Categories
PBT SELANGOR

MBSA kutip 2,630 tan metrik sisa banjir di Klang, Petaling hari ini

SHAH ALAM, 1 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya mengutip 2,630 tan metrik sampah dalam proses pembersihan pascabanjir hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook memaklumkan 2,256 tan metrik sampah dikutip di Klang manakala 374 tan metrik di Petaling.

“Bagi daerah Petaling kerja pembersihan di tujuh lokaliti banjir selesai sepenuhnya iaitu di Seksyen 13, Seksyen 19, Seksyen 22 (Kampung Kebun Bunga), Seksyen 23, Seksyen 28 (Kampung Lanchong Jaya), Seksyen U1 (Taman Mesra) dan Seksyen U3 (Desa Subang Perantau).

“Manakala bagi daerah Klang pula kerja pembersihan di tiga lokaliti banjir juga selesai sepenuhnya iaitu di Seksyen 32, Seksyen 33 (Alam Indah) dan Seksyen 35 (Taman Desa Kemuning),” katanya.

KDEB Waste Management (KDEBWM) menggunakan lori roro (roll on roll off) bagi melancarkan kerja pembersihan pascabanjir di kawasan sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam pada 31 Disember 2021. Foto Facebook KDEBWM

Tambah Amirudin, Sri Muda mencatatkan pengeluaran sampah sebanyak 2,148 tan metrik hari ini berbanding 1,822 tan metrik semalam.

Sehingga Khamis lalu, kerja pembersihan bermula 25 Disember di situ mencapai kira-kira 35 hingga 40 peratus dan bakinya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Laluan sementara Bas Smart Selangor untuk penduduk Sri Muda terjejas banjir

SHAH ALAM, 1 JAN: Laluan sementara Bas Smart Selangor di sekitar Taman Sri Muda di sini disediakan untuk kegunaan penduduk terkesan banjir di kawasan itu.

Maklumat dikongsi Dato’ Menteri Besar menerusi Facebook memaklumkan perkhidmatan melibatkan enam laluan untuk penduduk di kawasan terlibat.

“Kemaskini laluan sementara Bas Smart Selangor bagi kemudahan penduduk di kawasan Taman Sri Muda,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Maklumat disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam menjelaskan senarai laluan itu bermula di Hub Sri Muda diikuti Balai Polis Sri Muda, Hentian Jalan Hasrat, Pasaraya NSK, Petron Sri Muda, Pangsapuri Andorra dan berakhir di Hub Sri Muda.

Perkhidmatan tersebut bermula 6 pagi hingga 10 malam dengan kekerapan sejam.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Tong sampah pukal disedia percuma untuk mangsa banjir

SHAH ALAM, 29 DIS: Mangsa banjir di negeri ini tidak perlu bimbang menggunakan tong sampah pukal untuk kerja pembersihan kerana ia dibekalkan secara percuma.

EXCO kerajaan tempatan menerusi Facebook memaklumkan kemudahan disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), KDEB Waste Management (KDEBWM) boleh terus digunakan tanpa sebarang bayaran.

“Tong roro (roll on roll off) yang disediakan MBSA, KDEB dan agensi berkaitan adalah percuma kepada semua mangsa banjir,” kata Ng Sze Han.

Maklumat dikongsi melalui hebahan MBSA juga menjelaskan orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati terhadap mana-mana individu atau syarikat yang cuba mengambil kesempatan dalam perkara itu.

 

 

Categories
PBT SELANGOR

Mangsa banjir boleh baiki alat elektrik percuma di Dewan Azalea

SHAH ALAM, 28 DIS: Mangsa banjir yang ingin membaiki alatan elektrik secara percuma boleh berbuat demikian di Dewan Azalea, Taman Sri Muda di sini bermula hari ini.

Program selama lima hari mulai jam 10 pagi hingga 5 petang melibatkan kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor dan komuniti membaiki alatan.

Dalam poster yang dikongsi di Twitter Majlis Bandaraya Shah Alam, antara barang yang boleh dihantar ialah periuk nasi, pemanas air, pengering rambut dan radio.

Perkhidmatan ditawarkan meliputi diagnosis kerosakan, pembaikan dan pembersihan dengan peralatan perlu dibawa ke pusat operasi selain alat ganti ditanggung pemilik.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Hisham (013-3315157), Rahmat (012-7099628), Syahid (019-3676634) dan Fatimah (017-3038097).

Mesin rawatan jantung bernilai RM200,000 antara 200 barang elektrik milik mangsa banjir yang berjaya dibaiki secara percuma dalam program seliaan seorang aktivis masyarakat sejak 23 Disember.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA, MPAJ dan MPKS giat bersih kawasan terjejas banjir

SHAH ALAM, 25 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) giat menjalankan kerja pembersihan di kawasan masing-masing yang terjejas banjir minggu lalu.

Menerusi Twitter, MBSA memaklumkan aktiviti pembersihan pascabanjir dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi seperti di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 di sini melibatkan petugas jabatan landskapnya dan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Manakala pembersihan di Masjid Sri Muda, Seksyen 25 pula dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), petugas Istana Negara serta sukarelawan.

Di Bukit Lanchong, Seksyen 28, MBSA memberitahu kerja berkaitan dibantu petugas Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan KDEBWM.

Inisiatif sama dijalankan MPAJ di Sungai Lui, Hulu Langat dianggotai 40 sukarelawan terdiri daripada penguat kuasa dan kakitangan.

Pegawai Komunikasi Korporatnya Norhayati Ahmad berkata misi bantuan terbabit menumpukan Sekolah Rendah Agama Sungai Lui, Madrasatul Hassanah Sungai Lui dan Masjid Batu 14, Hulu Langat.

Sukarelawan MPAJ pada 24 Disember 2021 berganding bahu membersihkan kawasan Sekolah Rendah Agama Sungai Lui, Hulu Langat yang terjejas banjir. Foto MPAJ

“Mereka mengeluarkan karpet yang basah dan membersihkan lumpur dalam kawasan masjid,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, MPKS memaklumkan kerja pembersihan dijalankan di 10 rumah penduduk sekitar Taman Suloh Bestari, Bestari Jaya termasuk sebuah dewan.

Seramai 100 kakitangan diketuai Yang Dipertua Rahilah Rahmat dan Setiausaha Yusli Askandar dikerah bagi melancarkan proses pembersihan tersebut.

“Aset MPKS turut digerakkan seperti alatan pembersihan, ‘waterjet’ dan ‘backhoe’ serta tong Roll On Roll Off (RoRo) untuk melicinkan proses pembersihan,” katanya menerusi Facebook.

Sukarelawan MPKS pada 24 Disember 2021 membersihkan kediaman penduduk terjejas banjir di Taman Suloh Bestari, Bestari Jaya, Kuala Selangor. Foto Facebook MPKS

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA jangka kutipan sampah pukal pascabanjir selesai dua minggu lagi

SHAH ALAM, 24 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan proses pembersihan sampah pukal di kawasan pascabanjir yang sedang dilaksanakan secara maksimum ketika ini, akan selesai dalam tempoh dua minggu.

Datuk Bandar MBSA Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata MBSA kini giat melaksanakan operasi pembersihan di seluruh kawasan Shah Alam khususnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dan Padang Jawa, Seksyen 16, di sini yang terjejas teruk susulan banjir sejak 18 Disember lepas.

Namun katanya, lorong dan jalan kecil serta jumlah kenderaan banyak diletakkan di tepi jalan di kawasan Padang Jawa dan Taman Sri Muda antara sebab yang menyukarkan proses pembersihan dan juga pergerakan lori sampah masuk ke kawasan tersebut.

“Justeru, kita minta penduduk untuk bersabar kerana MBSA kini ‘full force’ dalam operasi pembersihan sampah pukal pascabanjir ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma MBSA hari ini.

Zamani Ahmad berkata setakat ini, sebanyak 824 tan metrik sampah telah dikutip di sekitar Shah Alam dan menjangkakan jumlah tersebut akan terus meningkat, dan MBSA telah membuka satu kawasan transit sampah di Seksyen 21 susulan banjir yang melanda.

“Sebelum ini, sampah yang dikutip akan dihantar ke tempat pelupusan di Jeram Sanitary Landfill, Kuala Selangor yang mengambil masa kira-kira tiga jam bagi satu perjalanan tidak termasuk masa menunggu, jadi ekoran banjir dan sampah yang banyak, ia dikumpulkan dahulu di pusat transit berkenaan,” katanya.

Mengulas berhubung status kereta tersadai di sekitar Shah Alam, Zamani Ahmad berkata pihaknya akan mengalihkan kereta ke bahu jalan untuk memastikan kelancaran trafik dan memudahkan kerja-kerja pembersihan serta pergerakan jentera sampah.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Rekahan di susur Lebuhraya Persekutuan, MBSA tutup guna kanvas

SHAH ALAM, 22 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengesan satu rekahan di susur keluar Lebuhraya Persekutuan ke arah Kuala Lumpur dari Bulatan Melawati di sini.

Susulan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan memasang kanvas dan menutup sebelah lorong buat sementara waktu bagi keselamatan pengguna jalan raya.

“Mohon pengguna jalan raya agar berhati-hati melalui susur keluar Lebuhraya Persekutuan ke arah Kuala Lumpur dari Bulatan Melawati kerana ada kesan rekahan,” katanya di Twitter.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Antara kawasan terjejas teruk ialah Taman Sri Muda dengan kebanyakan rumah masih dipenuhi air, namun menurun daripada rekod melebihi enam kaki tinggi pada Sabtu.

Kesan rekahan yang dikesan di susur keluar Lebuhraya Persekutuan ke arah Kuala Lumpur dari Bulatan Melawati. Foto Twitter MBSA
Categories
AGENSI SELANGOR

MBSA sedia bas hantar mangsa banjir balik rumah

SHAH ALAM, 22 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan perkhidmatan bas untuk membawa pulang mangsa banjir ke kediaman masing-masing dari pusat penempatan sementara (PPS).

Dalam kenyataan ringkas di Twitter pagi ini, pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan mangsa hanya dibenarkan balik setelah kawasan rumah mereka disahkan selamat.

Perkhidmatan percuma itu melibatkan lima PPS iaitu Dewan Kenanga Seksyen 28, Ciast Seksyen 19, Politeknik Shah Alam, Masjid Negeri dan Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah 2 Seksyen 28.

Sebarang pertanyaan hubungi Bilik Gerakan Pantas MBSA di talian 03-5510 5811 atau media sosial MBSA di Twitter, Instagram dan Facebook.

Selain bas, MBSA turut mengagihkan bekalan makanan dan barangan asas kepada mangsa banjir yang terkesan di sekitar Shah Alam.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Foto Twitter MBSA
Categories
AGENDA NASIONAL PBT SELANGOR

Raja Muda sertai misi selamatkan mangsa banjir Kampung Baru Hicom

SHAH ALAM, 20 DIS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli menyertai misi bantuan menyelamatkan mangsa banjir di kawasan Kampung Baru Hicom hari ini.

Menurut Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam, Tengku Amir Shah terlibat dalam misi tersebut bersama pasukan 10 Briged Tentera Darat. Turut serta, Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor.

Semalam, Baginda  berkenan melawat mangsa banjir di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini dan menyampaikan bantuan keperluan asas.

Raja Muda juga membeli sendiri barang keperluan di pasar raya di sini untuk diedar kepada mangsa banjir di Seksyen 16 di sinidan di Taman Meru Jaya, Klang

Selain itu, MBSA juga menjelaskan pihaknya menerima sumbangan 5,000 roti daripada Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd serta orang awam dan sukarelawan (barangan keperluan asas).

Semalam, pihak berkuasa tempatan itu mengagih minyak masak, biskut, air mineral, lampin pakai buang dan tuala wanita kepada mereka di pusat pemindahan sementara di Dewan Dahlia, Seksyen 24 di sini.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA edar makanan asas, keperluan diri kepada mangsa banjir

SHAH ALAM, 19 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengedar makanan asas dan keperluan diri kepada mangsa banjir yang berlindung di Dewan Dahlia, Seksyen 24 di sini hari ini.

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Twitter berkata bantuan berkenaan berupa minyak masak, biskut, air mineral, lampin pakai buang dan tuala wanita yang disampaikan oleh kakitangannya.

“Individu atau sukarelawan boleh bersama-sama menghulurkan bantuan sumbangan berupa makanan kering seperti biskut, roti, susu bayi, lampin pakai buang, tuala wanita.

“(Turut boleh disumbangkan) tikar, selimut, tuala, selipar, air mineral, pakaian dalam wanita dan lelaki, kelengkapan dandanan diri dan peralatan solat,” tulisnya di bebenang Twitter.

Menurut kenyataan itu, sumbangan boleh dibuat dengan menghubungi  pegawai MBSA, Norhamini Sharif di talian 012-388 9235 dan Juliah Alimun (019-214 0164).

Categories
AGENSI SELANGOR

MBSA buka lebih banyak pusat pemindahan bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 19 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter, yang berkongsi senarai PPS terlibat bagi rujukan orang awam.

Lokasi melibatkan kawasan tengah antaranya Dewan Jenjarum Seksyen 11, utara (Dewan Rozel Seksyen U6), selatan (Dewan Azalea Seksyen 25) dan dewan kecil (Dewan Kerayung Seksyen 25).

Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Bilik Pantas MBSA di talian 03-5510 5811.

Berikut senarai lokasi PPS:

 

Categories
PBT SELANGOR

Pasukan MBSA A johan tarik tali pantai, bawa pulang wang tunai RM2,000

SHAH ALAM, 13 DIS: Pasukan MBSA A menggunguli acara tarik tali pantai dalam Kejohanan Sukan Pantai 2021 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.

Berlangsung di Dewan Besar Tanjung MBSA Seksyen 19, kemenangan itu melayakkan pasukan MBSA A menerima hadiah wang tunai RM2,000.

Menurut ketua bahagian korporat dan perhubungan awam MBSA, tempat kedua dimenangi pasukan DBKL yang menerima hadiah wang tunai RM1,000, tempat ketiga milik Shah Alam City Boy menerima wang tunai RM700.

“Tempat keempat jatuh kepada pasukan Penjara Sungai Buluh. Hadiah disampaikan Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haji Zamani Ahmad Mansor,”kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Tambah beliau, kejohanan diadakan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat khususnya komuniti di Shah Alam pasca pandemik Covid-19.

“Pertandingan ini juga memberikan peluang kepada semua golongan khususnya orang muda untuk bergiat aktif dalam aktiviti sukan,”katanya.

Pada masa yang sama, pertandingan sepak takraw pantai yang melibatkan 16 pasukan turut diadakan.

Pasukan Ezy Sepak Takraw Club memenangi tempat pertama dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000. Manakala, pasukan MBSA B memenangi tempat kedua dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.

Pasukan MBSA A memenangi tempat ketiga dan pasukan Jebat TKP tempat keempat. Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500.