Categories
NASIONAL

Pengecualian Cukai Eksais : Rakyat Asing Dahulukan, Rakyat Sendiri Ditekan

lau weng san pc 05 jul 01

SHAH ALAM 5 JULAI : Kerajaan Persekutuan Umno-BN didakwa mengambil sikap diskriminasi terhadap rakyat tempatan apabila memberi pengecualian cukai eksais dan cukai jualan kenderaan kepada warga asing.

Menurut Adun Kampung Tunku, Lau Weng San pengecualian itu diberikan kepada warga luar yang menyertai program ‘Malaysia My Second Home’ (Malaysia Rumahku Kedua atau MM2H).

Weng San berkata wa berdasarkan laman web MM2H, peserta program itu dibenarkan untuk membeli sebuah kenderaan pemasangan tempatan (Complete Knock Down-CKD) tanpa perlu membayar cukai-cukai terbabit.

“Dalam Pakatan Rakyat kita menuntut Umno-BN supaya mengurangkan harga kereta dan menghapuskan cukai eksais, namun tidak diberi perhatian.

Selepas Pilihanraya Umum ke 13, Umno-BN memaklumkan harga kereta akan turun secara berperingkat tetapi mereka menegaskan tidak akan menghapuskan cukai eksais kerana ia menyumbang cukai sebanyak RM7 bilion.

“Mengapakah Kerajaan Pusat sanggup memberi pengecualian cukai eksais dan cukai jualan kepada warga luar negara yang mengambil bahagian dalam MM2H sedangkan rakyat sendiri tidak dibenarkan menikmati pengecualian ini?

“Adakah bermakna cukai rakyat yang disumbangkan kepada Kerajaan Pusat masih tidak cukup untuk rakyat terima layanan itu? soalnya dalam sidang media, di Bangunan Annexe, Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Weng San menambah percanggahan itu menunjukkan ketidakseimbangan dan kepincangan dasar-dasar Kerajaan Pusat yang diterajui oleh Umno-BN.

“Seharusnya rakyat Malaysia harus didahulukan dalam mana-mana dasar kerajaan. Apa yang kita perhatikan, ia berlaku sebaliknya.

Saya sangat berharap rakyat dapat membeli kereta berkualiti tinggi dengan harga yang lebih rendah melalui pengurangan cukai-cukai itu bagi mengurangkan beban mereka,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Majikan Perlu Sedia Pusat Asuhan Bermula 2014

rodziah DUN soal jawab 01

SHAH ALAM 3 JULAI : Kerajaan Negeri akan menguatkuasakan undang-undang kepada majikan supaya mewujudkan pusat asuhan bermula 2014.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata ia sebagai usaha Kerajaan Negeri untuk dasar membantu wanita bekerja di negeri ini.

Katanya, kaum wanita memerlukan bantuan daripada kerajaan daripada segi dasar untuk membantu mereka menempuh di alam pekerjaan tanpa terlalu bimbang dengan anak-anak kecil.

“Kerajaan Negeri kini sedang mengusahakan untuk mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak bagi wanita bekerja yang tidak mampu mengupah pembantu rumah dan perkara itu sudah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Disember lalu dan beberapa cadangan turut dikemukakan,” katanya bagi menjawab pertanyaan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Rodziah berkata antara cadangan itu ialah mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Undang-undang kecil mengarahkan setiap pasaraya besar menyediakan pusat asuhan bagi kegunaan pekerjanya.

Selain itu, pihaknya sudah berbincang dengan persatuan perkilangan untuk menyediakan taman asuhan di kawasan kilang.

“Kita juga menggalakan pusat jagaan yang mengambil tidak lebih sembilan kanak-kanak berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya memilik sijil yang diiktiraf iaitu Sijil Pengasuhan Kanak-Kanak.

“Setakat ini, kita juga mendapati terdapat pasaraya yang sudah memulakan menyediakan pusat-pusat asuhan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Rodziah memaklumkan sehingga Jun 2013, sebanyak 2,961 pelajar sudah menerima manfaat daripada program Tunas.

“Program Tunas baru dilaksanakan penggal lepas, tetapi ia akan diteruskan. Kita akan meminta semua Adun terlibat secara langsung dan kita akan menyerahkan sumbangan itu kepada Adun supaya mereka memberikan kepada tadika yang terlibat,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Talian Bantuan BN Dicaj Sebanyak 4 Sen

Lau Weng San 01

SHAH ALAM 22 JAN : Keikhlasan Umno-BN membantu rakyat menerusi talian aduan dipersoal Adun Kampung Tunku, Lau Weng San apabila ia dikenakan caj sebanyak empat sen.

Tegas Weng San, sekiranya BN benar-benar mendahulukan rakyat sepertimana yang dilaung-laungkan dalam kempen mereka, caj seperti ini tidak seharusnya timbul.

BN sebelum ini menyediakan perkhidmatan Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) BN di talian 1-300-22-2626 bagi membolehkan orang ramai memanjangkan sebarang aduan kepada wakil BN.

“Talian yang bermula dengan 1 300 ini dikenakan caj sebanyak empat sen bagi setiap minit jika panggilan dibuat daripada talian tetap.

“Jika aduan dibuat melalui panggilan telefon bimbit, caj yang lebih mahal lagi akan dikenakan.

“Kononnya nak membantu menyelesaikan masalah rakyat tetapi rakyat juga akhirnya terpaksa menanggung beban caj panggilan,” jelas Weng San yang dihubungi.

Berbeza dengan BN, Weng San berkata, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan lebih ikhlas dengan menyediakan talian bebas tol 1800-88-2824 bagi membolehkan rakyat membuat aduan mengenai masalah sampah khususnya.

Malah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga mengambil langkah menyediakan talian bebas tol yang lain untuk orang ramai mengajukan masalah.

“Tindakan sebeginilah yang memperlihatkan keutamaan kepada rakyat, bukannya retorik kosong semata-mata.

“Inilah antara kekurangan yang ditonjolkan BN dalam usaha memenangi rakyat yang mana mereka perlu perbaiki lagi jika mereka benar-benar ikhlas dan bersedia untuk membantu,” ujarnya lagi.

Categories
SELANGOR

Kurang Komitmen Pengurusan Bangunan Punca Sukar Dapat Rebet Air Percuma

SHAH ALAM 19 NOV : Ketiadaan pengurusan bangunan yang sah dan bertanggungjawab serta kurang komitmen bagi menguruskan pengagihan rebet air percuma kepada penduduk antara punca pendudukdi pangsapuri tidak mendapat subsidi air percuma 20 meter padu.

Hal itu melibatkan 3,500 unit yang melibatkan 14 kawasan pangsapuri kos rendah di seluruh negeri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lau Weng San (DAP- Kampung Tunku).

Bagaimanapun, sebanyak 59,127 unit rumah kos rendah di 214 kawasan pangsapuri kos rendah yang masih menggunakan meter pukal sudah menerima rebet air percuma.

Daripada jumlah itu sebanyak 5,254 unit bagi kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam ;16,604 unit di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya ; 8,893 unit di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya ; 13, 510 unit di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan 6,590 unit di kawasan Majlis Perbandaran Klang.

Selain itu, 5,789 unit bagi kawasan Majlis Perbandaran Selayang ; 3,798 unit di kawasan Majlis Perbandaran Kajang ; 125 unit di kawasan Majlis Perbandaran Sepang ; 300 unit di kawasan Majlis Daerah Hulu Selangor dan 352 unit di kawasan Majlis Daerah Kuala Langat.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Pusat Digesa Laksana Audit Jambatan Kedua Pulau Pinang

 

SHAH ALAM, 27 OGOS : Kerajaan Pusat digesa melaksanakan audit segera terhadap rancangan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang dari Batu Kawan ke Batu Maung.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San berkata pada Jumaat lepas dunia dikejutkan jambatan yang berharga berjuta-juta dolar di Harbin, Timur Laut China yang dibuka pada bulan November 2011 runtuh dan menyebabkan tiga orang terkorban dan lima cedera.

Menurut agensi berita Xinhua, empat Lori terjatuh dari Jambatan Yangmingtan di Harbin City, wilayah Heilongjiang, apabila sebahagian daripada runtuh.

Diilaporkan bahawa pembinaan kurang bermutu dan lebih muatan menyebabkan kejadian itu berlaku.

“Apa yang lebih membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia adalah bahawa kontraktor yang membina Jambatan Yangmintan adalah China Communications dan Pembinaan Company Ltd, merupakan subsidiari kepada China Harbour Engineering Company Ltd yang bekerjasama dengan UEM Builders Sdn Bhd,

“Ia adalah sebuah Subsidiari kepada UEM Group Malaysia (UEM) untuk membina Jambatan Kedua Pulau Pinang dari Batu Kawan ke Batu Maung di Pulau Pinang,” kata Weng San dalam kenyataan medianya.

Tambah Lau insiden di China itu didakwa berlaku disebabkan oleh pembinaan kurang bermutu dan membebankan walaupun jambatan itu baru dibuka hanya sembilan bulan.

Ia dibina pada kos sebanyak RMB1.88 bilion (RM878.23 juta).

“Menurut laporan media di China, lebuh raya itu hanya dibuka kepada orang ramai pada Januari 2011 tetapi ia runtuh dua kali dalam tempoh kurang daripada dua tahun,” kata Lau.

Oleh itu, juruaudit bebas mesti dilantik pasukan yang terdiri daripada pakar-pakar teknikal untuk mengkaji pembinaan secara berterusan terhadap Jambatan Pulau Pinang Kedua yang ditetapkan untuk siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Ini juga adalah untuk memastikan bahawa ia mematuhi semua langkah-langkah keselamatan dan mencegah dari mengalami nasib yang sama.

“Laporan audit perlu diadakan secara berkala dan laporan perlu juga umumkan untuk memastikan bahawa pembinaan jambatan itu akan sentiasa mematuhi semua langkah-langkah untuk mengelakkan sebarang kejadian yang sama, seperti dalam kes Jambatan Yangmingtan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemegang MyKad Merah Berhimpun 27 Mei

SHAH ALAM, 14 MEI : Berlarutan sejak sekian lama tanpa pemegang MyKad merah dari seluruh Selangor dan negara akan mengadakan satu perjumpaan di Dewan Hamzah, Klang pada 27 Mei depan.

Perjumpaan yang dianjurkan kerajaan negeri bertujuan menyelesaikan isu membelenggu masyarakat India yang tinggal di ladang-ladang yang menghadapi masalah bagi mendapatkan MyKad biru dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, Selangor sendiri sebagai negeri maju dianggarkan terdapat beribu orang di kalangan masyarakat India yang menghadapi masalah berkenaan serta orang Cina, Melayu dan Orang Asal.

Kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan perhimpunan ini kerana Kerajaan Pusat menjelaskan akan mengambil tindakan segera bagi meenyelesaikannya sekiranya segala maklumat diberikan.

“Menteri Dalam Negeri atau kerajaan BN kata kalau kita boleh serahkan nama pemegang MyKad merah ini, mereka akan ambil tindakan secepat mungkin. Sebab itu kita ambil cabaran ini.

“Orang-orang ini dianggap sebagai warganegara Malaysia kerana lahir dan bekerja di negara ini tetapi akhirnya lebih dari 55 tahun, tiada sebarang bantuan diberi Kerajaan Pusat kerana mereka pemegang MyKad merah. Mereka ini juga tidak boleh mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Taman Medan, Haniza Talha dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San.

Bagi mencari jalan penyelesaian, Dr Xavier berkata, kerajaan negeri berusaha menghimpunkan golongan itu dalam majlis itu yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

Katanya, kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Adun, pertubuhan bukan kerajaan(NGO), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua Komuniti dan selainnya diperlukan bagi menghimpunkan kesemua mereka termasuk membantu kalangan yang uzur dan tua serta kanak-kanak yang dikesan turut tidak memiliki sijil kelahiran.

Menurutnya, mereka diminta membawa dokumen seperti MyKad merah, dokumen perkahwinan dan yang berkaitan bagi memudahkan segala bukti dikumpulkan.

“Semua data-data ini kita akan hantar kepada Menteri Dalam Negeri untuk diambil tindakan selanjutnya. Dalam majlis ini, saya harap dan jangkakan lebih 1,500 orang akan hadir. Kita juga akan menjemput pihak Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) untuk hadir,” katanya yang mempersoalkan isu pendatang asing yang didakwa memiliki MyKad biru tetapi golongan berhak dinafikan haknya.

Categories
SELANGOR

DNS gesa Kerajaan Pusat Hapus Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau

SHAH ALAM 27 MAC : Dewan Negeri Selangor(DNS) hari ini menggesa Kerajaan Pusat menghapuskan kutipan tol di Lebuhraya Persekutuan II, iaitu di Sungai Rasau dan Batu Tiga.

Usul itu dikemukakan oleh Adun Kampung Tunku, Lau Weng San di bawah Peraturan Tetap 26 (1) dan dipersetujui oleh Speaker, Datuk Teng Chang Khim.

Weng San berkata, hal itu perlu dibuat selaras dengan pemansuhan tol Cheras-Kajang oleh Kerajaan Pusat.

Katanya, sejak tahun 1995, tol itu merupakan jalan utama bagi penduduk Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.

“Sejarah pembangunan jalan itu selepas pemisahan Singapura dari Malaysia dan menjadikan Klang sebagai pelabuhan utama, jadi pada tahun 1974 lebuh raya itu dibina yang asalnya empat lorong kecuali Petaling Jaya enam lorong.

“Selepas tahun 1995, Projek Lebuhraya Utara Selatan(Plus) dipilih oleh Kerajaan Pusat untuk menaiktaraf dan mengenakan kutipan tol sebanyak RM1.10 bagi kereta di tol Batu tiga dan RM1.00 bagi tol Sungai Rasau.

“Jadi jumlah pergi dan balik sebanyak RM4.20 setiap hari bagi penduduk yang melalui jalan itu setiap hari, lebih-lebih lagi kawasan Lembah Jaya, Klang, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam akan dikenakan tol yang mahal setiap hari,” katanya.

Beliau berkata selain tol yang mahal setiap hari, penduduk juga terpaksa mengalami masalah kesesakkan lalu lintas yang amat teruk.

“Setiap hari, lebuh raya itu menampung lebih 30,000 kenderaan dan kapasiti ini meningkat setiap waktu puncak. Ini akan memeritkan lagi pengguna,”katanya.

Usul itu turut dipersetujui oleh Adun Kota Alam Shah, M.Manoharan.

M.Manoharan berkata. dengan terhapusnya tol berkenaan ia dapat membantu golongan miskin di negeri ini.

Categories
SELANGOR

Kilang Radioaktif Tidak Boleh Di Selangor

SHAH ALAM, 27 MAC : Dewan Negeri Selangor hari ini meluluskan usul bagi menolak sebarang permohonan pembinaan kilang-kilang pemprosesan bahan radioaktif di Selangor.

ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San berkata industri bahan radioaktif adalah amat berisiko dan memerlukan kos dan kepakaran yang tinggi.

“Industri yang melibatkan penggunaan radioaktif adalah sangat berisiko tinggi untuk dilaksanakan kerana memerlukan beberapa aspek yang perlu di ambil kira sebelum kita melaksanakannya,” ujar Weng San yang membentangkan usul tersebut.

Rakyat juga telah menolak pembinaan loji-loji yang serupa dan ini ditunjukkan di dalam himpunan 110,000 rakyat memprotes loji Lynas di Kuantan, Pahang baru baru ini.

Weng San menambah gempa bumi 8.9 richer yang mencetuskan tsunami dan pemusnahan stesen jana nuklear pada 2011 harus menjadi contoh terbaik buat rakyat menilai keselamatan bahan radioaktif.

Menyokong usul tersebut, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari turut berkata rakyat tidak seharusnya tergesa-gesa untuk mengejar pembangunan tanpa memikirkan kesannya yang akan ditanggung oleh generasi akan datang.

“Manusia tergesa-gesa mengejar pembangunan yang mengatasi kekangan dan halangan akan memudaratkan generasi akan datang.?

Usul tersebut disokong oleh ADUN Pakatan Rakyat dengan sebulat suara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Weng San : Tuduhan Liar Noh Omar Hina DUN Selangor

SHAH ALAM,13 MAC : Timbalan Ketua Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Adun Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun perlu mengemukakan bukti jika mereka benar-benar ingin menghentikan penyelewengan pasir dan bukan sewenang-wenangnya membuat tuduhan liar.

Menurut Adun Kampung Tunku, Lau Weng San, kenyataan Noh Omar dan Wong Koon Mun ini sebenarnya satu kenyataan yang menghina Dewan Undangan Negeri Selangor dan kedua-duanya boleh didakwa dan dihukum di bawah Enakmen Penghinaan Dewan Negeri Selangor.

“Saya menggesa Noh Omar dan Wong Koon Mun untuk segera menarik balik semua tuduhan yang tidak berasas dan memohon maaf kepada Dewan secara terbuka. Pada masa yang sama, eloklah untuk mereka menyerah sebarang bukti dalam pegangan mereka kepada SELCAT jikalau mereka benar-benar ikhlas.

“Malahan kenyataan ini amat memalukan Malaysia di persada antarabangsa kerana terdapat menteri kabinet di Malaysia yang berani mencabar keutuhan Dewan,” kata Weng San dalam kenyataan medianya.

Menurut Weng San, kegagalan Noh Omar berbuat demikian amat menyangsikan iaitu adakah Noh Omar benar-benar mempunyai bukti yang kukuh ataupun ianya hanya tuduhan-tuduhan kosong untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di Selangor.

“Malahan Noh Omar juga pernah berkata bahawa mereka mempunyai bukti untuk membuktikan tuduhan mereka. Jikalau begitu, mengapa sehingga sekarang Noh Omar tidak mampu menunjukkan apa-apa bukti walau sehelai muka surat pun?

“Ataupun ianya hanya sandiwara murahan rekaan Noh Omar yang bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar? Kalau Noh Omar mempunyai bukti, maka beliau harus mengemukakan kepada SELCAT ataupun membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membendung gejala ini,” tegas Weng San.

Tambah Weng San lagi, sebagai menteri, Noh harus sedar bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu untuk tidak melaporkan satu perbuatan rasuah yang diketahuinya kepada SPRM untuk siasatan lanjutan.

“Harus diingatkan bahawa SELCAT memang bukan sebuah mahkamah kerana ianya merupakan sebuah Jawatankuasa Pilihan (Select Committee) yang ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor bagi menyiasat sebarang tindakan salahlaku oleh pihak kerajaan. Dalam perkataan lain, peranan yang dimainkan oleh SELCAT ialah untuk menyemak dan mengimbang (check and balance) pihak pentadbiran.

“Sebagai sebuah jawatankuasa pilihan, SELCAT tidak ada kuasa untuk menghukum mana-mana individu tetapi mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana saksi bagi memberi keterangan secara terbuka melalui pendengaran awam bagi mana-mana isu yang berkepentingan awam,” ujar beliau.

Weng San berkata pemberian keterangan secara terbuka ini membantu dalam mempertingkatkan tahap ketelusan dalam pentadbiran awam kerana saksi-saksi yang dipanggil akan terletak di bawah pemantauan awam (public scrutiny).

“Konsep jawatankuasa pilihan ini merupakan satu pembaharuan dalam menjalankan fungsi-fungsi parlimen di kebanyakan Negara Komanwel dan ianya dipelopori oleh Parlimen Britain sehingga Perdana Menteri Britain pun boleh dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan jawatankuasa pilihan,” kata Weng San.

Categories
NASIONAL

Pengundi Pos Menjadi Penentu Kawasan Kuala Kubu Bharu.

SHAH ALAM 20 FEB: Pakatan Rakyat mendakwa ada usaha untuk menjadikan anggota askar di kawasan Kuala Kubu Baru sebagai pengundi penentu atau “kingmaker” di dalam pilihanraya akan datang.

Ini berikutan penambahan mendadak populasi pengundi pos di kerusi DUN tersebut sehingga 400 orang, majoriti mereka dipercayai anggota yang menetap di kem regimen semboyan.

ADUN Kampung Tunku Lau Weng San berkata oleh kerana majoriti kemenangan di kerusi Kuala Kubu Baru sekitar 480 undi sahaja, sokongan pengundi pos tersebut akan menjadi kritikal.

“Jadi kita menyeru orang Kuala Kubu Baru yang menetap di tempat lain supaya semak butiran mengundi mereka dan balik ke Kuala Kubu Baru untuk membuang undi.

“Masa depan Kuala Kubu Baru tidak boleh dibiarkan untuk ditentukan sekumpulan askar sahaja,” Lau berkata di dalam satu sidang media di sini hari ini.

Beliau yang ditemankan penyelaras DUN Kuala Kubu Baru Law Suet Peng dan pegawai perhubungan kampung baru Cina Chng Boon Lai menunjukkan senarai 400 pengundi pos yang baru didaftarkan di kawasan tersebut.

Lau juga mendakwa berlaku pemindahan pengundi yang berdaftar di dalam Kuala Kubu Baru ke Batang Kali tanpa pengetahuan atau permintaan mereka.

Sekumpulan pengundi yang daripada sebuah Kampung Baru Cina di dalam Ulu Yam itu mendakwa mereka telah dipindahkan ke kawasan Batang Kali yang bersebelahan dengan Kuala Kubu Baru.

Ini berlaku walaupun kampung tersebut terletak di dalam sempadan Kuala Kubu Baru.