Categories
AGENDA NASIONAL

Moratorium Hijrah bantu kelangsungan hidup peniaga kecil

SHAH ALAM, 16 JUN: Moratorium pembayaran pinjaman kepada usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) merupakan usaha yang sangat baik bagi membantu peniaga kecil yang terjejas ketika pandemik.

Perunding Kewangan Firdaus Pay berkata inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor 2.0
dapat membantu kelangsungan hidup peniaga kecil dan penjaja.

Perunding Kewangan Firdaus Pay

“Peniaga ini adalah golongan terkesan dan agak teruk dengan pandemik yang melanda kita sekarang, jadi moratorium selama sebulan setengah dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Kalau mereka betul-betul terjejas memang bagus untuk ambil moratorium ini. Jika mereka berniaga mereka ada pendapatan tetapi jika tidak, mereka tiada pendapatan,” katanya menerusi temubual secara langsung di Facebook Media Selangor.

Beliau juga menyambut baik moratorium bersasar dilaksanakan kerajaan ketika ini, mengatakan langkah itu membantu peminjam menggunakan peruntukan yang sepatutnya membayar pinjaman untuk kegunaan lain yang lebih penting.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Pada 11 Jun, Pengarah Eksekutif Hijrah Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata pihaknya menjelajah ke semua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyegerakan pelaksanaan dasar itu memandangkan majoriti peminjam golongan B40.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pendapatan terjejas teruk, peniaga katering menangis dapat moratorium (VIDEO)

SHAH ALAM, 14 JUN: Dahulu Radzatul Mazwin, 42, meraih pendapatan sekitar RM15,000 sebulan hasil perniagaan katering dari rumah bersama ibunya.

Mereka hanya berniaga kecil-kecilan dengan menjual mi dan bihun sup, laksa, roti jala, tauhu bergedel selain aneka kuih-muih tradisional.

Namun, segalanya berubah apabila jangkitan Covid-19 semakin ganas merebak disusuli arahan sekatan pergerakan penuh sejak awal Jun.

Pendapatan Radzatul terjejas teruk. Kekangan menghantar makanan ke luar daerah menyebabkan dia rugi 90 peratus. Dia tiada pilihan. Perniagaan mesti diteruskan kerana itu satu-satunya punca rezeki.

Tiada lagi keuntungan lima angka. Malah, untuk meraih RM1,000 juga dirasakan sukar. Pernah terfikir untuk menggunakan khidmat e-panggilan, namun bimbang makanan rosak terutama masakan berkuah.

Buat masa ini, dia bertahan dengan tempahan daripada pelanggan berhampiran kediamannya di Seksyen 20 di sini. Soal untung dilupakan, Radzatul hanya ingin mendapatkan pusingan modal.

Moratorium pinjaman

Tawaran moratorium selama satu setengah bulan melalui Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum pada 9 Jun bagai memberi sinar baharu kepada Radzatul.

Dia yang membuat pinjaman modal berjumlah RM4,000 daripada Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) memang menantikan khabar gembira itu selepas bergelut dengan masalah aliran tunai.

Linangan air mata disusuli perkataan syukur meniti di bibirnya. Terasa ringan bebannya untuk membayar semula pinjaman RM50 setiap minggu.

“Alhamdulillah, saya terkejut apabila mendengar pengumuman itu baru-baru ini. Walaupun hanya untuk tempoh enam minggu, saya percaya inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat kurangkan beban.

“Saya berterima kasih atas komitmen Kerajaan Negeri dan Hijrah yang menyediakan kemudahan ini. Mereka amat memahami kesukaran dialami peniaga seperti saya ketika ini,” katanya.

Radzatul antara 40,000 usahawan Hijrah yang diberi pengecualian bayaran pinjaman susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mulai 1 Jun.

Inisiatif dengan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta turut memanfaatkan individu yang ingin
memulakan perniagaan tetapi berdepan masalah modal dan pusingan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Usahawan Hijrah lega dapat moratorium sebulan setengah

SHAH ALAM, 11 JUN: Pengurusan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) akan menjelajah ke semua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pelaksanaan moratorium bayaran pinjaman.

Pengarah Eksekutifnya Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata pihaknya akan menyegerakan
dasar itu memandangkan majoriti peminjam golongan B40.

“Moratorium dan Pakej Kita Selangor 2.0 secara keseluruhannya bukan hanya memberi kelegaan kepada peminjam kami, bahkan kepada rakyat.

Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor berucap ketika majlis iftar dan memperkenalkan pengarah eksekutif baharu Hijrah Selangor di Kelab Shah Alam pada 19 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ini bolehlah kita anggap sebagai salah satu langkah bagi menyuntik ekonomi Selangor,” katanya.

Sementara itu, pengusaha kuih kapit Shafinaz Ainaa Muslim, 36, pula menyambut baik pelaksanaan
berkenaan malah terharu atas keprihatinan Kerajaan Negeri.

“Tempoh PKP ini membuatkan jualan di premis kami jatuh hampir 80 peratus disebabkan tiada
langsung pelancong ke Kuala Selangor.

“Wang yang sepatutnya untuk bayaran pinjaman Hijrah dalam tempoh moratorium sebulan setengah ini dapatlah saya salurkan untuk modal pusingan dan kos pengiklanan pemasaran bagi meningkatkan jualan
dalam talian,” katanya.

Bagi Norashikin Mohamad Amaran, 48, pula moratorium memberi makna besar kepadanya yang mengusahakan perkhidmatan van sekolah dan taska di Shah Alam.

“Sekurang-kurangnya peminjam dapat salurkan wang bayaran Hijrah Selangor untuk keperluan lain yang mendesak.

“Saya sendiri, walaupun terpaksa menjual kuih muih dan makanan sarapan pagi bagi menampung perbelanjaan keluarga dan keperluan lain tetapi masih berasa kesan PKP sebab ramai tak keluar tetap bekerja di rumah sahaja,” katanya.

Rosdi Zakaria bersama sebahagian koleksi penyerap hentak disediakan bengkelnya yang bukan sahaja ditagih di Lembah Klang bahkan seluruh negara

Pengusaha bengkel, Rosdi Zakaria, 41, pula berpendapat pengumuman berkenaan tepat pada masanya
kerana golongan sepertinya bergelut tekanan kewangan.

“Apabila dapat tahu ada moratorium sebulan setengah atau enam kali bayar ini, sekurang-kurangnya
duit yang sepatutnya untuk bayaran pinjaman saya boleh gunakan buat tambah modal pusingan,” katanya yang beroperasi di Saujana Utama, Kuala Selangor.

Moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan kepada 40,000 usahawan Hijrah berikutan aliran tunai perniagaan mereka terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun bakal memberi impak kewangan berjumlah RM11.35 juta.

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Manfaat moratorium Hijrah untuk masa depan

SHAH ALAM, 10 JUN: Usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang menikmati moratorium pembayaran pinjaman selama satu setengah bulan harus memanfaatkannya dengan melakukan persediaan berdepan situasi masa depan.

EXCO pembangunan usahawan berkata inisiatif dalam Pakej Kita Selangor 2.0 itu akan memberi kelegaan kepada usahawan yang peniagaannya berdepan keadaan tidak menentu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Moratorium itu bermula 1 Julai dan tiada kutipan untuk tempoh enam minggu memandangkan pembayaran dibuat secara mingguan. Diharapkan mereka rancang sebaiknya sumber sedia ada kerana kita tidak tahu sampai bila situasi ini,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Pakej bernilai RM551.56 juta itu bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

40,000 usahawan Hijrah dapat moratorium pinjaman satu setengah bulan

SHAH ALAM, 9 JUN: Seramai 40,000 usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri memahami kesukaran golongan itu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan perniagaan dan gangguan aliran tunai.

“Inisiatif ini bakal memberi impak kewangan berjumlah RM11.35 juta,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 hari ini.

Terdahulu, beliau membentangkan pakej bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan pembiayaan kepada individu ingin memulakan perniagaan tetapi mempunyai masalah dari segi modal awalan dan pusingan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui Hijrah memperuntukkan RM80 juta bagi membantu 8,000 usahawan dengan modal awalan bagi memulakan perniagaan.

“Program ini dikhususkan buat mereka yang hilang pekerjaan dan kekurangan pendapatan akibat dari pelaksanaan PKP,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan bayar pinjaman, moratorium untuk lima juta peminjam

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Bantuan bayaran balik pinjaman dan moratorium bernilai sehingga RM30 bilion bermula Jun 2021 dijangka memanfaatkan lebih daripada 5 juta peminjam, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, hasil berbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) Industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.

“Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan,” katanya semasa mengumumkan pakej bantuan Pemerkasa Plus bernilai RM40 bilion malam tadi.

“Insya-Allah, industri perbankan akan memberikan maklumat lebih terperinci berhubung perkara ini mulai esok. Saya berharap, pengumuman moratorium automatik ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi pada minggu ini dengan nilai peruntukan sebanyak RM1 bilion.

Katanya, melalui skim berkenaan, pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

“Saya menyarankan supaya agensi dan syarikat kerajaan menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan,” katanya.

Sementara itu perdana menteri berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga akan meneruskan program Mara Prihatin Peace of Mind yang dibuka sehingga 31 Julai, 2021, yang mana peminjam boleh memohon secara dalam talian untuk membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran atau moratorium.

Menurutnya, bagi usahawan Mara yang terkesan akibat penutupan ekonomi, pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan akan diberi untuk bulan Mei sehingga Julai 2021.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PAKATAN gesa bantuan, moratorium tiga bulan bantu rakyat hadapi PKP penuh

SHAH ALAM, 29 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa pemberian bantuan dan moratorium kepada rakyat untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama 14 hari bermula 1 Jun.

Menerusi kenyataan media bersama tujuh ahli parlimen, Jawatankuasa Kos Sara Hidup menyokong keputusan Putrajaya melaksanakan PKP dengan syarat berikut:

1. Memberi bantuan sekali bayar kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40)
2. Melaksanakan moratorium pinjaman bank selama 3 bulan
3. Melaksanakan rebat elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB)
4. Memastikan bekalan keperluan harian mencukupi
5. Memastikan harga barang keperluan tidak naik
6. Memastikan penghantaran barang keperluan ke destinasi tidak terhalang
7. Memastikan bantuan bakul makanan sampai kepada rakyat memerlukan

Ahli Jawatankuasa Kos Sara Hidup PAKATAN dianggotai Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim (KEADILAN), Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hassanuddin Mohd Yunus (Amanah) dan Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen (DAP).

Turut menganggotai Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail (KEADILAN), Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar (DAP), Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin (DAP) dan Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin (DAP).

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar pertikai pegawai atasan bank dapat bonus lumayan, rakyat sengsara

SHAH ALAM, 26 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim curiga tindakan bank dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang memberi bonus dan elaun lumayan kepada pegawai atasan.

Ketua pembangkang berkata tindakan segelintir pihak mencipta keuntungan disifat merungsingkan ketika sebahagian besar rakyat terus bergelut susulan dampak Covid-19.

Beliau turut mempertikai keuntungan bank tahun lalu untuk menampung kenaikan gaji dan dividen pemegang saham tetapi tidak berupaya memberi moratorium kepada golongan susah.

“Kita tidak menentang soal mencipta keuntungan, namun kita mencurigai cara segelintir pihak mencipta keuntungan sambil mengorbankan golongan rakyat yang lemah dan susah.

“Paling menyedihkan pemerintah menggesa masyarakat berpadu menampan dampak wabak, tetapi golongan korporat dan para eksekutif seolah dikecualikan dari tanggungjawab ini,” katanya dalam kenyataan.

Tegas Anwar, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedar sebilangan rakyat terpaksa menampung beban lebih besar sementara golongan kaya menjalani kehidupan seperti biasa.

Beliau berkata rakyat turut dimomokkan kononnya sektor perbankan akan punah dan pendekatan moratorium berpotensi meruntuhkan sistem kewangan negara.

“Kini kita dikejutkan pula dengan laporan bahawa sektor bank dan GLIC sedang mempergiatkan usaha untuk mencipta keuntungan dan menaikkan gaji pegawai kanan sehingga 58 peratus.

“Jika keuntungan sektor bank pada 2020 mampu mendukung kenaikan pegawai tinggi mereka sebanyak 10 peratus, apakah pegawai rendah turut menikmati kenaikan gaji yang munasabah?” soal Anwar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat pembangkang gesa kerajaan laksana semula moratorium

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Sekumpulan ahli parlimen pembangkang hari ini meminta kerajaan melaksanakan semula moratorium pinjaman secara automatik bagi tempoh enam bulan seperti yang dilakukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lepas.

Menurut kenyataan bersama yang ditandatangani 25 ahli parlimen, inisiatif enam bulan moratorium pinjaman secara automatik akan meningkatkan aliran tunai kepada sektor ekonomi.

“Dengan cara itu individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mempunyai lebihan tunai yang dapat membantu meningkatkan pendapatan semua jenis perniagaan serta menggalakkan mereka mengekalkan (pekerja) sepanjang menghadapi pandemik ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut mereka industri PKS atau mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran pinjaman seperti biasa.

Mereka turut mencadangkan kadar subsidi upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM600 setiap pekerja dinaikkan dan diberi kepada individu yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,000 serta melanjutkannya bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

“Subsidi upah bagi enam bulan menggalakkan majikan tidak membuang pekerja dan membantu mereka bertahan sehingga pertengahan tahun akibat penyusutan jualan dan aliran tunai,” menurut kenyataan itu.

Antara ahli parlimen pembangkang yang mengeluarkan kenyataan bersama itu adalah Darell Leiking (Penampang); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar); Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar); Hannah Yeoh (Segambut); Yeo Bee Yin (Bakri); Baru Bian (Selangau); Datuk Rozman Isli (Labuan); dan Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai).

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Fomca gesa BNM lanjut moratorium pekerja terjejas PKP

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) melanjutkan pelaksanaan moratorium pinjaman sekurang-kurangnya hingga Ogos ini bagi pekerja yang terjejas oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata sikap berdiam diri BNM dalam isu itu tidak membantu masyarakat yang terjejas.

“Moratorium harus dilaksanakan segera untuk semua jenis pinjaman bank bagi membantu mereka yang terkesan oleh PKP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar syarikat insurans dilarang daripada menaikkan premium ketika pandemik masih menjejaskan ekonomi, selain kerajaan menyalurkan bantuan kewangan kepada pekerja yang terkesan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Islam sedia moratorium bantu pelanggan terjejas banjir

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Bank Islam Malaysia Bhd kini menawarkan kemudahan kelonggaran pembayaran balik pembiayaan atau moratorium sehingga enam bulan untuk pelanggan yang terjejas akibat banjir.

Dalam kenyataan hari ini, bank itu berkata inisiatif dikenali Program Prihatin itu bertujuan meringankan beban kewangan mangsa banjir dalam menunaikan komitmen pembayaran bulanan mereka.

Kemudahan moratorium itu adalah tertakluk mengikut syarat ditetapkan di bawah Pembiayaan Rumah, Pembiayaan Peribadi dan Pembiayaan Kenderaan Bank Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata bank berkenaan sentiasa mengutamakan kesejahteraan masyarakat dan pelanggan, khususnya dengan keadaan banjir yang buruk serta pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

“Kami berharap program ini dapat membantu melegakan mereka yang bimbangkan komitmen kewangan ketika waktu amat mencabar ini,” katanya.

Menurutnya, permohonan moratorium Program Prihatin itu boleh dibuat di cawangan Bank Islam dan mereka yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan di nombor 03-26900900.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia diramal niaga tinggi, pelabur kembali beli saham

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan dengan pelabur dijangka membeli saham pada harga rendah berikutan penurunan pada minggu lepas tetapi kemajuan dalam pembangunan vaksin Covid-19 akan mengurangkan minat untuk mengambil risiko.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata bursa tempatan boleh menjangka untuk menyaksikan peningkatan dalam kaunter sarung tangan berikutan berita mengenai vaksin Covid-19.

Beliau turut menjangka saham permodalan kecil akan mula membuat kemunculan semula.

“Kami menjangka untuk menyaksikan FBM KLCI berada antara paras sokongan pada 1,580 dan paras halangan pada 1,595 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Pada minggu baru berakhir, sentimen pasaran dipengaruhi oleh Belanjawan 2021 dan kejayaan ujian fasa ketiga vaksin Covid-19 oleh Pfizer.

Kaunter perbankan melonjak pada pertengahan minggu berikutan moratorium menyeluruh tidak dilanjutkan di bawah Belanjawan 2021, yang memberi prospek baik kepada pendapatan bank.

Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia mengumumkan ekonomi Malaysia pulih dengan mencatatkan penguncupan yang lebih kecil sebanyak 2.7 peratus pada suku ketiga 2020 daripada -17.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Prestasi ini, bagaimanapun, tidak cukup kuat untuk meningkatkan lagi minat untuk mengambil risiko dalam pasaran.

FBM KLCI ditutup tinggi 70.05 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,589.69 daripada 1,519.64 semasa dicatatkan pada Jumaat lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas melonjak 391.02 mata kepada 11,409.99, Indeks FBMT 100 menambah 390.76 mata kepada 11,204.04 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 51.63 mata kepada 13,327.03.

FBM 70 meningkat 106.18 mata kepada 14,622.98 dan Indeks FBM ACE menokok 250.84 mata kepada 11,224.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 1,273.55 mata kepada 13,568.01, Indeks Perladangan menambah 180.82 mata kepada 7,304.2 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 6.41 mata kepada 156.2.

Indeks Teknologi susut 0.09 mata kepada 64.62 manakala Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 139.18 mata kepada 3,991.15.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 67.71 bilion unit bernilai RM29.51 bilion daripada 34.28 bilion unit bernilai RM18.51 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 31.07 bilion saham bernilai RM21.53 bilion daripada 16.30 bilion saham bernilai RM13.88 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 4.46 bilion unit bernilai RM807.03 juta daripada 4.08 bilion unit bernilai RM842.51 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 32.17 bilion saham bernilai RM7.17 bilion daripada 10.68 bilion saham bernilai RM3.75 bilion sebelum ini.

-BERNAMA