Categories
AGENDA NASIONAL

PJ City FC tekad kekal dalam saingan Liga Super

MELAKA, 21 SEPT: Pemain-pemain pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) perlu bangkit meraih tiga mata penuh dalam baki tiga perlawanan Liga Super, bagi memastikan pasukan itu kekal berada dalam saingan musim depan, kata ketua jurulatihnya K Devan.

Katanya kejayaan mengikat Melaka United 1-1 pada aksi di Stadium Hang Jebat malam tadi, sedikit memberi kelegaan, kerana barisan pemain sedar pasukan dalam situasi kritikal untuk mengelak berada di zon penyingkiran.

“Selepas ini, kita akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), UiTM FC dan PDRM FA, tetapi saya melihat kita masih mempunyai peluang untuk menang sekurang-kurangnya dua perlawanan dan mendapatkan enam mata supaya kita boleh kekal dalam liga.

“Bertemu JDT selepas ini mungkin agak sukar, tetapi kita akan cuba apa yang kita mampu,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan antara Melaka United dan PJ City FC di Stadium Hang Jebat di sini, malam tadi.

Pada aksi itu, PJ City FC memusnahkan harapan tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh menerusi gol saat akhir pemain gantian M Kogileswaran, selepas Melaka United mendahului jaringan melalui Romel Ramirez pada minit ke-72.

Devan berkata pencaturan taktikal pada minit terakhir dengan memasukkan tiga pemain penyerang, berjaya membuahkan hasil dan beliau memuji barisan pemainnya yang menunjukkan sikap positif, walaupun ketinggalan satu gol.

Beliau berkata ketiadaan pemain import dari Guinea Demba Camara, yang tidak dapat kembali ke Malaysia selepas pulang ke negara asal untuk menyelesaikan masalah peribadi, turut memberi kesan kepada skuad kendaliannya.

PJ City FC kini berada di tangga ke-10 kedudukan Liga Super dengan tujuh mata selepas lapan perlawanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

JDT lebar penguasaan di takhta Liga Super

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Aksi longlai pasukan Pahang di awal babak pertama permainan memberikan kemenangan berharga 3-2 buat pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super yang kembali bersambung secara rasmi, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kegagalan menampilkan permainan kemas menghukum skuad Tok Gajah apabila dibolosi dua gol seawal lima belas minit pertama dengan pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez meledak gol pembukaan menerusi sepakan percuma pada minit keempat.

Pemain muda Muhammad Ramadhan Saifullah yang membuat penampilan sulung dalam kancah Liga Super bijak memperdayakan barisan pertahanan dan penjaga gol Pahang sebelum melepaskan rembatan ke arah gawang yang tidak dikawal sebelum sepakan penalti Gonzalo Cabrera pada minit ke-35 meletakkan JDT selesa mendahului 3-0.

Namun, skuad Tok Gajah tanpa kelibat tonggak Mohamadou Sumareh yang tidak menyertai sesi latihan pasukan lebih sebulan, bangkit merapatkan kedudukan hasil jaringan Mohd Faisal Abdul Halim dan Herold Goulon, masing-masing pada minit ke-40 dan minit ke-45.

Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat permainan yang menyaksikan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan sekali gus kekal gah di persada Liga Super dengan mengumpul 13 mata sementara Pahang jatuh ke kedudukan keenam.

Sementara itu, Melaka dan UiTM FC turut berjaya meraih tiga mata penting selepas kedua-dua pasukan itu melakar kemenangan tipis di gelanggang pasukan tuan rumah.

Melaka menewaskan Perak 1-0 di Stadium Perak, Ipoh hasil jaringan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-52 sementara gol tunggal penyerang kebangsaan Filipina, Mark Hartmann memastikan UiTM membawa pulang kejayaan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Dalam pada itu, aksi Liga Premier menyaksikan pendahulu Terengganu FC II (TFC II) dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Negeri Sembilan selepas Shunsuke Nakatake meledak gol kemenangan di penghujung babak permainan pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, skuad ‘The City Boys’ mengekalkan rekod tanpa kalah dengan kemenangan 2-1 ke atas UKM FC hasil jaringan Francis Kone pada minit ke-27 dan ketua pasukan Paulo Josue pada minit ke-82.

Kuching FA terus kekal di kedudukan tercorot liga apabila gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri dengan kekalahan 4-1 di tangan Selangor II pada aksi di Stadium Negeri, Kuching.

Empat gol Selangor II dijaringkan Ahmad Danial Ahmad Asri pada minit ke-25 dan ke-63 serta satu gol masing-masing oleh Muhammad Fazrul Fahriz Zeky (minit ke-48) dan Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau (minit ke-83) manakala gol sagu hati skuad tuan rumah dijaringkan Joseph Kalang Tie pada minit ke-81.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Selangor lawan Perak di Stadium Bukit Jalil

SHAH ALAM, 3 MAC: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengesahkan aksi Liga Super antara Red Giants dan Perak, Sabtu ini akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

FAS dalam kenyataan memaklumkan keputusan tersebut selepas meneliti pelbagai faktor bagi menjaga keselamatan penyokong dan pemain susulan kerosakan bumbung di Stadium Shah Alam.

“Buat masa ini, keputusan (pertukaran gelanggang) hanya untuk perlawanan di gelanggang sendiri.

“Kami akan meneruskan usaha yang perlu dilakukan di Stadium Shah Alam demi memastikan ia selamat digunakan bagi perlawanan ‘home’ seterusnya menentang Sarawak United pada pertengahan Mac,” kata kenyataan itu semalam.

Kenyataan sama menyebut, FAS bersama Darul Ehsan Facilities Management serta Kerajaan Selangor sedang mengatur strategi jangka masa pendek dan panjang bagi memastikan perkara itu tidak berlaku pada masa akan datang.

“Kami ingin memohon maaf jika perubahan venue mengganggu rancangan yang dibuat, namun komited untuk mengembalikan venue perlawanan ‘home’ ke Stadium Shah Alam dalam masa terdekat.

“Kami juga akan memberikan perkembangan terkini berhubung status Stadium Shah Alam dan perjalanan perlawanan bagi pemegang pas bermusim serta info penyokong di Stadium Bukit Jalil dalam masa beberapa hari lagi,” katanya.

Pada Kejohanan Selangor Asia Challenge 2020 Januari lalu, keadaan Stadium Shah Alam mendapat perhatian ramai pihak terutama isu padang dan serpihan bumbung yang jatuh di kawasan penonton.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Liga Super: Selangor tewaskan Tok Gajah

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Juara Liga Super sebanyak dua kali, Selangor bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Pahang 2-1 pada aksi pertama Liga Super 2020 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Selangor terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan tonggak import baharu skuad Tok Gajah dari Brazil, Ivan Carlos pada minit ke-20, namun skuad Gergasi Merah itu berjaya mengikat kedudukan hanya dalam tujuh minit menerusi pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun.

Skuad kendalian B Sathianathan kemudian mengesahkan tiga mata penuh menerusi rembatan kencang Brendan Gan pada minit ke-88.

Sementara itu, Perak membenam Terengganu FC (TFC) 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam tadi.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi rembatan jarak dekat pemain dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-18, sebelum penyerang import pelawat dari Brazil, Guilherme De Paula menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-41 selepas dia dijatuhkan pertahanan TFC, Arif Fadzilah Abu Bakar.

Ketua Pasukan The Bos Gaurus, Shahrul Mohd Saad dengan tandukan derasnya menjaringkan gol kedua pada minit ke-52 dan Guilherme mengukuhkan kemenangan Perak dengan satu lagi gol pada minit ke-79.

Turut gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri ialah pendatang baharu, UiTM FC yang kecundang 0-2 kepada Melaka di Stadium UiTM, Shah Alam.

Melaka membuka jaringan menerusi penyerang import dari Haiti, Sony Norde pada minit ke-28, sebelum pemain import dari Colombia, Romel Morales Ramirez menggandakan jaringan pada minit ke-90.

Saingan Liga Premier pula menyaksikan naib juara tahun lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) II meneruskan rentak cemerlang dengan membenamkan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

JDT II bermula garang menerusi gol Arif Aiman Mohd Hanapi seawal minit kedua, diikuti dua jaringan Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-23 dan ke-50, manakala gol sagu hati pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Igor Carneiro Luiz pada minit ke-58.

Perlawanan itu turut dicemari dengan insiden kad merah apabila pemain JDT II, Nicolas Alberto Fernandez diarahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan, Abdul Rahman Wahab kerana mengasari penyerang Muhammad Nazrul Kamaruzaman pada minit ke-84.

Kelantan dan Kuala Lumpur pula terpaksa berkongsi satu mata apabila terikat 1-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Skuad ‘The Red Warriors’ membuka jaringan menerusi sepakan penalti Lazarus Kaimbi pada minit ke-47, namun jaringan lewat Kouassi Francis Kone pada minit ke-89 membantu Kuala Lumpur mengikat kedudukan.

Di Stadium Sarawak, pendatang baharu, Kuching FA gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila tunduk 1-2 dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) di hadapan lebih 3,500 penyokong.

Jaringan skuad The Varsity Boys diperoleh menerusi sepakan penalti pemain import dari Korea Selatan, Lee Seong Woo pada minit ke-42 dan Faiz Hanif Adnan (minit ke-78), manakala skuad tuan rumah mengurangkan defisit jaringan menerusi Rafiezan Razali pada minit ke-56.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Liga Super: Terlalu selesa buat gawang Selangor bolos

MARAN, 8 JULAI: Berasa selesa selepas mendahului menyebabkan Selangor dikejutkan dengan jaringan lawan, Felda United, pada saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak di sini, semalam.

Ketua Jurulatih Selangor, B. Satianathan berkata Felda United juga bijak menggunakan peluang daripada kealpaan itu sehingga menyebabkan pertahanan The Red Giants goyah dengan serangan balas mereka.

“Pemain sepatutnya tampilkan persembahan yang mudah kerana kita telah mendahului 2-0, sebaliknya mereka mahu bermain secara cantik di kawasan padat.

“Corak permainan begitu membawa kepada serangan balas lawan dan akhirnya Felda United mendapat banyak sepakan percuma dan sepakan sudut.

“Kita pula kerap kehilangan bola di bahagian pertahanan lawan sehingga mereka bangkit melakukan serangan balas dan berjaya mendapat gol,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Selangor mengalahkan Felda United 2-1.

Selangor membuka tirai jaringan menerusi Sandro Da Silva pada minit ke-44 sebelum penyerang import Ifedayo Olusegun melebarkan jurang gol kurang 10 minit kemudian.

Pada minit ke-63, The Fighters bangkit mencipta gol pertama menerusi tendangan cantik Jocinei Schad yang berjaya mengelirukan penjaga gol Mohd Khairulazhan Khalid.

Satianathan berkata keupayaan pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil membaca dengan baik percaturan Selangor juga menggoyahkan benteng pertahanan mereka walaupun mengawal 30 minit permainan.

Sementara itu, Mohd Nidzam mengakui pasukannya wajib mengurangkan kesilapan ‘kebudak-budakan’ yang memberi kelebihan kepada The Red Giant mencipta jaringan.

“Mengeluarkan bola dari kawasan bahaya ialah perkara asas yang perlu dilakukan pemain sebaliknya mereka dilihat lebih gemar bermain secara dekat-dekat.

“Kita perlu ubah corak permainan ini kerana tidak akan selalu bernasib baik seperti bertemu Kedah sebelum ini yang menyaksikan pasukan kami bangkit selepas ketinggalan separuh masa pertama,” katanya.

Mohd Nidzam berkata kekalahan semalam menyebabkan The Fighters tidak boleh lagi kehilangan mata bagi empat perlawanan seterusnya sekiranya mahu ingin kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Selangor atasi KL 2-1 pada derby Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Jaringan penalti pada minit-minit terakhir membantu Selangor mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi, sekali gus melonjakkan skuad Gergasi Merah ke kedudukan ketiga carta liga.

Pada aksi derby Lembah Klang itu, Selangor terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun pada minit ke-36, sebelum skuad ‘The City Boys’ menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Guilherme De Paula Lucrecio pada minit ke-58.

Skuad Gergasi Merah bagaimanapun berjaya mengesahkan tiga mata penuh apabila pengadil perlawanan, Fitri Maskon menghadiahkan sepakan penalti selepas Sean Eugene Selvaraj dijatuhkan dalam kotak penalti.

Pemain import dari Brazil, Sandro Da Silva melengkapkan penalti itu pada masa kecederaan perlawanan itu, untuk membantu Selangor memintas Kedah (23 mata) dan Melaka (23 mata) ke kedudukan ketiga dengan mengumpul 25 mata daripada 16 perlawanan.

Sementara itu, jaringan hatrik Sanjar Shaakhmedov membantu Terengganu FC mencuri satu mata menentang Melaka di Stadium Hang Jebat.

Pemain tengah berusia 28 tahun dari Uzbekistan itu, beraksi cemerlang apabila menjaringkan gol pada minit ke-41, 72 dan 81 untuk membantu skuad Penyu bangkit menyamakan kedudukan.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import Ivory Coast, Davy Angan pada minit ke-17 dan pemain import dari Serbia, Luka Milunovic pada minit ke-30, diikuti jaringan kedua Davy pada minit ke-47.

Pada aksi Liga Premier, jaringan tunggal Alto Linus pada minit ke-65 membantu Sabah mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Likas, kota Kinabalu, sekali gus merampas kedudukan kedua daripada UiTM FC.

Sabah yang memiliki kelebihan satu perlawanan, hanya ketinggalan satu mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang berada di puncak dengan 29 mata, manakala UiTM FC berada di tempat ketiga dengan 27 mata.

Pasukan UKM FC pula gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri pada tewas 2-3 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Skuad ‘The Cops’ meraih jaringan menerusi Muhammad Fauzan Fauzi pada minit kelapan, Argzim Redzovic (49’) dan penalti Lee Changhoon (77’), manakala gol UKM FC pula dijaringkan oleh kapten pasukan, Asnan Ahmad (13’) dan Mateo Roskam (74’).

Terdahulu pada aksi sebelah petang, Pulau Pinang berjaya meraih tiga mata selepas menewaskan Selangor United 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pulau Pinang membuka jaringan menerusi penyerang import dari Argentina, Julian Bottaro pada minit ke-55, sebelum Anselmo Arruda da Silva (60’) dan Sergio Fabian Ezequiel Aguero (89’) meningkatkan jurang, manakala gol sagu hati pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Abdul Hadi Yahaya pada masa kecederaan separuh masa kedua. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Red Giants raih kemenangan sulung Liga Super

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Selangor bangkit daripada ketinggalan dua gol pada babak pertama sebelum mengatasi Kuala Lumpur 3-2, pada aksi tunggal Liga Super 2019, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam tadi.

Kemenangan sulung itu menyaksikan skuad Gergasi Merah naik dua anak tangga ke kedudukan ke-10 dengan kutipan enam mata selepas enam perlawanan, manakala Kuala Lumpur kekal menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas lima perlawanan.

Pada aksi di Cheras, Kuala Lumpur membuka tirai jaringan pada minit keempat menerusi Muhammad Syafwan Syahlan yang menanduk masuk bola hasil hantaran Zaiful Abdul Hakim.

Pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin menggandakan kedudukan untuk skuad warga kota, pada minit ke-37 selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Selangor, Taylor Regan dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd Farizal Harun.

Tersentak dengan dua gol berkenaan, Selangor kembali memperkemaskan permainan dan berjaya merapatkan jurang, pada minit ke-66 menerusi Sandro Da Silva yang menyempurnakan sepakan penalti setelah beliau dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Mohd Fitri Omar.

Pemain sayap, Mohd Syazwan Zainon menyamakan kedudukan untuk Selangor, pada minit ke-71 menerusi percubaan solo, sebelum kapten, Mohd Amri Yahyah mengesahkan kemenangan untuk skuad Gergasi Merah, pada minit ke-76.

Dalam saingan tunggal Liga Premier, Terengganu FC II (TFC II) dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berkongsi satu mata setelah seri tanpa jaringan pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Keputusan itu tidak mengubah kedudukan JDT II yang kekal menguasai carta Liga Premier dengan kutipan 13 mata, manakala TFC II naik satu anak tangga ke kedudukan kelima dengan pungutan lapan mata selepas lima perlawanan. -BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Selangor mahu bangkit bertemu Kuala Lumpur

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 MAC: Selangor mengakui kesilapan mudah yang dilakukan terutama pada dua daripada empat gol diperoleh Johor Darul Ta’zim (JDT) memberikan kerugian besar dalam misi memburu kemenangan pertama musim ini.

Jurulatihnya, B Sathianathan berkata, pasukkanya harus menerima pujian apabila bangkit untuk merapatkan kedudukan di saat ketinggalan namun terpaksa akur tewas 2-4 di laman sendiri.

“Kita menentang pasukan yang kuat dan lengkap tetapi pemain juga memberikan gol mudah kepada JDT.

“Kita juga berjaya kembali merapatkan kedudukan daripada 1-2 kepada 2-3 pada penghujung babak pertama.

“Kredit juga perlu diberikan kepada pemain saya yang berusaha sehingga akhir permainan.

“Kita kalah dengan pasukan lebih baik sementara kita juga kurang bernasib baik,” katanya dalam sidang media di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Beliau berkata, JDT sendiri mempunyai kelebihan individu dalam kalangan pemain yang memberikan ancaman kepada pasukannya terutama dalam merencana gerakan memburu jaringan.

Katanya, prestasi ditunjukkan pemain juga meningkat dan berharap ia akan diteruskan menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur selepas ini.

Menyentuh soal gol mudah dilepaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid, Sathianathan enggan merendahkan moral semua pemainnya tetapi beliau akan menilai semula perancangan selepas ini.

“Kita ada masa tujuh hari sebelum bertemu Kuala Lumpur. Kita akan meningkatkan moral semua pemain.

“Perlawanan ini juga adalah proses pembelajaran buat semua kerana kita juga ada peluang tambahan dua percubaan Selangor terkena palang dan tiang.

“Kita akan lebih bersedia menentang Kuala Lumpur,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Gol Safiq hampakan Red Ants

SHAH ALAM, 10 FEB: PKNS FC mengalami kekalahan pertama dalam Liga Super musim ini apabila tunduk 0-1 kepada Melaka United, malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Shah Alam di sini, The Red Ants dikecewakan dengan gol tunggal bekas ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 melepasi Zarif Irfan.

Ia diperoleh Melaka United selepas Patrick Reichelt dikasari pertahanan tuan rumah, Rodney Celvin Akwensivie dalam kawasan penalti.

Gol terhasil itu mengubah rentak permainan menjadi lebih rancak dengan kedua-dua pasukan mengatur serangan dengan lebih kerap ke kubu lawan.

Melaka United nyaris menambah jaringan pada minit ke-30 tetapi gerakan diatur R Gopinathan itu gagal disudahkan dengan sempurna oleh barisan serangannya.

Pada separuh masa kedua, skuad bimbingan Datuk K Rajagopal cuba bangkit daripada ketinggalan dengan serangan dilakukan Gabriel Guerra namun beberapa percubaannya dipatahkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Keputusan kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Melaka United mencatat kemenangan kedua di mana sebelumnya menewaskan Petaling Jaya City FC 2-1 manakala PKNS FC seri dengan Terengganu 1-1 pada perlawanan pertama.

FOTO: PKNS FC

 

 

Categories
SUKANKINI

Red Giants, PJC kongsi mata

SHAH ALAM, 10 FEB: Selangor mengutip satu mata apabila seri dengan Petaling Jaya City FC 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Petaling Jaya, malam tadi.

Gol tunggal The Red Giants dihasilkan menerusi sepakan penalti penyerang import, Rufino Segovia pada minit ke-89 selepas Syahmi Safari djatuhkan dalam kawasan penalti pasukan tuan rumah.

Sebelum itu, Petaling Jaya City FC mendahului Selangor 1-0 juga melalui gol penalti Pedro Enrique (m80) selepas penjaga gol, Khairulazhan Khalid melakukan kesilapan menjatuhkan penyerang lawan.

Sebelum itu, Rufino terlepas meletakkan Selangor di depan apabila gagal menolak masuk hantaran Syahmi di depan pintu gol.

Pada separuh masa kedua, Petaling Jaya City FC berusaha menggandakan asakan dan gol dicari diperoleh sepuluh minit terakhir perlawanan.

Ketika tuan rumah merasakan kemenangan hampir dalam genggaman, Selangor bangkit dengan gol penyamaan berikutan kesilapan pertahanannya di kawasan penalti.

Sebelum ini, skuad bimbingan B Satianathan seri dengan Felda United 1-1 manakala Petaling Jaya City FC tewas kepada Melaka United (1-2).

FOTO: FA SELANGOR

 

Categories
SUKANKINI

PKNS-JDT terikat tanpa jaringan

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 28 MEI: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur diikat tanpa jaringan oleh PKNS FC, pada aksi Liga Super, malam tadi.

Perlawanan yang berlansung di Stadium Shah Alam itu menimbulkan rasa kurang selesa bagi kedua pasukan untuk mencari rentak permainan.

Permukaan padang yang basah dan berlecak ekoran hujan menyebabkan permainan hambar ditunjukkan dalam tempoh 35 minit pertama serta tiada percubaan tepat berjaya dilakukan.

Percubaan tepat pertama muncul, pada minit ke-35 menerusi percubaan Jorge Santos, namun tandukannya mudah ditangkap penjaga gol PKNS FC, Mohd Shahril Sa’ari.

Pelawat menguasai separuh masa kedua, namun beberapa gerakan dilancarkan tetap gagal menembusi gawang PKNS selepas Shahril cemerlang menidakkan percubaan Mohd Nazmi Faiz Mansor, pada minit ke-56 dan rembatan deras Safawi Rasid lima minit berselang.

Memasuki 15 minit terakhir perlawanan, PKNS mula bermain secara bertahan setiap asakan JDT yang berusaha keras memburu gol, namun keputusan kekal 0-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Namun, skuad Harimau Selatan itu tetap selesa mendahului saingan liga dengan enam mata mengatasi pencabar terdekat, Perak dan impian mereka untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim hadapan dilihat masih berada dalam laluan tepat.

Kredit foto: PKNS FC

Categories
SUKANKINI

JDT rampas kedudukan teratas Liga Super

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 MAC: Johor Darul Ta’zim (JDT) merampas kedudukan teratas Liga Super dengan catatan kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC), malam tadi.

Dalam perlawanan di Kuala Terengganu itu, JDT berjaya memperoleh gol melalui Marcos Antonio pada minit ke 29 untuk mengatasi tuan rumah 1 – 0.

Selepas lima perlawanan, JDT mengumpul 12 mata hasil empat kemenangan dan satu kalah manakala TFC gagal mengekalkan rekod tanpa kalah dengan kekalahan itu.

Dalam perlawanan di Kuantan pula, Pahang mengalahkan Negeri Sembilan 4 – 0 untuk naik ke tangga kedua liga dengan 10 mata.

Manakala pendatang baharu, Kuala Lumpur menghampakan Kedah 4 – 3 dalam perlawanan berlangsung di Cheras.

PKNS FC sebelum ini berada pada kedudukan teratas liga selepas mengalahkan Kelantan 1 – 0, turun ke tangga ketiga menerusi perbezaan gol biarpun berkongsi 10 mata dengan Pahang.