Categories
GLOBAL

Paul Allen pengasas bersama Microsoft meninggal dunia

SAN FRANCISCO 16 OKT : Jutawan terkemuka, Paul Allen yang juga pengasas bersama gergasi perisian Microsoft meninggal dunia selepas sekian lama bertarung dengan penyakit kanser, semalam ketika berusia 65.

“Abang saya ialah seorang individu hebat dalam semua aspek. Ketika orang ramai melihat beliau sebagai pakar teknologi dan dermawan, pada kami beliau seorang abang dan bapa saudara yang sangat disayangi dan sahabat paling setia,” kata adiknya, Jody dalam satu kenyataan.

“Semua ahli keluarga dan sahabat handai amat bertuah dapat bersama serta mengenali lelaki ini yang mesra, suka berjenaka, pemurah dan prihatin. Dalam saat yang penuh menyedihkan ini, kami amat terhutang budi dengan keprihatinan dan kasih sayang yang beliau berikan selama ini,” katanya.

Allen menghembuskan nafas terakhir hanya dalam tempoh dua minggu selepas mengumumkan bahawa kanser limfoma yang berjaya disingkir sembilan tahun lalu menyerang semula dan menjejaskan keseluruhan sel darah putih miliknya.

Mendiang sebelum ini menguruskan perniagaan dan hal ehwal kebajikan di Vulcan Inc serta turut aktif membabitkan diri dalam Institut Allen yang mengkhusus kepada penyelidikan saintifik, selain bergelar pemilik kepada pasukan sukan profesional Amerika Syarikat (AS) iaitu Seattle Seahawks dan Portland Trail Blazers.

Beliau juga adalah sebahagian pemilik pasukan Seattle Sounders yang bermain dalam Liga Bola Sepak Utama.

“Kami semua sangat bertuah dapat bekerja bersama mendiang dan hari ini merasa satu kehilangan besar,” kata Vulcan dalam satu kenyataan, syarikat yang ditubuhkan Allen selepas meninggalkan Microsoft pada tahun 1983.

“Beliau memiliki kepintaran yang amat mengagumkan dan sentiasa berminat menyelesaikan antara masalah paling sukar di dunia dengan menggunakan kreativiti dalam berfikir serta pendekatan baru untuk hasil berkekalan,” kata syarikat itu lagi.

Forbes menganggarkan mendiang memiliki aset berjumlah AS$20.3 bilion (RM84.34 bilion). –

SUMBER: AFP

Categories
SELANGOR

Toyota, Microsoft, Western Digital Antara Syarikat Besar Sertai SITEX Selangor

rodziah exco pc grey 01

SHAH ALAM 20 MAC : Beberapa syarikat besar seperti Toyota, Microsoft, Western Digital dan juga beberapa organisasi seperti SIRIM Bhd dan Majlis Reka Bentuk Malaysia akan menyertai pameran Sains Inovasi dan Teknologi (SITEX Selangor 2013) yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 April 2013 ini.

Pameran perdagangan anjuran Kerajaan Negeri ini diadakan untuk menyediakan satu landasan terbaik kepada penyelidik, usahawan dan syarikat untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan terbaru kepada pembeli dan pelabur yang berpotensi.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, pameran ini bertujuan bagi menjadi saluran untuk pemasaran, rangkaian, perangsang hubungan perniagaan di antara usahawan tempatan dan luar negara yang berasaskan produk berteknologi.

“Bersama-sama dengan itu juga, penyelidik, usahawan dan syarikat yang menyertai pameran ini juga boleh memberi penerangan tentang produk dan perkhidmatan mereka di atas pentas nanti untuk pelawat-pelawat yang datang,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan SUK hari ini.

SITEX Selangor 2013 yang dianjurkan anak syarikat Kerajaan Negeri, Selangor State Investment Council (SSIC), turut menyediakan landasan kepada para pelajar sekolah menengah dan universiti untuk terlibat di dalam sains, teknologi dan inovasi.

“Pelajar-pelajar universiti yang terpilih di dalam pertandingan reka bentuk seni bina akan mempersembahkan rekaan mereka semasa pameran itu nanti,” katanya lagi.