Categories
AGENDA NASIONAL

Sembilan kes baharu Covid-19 babit mangsa banjir dikesan hari ini

SHAH ALAM, 2 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sembilan kes baharu positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir hari ini, menjadikan keseluruhan 460 jangkitan.

Ketua pengarah kesihatan berkata keseluruhan kes terbabit dilaporkan dalam kalangan mangsa di Kelantan, Sabah, Pahang, Terengganu, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

“Tiada pertambahan kluster baharu dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) menjadikan keseluruhan kluster dikesan masih lagi satu.

“Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di PPS kekal 15 kes tanpa pertambahan kes hari ini,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau mengingatkan mangsa banjir memaklumkan status risiko Covid-19 kepada anggota penyelamat jika disahkan positif dan dikenal pasti sebagai kontak rapat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Mangsa juga diminta patuh tatacara operasi piawai (SOP) dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan serta sepanjang tempoh berada di PPS dengan mengelak berkumpul beramai-ramai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 63 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir hari ini membabitkan 42 kes jangkitan saluran pernafasan akut, acute gastroenteritis (11) dan penyakit kulit (10).

Menurutnya, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes bagi ketiga-tiga penyakit selain konjunktivitis serta penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) sebanyak 2,038 kes.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Semua mangsa banjir pulang ke rumah malam tadi

SHAH ALAM, 1 JAN: Semua mangsa banjir telah pulang ke rumah apabila pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini ditutup malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar menerusi Twitter hari ini.

“Tepat jam 11.59 malam di hari akhir tahun 2021, kesemua PPS banjir di Selangor telah ditutup dan semua mangsa banjir telah pulang ke rumah. Alhamdulillah.

“Sekalung penghargaan buat para petugas, sukarelawan, agensi kerajaan dan NGO (badan bukan kerajaan) yang banyak membantu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkomunikasi dengan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Kuala Selangor pada 22 Disember 2021. Foto Facebook Amirudin Shari

Semalam, hanya lima PPS di negeri ini kekal beroperasi menempatkan 134 keluarga dan 479 mangsa.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: 2,258 keluarga terjejas banjir terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 31 DIS: Sebanyak 2,258 keluarga terjejas akibat banjir menerima bantuan Selangor Bangkit setakat semalam, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan RM1,000 itu membabitkan dana berjumlah RM2.258 juta.

Selain itu, katanya, dua keluarga mangsa yang meninggal dunia masing-masing menerima bantuan berjumlah RM10,000.

“Sehingga 30 Dis 2021 – sebanyak 2,258 keluarga telah terima bantuan Selangor Bangkit RM1,000 dan keseluruhan RM2.258 juta telah diserahkan.

“Selain itu dua keluarga mangsa yang meninggal dunia turut telah disampaikan RM10,000 satu keluarga seperti pengumuman pada 21 Disember lalu,” katanya menerusi Twitter.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Mangsa di empat negeri menurun, Melaka kekal

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) — Jumlah mangsa banjir di Pahang, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan terus mencatatkan penurunan dengan beberapa lagi pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup, manakala di Melaka kekal dengan jumlah sama.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang memaklumkan banjir di Bera pulih apabila PPS terakhir di daerah itu ditutup petang ini, selepas semua 32 mangsa terakhir dibenarkan pulang, menjadikan hanya lima daerah masih terjejas iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan.

Sementara itu, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan 6,351 mangsa masih berada di 48 PPS petang ini, berkurangan daripada 7,319 orang tengah hari tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan di beberapa tempat di Kuantan dan Pekan pada malam ini, manakala cuaca baik di daerah lain terjejas banjir.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir turut mencatatkan penurunan setakat 5 petang tadi, dengan 42 mangsa daripada lapan keluarga berbanding 54 orang daripada 15 keluarga tengah hari tadi, di satu PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh di Pasir Mas.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di negeri itu berada pada paras bahaya.

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM mencatatkan 2,285 mangsa masih ditempatkan 13 PPS setakat 5.03 petang.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diarah mengenal pasti penyelesaian terbaik bagi menempatkan penduduk yang perlu mengosongkan rumah berikutan tanah runtuh dan tidak selamat didiami.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini di aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan dua PPS di Jelebu turun kepada 29 individu daripada sembilan keluarga setakat petang ini berbanding 36 individu daripada 12 keluarga tengah hari tadi.

Di MELAKA, jumlah mangsa  kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat 4 petang ini yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Benteng, Jasin, menurut aplikasi Info Bencana JKM.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pakar: Musibah luar jangka, prihatin kesan emosi mangsa bah

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Bencana banjir yang berlaku di lapan buah negeri termasuk Selangor dan beberapa daerah di Pahang serta Negeri Sembilan baru-baru sudah tentunya memberi kesan mendalam kepada kebanyakan mangsa yang terlibat, termasuklah dari aspek psikologi.

Tragedi yang mengakibatkan kemusnahan besar harta benda dan setakat ini meragut 48 nyawa, membuatkan ada mangsa yang masih berada dalam keadaan terkejut, trauma selain mengalami gangguan emosi dan mental.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri & Pengarah Pusat Kecemerlangan Klinikal MSU, Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi, reaksi psikologi kepada musibah di luar jangkaan ini amat bergantung kepada tahap ketegaran psikologi individu.

Beliau berkata terdapat mangsa banjir yang mengalami kemusnahan harta benda dan kehilangan ahli keluarga namun masih mampu kekal tenang dan fokus untuk meneruskan kehidupan, membaik pulih keadaan rumah, kenderaan dan sebagainya.

Sebaliknya, terdapat juga individu yang dari segi perbandingannya, cabaran yang dihadapi agak sederhana sebagai contoh tersadai di tepi jalan untuk beberapa jam, namun mengalami tekanan sehingga tahap berputus asa.

“Antara faktor yang menentukan reaksi psikologi seseorang terhadap kejadian bencana seumpama ini termasuklah pengalaman silam berhadapan bencana, keberkesanan diri untuk menghadapi tekanan, pihak yang wajar dipertanggungjawabkan dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Keadaan di sekitar Kampung Sungai Lui yang terjejas teruk selepas dilanda banjir ketika tinjauan Media Selangor di Hulu Langat pada 21 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Mereka yang pernah menghadapi bencana yang hampir serupa mungkin lebih terkesan dan mendapat reaksi stres akut yang berat kerana kejadian itu mengingatkan mereka akan penderitaan dan kesusahan yang dialami semasa bencana terdahulu atau, mungkin juga mereka menjadi lebih tenang dan tabah kerana telah lali dengan dugaan sebegini.

“Mereka yang mempunyai daya tahan yang kuat mungkin kurang terkesan dengan kejadian banjir besar ini, mampu segera mengadaptasi keadaan semasa dan mencari jalan penyelesaian terbaik akibat bencana ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Faktor semula jadi mudah diterima

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Najib berkata lazimnya semasa atau selepas kejadian bencana, individu cenderung untuk menyalahkan pihak tertentu seperti yang dapat dilihat yang berlaku di media sosial.

Persepsi siapa yang wajar dipersalahkan memainkan peranan penting dalam menentukan kesan psikologi akibat bencana.

Beliau berkata, mengikut kajian reaksi psikologi terhadap bencana, kejadian yang dilihat berpunca daripada faktor alam sekitar (berlaku secara semula jadi) secara relatifnya lebih mudah diterima oleh mangsa berbanding bencana yang dilihat sebagai disengajakan atau disebabkan kesalahan atau ketidakprihatinan pihak tertentu.

“Menurut beberapa kajian lain, sekiranya kejadian bencana dianggap memang tidak dapat dielakkan seperti bencana alam yang lazim berlaku pada masa tertentu contohnya banjir di Pantai Timur Semenanjung pada musim monsun sebegini, kesan psikologinya agak kurang.

“Sebaliknya apabila banjir besar berlaku di kawasan yang biasanya tidak terlibat banjir dan mangsa melihat ada faktor bukan semula jadi seperti kurang pemantauan kerajaan terhadap pembalakan berlebihan atau pembangunan yng tidak terancang, kesan marah dan tekanan yang dialami mungkin akan lebih teruk.

“Namun begitu, bukan semua orang yang terdedah kepada bencana terkesan daripada segi psikologi. Sebagai contoh dalam kajian saya bersama rakan-rakan terhadap mangsa gempa bumi di Sabah pada tahun 2015 mendapati kira-kira 54 peratus mangsa mengalami kesan psikologi dan selepas hampir lima bulan ia menurun kepada kira-kira lapan peratus sahaja,” katanya.

Norsila Zulkamal, 50, membersihkan rumahnya di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat sekitar jam 4 petang ketika tinjauan keadaan selepas banjir pada 22 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tambah beliau, tahap kesiapsiagaan bencana adalah faktor penting untuk memastikan daya tahan psikologi seseorang dalam menghadapi bencana.

“Sebagai contoh, kajian banjir di Terengganu pada 2014 menunjukkan bahawa tahap kesiapsiagaan bencana termasuk dari segi keupayaan penyesuaian kepada keadaan baru, sokongan sosial daripada ahli keluarga dan kesepakatan komuniti secara kolektif banyak membantu masyarakat mengurangkan kesan psikologi bencana itu,” katanya.

Utama sokongan emosi, bantuan pakar

Sokongan emosi adalah perkara paling penting kepada mereka yang terlibat dan pada peringkat awal keluarga atau rakan terdekat boleh mendengar keluhan serta bersifat prihatin apabila mangsa menyuarakan hasrat meminta bantuan.

“Ini termasuklah bantuan praktikal seperti makanan, tempat tinggal, pakaian dan sebagainya dan cuba membantu mereka menghubungi keluarga dan rakan terdekat sekiranya terputus hubungan (akibat banjir). Di samping itu elakkan memberi kenyataan retorik seperti ‘mujurlah tiada yang meninggal’, ‘panjang lagi umur awak’, ‘ini semua adalah kifarah’, ‘mudah-mudahan dosa…’

“Ini tidak bermaksud kenyataan itu salah namun dalam konteks situasi sekarang ia mungkin tidak sesuai kerana mangsa memerlukan masa untuk menerima dan redha akan musibah yang menimpa. Mungkin dengan cara mendengar dengan bersifat empati merupakan langkah paling tepat dalam tempoh terdekat selepas bencana,” jelasnya.

Dr Muhammad Najib bagaimanapun berkata, sekiranya mangsa menunjukkan gejala tekanan perasaan yang teruk seperti menjerit dan menangis secara berterusan serta sukar dikawal, bantuan segera perlu diberikan oleh sukarelawan terlatih seperti kaunselor, ahli psikologi klinikal atau ahli psikiatri.

Bernama pada 23 Disember lepas melaporkan seramai 872 sukarelawan kaunselor yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ditempatkan di tujuh negeri yang dilanda bencana banjir bagi tujuan membantu memulihkan emosi dan segala permasalahan dihadapi mangsa banjir yang trauma dengan musibah menimpa mereka.

“Kesan psikologi yang paling ketara adalah kecelaruan stres akutr (ASD), kecelaruan stres pasca trauma (PTSD) dan kecelaruan penyesuaian.

“ASD dan PTSD mempunyai ciri-ciri yang sama. Gejala utama diklasifikasikan kepada gejala gangguan berbentuk gambaran berulang kejadian buruk atau mimpi ngeri kejadian, mengelak untuk bercerita mengenai bencana atau untuk pergi ke tempat kejadian, mood yang negatif termasuk murung dan terlalu beremosi, panik, mudah terkejut dan kadangkala berkelakuan seperti hilang ingatan dan kaku.

“Cuma bezanya, ASD biasa berlaku sebaik sahaja bencana berlaku dan tidak terlalu lama, sementara PTSD gejalanya berterusan sehingga lebih sebulan dan kadangkala bermula selepas tempoh tertentu kejadian bencana. Kedua-dua keadaan ini memerlukan perhatian dan pemantauan oleh profesional kesihatan mental,” jelasnya menambah AD pula melibatkan gejala kemurungan, kegelisahan dan sebagainya yang agak ringan tetapi tetap mengganggu urusan harian penghidapnya dan memerlukan bantuan profesional.

Optimum SOP

Turut mengingatkan rakyat bahawa pandemik Covid-19 masih belum berakhir, beliau berkata risiko jangkitan meningkat semasa bencana banjir sememangnya wujud kerana amat sukar mengikuti sepenuhnya tatacara operasi piawai (SOP) dalam situasi semua orang bertarung nyawa menyelamatkan diri dan harta benda termasuk sewaktu berkumpul di pusat pemindahan sementara (PPS).

Tambahan pula, kebanyakan mangsa masih lagi dalam proses pemulihan daripada kesan psikososial pasca pandemik.

Justeru kata beliau, dalam situasi mencabar ini, baik mangsa banjir, sukarelawan mahupun ahli politik dan seluruh anggota masyarakat perlu mencuba untuk memaksimumkan pematuhan SOP.

“Bagi mereka yang mungkin berhadapan isu kebimbangan terlampau pula, barangkali bagi mengurangkan sedikit kebimbangan akan jangkitan berpeganglah bahawa, hampir semua orang dewasa di negara ini sudah lengkap vaksinasi, dan ramai yang telah menerima dos penggalak. Jadi, secara amnya, risiko jangkitan lebih-lebih lagi risiko mendapat jangkitan kategori yang lebih teruk iaitu kategori 3, 4 dan 5 adalah agak rendah,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata, bebanan mangsa banjir dapat dikurangkan dengan meningkatkan koordinasi bantuan termasuk dalam aspek pembersihan rumah, makanan dan kewangan baik di pihak kerajaan mahupun masyarakat secara keseluruhannya, selain memastikan bantuan yang diberikan sampai semaksimum mungkin kepada mangsa banjir.

Sukarelawan Team Selangor membantu membersihkan rumah penduduk yang dilanda banjir di Kampung Kenangan, Puchong pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dr Muhammad Najib menambah, bencana banjir besar ini seharusnya menginsafkan semua pihak agar lebih berhati-hati dalam urusan pembangunan negara kerana faktor alam sekitar termasuk kesan pemanasan global, perubahan iklim, pergerakan air bawah tanah dan kawasan tadahan banjir turut perlu diambil kira.

Situasi menang-menang pekerja, majikan

Sementara itu, Doktor Kesihatan Pekerjaan yang juga Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, bencana banjir yang turut menjejaskan golongan pekerja, majikan termasuk mereka yang bekerja sendiri boleh memberi kesan trauma secara berfasa terutama semasa dan pasca banjir.

Bukan sahaja perlu memikirkan aspek kewangan apabila banyak harta benda baik di rumah mahupun tempat kerja musnah, golongan pekerja dan majikan yang terjejas juga mungkin memerlukan masa lebih lama untuk kembali bangkit dan memulihkan keadaan seperti sediakala.

“Ramai yang pertama kali berhadapan situasi banjir yang tidak dijangka ini. Ada yang berasa trauma dengan pengalaman yang dilalui semasa banjir sebagai contoh terpaksa duduk berjam-jam menahan lapar dan kesejukan di atas bumbung rumah menunggu bantuan sampai. Ini termasuklah warga emas, ibu berpantang dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

“Pengalaman pertama kali duduk di PPS sewaktu awal-awal bencana berlaku yang mungkin dalam keadaan tidak teratur, turut memberi rasa trauma dan tidak selesa kepada mangsa banjir. Pasca banjir pula, apabila pulang ke rumah atau datang ke pejabat dan melihat kerosakan yang berlaku pastinya menimbulkan rasa sedih, tekanan termasuk keletihan melampau untuk mengurus dan membersihkan semuanya,” katanya.

Untuk itu, Dr Shawaludin berkata, di sinilah perlunya tolak ansur antara pekerja dan majikan kerana pekerja mungkin perlu mengambil cuti panjang bagi membersihkan rumah dan menguruskan beberapa urusan penting manakala majikan pula berhadapan kerugian besar apabila mesin dan peralatan di tempat kerja dilanda banjir.

“Wujudkan perbincangan dua hala antara kedua-dua pihak (pekerja dan majikan). Pada waktu inilah baik pekerja mahupun majikan perlu saling memahami situasi masing-masing. Majikan mungkin boleh mempertimbangkan cuti kecemasan atau cuti ihsan kepada pekerja manakala pekerja juga perlu sedia membantu majikan untuk memulihkan kembali syarikat agar mereka masih ada tempat untuk mencari rezeki.

“Berlapang dadalah atas ujian yang berlaku ini dan orang sekeliling, ahli keluarga dan rakan terdekat perlu memberi kata-kata semangat dan positif kepada mangsa banjir. Sokongan dari aspek fizikal terutama kewangan amat penting dalam situasi ini terutama untuk perkara asas seperti makanan, susu anak, lampin pakai buang, pakaian dan sebagainya.

“Kita bimbang sekiranya trauma dan tekanan yang berlaku akibat banjir ini tidak dikendalikan dengan baik akan membawa kepada konflik yang lebih besar sebagai contoh pergaduhan suami isteri, anak-anak terbiar serta tekanan di tempat kerja tidak kiralah di pihak pekerja mahupun majikan,” katanya menambah sokongan fizikal juga perlu diimbangi dengan sokongan mental.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan Selangor Bangkit bina semula kehidupan pascabanjir

SHAH ALAM, 29 DIS: Bantuan tunai RM1,000 oleh Kerajaan Selangor memberi semangat kepada mangsa banjir membina semula kehidupan yang terjejas akibat bencana itu.

Penduduk Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh, Nuri Zati Adnan, 32, berkata Bantuan Selangor Bangkit  meringankan beban mereka membeli semula barang yang rosak.

“Mungkin tidak boleh bantu beli semua tetapi dapat kurangkan beban. Ketika banjir, Kerajaan Negeri tolong beri makanan, sekarang kami dapat pula RM1,000 dan dapur memasak,” katanya.

Nuri Zati Adnan

Dia ditemui selepas menerima bantuan tersebut yang disampaikan sendiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah di sini semalam.

Bantuan itu diagih sehari awal untuk membantu mangsa banjir membeli barang keperluan dengan segera.

Warga emas Mohd Zahar Bahaman, 67, pula menganggap bantuan kewangan itu amat bermakna buat dirinya yang tinggal sebatang kara dan menghidap penyakit kencing manis.

“Banjir menyebabkan barang di rumah rosak dan terpaksa ganti. Bila dapat bantuan ini dapatlah beli.
Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin dengan nasib mangsa banjir,” katanya.

Mohd Zahar Bahaman

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta individu yang kekal di rumah.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Selangor turun kepada 7,503 orang

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri iaitu Selangor, Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan berkurangan pada tengah hari ini manakala di Melaka tidak berubah.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah keseluruhan mangsa banjir di kelima-lima negeri pada tengah hari ini ialah 19,099 orang daripada 5,882 keluarga yang berlindung di 122 PPS di seluruh negara.

Jumlah itu menurun berbanding 20,026 orang daripada 6,136 keluarga melibatkan 130 PPS, pada pagi tadi.

Di Selangor, aplikasi InfoBencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 7,503 orang di 36 PPS tengah hari ini berbanding 7,751 orang di 39 PPS pagi tadi.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat dan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam berada pada tahap waspada, masing-masing mencatatkan paras 3.38 meter dan 1.89 meter setakat 10.45 pagi tadi.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan 11,776 orang masih berada di 83 PPS tengah hari ini berbanding 12,692 orang di 90 PPS.

Enam daerah yang masih terjejas banjir di Pahang ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Kundang di Maran masih mencatatkan tahap melebihi amaran iaitu paras 21.06 meter tengah hari ini.

Kelantan turut mencatatkan penurunan mangsa banjir tengah hari ini apabila seramai 78 orang daripada 23 keluarga berada di PPS Sekolah (SK) Tok Deh, Pasir Mas tengah hari ini berbanding 152 orang daripada 46 keluarga di PPS itu dan SK Gual Periok, pagi tadi.

Di Negeri Sembilan, aplikasi InfoBencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir setakat tengah hari ini menurun sedikit kepada 54 orang daripada 18 keluarga berbanding 58 orang daripada 19 keluarga, pagi tadi.

Kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Triang Hilir dan Dewan Orang Ramai Kampung Puom di Jelebu.

Sementara itu, di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata jumlah mangsa banjir pada tengah hari ini tidak berubah dengan 26 orang daripada lapan keluarga masih berada di PPS SK Penghulu Benteng di Jasin.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Mangsa banjir boleh baiki alat elektrik percuma di Dewan Azalea

SHAH ALAM, 28 DIS: Mangsa banjir yang ingin membaiki alatan elektrik secara percuma boleh berbuat demikian di Dewan Azalea, Taman Sri Muda di sini bermula hari ini.

Program selama lima hari mulai jam 10 pagi hingga 5 petang melibatkan kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor dan komuniti membaiki alatan.

Dalam poster yang dikongsi di Twitter Majlis Bandaraya Shah Alam, antara barang yang boleh dihantar ialah periuk nasi, pemanas air, pengering rambut dan radio.

Perkhidmatan ditawarkan meliputi diagnosis kerosakan, pembaikan dan pembersihan dengan peralatan perlu dibawa ke pusat operasi selain alat ganti ditanggung pemilik.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Hisham (013-3315157), Rahmat (012-7099628), Syahid (019-3676634) dan Fatimah (017-3038097).

Mesin rawatan jantung bernilai RM200,000 antara 200 barang elektrik milik mangsa banjir yang berjaya dibaiki secara percuma dalam program seliaan seorang aktivis masyarakat sejak 23 Disember.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Mangsa banjir di PPS tidak perlu isi borang bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 27 DIS: Mangsa banjir yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta atau swasta tidak perlu mengisi borang bantuan RM1,000, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata senarai nama penerima akan diperoleh daripada PPS bagi memudahkan dan menyegerakan sumbangan menerusi inisiatif Selangor Bangkit.

“Semua yang mendaftar di PPS awam mahupun swasta tidak perlu memohon manakala yang tidak tinggal di PPS boleh hadir ke pusat sehenti yang diwujudkan bagi memudahkan proses pengesahan dan penyaluran,” katanya pada sidang media hari ini.

Jelasnya, hanya mangsa kategori tiga iaitu yang kekal di rumah sewaktu kejadian perlu mengisi borang berkenaan memandangkan maklumat peribadi mereka tidak diperolehi.

“Untuk kategori ini pegawai akan pergi rumah ke rumah untuk buat pendaftaran dan dilaksanakan mulai awal Januari depan.

“Mangsa hanya perlu membuat laporan polis sekiranya hilang dokumen pengenalan diri. Mangsa digalakkan juga datang ke pusat sehenti untuk mengisi borang atau boleh muat naik borang berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan pendaftaran dan agihan bantuan itu akan bermula secara berperingkat mulai Rabu ini.

Semalam beliau berkata bantuan terbabit dijangka selesai diagih kepada semua mangsa menjelang penghujung Januari.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Sumbangan RM1,000 diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis pantau ah long tawar pinjaman kepada mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima maklumat mengenai beberapa individu dipercayai ahli sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long mula mendekati mangsa banjir bagi menawarkan pinjaman.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata walaupun sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara itu, namun polis tidak menolak kemungkinan sindiket tersebut menyasarkan mangsa banjir untuk menjadi peminjam.

“Semua mangsa banjir dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada sindiket pemberi pinjaman tanpa lesen ini.

“Polis sentiasa komited untuk memantau kegiatan ah long melalui siasatan dan operasi berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata siasatan berhubung perkara ini boleh dijalankan mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 Kanun Keseksaan dan lain-lain akta berkaitan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Agihan bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir bermula Rabu

SHAH ALAM, 27 DIS: Pendaftaran dan pengagihan bantuan sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir di negeri ini akan bermula secara berperingkat mulai Rabu ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan mereka yang layak terima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta individu yang kekal di rumah.

Jelasnya, bantuan diberi secara berperingkat dengan permulaan kepada 9,000 keluarga yang berdaftar di PPS.

“Jangkaan berlaku pertambahan sehingga 15,000 hingga 20,000 keluarga susulan permohonan dari kategori yang tidak berpindah dan sumbangan bermula awal Januari depan,” katanya pada sidang media di bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Beliau berkata segala data penerima akan dikongsi kepada kerajaan persekutuan bagi memudahkan urusan sumbangan yang diumumkan.

“Kerajaan Negeri sedang memperhalusi bantuan lain yang bersesuaian bagi meringankan beban rakyat dalam meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Beberapa inisiatif bagi menyegarakan saluran bantuan:

  • Menubuhkan pusat sehenti untuk permohonan bantuan dengan kehadiran pihak yang dilantik sebagai pengesah antaranya polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Permohonan rumah ke rumah untuk mangsa yang telah kembali ke kediaman masing-masing
  • Bagi mangsa yang tidak berpindah, permohonan kepada Pejabat Tanah dan Daerah / ahli parlimen / ADN/ penyelaras DUN / ahli majlis / penghulu / ketua kampung / pengerusi persatuan penduduk / Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) / ketua komuniti
  • Permohonan melalui kaedah yang ditentukan oleh JPBD dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Permohonan tangguh bayar PTPTN dibuka mulai esok

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terkesan dengan bencana banjir boleh mengemukakan permohonan penangguhan bayaran balik pinjaman mulai esok sehingga 31 Mac 2022.

PTPTN dalam kenyataan memaklumkan permohonan boleh dibuat melalui portal rasmi PTPTN  (www.ptptn.gov.my/ PenangguhanBayaranBalikBanjir) atau hadir ke mana-mana cawangan PTPTN yang berhampiran.

Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan penangguhan bayaran balik pinjaman akibat bencana banjir.

“Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat bencana banjir ini akan diberikan untuk tempoh tiga bulan bermula pada bulan yang sama kelulusan permohonan diberikan dan dua bulan ke hadapan dari Disember 2021 hingga Mei 2022. Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan,” menurut kenyataan itu.

PTPTN  turut mengingatkan peminjam agar mengemas kini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat kelulusan permohonan penangguhan itu dapat disampaikan kepada mereka.

Tambah PTPTN peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN melalui www.ptptn.gov.my di ruangan soalan lazim atau menghubungi PTPTN melalui saluran Careline PTPTN di 03-21933000 (Isnin hingga Jumaat  9 pagi hingga 5 petang), live chat di www.ptptn.gov.my, e-Aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my/, eksekutif pemasaran PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn dan media sosial rasmi PTPTN.

— BERNAMA