Categories
PBT SELANGOR

Kakitangan MBPJ terjejas banjir terima barangan elektrik

SHAH ALAM, 9 JAN: Kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang teruk terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu menerima bantuan barangan elektrik.

MBPJ berkata barangan berupa peti ais, mesin basuh, televisyen, periuk nasi, thermos, kipas dan dapur gas disumbang badan korporat dan orang perseorangan melalui program tanggungjawab sosial.

“Diharapkan sumbangan ikhlas ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mangsa banjir khususnya kakitangan MBPJ sendiri untuk bangkit meneruskan kehidupan yang baharu.

“Tidak ketinggalan, sumbangan berupa barangan terpilih turut diberikan kepada jiran berdekatan,” tulisnya di Facebook.

Menurut MBPJ, Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir menyampaikan sumbangan itu kepada kakitangan yang tinggal di Puchong, Dengkil dan Hulu Langat.

Manakala kakitangan yang tinggal di Taman Sri Muda dan Bukit Lanchong, Shah Alam pula menerimanya melalui Timbalan Datuk Bandar Sharipah Marhaini Syed Ali.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga tan baju percuma habis ‘disambar’, seragam sekolah paling laku

SHAH ALAM, 9 JAN: Sebanyak tiga tan pakaian dan selimut diagih kepada mangsa banjir dalam tempoh dua hari Program Bazaar Percuma di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda di sini.

Daripada jumlah itu, pakai seragam sekolah paling mendapat sambutan apabila 150 helai habis dalam tempoh singkat, kata Pengasas Lead UP Malaysia Sangheta Jeyakumar.

“Seragam sekolah ini disumbangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan ia paling cepat diambil memandangkan sesi persekolahan akan bermula esok,” katanya ketika ditemui.

Program itu turut dihadiri EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau.

Beliau berkata program itu menerima sambutan menggalakkan hari ini apabila hampir 500 penduduk hadir dan jumlah pakaian ditambah dari semasa ke semasa.

“Setiap seorang yang datang mewakili satu keluarga. Sebab itu ada yang datang ambil 30 hingga 40 helai pakaian untuk isteri, ayah, emak dan anak,” kata Sangheta lagi.

Bazaar tersebut berlangsung selama dua hari sejak semalam dengan menyediakan pelbagai pakaian untuk mangsa banjir dan dibuka sehingga jam 4 petang ini.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau bersama Pengasas Lead UP Malaysia Sangheta Jeyakumar (kiri) memilih pakaian untuk diberikan kepada mangsa banjir ketika program Bazaar Pakaian Percuma di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda, Shah Alam pada 9 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais sumbang makanan kering, dapur masak kepada mangsa banjir

SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang 200 kotak makanan kering kepada kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang terkesan banjir.

Agensi memaklumkan bantuan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) disampaikan oleh EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni Jumaat lalu.

“Dalam pada masa yang sama turut diadakan majlis penyerahan bantuan banjir berupa 30 unit toto dan dapur memasak kepada wakil penduduk Kampung Bukit Lanchong.

“YB Zawawi turut menyumbang 10 periuk nasi elektrik,” tulisnya di Facebook.

Mais berkata pihaknya berharap bantuan tersebut dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mangsa banjir untuk memulakan kehidupan baru tahun ini.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 3,381 kes baharu, hampir 99 peratus tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Hampir 99 peratus iaitu 98.9 peratus atau 3,344 kes daripada jumlah keseluruhan 3,381 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini adalah dalam kategori satu dan dua, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau dalam kenyataan berkata daripada kes COVID-19 yang dilaporkan hari ini hanya 37 kes iaitu 1.1 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Sebanyak 319 kes merupakan kes import melibatkan 284 warganegara dan 35 bukan warganegara. Kes sembuh yang dilaporkan hari ini ialah 3,447 kes,” katanya.

Ini merupakan hari keempat berturut-turut kes baharu COVID-19 mencatatkan peningkatan selepas ia menurun di bawah 3,000 kes pada Isnin.

Menurutnya sebanyak enam kluster baharu dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM)  hari ini manakala kadar kebolehjangkitan seluruh negara adalah 0.96.

Dr Noor Hisham berkata maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan COVID-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https: //covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, beliau berkata sebanyak 56 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir pada hari ini.

Daripada jumlah itu, 33 kes merupakan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit (sembilan) dan acute gastroenteritis (AGE) (14).

Kata Dr Noor Hisham setakat 3 petang hari ini tiada kes baharu COVID-19 yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir dan ini menjadikan jumlah kes positif dalam kalangan mangsa banjir kekal 465  kes.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Petronas sumbang 1,000 tong gas bernilai RM150,000 kepada mangsa banjir

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerajaan Selangor menerima sumbangan 1,000 unit tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM150,000 daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk diagih kepada keluarga mangsa banjir negeri ini.

Syarikat minyak dan gas nasional itu turut menyumbang alatan pembersihan bernilai RM1 juta kepada KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi melancarkan kerja pencucian pascabanjir, menurut Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan tong gas akan diserahkan kepada mangsa terjejas bencana yang dikenal pasti mengikut daerah selewat-lewatnya minggu depan.

“Tumpuan diberikan kepada keluarga betul-betul memerlukan kerana kita dapati ada individu, agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang juga telah sampaikan sumbangan.

“Kta gembira atas sumbangan ini sekali gus dapat mengurangkan beban mangsa yang terjejas dengan bencana pada akhir Disember lalu,” katanya selepas menerima peralatan tersebut di perkarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sementara itu, naib presiden pemasaran hiliran Petronas berkata sumbangan disalurkan adalah sebahagian daripada RM25 juta peruntukan untuk membantu mangsa bencana yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

“Kerjasama dengan Kerajaan Negeri membolehkan sumbangan ini diagih secara lebih berkesan kepada isi rumah terjejas selain memudahkan perkhidmatan pembersihan di kawasan terjejas oleh KDEBWM,” kata Ahmad Adly Alias.

-tamat

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

LZS bantu bina semula 32 rumah mangsa banjir di Hulu Langat

SHAH ALAM, 5 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menampung kos pembinaan semula 32 rumah di Hulu Langat yang hanyut dan hancur akibat banjir bulan lalu, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata pejabat tanah dan daerah juga menyumbang sejumlah dana bagi memastikan proses pembinaan rumah berjalan lancar.

Beliau yang mengetuai jawatankuasa penyelarasan pascabanjir daerah itu menjelaskan bantuan diberi kepada semua dengan syarat tanah rumah adalah milik mangsa.

“Bantuan ini bukan hanya untuk asnaf tetapi mana-mana mangsa yang kehilangan rumah.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas taklimat situasi terkini banjir di Hulu Langat di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Buat masa sekarang mangsa tinggal menumpang di rumah saudara mara. Ada yang tinggal di kabin disediakan Kerajaan Negeri atau menyewa. Bayaran bulanan juga ditanggung LZS,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada 29 Disember Dato’ Menteri Besar memaklumkan Hulu Langat menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dan mengalami kerosakan sekali gus memerlukan lebih proses pembersihan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia diikuti Sri Muda, Shah Alam dan Bukit Lanchong, Subang Jaya.

Sebelum itu Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM2 juta daripada dana Selangor Bangkit disalur ke Hulu Langat bagi memulihkan semula sebahagian besar daerah itu yang terkesan banjir.
memulihkan semula sebahagian besar daerah itu yang terkesan banjir.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Warga emas tidak sabar balik rumah, bimbang haiwan peliharaan

KUALA LANGAT, 4 JAN: Seorang warga emas yang juga mangsa banjir di Banting mengakui tidak sabar untuk pulang ke rumah berikutan risaukan keadaan haiwan peliharaan dan ternakannya.

Hamidah Ahmad, 60, yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang berada di situ buat kali kedua selepas insiden banjir buruk Disember lalu.

“Saya tidak sabar untuk pulang ke rumah kerana rindu dan risaukan kucing dan ayam, malah bimbang keadaan rumah yang perlu ditinggalkan sekali lagi.

Hamidah Ahmad

“Kami dimaklumkan hanya boleh pulang selepas dua hari kerana air belum surut,” katanya.

Seorang lagi mangsa di lokasi sama Zamri Harun, 53, tidak sangka berdepan insiden tersebut kali kedua dalam tempoh singkat, apatah lagi keadaannya yang kurang upaya.

“Saya berharap kejadian ini tidak berulang kerana strok bahagian kiri menyukarkan pergerakan. Saya juga bergantung bantuan adik-beradik untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Suri rumah Azlina Jamhari, 43, pula sedih kerana rumah yang dilanda banjir Disember lalu baru siap dicuci, malah peti ais dan masih basuh masih berada di luar.

“Saya sangat berharap Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diterima dalam masa terdekat kerana tidak berpindah ke PPS sebelum ini,” katanya.

Seramai 40 mangsa banjir di daerah ini masih ditempatkan di Balai Raya Kampung Banting dan Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang akibat hujan lebat sejak kelmarin.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: 8,219 keluarga terima bantuan banjir RM1,000

SHAH ALAM, 4 JAN: Seramai 8,219 keluarga terjejas banjir di negeri ini memperoleh bantuan berjumlah RM1,000 setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Selangor membelanjakan sebanyak RM8.239 juta menerusi inisiatif Selangor Bangkit.

“Kerajaan Negeri akan memulakan proses penyerahan sumbangan rumah ke rumah bagi memudahkan rakyat menerima bantuan,” katanya menerusi Twitter.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah tiga minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai agihan hujung bulan ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

UAE sumbang hampir 10,000 barangan asas kepada mangsa banjir Selangor

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyumbang 9,600 barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di negeri ini semalam.

Barangan berupa beras, minyak masak, tepung gandum dan gula serta kit pencuci seperti berus gigi, tuala wanita dan cecair pencuci tangan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Datuk bandar Shah Alam berkata kesemua barangan terbabit akan diedar kepada mangsa banjir yang dikenal pasti dalam tempoh terdekat khususnya mangsa di Taman Sri Muda.

“Kita berterima kasih kepada UAE yang melalui Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) mereka menyampaikan sumbangan ini bagi membantu mangsa yang terkesan.

“Kita mempunyai data mangsa yang benar-benar terkesan yang diperoleh dari ahli majlis. Kita akan serahkan dalam tempoh terdekat,” kata Dato’ Zamani Ahmad Mansor.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan berkenaan dari wakil PBSM UAE Mohamed Salim Aljunabi di Wisma MBSA semalam.

Sebelum ini, MBSA mengedar makanan asas dan keperluan diri kepada mangsa banjir yang berlindung di Dewan Dahlia, Seksyen 24 di sini.

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Twitter berkata bantuan berkenaan berupa minyak masak, biskut, air mineral, lampin pakai buang dan tuala wanita yang disampaikan oleh kakitangannya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Wanita tipu jadi mangsa banjir, terima bantuan NGO ditahan polis

KUANTAN, 4 JAN: Seorang wanita tergamak menipu mengatakan dirinya adalah mangsa banjir bagi mendapatkan bantuan yang disalurkan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan di Mentakab, Temerloh baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata suspek berumur 33 tahun itu didakwa membuat permohonan bantuan banjir yang disampaikan sebuah NGO di pusat pemindahan sementara (PPS) di Temerloh pada 29 Dis lepas.

“Suspek mendakwa dirinya berstatus ibu tunggal kepada tiga anak dan tidak menerima sebarang bantuan, menyebabkan NGO tersebut memberi sumbangan kewangan, bekalan makanan, toto, selimut, bantal dan peralatan elektrik seperti kipas angin, mesin pengisar dan periuk nasi bernilai RM700.

“Bagaimanapun, NGO itu menerima rungutan orang ramai mendakwa wanita itu bukan mangsa banjir kerana alamat rumah yang digunakan dalam permohonan itu tidak didiami suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata seorang ahli NGO Itu membuat semakan sendiri dan mendapati wanita itu turut membuat permohonan bantuan kepada NGO serta sukarelawan lain, menyebabkan pengadu membuat laporan polis.

Siasatan awal polis juga mendapati alamat yang digunakan oleh suspek serta rumah yang didakwa ditumpanginya tidak berpenghuni selain semakan dengan ketua kampung di situ mengesahkan wanita itu bukan mangsa banjir.

Sehubungan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

42 mangsa banjir di Kelanang, Banting ke dua pusat pemindahan

SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 42 individu dari 12 keluarga di Kelanang dan Banting dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir, malam tadi.

Pegawai daerah Kuala Langat berkata jumlah itu merangkumi enam keluarga dengan 26 mangsa di PPS Dewan Kampung Kelanang dan baki di PPS Dewan Kampung Banting.

“Kesemua mereka dipindahkan sekitar jam 11 malam susulan air sungai berdekatan naik kerana hujan lebat. Setakat ini tiada pertambahan mangsa kerana air sungai mulai surut, selain cuaca bertambah baik,” kata Mohd Jusni Hashim kepada Selangorkini.

Beliau berkata kesemua mangsa diberikan makan dan minum yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala pejabat kesihatan daerah memantau tahap kesihatan mangsa.

Pada jam 10.30 pagi tadi, paras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat melepasi tahap bahaya (merah) apabila mencatatkan bacaan setinggi 4.34 meter.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi https://publicinfobanjir.water.gov.my, bacaan itu melepasi paras normal 4.20m disebabkan hujan lebat di kawasan berkenaan.

Paras air Sungai Langat di Dengkil, Sepang turut melepasi tahap waspada apabila mencatatkan bacaan 6.68m, juga akibat hujan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua pusat pemindahan kembali dibuka di Selangor, mangsa banjir lima negeri meningkat

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah terus mencatat peningkatan pagi ini berbanding semalam.

Di Selangor, dua PPS di daerah Kuala Langat menempatkan 40 mangsa kembali dibuka semalam.

Dua PPS tersebut adalah Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my setakat pukul 6.45 pagi tadi melaporkan kawasan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat berada pada paras bahaya apabila mencatat 4.29 meter manakala Sungai Langat di kawasan Dengkil, Sepang berada pada paras amaran dengan ketinggian 7.07 meter.

Sementara itu, di Pahang, hujan berterusan menyebabkan pertambahan mangsa iaitu 2,188 masih berada di 51 PPS pada awal pagi ini, melibatkan lapan daerah, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Daripada jumlah itu, 1,421 orang adalah mangsa banjir gelombang kedua dengan daerah Lipis mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 553 orang diikuti Rompin (340 orang) dan Raub (278 orang) dan selebihnya dari daerah lain.

Lapan jalan ditutup akibat dinaiki air antaranya Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran), Jalan Kuantan-Segamat (Pekan), Jalan Temerloh-Jerantut (Temerloh) dan Jalan Bentong-Gua Musang (Lipis).

Laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan enam sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Tanum di Chegar Perah di Lipis, Sungai Pahang di Paya Gintong (Jerantut) dan di Kuala Krau (Temerloh), Sungai Serting di Pdg Gudang (Bera), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Pukin (Rompin), manakala Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca hujan sepanjang hari di semua daerah terjejas banjir.

Penduduk setempat Mohamad Rusdi Mohamad Khatib, 34, meninjau keadaan stesen siren amaran awal banjir yang masih digenangi banjir ketika tinjuaan fotoBernama di Kampung Kuala Nal pada 2 Januari 2022. Foto BERNAMA

Di Melaka, jumlah mangsa meningkat kepada 2,537 mangsa daripada 656 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,778 mangsa daripada 462 keluarga 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan di Melaka Tengah dan sembilan di Jasin.

“Seramai 1,015 mangsa daripada 270 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Alor Gajah, 1,391 mangsa daripada 356 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Melaka Tengah serta 131 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Jasin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Johor pula, jumlah mangsa bertambah kepada 3,841 orang pagi ini berbanding 2,553 orang semalam dengan enam daerah kini terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata Mersing menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan seramai 366 mangsa daripada 90 keluarga ditempatkan di enam PPS.

Sementara di Sabah jumlah mangsa terus meningkat kepada 2,435 daripada 874 keluarga setakat pagi ini berbanding 1,823 mangsa daripada 599 keluarga malam tadi.

Beberapa rumah penduduk dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Sungai Manjang, Sandakan pada 2 Januari 2022. Foto BERNAMA

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan setakat ini sebanyak 23 PPS dibuka enam daerah di negeri ini sejak Jumaat lepas.

Daerah yang terjejas banjir termasuk Kota Marudu seramai 1,973 mangsa daripada 520 keluarga ditempatkan di 12 PPS, daerah kecil Paitan 97 mangsa daripada 23 keluarga di tiga PPS.

Selain itu di Pitas, 79 mangsa daripada 22 keluarga di dua PPS, Sandakan (197 mangsa daripada 42 keluarga) di dua PPS, Telupid (51 mangsa, lapan keluarga) di dua PPS dan Beluran (38 mangsa, 10 keluarga) di satu PPS.

Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan 22 PPS di negeri ini meningkat kepada 2,041 individu daripada 554 keluarga setakat 7 pagi ini berbanding 1,892 individu daripada 505 keluarga malam tadi.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan Ir Wan Hasnan Wan Musa berkata sebanyak 15 laluan melibatkan beberapa daerah di Negeri Sembilan ditutup untuk semua kenderaan dan hanya tiga dibuka untuk kenderaan berat termasuk di Tampin susulan jalan runtuh dan dinaiki air setakat tengah malam tadi.

Di Terengganu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata jumlah mangsa banjir kekal 137 orang daripada 42 keluarga pagi ini di dua PPS di Dungun.

“Dua PPS yang masih beroperasi ialah Dewan Orang Ramai Kampung Shukor yang menempatkan 68 orang daripada 20 keluarga dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (69 orang, 22 keluarga).

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my pula memaklumkan hanya Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman merekodkan ketinggian melepasi paras amaran pagi ini.

-BERNAMA