Categories
ADN SELANGOR

JPS digesa baik pulih pintu kunci air, ban Kampung Lombong

SHAH ALAM, 6 JAN: Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) diminta segera membaik pulih pintu kunci air dan ban di Kampung Lombong yang rosak akibat banjir.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata tindakan itu bagi memastikan banjir besar seperti bulan lalu tidak lagi berulang.

“Kita meminta JPS mengukuhkan struktur ban dan baiki pintu air di Kampung Lombong ini dengan segera kerana bimbang musim tengkujuh berlanjutan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Mangsa banjir mendaftar kehadiran sebelum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lombong, Seksyen 29, Shah Alam pada 6 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis agihan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Dewan MPKK Kampung Lombong di sini hari ini.

Pada masa sama, EXCO Kerajaan Negeri itu mencadangkan agar siren amaran banjir dipasang di beberapa lokaliti terjejas supaya penduduk dapat bersiap sedia lebih awal apabila bencana itu tiba.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor tingkat usaha tambah pemegang sijil halal

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerajaan Negeri akan menggiatkan usaha menambah pemegang sijil halal di Selangor terutama dalam kalangan pengusaha kecil bagi membolehkannya meneroka pasaran antarabangsa.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata dianggarkan 4,000 pengusaha di negeri ini sudah mempunyai sijil halal dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang memproses 1,000 lagi permohonan.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan pengusaha mendapat pengiktirafan berkenaan termasuk dari kalangan peniaga bukan Islam.

“Mereka memohon kerana mahu meneroka pasaran antarabangsa yang mempunyai potensi besar.

“Peluang sama juga harus dimanfaatkan peniaga kita dan Kerajaan Negeri sedia bantu mereka mendapat pengiktirafan halal,” katanya berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata penganjuran Selhac yang membabitkan pelbagai program sehingga tahun depan antara inisiatif Kerajaan Negeri menyokong pertumbuhan industri halal di Selangor.

Jelasnya, program itu akan diadakan secara hibrid iaitu bersemuka dan secara dalam talian selaras dengan norma baharu serta membolehkan lebih ramai peserta menghadirinya.

“Selhac adalah plaftorm mengembangkan rangkaian perniagaan pengusaha sektor halal selain bertukar pandangan antara satu sama lain,” jelasnya.

Categories
ADN SELANGOR

Redah arus selamatkan bayi, penduduk terkandas banjir di Sungai Kandis

SHAH ALAM, 18 DIS: Menyelamatkan bayi berusia tiga hari dan penduduk dengan mengharungi arus deras dalam keadaan gelap antara cabaran dilalui wakil rakyat Sungai Kandis dan pasukannya di Kampung Johan Setia dan Kampung Seri Nadi yang terkandas akibat banjir.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata operasi enam jam yang bermula 12 tengah malam tadi itu dilancarkan selepas paras air semakin meningkat yang dibimbangi boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk terbabit.

Menurutnya, operasi itu dilaksanakan tanpa bantuan pihak berkuasa seperti bomba yang dikejarkan ke Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang susulan keadaan banjir di sana lebih meruncing dan membabitkan ramai mangsa.

“Tanpa menggunakan bot dan dalam keadaan gelap kerana bekalan elektrik diputuskan, kami berjalan meredah arus deras untuk membawa penduduk yang turut membabitkan komuniti Rohingya di Kampung Johan Setia.

“Paling mencabar untuk membawa wanita baru sahaja bersalin tiga hari lalu bersama bayinya. Alhamdulillah operasi berjalan lancar dan selesai jam 6 pagi tadi, lebih 200 penduduk dibawa keluar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Zawawi berkata kesemua mangsa kini ditempatkan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Johan Setia dan Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

“Kawasan lain terjejas di Sungai Kandis termasuk di Kampung Jalan Kebun, Bukit Naga, Kampung Sungai Kandis dan Kampung Jawa.

“Bantuan kepada mangsa sudah diberikan yang diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor bangun aplikasi semak status halal, mudahkan pengguna pilih produk

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerajaan Negeri bakal melancarkan aplikasi halal yang memudahkan pengguna menyemak status halal sesuatu produk secara dalam talian dalam tempoh terdekat.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata aplikasi yang mesra pengguna itu juga membolehkan pengguna melihat bahan digunakan produk.

“Ketika ini kita sedang berunding dengan pihak kejuruteraan dalam merangka struktur sesuai. Bila imbas semua data produk akan tertera, jadi ia memudahkan pengguna menilai.

“Sementara belum dilancarkan, pengguna boleh gunakan aplikasi Smart Halal dibangunkan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia),” katanya pada sidang media program Fam Trip Media Promosi Industri Halal Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau berkata pembangunan aplikasi itu juga seiring dengan agenda digitalisasi Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025.

“Masyarakat sekarang bukan hanya memfokuskan aspek halal dalam makanan sahaja sebaliknya pelbagai produk.

“Jadi aplikasi ini akan meliputi semua produk antaranya farmaseutikal, dandanan diri dan kosmetik,” katanya.

Pada 26 November ketika membentangkan  Belanjawan #Selangor2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk Hab Halal Selangor di Pulau Indah, Klang bagi meneruskan kelangsungan dan kecemerlangan industri halal negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana kepada taman perindustrian halal pertama di Malaysia seluas 700 ekar itu bagi memenuhi akreditasi kualiti di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor giat promosi produk halal, sasar pasaran global

SHAH ALAM, 16 DIS: Kepelbagai sektor halal yang menjadi tumpuan masa kini termasuk di Selangor diketengahkan melalui program Fam Trip Media Promosi Industri Halal.

Program empat hari dengan kerjasama Pertubuhan Media Negeri Selangor (PMNS) turut menghimpunkan pempengaruh bagi mempromosikan sektor tersebut, kata EXCO industri halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan segmen halal perlu diangkat meliputi makanan, farmaseutikal, dandanan diri, kosmetik, kewangan, hiburan, pelaburan dan pelancongan.

“Mungkin sebelum ini ramai beranggapan halal itu berkaitan makanan dan minuman sahaja sedangkan skopnya lebih luas yang patuh syariah.

“Justeru kita akan pelbagaikan program untuk membantu pemain industri meneruskan kelangsungan dalam norma baharu,” katanya dalam sidang media di Mardhiyyah Hotels and Suites semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor (HIS) – Aspire Flagship Sdn Bhd Mat Ghazali Mohd Rakim dan Setiausaha PMNS Nuar Md Diah.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata Selangor menjadi negeri pertama mewujudkan bidang tugas khas berhubung aspek halal bagi mengangkat sektor terbabit ke peringkat global.

Menurutnya, bahagian industri halal dikawal HIS manakala pensijilan halal diselia Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Jais dan Jakim akan mengadakan pemantauan audit serta pendaftaran sijil halal sementara HIS fokus untuk mengangkat industri halal ke peringkat antarabangsa bagi menarik pelabur.

“Kita percaya industri ini sentiasa berkembang dan mempunyai nilai transaksi berbilion dolar,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor kenal pasti pelabur asing, kembang industri halal

SHAH ALAM, 15 DIS: Beberapa pelabur asing dikenal pasti untuk dijadikan rakan strategik bagi mengembangkan sektor halal negeri ini, kata EXCO industri halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata syarikat dari beberapa negara seperti Turki dan China akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sebaik pintu sempadan negara dibuka kelak.

Beliau menjelaskan Selangor memiliki banyak produk halal merangkumi pelbagai komponen, namun memerlukan pihak yang boleh membantu mengetengahkannya ke peringkat global.

“Kita sedang berhubung dengan pelabur terbabit untuk adakan MoU. Insya-Allah, selepas dibuka sempadan negara kita akan adakan hubungan lebih strategik.

“Malah, ada beberapa usahawan muslim di China dan sebahagiannya beroperasi di Malaysia sedia jadi rakan kongsi serta melabur dalam sektor halal,” katanya pada sidang media program Fam Trip Media Promosi Industri Halal Selangor di Mardhiyyah Hotels and Suites di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor (HIS) – Aspire Flagship Sdn Bhd Mat Ghazali Mohd Rakim dan Setiausaha Pertubuhan Media Negeri Selangor Nuar Md Diah.

Mohd Zawawi berkata Ekspo Dubai yang bakal disertai Selangor pada awal Mac tahun depan menjadi platform terbaik untuk membina lebih banyak jaringan bersama pelabur selain memperkenalkan produk halal tempatan.

“Ekspo itu melibatkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat besar bagi mencari rakan strategik serta mempromosi produk halal. Mudah-mudahan ia membuka ruang kepada kita untuk kembangkan industri ini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Negeri teliti tambah senarai barangan bawah skim harga maksimum

SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Selangor meneliti keperluan untuk menambah barangan dalam senarai Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sebelum mencadangkannya kepada persekutuan.

EXCO industri halal berkata pemilihan produk berdasarkan permintaan tertinggi pengguna yang dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

“Kita akan memantau produk yang permintaannya tinggi dalam kalangan pengguna dan jika harganya didapati tidak terkawal, maka kita akan masukkan dalam senarai tersebut.

“Perkara ini akan diusulkan KPDNHEP kepada kerajaan persekutuan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni selepas melancarkan inisiatif Halal Suri Darul Ehsan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mempertimbang untuk melanjutkan tempoh skim itu bergantung situasi semasa selain menggesa rakyat mengadukan kepada KPDNHEP jika berlaku kenaikan melampau.

“Kita akan melihat dari semasa ke semasa terutama pada hari perayaan dan cuti sekolah kerana permintaan produk makanan dan barang keperluan ketika itu agak tinggi,” katanya.

Pada Selasa, kerajaan mengumumkan pelaksanaan SHMKM di seluruh negara hingga 31 Disember bagi menstabilkan harga barangan keperluan dan memastikan bekalan itu mencukupi di pasaran.

Antara barangan disenaraikan ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import (dari Indonesia dan China) serta timun.

Categories
EXCO SELANGOR

Halal Suri bantu wanita cari rezeki jual makanan sejuk beku

SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Negeri melancarkan inisiatif Halal Suri Darul Ehsan (Halal Suri) bagi membantu suri rumah menjana pendapatan dalam bidang makanan sejuk beku.

EXCO industri halal berkata seramai 56 peserta berusia antara 18 hingga 60 tahun dipilih menyertai projek rintis dengan kerjasama Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan setiap peserta menerima bantuan peti sejuk beku daripada Kerajaan Negeri dalam bentuk geran padanan bernilai RM2,000.

“Manakala untuk permulaan modal perniagaan, mereka perlu melabur RM2,000 bagi membeli barangan sejuk beku halal daripada Kohijrah untuk dijual.

“Inisiatif ini dapat merancakkan produk makanan halal di samping meningkatkan ekonomi wanita sama ada berkahwin, balu mahupun ibu tunggal daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya selepas melancarkan program itu hari ini.

Mohd Zawawi turut bercadang menambah jumlah peserta di setiap Dewan Undangan Negeri tahun depan bagi memperluas jualan produk halal selain membantu rakyat meraih pendapatan.

“Hampir 4,000 produk makanan diusahakan penduduk Selangor yang dipasarkan Kohijrah dan kita berharap ia dapat dikembangkan termasuk ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain Halal Suri, inisiatif pemberdayaan wanita oleh Kerajaan Selangor turut membabitkan program Hasil Suri Selangor yang memasarkan produk usahawan kecil untuk dikomersialkan.

Categories
ADN AGAMA AGENDA SELANGOR

92.24 peratus lot wakaf Mais dibangun untuk keagamaan, kebajikan

SHAH ALAM, 6 DIS : Sebanyak 92.24 peratus daripada 1,313 lot hartanah wakaf bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dibangunkan untuk institusi keagamaan, pendidikan dan kebajikan setakat Oktober lalu.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata tanah yang dikategori sebagai wakaf khas itu dibangunkan dengan mengikut niat pewakaf antaranya masjid, surau, tapak perkuburan, sekolah, pusat tahfiz, rumah anak yatim dan rumah warga emas.

Menurut Mohd Zawawi Ahmad Mughni sejumlah 6.69 peratus daripada hartanah wakaf itu juga dirancang untuk dimanfaatkan dengan cadangan projek pembangunan yang memberi nilai tambah dan meningkatkan ekonomi ummah.

“Ia seperti pembinaan perumahan, pembangunan komersial perniagaan serta pembangunan secara bercampur di tanah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan wakil rakyat Lembah Jaya Haniza Talha mengenai tanah wakaf pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut Zawawi sejumlah 1.07 peratus hartanah wakaf tidak dapat dimanfaatkan adalah kerana keluasan yang kecil, berkongsi geran dan kurang memberi nilai ekonomi.

Beliau turut memaklumkan Mais merupakan Pemegang Amanah Tunggal harta wakaf mengikut Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor tekad perkasa kempen kesedaran hak, tanggungjawab pengguna

SHAH ALAM, 1 DIS: Kerajaan Negeri tekad memperkasa kempen kesedaran berkaitan hak dan tanggungjawab pengguna mulai tahun depan.

EXCO Hal Ehwal Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata inisiatif itu harus dipergiat sejajar peredaran zaman yang pesat dengan ledakan teknologi.

“Pengguna sebenarnya lebih memerlukan kempen bagi meningkatkan tahap kesedaran agar mereka tahu tentang hak dan tanggungjawab memandangkan hari ini zaman sudah berubah.

“Kalau dilihat, masyarakat selesa menggunakan sistem teknologi dalam talian, namun masih ramai antara mereka tidak tahu tentang hak dan tanggungjawab,” katanya ditemui di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini semalam.

Mohd Zawawi berkata demikian berkaitan perancangan 2022 di bawah portfolio hal ehwal pengguna.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis mengakui kes penipuan dalam talian semakin menjadi-jadi di negara ini sehingga mengakibatkan pengguna mengalami kerugian jutaan ringgit.

“Jadi, itu (kesedaran hak dan tanggungjawab) yang ingin saya tekankan bagi mengelak pengguna terus menjadi mangsa,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pembinaan masjid tiga daerah disegera pastikan jemaah selesa

SHAH ALAM, 1 DIS: Pembinaan tiga masjid di tiga daerah akan disegerakan demi keselamatan dan keselesaan jemaah, kata EXCO hal ehwal agama Islam.

Pembinaan meliputi Masjid Kota Damansara 2, Masjid Al-Ehsan Kampung Tok Muda, Klang dan Masjid Kampung Sungai Serai 13, Hulu Langat, jelas Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata keutamaan khusus buat masjid yang sering dilanda musibah seperti banjir hingga merosakkan perkakas elektrik dan permaidani.

“Mudah-mudahan pembinaan ini dapat memenuhi keperluan penduduk seterusnya memberi keselesaan untuk beribadah,” katanya mengulas perkara berkenaan di sini semalam.

Zawawi yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis turut berharap lebih banyak masjid dibina dalam belanjawan akan datang bagi memenuhi keperluan penduduk.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan menyempurnakan pembinaan tiga masjid berkenaan melalui Belanjawan #Selangor2022.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

287 premis di Selangor terima anugerah, tawar harga tidak beban pembeli

SHAH ALAM, 22 NOV: Sebanyak 287 premis di negeri ini mendapat pengiktirafan dengan menerima Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2021, kata EXCO hal ehwal pengguna dan industri halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pengiktirafan diberikan kepada premis ini kerana memenuhi kriteria ditetapkan antaranya tidak banyak rekod aduan, pelanggan berpuas hati dengan tawaran harga dan mempunyai rangkaian yang memudahkan pengguna.

“Anugerah ini antara inisiatif kerajaan untuk mewujudkan pasaran harga yang berpatutan dan dapat mengurus isu kenaikan harga barangan dalam pasaran sekali gus mengurangkan beban pengguna.

“Kita akan cuba libatkan premis-premis yang menerima anugerah ini dengan aktiviti Kerajaan Negeri sebagai penghargaan atas usaha mereka membantu golongan kurang upaya seperti memberi baucer,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan sijil penghargaan kepada Kedai Buku MRKB Seksyen 19 dan Pusat Pakaian Hari-Hari Ole-Ole Seksyen 18 dalam Program Penyerahan AKHP 2021 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor hari ini.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata dalam memupuk kesedaran awam berkaitan harga barang, pihaknya memperbanyakkan kempen pada tahun hadapan kepada pengguna.

“Kita mahu memberikan kesedaran awam tentang pentingnya pengetahuan tentang harga barang berbanding mengambil tindakan penguatkuasaan.

“Mereka perlu tahu hak dan tanggungjawab dalam perkhidmatan terutama sektor telekomunikasi dan jual beli dalam talian,”katanya.