Categories
NASIONAL

Projek salur air mentah Pahang-Selangor siap 20 Disember

SHAH ALAM, 22 MEI: Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor dijangka siap sepenuhnya pada 20 Disember ini dan kini sudah 96 peratus siap.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata setakat ini pembinaan projek yang terdiri daripada empat komponen atau pakej Terowong Penyaluran Air Mentah, Empangan Kelau, Stesen Pam Semantan dan Saluran Paip Berkembar.

air mentah“Pada awal Ogos ini, sebagai percubaan awal kita akan menyalurkan 500 juta liter air sehari ke Sungai Langat yang mempunyai tiga loji rawatan air,” katanya dipetik MStar Online.

Beliau berkata, percubaan itu juga sebagai langkah menambah jumlah air di sungai itu kerana negara dijangka dilanda musim kering bermula Jun ini kesan daripada fenomena El Nino.

Projek itu apabila siap sepenuhnya mampu menyalurkan 1.89 bilion air mentah liter sehari dari Pahang ke Selangor bagi menampung keperluan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

 

Categories
SELANGOR

Charles gesa Ongkili dedah isi kandungan MoU penstrukturan air kepada awam

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 MAC: Penyelaras Gabungan Menentang Penswastaan Air (CAWP), Charles Santiago menggesa Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili mendedahkan isi kandungan memorandum persefahaman (MoU) penstrukturan industri air Selangor kepada awam yang ditandatangani, pada 26 Febuari lalu.

Charles berkata, gesaan itu dibuat melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Ongkili pada 2 Mac lalu yang sehingga kini masih belum mendapat sebarang reaksi daripada menteri terbabit.

“Selepas lima hari MoU ditandatangani, rakyat Malaysia terutama Selangor masih belum dapat penerangan berkenaan apa yang dipertaruhkan untuk mereka, apa yang sudah dipersetujui termasuk implikasi kos. Tambahan pula, analisis media dan komen orang ramai yang keliru terhadap MoU berkenaan.

charles“Saya meminta Ongkili mendedahkan kepada awam berkenaan Mou penstrukturan air Selangor memandangkan isu ini membabitkan kepentingan tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Charles yang juga Ahli Parlimen Klang turut menggesa Ongkili menjelaskan sama ada MoU yang ditandatangani sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Pada 26 Febuari lalu, Kerajaan Selangor yang diwakili Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan diwakili Ongkili menandatangani MoU penstrukturan insdustri air Selangor sambil disaksikan Najib dan Muhyiddin di Putrajaya.

Antara kandungan utama Mou itu terbabit adalah Kerajaan Persekutuan akan menyuntik RM2 billion untuk membantu kerajaan negeri dalam urusan pengambialihan saham syarikat konsesi air Selangor dan sebagai balasan, Selangor akan mengeluarkan kebenaran merancang untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (LRAL2).

MB air MOUSementara menunggu Langat 2 disiapkan, Kerajaan Selangor juga akan melaksanakan tiga tanggungjawab utama untuk memastikan bekalan air bersih mencukupi iaitu menjalankan program mitigasi bernilai RM900juta yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, memulakan projek Horas (Hybrid Off River Augmentation System) di Sungai Selangor yang mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 juta liter sehari (MLD) atau tiga bilion liter pada 2050 dan majlis pecah tanah projek itu akan diadakan dalam tempoh dua minggu daripada sekarang.

Tanggungjawab terakhir adalah menurunkan peratusan air tidak berhasil (NRW) daripada 33 peratus kepada tahap yang lebih rendah dalam tempoh enam bulan kerana pratusan tinggi NRW yang gagal diturunkan oSYABAS adalah punca utama bekalan air bersih tidak mencukupi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB : Kenaikan tarif elektrik hanya beri kesan buruk

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 3 DIS : Kenaikan tarif elektrik yang diumumkan kerajaan pusat dilakukan pada masa yang salah dan hanya mengakibatkan pelbagai masalah kepada pelbagai pihak.

Menteri Besar, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata alasan yang diberikan kerajaan pusat bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menghadapi kerugian akibat peningkatan kos adalah tidak tepat.

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 03Katanya, kerajaan pusat seharusnya melakukan kira-kira semula kerana kesan peningkatan tarif elektrik bakal menjejaskan industri perniagaan dan pelaburan Malaysia.

“Reaksi awal saya adalah (kenaikan tarif elektrik) masa yang salah dan kita perlu mengkaji sifat industri tenaga.

“Selain daripada itu, saya fikir kerajaan pusat perlu berhati-hati kerana ini membabitkan kesan terhadap perniagaan dan pelaburan, yang mana perlu melakukan pengiraan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan Forum Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) di Hotel Concorde Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah serta Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi.

Beliau mengulas kenaikan tarif elektrik sebanyak 15 peratus yang diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili, berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Tarif elektrik meningkat 14.89 peratus bersamaan 4.99 sen setiap kilowatt yang menjadikan harga tarif semasa daripada 33.54 sen sekilowatt naik kepada 38.53 sen.

Bagaimanapun, Maximus dipetik sebagai berkata, kerajaan pusat akan terus memberi subsidi kepada pengguna domestik di seluruh negara bagi penggunaan di bawah 300kWJ sebulan.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rundingan air menuju peringkat akhir, Selangor sedia bentang cadangan ambil-alih industri

air-syabas_MB1

SHAH ALAM 21 OGOS : Kerajaan Negeri bersedia membentangkan draf cadangan pengambilalihan syarikat konsesi di negeri ini pada bila-bila masa sebagai langkah melaksanakan penstrukturan industri air di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan perbincangan dengan Persekutuan mengenai perkara itu seperti yang dipersetujui sebelum ini.

“Kita sekarang sedang menanti peringkat akhir perbincangan ini untuk membentangkan draf cadangan masing-masing dan berharap ia dapat disegerakan demi untuk kepentingan rakyat yang tertekan dengan masalah air.

“Perlaksanaannya itu nanti juga perlulah holistik dan memberi kepentingan kepada semua pihak dan bukan keuntungan pihak tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang memberitahu masalah pembekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun Maximus berkata, isu itu dapat menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat sekiranya Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Selangor mencapai persetujuan dalam pelbagai perkara dan saling bertolak ansur.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air.

Empat syarikat konsesi itu antaranya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash).

– HM

Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Khalid Jumpa KETTHA Bincang Penstrukturan Semula Air Minggu Depan

mb kejohanan golf worldwide 2013 01

DAMANSARA 18 JUN : Perbincangan awal mengenai penstrukturan semula industri air dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dijangka akan diadakan minggu depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid memaklumkan satu temujanji sudah diatur oleh pejabatnya dengan pihak kementerian.

Katanya, pertemuan antara pihak Kementerian itu akan dihadiri oleh beliau sendiri.

“Seperti yang kita tahu, Menteri Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini menyatakan persediaan untuk bertemu saya bagi membincangkan perkara ini.

“Oleh itu, saya akan bertemu dengan pihak Kementerian minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Cheque daripada penaja-penaja Kejohanan Golf Worlwide Holdings di Kelab Seri Selangor, di sini.

Abdul Khalid menambah temujanji itu akan diadakan sebagai permulaan awal sebelum perbincangan terperinci mengenai isu itu.

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Dalam majlis hari ini, Abdul Khalid berkata sebanyak RM 4.35 juta hadiah termasuk empat buah kereta jenis Toyota ditawarkan untuk kejohanan golf tersebut yang berlangsung daripada 20 hingga 23 Jun ini.

Kejohanan Golf Pro Am kali ke enam itu, menampilkan Juara tahun lalu, Thaworn Wiratchant (Thailand) yang dijangka akan mempertahankan kejuaraannya.

Turut berentap Lin Wen Tang (Chinese Taipei), Scott Hend (Australia) dan Anirbon Lahiri (India).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penstrukturan Semula Industri Air Dimulakan Kembali

mb exco baru pc 01

KLANG 30 MEI : Perbincangan mengenai industri air Selangor akan dimulakan kembali dengan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat dengan harapan penstrukturan semula perkhidmatan itu dapat diteruskan Kerajaan Selangor.

Ini supaya proses pengambilalihan operasi rawatan dan pengedaran air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada empat syarikat swasta dapat disempurnakan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang cukup, berterusan dan pada harga berpatutan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, surat rasmi mengenai perbincangan sudah dihantar Isnin lalu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air baru Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Surat tersebut sebagai respons Kerajaan Negeri kepada kenyataan Dr Maximus minggu lepas yang mahu bertemu dan berbincang dengan Selangor tentang perkhidmatan air di Selangor.

Abdul Khalid berharap kementerian akan memberi respon segera supaya satu perbincangan dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Keutamaan kita ialah untuk meningkatkan perkhidmatan pembekalan air kepada rakyat Selangor dan Lembah Klang menerusi penstrukturan semula perkhidmatan air seperti yang dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA.

“Saya telah menghantar surat rasmi kepada Dr Maximus Ongkili untuk mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan proses penstrukturan ini.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah ahli jemaah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Minggu lalu, Dr Maximus menyatakan hasrat bertemu dengan Abdul Khalid dalam cadangan untuk menstruktur semula industri air di Selangor supaya satu kesimpulan secara baik akan dapat dicapai.

Dr Maximus berkata beliau harap untuk duduk bersama dengan Abdul Khalid untuk meneroka bahagian yang Kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.