Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Hargai pengorbanan pejuang merdeka

SHAH ALAM, 19 OGOS: Semangat pengorbanan yang digagaskan pejuang kemerdekaan dahulu perlu dihargai kerana ia menjadi pencetus kepada kemajuan dan kemakmuran Malaysia hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, rasa cinta kepada negara perlu diberi keutamaan berbanding perkara lain supaya kemerdekaan dikecapi lebih bermakna, di samping meningkatkan ekonomi ke arah lebih baik.

“Apakah erti kenegaraan? Kalau boleh saya jawabkan dengan jujur dalam cara paling sederhana. Begini, jika ikutkan hati, kita mungkin memilih untuk tidak membayar cukai, hidup bersama kaum kita sahaja tanpa kaum lain atau mungkin tidak mahu bahasa lain dituturkan sama sekali.

“Di situlah letaknya erti bernegara, setiap daripada kita perlu berkorban supaya kecintaan kepada watan diutamakan berbanding yang lain. Semangat pengorbanan itulah yang ditunjukkan pejuang kemerdekaan dahulu, yang membolehkan kita menikmati keadaan aman dan selesa sekarang.

“Tanpa pengorbanan, tiada kemerdekaan. Tanpa kemerdekaan, kemajuan tidak bermakna dan hidup menjadi tidak bererti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Selaras dengan semangat kemerdekaan, Kerajaan Negeri turut bercadang untuk melaksanakan dasar pembangunan negeri yang lebih bertanggungjawab dan lestari bagi menghadapi cabaran mendatang.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan keadaan status quo sekarang. Selangor perlu berubah. Ia perlu menjadi pencetus keajaiban ekonomi dan berada di baris paling hadapan dalam barisan kemakmuran ASEAN.

“Sebagai pemimpin, menjadi tanggungjawab saya untuk membuat tindakan yang betul bagi kebajikan dan maslahat jumlah terbesar kalangan rakyat.

“Walaupun langkah yang dilakukan dijangka tidak popular, tetapi bagi memastikan kelangsungan pentadbiran ini, kita bertekad untuk meneruskan polisi yang betul dalam menjamin masa depan anak cucu kita nanti,” katanya.

Dalam majlis sama, Amirudin turut meletakkan bendera Malaysia di kenderaan Pihak Berkuasa Tempatan dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Bulan kemerdekaan tambah rezeki ibu tunggal

GEORGE TOWN, 8 OGOS: Bulan merdeka menjadi rezeki tambahan kepada seorang tukang jahit, Mahani Udit, di sini yang menerima banyak tempahan baju diperbuat daripada bendera Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

Ibu tunggal tiga anak itu berkata, semuanya bermula apabila beliau menjahit dua pasang baju Jalur Gemilang untuk dipakai anak kembarnya dalam pertandingan baju patriotik tercantik di tadika anaknya, pada 2015.

Katanya, sejak dari tahun itu, tempahan membuat baju Jalur Gemilang mula meningkat setiap tahun.

“Namun, setelah anak kembar saya memakainya, ramai ibu pelajar dan guru tadika yang tertarik dengan baju berkenaan dan ingin menempah pakaian Jalur Gemilang untuk dipakai pada sambutan bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Pada mulanya saya bukan tukang jahit sepenuh masa, hanya menjahit pakaian untuk anak-anak sahaja,” kata wanita berusia 30 tahun itu kepada Bernama.

Mahani berkata, beliau kini menjadi tukang jahit sepenuh masa sejak lima tahun lalu ekoran tempahan baju semakin banyak selain baju Jalur Gemilang.

Kini beliau membuka sebuah butik Anggerik Rimba Alteration pada 2016 di sebuah pusat membeli-belah di Bukit Jambul yang beroperasi dari 11 pagi hingga 9.30 malam setiap hari.

Baju Jalur Gemilang yang dijahit dijual dengan harga RM70 hingga RM250 sepasang mengikut saiz dan corak baju berkenaan.

Ibu tunggal yang kini belajar Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengurusan sibuk menyiapkan baju Jalur Gemilang sebanyak 30 pasang dalam sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Saya mula mengambil tempahan pada bulan Julai hingga September bagi baju Jalur Gemilang, sebab pelanggan saya akan memakai baju berkenaan pada Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” kata Mahani.

Katanya, sebanyak 1,000 pasang baju Jalur Gemilang dijual pada tahun lepas dan beliau berharap angka berkenaan akan kekal atau bertambah pada tahun ini.

Kebanyakan pelanggannya adalah guru sekolah yang menempah baju Jalur Gemilang untuk pelajar.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MBSA seru kibar Jalur Gemilang sempena merdeka

SHAH ALAM, 8 OGOS: Sempena sambutan Hari Kemerdekaan tidak lama lagi, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyeru semua bangunan pejabat kerajaan dan swasta mengibarkan Jalur Gemilang bermula 16 Ogos sehingga 25 September ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kilang, rumah kedai, masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam dan kediaman juga diminta membuat perkara sama.

“Kita menyeru masyarakat di sekitar Shah Alam supaya dapat memasang bendera dengan cara betul dan tidak menggunakan Jalur Gemilang yang lusuh serta koyak.

“Ia bagi menerapkan rasa bangga dan cintakan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Shahrin berharap usaha itu dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dan menaikkan semangat patriotik dalam kalangan komuniti setempat.

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Perutusan Hari Merdeka oleh DSAI

 

31 Ogos adalah suatu tarikh keramat dan bermakna buat seluruh warga Malaysia rentas kaum, agama, mazhab dan perbedaan politik.

Merdeka tidak hanya bebas daripada kerakusan imperialisme Barat, tetapi juga keazaman kita dalam mengisinya dengan nilai-nilai sejagat yang inklusif, sejajar dengan semangat Malaysia baharu dalam memaknai demokrasi, keadilan dan kemuliaan insan.

Martabatkan sambutan dengan memperkemas iltizam dan terus memupuk rasa cinta pada negara, perpaduan dan kebersamaan dalam keluarga besar Malaysia.

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim

Categories
NASIONAL

TPM: Berganding jadikan Malaysia baharu maju, harmoni

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengajak seluruh rakyat Malaysia meraikan sambutan Hari Kebangsaan dengan mengisi pengertian Malaysia Baharu, membawa negara lebih maju dan harmoni di era pasca kemerdekaan.

Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2018, Dr Wan Azizah berkata rakyat perlu bersama-sama bergandingan dalam membina Malaysia menjadi sebuah negara yang teguh, cemerlang dan dihormati di mata dunia serta disegani lawan dan kawan.

“Saya mengimpikan Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang dibanggakan rakyat dan terpahat sebagai tanah air dan ibu pertiwi dalam hati mereka.

“Saya impikan Malaysia yang mana tidak ada seorang pun yang kelaparan dan kehausan, yang ditutupi pakaian yang carik lagi usang atau yang terpaksa tidur berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit.

“Saya impikan sebuah Malaysia yang mengiktiraf wanita dan meletakkan mereka di kedudukan yang sewajarnya, mewakili sekurang-kurangnya 30 peratus di peringkat pembuat dasar dan keputusan di sektor awam dan swasta, malah ia bukan hanya retorik bahkan akan dilaksanakan dengan kesungguhan,” katanya dalam ucapan yang turut disiarkan di televisyen.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut mengimpikan para suri rumah di Malaysia dilayan sebagai teman setara serta pembimbing kepada generasi baharu dan diberikan ruang dan penghormatan yang selayaknya.

Beliau juga ingin melihat kanak-kanak menjadi salah satu aset utama negara dan kesejahteran mereka terjamin.

“Saya impikan juga Malaysia menyinar sebagai obor harapan kepada amalan demokrasi tulen, bukan hanya di rantau ini malah di seluruh dunia,” katanya

Timbalan Perdana Menteri juga menyeru setiap rakyat mengamati perjuangan dan pengorbanan dilalui pejuang kemerdekaan yang membawa kepada keadaan negara pada hari ini.

“Jika mereka boleh mengorbankan nyawa mereka demi kita, maka kini sewajarnyalah kita pula mengorbankan masa, fikiran dan kudrat kita untuk bersama-sama mengisi kemenangan ini bagi mencapai Malaysia Baharu yang kita impikan. Selamat Hari Kebangsaan,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M: Capai kemerdekaan kedua, PAKATAN jamin keadilan buat rakyat

SHAH ALAM, 30 OGOS: Bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang disambut pada hari esok, kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan menjamin keadilan kepada rakyat selepas mencapai kemerdekaan kedua sekaligus menolak pemerintahan kejam kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi perutusan sempena Hari Kebangsaan berkata, rakyat perlu berganding bahu bersama dengan kerajaan baharu untuk memulihkan negara susulan kerosakan ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Sesungguhnya ini adalah kemerdekaan kedua bagi kita. Kita sudah bebas daripada belenggu pemerintahan kejam. Hidup kita lebih selesa.

“Malah, Kerajaan PAKATAN akan jamin keadilan bagi semua rakyat, tanpa mengira kaum, bangsa atau agama,” katanya dalam perutusan yang disiarkan oleh televisyen tempatan.

Dr Mahathir berkata, mengimbas kembali kejayaan Malaysia, negara itu penrah membangun dengan pesatnya sehingga dikenali sebagai Harimau Asia dan sebenarnya Malaysia mampu menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

“Malangnya pertukaran pemerintahan membawa perubahan dasar dan pendekatan dengan sistem demokrasi serta pentadbiran mengikut undang-undang digugur malah diganti dengan cara lain.

“Demikianlah kerosakan dan tekanan yang dirasai rakyat sehingga mereka berasa seolah-olah mencapai kemerdekaan sekali lagi apabila PRU 14 (Pilihan Raya Umum ke 14) menghasilkan perubahan pemerintahan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir memahami hasratnya mengajak rakyat berganding bahu dengan kerajaan untuk memulihkan negara bukan sesuatu yang mudah.

Katanya, beliau sudah membayangkan cabaran besar bakal dihadapi namun tetap yakin dengan gandingan kerajaan serta rakyat mampu memulihkan negara.

Categories
NASIONAL

Merdeka: Azmin tekad pasti ekonomi terus berdaya tahan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bertekad memastikan ekonomi Malaysia terus berdaya tahan, mampan dan berkembang maju seiring kemerdekaan negara, kali ke-61.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, isu ketidaksamaan pertumbuhan antara negeri, jurang antara kumpulan pendapatan, kadar pengangguran belia yang tinggi dan peningkatan kos sara hidup akan terus menjadi keutamaan pihaknya.

Katanya, hal itu kerana ekonomi memainkan peranan penting dalam memastikan kemerdekaan sesebuah negara kekal utuh dan menjadi cegah rintang daripada anasir tidak diingini.

“Syukur ke hadrat Allah SWT kerana tahun ini kita masih berpeluang menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan kali ke-61, apatah lagi ia disambut dalam era Malaysia Baharu.

“Semoga kemerdekaan ke-61 ini akan menjadi titik tolak kepada permulaan pertumbuhan ekonomi yang rancak, sekali gus memberi erti lebih bermakna di sebalik laungan Merdeka,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, kejayaan sesebuah negara bergantung kepada keharmonian serta kestabilan ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Seperti yang diungkapkan ahli ekonomi terkemuka dunia, Milton Friedman pada 1962, penyusunan ekonomi memainkan peranan besar untuk mengisi aspirasi kemerdekaan yang dicapai bapa pengasas Malaysia.

“Kemerdekaan kita adalah hasil keringat dan pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu, yang bukan sahaja bertungkus-lumus membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah, malah membentuk negara ini mengikut acuan serta budaya tersendiri,” katanya.

Categories
NASIONAL

Hayati erti kemerdekaan, terap dalam jiwa

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 21 OGOS: Semua lapisan masyarakat diminta menghayati nilai dan erti sebenar kemerdekaan negara serta semangatnya yang perlu diterapkan dalam jiwa.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, rakyat perlu sedar akan perjuangan nenek moyang menentang penjajah untuk mempertahankan tanah air yang tercinta.

“Kemerdekaan ini sangat besar maknanya dalam hidup rakyat Malaysia. Hargainya sebagai peristiwa penting.

“Tidak mudah sebuah negara yang dijajah. Nenek moyang bertungkus-lumus memastikan negara mencapai kemerdekaan.

“Saya sering ke Indonesia melihat sambutan dilaksanakan, di sana. Saya perhatikan walaupun hanya mengayuh beca tetapi mereka meletakkan bendera dan usahakan sendiri mendirikan pintu gerbang,” katanya ketika Kempen Jalur Gemilang dan Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.

Mohd Anuar berkata, sambutan di negara berkenaan juga dilihat sebagai satu bangsa tanpa mengira pegangan politik.

Justeru, beliau berharap semangat kemerdekaan terus ditiup oleh semua pihak dan membantu memperbanyakkan aktiviti patriotik dengan kerjasama agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan.

“Kemerdekaan kali ini juga istimewa kerana pertama diadakan, di bawah pentadbiran baru,”katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati pulang ke kampung halaman sepanjang cuti perayaan Aidiladha dan kemerdekaan tidak lama lagi.

Categories
PBT SELANGOR

Sambutan Hari Kebangsaan MBPJ meriah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 21 OGOS: Lebih 1,000 pengunjung termasuk kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memenuhi Perkarangan Ibu Pejabat MBPJ, di sini, pagi ini, bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan itu.

Bertepatan dengan tema Sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’, program itu antara usaha MBPJ ke arah mewujudkan masyarakat saling memahami dan hormat menghormati bagi menjamin kestabilan masa depan negara.

Dato’ Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, ia penting bukan sahaja dalam kalangan warga kerja MBPJ, bahkan rakyat Malaysia amnya.

“Tema ‘Sayangi Malaysiaku’ seperti diumumkan Perdana Menteri dilihat menepati usaha kerajaan yang mahu memberi tumpuan khusus kepada rakyat Malaysia bahawa bukan mudah mencapai kemerdekaan.

“Justeru, sebagai anggota perkhidmatan awam dan rakyat Selangor, kita harus bersyukur dengan nikmat kebebasan dikecapi buat masa ini kerana kemakmuran serta kemajuan negeri ini adalah hasil daripada pengorbanan bapa, ibu juga anggota keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan ke-61 MBPJ, di sini.

Sehubungan itu, Azizi berkata, beberapa program dilaksana pihaknya dengan hasrat mempamerkan semangat kemerdekaan terutama di kawasan pentadbiran terbabit.

“Beberapa program tambahan diadakan antaranya ‘Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor’ (SNPS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri. Saringan program SNPS dijalankan pada 18 dan 19 Ogos lalu, manakala 12 peserta terpilih bakal ke pentas akhir, pada 22 September ini.

“Selain itu, pertandingan keceriaan komuniti diadakan melalui penubuhan jawatankuasa khas yang bertanggungjawab memilih empat Kawasan Rukun Tetangga terbaik dengan mempamerkan semangat kebangsaan,” katanya.

Terdahulu, Azizi turut menyerahkan jalur gemilang kepada Ahli Majlis dan Ketua Jabatan serta menyampaikan hadiah bagi Pertandingan Keceriaan Merdeka.

Pada masa sama, beliau juga mengagihkan 4,000 tiket bola sepak Piala Sultan Selangor 2018 kepda semua kakitangan dan pengunjung yang hadir.

Categories
SELANGOR

Selangor konsisten pacu agenda peduli rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OGOS: Semangat kemerdekaan negara menjadi landasan terbaik bagi Kerajaan Negeri kekal memacu agenda kebajikan peduli rakyat demi membangunkan Selangor sebagai negeri maju.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, kelangsungan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada warga Selangor diteruskan berpandukan semangat dan tekad perpaduan seluruh negeri.

“Tahun ini, rakyat Malaysia menyambut hari kemerdekaan ke-60 dengan tekad mengekalkan keharmonian dan perpaduan dengan menolak anasir jahat dari dalam ataupun luar negara yang mahu menghancurkan kita.

“Semoga kemerdekaan ini mendidik kita pentingnya perjuangan untuk terus maju ke arah Malaysia Baru dan memacu rencana peduli rakyat supaya nikmat kemerdekaan itu dirasai sehati sejiwa,” katanya dalam perutusan kemerdekaan..

yb-zaidySementara itu, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, masyarakat seharusnya memahami pengertian sebenar kemerdekaan, berpandukan fahaman jiwa bebas tanpa dipengaruhi mana-mana sentimen.

“Kemerdekaan sebenar bukat setakat bebas dari penjajahan kolonial tetapi bebas jiwa dan minda dari sebarang kongkongan melainkan berserah sepenuhnya kepada Allah,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh, beliau berharap kemerdekaan ke-60 itu membawa sinar baru kepada seluruh masyarakat Selangor.

“Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan. Semoga Selangor sentiasa maju dan menjadi medan harapan kepada generasi muda,” katanya.

Categories
SELANGOR

SJBA sambut merdeka penuh ceria

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 31 OGOS: Persatuan Penganut Agama Buddha Subang Jaya (SJBA), hari ini menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-60 secara sederhana dan meriah.

Bertempat di perkarangan bangunan SJBA, mereka bersama menyanyikan lagi Negaraku, Negeri Selangor, Tanggal 31 dan Keranamu Malaysia sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Dihadiri Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen dan Presiden SJBA, Chim Siew Choon, mereka turut meraikan sambutan kemerdekaan dengan memotong kek bersama penganut yang meraikan ulang tahun kelahiran dalam bulan Ogos.

Di samping itu, penghargaan turut diberikan kepada beberapa pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hannah dalam ucapannya menzahirkan rasa kagum terhadap ibu bapa yang berjaya mendidik anak mereka hingga mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Saya kagum melihat ibu bapa mampu mendidik anak belajar. Saya sebagai ibu bapa juga akui ada kalanya sukar meminta anak menyiapkan kerja sekolah.

“Ia satu pengorbanan besar untuk melihat anak berjaya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan golongan muda supaya tidak mudah mengalah dan terus berjuang membangunkan Malaysia sebagai negara berjaya.

CP2A6234 CP2A6115

Categories
SELANGOR

Sambutan kemerdekaan ke-60 Selangor penuh warna-warni

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 OGOS: Walaupun ramai dalam kalangan warga kota mengambil kesempatan pulang ke kampung ekoran sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidiladha, namun Majlis Sambutan Kemerdekaan ke-60 Peringkat Selangor 2017 tetap berlangsung meriah, malam tadi.

Hal itu dapat disaksikan apabila Dataran Kemerdekaan Shah Alam dibanjiri lebih 10,000 hadirin sejak jam 8 malam hingga acara kemuncak bagi menyaksikan perbarisan 56 kontinjen daripada pelbagai sektor.

Kontinjen yang mengambil bahagian dalam perbarisan membabitkan kira-kira 2,240 peserta itu terdiri daripada pelbagai jabatan negeri, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah, badan berkanun, swasta, syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan, pasukan beruniform, Kelab Kereta Mini Klasik Selangor dan komuniti orang asal.

Sambutan kemerdekaan bertemakan Selangorku Sehati Sejiwa itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Selangor oleh Kumpulan Koir Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebelum diikuti acara perbarisan diketuai Brassband 11 Briged Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain diselang-selikan dengan persembahan tarian kebudayaan, orang ramai turut dihiburkan dengan nyanyian Indah Ruhaila yang menyampaikan beberapa lagu bertemakan kecintaan terhadap negara atas salah sebuah kenderaan klasik.

baca ikrar aAntara yang paling mencuri tumpuan, Persembahan Senaman Perang oleh ATM yang menampilkan ketangkasan dan persiapan kecergasan fizikal serta mental sebelum turun ke medan perang.

Persembahan diteruskan dengan persembahan Kawad Senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berjaya memukau hadirin dengan kecekapan dan keunikan formasi 40 anggotanya.

Selepas itu, Army Red Warrior yang terkenal dengan persembahan tatoo pula tampil dengan beberapa aksi lagak ngeri mendebarkan oleh anggota bermotosikal termasuk penunggang tunggal wanitanya yang merupakan anak jati Selangor.

Sebelum menutup tirai, Koir Kumpulan SUK sekali lagi menyampaikan lagu Tanggal 31 Ogos dan disertai laungan merdeka sebanyak tujuh kali oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.