Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: SOSMA tidak patut keatas pimpinan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 NOV: Tindakan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 disifatkan sebagai salahguna kuasa kerajaan kerana undang-undang sedia ada mampu menangani keganasan.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, SOSMA tidak sepatutnya digunakan terhadap Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, atau pun mana-mana pihak termasuk terhadap Datuk Jamal Yunos sekalipun.

“Terus terang saya katakan, tidak kira betapa saya benci Jamal Yunos dan kata-katanya, saya tidak suka sesiapa pun tertakluk di bawah SOSMA.

“Undang-undang keselamatan yang menindas itu tidak sepatutnya digunakan terhadap pengganas kerana sudah ada undang-undang sempurna untuk menangani keganasan dalam negara,” katanya.

18 November lalu, Maria ditangkap kerana didakwa melakukan aktiviti memudaratkan kepada demokrasi berparlimen di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan, dan kemudian ditahan di bawah SOSMA.

Beliau kini ditahan dalam kurungan di lokasi yang tidak didedahkan dengan mentol lampu dipasang 24 jam.

Izzah berkata, tidak seharusnya ada sesiapa pun sepatutnya ditahan di bawah SOSMA.

“Ada cara yang sesuai dan kedaulatan undang-undang untuk menangani perkara ini.

“Meskipun ada indivitu berpotensi sebagai pengganas, dakwa sahaja mereka di mahkamah,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Izzah: Bantu rakyat miliki rumah, henti suap kroni

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 OKT: Pengumuman belanjawan hari ini merupakan peluang terbaik Datuk Seri Najib Razak memperkenal sistem intensif membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah kediaman.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, Najib perlu memastikan kredibiliti sistem kewangan berpaksikan Bank Negara Malaysia (BNM) dan bukan mengutamakan kebajikan kroni seperti pemaju pilihan.

Katanya, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 juga wajib dihapuskan kerana tidak mengendahkan garis panduan dan akta BNM.

Nurul-Izzah“Sesuatu skim diwujudkan bukan sekadar harus memudahkan, bahkan perlu menjaga kebajikan rakyat.

“Namun, yang berlaku setakat ini di bawah kabinet Najib hanya sekadar menambah beban kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar di Dewan Rakyat berkata Najib akan mengumumkan skim Sewa Beli untuk perumahan PPR yang julung kali diperkenalkan dalam Belanjawan 2017.

Izzah berkata, skim berkenaan sebenarnya sudah dilaksanakan PPR Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur sejak 2009.

Katanya, sebanyak 45,358 unit rumah dibawah skim itu terjual pada 2013, namun 21,850 unit daripadanya tidak mampu dibeli penyewa.

“Kadar faedah yang dikenakan ke atas pinjaman sebanyak 6.5 peratus, di mana satu peratus adalah untuk kos perkhidmatan dan 5.5 peratus kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Pada kadar 6.5 peratus selama 25 tahun, harga rumah asal boleh mencecah dua kali ganda iaitu daripada RM35,000 kepada RM70,800.

“Sekiranya kadar dua peratus digunakan, sepertimana diberi kepada projek National Feedlot Corporation (NFC), peminjam akhirnya hanya perlu membayar sebanyak RM44,400,” katanya.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Cadangan Noh jerut leher pembeli

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 SEPT: Pembeli bakal berdepan tekanan jangka panjang jika cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar supaya pemaju diberi lesen pinjaman perumahan diguna pakai.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, hal itu kerana pembeli bakal dikenakan faedah riba melampau pada kadar 12 hingga 18 peratus yang dianggap tidak rasional dalam kemelut ekonomi semasa.

“Diakui tanggungan risiko kewangan akibat kadar faedah melampau yang diberikan kepada peminjam adalah tinggi seperti dicadangkan dan mungkin bakal membawa Malaysia ke arah krisis ‘sub-prime mortgage’ yang berlaku di Amerika Syarikat.

“Krisis itu menyebabkan keruntuhan sistem kewangan pada 2008 dan sewajarnya dijadikan pengajaran buat semua penggubal dasar,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Nurul Izzah berkata, kajian daripada Knight Frank’s Global House Price Index menunjukkan harga rumah di Malaysia meningkat 7.2 peratus pada suku tahun kedua.

nurul2Katanya, nilai itu antara yang tertinggi di dunia berbanding Amerika Syarikat, England, Hong Kong juga Singapura.

“Data menunjukkan lebih daripada 6 juta rakyat Malaysia berhutang RM6.53 bilion untuk memiliki rumah sendiri.

“Secara purata, setiap rakyat Malaysia berhutang RM208 juta tidak kira pangkat, status atau umur,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Terdahulu, Noh dalam kenyataan mencadangkan perkara itu sebagai kaedah kononnya untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman bank menangani masalah bayaran pendahuluan.

Sehingga kini, pelaksanannya masih pada peringkat perincian dan perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan, sebelum sebarang cadangan dibuat.

-AA-

Categories
NASIONAL

Tambang percuma LRT tidak selesai masalah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 SEPT: Keputusan Rapid Rail Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan percuma Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya-Gombak bukan jawapan kepada penyelesaian sistem pengangkutan awam negara.

Sebaliknya, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, Prasarana dan Kerajaan Persekutuan perlu mengemukakan laporan penuh punca permasalahan itu yang kini kerap berlaku.

“Laporan ini wajib dibawa ke Parlimen untuk dibahas menerusi pewujudan Jawatankuasa Parlimen berkait integrasi sistem pengangkutan awam terutama dari Kuala Lumpur dan Selangor yang amat terkesan.

“Jaringan sistem sedia ada berserta projek MRT wajib dipantau menerusi Jawatankuasa Parlimen ini yang juga menuntut kebertanggungjawaban daripada SPAD kepada badan legislatif tertinggi negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, laporan berkenaannya boleh mengenal pasti penyelesaian terbaik bagi mengelakkan sebarang insiden berulang.

Nurul-Izzah“Kita wajib berusaha mengelakkan kemelut permasalahan operasi serta kenaikan kos daripada dibebankan kepada pengguna,” katanya.

Pada 7 dan 9 September lalu, perkhidmatan LRT aliran Kelana Jaya tergendala selepas bekalan elektrik terputus hingga menyebabkan pengguna terkandas di tengah-tengah laluan.

Lebih malang, pengguna terpaksa berjalan di atas landasan dalam keadaan hujan dan bahaya sebelum sampai ke stesen berikutnya.

Insiden itu sekali gus mengundang kemarahan masyarakat awam berkenaan status pengurusan dan keselamatan perkhidmatan awam negara ini.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Masalah pengangkutan awam mimpi ngeri rakyat Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 SEPT: Lanjutan permasalahan sistem pengangkutan awam negara disifatkan sebagai mimpi ngeri bagi seluruh rakyat Malaysia, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, pelaksanaan dasar kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengundang permasalahan berterusan sekali gus mencetuskan kebimbangan rakyat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mengaitkan kematian membabitkan pekerja MRT di Singapura, enam bulan lalu yang mana keadaan sama tidak mustahil boleh berlaku di negara ini.

“Kemalangan itu berlaku kerana bekalan kuasa tidak dimatikan sebelum kedua-dua kakitangan tiba di lokasi penggera seperti yang diwajibkan mengikut Prosedur Pengendalian Standard (SOP) SMRT.

“Jika kakitangan syarikat SMRT pun memerlukan bekalan kuasa di trek kereta api dimatikan apabila berada di tengah-tengah laluan pejalan kaki di landasan kereta api, apatah lagi orang awam biasa?

“Malaysia bernasib baik kerana semua penumpang yang terkandas di aliran Kelana Jaya bergerak ke stesen yang terdekat dengan selamat, namun Rapid Rail tidak boleh memandang remeh isu ini,” katanya.

Nurul-IzzahBeliau berkata demikian merujuk kepada insiden pengguna transit aliran ringan (LRT) yang terpaksa berjalan di landasan selepas bekalan elektrik terputus, pada 7 dan 9 September lalu.

Bukan pertama kali, insiden hampir sama berlaku pada 2015 dengan 80 penumpang berdepan detik cemas apabila tren dinaiki rosak dan tersangkut di landasan.

Susulan itu, masalah sama berulang apabila sistem pintu LRT di Stesen Abdullah Hukum gagal berfungsi dan menyebabkan pengguna terkandas di stesen masing-masing.

“Kita sewajibnya mendesak keprihatinan serta kebertanggungjawaban Prasarana dan RapidKl dalam menjaga keselamatan pengguna.

“Lebih-lebih lagi apabila masalah ini berpunca daripada kelemahan pihak LRT sendiri,” katanya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Izzah: Kebajikan Melayu terbela tanpa Umno

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron kononnya tiada parti lain dapat menandingi Umno dibidas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Izzah berkata, Pilihanraya Umum ke 12 jelas membuktikan, Selangor dimenangi pembangkang dan kini 69 peratus dokongan masyarakat Melayu negeri itu membuktikan kebajikan mereka terjaga tanpa Umno.

Katanya, kemenangan dan dokongan 54 peratus undi Melayu pada PRU 1999 juga membuktikan kebolehpercayaan masyarakat Melayu terhadap wadah politik yang memperjuangkan keadilan.

RAKYAT SELANGOR“Ia diwakili Parti Keadilan Nasional, DAP dan juga pas di bawah Barisan Alternatif ketika itu. Umno menjadi parti yang kehilangan undi majoriti Melayu.

“Lihat saja Pilihanraya Umum 2008, Selangor dirampas pembangkang, itu sudah membuktikan tanpa Umno kebajikan masyarakat Melayu terjaga,” katanya kepada SelangorKini menerusi aplikasi Whatsapp.

Izzah turut mengingatkan bahawa rakyat semakin meluat dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dipandu Presiden Umno.

“Lama kelamaan masa depan masyarakat Melayu menghadapi risiko kemelut hutang piutang di bawah Umno,” katanya.

Beliau berkata pembuktian mutakhir menerusi kewujudan parti baru Bersatu jelas menunjukkan kehidupan politik pasca Umno dalam meralisasikan dasar dan agenda rakyat dibelenggu masalah rasuah.

Sebelum ini, Idris berkata tiada parti yang boleh meniru atau menggantikan Umno sebagai sebuah parti yang telah dan terus memperjuangkan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Beliau, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, sejak ditubuhkan pada 1946, Ummo melalui proses kematangan sungguh hebat, terutama dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dan proses itu tidak boleh ditiru mana-mana parti yang baru ditubuhkan.

-nR-

Categories
NASIONAL

Izzah: DBKL terburu-buru, kenapa TTDI sahaja kecuali kenaikan parkir?

SHAH ALAM, 28 JULAI : Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan kenaikan kadar parkir di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) disifatkan sebagai langkah terburu-buru dan selektif.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata ini kerana kawasan lain seperti Bangsar, Kepong dan Sri Hartamas, kadar parkir kekal dinaikkan.

“Ia merupakan satu tindakan terburu-buru dan tiba-tiba kami dapati terdapat pembatalan (untuk menaikkan kadar parkir) di TTDI,” lapor MalaysiaKini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada DBKL yang ditandatangani 800 penduduk Lembah Pantai bagi membantah kenaikkan caj parkir berkenaan.

PARKIR DBKLPada 18 Julai lalu, DBKL menaikkan caj tempat letak kereta pada kadar RM2 bagi jam pertama dan RM3 bagi jam berikutnya.

Bagaimanapun, dua hari kemudian kenaikan caj itu dimansuhkan di kawasan TTDI.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata DBKL akan mengkaji semula caj dinaikkan di kawasan yang didiami golongan kelas pertengahan seperti di Bangsar, Sri Hartamas dan Kepong dalam masa dua atau tiga hari lagi.

Keputusan menaikkan caj parkir itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Mengulas lanjut, Nurul berkata, sistem pengangkutan awam wajar ditingkatkan terlebih dahulu sekiranya DBKL ingin orang ramai menggunakan perkhidmatan itu.

“Jika anda mahu orang ramai menggunakan pengangkutan awam, anda perlu menangani peningkatan pengguna.

“Kita menyokong menggunakan pengangkutan awam tetapi kami mahu ia menjadi satu dasar holistik yang turut merangkumi penglibatan pihak berkepentingan termasuk anggota parlimen,” katanya lagi.

-nR-

Categories
NASIONAL

Surat Izzah kepada PM, tuntutan rawatan hospital Anwar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 JUN : KEADILAN mengulangi tuntutan rawatan perubatan di hospital berhubung kesakitan tulang belakang dialami Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu dimaklumkan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar menerusi surat dihantar pihaknya kepada Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya.

Nurul Izzah Anwar“Pihak keluarga dimaklumkan tentang penangguhan rawatan Magnetic Resonance Imaging (MRI) disebabkan tekanan darah yang masih tinggi dan tidak sesuai untuk prosedur MRI.

“Beliau sepatutnya menerima rawatan fisioterapi berkala secara optimalnya sementara menunggu pelaksanaan pembedahan ‘reverse shoulder replacement’ ditawarkan Georgetown University.

“Rawatan tersebut (adalah) untuk kesakitan otot bahu kanan akibat kemalangan 2 tahun lalu, yang melarat sehingga kerosakan otot,” tulis Izzah dalam surat bertarikh 22 Jun itu.

Dalam surat tersebut, Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata Kerajaan Persekutuan mengamalkan double standard berhubung layanan diterima bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo.

“Saya tidak boleh terus melihat kesihatan ayahanda terus merosot dengan tempat penahanan yang tidak sesuai dengan keperluan ayahanda yang bakal mencecah umur 70 tahun.

“Saya kira Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan bekas pegawai kerajaan kedua tertinggi di negara, sewajarnya mendapat layanan yang jauh lebih baik daripada mantan Menteri Besar Selangor yang diberi kemudahan tahanan parol di rumah walaupun sabitan kurang setahun,” katanya.

Bekas Ketua Pembangkang itu sebelum ini dikejarkan ke hospital 15 Jun lalu, selepas mengadu kesakitan di bahagian tulang belakangnya.

-nR-

Categories
NASIONAL

SPR perlu perjelas status pindahan sejuta pengundi, elak kekeliruan

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JUN : Proses pemindahan melibatkan status sejuta pemilih perlu diperjelaskan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi mengelakkan sebarang kekeliruan ketika hari pengundian.

Pengarah Pilihanraya KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, berkata wujudnya kelemahan hasil perubahan tersebut berdasarkan kajian dibuat Unit Data Jabatan Pilihanraya KEADILAN.

nurul izzah ipad 01“Bukan sahaja CD mengandungi maklumat terkini berkait daerah mengundi baru sahaja diberi kepada semua parti politik, tetapi Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku 1, 2016 jua tidak memaparkan senarai daerah mengundi baru digazet.

“Ternyata, tinjauan kami mendapati kenyataan Pengerusi SPR jauh meleset  kerana pengundi baru yang mendaftar pada akhir tahun lepas ataupun awal 2016 hanya akan melihat senarai data daerah mengundi lama mereka walaupun mereka memeriksa rekod terkini di Pejabat SPR,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Datuk Seri Hashim Abdullah menyatakan bahawa proses penukaran tempat mengundi buat pemilih telah digazet seawal Disember 2014.

Hashim berkata, proses tersebut juga digazet kononnya merujuk kepada kriteria pemilih untuk memudahkan pengundi mengundi di kawasan pusat pengundian.

Nurul Izzah berkata, seramai 118,775 pengundi terkesan dengan perubahan peralihan DUN dan daripada jumlah tersebut seramai 41,850 adalah pemilih melibatkan perubahan Parlimen.

SPR“Saya mendesak SPR agar memaklumkan kepada pengundi tentang status pemindahan terkini serta mengemaskini maklumat di pejabat SPR, bukannya mengharap usaha unilateral diambil oleh pemilih.

“SPR wajib menyatakan usaha diambil dalam menghubungi pengundi supaya kekeliruan dan kepincangan dalam proses demokrasi tidak berterusan,” kata Naib Presiden KEADILAN itu.

Pada masa sama kata Izzah, Pengerusi SPR perlu mengambil maklum pendedahan KEADILAN melaksanakan rekomendasi Jawatankuasa Pilihan Parlimen secara telus.

-nR-

Categories
NASIONAL

Parti ‘muda’ bukan halangan KEADILAN tawan Sarawak

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 APR : Pengarah Pilihanraya KEADILAN, Nurul Izzah Anwar optimis parti itu dapat mengugat penguasaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke 11, Mei depan.

Beliau berkata sebagai parti paling ‘muda’ berbanding pentadbiran 50 tahun BN di Sarawak, KEADILAN fokus menggerakkan jentera dan mobilisasi menarik sokongan masyarakat bumi kenyalang terhadap parti itu.

nurul izzah anwar“KEADILAN mengatur beberapa strategi memastikan persediaan kerusi dan calon di bahagian kerusi tumpuan.

“Seperti PRN 10, KEADILAN berjaya memastikan hampir setiap kerusi mempunyai calon untuk dipertandingkan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata parti itu konsisten menarik lebih banyak sokongan pengundi khususnya masyarakat luar bandar yang masih tercicir daripada sebarang pendedahan terhadap kelemahan urustadbir pentadbiran BN.

“KEADILAN tidak akan memberi jalan mudah kepada BN. Bahkan untuk PRN kli ini, kita telah menyediakan calon-calon yang mepunyai latar belakang profesional dan diyakini,” katanya.

PRN11 bakal menyaksikan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan.

Pada pilihan raya negeri 2011, BN menang 55 daripada 71 kerusi ditandingi, tetapi kehilangan banyak kerusi kepada DAP (12), PKR (tiga) dan Bebas (satu).

-nR-

Demo #MansuhGST :’Kembalikan 744 biasiswa JPA ke luar negarai’- Nurul Izzah

Ucapan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar pada Himpunan #MansuhGST #UndurNajib – 2 April 2016

Categories
NASIONAL

Wujudkan mekanisma bayaran tetap RM1,200 kepada penoreh getah

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 MAC : Pembayaran tetap pada kadar minima RM1,200 sebulan kepada penoreh getah perlu dilaksanakan bagi menjamin pendapatan penggiat sektor itu, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, ketidaktentuan harga pasaran getah ketika ini menyebabkan jaminan pendapatan penoreh getah tidak konsisten di bawah paras gaji minima di Malaysia.

Nurul-Izzah“Mekanisma ini akan membantu penoreh getah dengan jaminan pendapatan minimum walaupun dalam keadaan pengeluaran getah yang merudum sebagai sumber pendapatan.

“Mengambil kira setiap faktor mempengaruhi jumlah pengeluaran getah seperti iklim dan cuaca, penoreh mempunyai minimum pendapatan sebagai jaminan,” tulisnya dalam laman blog nurulizzah.com.

Beliau mengulas keputusan kerajaan mengumumkan skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kononnya bagi memastikan penoreh getah kecil-kecilan mampu hidup di atas paras kemiskinan.

Bagaimanapun kata Nurul Izzah, skim berkenaan hanya diberikan apabila harga getah asli secawan jatuh kurang daripada RM2.20 secawan.

Daripada jumlah itu, penoreh menerima pendapatan di bawah kadar gaji minima yang akhirnya meningkatkan lagi paras kemiskinan negara.

Lebih mengecewakan katanya, penoreh juga lewat menerima pembayaran sebelum hasil pendapatan dikreditkan.

“Jelas permasalahan utama skim ini adalah apabila skim ini hanya memastikan bahawa pendapatan penoreh getah ini akan berada di atas paras kemiskinan iaitu pada RM763 yang boleh dikatakan sangat rendah di Semenanjung,” katanya.

-nR-