Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Sibuk Isu Pasir Untuk Elak Skandal NFC

SHAH ALAM, 21 FEB : Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sewajarnya memberi perhatian terharap isu besar seperti skandal Lembu Fidlot NFC yang dipertanggungjawabkan kepadanya daripada memperkatakan mengenai kes pasir di Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie berkata, Noh tidak seharusnya lepas tangan dalam isu itu dan cuba mengalihkan tumpuan rakyat terhadap pecah amanah duit rakyat berjumlah RM250 juta yang didakwa melibatkan seorang menteri.

Menurutnya, keutamaan perlu diberikan kepada kes itu sepertimana arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Noh untuk memantau kes tersebut.

Katanya, pihaknya bersetuju dengan saranan Noh supaya isu kepentingan rakyat dibawa ke “mahkamah rakyat” supaya rakyat boleh membuat penilaian berhubung sesuatu isu dibangkitkan. “Apakah Noh masih belum menyiapkan kertas laporan untuk dibawa ke ‘mahkamah rakyat’ seperti diarah Perdana Menteri untuk Noh pantau dalam skandal Lembu Fidlot

NFC? Dalam perkembangan terkini yang saya ikuti sewaktu ditanya wartawan berhubung perkembangan skandal yang melibatkan RM250 Juta wang rakyat, dilaporkan beliau terkial-kial untuk menjawab soalan wartawan dalam mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa terdapat pecah amanah dana rakyat dalam pembelian aset NFC.

“Jawapan diberi Noh berhubung isu salahguna skandal Lembu Fidlot NFC adalah ‘saya tidak tahu’. Apakah itu jawapan seorang menteri yang ditugaskan oleh Perdana Menteri untuk memantau kegagalan projek Lembu Fidlot NFC? soalnya dalam satu kenyataan media dibuatnya hari ini.

Shuhaimi berkata, tidak cukup dengan itu adakah juga Noh bersedia untuk bersemuka di “mahkamah rakyat” berhubung skandal PKFZ, skandal tanah ADUN Umno dan yang lainnya.

Tidak mahu menyebut mana-mana pemimpin Umno Selangor, beliau berkata, cukuplah sekadar menjelaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit kerana terpaksa membeli tanah milik seorang ADUN Umno Selangor satu masa dahulu dan sehingga sekarang tiada siasatan pihak berkuasa berkaitan perkara itu.

Tambahnya, Noh tidak sepatutnya menyibuk dalam urusan lain yang bukan di bawah tugasnya dan perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab diberikan kepadanya.

“Isu pasir di Selangor ditangani dengan baik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dalam masa hampir empat tahun dengan angka dan statistik menunjukkan pencapaian dalam peningkatan royalti pasir.

“Malah isu ini sudah lebih 30 tahun bermula. Bukan sahaja di Selangor bahkan juga di Johor, Negeri Sembilan dan Perak. Mana suara pimpinan Umno dalam isu yang sama di negeri lain?,” katanya.

Categories
NASIONAL

‘Projek wahyu’ Jadi Lubuk Umno/BN Rompak Duit Rakyat

SHAH ALAM, 16 Febuari: Projek rundingan langsung yang juga dikenali sebagai ‘projek wahyu’ merupakan penyumbang terbesar ketirisan dan pembaziran wang rakyat tetapi dianggap sebagai lubuk duit bagi kroni Umno-BN di pelbagai peringkat.

Syarikat- syarikat yang memperolehi sesuatu projek juga kerap didapati tidak memiliki kelayakan dan pengalaman bersesuaian bagi menjalankan sesuatu projek yang dianugerahkan.

” Pemberian projek secara rundingan terus atau projek wahyu ini mudah dimanipulasikan, wang rakyat disalahgunakan dengan melantik kroni-kroni mereka menjalankan sesuatu projek dan merompak duit rakyat.

“Kita sering dengar berita, syarikat yang dapat projek rundingan terus akhirnya gagal menyiapkan sesuatu projek dengan sempurna dan akhirnya projek itu hanya beri peluang kroni pemimpin tertentu buat duit dan bukannya beri manfaat rakyat terbanyak,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin hari ini.

Shamsul turut tidak menolak isu kegagalan projek yang membabitkan National Feedlot Corporation (NFC) yang tercetus baru-baru ini juga sebagai sebahagian daripada akibat kecuaian dan ketidak telusan dalam memberi projek-projek kerajaan.

“Bagitu juga dengan isu pembaziran wang rakyat yang diumumkan Jabatan Audit negara berhubung pembaziran wang negara berjumlah lebih RM20 bilion setahun disebabkan oleh pemberian kepada kroni yang tidak berpengalaman.

“Akhirnya wang lesap projek tak terlaksana dan rakyat yang menanggung kesusahan,” katanya ketika dihubungi.

Dua hari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid mendapati kebanyakkan projek wahyu yang dikendalikan kerajaan BN dikategorikan tenat.

Azmi turut menyarankan agar kerajaan mengetatkan sistem pemilihan yang membabitan projek rundingan terus.

Antara projek-projek tersebut ialah projek pembinaan jalan raya luar bandar, sekolah, pelabuhan, landasan kereta api, penjara, kem tentera,pembekal makanan sekolah, pembekal peratan kementerian dan hospital dan penyelenggara bangunan.

Menurut Shamsul, kerajaan harus mencontohi kerajaan Selangor kerana menggunakan dasar tender terbuka.

“BN patut contohi Kerajaan PKR Selangor sekarang, setiap projek disaring dengan ketat dan telus bagi memastikan setiap sen wang yang dibelanjakan dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

“Sebab itulah, walaupun Kerajaan Selangor tidak mendapat dokongan kewangan dari kerajaan pusat tetapi mereka berjaya menyimpan 1.9 bilion wang dari hasil yang mereka perolehi.” katanya.

Sementara itu pada Januari lalu, kerajaan pusat telah menggunakan wang rakyat sebanyak RM2.71 bilion untuk diberikan kepada Umno Selangor.

Wang tersebut tidak diserahkan kepada kerajaan negeri tetapi diberikan kepada pemimpin-pemimpin Umno di negeri itu untuk menumbangkan Pakatan Rakyat Selangor.

Wang rakyat yang sebegitu besar diperlakukan sewenang-wenangnya oleh Umno selangor tanpa di audit dan diketahui kemana wang tersebut disalur dan dibelanjakan.

 

 

Categories
NASIONAL

PAS Mahu Minit Mesyuarat Tentang Pinjaman NFC Didedahkan

KUALA LUMPUR 13 FEB : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan minit mesyuarat bertarikh 23 November 2011 berhubung isu projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Katanya, minit mesyuarat itu sangat penting memandangkan terdapat beberapa pengakuan bahawa perjanjian tersebut antaranya dikatakan tidak mempunyai jaminan peribadi dalam projek tersebut.

“Saya minta ketua PAC ada satu keberanian untuk mengirimkan kepada kami (Ahli Parlimen) supaya ianya boleh didedahkan kepada umum mengenai pengakuan-pengakuan yang telah dibuat oleh beberapa pegawai di peringkat kementerian yang dipanggil untuk memberikan keterangan-keterangan mereka dalam prosiding mesyuarat tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut kerajaan pusat menubuhkan empat jawatankuasa bagi memantau perkembangan NFC sebelum pinjaman RM250 juta diberikan secara berperingkat.

Beliau difahamkan salah satu daripadanya dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin yang ketika itu bertindak sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Empat jawatankuasa tersebut adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kerajaan Negeri Sembilan dan juga pihak pengurusan NFC.

Sementara itu, beliau turut membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menasihatkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya membayar balik pinjaman berjumlah RM250 juta terbabit.

Katanya, ini merupakan isu besar dan bukan hanya boleh diselesaikan dengan hanya membayar semula pinjaman semata-mata.

“Ini satu kenyataan yang sangat dangkal bagi saya daripada seorang menteri yang dipertanggungjawab menjaga hal-hal yang berkaitan perundangan, pendakwaan dan penghakiman di negara kita ini.

“Bagi saya mengembalikan wang itu satu perkara. Sepatutnya sebagai meneteri yang menjaga undang-undang, dia harus bertegas dan tidak boleh menganggap memberikan balik wang tersebut, masalah selesai.

“Jika membabitkan soal pecah amanah atau jika pengendalian projek dari awal tidak betul maka kes tersebut harus diambil tindakan dan heret mereka yang terlibat ke mahkamah,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Rafizi: Dedah Perjanjian NFC Kepada Umum

SHAH ALAM, 10 FEB: Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Seri Muhyiddin Yassin diminta mengarahkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan NFC mendedahkan sepenuhnya perjanjian pinjaman RM250 juta itu kepada Umum.

 

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata tindakan tersebut amat perlu supaya rakyat dapat menghakimi kewajaran kerajaan meluluskan pinjaman dengan syarat yang sebegitu longgar.

 

Kenyataan beliau tersebut ekoran kenyataan Wan Shahinur Izmir Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif NFC yang mendakwa bahawa perjanjian pinjaman RM250 juta yang dimeterai NFC dan Kerajaan Malaysia tidak menetapkan syarat bagaimana
wang tersebut boleh digunakan.

 

Menurut Wan Shahinur lagi, NFC menggunakan alasan itu untuk menggunakan wang tersebut bagi tujuan peribadi termasuklah mengumpulkan harta yang mahal seperti kondominium, tanah dan kereta mewah.

 

Kata Rafizi kenyataan Wan Shahinur menimbulkan pelbagai persoalan antaranya;

 

1.Apakah hak menteri-menteri terbabit meluluskan pemberian wang sejumlah RM250 juta kepada keluarga menteri untuk dibelanjakan sesuka hati mereka?

 

2.Bagaimanakah dasar memberikan pinjaman yang longgar begini boleh menjamin projek negara seperti Pusat Fidlot Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan berkesan?

 

3.Berapa banyak lagi perjanjian-perjanjian pinjaman seperti ini yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada peminjam membelanjakan wang rakyat telah diberikan kepada syarikat-syarikat dan orang peribadi yang ada kaitan dengan pimpinan kerajaan?

 

4.Apakah pemilik dan pengurusan NFC yang terdiri dari kaum keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil memberikan jaminan peribadi (personal guarantee) dan mencagarkan harta peribadi mereka sebagai sebahagian dari syarat perjanjian pinjaman?

 

Katanya pendedahan yang dibuat Wan Shahinur tersebut mengukuhkan lagi gesaan Pakatan Rakyat bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat skandal NFC kerana penyelewengan dan kecuaian yang berlaku melibatkan pimpinan tertinggi negara.

 

 

 


Categories
NASIONAL

NFC: Jingga 13 Lapor SPRM Kes Kondo di Singapura

SHAH ALAM 9 FEB : NGO Jingga 13 hari ini tampil membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Jenayah (SPRM) berhubung pendedahan dua lagi kondominium mewah milik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di negara jiran, Singapura.

Ketua Koordinatornya, Fariz Musa berkata pihaknya juga mencabar Datuk Seri Shahrizat Jalil menafikan segala dakwaan terhadap dirinya termasuk ahli keluarganya.

“Kalau kita lihat, keluarga Shahrizat perlu membayar ansuran bulanan kedua-dua kondominium itu sebanyak RM173,000 sebulan.

“Persoalannya, bagaimana dia (Shahrizat) dan keluarganya mempunyai dana sebegitu besar untuk membayar balik ansuran ini,”katanya.

Mengulas lanjut, Fariz berkata pihaknya mencabar Shahrizat untuk menafikan serta mengistiharkan harta beliau dan keluarganya dalam tempoh tahun 2008 hingga 2011 sebagai menjelaskan bagaimana mereka mampu menanggung bayaran balik ansuran bulan itu.

Semalam, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan dua buah kondominium mewah yang dikenalpasti sebagai aset milik keluarga Shahrizat.

Menurut Rafizi, kondominium mewah bernilai RM34,562,784 itu terletak berhampiran sebuah restoran mewah, Brawn Steakhouse yang juga milik keluarga Ketua Wanita Umno itu di Marina Bay Suites, Singapura.

Kondominium mewah di tingkat 8 dan 11 itu adalah milik Suami Shahrizat, Datuk Salleh Ismail dan anak mereka, Wan Shahinur Irzan.

Sebelum ini PKR turut mendedahkan isu Pembelian kondominium mewah beralamat 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts,Singapore berharga S$4,107,600.

Rafizi berkata ekoran pendedahan terbaru ini, maka jumlah pembelian yang didakwanya dikaitkan kepada pinjaman NFC, mencecah RM62 juta.

Mengulas lanjut pendedahan terbaru ini, Fariz berkata ia adalah bukti jelas bagaimana dana RM250 juta telah digunakan bagi tujuan peribadi untuk mengumpul harta sedangkan tujuan asal dana tersebut adalah untuk pembangunan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

“Jingga 13 mendesak agar siasatan terperinci dan profesional dilakukan oleh SPRM berkait skandal NFC kerana ia melibatkan dana rakyat sejumlah RM250 juta yang diselewengkan oleh keluarga Shahrizat,”jelas Fariz.

Sebelum ini PKR turut mendedahkan isu Pembelian kondominium mewah beralamat 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts,Singapore berharga S$4,107,600.

NFC juga didakwa membeli dua bidang tanah di Presint 10, Putrajaya di tapak PT 1886 dan PT 1887 dengan nilai pembelian RM3,363,507.

Pada 11 November tahun lalu, Jingga 13 turut membuat laporan yang sama kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana NFC melibatkan pembelian kondomonium mewah di Bangsar bernilai RM9.8 juta.

Categories
NASIONAL

PKR Dedah Dua Lagi Kondo Mewah Milik Keluarga Shahrizat

PETALING JAYA 8 FEB :Dua buah kondominium mewah dikenalpasti sebagai aset milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di negara jiran, Singapura.

Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu sidang media di ibupejabat parti itu hari ini.

Jelasnya, aset yang berupa dua buah kondominium mewah itu terletak berhampiran sebuah restoran mewah, Brawn Steakhouse yang juga milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu di Marina Bay Suites, Singapura.

“Pada 17 Januarai lalu, saya menerima satu maklumat bahawa keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil mendapat pembiayaan dari Maybank untuk membeli satu kondominium mewah di Singapura.

“Berdasarkan maklumat itu, saya turut bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang berada di Singapura termasuk menggunakan khidmat penyiasat persendirian untuk mengenalpasti unit-unit yang dibeli,”katanya.

Kondominium mewah bernilai RM34,562,784 itu dimiliki oleh Suami Shahrizat, Datuk Salleh Ismail dan anak mereka, Wan Shahinur Irzan.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata pembelian dua kondominium mewah di Singapura itu menjadikan satu lagi bukti bagaimana dana RM250 juta telah digunakan bagi tujuan peribadi untuk mengumpul harta.

Jelas Rafizi, kemudahan pembiayaan ini dipercayai diluluskan oleh bank-bank terbabit sebagai urusan timbal balik kerana NFC dan syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki oleh keluarga Shahrizat mempunyai deposit yang besar di bank-bank tersebut.

“Deposit tersebut adalah sebahagian dari dana RM250 juta yang diluluskan bagi tujuan operasi Pusat Fidlot Kebangsaan yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan,”jelasnya.

Isu NFC muncul apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Seperti yang didedahkan PKR sebelum ini, pengurusan NFC menubuhkan beberapa syarikat di Singapura bagi menjalankan perniagaan peribadi milik keluarga Shahrizat.

Malangnya, kesemua perniagaan tersebut dibiayai melalui pemindahan wang dari dana rakyat RM250 juta yang disalurkan untuk kegunaan NFC.

PKR juga sebelum ini mengemukakann bukti sejumlah RM1.3 juta dana NFC dipindahkan kepada Meatworks (Singapore) Pte Ltd bagi tempoh tiga bulan antara Oktober hingga Disember 2010.

“Saya percaya banyak lagi pemindahan wang seperti ini berlaku untuk membiayai perniagaan milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Singapura,”katanya.

 

Categories
NASIONAL

Zuraida Sedia Hadapi Shahrizat di Mahkamah

PETALING JAYA 8 FEB : Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin hari ini mengesahkan beliau menerima kertas saman yang dikemukakan terhadapnya berhubung pembongkaran isu Pusat Fidlot Negara (NFC).

Zuraida berkata, pihaknya mengalu-alukan saman yang dikemukan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil kerana memberi peluang kepada pihaknya mendapatkan maklumat-maklumat penting yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat.

“Kami yakin saman tersebut tidak ada asas dan bersedia untuk bertemu di mahkamah pada bila-bila masa sahaja.

“Untuk tujuan itu, kami telah melantik satu pasukan peguam yang terdiri daripada Ranjit Singh, Sivarasa Rasiah, N.Surendran dan Gopal Sreenevasan,” jelasnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

PKR sebelum ini mendakwa wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC. Projek itu diberikan kepada syarikat yang dimiliki suami Shahrizat, Datuk Salleh Ismail dan anak-anaknya.                                                                                                                          

Isu NFC ini muncul apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya disamping mempunyai tindakan salahguna dana.

Sebagai respon terhadap segala dakwaan yang melibatkan diri dan keluarganya, Shahrizat memfailkan saman terhadap dua pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Saman yang difailkan melalui peguamnya, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi di Jalan Duta menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta dari Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dan Zuraida.

Bercakap kepada pemberita, Zuraida berkata pihaknya juga bersedia untuk memanggil saksi-saksi penting yang bertanggungjawab membuat keputusan bersabit NFC di semua peringkat bagi merungkai skandal besar negara ini.

Categories
NASIONAL

Bagaimana Shahrizat Boleh Bayar Hutang Kondo Baru?

PETALING JAYA 8 FEB : Keluarga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu membuktikan bahawa mereka tidak menggunakan dana dari Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) untuk membiayai pembelian dua lagi kondominium mewah di Singapura.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata ada kemungkinan dana rakyat RM250 juta untuk NFC telah digunakan bagi membiayai dua kondo tersebut. Ini berdasarkan kemudahan pembiayaian yang diluluskan oleh Maybank untuk pembelian kondominium mewah bernilai lebih RM34 juta itu.

“Apakah bukti-bukti yang boleh dikemukakan oleh pengurusan NFC bahawa pinjaman-pinjaman yang diambil untuk membiayai dua unit kondominium mewah di Marina Bay Suites ini tidak ada kena mengena dengan dana awam RM250 juta yang diamanahkan kepada NFC?”, beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

PKR hari ini mendedahkan dua lagi kondominium mewah yang dimiliki suami Sharizat, Datuk Salleh Ismail dan anak mereka, Wan Shahinur Irzan di Marina Bay Suites, Singapura.

Mengikut kadar pinjaman semasa dan tempoh bayaran balik 25 tahun, keluarga Shahrizat perlu membayar RM173,000 sebulan bagi membiayai pinjaman kedua-dua kondominium tersebut.

Justeru, PKR mengesa Shahrizat memperincikan pendapatan keselurahan keluarga dalam menjawab kemampuan mereka memiliki aset jutaan ringgit di Singapura.

“Beranikah Dato’ Seri Shahrizat Jalil tampil ke hadapan memperincikan pendapatan keseluruhan ahli keluarga beliau sehingga mampu mengumpul harta sedemikian rupa dalam masa 2-3 tahun kebelakangan ini?”

Melihat kepada kepincangan dan isu kreadibiliti pemimpin Umno-BN, PKR turut mengesa Najib mewajibkan kesemua ahli kabinetnya mengistiharkan harta bagi menjawab pelbagai persoalan yang bermain dipemikiran rakyat Malaysia hari ini.

“Apakah Dato’ Seri Najib Tun Razak mempunyai kekuatan moral untuk menentang rasuah dan salahguna kuasa dengan mewajibkan setiap ahli kabinet mengisytiharkan keseluruhan harta yang dipunyai oleh mereka dan ahli keluarga mereka, berikutan pendedahan harta yang dimiliki keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil?”

Categories
NASIONAL

Jingga 13: NFC Perlu Perjelas RM600,000 Untuk Kad Kredit

SHAH ALAM 1 FEB : NGO Jingga-13 melahirkan kekecewaan dengan keengganan National Feedlot Corporation (NFC) menerima satu memorundum bagi mendapatkan penjelasan mengenai penggunaan kad kredit seperti yang didedahkan sebelum ini.
Pengerusi Jingga-13, Fariz Musa dalam reaksi balasanya berkata, tindakan tersebut membuktikan sesuatu yang tidak betul berlaku yang menyebabkan NFC cukup takut untuk mendedahkan isu ini kepada rakyat.

“Persoalannya ini sekarang adalah Pengarah Eksekutif NFC, Wan Shahinor Izmir Mohd Salleh sentiasa menafikan dalam perjumpaan bersama media.

“Kita merasakan perlu untuk dia menjelaskan memandangkan ini melibatkan penggunaan wang rakyat yang dibayar menggunakan kad kredit Maybank dan CIMB Bank dengan menggunakan nama individu. Tetapi dibayar oleh NFC.

“Persoalannya adalah digunakan untuk apa? Kalau betul ianya digunakan untuk pembangunan syarikat dan sebagainya, kita tidak ada masalah. Ataupun digunakan untuk berfoya-foya,” soal beliau.

Semalam Jingga-13 menyerahkan satu memorundum kepada NFC sebagai sahutan cabaran untuk mendedahkan butiran terperinci perkara yang dibangkitkan namun ditolak NFC.

Beliau turut memaklumkan, Jabatan Jenayah Komersil telah memanggil mereka untuk memberikan keterangan berhubung siasatan polis mengenai penggunaan kad kredit terbabit memandangkan ianya berkaitan penggunaan individu, bukannya syarikat.

Baru-baru ini PKR mendedahkan sejumlah wang sebanyak RM600,000 telah digunakan untuk membayar kad kredit beberapa pengarah di NFC termasuk Wan Shahinor.

Setakat ini tiada penafian berfakta diberikan oleh NFC.

Categories
SELANGOR

NFC: Mengapa Muhyiddin Takut Pada Suruhanjaya Diraja

ULASAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Januari lalu mengeluarkan kenyataan bahawa langkah menubuhkan suruhanjaya diraja tidak perlu bagi menyiasat penyelewengan projek Fidlot Nasional (NFC).
Katanya, penjelasan Jabatan Audit negara serta siasatan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malysia (SPRM) memadai.

Selain itu katanya kerajaan juga turut melantik firma perunding perakaunan bagi menjalankan proses penilaian bagi melihat status kewangan syarikat yang mengurus projek tersebut.

Kenyataan Muhyiddin tersebut ekoran gesaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya dilantik suruhanjaya diraja bagi menyiasat NFC.

Isu NFC secara tersuratnya melibatkan dua faktor utama. Pertamanya sebagimana dipapar di dada media berhubung penyelewengan dan salah urus oleh NFC melibatkan pinjaman dari dana rakyat bernilai RM250 juta.

Keduanya, berhubung tender terhad yang membolehkan projek tersebut diberikan kepada suami seorang menteri. Manakala Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani ketika tender tersebut diberikan kepada suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul adalah Muhyiddin.

Dari sudut politiknya, isu penyelewengan dan salah urus oleh syarikat-syarikat yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin Umno adalah perkara biasa berlaku.
Tetapi isunya adalah dana rakyat yang sebegitu besar diberikan kepada syarikat yang tidak ada pengalaman langsung dalam industri ternakan lembu.

Maka disinilah letaknya kesalahan Muhyiddin. Persoalannya mengapakah Muhyiddin sanggup memperjudikan RM250 juta wang rakyat untuk diberikan kepada syarikat kroni yang tidak mempunyai pengalaman.

 

Suapan politik

Begitu juga persoalannya mengapa Muhyiddin memberikan projek tersebut kepada suami Shahrizat sedangkan terdapat enam syarikat yang terlibat dalam permohonan untuk projek tersebut.

Dari sudut persepsinya menggambarkan tindakan Muhyiddin tersebut merupakan ‘suapan’ politik terhadap Shahrizat bagi mendapatkan sokongan wanita terhadap beliau menentang Najib.

Apatah lagi ketika era Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin diletakkan sebagai ‘check and ballence’ untuk mengimbangi pengaruh Najib.

Shahrizat juga bersalah kerana sebagai seorang menteri yang hidup dalam gelombang politik tentunya menyedari risiko sekiranya orang ramai mengetahui projek tersebut diberikan kepada syarikat suami beliau.

Atau Shahrizat dijanjikan ‘perlindungan’ oleh Muhyiddin supaya rahsia projek tersebut tidak akan bocor kepengetahuan rakyat atau orang politik.

Ketika itu pula Muhyiddin adalah orang Abdullah. Maka jaminan perlindungan tersebut menjadikan Shahrizat mempunyai keyakinan bahawa ‘rahsia’ tersebut tidak akan bocor.

Bagi Muhyiddin pula, sokongan dari wanita Umno amat diperlukan setelah merasa selamat dan selesa dengan kedudukan Pemuda Umno yang diterajui menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin.

Kambing hitam

Paling lucu dan memualkan apabila entah dari mana datangnya angin, tiba-tiba seorang ahli perniagaan Shamsubahrin Ismail ditangkap dan dijadikan kambing hitam.

Beliau didakwa dengan dua pertuduhan menipu Pengerusi Perbadanan Fidlot kebangsaan, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail iaitu suami Shahrizat sebanyak RM1.755 juta.

Tidak sampai 45 minit didakwa di mahkamah Klang berhubung NFC Shamsubahrin juga didakwa atas pertuduhan menipu seorang majistret.

Demikianlah bagaimana ‘licik’ polis serta ‘auta’ pemimpin-pemimpin Umno-BN dalam menutup penyelewengan NFC.

Fakta asas untuk pelajar yang akan memasuki sekolah menengah pun tahu ‘makhluk’ pertama yang harus disiasat atau diadili adalah mereka yang bertanggungjawab mengurus tadbir NFC iaitu suami dan anak-anak Shahrizat.

Bukan mencari kambing hitam sebagaimana kes pembunuhan warga Monggolia, Altantuya Shariibuu dulu. Malah sehingga ke saat ini misteri pembunuhan tersebut tidak diketahui walaupun pembicaraan dijalankan bertahun-tahun.

Muhyiddin punca kemelut NFC

Muhyiddin juga tahu sekiranya siatan diraja dijalankan maka orang pertama yang akan disiasat adalah beliau selaku Menteri yang meluluskan pemberian projek kepada suami Shahrizat.

Fakta pertama yang akan dipersoalkan oleh jawatankuasa siasatan tersebut adalah bagaimana beliau memberikan projek RM250 juta tersebut kepada suami seorang menteri kabinet yang tidak berpengalaman.

Penjelasan Muhyiddin kepada jawatankuasa siasatan tersebut akan menyerlahkan lagi betapa amalan kronisme berleluasa berlaku dalam pentadbiran Umno-BN.

Namun lebih membimbangkan Muhyiddin adalah terbongkarnya agenda sulit beliau dan Shahrizat menumbangkan bosnya sekarang, Najib Razak.

Najib juga menyedari Muhyiddin bersama team beliau mengintai pelbagai sudut untuk menyingkirkan beliau. Namun kesahihan belum dapat dibuktikan. Lantaran itu Najib tidak mahu mengadakan pemilihan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno selama tiga tahun berturut-turut.

Muhyiddin juga sedar, Najib juga telah berjaya menghidu kelibat beliau bersama teamnya.

Memang agak menghairankan mengapa selepas lebih tiga tahun projek Fidlot yang merupakan salah satu dari pelbagai projek lagi didedahkan oleh Ketua Audit negara. Sedangkan progres projek-projek yang diberkan kerajaan kepada ‘kroni-kroni’ lain tidak didedahkan.

Apakah pendedahan penyelewengan NFC mempunyai kaitan dengan arahan dari Najib untuk menyingkirkan Muhyiddin?.

Berdasarkan fakta asas, sesiapa sahaja termasuk orang-orang Umno akan melihat punca kepada masalah NFC bermula dari ‘anugerah’ projek oleh Muhyiddin kepada suami kepada Ketua Wanita Umno.

Pendedahan demi pendedahan berhubung penyelewengan tersebut telah meletakkan Umno berada dalam keadaan paling tertekan. Sehingga Umno disamakan dengan lembu.

Saat menghadapi PRU13 turut meningkatkan darjah kemarahan ahli-ahli dan pemimpin Umno kepada Shahrizat dan Muhyiddin.

Lalu usaha menolak untuk diadakan siasatan diraja dilihat Muhyiddin sebagai jalan paling selamat untuk menutup agenda tersembunyi beliau.

Categories
SELANGOR

NFC: Samsulbahrin Terima SMS Datuk Salleh Untuk Sogok Polis

PETALING JAYA, 30 JAN: PKR hari ini meminta pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi maklumbalas berhubung laporan polis oleh Datuk Samsulbahrin Ismail bahawa beliau ada menyimpan pesanan ringkas SMS dari Pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail supaya membayar rasuah kepada polis bagi menutup kes penyelewengan NFC.

Pendedahan tersebut ekoran laporan polis oleh Samsulbahrin pada 27 Januari lalu berhubung pelbagai ugutan dan tekanan yang diterima beliau dari pengerusi NFC tersebut.

Samsulbahrin yang kini sedang ditekan di penjara Sungai Buluh telah mengarahkan para peguam beliau untuk mendedahkan skandal penyelewengan yang membabitkan suami kepada Menteri Pembangunan Wanita keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ikuti pendedahan selanjutnya melalui vedio in

Categories
NASIONAL

NFC: Noh Omar Gagal Jelas Dakwaan Salah Guna Dana

SHAH ALAM, 28 JAN : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar diseru melupakan cita-cita menjadi jaguh di Selangor ataupun terpilih semula di dalam PRU13 kerana bimbang negara ini bakal menjadi kucar-kacir seperti yang berlaku terhadap projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang melibatkan dana RM250 juta.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata beliau kecewa apabila Noh Omar gagal untuk mempamerkan kredibiliti dan integriti beliau sebagai pemimpin yang baik untuk menjelaskan sebaliknya telah membongkar betapa dangkalnya pemahaman beliau selaku menteri yang dipertanggungjawabkan terhadap isu mega tersebut.

Beliau menggunakan alasan-alasan teknikal untuk mengatakan projek RM250juta NFC ini tidak gagal – meskipun begitu beliau tidak berani pula untuk mengatakan ianya berjaya, memadai dengan “tidak gagal”.

“Sebagai Menteri, mustahil beliau tidak memahami isu sebenar NFC. Kalau pakcik-pakcik tua di kedai-kedai kopi pun faham isu pengkhianatan wang rakyat ini masakan Noh Omar selaku menteri tega buat-buat bodoh dengan menyimpang dari isu sebenar.

Hujah yang beliau bangkitkan gagal menjawab isu pokok iaitu salah guna dana dan pertanggungjawaban dalam menggunakan dana RM250 juta menggunakan wang rakyat untuk projek ini,” kata Faekah dalam kenyataan medianya.

Menurut Faekah, Jika Noh mahukan publisiti dengan menjawab isu berkaitan NFC ini selaku Menteri, beliau seharusnya menjelaskan secara terperinci siapakah dan untuk apakah harta mewah itu dibeli.

“Apakah relevan pembelian kereta Mercedez Benz menggunakan dana NFC dan apa kaitannya pembayaran bil-bil untuk ahli keluarga seorang Menteri menggunakan dana NFC ?

“Jika Noh mahu bermain politik selamat, seeloknya Noh berdiam diri sebagaimana yang dilakukan bosnya Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia,” ujar Faekah.

Tambah Faekah, rakyat jelas melihat Noh sebagai seorang menteri yang tiada kredibiliti dan integriti.

“Beliau mendabik dada kononnya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat tetapi membiarkan pembaziran dan salah guna kuasa yang berlaku di bawah portfolio pertaniannya – cakap tak serupa bikin.

“Beliau seolah-olah menghalalkan perkara jahat ini berlaku – kurang berteladan. Beliau tidak mempunyai kekuatan diri untuk secara berani membicarakan isu rasuah dan salah guna kuasa dan seterusnya mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasinya – lemah iltizam,” katanya.

Justeru Faekah, mencadangkan agar Noh Omar kembali meminta nasihat daripada Institut Integriti Negara apakah elemen yang perlu ada untuk menyelenggara dana amanah rakyat.

“Lebih elok lagi jika beliau mengambil kursus perjawatan mahupun peperiksaan integriti kelolaan institut tersebut agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan matlamat institut tersebut ditubuhkan,” tegas Faekah.