Categories
PBT SELANGOR

MBSA tangkap 21 anjing liar, atasi kacau ganggu penduduk Elmina

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menangkap 21 ekor anjing liar sejak tahun lalu bagi mengelak kacau ganggu sekitar perumahan Elmina Garden dekat sini.

Sebanyak 15 tangkapan dibuat pada 2021 manakala enam lagi sepanjang bulan ini, kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad.

“Kesemua tangkapan haiwan liar dibuat hasil operasi Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA,” katanya.

Shahrin berkata MBSA juga menyelaras operasi untuk menyelesaikan isu gagak yang mengganggu penduduk selain mengatasi longgokan sampah bahan binaan dan sisa pukal.

“Usahasama dibuat dengan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling untuk mengenal pasti status tanah memandangkan sampah berkaitan bawah rintis Tenaga Nasional Berhad,” katanya.

Berhubung isu landskap jalan utama yang didakwa menghalang pandangan pemandu jalan raya, beliau menjelaskan perkara itu dirujuk kepada Sime Darby selaku pemaju kawasan terbabit.

Pada 25 Januari, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han bersama MBSA membuat lawatan tapak untuk meninjau beberapa masalah di perumahan tersebut.

Permasalahan itu turut mendapat perhatian Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Veterinar.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA sumbang periuk serba guna kepada lebih 1,500 mangsa banjir

SHAH ALAM, 23 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyumbang 1,525 periuk serba guna kepada mangsa banjir sekitar kawasan kendaliannya hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata inisiatif itu sebagai langkah susulan meringankan beban mangsa yang kehilangan harta benda akibat bah besar pada Disember tahun lalu.

Jelas Shahrin Ahmad bantuan melibatkan 635 mangsa di Taman Seri Muda, Padang Jawa (400), Kampung Lanchong Jaya (240) dan Kampung Kebun Bunga Batu 3 (250).

“Datuk Bandar Dato’ Zamani Ahmad Mansor meluangkan masa menyerahkan sendiri bantuan ini kepada mangsa.

“Beliau sempat beramah mesra selain mengetahui perkembangan semasa semua mangsa. Kita harap bantuan ini dapat membantu mereka,” katanya ketika dihubungi.

Kawasan kendalian MBSA antara lokasi utama negeri ini mengalami kerosakan teruk selain daerah Hulu Langat dan Subang Jaya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pengangkutan percuma untuk OKU, warga emas ke pusat rawatan

SHAH ALAM, 13 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan pengangkutan percuma kepada pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas mendapatkan rawatan di lapan hospital serta pusat rawatan terpilih.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Shahrin Ahmad berkata kenderaan itu meliputi dua unit van diubah suai mengikut keperluan golongan OKU dan sebuah proton Exora untuk warga emas.

Menurutnya, penyediaan kenderaan komuniti merupakan tanggungjawab sosial korporat dan keprihatinan MBSA berikutan perkhidmatan pengangkutan kepada golongan terbabit terhad dan sukar didapati.

“Kenderaan ini dilengkapi dan disesuaikan untuk kegunaan OKU serta warga emas dengan kemudahan ‘tail lift’ yang boleh menampung seseorang berkerusi roda.

“Kenderaan komuniti ini boleh memuatkan dua penumpang dan seorang pemandu kerana ruang bahagian kenderaan dikosongkan serta dilengkapi ciri keselamatan seperti tali pinggang bagi memastikan kerusi roda tidak bergerak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata kenderaan itu beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, tempahan pula boleh dibuat seminggu sebelum penggunaan perkhidmatan dengan menghubungi Seksyen Kemasyarakatan, Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA di talian 03-55222732 atau 03-55105133 sambungan 1381.

Berikut lapan lokasi terpilih perkhidmatan kenderaan komuniti:

1. Hospital Shah Alam
2. Klinik Kesihatan Seksyen 7, Shah Alam
3. Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam
4. Klinik Kesihatan Bukit Kuda, Klang
5. Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang
6. Hospital Besar Sungai Buloh
7. Klinik Kesihatan Sungai Buloh
8. Pusat Perubatan Universiti Malaya Petaling Jaya (PPUM)

 

Kenderaan komuniti yang disediakan secara percuma kepada orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas sekitar Shah Alam untuk mendapatkan rawatan di hospital serta pusat rawatan terpilih. Foto MBSA
Categories
PBT SELANGOR

Pejabat bergerak MBSA di Plaza Masalam Sabtu ini

SHAH ALAM, 11 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan pejabat bergerak di pekarangan tempat letak kereta Plaza Masalam Seksyen 9 di sini pada Sabtu ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata perkhidmatan ‘Shah Alam On Wheels’ dari 11 pagi hingga 5 petang merupakan platform untuk memudahkan orang ramai berurusan pada cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Pejabat bergerak ini akan menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan dan pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan dan sebagainya.

“Melaluinya, MBSA berharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan untuk manfaat masyarakat,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

MBSA menggunakan kaedah itu di beberapa lokasi sebelum ini sebagai pendekatan memudahkan urusan orang ramai termasuk pembayaran kompaun tertunggak.

Categories
PBT SELANGOR

Permohonan permit Bazar Ramadan MBSA dibuka mulai 17 Januari

SHAH ALAM, 10 JAN: Permohonan permit Bazar Ramadan bagi kawasan seliaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dibuka secara dalam talian mulai 17 Januari ini.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam berkata permohonan yang dibuka sehingga 16 Februari itu boleh dimohon menerusi https://bazar.mbsa.gov.my

Orang ramai perlu mengisi borang permohonan secara atas talian dan memuat naik salinan dokumen yang diperlukan dengan lengkap sebelum proses pendaftaran dilaksanakan.

“Sebanyak 33 lokasi tapak bazar disediakan oleh pihak Majlis pada tahun ini. Antara lokasi tapak bazar tersebut adalah di Seksyen 6, 7, 8, 16,17, 18,19, 20, 24, 25, 27, 28, 31,33, 35, U2, U3, U5, U8, U10, U13, U19 dan U20,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan.

Jenis jualan dan kadar bayaran permit adalah seperti berikut

– Makanan RM207
– Minuman RM207
– Makanan bergoreng RM237
– Air Kelapa / tebu RM237
– Jualan berbakar RM237
– Ayam golek RM297

Sebarang pertanyaan berkenaan permit bazar ramadhan boleh menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-55105133 dengan sambungan 1700/1762/1486/1699/1317/1366.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sampah skala besar selesai dikutip, kini fokus bersihkan longkang

SHAH ALAM, 8 JAN: Pembersihan sampah pukal berskala besar di Taman Sri Muda, Seskyen 25 di sini selesai 100 peratus semalam, kata Datuk Bandar Shah Alam.

Dato’ Zamani Ahmad Mansor memaklumkan tumpuan kini diberikan kepada pembersihan longkang dan kawasan lorong bersama KDEB Waste Management (KDEBWM).

“Lori sukar masuk ke kawasan ini, jadi kita ingin bawa keluar sampah untuk dimasukkan ke dalam lori Roll on Roll off (RoRo),” katanya ditemui pada program Pembersihan Mega Pascabanjir hari ini.

Program itu turut disertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Operasi pembersihan sampah di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terkesan banjir bulan lalu selesai 100 peratus setakat 8 malam tadi.

Dalam laporan pengendali sisa pepejal KDEBWM, sebanyak 48,589.95 tan sampah pukal dibersihkan sejak air mulai surut 20 Disember lalu.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tambah stesen pemindahan sementara uruskan sampah bah

SHAH ALAM, 5 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menambah satu lagi stesen pemindahan sementara di Seksyen 35 (Alam Impian) bagi memudahkan pembersihan sampah bah.

Stesen sedia ada setakat ini meliputi Seksyen 21, Seksyen 35, Seksyen 34, Seksyen 29, Seksyen 28 dan Seksyen 25, kata Timbalan Datuk Bandar Mohd Rashidi Ruslan.

Beliau menjelaskan sampah pukal dari lokasi banjir dikumpulkan di stesen berkenaan sebelum dibawa ke tapak pelupusan sampah di Kuala Langat dan Jeram.

“Kita anggarkan tambahan stesen dapat meningkatkan sasaran kutipan 3,000 tan metrik. Stesen ini memudahkan pergerakan lori dari lokaliti banjir dan mengurangkan tempoh perjalanan,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas meninjau operasi pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda hari ini menambah sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi melaksanakan kerja tersebut.

“RM3.5 juta dianggarkan daripada MBSA manakala baki daripada Kerajaan Negeri,” kata Mohd Rashidi.

Belasan stesen pemindahan sementara dibuka setakat ini bagi mempercepat kerja pembersihan pascabanjir di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

Selain MBSA, PBT lain termasuk Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pembersihan pascabanjir lokaliti MBSA selesai Ahad ini

SHAH ALAM, 5 JAN: Operasi pembersihan sampah banjir fasa satu bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dijangka selesai sepenuhnya Ahad ini.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Rashidi Ruslan berkata sebanyak 13 dari 21 lokasi terjejas selesai dibersihkan manakala baki mencecah antara 70 hingga 80 peratus.

Beliau memaklumkan sebanyak 34,188 tan metrik sampah dikeluarkan setakat semalam dengan lebih separuh membabitkan kawasan Taman Sri Muda.

“Proses pembersihan dijalankan hampir 24 jam dengan menumpukan kawasan kediaman pada waktu siang manakala malam di kawasan industri dan komersial,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau operasi pembersihan pascabanjir di beberapa lokasi di Taman Sri Muda termasuk dua stesen pemindahan sementara (TS).

Mohd Rashidi turut memaklumkan jentera sama iaitu 1,537 lori dan ratusan tong Roll-on-Roll-off (Roro) digerakkan ke setiap lokaliti untuk pembersihan fasa kedua.

Taburan hujan luar biasa antara 100 ke 400 milimeter secara berterusan antara 17 hingga 19 Disember mengakibatkan 186 kawasan di sembilan daerah di Selangor terjejas banjir.

Antara yang terkesan teruk ialah Taman Sri Muda, dengan 4,276 mangsa berjaya diselamatkan dan sebahagian besar ditempatkan ke 18 pusat pemindahan sementara (PPS).

Categories
AGENDA NASIONAL PBT SELANGOR

MBSA bersihkan lebih 31,000 tan metrik sampah banjir

SHAH ALAM, 4 JAN: Sebanyak 31,374 tan metrik sampah banjir dibersihkan dari kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setakat semalam.

Berdasarkan laporan semasanya, pihak berkuasa tempatan itu mengutip 2,868 tan metrik sampah sehari dengan pecahan 314 tan metrik di daerah Petaling, manakala 2,554 tan metrik lagi di Klang.

Dibantu beberapa agensi, ia berjaya membersihkan 12 lokasi di Seksyen 25 sehingga pukul 1 petang tadi.

Kerja tersebut turut dibantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pengendali sisa pepejal, SWCorp dan sukarelawan beberapa pertubuhan bukan kerajaan serta syarikat korporat.

Di daerah Petaling, kerja pembersihan selesai sepenuhnya di sembilan lokaliti banjir  iaitu Seksyen 13, Seksyen 19, Seksyen 22 (Kampung Kebun Bunga), Seksyen 23, Seksyen 28 (Kampung Lanchong Jaya), Seksyen U1, Seksyen U3, Seksyen U6 dan U17.

Di Klang pula, empat lokaliti sempurna dibersihkan melibatkan Seksyen 32, Seksyen 33 (Alam Indah), Seskyen 35 (Taman Desa Kemuning) dan Seksyen 36 (Taman Sri Wangi, Sungai Kandis).

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pembersihan pascabanjir Sri Muda dijangka selesai minggu ini

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda di sini dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya minggu ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata setakat ini 11,919 tan sampah pukal telah dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

“MBSA bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) menguruskan sampah di kawasan banjir dan boleh dikatakan sebahagian kawasan telah mencapai 100 peratus.

“Namun di Taman Sri Muda kawasan yang terjejas adalah besar dan ketika ini sudah lebih 60 peratus diselesaikan. Insy-Allah kita cuba selesaikannya minggu ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan dari Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah di Wisma MBSA semalam.

Kerja pembersihan pascabanjir oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Zamani berharap mangsa banjir khususnya kawasan perindustrian dapat membuang sampah di stesen pemindahan sementara (TS) yang disediakan.

“Saya minta jangan buang di tepi jalan raya, di kawasan perumahan kerana kita sudah bersihkan tetapi perlu lakukannya berulang kali kerana masih ada yang buang keesokannya,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 28,506 tan metrik sisa banjir dikutip di kawasan pentadbiran MBSA mulai hujung Disember hingga semalam.

Infografik dikongsi MBSA di Twitter menunjukkan sebanyak 12 dari 21 lokasi terjejas selesai dibersihkan dengan kutipan harian berjumlah 3,042 tan metrik.

Kerja pembersihan itu melibatkan 250 petugas pihak berkuasa tempatan berkenaan, 65 dari KDEBWM dan 45 sukarelawan menggunakan 207 lori serta 60 pengorek kaut.

Categories
BERITA UTAMA

28,506 tan metrik sampah bah dibersihkan sekitar Shah Alam

SHAH ALAM, 3 JAN: Sebanyak 28,506 tan metrik sisa banjir dikutip di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mulai hujung Disember hingga semalam.

Infografik dikongsi MBSA di Twitter menunjukkan sebanyak 12 dari 21 lokasi terjejas selesai dibersihkan dengan kutipan harian berjumlah 3,042 tan metrik.

Kerja pembersihan itu melibatkan 250 petugas pihak berkuasa tempatan berkenaan, 65 dari KDEB Waste Management (KDEBWM) dan 45 sukarelawan menggunakan 207 lori serta 60 pengorek kaut.

Sementara itu, MBSA memaklumkan kutipan sisa banjir di Taman Sri Muda mencecah 11,919 tan metrik dalam tempoh sama dengan jumlah harian sebanyak 2,490 tan metrik.

Pembersihan pula menggunakan 135 lori dan 45 pengorek kaut melibatkan 43 petugas dari MBSA dan KDEBWM serta 45 sukarelawan.

Sebelum ini, Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir memaklumkan proses kutipan sisa pascabanjir di beberapa lokasi mencecah antara 65 hingga 85 peratus, yang dijangka selesai seawal Khamis.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA keluarkan lebih 25,000 tan sampah dari kawasan banjir

SHAH ALAM, 2 JAN: Sebanyak 25,464 tan sampah pukal akibat banjir telah dikeluarkan dari kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setakat semalam.

MBSA memaklumkan secara anggaran sebanyak 2,630 tan sampah dikeluarkan setiap hari.

Berdasarkan perkongsian infografik di Facebook, terdapat 21 kawasan di dalam MBSA terjejas akibat banjir susulan hujan lebat pada 17 hingga 19 Disember lalu dengan 10 kawasan telah selesai dibersihkan.

Kerja-kerja pembersihan pasca banjir di teruskan oleh anggota Penguatkuasa, MBSA di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam

Seramai 668 individu terbabit membersihkan kawasan terjejas merangkumi 93 orang dari MBSA, 307 dari KDEB Waste Management (KDEBWM) dan 268 sukarelawan.

Sebanyak 355 lori dan 94 jentera pengaut digunakan bagi membantu mengeluarkan kesemua sampah berkenaan.

Pada 31 Disember, sebanyak RM6 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mengurus sampah pascabanjir, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata Selangor memerlukan RM10 hingga RM20 juta untuk menyelesaikan proses pembersihan dan pungutan sampah berkenaan.