, Negeri Sembilan 188 kes, Sabah 153 kes dan Perak 148 kes.

Sebanyak tiga negeri mencatat kes harian baharu dua angka iaitu Terengganu 87 kes, Pahang 78 kes dan Melaka 74 kes.

WP Putrajaya, Perlis dan WP Labuan mencatat kes harian baharu satu angka, iaitu masing-masing lapan kes, empat kes dan dua kes.

(*kes import)

Sementara itu, sebanyak 22 kes kematian dilaporkan semalam, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 1,632 kes, melibatkan 20 warganegara dan dua bukan warganegara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan kekal tidak benarkan rentas negeri

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Kerajaan kekal tidak akan membenarkan pergerakan rentas negeri berikutan ia adalah salah satu penyebab peningkatan kes positif harian Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Covid-19 hari ini.

Katanya, beliau sedia maklum keputusan ini sudah tentu tidak disukai rakyat, namun ia perlu diambil untuk menyekat penularan pandemik berkenaan.

“Di negara-negara lain tengok peningkatan kes yang berlaku. Di India kini rekodkan kes positif COVID-19 lebih 200,000 kes sehari melonjakkan angka positif keseluruhan melepasi 14 juta. Di ibu negara New Delhi puluhan hotel dan dewan perkahwinan ditukar menjadi pusat menempatkan pesakit Covid-19.

“Sudah pasti kita tidak mahu Malaysia jadi seperti itu. Jadi sekali lagi saya tekankan, supaya tingkatkan kawalan kendiri dan patuhi SOP, kita jaga kita,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Ismail Sabri yang juga menteri pertahanan berkata sejak 20 Dis 2020 hingga 20 April lepas, 38 kluster rentas negeri melibatkan 5,471 kes secara keseluruhan direkodkan dengan bulan ini sahaja tujuh kluster rentas negeri membabitkan 423 kes dilaporkan.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga pernah merekodkan kes kluster tertinggi iaitu kluster Pasai dengan 2,693 kes, berpunca daripada seorang warga Sarawak yang balik ke kampung pada waktu Krismas sehingga Covid-19 menular ke seluruh Sarawak.

Menurutnya di Kelantan pula sejak 7 Dis tahun lepas, 10 kluster rentas negeri direkodkan dengan sebahagiannya masih aktif sehingga kini dan menjangkiti beberapa generasi.

“Kluster rentas negeri ini bukan sahaja mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19 kepada kawasan zon hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung menghadiri majlis-majlis sosial juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia kini telah memasuki gelombang keempat penularan Covid-19, Ismail Sabri berkata negara masih berada di gelombang ketiga fasa dua.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata 140 individu dikompaun manakala 19 lagi direman semalam atas kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) dengan kesalahan tidak mendaftar masuk premis mencatatkan jumlah tertinggi melibatkan 62 individu, diikuti tidak memakai pelitup muka (39), tidak menjaga penjarakan fizikal (10) dan lain-lain (48).

Selain itu, katanya 56 pendatang tanpa izin ditahan dan 10 kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng di seluruh negara semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster sekolah, institusi pendidikan naik sejak Januari

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Sebanyak 39 kluster dengan 1,420 kes melibatkan sub kategori sekolah atau institusi Kementerian Pendidikan (KPM) telah dikesan dari 1 Januari hingga 20 April lepas.

Berdasarkan infografik disiar di Twitter rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), kluster melibatkan institusi pendidikan merekodkan peningkatan sekali ganda daripada enam kepada 12 kluster dalam tempoh tujuh hari pada minggu lepas.

Berikutan itu sejumlah sekolah di beberapa buah negeri diarah tutup bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidik.  

Pada 18 April, semua sekolah dan institusi pendidikan yang berada di tujuh jajahan di Kelantan di arah tutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu hingga 24 April.

Seterusnya pada 20 April, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist di Jalan Sungai Daun, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang diarah tutup berikutan kes Covid-19 di sekolah itu dan dijangka dibuka semula pada 26 April.

Pada hari sama, sebanyak 19 sekolah di Selangor turut ditutup melibatkan 11 sekolah menengah, enam sekolah rendah, satu sekolah menengah agama dan satu sekolah jenis kebangsaan berikutan  kemunculan kluster pandemik Covid-19.

Turut diarah berbuat demikian pada tarikh berkenaan, dua buah sekolah di Johor Bahru, Johor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Daya 3 dan Sekolah Kebangsaan Taman Daya.

Pada 21 April, bilangan sekolah yang terpaksa ditutup di Johor meningkat sebanyak 27 sekolah setelah merekodkan kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas, murid serta pelajarnya membabitkan 10 sekolah agama dan 17 lagi adalah sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan. 

Hari ini, enam buah sekolah lagi di Johor ditutup bagi memberi laluan pengesanan aktif dan operasi sanitasi susulan kes Covid-19 sejak semalam, menjadikan jumlah sekolah terlibat di negeri itu meningkat kepada 33 buah berbanding  27 sekolah dua hari lepas. 

Untuk rekod, sekolah menengah mula dibuka semula pada 4 April melibatkan Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B memulakan persekolahan pada 5 April.

Murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua pula dibenarkan ke sekolah rendah bermula 1 Mac, manakala murid Tahun Tiga hingga Enam  hadir ke sekolah mulai 8 Mac lepas.

-BERNAMA