Categories
SELANGOR

ADUN Sekinchan saran kakitangan kerajaan Selangor diberi bonus

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 21 NOV: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (Sekinchan-DAP), Ng Sue Lim menyarankan bayaran bonus kepada kakitangan kerajaan negeri sebelum musim persekolahan tahun 2014.

Sue Lim berkata, pembayaran bonus itu dijangka mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung ibu bapa bagi membiayai pelbagai keperluan persekolahan anak.

02“Saya kira Menteri Besar tentu tidak keberatan kerana mereka ini bekerja keras memastikan kejayaan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai misi untuk kesejahteraan rakyat Selangor.

“Jadi saya harap Menteri Besar dapat mengumumkan bonus sebelum bermula musim persekolahan tahun depan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2014, di sini, semalam.

Sue Lim juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di atas keputusan kerajaan negeri membayar bonus sebanyak sebulan gaji kepada kakitangannya sebelum menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri sebelum ini.

“Bonus raya itu lebih banyak berbanding pemberian Bantuan Raya RM500 oleh kerajaan pusat tetapi sudah lama dan duit bonus itu sudah tentu dibelanjakan untuk persediaan hari raya.

“Maka saya rasa wajar kerajaan negeri mengeluarkan bayaran bonus untuk kakitangannya,” katanya.

Semalam ketika membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2014, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap kakitangan kerajaan Nngeri akan menerima konsep kenaikan gaji dan pemberian bonus berdasarkan kecemerlangan prestasi, kecekapan dan keberkesanan selari dengan piawaian serta amalan terbaik antarabangsa.

Langkah memperkenalkan konsep itu dibuat bagi memastikan penjawat awam di Selangor bersikap profesional, telus, bertanggungjawab dan berintergiti setiap masa.

-NFN-

Categories
SELANGOR

BN dijangka potong belanja pembangunan sehingga 10 peratus

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 20 NOV: Kerajaan pusat dijangka akan memotong peruntukan perbelanjaan pembangunan sehingga mencecah 10 peratus dalam jangka masa dua hingga tiga tahun lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ng Sue Lim (DAP-Sekinchan), berkata hal itu berikutan kerajaan yang diteraju Barisan Nasional (BN) mengurus perbelanjaan mereka dengan amalan boros, ketirisan dan rasuah yang berlaku secara berleluasa dalam pentadbiran.

02Katanya, kerajaan pusat dilihat bertindak mengalihkan bebanan akibat amalan buruk itu kepada rakyat seperti memotong subsidi gula dan petrol serta memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“GST gasak sampai tertonggeng, gasak rakyat sampai tak boleh bernafas,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2014, di sini, hari ini.

Sue Lim berkata, kerajaan pusat juga gagal menunaikan janji untuk menaikkan Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) daripada RM500 hingga RM1,200 seperti janji BN dalam manifesto.

Dakwaan itu disanggah Halimaton Saadiah (BN-Kota Damansara) dengan alasan jumlah itu dinaikkan secara berperingkat selama lima tahun tetapi perkara berkenaan tidak dinyatakan dalam manifesto BN ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Sementara itu, Gan Pei Nei (PKR-Rawang) berkata, rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi sebelum kerajaan memberi BR1M kepada mereka.

“Rakyat terpaksa bayar harga tinggi untuk dapat BR1M kerana kenaikan harga gula dan petrol, baru-baru ini,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Analogi Chang Khim jawab isu belanjawan tambahan Selangor

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 20 NOV: Pembekalan atau belanjawan tambahan yang dibuat Selangor sebelum ini bukan disebabkan kegagalan kerajaan negeri merancang dan mengurus perbelanjaan seperti belanjawan tahunan yang dibentangkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikkan, Datuk Teng Chang Khim, berkata kerajaan negeri memohon belanjawan tambahan pada pertengahan tahun disebabkan kejayaan meningkatkan hasil hingga mampu mengatasi unjuran hasil dalam belanjawan tahunan yang dibentang, pada hujung tahun.

03“Pendapatan saya RM6,000 sebulan dan sudah tentu dapat kira berapa yang akan diterima untuk setahun. Jadi saya sudah siapkan belanjawan untuk keperluan diri dan keluarga untuk setahun itu.

“Selepas itu, saya juga beritahu isteri berkenaan belanjawan keluarga yang sudah diatur untuk setahun tetapi ada pengumuman gaji dinaikkan. Kenaikan itu menyebabkan bertambahnya pendapatan dan saya akan umumkan belanjawan baru dengan menambah perbelanjaan tambahan,” katanya.

Chang Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (DAP-Sungai Pinang) berkata demikian ketika memberikan analogi mengapa kerajaan negeri memohon belanjawan tambahan sebelum ini sebagai mencelah ucapan perbahasan Belanjawan Selangor 2014 oleh Ketua Pembangkang, Shamsudin Mohd Lias (BN-Sungai Burong), di sini, hari ini.

Shamsudin mendakwa belanjawan tambahan itu menunjukkan kerajaan negeri mengamalkan belanjawan defisit.

ADUN (DAP-Sekinchan), Ng Sue Lim pula ketika mengulas isu sama mengingatkan supaya Shamsuddin tidak terus berulang kali memainkan perkara terbabit yang sudah dijawab sebelum ini.

ng suee lim dun red hands 02“Tak payah ungkit, apa yang penting kerajaan negeri mempunyai pendapatan yang cukup untuk dibelanjakan untuk rakyat Selangor,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu kerajaan negeri berjaya meningkatkan kutipan hasil cukai semasa dan tertunggak yang gagal dilaksanakan BN sebelum ini.

Abdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang) berkata, kejayaan itu adalah penyumbang kepada peningkatan hasil dan rizab negeri serta bukan melalui cara menaikkan cukai yang dikenakan terhadap rakyat Selangor.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Prestasi Pembangkang Selangor Dalam PAC Lemah

SHAH ALAM, 30 NOV: Prestasi pembangkang(Umno-BN) dalam Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) didapati amat lemah apabila tidak hadir dalam kebanyakan mesyuarat yang dijalankan jawatankuasa itu.

Bertambah malang lagi, apabila wakil pembangkang Selangor juga menolak perlantikan sebagai Pengerusi PAC.

Demikian menurut Ng Sue Lim( DAP- Sekinchan), dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

“Amat berbeza ketika zaman saya dan Tuan Speaker, Datuk Teng Chang Kim jadi pembangkang dahulu, kami datang mesyuarat dan berikan pendapat kita,” kata beliau.

Menurut beliau, tindakan pembangkang menolak mandat tersebut membuktikan mereka tidak serius berkhidmat sebagai wakil kepada suara rakyat.

Pada 2010, DNS mencipta sejarah apabila buat pertama kali di Malaysia, Dewan Negeri meluluskan usul melantik wakil daripada Pembangkang sebagai Pengerusi PAC.

PAC merupakan sebuah salah satu jawatankuasa Dewan paling penting yang diberi tanggungjawab untuk menyiasat dan menyemak semua penyelewengan jabatan-jabatan kerajaan dan memastikan eksekutif bertanggungjawab terhadap Dewan melalui pengawalan perbelanjaan wang ringgit orang ramai.

Categories
NASIONAL

Didakwa Beri Tender Padi Kepada Kroni : Noh Digesa Lepas Jawatan Menteri

SHAH ALAM, 9 OKT: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar digesa meletakkan jawatan berikutan tiada ketelusan dan wujud skandal meragukan dalam proses tender membekalan benih padi oleh kementerianya.

Skandal benih padi negara itu melibatkan tender bernilai RM164.8 juta yang diserahkan kepada beberapa pembekal yang tidak memenuhi kriteria serta mempunyai kaitan dengan individu tertentu dalam Umno.

“Terdapat dua syarikat yang dapat lebih separuh dari kouta keseluruhan iaitu Seri Merbok Sdn Bhd yang pengarahnya Datuk Rais yang juga bekas exco Negeri Sembilan dapat 22,000 tan dan satu lagi, Hj Mohd Noor Sdn Bhd yang dapat 20,000 tan,” demikian menurut Adun Sekinchan, Ng Sue Lim ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Menurut Sue Lim lagi, anak kepada pemilik syarikat Hj Mohd Noor Sdn Bhd, Ahmad Fuad Mohd Noor pula merupakan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor.

Selain dikaitkan sebagai milik kroni Umno, kemampuan dua syarikat tersebut menyediakan jentera, kewangan, peralatan dan kemahiran dalam proses penyediaan benih padi juga diragui sekaligus dibimbangi mampu mencetuskan krisis bekalan makanan negara.

Sebelum ini dalam satu laporan Malaysiakini yang turut disertakan keputusan pemenang tender membekal benih padi negara mendedahkan terdapat lapan syarikat lain yang turut berjaya memenangi tender, masing-masing memperolehi kurang 10,000 tan.

Antaranya Felcra Plantation Service Sdn Bhd, Pertubuhan Peladang Kawasan Lahar Bubu dan Syarikat Perniagaan Peladang Sdn Bhd (MADA) yang masing-masing hanya memperolehi 8,000 tan dan sementara baki lima syarikat lain memperolehi sekitar 2,000 hingga 3,000 tan.

Rabu lalu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendedahkan satu salinan surat bertarikh 20 Julai 2012 yang mendedahkan berlaku ketidaktelusan dalam urusan pemberian tender berkenaan.

Surat yang ditandatangani oleh bahagian perolehan kerajaan Kementerian Kewangan dan dialamatkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Miliki Tanah 30 Ekar, Noh Jangan Lari daripada Isu Pokok

SHAH ALAM 1 OKT: Datuk Seri Noh Omar dinasihati agar tidak cuba lari daripada isu pokok dan bukannya mempersoalkan kelulusan mesyuarat exco dan Borang 5A bagi tanah 30 ekar yang dimilikinya kini

“Noh tidak boleh alih isu ini, rakyat tertanya dia sebagai pemimpin Umno dapat tanah 30 ekar, sedangkan rakyat biasa sekangkang kera pun tak dapat,” dakwa Adun Sekinchan, Ng Sue Lim.

Kedudukan dan pengaruh Noh dalam Umno juga dikatakan mampu mempengaruhi keputusan mesyuarat exco Kerajaan Umno-BN ketika itu.

“Walaupun ketika keputusan mesyuarat exco dibuat Noh belum jadi Ahli Parlimen, tetapi saya percaya dia menjawat jawatan berpengaruh dalam Umno Tanjong Karang dan juga mengenali dengan baik ahli-ahli exco mesyuarat tersebut.

“Sekurang-kurang pun mesti sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian, kalau tidak tak kanlah dia dipilih jadi calon Ahli Parlimen Tanjong Karang,” kata Sue Lim lagi.

Sue Lim juga mendakwa Menteri Pertanian dan Asas Tani itu yang memiliki tanah seluas 30 ekar sebelum borang 5A dikeluarkan merupakan suatu amalan yang salah.

Menurut Sue Lim mengikut amalan lazim, seseorang rakyat biasa hanya dapat mengesahkan permohonan tanah mereka diluluskan setelah menerima borang tawaran terima iaitu Borang 5A.

Beliau juga memberitahu, keputusan meluluskan permohonan tanah dalam mana-mana mesyuarat sebelumnya juga boleh dipinda selagi borang tawaran itu tidak dikeluarkan oleh Pejabat Tanah.

“Sebelum Borang 5A yang sah dari Kanun Tanah Negara tidak berada dalam tangan, selagi itulah rakyat di bawah tidak dapat mengatakan ‘sipolan bin sipolan’ dapat tanah.

“Melalui mesyuarat exco, dari segi pentadbiran dan pengurusan mengiktiraf mereka memiliki tanah tersebut apabila Borang 5A dikeluarkan kepada rakyat,” kata Sue Lim.

Sue Lim turut memberitahu, rakyat biasa hanya mengetahui permohonan tanah mereka sudah diluluskan apabila mereka menerima Borang 5A kecuali bagi pihak yang mempunyai hubungan atau pengaruh dengan pihak yang membuat keputusan tersebut.

Categories
NASIONAL

Umno Bela Kroni, Selangor Rugi RM1.088 juta


SHAH ALAM: Sikap medahulukan kroni dari rakyat menyebabkan Kerajaan Selangor Umno-BN dahulu rugi sampai RM1.089 juta daripada hasil jualan tanah yang boleh disalurkan kepada program rakyat.

Adun Sekinchan, Ng Sue Lim mendedahkan kerugian tersebut berpunca daripada potongan bayaran premium terhadap sebidang tanah berkeluasan 47,000 kaki persegi yang dijual kepada Umno Tanjong Karang.

Lebih sedih lagi, menurut Ng Sue Lim, penjualan tanah itu kepada Umno Tanjong Karang dibuat dengan diskaun 95 peratus.

Manakala, kebiasaannya rakyat hanya mampu mendapati diskaun 30 hingga 50 peratus untuk tanah yang sama.

“Tanah itu diluluskan pada ketika itu kepada Umno Tanjong Karang dengan premium tanah RM24 satu kaki persegi.

“Kemudian Umno Tanjong Karang membuat rayuan pada 2002 dan premium tanah itu dikurangkan oleh Majlis Exco dari RM24 kepada RM1.

?Sedangkan pada masa itu, tanah itu diluluskan dengan nilai premium RM1,135,824.

“Selepas dikurangkan, bayaran premium yang perlu dibayar oleh Umno Tanjong Karang hanyalah RM47,039. Ini merupakan pengurangan lebih 95 peratus dari RM1,135,824,” kata Sue Lim.

Beliau berkata demikian di dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya  selepas dialog bajet Selangor 2012.

Menurut beliau, amalan Kerajaan Negeri Umno-BN ketika itu menetapkan diskaun maksima yang boleh diberikan terhadap rayuan pengurangan premium adalah sekitar 30 hingga ke tahap maksima 50 peratus.

Selain itu menurut Ng Sue Lim, bayaran premium RM1 hanya boleh dinikmati pemilik tanah berstatus pertanian, kampung baru dan kampung tradisional, bukannya tanah perniagaan seperti yang dibeli Umno Tanjong Karang.

“Oleh itu saya mendesak, Umno Tanjong Karang yang diketuai Ahli Parlimennya dan juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar untuk menjelaskan kepada rakyat.

“Saya juga desak Umno Tanjong Karang bayar nilai premium sebenar tanah itu.

?(Atau) sekurang-kurangnya diberi potongan 30 peratus. Atau kembalikan tanah itu semula kepada Kerajaan Negeri bagi membuktikan Umno itu berintegriti, berwibawa dan cakap serupa bikin,” katanya.

Ketika dihubungi, Setiausaha Sulit Pejabat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Jasman Anuar, berjanji akan memberikan komen berhubung isu ‘diskaun’ premium tanah tersebut.

“Saya tak tahu menahu tentang isu ini, jadi saya tak dapat nak bagi komen apa-apa buat masa ini.

“Saya periksa dahulu isu ini dan saya akan hubungi anda kemudian,” ujarnya.

Ketika berita ini ditulis, Jasman masih belum menghubungi meja berita Selangor Kini.

Usaha untuk menghubungi Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Jaafar Maahad, juga menemui kegagalan apabila diberitahu beliau sedang bermesyuarat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dialog Bajet Selangor Selami Suara Akar Umbi Rakyat

SHAH ALAM 3 JUL: Dialog Bajet Selangor 2013 yang dipelopori oleh Kerajaan Negeri Selangor diadakan bertujuan menyelami suara dan hasrat masyarakat akar umbi negeri itu.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika merasmikan dialog yang bertajuk ‘Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia’ di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pagi semalami.

“Tujuan dialog ini diadakan supaya kita dapat pandangan, penelitian dan beberapa isu dari pemilik negeri iaitu rakyat daripada penjawat awam, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung yang mana mereka sangat rapat dengan rakyat akar umbi.

“Mereka ini dapat membangkitkan isu-isu yang patut diberi penekanan dalam usaha mentadbir urus belanjawan Negeri Selangor,” ujar Abdul Khalid di hadapan kira-kira 500 wakil masyarakat, agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Abdul Khalid juga memberitahu dialog bajet ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan menjadi sebagai sebahagian tradisi pentadbiran Negeri Selangor.

Menurutnya bajet yang bakal dibentangkan nanti bukanlah bajet pilihan raya seperti mana yang sering dilakukan oleh Kerajaan Pusat.

“Tiada isu bahawa bajet hanya tertumpu kepada pilihan raya sahaja sebab sesuatu belanjawan ini akan memberi kesan kepada belanjawan tahun-tahun seterusnya, sebagai contoh, pendidikan, ia perlukan usaha lebih 15 tahun,” katanya.

Tindakan Kerajaan Pusat yang kebelakangan ini mengumumkan beberapa bantuan untuk rakyat juga dianggap sebagai tindakan minit terakhir yang boleh dianggap terlewat.

“Sepatutnya bantuan yang diumumkan kerajaan pusat ini dibuat sejak 2008 lagi, tetapi bila baru sekarang diumumkan ia memberi indikasi kurang baik di mata rakyat,” katanya lagi.

Tindakan Kerajaan Pusat itu berbeza berbanding pendekatan Kerajaan Selangor yang melaksanakan agenda dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) yang diatur sejak mula mengambilalih pentadbiran negeri ini.

Menteri Besar juga memberikan penekanan terhadap kepentingan perbincangan dua hala antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dalam menentukan hala tuju masyarakat negara ini.

“Kalau di Australia kerajaan tempatan misalnya adakan perbincangan dengan Kerajaan Pusat, begitu juga di negara barat lain, tetapi ini sukar dilaksanakan di Malaysia,” ujar Khalid.

Dalam program yang berlangsung dari selama dua hari, 2 hingga 3 Julai ini, beberapa kertas kerja akan dibentangkan oleh ahli profesional dalam kepakaran bidang masing-masing.

Selain Menteri Besar, turut hadir dalam dialog dan bertindak sebagai moderator dialog termasuk exco-exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail, Dr Halimah Ali, Iskandar Samad, Dr Xavier Jayakumar, Ronnie Liu dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Selain itu turut hadir dalam majlis dialog sama adalah Ahli Exco, Teresa Kok, Dr Yaakob Sapari, Lee Kim Sin, Ng Sue Lim dan Pengarah Startegi PKR Mohd Rafizi Ramli.