Categories
AGENDA NASIONAL

Awas sindiket penipuan guna WhatsApp, nama LHDN

CYBERJAYA, 24 JUL: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan beberapa sindiket penipuan melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp yang mengugut orang menggunakan nama lembaga itu.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata, terdapat sindiket menggunakan resit rasmi pembayaran cukai pendapatan LHDN yang dipalsukan dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.

“Sindiket menghantar mesej berupa ugutan yang mengarahkan orang ramai untuk memindahkan sejumlah wang ke akaun bukan milik LHDN dan akan dikenakan tindakan mahkamah sekiranya tidak mematuhi arahan yang diberikan,” kata LHDN.

LHDN berkata, modus operandi menggunakan panggilan telefon pula adalah dengan menyamar sebagai pegawai lembaga itu.

Menurutnya, penyamar tersebut akan memaklumkan mangsa mempunyai kes jenayah seperti dadah atau pengubahan wang haram dan kemudiannya panggilan tersebut akan disambungkan dengan talian palsu pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperdaya mangsa.

LHDN menegaskan pihaknya tidak menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium komunikasi rasmi dengan pembayar cukai dan juga panggilan telefon dengan menggunakan nama agensi awam lain.

“Sebarang urusan berkaitan pematuhan cukai hanya dilakukan menerusi kaedah panggilan telefon, surat rasmi dan e-mel rasmi daripada Hasil Care Line, Jabatan dan Cawangan LHDN,” katanya.

Sehubungan itu, LHDN menasihatkan orang ramai terutamanya pembayar cukai agar berwaspada dengan taktik sindiket itu dan segera membuat laporan polis sekiranya telah terpedaya dan jangan panik apabila menerima panggilan atau mesej sedemikian.

Katanya sebarang surat, e-mel, mesej atau panggilan telefon yang meragukan berkaitan LHDN hendaklah disahkan terlebih dahulu dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436 atau Customer Care Officer di setiap cawangan LHDN. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

LHDN terima 486,360 kes pengakuan sukarela pembayar cukai

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima sejumlah 486,360 kes pengakuan sukarela pembayar cukai yang menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), sehingga 23 Jun lepas.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah memberitahu Dewan Rakyat bahawa PKPS yang bermula dari 3 November tahun lepas sehingga 30 September tahun ini, menawarkan penalti yang lebih rendah iaitu antara 10 dan 15 peratus berbanding penalti sehingga 300 peratus di luar tempoh PKPS.

“Pengakuan sukarela yang kita terima sedang diproses oleh LHDN. Jumlah kutipan cukai akan kita umumkan pada akhir tahun,” katanya ketika menjawab soalan Wong Kah Woh (BN-Ipoh Timur) mengenai rasionalisasi pelaksanaan PKPS dan jumlah pembayar cukai yang telah menyertai skim itu, serta jumlah cukai tambahan yang telah dikutip hasil daripada pelaksanaan skim tersebut.

Katanya, antara kategori yang termasuk dalam PKPS ialah melaporkan pendapatan yang belum atau pun kurang dilaporkan, perbelanjaan terlebih tuntut atau pun tidak dibenarkan, pelepasan, potongan rebat terlebih tuntut.

Turut termasuk dalam PKPS ialah melaporkan keuntungan pelupusan aset iaitu hartanah dan saham dalam syarikat hartanah dan penyetemen surat cara yang belum disetem.

Katanya, setelah pengakuan sukarela diterima dan diproses, surat persetujuan pelepasan akan dikeluarkan oleh LHDN, dan tindakan audit atau siasatan tidak akan dibuat pada masa akan datang kepada pembayar cukai untuk tahun taksiran pengakuan dibuat.

Menjawab soalan tambahan Wong mengenai pendekatan kerajaan dalam mengutip cukai, Amiruddin berkata, kerajaan mengambil pendekatan mesra pembayar cukai termasuk inisiatif PKPS dalam menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan.

Katanya, kerajaan juga akan menggunakan kemudahan Pertukaran Maklumat Automasi (AEOI) Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bagi mendapatkan maklumat pemegang akaun bank di luar negara bagi mereka yang enggan membuat pengakuan. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Laporan: Najib dituntut bayar cukai tambahan RM1.5 bilion

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 APR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai tambahan RM1.5 bilion kepada Datuk Seri Najib Razak untuk tempoh tujuh tahun sehingga 2017.

Jumlah itu tidak termasuk cukai yang sudah dibayar oleh mantan Perdana Menteri itu berdasarkan pendapatannya sejak 2011, lapor The Edge Financial Daily.

LHDN dilaporkan sudah menghantar surat untuk mengutip cukai tambahan itu kira-kira seminggu lalu.

Najib didakwa tidak mengisytiharkan cukai pendapatan hampir RM4 bilion termasuk RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, Najib menegaskan wang itu sumbangan daripada seorang putera Arab Saudi namun ada laporan menyebut wang ini berasal daripada tiga syarikat lain hasil penyelewengan 1MDB.

Pakar cukai berpandangan dana itu tetap dianggap pendapatan yang boleh dikenakan cukai walau ada dakwaan ia diseleweng daripada syarikat pelaburan, lapor akhbar niaga itu lagi.

“Semua pendapatan dikenakan cukai sama ada ia peroleh secara sah atau tidak,” kata pakar terbabit, yang tidak dinamakan.

“Jika ia adalah hasil haram, terpulang kepada agensi lain seperti polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat jika berlakunya jenayah.

“Mengikut kefahaman LHDN, ia (RM2.6 bilion) dianggap cukai,” katanya.

Categories
EKONOMI

Kerajaan tetap sasaran baharu cukai langsung RM150 bilion

CYBERJAYA,1 MAC: Kerajaan menetapkan sasaran baharu kutipan cukai langsung Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun ini sebanyak RM150 bilion berbanding sasaran awal sebanyak RM147 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sasaran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini pada kadar 4.9 peratus yang perlu disusuli dengan pertambahan kutipan cukai sewajarnya.

“Dengan kemampuan LHDN mendapatkan kutipan lebih tinggi dan rakyat lebih sudi membayar cukai kerana yakin kerajaan yang bersih tidak akan merompak duit mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Hasil 2019, di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, sebelum ini kerajaan meletakkan sasaran kutipan cukai langsung sebanyak RM147 bilion bagi tahun ini, peningkatan sebanyak 7.27 peratus berbanding 2018.

Katanya, LHDN mencipta sejarah pada tahun lepas apabila mencatatkan kutipan cukai langsung berjumlah RM137.035 bilion iaitu meningkat RM13.723 bilion atau 11.13 peratus lebih tinggi berbanding 2017.

“Pencapaian kutipan ini mencerminkan ekonomi negara berada di landasan kukuh seiring dengan pengenalan tadbir urus Kerajaan Persekutuan memperkasakan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT),” katanya.

Mengenai bayaran balik cukai pendapatan, Guan Eng berkata setakat Januari lepas, RM1.64 bilion telah dibayar melmbabitkan lebih 32,000 kes merangkumi kes syarikat (18,215), bukan syarikat (14,082 ) dan duti setem (162).

Katanya pembayaran balik tunggakan cukai RM37 bilion merangkumi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan pada tahun ini dijangka selesai dalam tempoh 10 bulan atau dalam tempoh lebih singkat.

“RM19.4 bilion (GST) dan kira-kira RM18 bilion bagi cukai pendapatan. Perbezaan pada tahun ini ialah anda akan mendapat bayaran balik awal,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, lebih 203,000 pengakuan sukarela direkodkan LHDN daripada pemilik akaun bank di dalam dan luar negara di bawah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), membabitkan cukai tambahan dan penalti ditaksir sekitar RM1.306 bilion.

“Ini merupakan petunjuk positif ke arah mencapai sasaran kutipan keseluruhan hasil bagi tahun 2019,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

LHDN lancar sistem eP, portal Pembekal tambah baik perkhidmatan

CYBERJAYA, 13 FEB: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan sistem ePerolehan (eP) dan portal Pembekal sebagai usaha berterusan menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada pembekal, penyebut harga atau petender yang berurusan dengan lembaga itu.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata, sistem eP itu adalah sistem pengurusan perolehan secara elektronik yang akan menjadi platform bagi syarikat untuk menyertai tawaran perolehan perkhidmatan, bekalan atau kerja daripada LHDN.

“Perkhidmatan yang ditawarkan melalui sistem eP LHDN merangkumi pendaftaran atau memperbaharui akses, kenyataan tawaran, pembelian dokumen tawaran, penyertaan tawaran, penyerahan dokumen tawaran dan pentauliahan perolehan sama ada secara tender, sebut harga atau pembelian terus,” katanya, lapor BERNAMA.

LHDN berkata, portal Pembekal pula adalah kemudahan tambahan (value added service) yang diberikan kepada pembekal LHDN untuk berurusan secara dalam talian berkaitan urusan kewangan dan pembayaran.

“Kemudahan ini termasuk pengemaskinian maklumat am pembekal, penerimaan pesanan pembelian secara dalam talian, memuat naik dokumen kewangan bagi tujuan pembayaran untuk perkhidmatan, bekalan atau kerja yang telah disempurnakan dan semakan status pembayaran,” katanya.

LHDN berkata, pengguna boleh melayari sistem eP LHDN dan Portal Pembekal di portal rasmi www.hasil.gov.my atau pautan pantas https://www.tenderwizard.my/LHDNM untuk sistem eP dan https://kewpembekal.hasil.gov.my untuk Portal Pembekal.

Sebarang pertanyaan berkenaan Sistem eP LHDN juga boleh diajukan melalui emel [email protected] dan emel [email protected] untuk Portal Pembekal.

Categories
NASIONAL

LHDN minta pemilik akaun bank luar negara segera lapor cukai

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Individu yang mempunyai akaun bank di luar negara dan mempunyai pendapatan yang belum dilaporkan diminta segera hadir ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)​.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pihaknya telah mengeluarkan surat dan e-mel khusus kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara yang masih gagal membuat pelaporan cukai yang sepatutnya.

“Pembayar cukai dalam kategori inilah yang diminta dalam surat dan e-mel LHDN untuk menghubungi dan melaporkan pendapatan tersebut kepada LHDN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, LHDN mula menerima maklumat kewangan khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara mulai September 2018 di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

LHDN memperkenalkan inisiatif Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) sebagai satu daripada kaedah penyelesaian cukai bagi mereka yang mempunyai pendapatan yang dijana daripada hasil sumber pendapatan Malaysia yang boleh dikenakan cukai dan disimpan di akaun bank di luar negara tetapi pendapatan tersebut masih belum dilaporkan.

Di bawah program tersebut, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran pengurangan bayaran penalti daripada 300 peratus kepada 10 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 31 Mac ini dan 15 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 30 Jun.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penerima e-mel, surat PKPS diminta hubungi LHDN

PUTRAJAYA, 1 FEB: Pembayar cukai yang menerima surat atau e-mel Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dinasihati untuk tidak berasa bimbang, sebaliknya menghubungi LHDN bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, program terbabit menawarkan kadar penalti serendah 10 peratus dan 15 peratus ke atas amaun cukai tambahan perlu dibayar yang merangkumi beberapa kategori pembayar cukai.

Kategori terbabit adalah pembayar cukai berdaftar yang gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP)/Borang Nyata Petroleum (BNP)/Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) secara teratur.

Tawaran itu turut diberi kepada pembayar cukai yang sudah mengemukakan BNCP/BNP/BNCKHT namun tidak membuat pengisytiharan cukai yang betul seperti terdapat keraguan amaun pendapatan/ keuntungan pelupusan harta tanah (terkurang lapor pendapatan) atau keraguan amaun perbelanjaan dan pelepasan cukai yang dituntut (terlebih tuntut) dan pembayar duti yang gagal membuat penyeteman surat cara dalam tempoh ditetapkan.

“Kira-kira 8.3 juta surat dan e-mel yang dikeluarkan LHDN kepada pembayar cukai berdaftar adalah makluman berkenaan PKPS yang mula dilaksanakan pada 3 November tahun lalu dan akan berakhir pada 30 Jun ini seperti telah diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2019,” katanya, lapor BERNAMA.

Bagaimanapun, Sabin berkata, pembayar cukai yang telah melaporkan pendapatan, perbelanjaan dan pelepasan cukai sepatutnya kepada LHDN serta telah membuat penyeteman surat cara dalam tempoh ditetapkan, boleh mengabaikan surat atau e-mel pemakluman berkenaan.

Beliau berkata, pengakuan secara sukarela yang dibuat dalam tempoh program terbabit juga akan diterima secara suci hati tanpa pertanyaan lanjut daripada LHDN.

Pada masa sama, LHDN turut menasihatkan pembayar cukai agar berhati-hati dengan sindiket penipuan yang cuba mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan program berkenaan.

“Pembayar cukai boleh mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut mengenai program ini dengan mengunjungi Pejabat LHDN berhampiran, menghubungi Hasil Care Line LHDN di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara); atau menghantar e-mel pertanyaan kepada: [email protected],” katanya.

Selain Malaysia, program itu telah dilaksanakan oleh lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Jerman, Afrika Selatan dan Indonesia bagi memberi peluang rakyat tampil membuat pengakuan sukarela.

Sabin berkata, ini juga selaras inisiatif Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam melaksanakan pertukaran maklumat di bawah Country-by-Country Reporting (Pelaporan Mengikut Setiap Negara) yang bermula di Malaysia pada September tahun lalu.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Sindiket menipu orang ramai guna nama dan logo LHDN

SHAH ALAM, 24 OKT: Sejak kebelakangan ini Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah mengesan beberapa cubaan untuk menipu orang ramai oleh penyangak kewangan dengan menggunakan nama dan logo LHDNM.

LHDN dalam kenyataan media menyatakan di antara kaedah yang digunakan oleh penyangak kewangan ini ialah:

i. Menghantar e-mel palsu kepada orang ramai memaklumkan mereka mempunyai amaun cukai terlebih bayar yang perlu dipulangkan oleh LHDNM.

Di dalam e-mel palsu tersebut penyangak kewangan ini akan memberikan arahan kepada penerima e-mel agar mendedahkan butiran akaun bank mereka bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dibuat oleh LHDNM.

Harap maklum bahawa LHDNM tidak pernah menghantar e-mel kepada pembayar cukai untuk meminta pembayar cukai mendedahkan nombor akaun bank mereka.

Ini kerana maklumat akaun bank tersebut akan diperolehi melalui perisytiharan oleh pembayar cukai ketika mereka mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan pada setiap tahun.

Selain itu, lebihan bayaran balik cukai pendapatan yang berjaya diproses berdasarkan maklumat yang betul juga akan dikreditkan terus oleh LHDNM ke akaun bank pembayar cukai menerusi pembayaran secara Electronic Fund Transfer (EFT) atau menerusi Baucar Bayaran Balik Cukai (BBBC) atau Cek Berpalang atau Telegraphic Transfer (untuk mereka yang mempunyai akaun di luar negara).

ii. Menghantar Surat Tuntutan Cukai Tertunggak yang palsu kepada orang ramai.

LHDNM sememangnya ada mengeluarkan surat peringatan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun cukai tertunggak agar mereka menjelaskan cukai tertunggak tersebut.

Namun demikian, sebelum apa-apa pembayaran dilakukan oleh penerima surat tersebut, sila pastikan surat tersebut adalah benar-benar tulen daripada LHDNM dan bukannya daripada penyangak kewangan.

Pengesahan ketulenan surat tunggakan cukai boleh dibuat melalui Talian Hasil Careline di 1-800-88-5436 atau Talian Hasil Recovery Call Centre di 1-800-88-4726 atau nombor talian Cawangan LHDNM yang mengeluarkan surat tersebut (ada pada kepala surat).

Selain itu, apa-apa bayaran cukai pendapatan juga mesti dibuat atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Sekiranya surat yang diterima memberikan arahan untuk membuat bayaran cukai pendapatan kepada penama selain daripada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, penerima surat itu boleh mengabaikan arahan dalam surat tersebut dan seterusnya membuat aduan kepada LHDNM.

iii. Pegawai LHDNM palsu mengunjungi premis pembayar cukai dan memaksa pembayar cukai membayar cukai tertunggak.

LHDNM tidak mengamalkan kaedah mengunjungi premis pembayar cukai bagi mengutip cukai tertunggak secara tunai.

Kunjungan ke premis pembayar cukai jika ada akan dilakukan melalui operasi secara berkala seperti Operasi KUTiP dan kaedah kutipan cukai tertunggak yang dilakukan adalah hanya melalui Cek atau Draf Bank atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.
Pembayar cukai yang dilawati juga disarankan agar memeriksa kad pengenalan diri dan merekodkan butiran pegawai LHDNM yang hadir ke premis mereka.

Selain itu, pembayar cukai juga boleh mendapatkan penjelasan mengenai peruntukan undang-undang yang digunapakai berkaitan dengan lawatan tersebut, merekodkan nama serta nombor perhubungan penyelia yang menyelia pegawai tersebut serta menghubungi talian Hasil Careline di 1-800-88-5436 untuk pengesahan.

Orang ramai khususnya pembayar cukai diminta untuk sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan segera daripada LHDNM bagi sebarang keraguan yang timbul mengenai perihal cukai pendapatan mereka untuk mengelakkan kerugian kewangan.

Selain daripada menghubungi Hasil Careline, pembayar cukai juga boleh melaporkan aduan kepada e-mel [email protected].

Sila klik di sini untuk “Sampel e-mel dan dokumen palsu (scam)”
http://mrem.bernama.com/mrembm/pdf/lHDNM(10510).pdf

SUMBER : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

Categories
NASIONAL

Hampir 4,000 pembayar cukai culas diburu

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 MEI: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) giat menjejak 3,838 pembayar cukai culas di seluruh negara dengan tunggakan keseluruhan RM326 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah berkata, buruan secara besar-besaran itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan masyarakat mengenai tanggungjawab melunaskan cukai.

Katanya, usaha bersepadu berkenaan akan dibuat menerusi Ops Kutip 2017 membabitkan 592 petugas.

“Petugas Ops Kutip 2017 akan bergerak secara serentak dari 13 pusat pelepasan seluruh negara.

CYBERJAYA 09 DECEMBER 2016. Temuramah bersama Ketua Pegawai Eksekutif LHDN yang baharu, Datuk Sabin Samitah di Ibupejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Cyberjaya. NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL.

“Mereka akan menjejak pembayar cukai ingkar ini bermula hari ini sehingga esok,” katanya dipetik Berita Harian Online.

Beliau dilapor berkata demikian pada ucaptama perasmian Kunjungan Mesra Hasil Peringkat Nasional, di Kota Kinabalu, Sabah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Datuk Noor Azian Abd Hamid berkata, 1,402 daripada pembayar cukai tertunggak itu terdiri dalam kalangan syarikat beroperasi di Malaysia.

Katanya, LHDN optimis 90 peratus atau RM293.6 juta daripada RM326 juta mampu diperoleh menjelang akhir tahun ini.

Pada masa sama, tiada bayaran tunai akan dikutip daripada pembayar cukai menerusi Ops Kutip 2017 bagi mengelak kes penipuan menyamar sebagai pegawai LHDN.

“Setiap petugas akan memakai ‘vest’ dan menunjukkan pengenalan diri LHDN sebelum menyerahkan notis tuntutan kepada individu berkaitan.

“Pembayaran menerusi operasi ini hanya boleh dibuat menerusi draf bank atau cek kepada pegawai dilantik LHDN,” katanya.

Categories
NASIONAL

LHDN buru 30 syarikat gagal bayar cukai RM2.2 bilion

SHAH ALAM, 13 APR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ketika ini rancak menjalankan pengauditan dan siasatan cukai ke atas 30 syarikat besar membabitkan kehilangan hasil keseluruhan kira-kira RM2.2 bilion disebabkan pengelakan cukai dan penalti.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sabin Samitah berkata, daripada jumlah itu 10 syarikat menerima notis tunggakan cukai dan membayar RM800 juta keseluruhannya bagi pengelakan cukai dan penalti.

Katanya, baki 20 syarikat lagi melibatkan kehilangan hasil RM1.4 bilion dijangka dimuktamadkan bulan ini.

“Jika mereka tidak bayar, kami akan membawa kes itu ke mahkamah dan (hanya selepas itu) kami boleh mendedahkan nama mereka,” katanya lapor Bernama.

Katanya, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat senarai awam itu akan menerima notis cukai tertunggak yang perlu dibayar dalam tempoh setahun dari tarikh dikeluarkan.

-nR-

Categories
NASIONAL

Pinda akta, LHDN bakal jadi 1MDB

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen mengingatkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bakal menjadi badan pelaburan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan cadangan meminda Akta LHDN 1995.

Chen berkata, menteri kewangan bercadang untuk penubuhan panel pelaburan badan itu bagi menggunakan wang pembayar cukai membeli bon, hutang atau harta lain yang difikirkan patut dalam pindaan Rang Undang-undang LHDN.

LHDN (1)“Jika rang undang-undang itu diluluskan, ia pada dasarnya akan mengubah LHDN kepada satu badan pelaburan seakan 1MDB di bawah kawalan peribadi menteri kewangan.

“Inisiatif oleh menteri kewangan yang juga perdana menteri ini adalah sangat luar biasa, melemahkan demokrasi dan tidak mempunyai ketelusan dan akauntabiliti,” katanya yang dipetik daripada Malaysia Kini, di sini, hari ini.

Antara alasan beliau menolak cadangan pindaan itu adalah semua cukai dan pendapatan mesti diambil kira serta dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan, maka pembentukan panel pelaburan dalam LHDN melanggar amalan terbabit.

wong chen 01“Cadangan ini akan mengambil kuasa pelaburan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri dan kuasa ini diberikan kepada Panel Pelaburan dengan enam daripada tujuh ahli adalah dilantik secara langsung oleh menteri kewangan.

“Oleh itu, ini adalah satu percubaan mengambilalih kuasa pelaburan wang pembayar cukai oleh menteri kewangan dengan menggunakan nama baik LHDN. Tindakan ini bakal melemahkan demokrasi kerana ia akan menyembunyikan wang cukai rakyat daripada penelitian Parlimen,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan Lebihan Di Era Anwar, Defisit Teruk Di Era Najib

audit

PETALING JAYA, 12 OKT : Malaysia dilaporkan menikmati belanjawan lebihan (surplus) antara tahun 1993 hingga 1997, iaitu semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Menteri Kewangan, kata Pengarah Eksekutif Institut Rakyat, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

Beliau berkata, dalam tempoh itu negara berjaya mencatat lebihan RM6.6 bilion, iaitu nilai tertinggi yang pernah dicapai dalam bajet tahunan.

Bagaimanapun katanya, prestasi kewangan negara menjunam ke paras defisit yang teruk pada tahun 2009 semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Defisit paling teruk pernah dicatatkan pada tahun 2009 iaitu sejumlah RM47.4 bilion manakala dari segi peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah 9.7 peratus.

“Sejak 2009, kita lihat perbekalan tambahan paling kurang dua kali setahun hingga menyebabkan perbelanjaan keseluruhan meningkat hampir RM260 bilion sehingga kini,” katanya semasa sesi Forum Laporan Audit Negara : Kepincangan Urustadbir, Ketirisan dan Rasuah di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini malam tadi.

Laporan audit yang dibentangkan baru-baru ini menunjukkan beberapa pembaziran dan ketirisan melampau antaranya, projek menambahbaik Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu; projek mewujudkan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; projek pembentungan negara dan kelewatan mengutip cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Agensi penarafan kredit, Fitch Ratings pada Ogos lalu turut meletakkan unjuran penarafan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif serta mempersoalkan langkah kerajaan yang mengabaikan reformasi kewangan terutamanya selepas berakhir pilihan raya baru-baru ini.

Azrul berkata, hutang negara kini mencecah RM500 bilion dengan peratusan KDNK sebanyak 35 peratus sehingga hujung tahun 2012.

Menurutnya lagi, tiada jaminan daripada Kerajaan Pusat untuk berbelanja secara berhemah kerana perbekalan tambahan dikeluarkan sekurang-kurangnya dua kali setahun sejak 2009.

“Kita akan sukar untuk kekalkan hutang negara di bawah 55 peratus pada setiap masa kerana tiada sebarang reformasi fiskal dilakukan oleh kerajaan,” katanya lagi.