Categories
SELANGOR

MARRIS: ADN Batang Kali disaran buat ‘homework’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 NOV: Ahli Dewan Negeri Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan disaran membuat kerja rumah dan merujuk surat pekeliling diedarkan, pada Disember 2014 berhubung Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

ADN Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, hal itu kerana wakil rakyat Umno terbabit didakwa tidak membuat kerja rumah secukupnya sebelum melemparkan tuduhan melulu kepada Kerajaan Negeri.

“Adakah dia tidak baca surat bertarikh 17 Disember 2014 atau membuat kajian? Kalau betul tidak baca, bermakna dia perlu semak operasi Pejabat Khidmat Masyarakat kenapa ia tidak sampai kepadanya,” katanya dalam sidang media, di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS).

Katanya, surat ditandatangani Timbalan Pengarah Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan , Johary Anuar itu jelas menerangkan keperluan Kerajaan Negeri memindahkan dana MARRIS ke dalam Tabung Amanah Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri di bawah Seksyen 10 Penubuhan Dan Arahan Kumpulan Wang Amanah, Akta Tatacara Kewangan 1957.

Weng San berkata, Mat Nadzari juga gagal memahami definisi penyelenggaraan jalan negeri seperti dikeluarkan dalam pekeliling itu.

“Definasi digariskan pekeliling itu adalah kerja penyelenggaraan rutin mengikut tempoh ditetapkan membabitkan kerja penyelenggaraan pavemen (tampal jalan), penyelenggaraan bahu jalan, pemotongan rumput atau landskap, penyelenggaraan perabot jalan, penyelenggaraan pembetung dan jambatan serta pembersihan longkang.

“Selain itu kerja menyelenggara cerun, jejambat, terowong, elektrik, bil lampu jalan dan lampu isyarat serta hentian bas juga teksi,” katanya.

Semakan SelangorKini mendapati pekililing itu turut menggariskan enam jenis penyelenggaraan berkala seperti mengganti saliran dan membaiki cerun.

Manakala penyelenggaraan kecemasan meliputi tujuh jenis anrtaranya pokok tumbang dan tanah runtuh, sementara pencegahan membabitkan kerja kajian cerun, ketahanan jalan serta lalu lintas.

Categories
NASIONAL

Ku Nan jangan merapu, cakap guna fakta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 APRIL: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor disaran berhenti merapu dan mula berhujah berdasarkan fakta.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, menteri Umno itu seharusnya lebih maklum kenaikan harga makanan sebahagian besarnya didorong kos pengangkutan dan bahan api yang tinggi.

“Saya menggesa Tengku Adnan untuk membaca dan bercakap dengan fakta kerana kadar inflasi terbaru 5.1 peratus sebahagian besar disumbangkan kos pengangkutan dan bahan api lebih tinggi, bukan disebabkan harga makanan atau minuman.

“Jika dia tidak boleh melakukan kemahiran paling asas sebagai menteri iaitu membaca, saya cadangkan beliau meletakkan jawatan,” katanya menerusi status dikongsikan di Facebook, semalam.

Pada 23 April lalu, Tengku Adnan mendakwa institusi pengusaha makanan sedia ada kini dianggotai pemimpin parti pembangkang seterusnya mengenakan caj mahal kepada pengguna.

lau-weng-sanSetiausaha Agung Umno itu juga berkata, persetujuan penetapan harga makanan ditentukan institusi pengusaha makanan.

Pada 19 April lalu, Reuters melaporkan inflasi Malaysia meningkat kepada 5.1 peratus pada Mac, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun sejak November 2008.

Peningkatan tinggi itu eoran asas kiraan rendah dan kenaikan harga bahan api berbanding tahun sebelumnya.

Pada Februari, kenaikan harga barangan pengguna hanya sekitar 4.5 peratus.

Categories
SELANGOR

Van jenazah tak patut jadi mangsa politik Jamal

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 FEB: Van jenazah tidak sepatutnya dijadikan bahan politik individu tidak bertanggungjawab seperti Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunus, tegas wakil rakyat DAP.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, van jenazah adalah aset masjid bertujuan memudahkan urusan kematian atau pengebumian ahli kariah dan masyarakat Islam setempat.

Katanya, kebanyakan van berkenaan merupakan hasil sumbangan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri mahupun dibeli menerusi sumbangan orang awam.

“Perkara ini serius kerana rakyat Selangor seringkali diingatkan bahawa institusi agama Islam tidak boleh dijadikan medan berpolitik oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Maka, harta masjid seperti van jenazah tidak boleh sewenang-wenangnya disalahgunakan Jamal untuk agenda politiknya sendiri,” katanya dalam kenyataan.

lau-weng-sanBeliau turut menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan masjid mahupun individu yang bersengkongkol dengan Jamal.

Semalam, Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim menyatakan rasa kesal pihaknya dengan tindakan manipulasi Jamal terhadap pengurusan masjid.

Katanya, terdapat individu yang mendakwa wakil Gabungan NGO Selangor menghubungi masjid untuk menyewa van jenazah bagi sesi penggambaran, kempen anti judi, pameran dan lain-lain.

“JAIS mohon semua Ahli Jawatankasa Masjid untuk lebih berhati-hati, pada masa hadapan bagi mengelak eksploitasi sama.

“Semak terlebih dahulu program bakal dilaksanakan mana-mana pihak membabitkan institusi masjid supaya tidak disalahgunakan lagi,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Harga minyak ikut budi bicara Perdana Menteri?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tungku, Lau Weng San mempersoal sekiranya mekanisme kadar kenaikan harga minyak semasa ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, persoalan mengenainya wujud susulan peningkatan kadar bahan api negara ini walaupun harga pasaran dunia mengalami penurunan.

“Maklumat terperinci seperti formula pengiraan mekanisme ini masih mejadi tanda soal sehingga ada yang tertanya-tanya kenapa harga tidak turun apabila harga pasaran dunia jatuh.

“Adakah kerajaan sebenarnya tidak mempunyai formula tetap untuk membuat pengiraan? Atau adakah ianya tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri?

“Bukankah benar kalah harga bahan api bergantung kepada perubahan harga pasaran dunia, maka ianya tidak memerlukan campur tangan manusia?” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya berhubung peningkatan 15 sen seliter semua jenis harga bahan api, ketika pasaran harga minyak kini mengalami penurun.

minyak-duniaLebih menimbulkan persoalan, peningkatan kadar harga tersebut merupakan kadar paling tertinggi sejak Januari lalu untuk tempoh 2016.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata Kerajaan Persekutuan sepatutnya menaikkan pada kadar 20 sen seliter.

Bagaimanapun Eng San berkata, sistem formula kiraan harga kadar petrol di negara ini ternyata gagal dan mempunyai kelemahan yang tidak diketahui rakyat.

Semalam, isu kenaikan harga bahan api turut dibangkitkan Ahli Dewan Negeri dalam perbahasan pembentangan Belanjawan Selangor 2017.

Bagaimanapun, majoriti ADN Barisan Nasional memberikan gambaran bahawa rakyat perlu bersyukur kerana Perdana Menteri tidak menaikkan harga petrol sebanyak 20 sen.

-nR-

Categories
SELANGOR

Perkaya bank tanah, elak terlepas kepada swasta

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Negeri digesa terus berusaha memperkaya bank tanahnya dengan memastikan tiada lagi tanah bernilai tinggi terlepas ke tangan swasta.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata  pemilikan tanah bernilai tinggi itu akan terus meningkat dan ia boleh dimanfaatkan kemudian hari untuk pembangunan rakyat.

Memberi contoh cadangan pembelian tanah di Daerah Kuala Selangor oleh Eco World Development Group Bhd, Weng San, berkata urus niaga tanah membabitkan 26 bidang tanah berkeluasan 2,200 ekar itu boleh mencecah RM1.18 bilion sementara Nilai Pembangunan Kasar (GDV) mencecah RM15 bilion untuk tempoh 15 tahun akan datang.

lau weng san pc 05 jul 01“Sudah pasti Eco World sebagai sebuah syarikat hartanah berprofil tinggi membuat kerja rumah mencukupi sebelum membentangkan cadangan ini kepada pemegang saham mereka.

“Saya mohon Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada perkara ini dan memastikan bahawa Selangor tidak lagi kehilangan tanah kepada pihak swasta akibat legasi masa silam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Weng San berkata, kejayaan memperkayakan bank tanah membolehkan Kerajaan Negeri menggunakan sebahagian tanah itu untuk membangunkan rumah mampu milik kepada rakyat.

“Baru-baru ini, syarikat British America Tobacco ingin menjual tanah seluas 500,000 kaki persegi di Seksyen 19, Petaling Jaya.

“Saya bercadang agar kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) agar tidak ketinggalan memastikan tanah ini kembali ke pangkuan Selangor.

“Kerajaan Negeri boleh menggunakan sebahagian daripada tanah itu untuk membangunkan rumah mampu milik,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Perlu dasar lebih holistik perkasa wanita

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Negeri disaran merangka dasar lebih bermakna untuk memperkasakan kaum wanita di Selangor dan tidak terlalu bergantung kepada program Pusat Wanita Berdaya (PWB).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata PWB tidak boleh lagi sekadar mengadakan program kosmestik seperti program memasak.

Katanya, wanita lebih memerlukan penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi dan membantu mereka.

DNS 2016“Antara masalah dihadapi wanita ialah diskriminasi sama ada secara tersirat atau tersurat seperti gangguan seksual, ancaman rogol, gaji yang tidak sama, peluang naik pangkat yang kurang, bayaran yuran taska dan tadika melampung tinggi serta stigma kononnya produktiviti ibu mengandung merosot.

“Semalam, Syarikat Digi Telecommunications mengumumkan penawaran cuti
bersalin selama enam bulan kepada kakitangan wanitanya untuk meraih
kepelbagaian dan mengekalkan bakat dalam kalangan pekerja wanitanya.

“Maka sudah sampai masanya kerajaan merangka dasar baru,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sesi Membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini.

-nR-

Categories
SELANGOR

Bina lebih banyak jambatan rentas hilir Sungai Klang

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Lau Weng San (DAP-Bukit Tunku) mencadangkan Kerajaan Negeri membina lebih banyak jambatan merentasi hilir Sungai Klang bagi menyuraikan aliran trafik yang semakin sesak.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Perancangan Bandar perlu melihat kemungkinan pembinaan jambatan itu bermula daripada jajaran selepas Kuala Lumpur ke Klang.

lau weng sang“Bayangkan kalau ada jambatan merentasi Sungai Klang dari Taman Medan ke Taman Kuchai, USJ ke Puchong, Putra Heights ke Puchong Prima dan Putra Permai ke Kota Kemuning.

“Cadangan ini boleh mengurangkan beban kewangan rakyat yang terpaksa berulang-alik menggunakan lebuh raya bertol,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan Negeri Selangor 2016.

Dalam Belanjawan 2016, Kerajaan Negeri memberikan tumpuan pembangunan infrastruktur dengan projek menaik taraf jalan raya serta memperluas operasi Bas Smart Selangor.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Alat cerap jerebu patut dinaik taraf

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 OKT: Kerajaan Persekutuan diharap dapat menaik taraf peralatan cerapan pencemaran jerebu di kawasan tertentu.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata usaha itu perlu sebagai pelan jangka pendek menghadapi situasi jerebu yang semakin merunsingkan.

Katanya, kerja naik taraf dilakukan di kawasan berkepadatan tinggi dan dekat sempadan seperti Kuching, Johor Bahru dan Lembah Klang.

LAU WENG SAN“Saya setuju dengan kenyataan menteri sebelum ini, namun saya percaya langkah jangka pendek juga perlu dilakukan.

“Benar ia melibatkan kos besar tetapi apa boleh dilakukan ialah menaik taraf di tempat krtitikal,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau diminta mengulas sistem cerapan jerebu yang digunakan Particulate Matter (PM) 10 di Malaysia dan keperluan menukar kepada sistem lebih canggih seperti PM2.5 di Singapura.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pelaksanaan sistem PM2.5 menelan peruntukan sepuluh kali lebih tinggi berbanding negara pulau itu yang hanya memerlukan lima mesin sahaja berbanding 50 di Malaysia.

Pada masa sama, Weng San mengalu-alukan ketegasan Malaysia bersama Singapura terhadap Indonesia dalam isu jerebu.

“Saya juga pernah ‘tag’ surat terbuka kepada Presiden Joko Widodo pada September lalu bagi menggesa Kerajaan Indonesia mengambil tindakan tegas kepada mereka yang menyalahi undang-undang hingga mengundang masalah global ini,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Tol naik mendadak, apa Kerajaan Persekutuan buat?

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 OKT: Kerajaan Persekutuan dilihat lemah dan terus gagal menangani masalah kenaikan tol di sekitar Lembah Klang.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata dalam sesuatu kes Kerajaan Persekutuan boleh menggunakan kaedah tertentu untuk mengambil balik lebuh raya yang ada.

KUALA LUMPUR, 19 Julai -- Keadaan Plaza Tol Gombak mula sesak pada waktu tengah hari tadi setelah sebahagian warga kota mula pulang ke rumah masing-masing untuk mula bekerja semula esok. --fotoBERNAMA (2015) HAK CIPTA TERPELIHARA KUALA LUMPUR, July 19 -- Gombak toll plaza was congested during the afternoon today as the city folks begin to return to their homes to start work again tomorrow. --fotoBERNAMA (2015) COPYRIGHT RESERVED

Katanya, langkah ini dapat memastikan kenaikan tol dikawal, dikurangkan atau dihapuskan terus.

“Seperti Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), pemegang konsesi sudah mendapat balik keuntungan mereka sejak mereka mula beroperasi kerana tempoh konsesi mereka sudah lama.

“Maka, ‘expropriation clause’ boleh digunapakai,” katanya.

Bermula 15 Oktober ini (esok), sebanyak 11 lebuh raya mula beroperasi dengan kadar tol baru.

Mengulas lanjut, Weng San berkata kerajaan juga boleh menggunakan kedudukannya untuk sekurang-kurangnya berunding semula dengan syarikat konsesi.

lau weng san pc 05 jul 01“Setelah tempoh tertentu apabila mereka sudah menjana keuntungan secukupnya, konsesi harus dibuka semula untuk ditender dalam pasaran terbuka supaya penender menawarkan kadar tol terendah diberi hak konsesi untuk sesuatu tempoh.

“Ini penting untuk memecah monopoli yang sedia ada,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Yunus: Kecil pada kita, ‘besar’ bagi orang luar

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MEI: Beberapa isu yang berbangkit di Selangor adalah proses mendewasakan Pakatan Rakyat (PR)di negeri itu, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Beliau berkata demikian ketika menyentuh isu teguran Adun Kampung Tunku, Lau Weng San terhadap sistem penyampaian Kerajaan Negeri.

jais kuala langat 1“Saya fikir persembahan kita setakat ini cukup baik. Cuma, memang ada sedikit kelemahan di sana dan kadang-kadang bukan suatu perkara besar tetapi apabila permuafakatan tidak diolah dengan baik, maka nampak tak baiklah.

“Dengan bermesyuarat, kita mampu menyelesaikan sebarang isu walaupun besar. Tetapi, benda kecil kalau kita tak dapat buat dengan perbincangan, maka akan jadi besar pada mata orang luar,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa DAP mengakui pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lebih cekap berbanding Mohamed Azmin Ali

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Weng San yang berkata beliau tidak pernah menyatakan pentadbiran Abdul Khalid lebih cekap hanya kerana jawapannya lebih lengkap.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Guna saluran dalaman, elak terus kepada media

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 MEI: Adun Selangor dinasihatkan supaya berhati-hati menggunakan saluran media untuk membangkitkan isu atau pertanyaan bagi mengelakkan perspektif berbeza.

Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari berkata, lebih baik jika wakil rakyat menggunakan saluran dalaman untuk mendapatkan maklumat berhubung urusan negeri.

yaakob interview yellow stripe 01“Saya menasihatkan Adun supaya mengunakan saluran dalaman untuk dapatkan maklumat, bukan terus kepada media kerana ia akan mempengaruhi persepsi berbeza,” katanya melalui status di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai respon dakwaan media bahawa DAP mengakui pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lebih cekap berbanding Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San yang berkata beliau tidak pernah menyatakan pentadbiran Abdul Khalid lebih cekap hanya kerana jawapannya lebih lengkap.

Mengulas lanjut, Yaakob berkata, isu itu tidak perlu diperbesarkan lagi kerana Weng San sudah memohon maaf kepada Mohamed Azmin atas kekeliruan yang berlaku.

Lau Weng San 01“Beliau hanya mohon maklumat tambahan berkenaan penamatan kontrak kakitangan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC). Jadi, idak timbul pejabat Menteri Besar lambat respon kerana maklumat itu boleh diperolehi segera dalam mesyuarat biasa.

“Saya dapati Dato’ Menteri Besar muda lebih bertenaga dan dapat menyelesaikan permasalahan rakyat dengan segera,” katanya.

Terdahulu, DAP Selangor menggesa Mohamed Azmin Ali untuk mendedahkan gaji, elaun dan bonus pegawai atasan GLC bagi memelihara aspek ketelusan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Weng San: “Maaf jika kesilapan ini timbulkan salah faham”

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 MEI: Dakwaan bahawa DAP mengakui pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lebih cekap berbanding Mohamed Azmin Ali tidak tepat.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, jawapan yang diterima lebih lengkap ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pada Mac 2012.

“Laporan ini tak tepat kerana isu yang dibincangkan dalam sidang media saya bertarikh 18 Mei tiada kaitan dengan DAP.

lau weng san“Kedua, perkataan lengkap tak boleh disama erti dengan cekap. Saya tak bermaksud pentadbiran Abdul Khalid lebih cekap hanya kerana jawapannya lebih lengkap,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau dalam pertanyaan bertulis kepada Mohamed Azmin mahu Kerajaan Negeri menyenaraikan gaji, elaun dan bonus kakitangan atasan GLC, pada Mac lalu.

Namun, jawapan bertulis yang diterima menggesa Weng San mengemukakan permohonan bertulis kepada Mohamed Azmin atau setiausaha dewan.

Jawapan itu turut mengingatkan beliau supaya bertanggungjawab atas maklumat yang tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Ekoran itu, beliau menerima respon daripada pihak Dato’ Menteri Besar pada 18 dan 19 Mei lalu berkenaan jawapan yang diterimanya ketika sidang DNS itu.

Katanya, Mohamed Azmin memaklumkan sudah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk mempercepatkan pemprosesan maklumat berkenaan.

dns“Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar dan pejabatnya kerana prihatin dengan isu yang dibangkitkan.

“Sememangnya, ketelusan dan keterbukaan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat adalah mercu tanda yang perlu dipertahankan setiap masa,” katanya.

Beliau turut mengakui sudah menulis kepada Pejabat Menteri Besar dalam jawapan bertulis yang diterimanya dan hanya menunggu tindakan selanjutnya.

“Saya memohon maaf jika kesilapan ini menyebabkan perselisihan faham yang tak diperlukan. Saya juga kesal dengan kesilapan laporan ini dan memohon pihak berkenaan memperbetulkannya secepat mungkin,” katanya.

-NFN-