Categories
NASIONAL

Kos lanjut pelajaran makin tinggi, tempat di IPTA makin terhad

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 20 JAN: Langkah Kerajaan memotong peruntukan bagi sektor pendidikan menyebabkan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) semakin mahal hingga menjejaskan golongan miskin untuk melanjutkan pelajaran.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, IPTA juga terpaksa menghadkan pengambilan pelajar baru.

“Kalau kita lihat 2015 peruntukan untuk 20 IPTA di Malaysia sebanyak RM8.97 bilion, 2016 dikurangkan sebanyak RM7.57 bilion sebelum 2017 dikurangkan lagi sebanyak RM6.12 bilion. Jumlah pemotongan keseluruhan adalah RM2.85 bilion ringgit.

nik-nazmi“Pada masa sama kita telah melihat satu kesan yang serius apabila pemotongan ini menyebabkan IPTA tidak dapat menyediakan tempat secukupnya untuk pelajar di negara kita.

“Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ada Panel Penasihat Pendidikan Tinggi di mana saya salah seorang daripada anggotanya dan kita telah menerima begitu banyak aduan orang ramai yang anak-anaknya tidak mendapat tempat di dalam IPTA untuk menyambung pelajaran walaupun mendapat 7A dan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian pada Forum Pendidikan Percuma Penyelesaian Kemelut PTPTN di Rumah Gerakbudaya di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, keadaan ini menyebabkan golongan terbabit tidak mempunyai pilihan lain selain menyertai IPTS yang mengenakan yuran lebih tinggi untuk melanjutkan pelajaran masing-masing.

Katanya lagi, IPTS pula mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan yang tinggi ke atas keadaan ini dengan mengenakan yuran yang tinggi.

“Mereka tidak ada pilihan melainkan terpaksa ke IPTS dan IPTS mengambil peluang ini untuk mendapatkan wang yang mudah daripada kerajaan disebabkan mereka tak perlu bersaing mendapat bayaran daripada mahasiswa apabila semuanya dibayar dahulu oleh PTPTN yang kemudiannya ditanggung pihak Kerajaan yang akan dikutip daripada graduan ini kemudiannya,” katanya lagi.

-nR-

Categories
NASIONAL

KAMM2017: Semangat baru untuk Malaysia

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 DIS: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyokong penuh inisiatif kumpulan anak muda Demi Malaysia yang akan menganjurkan Kongres Anak Muda Malaysia (KAMM2017) pada 17 hingga 19 Februari tahun depan.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha itu tepat pada masanya memandangkan Malaysia sememangnya memerlukan sebuah kuasa ketiga yang kuat menampung suasana politik semasa.

Katanya, inisiatif itu bagai langit dan bumi jika dibandingkan dengan kemunculan kumpulan-kumpulan yang mengheret belia ke lembah kemunduran seperti Baju Merah pimpinan Datuk Jamal Md Yunos.

nik-nazmi“AMK bersedia bersama dengan kumpulan Demi Malaysia dalam menyalurkan sebarang bentuk bantuan sekiranya diperlukan pihak penganjur.

“Memandangkan perkumpulan anak muda yang kuat amat penting sebagai mekanisme semak dan imbang bukan sahaja kepada pemerintah, tetapi semua pihak termasuk komponen parti pembangkang.

“Ditambah dalam kondisi politik Malaysia hari ini yang dibelengu skandal dan krisis kepercayaan terhadap pemerintah, kehadiran kumpulan anak muda yang kuat menjadi faktor meletakkan halatuju negara kembali kepada matlamat rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, insiatif KAMM2017 itu juga dilihat sebagai manifestasi anak muda yang saban hari semakin resah dengan kemelut politik tanah air.

“Kita mengharapkan semua pihak termasuk pihak Kerajaan khususnya kementerian belia dapat memberi sokongan penuh terhadap Kongres ini. Janganlah Kongres ini dianggap secara negatif walaupun para penganjurnya merupakan kumpulan yang selama ini kritikal terhadap polisi-polisi Kerajaan.

“AMK percaya usaha anak muda ini menjangkaui dan mengatasi apa juga sentimen politik, hasilnya juga sudah pasti boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Tambahnya, Demi Malaysia yang lebih baik, AMK menyeru semua anak muda Malaysia untuk hadir dan bersolidariti dalam KAMM2017.

-nR-

Categories
SELANGOR

Veteran ATM diperkasa latihan keusahawanan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 DIS: Lebih 120 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpeluang mengikuti latihan keusahawanan anjuran Kerajaan Negeri.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia bertujuan membantu mereka mencapai kesinambungan kehidupan yang baik selepas banyak berbakti kepada negara.

Katanya, ia sekaligus membuka peluang buat golongan pesara itu mencari rezeki menerusi bidang perniagaan.

“Kerajaan Negeri berhasrat memantapkan pesara dengan kompetensi perniagaan kerana kunci kejayaan persaraan adalah melalui perancangan teliti yang membawa kepada kehidupan dan kesihatan berkualiti.

img-20161206-wa0005“Diharap setiap peserta menerima manfaat daripada program ini dan Kerajaan Negeri juga berikrar akan terus memberi sokongan penuh kepada veteran ATM,” katanya.

Beliau berkata ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Latihan Veteran Angkatan Tentera Malaysia siri Ke-3 di sebuah hotel di sini, semalam.

Majlis perasmian program tiga hari itu turut dihadiri Yang Di Pertua Persatuan Veteran ATM, Mohd Din Husnin.

Nik Nazmi berkata, program dengan kerjasama HIJRAH Selangor itu dijangka melibatkan lebih ramai bekas pesara ATM pada tahun hadapan.

-nR-

Categories
SELANGOR

Veteran tentera ditawar kursus keusahawanan bantu jana pendapatan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Negeri tampil dengan inisiatif tersendiri membantu bekas tentera menambah pendapatan menerusi Program Latihan Keusahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, program dengan kerjasama HIJRAH Selangor itu berlangsung dua hari bermula hari ini di Hotel De Palma, Shah Alam.

“Program ini memberi penekanan kepada latihan keusahawanan bagi membantu veteran ATM yang banyak berbakti kepada negara untuk mempunyai kesinambungan yang baik di samping dapat memperoleh peluang mencari rezeki melalui perniagaan.

“Ini juga sebagai satu persediaan supaya mereka dapat menceburkan diri dalam bidang yang mereka minat dan diperkembangkan,” katanya dalam kenyatan.

15032130_1282482948468792_4477052009491560487_nTambahnya lagi, menjadi harapan Kerajaan Negeri Selangor setiap peserta mendapat manfaat yang baik daripada program tersebut dan sokongan padu akan terus diberikan.

Difahamkan, program itu diadakan dengan kerjasama Hijrah Selangor dan pelaksanaan program seterusnya akan diadakan pada 23 hingga 25 November, dan 5 hingga 7 Disember.

Majlis perasmian turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM, Mohd Din Husnin.

-nR-

Categories
NASIONAL

Harapan generasi muda: Pendidikan, Pekerjaan dan Perumahan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Pemuda Pakatan Harapan akan mengadakan Konvensyen Pemuda Pakatan Harapan dengan menggariskan beberapa tawaran kepada anak muda yang memfokuskan isu pendidikan, pekerjaan dan perumahan.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tawaran itu memberi kesan lebih besar untuk menarik sokongan rakyat khususnya generasi muda.

hutang“Tiga perkara itu lebih penting untuk masa depan anak muda berbanding meningkatkan kemarahan rakyat dengan isu-isu skandal dan rasuah yang membelenggu negara pada hari ini.

“Kita sedar kehidupan anak muda kini penuh dengan pelbagai cabaran di peringkat awal kehidupan lagi, hutang keliling pinggang seperti PTPTN, kenderaan, peribadi dan kad kredit.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menggubal dasar yang boleh mengatasi masalah keberhutangan ini,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, menjadi harapan besar pihaknya membantu menyelesaikan tiga isu yang selama ini membelit kehidupan anak muda.

rumah-selangorku-pembeli“Pendidikan percuma berkualiti, pekerjaan dengan gaji setimpal dan perumahan mampu milik yang selesa untuk semua adalah impian semua generasi muda, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Pekerjaan yang ada tidak seberapa, ramai juga sukar mendapat pekerjaan. Apa penyelesaian yang ditawarkan Perdana Menteri? Menjadi pemandu Uber,” katanya.

Tambahnya lagi, kesenjangan ekonomi yang melebar menjadi realiti bukan sahaja di Malaysia malah di dunia.

“Kejayaan tokoh-tokoh politik yang dilihat luar dari arus perdana, sama ada Bernie Sanders dan Donald Trump di Amerika, mahupun Jeremy Corbyn di Britain, menjadi bukti bahawa hanya mereka yang mampu menggamit imaginasi rakyat dalam realiti baru ini yang mampu bersaing.

“Kita tidak boleh ketinggalan,” katanya

 

Categories
NASIONAL

Hak BERSIH anjur perhimpunan aman wajar dihormati

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 NOV: Hak Bersih 2.0 menganjurkan perhimpunan aman seharusnya dipelihara dan dihormati semua pihak, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, hasrat Bersih 2.0 untuk berhimpun secara aman juga termaktub dalam perlembagaan negara dan tujuan organisasi itu juga sentiasa jelas dan konsisten iaitu bagi menuntut pilihan raya bersih, bebas dan adil.

“BERSIH juga sudah lama mengumumkan tarikh 19 November, berbanding Gerakan Baju Merah yang dengan jelas menyatakan mahu mengacau Bersih dan berhimpun pada tarikh sama.

nik-nazmi“Jika mereka mahu berhimpun pada tarikh lain tiada masalah tetapi jika mahu mencetuskan gangguan dan intimidasi, itu tidak patut berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, sejarah membuktikan perhimpunan anjuran kumpulan Bersih berlangsung aman jika tiada kekacauan yang ditimbulkan pihak lain.

“Sudah berapa kali perhimpunan bersih dianjurkan dan kebiasannya berlaku aman jika tiada sebarang gangguan daripada pihak lain seperti Bersih 4 lalu.

“Rakyat kini sudah semakin matang dan faham peranan dalam menghormati perlembagaan negara,” katanya.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perhimpunan Bersih 2.0 dan Gerakan Baju Merah adalah tidak perlu dan meminta kedua-dua kumpulan itu bertindak lebih rasional.

Katanya, keduanya tidak mempunyai matlamat jelas dalam berhimpun.

-nR-

Categories
SELANGOR

Empat lagi sekolah Cina terima bantuan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 NOV: Empat lagi sekolah menerima Bantuan Pendidikan Sekolah-Sekolah Fasa 2 2016 berjumlah RM2 juta, semalam.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia adalah usaha membantu menyelesaikan masalah infrastruktur sekolah di Selangor.

Katanya, usaha itu diyakini mampu menyediakan persekitaran lebih selesa dan kondusif untuk pelajar.

“Sektor pendidikan dan isu berkaitannya sangat banyak diperkatakan di media arus perdana sama ada isu melibatkan guru, infrastruktur sekolah, kandungan pengajaran dan pembelajaran.

“Maka, Kerajaan Negeri tidak ketinggalan memberikan perhatian,” katanya.

img_5613Semalam, beliau menyampaikan sumbangan kepada kesemua sekolah berkenaan dalam satu majlis penyerahan di Foyer SUK, di sini.

Ia termasuk Sekolah Menengah (Persendirian) Kwang Hua, Sekolah Menengah (Persendirian) Hin Hua, Sekolah Menengah (Persendirian) Chung Hua dan Sekolah Menengah (Persendirian) Pin Hwa.

Awal Jun lalu, sejumlah RM10.2 juta turut diagih kepada 462 sekolah meliputi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKT), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR).

-nR-

Categories
SELANGOR

Selangor tawar biasiswa pengajian PHD luar negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri membuka peluang kepada inidividu berkelayakan untuk memohon Selangor Brain Bank bagi pembiayaan pendidikan di luar negara.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tawaran itu terbuka kepada pengajian pendidikan peringkat doktor falsafah (PHD), pada sesi 2017.

“Mereka yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang PhD di luar negara boleh memohon biasiswa ini dengan melayari melayari www.tkwbns.selangor.gov.my,” katanya di Facebook.

Tawaran terbuka kepada rakyat Selangor dan penjawat awam berstatus tetap atau kontrak di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri untuk tempoh lima tahun sebelum atau pada 31 Januari 2017.

Permohonan perlu dikemukakan melalui Ketua Jabatan dan tertakluk kepada peraturan perkhidmatan awam yang sedang berkuatkuasa.

NIK-NAZMiIndividu yang berkhidmat di sektor swasta negeri untuk tempoh lima tahun juga digalakkan memohon dengan mendapatkan surat pengesahan majikan.

Keutamaan diberikan kepada calon yang mahir dan menguasai lebih daripada satu bahasa antarabangsa.

Tawaran dibuka hanya untuk pengajian sepenuh masa di 50 universiti terkemuka luar negara yang tersenarai di QS World University Ranking.

Pemohon yang berjaya akan disenarai pendek untuk ditemuduga, sementara permohonan yang tidak mendapat maklum balas dalam tempoh sebulan selepas tarikh tutup dianggap tidak berjaya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Komited angkat TVET, Kerajaan Negeri peruntuk RM5 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM5 juta diperuntukkan untuk memperkasakan Kolej Antarabangsa INPENS bagi mengangkat kepentingan pendidikan vokasional dan latihan teknikal (TVET).

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, peruntukan itu membaitkan perbelanjaan penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan serta pembangunan kursus baru yang relevan dengan keperluan semasa.

Katanya, ia merupakan langkah jangka pendek bagi memenuhi keperluan sedia ada dan jawatankuasa TVET ditubuhkan bagi membincangkan hala tuju pendidikan TVET di Selangor.

“Selain itu sebuah Jawatankuasa Teknikal TVET yang akan diketuai oleh Unisel, universiti itu juga dipertanggungjawabkan menyelidik serta mencadangkan sebuah ‘Blueprint TVET’ di negeri Selangor bagi memberdaya TVET dengan menyeluruh termasuk mendapatkan kerjasama rapat dengan pihak industri,” katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan Negeri 2017.

nik-nazmi-dunPada tahun 2015, Kerajaan Negeri memperkenalkan program Youth Enhancement Strategy (YES) Selangor dengan tujuan memberdaya generasi muda dan anak-anak khususnya di Selangor.

Program YES Selangor ini merupakan program berimpak tinggi dengan kerjasama yang sangat menggalakkan dari sektor industri dengan memberi tumpuan kepada bidang teknologi.

Nik Nazmi berkata dalam program terbabit, seramai 60 siswazah dalam bidang Big Data Analytics dengan kerjasama Statistics.com USA dan seramai 37 siswazah dalam bidang Cloud Computing dan 16 siswazah lagi dalam bidang Automation dengan kerjasama National Instruments, tahun lalu.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa peka terhadap golongan belia yang tidak bernasib baik serta tidak berkemampuan untuk meneruskan pengajian akademik ke tahap yang lebih tinggi.

“Bagi kategori belia lepasan SPM dalam YES Selangor ini, seramai 41 orang dilatih dalam bidang kejuruteraan dan telah pun menerima persijilan dari BoxHill Institute Australia,” katanya.

Beliau berkata, pelatih kini sudah berjaya dan mengisi jawatan teknikal di syarikat multinasional di sekitar Selangor.

yes2016“Melalui program YES Selangor ini juga, Kerajaan Negeri melahirkan tenaga mahir dalam industri solar dengan kerjasama SEDA Malaysia.

“Seramai 19 orang Certified Solar Installers, dengan izin dilahirkan melalui kerjasama ini dan kesemua mereka pun bekerja di sektor swasta yang terlibat,” katanya.

Katanya, tahun 2016 juga satu kategori baru direalisasikan di dalam inisiatif YES Selangor iaitu ‘SMART Technical Workforce’ bertujuan untuk memangkin pembangunan sektor industri di Selangor menawarkan latihan khusus dalam bidang Big Data Analytics, Teknologi Telekomunikasi, Automasi dan Sistem Pembuatan.

“Latihan yang dilaksanakan adalah berteraskan keperluan terkini sektor industri di Selangor dengan rangka kerja berkonsepkan place and train, yang mana peluang kerja sedia menunggu untuk di isi,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

RM5.25 juta naik taraf semua perpustakaan desa seluruh

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri akan bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) untuk mengenalpasti perpustakaan uzur untuk dinaik taraf.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia sebagai usaha
mengembalikan dan memulihkan dalam keadaan sebaik mungkin.

“Ahli Dewan Negeri, Sungai Air Tawar ada membangkitkan berkenaan infrastruktur perpustakaan awam yang uzur.

“Kita sedia maklum perkara itu dan ketika ini ianya dalam proses pembaikan,” katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan Negeri 2017.

nik-nazmi-dunNik Nazmi berkata Kerajaan Negeri menganggarkan peruntukan berjumlah RM5.25 juta bagi kerja menaiktaraf keseluruhan perpustakaan desa di Selangor.

Manakala, sejumlah RM 8.25 juta bagi menaiktaraf Perpustakaan Daerah seluruh Selangor dan RM1.6 juta bagi menaiktaraf Perpustakaan Pekan.

“Peruntukan ini di dalam Rancangan Malaysia Ke 11 (2016-2020) Kerajaan Negeri,” katanya.

Bagi daerah Sabak Bernam terdapat 26 perpustakaan yang terdiri daripada Perpustakaan Daerah (1), Perpustakaan Pekan (2), Perpustakaan Desa (22) dan Perpustakaan Bergerak (1) unit.

Peruntukan pembangunan Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja pemuliharaan dan pembaikan infrastruktur bagi enam perpustakaan di daerah Sabak Bernam pada tahun 2015 dan 2016 pula adalah sebanyak RM 2,376,483.00.

-nR-

Categories
SELANGOR

Program pinjaman pelajaran diteruskan dengan peruntukan RM16.3 juta

NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Pinjaman Pelajaran dengan memperuntukkan sebanyak RM16.3 juta setahun kepada pelajar Selangor yang berkelayakan di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh Malaysia.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia bertujuan membuka peluang kepada pelajar yang menuntut di IPT luar Selangor menikmati manfaat selain program Peduli Siswa bermula tahun depan.

Katanya, pelajar secara tidak langsung memperolehi manfaat sekali gus membuka lebih banyak kuota kepada mereka di bawah Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor.

nik-nazmi-dun“Walaupun pengkhususan Program Peduli Siswa kepada empat Universiti awam yang diumumkan, tidak bermakna pelajar Selangor di Universiti lain akan diabaikan,” katanya di Sidang Dewan Negeri.

Nik Nazmi berkata bagi 2016, Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM10 juta setahun kepada pelajar UNISEL dan KUIS.

“Seramai 110 pelajar, daripada golongan keluarga berpendapatan rendah, menerima manfaat biasiswa ini dan Kerajaan Negeri akan membuka sekali lagi permohonan sebelum akhir tahun ini dengan mensasarkan lebih ramai pelajar.

“Di samping itu, satu lagi program di bawah manifesto kerajaan Pakatan iaitu Brain Bank Selangor, sebuah program biasiswa sambungan pelajaran peringkat Phd ke Universiti terbaik luar negara juga sudah mendapat kelulusan akhir dan akan mula membuka permohonan pada minggu depan,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata cadangan Universiti Malaya untuk disenaraikan dalan program Peduli Siswa akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pada 31 Oktober lalu, Kerajaan Negeri memperuntukan RM10 juta kepada anak Selangor yang terbuka kepada pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

-nR-

Categories
SELANGOR

Perkhidmatan kerajaan atas talian, mobile apps diperkasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 NOV: Perkhidmatan kerajaan secara online dan mobile apps kepada rakyat akan disediakan secara berfasa dan bersepadu dalam tempoh lima tahun.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Bahagian Teknologi Maklumat (BTM) sedang bekerjasama dengan UNISEL bagi merangka Pelan Pembangunan Strategik Teknologi Maklumat Negeri Selangor (PSTM) 2016-2020, dijangka siap pada Disember 2016.

Katanya, ia bagi memperluaskan penyampaian perkhidmatan kerajaan itu dalam perkhidmatan Jabatan dan Agensi Kerajaan selaras dengan pendekatan ‘Digital Governance’ ke arah Smart Selangor yang peduli.

nik-nazmi-dun“PSTM ini akan menjadi rujukan kepada perancangan dan pembangunan perkhidmatan kerajaan secara online dan mobile apps yang bersepadu dan pintar ke arah Digital Governance’.

“Ia bagi menyokong Smart Selangor khususnya ke arah pembudayaan Smart People bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang bersepadu dan berkualiti kepada rakyat,” katanya di penggulungan perbahasan Belanjawan 2017.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata pihaknya sedang meneliti semula Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) untuk ditambah baik tahun depan.

Katanya, kertas dasar juga sedang dirangka bagi memperkembangkan lagi konsep PTRS dan memberi lebih fleksibiliti agar ia bertepatan dengan keperluan sesuatu kawasan dan dan tidak terhad kepada pelajar Tingkatan 5 sahaja.

Sebanyak RM5 juta diperuntukan untuk pembangunan sebuah laman web bagi tujuan Tusyen Atas Talian sekaligus mmembuka peluang golongan pelajar menerima setiap bantuan diperlukan untuk menaiktaraf kualiti pendidikan, sejajar dengan gagasan Smart Selangor yang peduli.

Tuisyen Atas Talian ini juga merupakan program pelengkap kepada inisiatif sedia ada iaitu Program Tusyen Rakyat Selangor (PTRS) yang sudah berlangsung sejak tahun 2009.

Ia juga memenuhi dan merealisasikan agenda bagi memastikan kebajikan rakyat, kualiti hidup rakyat, memantapkan ekonomi rakyat.

-nR-