Categories
AGENSI SELANGOR

Jarak wakil rakyat kekal, Dewan Negeri patuh SOP

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kedudukan 56 wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) dikekalkan kerana mematuhi penjarakan sosial, maklum speaker.

Ng Suee Lim berkata Jabatan Kesihatan Negeri yang membuat pemeriksaan beberapa hari lalu turut berpuas hati terhadap tatacara operasi piawai (SOP) dewan bagi mencegah penularan Covid-19.

“Jabatan kesihatan memaklumkan tempat duduk Ahli Dewan Negeri tidak perlu diubah kerana jarak sedia ada mematuhi penjarakan sosial.

Ng Suee Lim melakukan saringan Covid-19 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 7 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya turut menerangkan SOP yang mesti dipatuhi sepanjang persidangan,” katanya kepada pemberita selepas menjalani saringan di perkarangan Bangunan Annex, SUK hari ini.

Terdahulu, seramai 700 individu termasuk Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjalani saringan Covid-19 sebagai persiapan menghadiri sidang DNS bermula 13 hingga 24 Julai ini.

Turut mengambil bahagian, 56 wakil rakyat, kakitangan DNS dan pengamal media termasuk TV Selangor dan SelangorKini.

Ikuti siaran langsung Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor di saluran YouTube selangortv.my pada 13 Julai.

Persidangan DNS juga disiarkan secara langsung di saluran sama.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Tujuh ratus individu jalani saringan Covid-19 di SUK esok

SHAH ALAM, 6 JULAI: Seramai 700 individu menjalani saringan Covid-19 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri esok sebagai persiapan menghadiri sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), Isnin depan.

Speaker Ng Suee Lim berkata saringan membabitkan Ahli Dewan Negeri (ADN), pegawai dan petugas media bagi memastikan keselamatan dan kelancaran persidangan yang berlangsung sehingga 24 Julai.

“DNS juga melakukan imbasan suhu kepada semua petugas sebelum dibenarkan masuk,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Sementara itu, Suee Lim memaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan pelan pemulihan ekonomi jangka sederhana pada hari pertama persidangan.

Pelan itu dirangka untuk tempoh enam bulan terakhir tahun ini bagi memastikan Selangor kekal berdaya saing dan mampan susulan kesan Covid-19.

“Turut dibawa usul pelantikan timbalan speaker baharu,” kata Suee Lim yang juga ADN Sekinchan.

Mengulas soalan mulut dan bertulis daripada ADN, beliau berkata sebanyak 473 soalan diterima yang menunjukkan komitmen tinggi mereka membawa isu rakyat.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pejabat DNS belum terima surat letak jawatan timbalan speaker

SHAH ALAM, 14 JUN: Pejabat Dewan Negeri Selangor (DNS) belum menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa selaku timbalan speaker, kata Ng Suee Lim.

Beliau berkata berkata surat itu mungkin diserahkan Dr Daroyah Alwi dalam masa terdekat selepas mengumumkan keluar KEADILAN semalam.

“Saya menghormati keputusannya dan merakamkan ucapan penghargaan kerana selama ini memberikan kerjasama serta komitmen yang baik bagi melicinkan perjalanan sidang dewan yang beliau kendalikan,” kata Speaker DNS kepada SelangorKini.

Katanya, pengganti kekosongan jawatan itu akan dilantik Kerajaan Negeri pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadualkan berlangsung pada 13 Jun.

Sidang DNS kali ini dijangka berlangsung selama dua minggu sehingga 24 Julai.

Sebelum itu, Pengerusi KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mengecam keras tindakan Dr Daroyah keluar dari parti dan menganggapnya sebagai pengkhianatan kepada rakyat.

Susulan itu, Dato’ Menteri Besar mengecam Dr Daroyah kerana mengkhianati mandat rakyat dan menggesa beliau mengosongkan kerusi berkenaan.

Categories
ADN SELANGOR

DNS dipendekkan, sempat lulus usul penting

SHAH ALAM, 17 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) berjaya meluluskan usul penting berkaitan dasar Kerajaan Negeri walaupun persidangan yang baharu bermula semalam ditangguhkan tengah hari ini, kata speaker.

Ng Suee Lim berkata DNS yang sepatutnya berlangsung dua minggu dipendekkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok, berikutan penularan Covid-19.

“DNS sempat menyelesaikan semua urusan kerajaan dan meluluskan beberapa usul penting antaranya Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Kita juga meluluskan usul Pelantikan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor,” katanya pada sidang media di lobi DNS di sini hari ini.

Suee Lim berkata semua Ahli Dewan Negeri turut memberi kerjasama dengan tidak mengambil bahagian membahas usul tersebut.

“DNS juga berjaya membentangkan penyata mengenai pembasmian kemiskinan, jawatankuasa pihak berkuasa tempatan mengenai sistem aduan dan beberapa perkara lain.

“Selain itu, usul supaya Kerajaan Negeri mempertahankan hutan simpan dan kawasan tadahan air di Selangor turut ditarik balik dan akan dibincangkan pada sesi akan datang,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selcat, Selangor contoh pada negeri lain

SHAH ALAM, 20 FEB: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang ditubuhkan Dewan Negeri Selangor (DNS) menjadi contoh serta ikutan pada negeri lain, kata pengerusinya.

Ng Suee Lim yang juga speaker DNS berkata beliau berbangga apabila kehadiran wakil dewan undangan negeri dari Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka memenuhi sesi pendengaran awam penilaian prestasi PBT dan ahli majlis oleh Selcat hari ini.

“Wakil berkenaan datang berkongsi pengalaman Selangor menjalankan sesi tersebut.

“Maka kita bertekad supaya negeri ini sentiasa berada di depan serta menjadi rujukan sekali gus membuktikan kita mengungguli pelbagai bidang termasuk perundangan,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex di sini hari ini.

Hadir sama anggota Selcat, Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Categories
EXCO SELANGOR

Notis 5A: Impian 123 penduduk terlaksana selepas 50 tahun

SEKINCHAN, 20 SEPT: Impian 123 penduduk Bagan untuk memiliki hak milik tanah sejak 50 tahun lalu akhirnya terlaksana apabila menerima notis 5A daripada Kerajaan Negeri, hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, pemberian itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap semua kaum di negeri ini.

Katanya, pemberimilikan itu dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bermula tujuh tahun lalu.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat khususnya membabitkan isu tanah yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan sebelum ini.

“Banyak masalah boleh diselesaikan tetapi tiada tindakan penyelesaian, oleh itu Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil inisiatif membantu selesaikan isu rakyat di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) Bagan Sekinchan di Gelanggang Bola Keranjang MPKK, Bagan Sekinchan, di sini.

Ng Sze Han (tengah) bersama Ng Sue Lim (enam, kanan) bersama penerima Notis 5A ketika Majlis Penyerahan Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) di Bagan Sekinchan pada 20 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Notis 5A itu diserahkan oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Suee Lim berkata, pemberian fasa kedua itu menyelesaikan 95 peratus isu pemilikan tanah di daerah itu.

“Tanah yang diberikan adalah rizab Melayu, oleh itu kita gantikannya dengan tanah yang lain di Sungai Panjang berkeluasan kira-kira tiga hektar.

“Ini cara PAKATAN membantu rakyat. Kita maju bersama tanpa meminggirkan mana-mana pihak di samping hak milik kaum Melayu terpelihara,” katanya.

Sementara itu, Hing Ger Heng, 43 dan adiknya, Hing Gek Yoke, 41 menzahirkan rasa terujanya atas bantuan Kerajaan Negeri itu.

“Kami sangat gembira kerana akhirnya diberikan hak milik tanah. Sudah pasti ibu kami yang berusia 70 tahun juga gembira.

“Inilah kampung kami, kami dilahirkan dan membesar di sini bersama keluarga yang lain, penantian kami selama ini tercapai,” katanya.

Categories
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Belanjawan 2020 Selangor dijangka dibentang awal November

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kerajaan Negeri dijangka membentangkan Belanjawan 2020 pada awal November ini bagi menampung keperluan dan memperkasa rakyat di Selangor tahun hadapan.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim berkata, belanjawan berkenaan akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dengan membabitkan satu angka yang amat signifikan untuk rakyat secara keseluruhan.

“Seperti biasa, saya yakin ia akan merangkumi semua aspek sosioekonomi, kebajikan dan hala tuju untuk pembangunan Selangor pada tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, beliau optimis beberapa polisi dan dasar baharu bakal dikemukakan pemimpin tertinggi itu selaras hasrat Kerajaan Negeri yang sentiasa menghargai rakyat.

“Setakat ini saya belum terima apa pembaharuan yang akan dibuat, tetapi memang diketahui biasanya beliau (Amirudin) mempunyai perancangan ke arah itu.

“Sama-sama kita menunggu perkembangan pada November nanti,” katanya.

Belanjawan Selangor sering menjadi tumpuan masyarakat seluruh negara berikutan kemampuan Kerajaan Negeri menampilkan pelbagai inisiatif baharu untuk rakyat.

Selain pengumuman bonus, antara yang paling mencuri perhatian adalah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.56 bilion untuk perbelanjaan bagi Belanjawan Selangor 2019 bersandarkan kepada kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan terus berdaya saing.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.28 bilion atau 50 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala selebihnya untuk perbelanjaan pembangunan.

Categories
ADN SELANGOR

Suee Lim nafi halang pindaan enakmen

SHAH ALAM, 8 OGOS: Spaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim menafikan perjalanan singkat sidang DNS yang berlangsung, baru-baru ini bagi menghalang pindaan enakmen negeri.

Pindaan enakmen itu merujuk kepada kebenaran penukaran agama Islam untuk secara sebelah pihak.

Suee Lim berkata, sebagai Speaker, beliau bertanggungjawab memastikan perjalanan sidang DNS berjalan lancar dan tertib mengikut Peraturan Tetap DUN Selangor 1965.

“Apabila urusan mesyuarat habis, maka saya perlu menangguhkan Dewan (Negeri Selangor) mengikut Perkara 15 (2).

“Dalam aturan mesyuarat juga tiada berhubung (pindaan) enekmen itu, jadi tiada isu. Saya sebagai Speaker DNS hanya mengikut peraturan dan urusan mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Pakatan Harapan Dwibulanan Kali Ketiga di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, penyertaan Ahli Dewan Negeri yang mengambil bahagian dalam mesyuarat berkenaan berkurangan menyebabkan urusan DNS berjalan laju.

Suee Lim berkata, tempoh sidang DNS yang singkat kali ini bukan isu baharu kerana perkara sama pernah berlaku pada 2016 dan 2017 di bawah kendalian Hannah Yeoh.

“Ada media salah faham seolah-olah kita sengaja pendekkan sidang DNS sedangkan sebelum ini mesyuarat pernah berlangsung hanya dalam tempoh dua hari.

“Masa itu tidak ada isu tetapi sekarang pula dibangkitkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

PKM Sekinchan teruskan tradisi edar bubur lambuk sempena Ramadan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 2 MEI: Seperti tahun sebelumnya, tradisi mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai sepanjang Ramadan diteruskan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan.

Ahli Dewan Negerinya, Ng Suee Lim berkata, pihaknya akan menyediakan kuota antara 400 hingga 500 pek bubur lambuk untuk diagihkan pada setiap Rabu, di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Sekinchan.

“Kita akan mengadakan sumbangan bubur lambuk hanya pada setiap Rabu untuk sama-sama meraikan kerana umat Islam dari Subuh hingga Maghrib mereka berpuasa.

“Selain itu, pengagihan bubur lambuk ini juga sebagai sedikit penghargaan daripada PKM Sekinchan.

“Saya sebagai bukan muslim juga akan bersama meraikan Ramadan mubarak dengan mengadakan pelbagai bentuk program selain berbuka puasa bersama kerana inilah budaya kita di Selangor khususnya dan Malaysia amnya,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berkata, perbezaan agama, adat dan budaya tidak menghalang beliau untuk turut meraikan kehadiran Ramadan.

“Kita berpeluang mengenali lebih dekat masyarakat Islam di sini sekali gus meningkatkan lagi hubungan masyarakat di sini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan lawat Sekinchan

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengadakan lawatan mesra ke Sekinchan, di sini, hari ini.

Lawatan selama hampir satu hari itu bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawati beberapa tempat menarik di sini.

Baginda memulakan lawatan pertama mencemar duli ke Hotel A+ Sekinchan dengan bersarapan bersama rakyat sambil mendengar taklimat berkaitan sejarah asal usul Sekinchan.

Kedatangan baginda disambut Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

 

Seusai bersarapan, baginda mencemar duli melawat kedai barangan antik, Ah Ma House yang cukup sinonim dan terkenal bukan sahaja di Sekinchan, namun di Selangor khususnya.

Baginda turut mencemar duli mengayuh basikal sejauh 500 meter bersama rombongan Istana dan tetamu jemputan menuju ke kilang padi terbesar di daerah ini, PLS Marketing Sdn Bhd.

Selain itu, pada sebelah petang baginda dijadual meneruskan lawatan ke ke Ladang Tanaman Mangga King dan Jambu Madu di Site A Kitchen sebelum menikmati santapan tengah hari di Restoran Eksotik Lembah Bernam Parit 9, di sini.

Baginda turut mencemar duli melawat Wisma Masri, Parit 7, perusahaan Industri Kecil Tempatan yang cukup terkenal menjual kerepek dan pelbagai jenis kuih.

Baginda dan rombongan meneruskan lawatan mencemar duli ke Kilang Khind, kilang menghasilkan barangan eletrik yang membekalkan ke seluruh Malaysia.

Selain itu, aktiviti petang baginda meneruskan lawatan mencemar duli ke Kampung Bagan dan Jeti Ah Hee bagi melihat aktiviti nelayan sebelum bersiar di Pantai Redang.

Manakala, pada sebelah malam, baginda menikmati santapan makanan laut yang amat terkenal di Sekinchan, Restoran Secret Garden 1960.

Sebelum berangkat pulang ke Istana, baginda dan rombongan mencemar duli menaiki bot untuk ke Jeti Sky Mirror bagi melihat keindahan dan meneroka keajaiban Blue Tears.

 

 

Categories
SELANGOR

SELCAT bincang isu projek Taman Air Manis 7 Mei

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan bersidang pada 7 Mei ini bagi membincangkan isu projek perumahan Taman Air Manis, Sabak Bernam.

Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, sesi pendengaran awam itu akan dibuka kepada orang ramai dan media yang akan diadakan di Bilik Gerakan di Dewan Annex, SUK.

Katanya, isu berkenaan dilontarkan Ahli Dewan Negeri Sabak, Ahmad Mustain Othman dan Ketua Pembangkang, Rizam Ismail dalam sidang dewan negeri lalu.

“Pembangunan jenis bersepadu berkeluasan 10 hektar ini mempunyai nilai komersial dan Rumah SelangorKu yang dirancang sejak 2011, namun hingga hari ini pembangunan yang dijanjikan itu tidak sepenuhnya siap.

“Oleh itu, SELCAT dan semua pihak mahu mengetahui apakah masalah dihadapi pemaju Permodalan Negeri Selangor Berhad kerana sejumlah RM30 juta sudah dibelanjakan,” katanya selepas merasmikan Bengkel Penyelidik Efektif di Dewan Annex, di sini.

Suee Lim berkata, jawatankuasa itu akan membuat rumusan dan menyiapkan laporan teliti sebelum diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut.

“Kita juga akan memanggil beberapa saksi dalam isu ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, fungsi SELCAT dan bidang kuasanya berbeza dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kita lebih lihat daripada segi pentadbiran untuk menentukan kebertanggungjawaban dan ketelusan. Jika ada pihak yang melakukan kesalahan jenayah, mereka perlu disiasat berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Speaker bantu atasi ADN lemah berbahas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) mengambil langkah proaktif melatih pembantu dan pegawai penyelidik Ahli Dewan Negeri (ADN) bagi memantapkan lagi mutu perbahasan wakil rakyat, di negeri itu.

Ng Suee Lim berkata, Bengkel Penyelidik Efektif itu dianjurkan bersama Institusi Darul Ehsan (IDE) bermula 9 pagi hingga 5.30 petang, di Bilik Gerakan DNS.

“Selangor mempunyai ramai ADN baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14, oleh itu tahap perbahasan ADN kerajaan dan pembangkang memuaskan, namun boleh diperbaiki dari masa ke masa.

“Saya sendiri menjadi ADN Sekinchan sejak 2004, kebiasaannya wakil rakyat baharu akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun atau satu penggal untuk menyesuaikan diri dengan tatacara sidang DNS.

“Setakat ini, sesi perbahasan mereka memuaskan, namun masih ada ruang untuk meningkatkan kualitinya dan disebabkan itu, wakil rakyat disaran memanfaatkan khidmat pembantu serta penyelidik dalam meningkatkan ilmu mereka untuk melontarkan input yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bengkel berkenaan di Bilik Gerakan, DNS, Bangunan Annex, di sini.

Suee Lim berkata, sebagai peneraju dewan negeri, pembantu dan penyelidik ADN perlu dilatih serta dipersiapkan dengan ilmu supaya menjadi golongan efektif kepada wakil rakyat, seterusnya memantapkan lagi DNS.

Katanya, tugas pembantu dan penyelidik bukan sahaja menguruskan jadual ADN tetapi membantu mencari data serta maklumat untuk mempersiapkan wakil rakyat dengan informasi khususnya semasa sidang DNS.

“Apabila rang undang-undang dibahaskan, pelbagai maklumat perlu dicari kerana apa-apa polisi kerajaan akan beri impak kepada rakyat.

“Oleh itu, kualiti perbahasan ADN harus memberi manfaat dan membantu kerajaan untuk merangka polisi terbaik. Jadi, tugas dan peranan pembantu ADN khususnya di Selangor semakin besar tanggungjawabnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penganjuran bengkel berkenaan akan memberi peningkatan kepada kualiti perbahasan pada sidang DNS, pada Julai ini.