Categories
NASIONAL

Tarik balik cadangan potong elaun guru pelatih

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JUL: Kerajaan Persekutuan digesa menarik semula cadangan pemotongan elaun sara diri dan perjalanan guru pelatih yang menjalani Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pentadbiran Umno-BN dilihat berterusan memangsakan bahagian pendidikan dengan memotong pelbagai belanjawan sama ada di peringkat universiti, sekolah, pelajar mahupun guru.

Katanya, ia jauh tersasar daripada cadangan Pakatan menaikkan gaji guru Malaysia agar setaraf dengan kualiti pendidikan disegani.

nik-nazmi“Beberapa bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem pendidikan memerlukan rombakan dan disahut menteri lain termasuk Khairy Jamaluddin.

“Adakah ini reformasi yang dimaksudkan? Adakah dengan menjadikan guru semakin tidak keruan?

“Sumbangan guru di dalam mendidik generasi masa depan di samping membangunkan negara adalah teramat besar dan pengorbanan mereka layak diberikan ganjaran setimpal,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN berkata, sebarang reformasi pendidikan akan gagal sekiranya peranan guru terus diabaikan.

“Saya gesa Kerajaan Persekutuan menarik semula cadangan itu dan memberi guru pelatih elaun seperti yang dijanjikan.

“Jangan membebankan mereka dengan hutang kerana kegagalan gejala rasuah dan pembaziran menular di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak,” katanya.

guruPada 15 Julai lalu, Kerajaan Persekutuan bercadang memansuhkan elaun sara diri sebanyak RM430 sebulan dan elaun perjalanan sebanyak kurang RM500 setahun bagi guru pelatih yang menjalani PISMP di IPG.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, IPG juga sudah berbincang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) untuk membolehkan pelajar mereka menerima pinjaman PTPTN.

Katanya, ia bagi membolehkan pelajar IPG yang akan menyambung pengajian ke peringkat PISMP mulai Jun tahun depan menerima kemudahan pinjaman wang sara hidup.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Najib yang patut tinggalkan politik

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 JUL: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin seharusnya menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu wajar dilakukan Khairy memandangkan Najib sudah terpalit dengan rasuah dan kegagalan mentadbir ekonomi negara.

Katanya, pimpinan Umno-BN juga patut berhenti memperdayakan pemikiran rakyat dalam menilai pemimpin.

nik-nazmi“Adakah dengan gesaan seperti ini lebih memudahkan pemimpin Umno-BN untuk terus merompak hasil kekayaan negara? Cukuplah negara kini sudah terpalit pelbagai isu seperti 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Dengan pelbagai isu menghantui rakyat seperti bebanan kos sara hidup, kenaikan harga barangan, penghapusan subsidi, GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), rasuah dan penyelewengan duit rakyat.

“Saya yakin pada PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang, rakyat boleh menilai sendiri agar negara tidak lagi ditadbir golongan penyamun dan perompak,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang patut bersara daripada kehidupan politik.

Nik Nazmi berkata, gesaan Khairy itu sepatutnya ditujukan kepada pimpinan partinya sendiri dan bukan parti pembangkang yang digeruni semua.

“Khairy menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir dan Lim Kit Siang untuk meninggalkan pentas politik.

“Sedangkan semua sedia maklum bahawa ketiga-tiga tokoh ini sememangnya digeruni oleh Umno-BN kerana sering memperjuangkan permasalahan rakyat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Quran Hour pupuk ‘tadabbur’ imarah kehidupan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUN: Sambutan menggalakkan terhadap inisiatif Malaysia Quran Hour disifatkan sebagai perkembangan positif kesedaran masyarakat terhadap kepentingan tadabbur al-Quran.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kesedaran itu diharap mampu menjadi landasan terbaik bagi mengimarahkan al-Quran sebagai panduan hidup.

“Penganjurannya ketika Ramadan merupakan penghormatan untuk kita semua bersama-sama warga istimewa yang Allah berikan kelebihan dan mampu mengalunkan ayat suci al-Quran dengan lancar dan merdu.

BRAILLE (1)“Sesungguhanya keseluruhan al-Quran itu merupakan kalam Allah, jika kita ingin berkomunikasi dengan Pencipta kita, maka al-Quran itulah penghubung kita, selain daripada solat dan doa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Quran Hour di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam, di sini semalam.

Dalam perkembangan itu, Malaysia Quran Hour mengangkat tema kemaafan dan belas ihsan, tahun ini sejak ia mula dianjurkan pada 2015 lalu.

BRAILLE (4)Program Malaysia Quran Hour dulunya dikenali sebagai Malaysia Ngaji dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Kumpulan Media Karangkraft, dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Tahun lalu seramai 739,645 peserta dari seluruh negara menyertai program itu yang mana Selangor sahaja melibatkan 6,495 perserta.

Sebagaimana tahun sebelumnya, penganjuran program turut diadakan serentak di seluruh negara.

 

Categories
NASIONAL

Kelemahan pengurusan, apa nasib 15,420 guru duka lara?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 JUN: Kementerian Pendidikan diminta membuat penstrukturan semula prosedur pertukaran guru supaya mekanisme lebih jelas dan telus boleh dilaksanakan, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, wujud keraguan dalam kalangan guru berhubung pelaksanaan mekanisme sedia ada yang disifatkan kelemahan di peringkat kementerian kini.

Katanya, kegagalan itu turut memberi kesan kepada permohonan pertukaran guru khususnya mereka yang berstatus ‘guru duka lara’.

“Kebelakangan ini timbul segelintir guru yang baru ditempatkan di sesebuah sekolah tidak sampai tiga bulan mendapat keizinan bertukar, kononnya guru berkenaan mempunyai kabel di kementerian.

“Adakah kementerian berusaha memenuhi permohonan guru untuk berkhidmat di negeri masing-masing atau mengikut pasangan supaya berada dekat dengan keluarga tercinta?

“Bagi saya, kementerian tidak mungkin meluluskan kesemua pertukaran itu dalam jangka masa pendek kerana permohonan di beberapa negeri setiap tahun akan melebihi kekosongan jawatan di negeri tertentu,” katanya dalam kenyataan.

NIK-NAZMiNik Nazmi berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mengumumkan 2,261 permohonan guru duka lara sudah diluluskan dari 6,636 permohonan bagi kategori itu.

Beliau berkata, kelulusan berkenaan adalah bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini membabitkan 1,421 guru ditempatkan di sekolah rendah dan 840 lagi di sekolah menengah seluruh negara.

Pada masa sama, Nik Nazmi turut merujuk kelemahan aplikasi sistem pengurusan guru (EGtukar) yang digunakan guru bagi tujuan permohonan perpindahan.

“Berdasarkan sistem itu, keputusan kelulusan permohonan guru dibuat berdasarkan satu kekosongan bagi satu pilihan sahaja.

“Berbanding jumlah sebenar, jumlah permohonan sekitar 15,420 orang dan masih ramai guru yang menanti permohonan diluluskan kementerian.

“Namun, dalam menyelesaikan isu guru duka lara ini, apakah inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan?” soalnya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Najib cakap ‘kosong’ bela veteran tentera

OLEH NIK NAZMI NIK AHMAD

Saya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Najib Razak bahawa kerajaan tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan pesara tentera.

Beliau juga mengatakan kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM3.28 bilion untuk kebajikan pesara tentera dalam pelbagai aspek.

Namun saya ingin bertanya, mengapa pada tahun 2016 terdapat masalah kelewatan pembayaran caruman kepada pesara sehingga berbulan lamanya? Apakah masalah sebenar yang dihadapi?

Tetapi bagi saya, tidak kiralah di mana masalah sama ada di peringkat Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) atau Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) , pembayaran caruman kepada pesara perlu dilakukan mengikut jadual ditetapkan lebih-lebih lagi semua juga maklum Pengerusi LTAT ini dibayar gaji yang lumayan setiap bulan untuk menjaga kebajikan veteran tentera. Najib dan Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein Onn sebagai keluarga bangsawan mungkin tak memahami jerih perih veteran tentera.

Sudah menjadi tanggungjawab Menteri Pertahanan sepatutnya untuk menyelesaikan sebarang masalah pentadbiran di antara LTAT dan UGAT yang melambatkan pembayaran.

Selain itu, isu veteran tentera juga harus dikaji dengan penuh teliti oleh pihak berwajib kerana masih ramai lagi di antara mereka yang tampil mengadu mengenai masalah dihadapi.

Masalah yang berpanjangan akan meresahkan bukan sahaja pesara tentera tetapi juga anggota yang sedang berkhidmat dan orang awam.

Anggota tentera yang sedang berkhidmat akan melihat dan mendengar kemelut ini dan perkara ini hanya membuatkan mereka berfikir bahawa akan menerima nasib yang sama setelah besara. Apabila ini berlaku, sudah tentu moral dan semangat juang anggota tentera menjadi luntur.

Dalam pada masa sama, saya juga ingin meminta supaya kerajaan untuk memperkenalkan lebih banyak program latihan bagi membantu kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya hari tua mereka tidak sia-sia dan melarat selepas pelbagai pengorbanan dan perjuangan mereka lakukan kepada negara ini.

Meskipun di luar ruang lingkup senarai tanggungjawab Kerajaan Negeri, Kerajaan Pakatan Harapan Selangor telah memberi sumbangan RM1 juta kepada veteran ATM untuk belanjawan 2017, selain membolehkan veteran meminjam skim mikrokredit Hijrah serta program kemahiran untuk veteran tentera.

Jelas sekali, Pakatan Harapan mengutamakan veteran sedangkan Kerajaan Persekutuan mengabaikannya.

# Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Ketua Angkatan Muda KEADILAN

Categories
NASIONAL

Nik Nazmi: Guru ada hak kritik kerajaan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 MEI: Golongan guru memainkan peranan penting dalam membangunkan negara, maka mereka berhak meluahkan pandangan terhadap pentadbiran sesebuah kerajaan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia termasuk hak mengkritik kerajaan yang dilihat meminggirkan kepentingan rakyat.

Katanya, ia sesuai dengan sifat guru yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dan berkeperibadian terpuji serta berupaya menjadi teladan.

“Apatah lagi, Malaysia pada hari ini terpalit dengan pelbagai budaya seperti rasuah, salahguna kuasa dan pemotongan belanjawan pendidikan.

guru“Bukankah bermula 1 Ogos 2010, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan melibatkan diri dalam politik.

“Langkah ini seiring dengan hakikat bahawa guru memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Guru, hari ini.

Nik Nazmi berkata, guru akan terus komited melaksanakan amanah sekalipun bertindak mengkritik kerajaan.

“Saya percaya guru yang terlibat dalam politik tetap mengutamakan tugas dan fokus mereka iaitu mendidik.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru,” katanya.

Pada Belanjawan 2017 lalu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM6.12 bilion bagi 20 universiti awam berbanding RM7.57 bilion tahun sebelumnya, iaitu potongan sebanyak 19 peratus.

Antaranya, Universiti Kebangsaan Malaysia hanya diperuntuk RM352.7 juta daripada RM512.33 juta tahun sebelumnya, iaitu potongan sebanyak 31 peratus.

Universiti Teknologi Mara pula dipotong sebanyak 25 peratus, iaitu daripada RM2.23 bilion kepada RM1.67 bilion.

Categories
SELANGOR

Zon Selatan terima bantuan pendidikan RM7.2 juta

OLEH AFIX REDZUAN

KAJANG, 25 APR: Zon Selatan Selangor menerima suntikan RM7.2 juta menerusi Bantuan Pendidikan Fasa 1 Tahun 2017.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bantuan infra itu diagihkan berdasarkan keperluan sekolah yang memohon dengan mengambil kira jumlah pelajar dan keadaan terkini.

“Untuk Fasa 1 2017 sebanyak RM19,528,000 juta diagihkan kepada 578 sekolah di seluruh Selangor.

NIK NAZMI (1)“Memandangkan jumlah sekolah yang layak menerima bantuan agak besar, maka Jawatankuasa Tetap Pendidikan melaksanakan agihan kepada tiga zon membabitkan Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Tengah,” katanya.

Menurutnya, konsep agihan itu dipilih bagi memastikan bantuan sampai kepada sasaran selain memudahkan rakyat menikmati sumbangan Kerajaan Negeri.

Beliau berharap bantuan diberikan itu digunakan sebaiknya serta menjadi permulaan kepada jalinan kerjasama lebih erat di antara sekolah dan Kerajaan Negeri.

Zon Selatan menggabungkan sekolah-sekolah di bawah DUN Kajang, Sijangkang, Telok Datok, Morib, Tanjung Sepat, Kuang, Rawang, Taman Templer, Dengkil dan Sungai Pelek.

Selain itu, ia turut melibatkan DUN Batu Caves, Gombak Setia, Hulu Kelang, Bukit Antarabangsa, Lembah Jaya, Chempaka, Teratai, Dusun Tua, Semenyih,Bangi dan Balakong.

 

Categories
SELANGOR

RM19 juta, tingkat fasiliti sekolah seluruh Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA SELANGOR, 18 APR: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan kewangan RM19 juta bagi pembaikan sekolah seluruh negeri bagi tempoh 2017.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi , Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia membabitkan keperluan infrastruktur ke arah pemerkasaan pendidikan dan manfaat pelajar.

“Bantuan ini diagihkan berdasarkan keperluan sekolah dengan mengambil kira jumlah pelajar dan keadaan terkini sekolah berdasarkan keperluan ditetapkan.

“2008 lalu, kita peruntukan bantuan RM16 juta untuk Sekolah Jenis Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Tetapi 2017, Kerajaan Negeri menaikkan jumlah bantuan RM19 juta termasuk penambahan kategori bantuan untuk Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan,” katanya.

BANTUAN SEKOLAH 2Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pada Program Ramah Mesra bersama penerima bantuan sekolah negeri Selangor fasa pertama di Auditorium Inpens, pagi ini.

Dalam perkembangan itu, Fasa pertama penyerahan bantuan membabitkan 121 sekolah di 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) Zon Utara antaranya Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Sekinchan, Sungai Panjang, Ijok dan Sungai Burung sebanyak RM3,093,000.00.

Penyampaian sumbangan melibatkan tiga fasa penyerahan mengikut zon dan DUN sekolah seluruh negeri.

Untuk rekod, bidang pendidikan termaktub di bawah kuasa pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Bagaimanapun Nik Nazmi berkata, keprihatinan Kerajaan Negeri memperkasakan bidang pendidikan dilaksanakan melangkaui fungsi sebenar bidang kuasa negeri.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menyumbang ke arah memperbaiki mutu pendidikan di Selangor melalui ruang yang ada kerana bidang pendidikan ini di bawah senarai Persekutuan.

BANTUAN SEKOLAH“Kita sebenarnya tiada kuasa menyentuh aspek kurikulum atau membina sekolah tetapi kita cuba menyokong pelbagai inisiatif demi keperluang rakyat,” katanya.

Antara pendekatan itu katanya, termasuklah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bermula dengan Skim Tawas, Tunas, Tuisyen Rakyat, Yayasan Selangor, Biasiswa Selangorku, Hadiah Anak Masuk Universiti dan Peduli Siswa.

-nR-

Categories
SELANGOR

Nik Nazmi sahut cabaran Sulaiman

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 MAC: Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad menyahut cabaran ADN Permatang, Sulaiman Abdul Razak untuk mengulangi kenyataan di luar Dewan Negeri Selangor (DNS) berhubung isu perjanjian konsesi asrama Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Cabaran itu dibuat bagi menjawab isu dibangkitkan Sulaiman berkenaan kerugian IPT milik Kerajaan Negeri termasuk Universiti Selangor (UNISEL).

Katanya, kes ini pernah dilaporkan akhbar arus perdana selain penafian mantan Menteri Besar Selangor, Khir Toyo menerusi sebuah laman portal.

Menurutnya, jika Sulaiman ingin mengemukakan saman, beliau sepatutnya menyaman semua pihak.

“Bila beliau bangkitkan semalam, beliau sudah tentu tahu bahawa ini bukan perkara baru.

DNS MAC 17 (12)“Saya bukan orang pertama menyebutnya malah sudah dinyatakan kepada umum dan di akhbar perdana sekitar 2011 dan 2012.

“Kalau dia sudah tahu perkara ini sudah tentu dia tahu saya akan bangkitkan dalam penggulungan kali ini.

“Semalam, saya boleh mendengar dengan baik, hari ini saya sedikit kesal apabila beliau tidak boleh memberikan perkara sama ketika saya berucap,” katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada beliau bersedia untuk disaman ADN Permatang berikutan mengulangi kenyataan di luar dewan, Nik Nazmi menjelaskan kes ini sedang menunggu keputusan.

“Ia sedang menunggu keputusan diumumkan. Perbicaraan sudah diselesaikan jadi Speaker membenarkan kita untuk meneruskan tetapi tidak secara spesifik,” katanya.

Sementara itu Sulaiman dalam sidang media berasingan menyifatkan Nik Nazmi hanya memanipulasi media kerana mengulangi kenyataan di Bangunan Annex yang disifatkan masih dalam kawasan Dewan Negeri Selangor (DNS).

Menurutnya, kenyataan itu sepatutnya diulang di luar pagar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

-nR-

Categories
SELANGOR

Penjenamaan semula tarik pengunjung ke perpustakaan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 MAC: Penjenaman semula 98 pusat perkhidmatan Perpustakaan Awam Selangor memberikan impak positif dan mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, terdapat peningkatan pengunjung setiap tahun sejak 2014 hingga 2016.

Menurutnya, jumlah pengunjung pada tahun 2014 adalah 1.58 juta pengunjung.

“Namun pada 2015 berlaku penurunan sebanyak tujuh peratus kepada 1.46 juta pengunjung disebabkan penutupan sementara empat perpustakaan selama dua bulan bagi kerja menaik taraf di Perpustakaan Desa Kuang, Desa Jenjarom, Desa Parit Mahang dan Desa Parit Baru.

“Pada 2016 jumlah pengunjung kembali meningkat 18 peratus kepada 1.72,595 juta pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan ADN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi.

Menurutnya, 7,580 aktiviti dilaksanakan sepanjang 2016 menerusi penganjuran lapan program besar dan berjaya menerima 1.39 juta peserta.

-nR-

Categories
NASIONAL

Pembangkang perlu peruntukan bentuk dasar lebih baik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 FEB: Kerajaan Persekutuan perlu mencontohi negara luar yang menyalurkan peruntukan kepada pembangkang bagi mewujudkan idea kreatif untuk membentuk dasar dan pemerintahan lebih baik.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara itu dipraktikkan pembangkang di United Kingdom (UK) yang diberi peluang menerusi keterbukaan pelbagai akses termasuk peruntukan mengemukakan kabinet bayangan.

Katanya, situasi terbabit berbeza dengan ahli parlimen pembangkang di Malaysia yang tidak menerima peruntukan khas selain daripada gaji bulanan.

“Pembangkang hanya menerima sumber kewangan terhad untuk mereka melakukan pelbagai inisiatif bukan hanya terhadap rakyat, malahan menunjukkan kelayakan mereka menubuhkan kerajaan lebih layak.

“(Di Malaysia) Wang untuk pihak bertanggungjawab membuat kajian tiada, jadi gaji itu kemudian terserah kepada inisiatif masing-masing,” katanya ketika forum ‘Wujudkah demokrasi sebenar di Malaysia?’ di Universiti Selangor (UNISEL), di sini.

CP2A5403-800x533Nik Nazmi berkata, ketiadaan sumber kewangan kepada pembangkang menyebabkan berlaku sekatan dalam menjalankan tugas.

Beliau berkata, situasi itu turut mempengaruhi penolakan jawatan Ketua Pembangkang dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam negeri (PAC) di Selangor oleh Barisan Nasional (BN).

“Pembangkang (BN) di Selangor menolak jawatan itu sedangkan ia peluang terbaik mengemukakan pelbagai idea bagi membantu melancarkan gerak kerja negeri secara bersama.

“Selangor menyediakan peruntukan RM800,000 kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) pemerintah dan RM200,000 kepada ADN pembangkang, namun mereka hanya menggunakannya untuk mengubahsuai pejabat.

“Kita mahu melihat mereka menggunakan peruntukan itu dengan baik dan tidak mustahil peruntukan kepada pembangkang diberikan 100 peratus jika ia digunakan. Namun, mereka menolak kerana tidak mahu kita menuntut perkara sama dalam Parlimen,” katanya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar diperlukan, rakyat tagih pemimpin bijak dan adil

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 FEB: Rakyat sepatutnya sedar bahawa negara ini memerlukan pemimpin berjiwa rakyat, bijak dan adil.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia lebih jelas lagi apabila berhadapan dengan kemelut negara yang ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ini.

Katanya, Najib gagal di dalam setiap aspek kepimpinan bermaruah sekaligus menyebabkan Malaysia terus dibelenggu kesusahan.

“Hari ini genap dua tahun Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan sebagai tahanan politik.

nik-nazmi“Selepas melalui satu proses perbicaraan tidak adil, keluarga beliau, masyarakat malah negara ini dirompak seorang tokoh berwibawa

“Anwar Ibrahim merupakan tokoh yang kita perlukan pada masa ini,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi menyifatkan semangat ditunjukkan Anwar tidak pernah padam, kata-katanya masih penuh bermakna, dan pemikirannya terus relevan sehingga kini, walaupun berada di tirai besi.

“Tidak syak lagi beliau adalah calon Perdana Menteri terbaik sekiranya Pakatan Harapan menang.

“Satu-satunya cara untuk memastikan pembebasan beliau adalah dengan menewaskan Najib dan kerajaan Barisan Nasional di dalam pilihanraya akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Anwar Ibrahim mempunyai ketokohan serta pengalaman terbaik memulihkan negara ini.

“Peluang terbaik untuk kita bebaskan Anwar ialah dengan memastikan Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Cukuplah negara ini digadai oleh Najib untuk kesenangan dan kepentingan kroni dan keluarga,” katanya.

-nR-