Categories
AGENSI SELANGOR

Air Selangor kesan ribuan pangsapuri masih guna meter pukal

PETALING JAYA, 3 MAC: Kira-kira 2,000 pangsapuri di negeri ini masih belum menyertai program Migrasi Air Selangor untuk menukar meter pukal kepada individu.

Pembantu Naib Presiden II Seksyen Migrasi Air Selangor berkata program yang diwajibkan sejak 2014 membabitkan pangsapuri kos rendah, kondominium dan kuarters kerajaan.

“Pemilik yang gagal berbuat demikian boleh didenda sehingga RM10,000 mengikut Akta Kaedah-kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014,” kata R Krishnamoorthi.

Beliau yang ditemui selepas meninjau pemasangan meter individu di Pangsapuri Damansara Bistari di sini menambah hanya 1,000 kediaman bertingkat menyertai program migrasi sejak 2008.

Sementara itu, katanya, penukaran meter individu membolehkan pengguna menikmati tarif air lebih rendah mengikut penggunaan iaitu 57 sen bagi setiap meter padu.

“Caj tersebut untuk penggunaan dari kosong hingga 20 meter padu manakala RM1.03 bagi 20 hingga 35 meter padu dan selebihnya dicaj RM2,” jelas Krishnamoorthi.

Ketika ini, kadar tarif air untuk penggunaan meter pukal ialah RM1.38 (satu meter padu) bagi kondominium, pangsapuri kos rendah (80 sen) dan kuarters kerajaan (RM1).

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Hanya Perlu 50% Kebenaran Untuk JMB Tukar Meter Pukal

Iskandar Samad

SHAH ALAM 1 OGOS : Badan Pengurusan Bersama (JMB) di setiap pangsapuri yang masih menggunakan meter pukal kini hanya memerlukan 50 peratus kebenaran pemilik bagi migrasi dari meter pukal kepada meter individu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata, keputusan ini diharap dapat memudahkan proses migrasi yang akan memastikan penduduk pangsapuri yang tidak mendapat air percuma melalui meter individu atau Program Lapor Dan Dapat menikmati 20 meter padu air percuma.

Menurutnya, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 6 Jun 2013 lalu mengarahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) agar meluluskan peratus kebenaran pemilik kepada 50 peratus.

“Mesyuarat tersebut dipengerusikan YAB Menteri Besar Selangor dan turut dihadiri oleh wakil-wakil Syabas yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal, Ir.V.Subramaniam,” katanya.

Sebelum ini, Syabas menetapkan kebenaran 100 peratusĀ  perlu diperolehi bagi menukar meter berkenaan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri menerima aduan bahawa masih terdapat pangsapuri yang tidak dapat melakukan migrasi walaupun mendapat kebenaran melebihi 50 peratus.

Justeru, JMB dikehendaki menghubungi Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) di talian 03-55102122 agar migrasi dapat dilakukan.

Sehingga kini, terdapat 30 kawasan yang mendapat kebenaran 50 peratus dari unit-unit yang didiami tetapi belum mendapat kelulusan Syabas untuk migrasi.

“Kerajaan Negeri melalui LPHS telah menubuhkan satu jawatankuasa khas, Jawatankuasa Permai, untuk mengambil langkah-langkag untuk memastikan proses migrasi dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya lagi.