Categories
AGENDA NASIONAL

Belum dapat janji temu MySejahtera, 1,000 penduduk kampung serbu PPV

LABUAN, 18 JUN: Seramai 1, 000 penduduk dari empat kampung di sini berpusu-pusu ke pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 baharu di Dewan Mutiara Kolej Matrikulasi Labuan (LMC) yang mula beroperasi hari ini.

Majoriti penduduk yang hadir terdiri daripada individu yang telah mendaftar melalui MySejahtera, namun belum menerima janji temu dan tersenarai untuk menerima vaksin secara jumpa terus (walk-in) yang diuruskan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Kampung terlibat dalam pusingan pertama pemberian vaksin hari ini ialah Kampung Pohon Batu, Manikar, Lubok Temiang dan Ganggarak.

“Hanya individu yang namanya disenaraikan oleh ketua kampung atau pengerusi jawatankuasa penduduk akan dibenarkan masuk ke PPV,” kata Pengerusi MPP Mohd Dzulfaizal Abd Manan kepada Bernama di PPV LMC.

Beliau berkata, vaksinasi secara jumpa terus bagi nama yang disenaraikan oleh MPP bermula dari 8 pagi hingga 3 petang, manakala bagi individu lain bermula dari 3 hingga 4 petang.

Pusingan kedua vaksinasi secara jumpa terus esok, melibatkan empat kampung lain iaitu Kampung Lajau, Bukit Kuda, Kerupang dan Pantai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca buruk di pantai barat Sabah sehingga esok

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk, dengan hujan lebat dijangka berterusan berlaku di kawasan pantai barat Sabah sehingga esok (19 Januari).

MetMalaysia dalam kenyataan turut menyatakan amaran cuaca waspada, dengan hujan lebat juga dijangka berlaku di Labuan serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sehingga hari ini.

Kawasan yang terlibat di Sarawak ialah Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang, manakala di Sabah ialah Sandakan (Kinabatangan).

“Selain itu, hujan lebat dijangka di negeri Sabah melibatkan kawasan pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga esok (19 Jan),” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Grafik: METMalaysia
Categories
AGENDA NASIONAL

Perlu buktikan negatif Covid-19 sebelum masuk Labuan

LABUAN, 7 DIS: Semua individu masuk termasuk penjawat awam dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang masuk ke Labuan menerusi laluan udara atau laut perlu menjalani saringan Covid-19 di tempat asal, tiga hari sebelum tiba di pulau bebas cukai itu.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Nurzalizah Kartika Abdullah berkata mereka perlu mendapatkan keputusan negatif dan berdaftar dengan aplikasi MySejahtera di tempat berlepas dan ketibaan.

“Pematuhan tatacara operasi (SOP) bagi syarat kemasukan ke Labuan adalah berdasarkan analisis risiko oleh Jabatan Kesihatan Labuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, mereka yang gagal menjalani saringan sebelum tiba di pintu masuk Labuan – Lapangan Terbang Labuan dan dua terminal feri – perlu menjalani calitan ujian Covid-19 dan akan dikenakan kuarantin sehingga keputusan dikeluarkan.

“Bagaimanapun, individu yang datang ke Labuan tidak perlu memohon permit daripada polis mulai hari ini memandangkan pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih diteruskan.

“Tetapi individu dengan sejarah perjalanan ke luar negara perlu mengemukakan perintah pelepasan oleh KKM dan diuji negatif Covid-19 sebelum dibenar masuk ke pulau itu,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Satu lagi pusat rawatan Covid-19 risiko rendah dibuka di Labuan

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Satu lagi pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 untuk kes berisiko rendah (PKRC) mula beroperasi di Labuan hari ini, bagi menampung peningkatan jumlah kes Covid-19 di wilayah itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata disebabkan bilangan pesakit yang semakin bertambah, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Labuan menyediakan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan dengan kapasiti 140 katil, sebagai tambahan kepada 177 katil di PKRC sedia ada sebelum ini, menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC di Labuan sebanyak 317 katil.

“Pembukaan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan ini adalah hasil kerjasama semua pihak, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Labuan dan agensi lain di Labuan serta Taiwan Buddist Tzu-Chi Foundation Malaysia, Institut Latihan Perindustrian dan beberapa penyumbang lain, yang menjadikan pusat rawatan ini dapat dibuka dalam tempoh 24 jam.

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak atas pendekatan ‘The Whole of Government and Whole of Society Approach’,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata tenaga kerja bagi pusat rawatan baharu itu akan menggunakan sepenuhnya tenaga kerja di JKWP Labuan dan pasukan bantuan yang dihantar di JKWP Labuan, di mana pasukan tersebut akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk memastikan program kawalan Covid-19 di Labuan berjalan lancar seperti yang dirancang.

Katanya sebelum ini, JKWP Labuan meningkatkan kapasiti sedia ada melalui beberapa fasa pembukaan PKRC.

“Untuk menampung kapasiti rawatan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat di WP Labuan, JKWP Labuan meningkatkan kapasiti sedia ada melalui beberapa fasa pembukaan PKRC iaitu fasa pertama (Januari-Mac 2020) dengan menjadikan rumah pelawat dan pusat ‘wellness’ sebagai PKRC dengan kapasiti 16 katil.

“Fasa kedua (Mac-September 2020), memaksimakan ruang di Hospital Labuan dengan tambahan 105 katil, menjadikan kapasiti katil Covid-19 ketika itu meningkat kepada 121 katil, dan fasa ketiga (September-Oktober 2020), melibatkan rundingan penggunaan fasiliti luar iaitu Bahagian Teknologi Pendidikan sebagai PKRC yang berkapasiti 56 katil, menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC sebanyak 177 katil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi rawatan Covid-19 di Hospital Labuan pula, daripada 122 katil di hospital itu, sebanyak 20 katil dikhususkan untuk pesakit kategori 4 dan 5, iaitu sebagai katil ‘Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di Wad Kelas Pertama dan Wad Kanak-kanak.

Katanya, baki 102 lagi katil Hospital Labuan termasuk lima katil ICU sedia ada akan terus digunakan untuk rawatan kes bukan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sanitasi: Kaunter LHDN Labuan, Shah Alam ditutup mulai esok

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Wilayah Persekutuan Labuan dan Shah Alam, Selangor ditutup bermula esok sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata sepanjang tempoh itu, pembayar cukai disaran untuk melakukan urusan percukaian secara dalam talian.

Menurut kenyataan itu, bagi sebarang pertanyaan serta maklum balas, orang ramai boleh menghubungi LHDN menerusi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara) atau HASiL Live Chat atau Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM dipautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB di Labuan kuat kuasa 17 hingga 30 Okt, patuhi SOP – menteri kanan

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 17 hingga 30 Oktober ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan Covid-19 di kawasan tersebut.

“Bagi tatacara operasi piawai (SOP) PKPB di Labuan, semua aktiviti ekonomi termasuk industri dan perkilangan adalah dibenarkan.

“Bagaimanapun, pergerakan keluar masuk merentas negeri tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan dan pekerja yang mempunyai pas pekerja,” katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan.

Mengulas lanjut, beliau berkata memandangkan Labuan merupakan kawasan aktiviti perairan, perkhidmatan pengangkutan air seperti feri Ro-Ro, feri ekspres dan bot laju dibenarkan beroperasi sehingga 6 petang dengan kapasiti terhad selain mematuhi SOP.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu dari Labuan, Sarawak, Semenanjung perlu pas khas masuk Sabah

KOTA KINABALU, 5 OKT: Individu dari Labuan, Sarawak dan Semenanjung Malaysia perlu mengemukakan permohonan pas kebenaran khas kepada Kerajaan Negeri Sabah sekiranya ingin memasuki negeri itu sepanjang Kawalan Rentas Daerah.

Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah menerusi kenyataan semalam memaklumkan pemohonan itu boleh dibuat di laman sesawang https://hednp.sabah.gov.my.

“Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada warganegara yang berasal dari Sabah, pemegang pas dikeluarkan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang berada di Semenanjung, Sarawak, Labuan dan pasangan yang menjalankan perkhidmatan perlu,” menurut kenyataan itu.

Pada Khamis lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah mulai kelmarin (3 Okt) hingga 16 Okt ini.

-BERNAMA