Categories
NASIONAL SELANGOR

LAPORAN KHAS: NFC-Antara Suami Menteri dan Penternak Biasa

 

 

Pengarah Syarikat Fidlot Kebangsaan atau NFC telah diheret ke mahkamah, bagi menjawab kecurigaan disebalik projek ternakan lembu mega itu.

Tetapi persoalan yang masih tidak terjawab adalah, bagaimana projek yang penting dan besar seperti ini sewenang-wenangnya diberi kerajaan Umno-BN kepada suami seorang menteri?

Bagaimana dengan penternak lain yang mempunyai keupayaan tetapi tidak mempunyai hubungan intim dengan orang orang besar di dalam Umno-BN?

Ini kerana negara sememangnya memerlukan projek seperti ini bagi memenuhi keperluan domestik, khususnya di masa perayaan yang sentiasa dibelit kekurangan bekalan daging.

Akan tetapi proses pemberian projek yang ada kepentingan awam seperti NFC masih dibelengu budaya kroni yang merugikan wang rakyat.

Ikuti ulasan isu in di dalam klip video berikut.

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penyelewengan Umno/BN Perlu Di Nilai Rakyat

SHAH ALAM 21 MAC : Rakyat di negara ini boleh menilai sejauh mana pencapaian ekonomi dan pembangunan sesuatu negeri di bawah pentadbiran Umno-BN melalui penyelewengan yang dilakukan oleh Umno-BN dalam beberapa kes.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar berkata demikian di dalam dewan rakyat hari ini.

Katanya, sebelum ini Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM2.71 billion kepada Umno Selangor untuk tujuan pembangunan tetapi dana rakyat itu sudah disalah gunakan untuk kepentingan politik.

“Banyak perkara atau kes yang boleh dilihat oleh rakyat antaranya Petronas diberi kepada kroninya, Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir sehingga beliau (Mokhzani) disenaraikan antara yang terkaya di Malaysia.

“Saya yakin rakyat juga tidak akan lupa atau menerima kes seperti skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) sebanyak RM250 juta yang diterajui suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri NFC, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail.

“Begitu juga dengan penyelewengan wang zakat guaman oleh Menteri Dijabatan Perdana Menteri, Penyenaraian saham Felda Global Venture Holding (FGVH) yang boleh mengugat tanah hak milik peneroka felda dan Skim Perumahan 1Malaysia yang dianggap hanya membebankan rakyat berpendapatan rendah kerana bank tidak mahu memberi pinjaman juga rasuah yang diamalkan oleh Menteri Besar terdahulu,” katanya.

Tambahnya, saham bumiputera juga merosot kepada RM2 billion berbanding RM54 billion.

“Kedudukan indeks rasuah negara yang juga menurun kepada tangga 60 berbanding tangga 47 semasa pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Jelasnya, penyelewengan wang rakyat yang dilakukan oleh Kerajaan di bawah pentadbiran itu menunjukkan pentadbiran Pakatan Rakyat jauh lebih baik.

Ini kerana simpanan Kerajaan Negeri Selangor meningkat RM1.9 billion berbanding RM500 juta yang ditinggalkan oleh Umno-Bn pada tahun 2007.

Categories
NASIONAL

Najib Gagalkan Agenda Muhyiddin?

KOMENTAR: Akhirnya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil mengambil keputusan meletak jawatan selepas hampir lima bulan bergelumang dengan skandal penyelewengan NFC yang dikaitkan dengan suami beliau.

Namun Shahrizat masih mempertahankan kedudukan beliau sebagai Ketua Wanita Umno. Beliau sedar kedudukan beliau sukar ditandingi atau dicabar oleh timbalan maupun para exco wanita. Walhal skandal yang membabitkan suami Shahrizat tersebut boleh digunakan untuk menyingkirkan beliau sekiranya ada calon wibawa yang mampu mencabar Shahrizat.

Shahrizat pula menyedari kekuatan beliau dalam sayap wanita itu. Malah bukan sekadar tuan empunya diri yang sedar akan kekuatan yang dimiliki beliau malah seluruh anggota Umno pun tahu.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pun tahu dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun sedia maklum. Maka tidak hairanlah Shahrizat dan sayap wanita itu menjadi pertaruhan untuk memastikan kemenangan dalam setiap pemilihan yang di adakan.

Najib bertindak memberikan jawatan menteri kepada Shahrizat melalui laluan Senator setelah tewas kepada anak Anwar Ibrahim, Nurul Izzah di Lembah Pantai.

Muhyiddin adalah antara orang yang lebih kehadapan melihat potensi Shahrizat berbanding Najib. Atau dalam lain perkataan, bacaan politik Muhyiddin lebih tajam berbanding Najib.

Ini disebabkan dunia politik Najib banyak bergantung kepada populariti bapa beliau, Tun Abdul Razak. Beliau datang dari keluarga bangsawan yang tidak memahami pahit jerit rakyat bawahan.

Najib juga banyak menumpang dari kekuatan orang lain termasuk dari Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk naik ke pentas politik. Begitu juga sikap ‘palaysafe’ beliau yang hanya mencuri peluang serta cuba mengelak dari sebarang risiko menjadikan beliau di lihat bersih.

Lantaran itulah setelah dilantik menjadi pemimpin tertinggi negara, beliau terpaksa menggunakan penasihat Yahudi, APCO bagi membantu pentadbiran beliau walaupun terpaksa membayar RM77 juta setahun.Ini disebabkan beliau tidak mempunyai idea serta takut berhadapan risiko.

Berbeza dengan Muhyiddin yang lahir dalam keluarga yang ada siasah agama dan ulama. Ahli Parlimen Pagoh tersebut telah di uji dengan pelbagai pengalaman dan gelumang tendang terajang politik dari bawah.

 

Usaha singkirkan Najib

Ketika Tun Abdullah dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2003, beliau mengambil masa selama empat bulan untuk melantik timbalan beliau.

Dari dua calon, Najib dan Muhyiddin, akhirnya Najib di pilih walaupun Abdullah mahukan Muhyiddin. Pemilihan Najib disebabkan pelbagai faktor. Selain tekanan termasuk dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dengan alasan ‘status quo’ dalam Umno, Abdullah juga banyak menerima tekanan dari orang-orang Najib yang banyak menguasai kontrak-kontrak kerajaan sejak zaman Dr Mahathir lagi.

Sebagai pemimpin tertinggi negara, Abdullah cuba meredakan keadaan dan melantik Najib sebagai Timbalannya disebabkan Pilihanraya Umum ke-11 (PRU 11 )akan di adakan.

Selepas mencapai kemenangan besar dalam PRU11, Abdullah meletak Muhyiddin sebagai Menteri Pertanian. Posisi Menteri Pertanian dilihat sebagai kementerian yang bukan dianggap ‘glamor’ dan berprestaj. Namun Abdullah melihat dari sudut yang berbeza.

Kementerian Pertanian yang di ketuai Muhyiddin telah di naiktaraf oleh Abdullah menjadi Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani. Abdullah juga menjadikan motto pertanian sebagai sebuah Industri yang komersil dan bukannya hanya keperluan untuk cukup makan.

Justeru Abdullah telah memberikan peruntukan yang besar kepada kementerian dibawah Muhyiddin sesuai dengan kementerian yang diberi tugas untuk menjadikan sektor pertanian sebagai sebuah industri komersil.

Dengan peruntukan yang sebegitu besar bukan sahaja membolehkan beberapa projek mega baru dilaksanakan malah membolehkan lebih banyak peruntukkan diberikan kepada kumpulan sasaran di kementerian tersebut

Dalam masa yang sama ini akan membolehkan Muhyiddin mendekati ketua-ketua Umno Bahagian, cawangan serta para ahli Umno di semua peringkat yang terdiri dari para petani, pekebun, penternak, nelayan dan peladang di seluruh negara.

Harapan Abdullah dengan memberikan ruang dan peluang yang luas kepada Muhyiddin mendampingi akar umbi Umno akan membolehkan Ahli Parlimen Pagoh tersebut kekuatan sokongan untuk menandingi Najib dalam pemilihan nanti.

 

Keluarga Shahrizat di beri Projek RM250 juta

Di atas perkiraan lain, Abdullah dan Muhyiddin masih menaruh kesangsian terhadap sokongan wanita memandangkan kebanyakan ketua-ketua Bahagian, Ketua-Ketua Cawangan serta ahli akar umbi yang terlibat dalam kementerian dibawah Muhyiddin terdiri dari para pemuda dan veteran Umno lelaki.

Malah Abdullah dan Muhyiddin tidak bimbang dengan sokongan dari Pemuda Umno kerana menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin menguasai sayap pemuda.

Bagi mendapatkan sokongan wanita secara pukal, suatu usaha perlu dilaksanakan. Malah Abdullah dan Muhyiddin sedia maklum akan kekuatan yang dimiliki oleh Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil.

Dalam pergerakan wanita pula amat mudah untuk di kuasai asalkan ketuanya dapat ditawan.Bak lembu yang dicucuk hidung, kemana tali di arah kesitulah si lembu akan terarah.

Sebagaimana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini bahawa adalah mustahil Shahrizat tidak megetahui projek lembah daging Gemas bernilai RM250 juta yang diberikan kepada suami beliau, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail.

Sedangkan sebagai seorang menteri kabinet serta orang lama yang telah berada dalam kabinet dan politik adalah juga mustahil bagi Shahrizat tidak menyedari konflik kepentingan apabila projek tersebut diberikan kepada keluarga beliau.

Melainkan ada pihak yang memberi jaminan kepada beliau bahawa ‘agenda sulit’ tersebut tidak akan terbongkar selagi kuasa berada didalam tangan pihak yang menawarkan projek tersebut.

Atau Shahrizat dijanjikan ‘imbuhan’ yang lebih besar sekiranya matlamat menjatuhkan Najib tercapai.

Atau pun Shahrizat begitu yakin dengan ‘strategi’yang dirancang sehingga lupa akan nasib yang akan menimpa beliau sekiranya agenda tersebut gagal atau dibongkar.
Dilema Najib

Sebagai orang lama dalam politik, mustahil juga Najib tidak dapat membaca agenda yang sedang di atur terhadap beliau. Beliau juga mungkin telah lama sedar sebagai pemimpin numbor satu, Abdullah akan melakukan ‘check and ballence’ terhadap timbalannya.

Malah mungkin juga agenda dan pakatan Abdullah-Muhyiddin juga telah lama disedari namun beliau berdiam diri dan mengunggu masa yang sesuai.

Najib juga bertindak menangguhkan pemilihan barisan baru dalam Umno yang seharusnya berlangsung tahun lalu ketika perhimpunan Agong Umno. Tindakan Najib tersebut mungkin disebabkan beliau telah menghidu pakatan muhyiddin.

Tindakan Ketua Audit Negara yang membongkar kelemahan projek Lembu Daging Gemas (NFC) ketika era Najib menjadi pemimpin tertinggi negara juga mengundang persepsi yang pelbagai.

Sebagaimana Abdullah dahulu yang terpaksa menerima Najib di saat menjelang PRU 11 lalu mungkin digunakan Najib sekarang bagi meredakan keadaan.

Demam PRU 13 yang sedang hangat bertiup memaksa Najib untuk tidak membuat ‘perang terbuka’ terhadap timbalannya maupun pada Shahrizat. Sebaliknya Najib cuba memperkuda kudrat dan pengaruh Muhyiddin untuk memastikan BN berkuasa selepas pilihanraya umum nanti.

Dalam keadaan serba terdesak Najib terpaksa mencari pelbagai helah dan ‘flip-flop’ untuk memperkatakan status Shahrizat dalam kabinet dan parti.

Najib juga terpaksa menanggung pelbagai tanggapan ahli-ahli Umno berhubung tindakan berdiam diri beliau. Malah Dr Mahathir turut menggesa Shahrizat meletak jawatan namun Najib tetap membisu.

Najib takut Shahrizat ‘membalas dendam’ sekiranya memaksa Shahrizat meletak jawatan disebabkan kekuatan Shahrizat dalam pergerakan wanita.

Apa yang pasti Shahrizat telah meletak jawatan sebagai anggota jamaah menteri Najib tetapi masih mahu mempertahankan jawatan sebagai ketua Wanita.

Shahrizat juga tahu sekiranya beliau masih menerajui pergerakan wanita selagi itulah Najib tidak berani ‘menyentuh’ beliau.

Najib pula tidak berapa pasti pendirian dan pegangan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang juga menantu Abdullah.

Walaupun baru ‘disogok’ dengan jawatan sebagai peneraju Permodalan Nasional Berhad (PNB) namun ‘petroitisme’ Khairy terhadap beliau masih tidak diuji.

Categories
NASIONAL

Jingga 13: Muhyiddin Juga Perlu Di Siasat

SHAH ALAM, 14 MAC: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi fokus utama berhubung dakwaan penyelewengan dalam projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) yang kini berada  dalam proses pembicaraan di mahkamah.

Setakat ini hanya Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan suami, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang menjadi fokus utama berhubung kes ini.

Menurut Koordinator Jingga-13, Fariz Musa, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Menteri Pertanian ketika itu perlu diseret dan disiasat.

Katanya, ini memandangkan Muhyiddin adalah menteri yang bertanggungjawab memberikan projek tersebut kepada suami Ketua Wanita Umno tersebut serta boleh mengundang pelbagai persepsi.

“Pendedahan yang dilakukan sehingga Shahrizat menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri pada tempoh akhir menjawat jawatan Senator pada 8 April bererti dakwaan membabitkan NFC yang turut melibatkan ahli keluarganya mempunyai asas kebenarannya.

“Kalau tidak masakan Shahrizat akan meletak jawatan. Maka selepas ini Muhyiddin juga harus diheret untuk disiasat.” jelas beliau.

Beliau turut mengulangi pendiriannya agar satu pemantauan menyeluruh akan dilakukan oleh pihaknya bagi memastikan segala

maklumat dapat dibekalkan kepada mahkamah sekiranya diperlukan.

“Pokok utama besar adalah orang yang terlibat secara langsung bagi memastikan projek ini berjalan ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau juga harus mengambil sikap yang sama seperti Shahrizat untuk berundur kerana beliau harus bertanggungjawab terhadap pengagihan dana RM250 juta projek ini.

“Kita juga mempertikaikan mengapa Pengerusi NFC sahaja yang dikenakan tindakkan sedangkan laporan yang dibuat oleh Jingga-13 termasuk mengenai kondo dan sebagainya melibatkan secara keseluruhan pihak pengurusan NFC. Muhyiddin harus diheret bersama kerana isunya bermula awal lagi melibatkan Tan Sri Muhyiddin.

“Jadi tindakan yang diambil seolah-olah ‘mengkambing hitamkan’ Shahrizat dan Muhyiddin terus menyembunyikan segala fakta seolah-olah dia tidak terlibat. Kita yakin dan percaya bahawa tindakan dibuat untuk cuba menyembunyikan kejahatan yang dibuat oleh Muhyiddin yang terlibat secara langsung dalam kes ini,” katanya.

Berhubung penolakkan usul bagi membincangkan perkara ini di Dewan Rakyat ujar beliau kes ini baru berada di peringkat sebutan dan pendakwaan baru sahaja dibuat.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul yang dikemukakan pembangkang bagi bincangkan isu NFC kerana ianya sudah menjadi kes mahkamah.

“Bila tindakan Speaker menolak isu ini untuk dibahaskan kita lihat bahawa ini menjadi satu fenomena kepada Umno-BN untuk berdepan dengan ahli yang berhormat daripada PR (Pakatan) bagi membahaskan isu ini dengan lebih terperinci kerana takut segalanya dapat dibongkarkan untuk pengetahuan rakyat,” katanya Faris lagi

Categories
NASIONAL

Guan Eng: Shahrizat Patut Lepas Semua Jawatan

KUALA LUMPUR, 12 MAC – Pengumuman Datuk Seri Shahrizat Jalil untuk melepaskan jawatannya sebagai menteri berkuatkuasa April depan disifatkan sebagai keputusan separuh rela memandangkan beliau masih belum bersedia melepaskan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sekiranya Shahrizat ingin meletakkan jawatan, beliau seharusnya melepaskan kesemua kedudukan yang disandang termasuk di dalam parti.

Menurutnya, tindakan Shahrizat itu seolah-olah menunjukkan bahawa beliau masih belum bersedia untuk melepaskan jawatan yang disandang sekarang.

“Dia (Shahrizat) nak letak jawatan sebagai menteri, tetapi tidak mahu lepaskan jawatan dalam parti.

Ini adalah keputusan separuh rela dan tiada kesungguhan. Kalau tak bersalah, kenapa nak lepaskan jawatan?

Dengan meletakkan jawatan, ia membuktikan salah laku yang telah dibuat. Shahrizat perlu melepaskan kedua-dua jawatannya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menyarankan Shahrizat supaya mendengar nasihat Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee supaya segera melepaskan kedua-dua jawatannya dan tidak bermain tarik tali terhadap keputusan yang dibuat.

“Saya rasa eloklah Shahrizat mendengar nasihat Syed Ali iaitu ahli Umno sendiri.

Kenyataan saya ini hanyalah sebuah pandangan yang mewakili DAP,” katanya.

Selepas kontoversi panjang isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Shahrizat semalam mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan (April).

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu bagaimanapun akan kekal sebagai ketua Wanita Umno.

Berhubung jawatan sebagai ketua Wanita Umno, beliau berkata, keputusan mengekalkan jawatan itu dibuat setelah berfikir panjang kerana Wanita Umno sudah seperti keluarga baginya.

Sementara itu, Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee menganggap kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan satu ‘drama’.

Syed Ali berkata, sebagai seorang menteri, Shahrizat sepatutnya menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap parti dan negara dan bukan bermain tarik tali.

Categories
NASIONAL

“Letak Jawatan Tak Bererti Kes Selesai”- Mohd Sabu

SHAH ALAM, 12 MAC : Bukan jalan penyelesaiannya untuk rakyat melupakan dana awam yang diselewengang oleh pemimpin Umno walaupun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil mengumumkan akan berhenti dan mengundurkan diri dari jawatan menteri tidak lama lagi, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Secara sinis beliau berkata rakyat mahukan isu ‘Menteri lembu’ tersebut disiasat secara telus dan integriti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana pelbagai bukti telah dibongkar oleh Pakatan Rakyat.

” Walaupun Menteri lembu telah mengumumkan akan berhenti tidak lama lagi tetapi bukan itu penyelesaiannya, kita mahu jika ada kes rasuah, SPRM mesti siasat dan dakwa siapa sahaja yang terlibat dalam kes rasuah itu,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam sempena Sambutan ke empat tahun pentadbiran PR.

Katanya, tindakan Shahrizat yang mengambil masa sebegitu lama untuk berundur dilihat sebagai tindakan terdesak setelah pelbagi bukti ditemui dan dibongkar oleh Pakatan Rakyat.

Semalam, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Ketua Wanita Umno mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh perlantikannya sebagai senator tamat bulan depan.

Shahrizat yang dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April depan.

Beliau bagaimanapun hanya berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Shahrizat meletakkan jawatan sebagai menteri selepas kontroversi panjang isu skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang diterajui suaminya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail.

Selain desakan banyak pihak termasuk pihak pembangkang, beberapa individu dalam Umno seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Bekas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz , Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee dan Timbalan Kelab Penyokong BN, Bung Mokhtar Radin juga menggesa Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan menjadi bebanan parti.

 

Categories
NASIONAL

Shahrizat Letak Jawatan April ini

SHAH ALAM, 11 MAC : Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan meletakkan jawatannya sebagai menteri selepas tempoh perlantikannya sebagai senator tamat bulan April depan.

Shahrizat yang dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April depan.

Beliau bagaimanapun hanya berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Keputusan itu diumumkan oleh beliau dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Shahrizat meletakkan jawatan sebagai menteri selepas kontroversi panjang isu skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang diterajui suaminya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail.

Skandal NFC dalam projek lembah daging di Gemas, Negeri Sembilan itu turut mengaitkan dirinya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan kedudukan Shahrizat pada waktu yang sesuai ekoran pelbagai khabar angin mengatakan Senator itu akan meletakkan jawatan.

Sebelum ini, Shahrizat kelihatan berbincang dengan Najib beberapa ketika sebelum perdana menteri memberitahu perkara itu akan diumumkan tanpa mahu mengulas lanjut soal berkenaan.

Selain desakan banyak pihak termasuk pihak pembangkang, beberapa individu dalam Umno seperti bekas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee juga menggesa Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan menjadi bebanan parti.

Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan menasihatkan bekas anggota parlimen Lembah Pantai itu agar “jangan sayang kepada jawatan.”

Sementara itu semalam, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli memfailkan saman balas terhadap Shahrizat.

Tujuan saman balas tersebut menurut Zuraidah dan Rafizi berikutan khuatir pihak plaintif mungkin mengambil keputusan untuk melengah-lengahkan perbicaraan atau menarik balik saman dalam masa terdekat untuk mengelakkan dokumen penting dan pemimpin tertinggi BN diseret ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Pada 19 Januari lalu Ketua Wanita Umno tersebut bertindak menyaman Zuraidah dan Rafizi kerana mengkaitkan beliau terlibat dengan skandal penyelewengan NFC.

Categories
NASIONAL

NFC: PKR Akan Heret Ramai Pemimpin BN Ke Mahkamah

PETALING JAYA 7 MAC: Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli akan mengemukakan pembelaan terhadap tuntutan saman berjumlah RM100 juta yang dikemukakan oleh Dato? Seri Shahrizat Jalil pada hari Jumaat ini, 9 Mac 2012 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Menurut Zuraidah, beliau dan Rafizi telah membincangkan secara mendalam mengenai strategi pembelaan sekiranya tuntutan saman ini diteruskan juga oleh Dato? Seri Shahrizat Jalil, selepas mahkamah mendengar pembelaan yang akan dikemukakan Jumaat ini.

“Antara lain, saya dan Saudara Rafizi bercadang untuk memanggil kesemua pimpinan kanan negara yang pernah terlibat di dalam membuat keputusan berhubung NFC atau pernah memberikan komen mengenai NFC untuk dipanggil sebagai saksi memberikan keterangan.

“Saya juga yakin bahawa apabila Dato? Seri Shahrizat Jalil dipanggil menjadi saksi dan disoalsiasat, beliau terpaksa mengaku bahawa beliau sendiri pernah menghabiskan masa di kondominium mewah yang dimiliki oleh keluarga mereka dan dibeli menggunakan dana awam.

” Itu menimbulkan persoalan besar sama ada beliau betul-betul tidak tahu menahu bahawa keluarga beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk membeli harta peribadi, seperti keterangan beliau di dalam tuntutan saman.” kata beliau melalui kenyataan media yang di keluarkan petang ini.

Menurut Zuraidah, pihaknya yakin rakyat Malaysia begitu teruja agar kes saman ini dapat dibicarakan secepat mungkin, supaya kesemua pimpinan kanan Barisan Nasional dapat diheret untuk memberikan keterangan.

Rafizi: Matlamat NFC Untuk Bekalan Daging Bukan Pasaraya

SHAH ALAM , 1 Mac 2012 : Tindakan NFC mempertahankan operasi perniagaan di Singapura bercanggah dengan matlamat penubuhannya bagi memastikan bekalan daging negara mencukupi dan tidak lagi perlu mengimpot dari luar negara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi (NFC), Datuk Seri Salleh Ismail dalam mempertahankan operasi perniagaan di Singapura yang disiarkan dalam satu laman berita The Malaysian Insider disifatkan sebagai satu alasan yang tidak boleh diterima pakai oleh rakyat Malaysia, kata Pengarah Strategi Keadilan, Mohd Rafizi Ramli.

Salleh Ismail dalam laman berita yang disiarkan pada 1 Mac bertajuk “NFCorp Justifies Its Expansion Into Singapore? itu mempertahankan operasi perniagaan milik keluarganya di Singapura yang melibatkan tiga buah restoren dan sebuah pasaraya mewah yang sebelum ini dipercayai menggunakan dana awam sebanyak RM250 juta.

Beliau berkata Salleh Ismail turut memberikan alasan bahawa pasaran Malaysia untuk membeli daging dari NFC terlalu kecil serta tidak dapat memenuhi pengeluaran NFC, malah turut membayangkan hasrat NFC untuk membuka operasi di Indonesia dalam masa terdekat.

” Saya berasa kesal kerana alasan yang diberikan tidak dapat diterima akal oleh rakyat Malaysia. NFC sehingga sekarang masih gagal untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan sebagai syarat untuk mendapatkan projek Pusat Fidlot Kebangsaan dan dana awam RM250 juta.” katanya dalam satu kenyataan kepada Selangor kini.

Rafizi menyifatkan perbezaan di antara sasaran yang ditetapkan mengikut dasar-dasar utama negara dan pencapaian NFC setakat ini ‘bagai langit dan bumi’.

Hal ini berdasarkan sumber rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di laman web dan sasaran pengeluaran daging yang ditetapkan kepada NFC iaitu sasaran rasmi JPV bagi Output pengeluaran daging mentah menjelang 2009 sebanyak 50,000 tan bagaimanapun pencapaian NFC sepanjang 2008 hingga 2010 hanya purata 400 tan setahun sahaja (berdasarkan purata 1,914 sembelihan setiap tahun, berat bersih daging 200 kg setiap sembelihan).

Manakala bagi Jumlah lembu yang perlu disembelih oleh NFC untuk memenuhi sasaran 40% permintaan daging tempatan, pencapaian NFC hanya Purata 6 ekor sehari sedangkan sasaran JPV sebanyak 800 ekor sehari (berdasarkan berat bersih daging 200 kg setiap seekor lembu, 300 hari operasi setiap tahun).

” Daripada perbezaan itu, NFC juga tidak ada hak untuk bercakap mengenai pasaran baru diluar negara selagi tidak memenuhi sasaran 40 peratus permintaan tempatan sepertimana tujuan NFC ditubuhkan sebelum ini,” katanya.

Menurut Razali lagi, beliau masih menunggu kenyataan rasmi dari NFC dan kerajaan untuk menjawab kenapa sejumlah wang rakyat dibenarkan dilaburkan dalam aktiviti perniagaan di luar negara yang tidak ada kena mengena dengan tujuan pembiayaan RM250 juta diluluskan.

Categories
NASIONAL

NFC: Guna Dana Sewa Pasaraya Mewah Di Singapura

SHAH ALAM, 29 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) melakukan pendedahan terbaru mengenai pengurusan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikatakan menggunakan sebahagian daripada dana awam berjumlah RM250 juta diperoleh bagi pelaburan dalam perniagaan pasaraya mewah di Singapura.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, pelaburan dibuat pengurusan NFC menerusi syarikat Farmhouse Supermarkets Pte Ltd (Farmhouse Supermarkets) oleh NFC diyakini terdedah kepada risiko kerugian.

Sebelum ini, PKR turut mendedahkan pelaburan perniagaan dibuat pengurusan NFC ke atas tiga buah restoran mewah dan pelaburan berjumlah RM44 juta dalam tiga kondominium mewah di republik itu.

Mohd Rafizi selanjutnya menjelaskan, maklumat diperoleh sepertimana dalam laporan pihak berkuasa Singapura menyatakan pelaburan itu dikendali Farmhouse Supermarkets yang sahamnya dimiliki keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil iaitu Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah sebanyak S$666,667.00 setiap seorang.

Menurutnya, Farmhouse Supermarkets dipercayai dibiayai Malayan Banking Berhad dan United Overseas Bank Limited melalui kaedah sama digunapakai untuk membiayai pembelian dua kondominium mewah di Marina Bay Suites berharga RM34 juta yang didedahkan baru-baru ini.

Sejak tahun lalu, katanya, berdasarkan laporan, syarikat itu aktif mengambil pekerja melalui pengiklanan dibuat dipercayai sebagai persediaan bila mana pasaraya itu bakal dibuka dalam tahun ini.

“Siasatan PKR menunjukkan Farhmouse Supermarkets telahpun menjadi penyewa utama kepada sebuah kompleks pasaraya mewah yang bernama Star Vista beralamat 35, Rochester Drive dan terletak di kawasan elit berdekatan dengan Nanyang Technology University. Pasaraya yang diusahakan Farmhouse Supermarkets ini dijangka mula beroperasi dalam suku ketiga tahun ini apabila kompleks Star Vista disiapkan.

“Siasatan PKR juga menunjukkan bahawa Farmhouse Supermarkets telah menandatangani perjanjian sewaan dengan CapitalMalls selaku pemaju bagi 28 unit ruang kedai di tingkat 2 kompleks tersebut dari unit #02-08 hinggalah unit #02-35.

“Semakan dengan harga pasaran bagi ruang kedai komersil di pasaraya di Singapura menunjukkan julat kadar sewa bagi satu meter persegi adalah di antara S$350 hingga S$500 sebulan bergantung kepada lokasi (berdasarkan kajian Competition Commission of Singapore). Oleh itu, jika keluasan 28 unit dianggarkan sekitar 3,000 meter persegi, tanggungan sewaan bulanan yang terpaksa dibayar Farmhouse Supermarkets adalah sekitar S$900,000 sebulan atau RM2.2 juta sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini bersama Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Mohd Rafizi berkata, sudah tentu perniagaan pasaraya itu akan dibiayai dari dana awam yang disalurkan bagi tujuan penternakan lembu seperti yang dimandatkan oleh NFC, seperti yang berlaku di dalam pembelian-pembelian aset mewah lain sebelum ini.

Tegasnya, kenyataan pengurusan NFC yang mempertahankan hak mereka berbelanja dana RM250 juta itu mengikut citarasa mereka memperkuatkan lagi hujah bahawa sebahagian wang tersebut bakal dibelanjakan bagi membiayai pasaraya mewah ini.

“Oleh yang demikian, PKR mendesak supaya NFC berterus terang mengenai komitmen kewangan yang telah dibuat melalui Farmhouse Supermarkets ini termasuk perjanjian sewaan yang telah dimeterai,” katanya.

Menurutnya, tindakan tegas perlu dilakukan segera untuk merampas kembali semua dana awam yang telah diselewengkan secepat mungkin dan mendakwa individu terbabit di mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan jenayah perdagangan.

Jika ini tidak berlaku dalam minggu ini, tambahnya, PKR akan melakukan pendedahan setiap minggu sehingga Dewan Rakyat bersidang pada pertengahan Mac ini.

Categories
NASIONAL

Rafizi: Pendedahan Skandal NFC Adalah Tepat

SHAH ALAM, 29 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperoleh maklumat terbaru bahawa pengurusan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menerusi Farmhouse Supermarkets Pte Ltd (Farmhouse Supermerkets) membuat pelaburan berjuta ringgit dari dana rakyat disalurkan dan beroperasi di Rochester Mall bersebelahan kompleks membeli belah  Star Vista di Singapura.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, siasatan dilakukan pihaknya dengan maklumat diperoleh daripada rakyat Malaysia di republik itu memang menyatakan penyewaan dibuat syarikat tersebut di Rochester Mall.

“Farmhouse Supermarkets dikatakan menyewa unit-unit bernombor #02-08 hingga #02-35 di kompleks membeli belah yang dibangunkan bersama-sama kondominium mewah di alamat 35, Rochester Drive, Singapura. Projek itu dibangunkan oleh pemaju UE One-North Developments Private Limited.

“Semakan di laman rasmi Rochester Mall jelas menyenaraikan Farmhouse Supermarket sebagai salah satu penyewa mereka seperti yang dilaporkan di laman http://www.rochestermall.com.sg/#02-08to35,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rafizi mengulas mengenai penafian dibuat CapitalMalls selaku pemaju kompleks membeli belah Star Vista yang sedang dimajukan di mana mereka tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Farmhouse Supermarket yang dimiliki keluarga Menteri Wanita, Kelaurga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Selanjutnya Mohd Rafizi berkata, maklumat di laman rasmi Roshester Mall juga mengesahkan bahawa Farmhouse Supermarket adalah penyewa terbesar di tingkat 2 kompleks itu berbanding kedai-kedai lain.

“Saya juga berpendapat oleh kerana lokasi Rochester Mall adalah bersebelahan dengan Star Vista, anggaran sewa seperti yang didasarkan kepada laporan Competition Commission of Singapore tidaklah banyak berbeza,” katanya.

Oleh yang demikian, jelasnya, beliau percaya selain dari kesilapan alamat sebenar kompleks seperti yang disebut, keseluruhan pendedahan yang dibuat sebelum ini adalah tepat.

Tambahnya, kenyataan Pengarah Eksekutif NFC yang juga suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail yang disiarkan sebuah akhbar Inggeris pada 29 Februari lalu turut mengesahkan bahawa NFC tidak menafikan kewujudan pasaraya mewah itu malah masih mempertahankan hak mereka untuk menceburi apa-apa perniagaan yang dirasakan sesuai.

“Saya memohon maaf secara terbuka kepada CapitalMall dan NFC atas kesilapan fakta yang berlaku, walaupun ia tidak memadamkan pelbagai persoalan yang timbul mengenai pembabitan NFC di dalam operasi pasaraya mewah di Singapura,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Suami Shahrizat Patut Didakwa Lebih Awal

SHAH ALAM, 26 FEB : Peguam Negara dan pihak polis seharusnya menjadikan Pengerusi Eksekitif Pusat Fidlot Nasional (NFC) Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail sebagai orang pertama yang seharusnya di siasat dan didakwa berhubung pecah amanah yang membabitkan dana rakyat bernilai RM250 juta tersebut.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, cadangan polis supaya Peguam Negara hanya mendakwa Mohamed Salleh menggambarkan wujud dwi standard dalam siasatan yang dibuat pihak berkuasa tersebut.

“Masih lagi wujud dwi standard dalam siasatan yang dibuat. Kita melihat bahawa ia hanya difokuskan kepada Pengerusi Eksekutif NFC sahaja,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Aktivis masyarakat itu menambah, polis sepatutnya menyiasat secara keseluruhan dan semua pengurusan tertinggi NFC kerana semua pihak itu diyakini turut sama melakukan penyelewengan dan pecah amanah.

Malah laporan yang dibuat badan bukan kerajaan (NGO) tersebut, tegasnya, turut menyatakan penglibatan ketiga-tiga anak Mohamed Salleh sebagai pengurusan tertingginya iaitu Wan Shahinur Izmir selaku Pengarah Eksekutif, Wan Shahinur Izran (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Wan Izzana Fatimah (Pengarah).

“Maknanya kertas siasatan itu yang dihantar kepada Peguam Negara seharusnya turut melibatkan semua pengurusan tertinggi NFC.

“Ini kerana segala laporan yang kita buat sebelum ini bukan sahaja melibatkan Mohamed Salleh sebagai Pengerusi Eksekutif NFC tetapi turut sama melibatkan semua pengurusan tertinggi NFC iaitu Pengarah Eksekutifnya, Wan Shahinur Izmir dan termasuk Wan Shahinur Izran serta Wan Izzana Fatimah,” ujarnya.

Fariz seterusnya berkata, Jingga 13 mempercayai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut terlibat dan mengetahui segala-galanya disebabkan isu itu melibatkan anak dan suaminya.

“Dalam perkara ini kita melihat Shahrizat cuba mengelak diri seolah-olah dia tidak terlibat langsung tetapi kita yakin dan percaya bahawa Shahrizat mengetahui segala aktiviti yang dilakukan oleh suami dan anak-anaknya kerana ia melibatkan pembelian kondominium, hartanah, kenderaan mewah dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap polis dan Peguam Negara bersikap profesional dalam perkara itu dan tidak tunduk kepada pihak tertentu demi kepentingan politik.

Januari lalu, seorang Ahli Perniagaan Shamsulbahrin Ismail (46) ditangkap polis dan dijadikan kambing hitam bagi menutup pembabitan dakwaan penyelewengan yang membabitkan keluarga Shahrizat.