Categories
NASIONAL SELANGOR

Hanya Perlu 50% Kebenaran Untuk JMB Tukar Meter Pukal

Iskandar Samad

SHAH ALAM 1 OGOS : Badan Pengurusan Bersama (JMB) di setiap pangsapuri yang masih menggunakan meter pukal kini hanya memerlukan 50 peratus kebenaran pemilik bagi migrasi dari meter pukal kepada meter individu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata, keputusan ini diharap dapat memudahkan proses migrasi yang akan memastikan penduduk pangsapuri yang tidak mendapat air percuma melalui meter individu atau Program Lapor Dan Dapat menikmati 20 meter padu air percuma.

Menurutnya, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 6 Jun 2013 lalu mengarahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) agar meluluskan peratus kebenaran pemilik kepada 50 peratus.

“Mesyuarat tersebut dipengerusikan YAB Menteri Besar Selangor dan turut dihadiri oleh wakil-wakil Syabas yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal, Ir.V.Subramaniam,” katanya.

Sebelum ini, Syabas menetapkan kebenaran 100 peratusĀ  perlu diperolehi bagi menukar meter berkenaan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri menerima aduan bahawa masih terdapat pangsapuri yang tidak dapat melakukan migrasi walaupun mendapat kebenaran melebihi 50 peratus.

Justeru, JMB dikehendaki menghubungi Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) di talian 03-55102122 agar migrasi dapat dilakukan.

Sehingga kini, terdapat 30 kawasan yang mendapat kebenaran 50 peratus dari unit-unit yang didiami tetapi belum mendapat kelulusan Syabas untuk migrasi.

“Kerajaan Negeri melalui LPHS telah menubuhkan satu jawatankuasa khas, Jawatankuasa Permai, untuk mengambil langkah-langkag untuk memastikan proses migrasi dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Permohonan RM 105 juta Tambahan Untuk Biayai Skim Air Percuma Mei hingga ke Disember

mb tambahan dun 5 jul 01

SHAH ALAM 5 JULAI : Kerajaan Selangor memohon peruntukan tambahan RM 105 juta bagi meneruskan skim pemberian 20 meter padu air percuma di Selangor bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khadli Ibrahim berkata, peruntukan itu diperlukan kerana peruntukan sebelumnya hanya menampung kos program tersebut sehingga Mei lalu iaitu sebelum Pilihanraya Umum 13 (PRU13).

Maka dengan itu, katanya, Kerajaan Negeri membuat pembayaran bagi kos air percuma kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) hanya untuk tempoh Januari hingga ke Mei.

Keputusan untuk diambil di dalam belanjawan 2013 kerana sekiranya Kerajaan Negeri yang lain mengambilalih selepas PRU 13, pentadbiran itu tidak dipaksa untuk meneruskan dasar itu.
“Jika menang pilihanraya, kita teruskan program pemberian air percuma ini. Keputusan ini dibuat kerana kita tidak mahu membuat keputusan bagi pihak lain.

“Tetapi dalam manifesto PR, kita telah senaraikan mengenai usaha meneruskan bantuan air percuma ini,” katanya kepada media selepas Dewan Negeri Selangor (DNS) ditangguhkan di sini hari ini.

Permohonan RM 105 juta itu sebahagian daripada permohonan perbelanjaan tambahan sebanyak RM 761 juta yang dibuat melalui satu enakmen di dalam DNS.

Daripada RM 105 juta, RM 83 juta adalah bagi menampung bayaran program pemberian air percuma bagi Julai hingga hingga Disember 2013.

Manakala RM 22 juta bagi menampung semula peruntukan sedia ada yang telah digunakan bagi bayaran program itu bagi Mei hingga Jun lalu.

Categories
SELANGOR

Masih Terdapat Penduduk Yang Dicaj Bil Air Tahap Komersial

CHERAS, 25 OKT : Penduduk Selangor yang masih dikenakan harga air pada tahap komersial oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) disarankan supaya merujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing untuk tindakan lanjut.

Ia bagi membolehkan penduduk menikmati pemberian 20 meter padu air percuma yang diberikan Kerajaan Selangor dan mengelakkan mereka daripada dikenakan kadar caj perniagaan yang jauh lebih tinggi berbanding caj kediaman.

Terbaru, 23 kediaman di kawasan Pandan Perdana mengadu yang mereka dikenakan caj perniagaan oleh Syabas bermula bulan ini walaupun mereka telah menikmati air percuma pada kadar kediaman dari 2008.

Kes tersebut didedahkan Adun Teratai, Jenice Lee kepada pemberita dalam satu sidang media di sini pagi tadi.

“Penghuni yang mengalami masalah ini dinasihatkan supaya merujuk terus kepada majlis perbandaran di kawasan masing-masing bagi membolehkan PBT mengeluarkan surat rasmi yang mengesahkan premis perniagaan telah dijadikan sebagai kediaman.

“Kita tidak mahu penduduk setempat terus berhadapan masalah sama kerana ia akan membebankan mereka apabila terpaksa membayar kadar tarif air yang tinggi,” katanya.

Dalam kes hari ini, 23 unit kediaman itu dikenakan caj perniagaan sejak Oktober tahun lalu akibat salah tafsir Syabas terhadap premis yang didiami penduduk.

Ekoran itu, penduduk terpaksa membayar antara RM36 hingga RM60 sebulan untuk bil air.

Bagaimanapun, setelah merujuk kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenai perkara tersebut, Syabas akhirnya bersetuju membatalkan caj air perniagaan yang dikenakan dan mengembalikannya kepada caj air kediaman.

Jenice berkata, masih banyak lagi kediaman di kawasan Pandan Jaya dan Pandan Indah yang mengalami nasib sama.

“Justeru, penduduk perlu segera merujuk kepada MPAJ untuk tindakan lanjut. Jangan hanya berdiam diri kerana ia akan membebankan penduduk sendiri. Air percuma adalah hak rakyat Selangor,” katanya lagi.