Categories
AGENSI SELANGOR

Air Selangor kesan ribuan pangsapuri masih guna meter pukal

PETALING JAYA, 3 MAC: Kira-kira 2,000 pangsapuri di negeri ini masih belum menyertai program Migrasi Air Selangor untuk menukar meter pukal kepada individu.

Pembantu Naib Presiden II Seksyen Migrasi Air Selangor berkata program yang diwajibkan sejak 2014 membabitkan pangsapuri kos rendah, kondominium dan kuarters kerajaan.

“Pemilik yang gagal berbuat demikian boleh didenda sehingga RM10,000 mengikut Akta Kaedah-kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014,” kata R Krishnamoorthi.

Beliau yang ditemui selepas meninjau pemasangan meter individu di Pangsapuri Damansara Bistari di sini menambah hanya 1,000 kediaman bertingkat menyertai program migrasi sejak 2008.

Sementara itu, katanya, penukaran meter individu membolehkan pengguna menikmati tarif air lebih rendah mengikut penggunaan iaitu 57 sen bagi setiap meter padu.

“Caj tersebut untuk penggunaan dari kosong hingga 20 meter padu manakala RM1.03 bagi 20 hingga 35 meter padu dan selebihnya dicaj RM2,” jelas Krishnamoorthi.

Ketika ini, kadar tarif air untuk penggunaan meter pukal ialah RM1.38 (satu meter padu) bagi kondominium, pangsapuri kos rendah (80 sen) dan kuarters kerajaan (RM1).

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Jimat bil air, penghuni pangsapuri disaran tukar meter individu

PETALING JAYA, 3 MAC: Penduduk pangsapuri sekitar Bukit Gasing disaran menukar meter pukal kepada individu bagi menikmati bayaran bil air lebih rendah.

Ahli Dewan Negerinya Rajiv Rishyakaran berkata risiko pemotongan bekalan juga mampu dielakkan jika penghuni lewat melangsaikan caj bulanan.

“Bagi yang menggunakan meter pukal, bayaran bil diurus badan pengurusan bangunan (JMB/MC) menyebabkan kadar tarif lebih tinggi dan bekalan mungkin dipotong jika ada tunggakan,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas meninjau pemasangan meter individu di Pangsapuri Damansara Bistari memaklumkan seramai 421 penghuni di situ sudah berbuat demikian.

Sementara itu, Rajiv berkata sebanyak tiga pangsapuri sekitar Bukit Gasing terlibat dalam program Migrasi Air Selangor membabitkan Pangsapuri Damansara Bistari, Pangsapuri PKNS Seksyen 17 dan Pangsapuri Gasing Indah.

Meter pukal meliputi bacaan keseluruhan kediaman bertingkat dengan bil air akan diserahkan kepada JMB untuk mengira purata mengikut bilangan unit.

Manakala meter individu pula membolehkan bil dikeluarkan terus kepada penghuni untuk dibayar kepada syarikat pengurusan air.

 

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia bantu penduduk pangsapuri migrasi ke meter individu

Oleh:LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JUL: Kerajaan Negeri bersedia membantu pemilik rumah pangsapuri melakukan migrasi meter air daripada meter pukal kepada meter air individu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata insentif itu hanya diberikan kepada mereka yang tidak berkemampuan menjelaskan bil yang dianggarkan berjumlah RM70 bagi setiap pemasangan meter.

Katanya, Kerajaan Negeri akan menggunakan ‘revolving fund’ daripada peruntukan air percuma yang diberikan setiap bulan.

MB di Konvensyen Migrasi Air 2a“Paip sudah ada tinggal sambungkan sahaja, jadi pemilik kena bayar, kalau tak boleh kita ada skim. Kalau dia sudah bayar, maka akan dapat menikmati peruntukan air percuma lebih cepat.

“Untuk betulkan paip dan ganti (meter individu) kita boleh guna ‘revolving fund’ sebab setiap bulanada buat pembayaran air percuma dan jumlahnya melebihi RM10 juta setahun,” katanya, di sini.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Konvensyen Migrasi Meter Air Individu dan Pelancaran Kempen Pengurangan Sisa Isi Rumah Berstrata Negeri Selangor yang turut dihadiri Exco Perumahan, Iskandar Abdul Samad.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan semua unit kawasan kediaman pangsapuri di Selangor memiliki meter individu menjelang hujung tahun ini.

Untuk menggalakkan migrasi, Kerajaan Negeri tidak akan meluluskan peruntukan Skim Ceria kepada pangsapuri yang tidak menukar meter pukal kepada meter individu.

Beliau berkata, pemasangan meter individu penting bagi membolehkan setiap penghuni menikmati skim pemberian air percuma yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak tahun 2008.

MB di Konvensyen Migrasi Air 3a“Sehingga kini, lebih 130,000 unit pangsapuri di negeri ini masih belum memiliki meter individu dan masih menggunakan meter pukal yang mengenakan caj lebih mahal,” katanya.

Bagi kediaman pangsapuri dan kondominium, caj tarif serata yang dikenakan adalah RM1.38 setiap meter padu berbanding meter individu kediaman yang mengenakan caj RM0.57 setiap 20 meter padu pertama diikuti RM1.03 untuk 20 hingga 35 meter padu berikutnya.

Dengan penggunaan meter individu, setiap penghuni berpeluang merasai tawaran air percuma oleh Kerajaan Negeri bagi 20 meter padu yang berjumlah RM10.72 setiap bulan.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Hanya Perlu 50% Kebenaran Untuk JMB Tukar Meter Pukal

Iskandar Samad

SHAH ALAM 1 OGOS : Badan Pengurusan Bersama (JMB) di setiap pangsapuri yang masih menggunakan meter pukal kini hanya memerlukan 50 peratus kebenaran pemilik bagi migrasi dari meter pukal kepada meter individu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata, keputusan ini diharap dapat memudahkan proses migrasi yang akan memastikan penduduk pangsapuri yang tidak mendapat air percuma melalui meter individu atau Program Lapor Dan Dapat menikmati 20 meter padu air percuma.

Menurutnya, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 6 Jun 2013 lalu mengarahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) agar meluluskan peratus kebenaran pemilik kepada 50 peratus.

“Mesyuarat tersebut dipengerusikan YAB Menteri Besar Selangor dan turut dihadiri oleh wakil-wakil Syabas yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal, Ir.V.Subramaniam,” katanya.

Sebelum ini, Syabas menetapkan kebenaran 100 peratusĀ  perlu diperolehi bagi menukar meter berkenaan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri menerima aduan bahawa masih terdapat pangsapuri yang tidak dapat melakukan migrasi walaupun mendapat kebenaran melebihi 50 peratus.

Justeru, JMB dikehendaki menghubungi Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) di talian 03-55102122 agar migrasi dapat dilakukan.

Sehingga kini, terdapat 30 kawasan yang mendapat kebenaran 50 peratus dari unit-unit yang didiami tetapi belum mendapat kelulusan Syabas untuk migrasi.

“Kerajaan Negeri melalui LPHS telah menubuhkan satu jawatankuasa khas, Jawatankuasa Permai, untuk mengambil langkah-langkag untuk memastikan proses migrasi dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya lagi.