Categories
KENYATAAN MEDIA

Nurul Izzah: Rakyat memerlukan Kumpulan Wang Simpanan Petroleum

Minggu lepas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen terbesar sejak tahun 2000; berjumlah 6.35 peratus bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013.

Pengumuman ini telah meletakkan KWSP sebagai salah satu institusi kewangan yang paling menguntungkan lagi berprestasi tinggi dalam negara.

Kejayaan KWSP mengingatkan saya kepada khazanah petroleum yang diwarisi warga Norway. Kerajaan Norway juga berjaya mewujudkan sebuah Dana Persaraan; iaitu Government Pension Fund – Global, yang berjaya, sekitar Januari 2014 melahirkan warga Norway yang ‘jutawan’, hasil pengurusan kekayaan khazanah petroleum yang bijak, berhemah dan futuristik.

Nurul-IzzahDengan kenaikan harga bahan api pada tahun 2013, Tabung Global Norway telah mencatatkan keuntungan bernilai RM2.7 trillion – antara tabungan terbesar di dunia.

Ternyata, Norway tidak bersendirian dalam pewujudan Tabung Petroleum dalam menjamin masa depan rakyatnya. Malaysia juga pada 19 Februari, 1988 telah mewujudkan Kumpulan Wang Amanah Negara di bawah National Trust Fund Act 1988 (Act 339).

KWAN dikelola oleh Bank Negara dan bertujuan untuk memastikan penggunaan khazanah petroleum yang optimum dan berpanjangan buat rakyat Malaysia. Pun begitu, dana yang kebanyakannya disalur dan disumbang oleh Petronas [yang menyumbang RM1 bilion pada Mac 2012]

Pelaburan khazanah petroleum mampu melahirkan pulangan yang amat besar seperti mana yang telah dilakukan di Norway.
Kerajaan tidak boleh berpuas hati cuma dengan sumbangan Petronas kepada Kumpulan Wang Amanah Negara, kerana menurut kenyataan Perdana Menteri pada 2011, KWAN cuma bernilai RM5.43 billion! Bandingkan angka ini dengan RM2.7 trillion yang dipunyai oleh Norway; ternyata kita jauh ketinggalan.

Masalah utama dana KWAN adalah syarat dan terma penggunaannya mampu dikawal Perdana Menteri – termasuklah dalam membiayai pembangunan Putrajaya atau apa-apa pembangunan infrastruktur yang dipersetujui oleh Ketua Eksekutif.

Justeru, saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Malaysia mengambil inisiatif untuk menubuhkan Tabung Hasil Minyak Negara dengan segera, sekiranya tidak mampu menjaga tabungan KWAN untuk pelaburan sejati masa depan rakyat Malaysia.

Bayangkan sekiranya Tabung ini dijaga pelaburannya sejak penubuhannya pada 1988, barangkali masalah ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara pada ketika ini tidak akan timbul.

Semenjak Petronas ditubuhkan, Kerajaan telah mendapat keuntungan lebih daripada RM700 billion – merangkumi 40 tahun lepas.

Wang ini sekiranya dapat dilaburkan dengan bijak seperti yang dilakukan oleh KWSP, sudah tentu akan memberikan pulangan yang besar kepada rakyat, dan bakal memberi perlindungan kepada ekonomi Malaysia, yang pada ketika ini terumbang-ambing akibat ketidak-stabilan ekonomi sedunia.

Petronas tidak boleh terus-menerus dijadikan sebagai tabung peribadi Perdana Menteri dan anggota kabinetnya, dengan penggunaan hampir 40 peratus daripada hasil pendapatan yang dijana oleh hasil petroleum dalam belanjawan; berbanding dengan Norway yang cuma membenarkan 4 peratus digunakan.

Hakikat sebegini menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak sedar bahawa sumber kekayaan hasil minyak ini akan kering akhirnya.

Sebagai langkah awal, saya akan membangkitkan cadangan penubuhan Tabung Hasil Minyak Negara Malaysia yang tidak boleh dipengaruhi penggunaannya oleh mana-mana Perdana Menteri untuk projek gajah putih; tetapi bersyarat hanya untuk pelaburan masa depan rakyat.

Tabung Hasil Minyak Negara juga diletakkan di bawah seliaan parlimen dan hanya boleh disalurkan waktu darurat menerusi undi majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Cadangan ini perlu mendapat sokongan dwipartisan demi masa depan generasi akan datang yang lebih terjamin dan terpelihara.

* NURUL IZZAH ANWAR adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR

 

Categories
SELANGOR

Nurul Izzah: BN tiada calon di DUN Kajang, bukti semakin goyah

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 17 FEB: Kegagalan Barisan Nasional (BN) mengumumkan sebarang nama untuk Pilihan Raya Kecil DUN Kajang menunjukkan kesepakatan dalam BN kian rapuh kerana terdapat tarik menarik antara Umno dan MCA untuk siapa layak bertanding.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata keadaan ini disebabkan fahaman parti komponen BN dalam gabungan parti itu berteraskan perkauman sehingga menyebabkan tidak dapat mewujudkan kesepakatan bersama.

Nurul-IzzahKatanya, komponen BN juga gagal mencapai penyelesaian dalam banyak isu disebabkan Umno lebih gemar menggunakan isu perkauman sebagai senjata yang menimbulkan rasa tidak senang parti komponen BN lain.

“Keadaan ini berbeza dengan Pakatan Rakyat (PR), walaupun terdapat parti mempunyai majoriti anggota daripada sesuatu kaum tetapi idelogi perjuangan berteraskan perjuangan menuntut keadilan untuk semua.

“Justeru itu kita mengharapkan agar PKR, PAS dan DAP terus menggarap kerjasama erat walaupun diasak berterusan oleh parti yang belum bersedia memutuskan calonya di PRK Kajang,” kata Nurul Izzah ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata PRK DUN Kajang akan dijadikan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Selangor.

Katanya, ia juga adalah sebahagian usaha untuk menangkis isu perkauman yang kini menjadi agenda utama Umno-BN.

PRK DUN Kajang akan berlangsung, pada 23 Mac ini sementara pembuangan undi awal akan dibuat pada 19 Mac ini.

Kerusi DUN Kajang kosong apabila ADUN sebelum ini, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan beliau, pada 27 Januari lalu.

Seramai 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRK berkenaan, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.

EZY

JURNAL BERITA – MB cemerlang jana pendapatan ekonomi

1. Abdul Khalid : Rakyat penting demi kelangsungan pentadbiran Selangor –

2.Abdul Khalid penting dalam pentadbiran Selangor selepas PRK Kajang- Anwar –

3.Anwar : Prestasi Abdul Khalid cemerlang, jana pendapatan ekonomi Selangor –

4.Nurul Izzah alu-alukan Abdul Khalid dilantik Pengarah PRK Kajang –

5.Anwar tumpu pelbagai isu termasuk masalah peniaga Melayu di Kajang

6.Anwar ‘mengaku kalah’ jika lawan Lee Chong Wei

7.PRK DUN Kajang: AMK wujud pemantau khas media sosial dekati anak muda

8.UMCEDEL: Anwar dijangka menang majoriti besar PRK DUN Kajang

9.Anwar di DUN Kajang elak rampasan kuasa Perak berulang

10.PRK DUN Kajang: SPR perlu bidas rancangan Umno-BN guna taktik keji, lucah

11.Pengundi alu-alukan Anwar tanding di Kajang

12.Khalid Samad sedia sertai debat kalimah Allah anjuran SAMM

13.Khalid Samad : MAIS patut amal dasar syura bagi selesai isu Islam

14.AKTIVITI YB: 28 waris DUN Dengkil terima Skim Mesra Usia Emas

15.Khalid Samad : Tindakan Chin Cheh jauh beza berbanding fenomena lompat parti 2009

16.Iskandar : Polis perlu serius banteras budaya samseng di Kampung Pandan

17.Rakyat perlu waspada anasir jahat untuk timbul ketegangan

18.Program Pembasmian Kemiskinan Bandar: MBPJ jejak golongan miskin

19.Contract for Service MBPJ bantu ibu tunggal, golongan miskin raih peluang kerja

Categories
SELANGOR

Nurul Izzah alu-alukan Abdul Khalid dilantik Pengarah PRK Kajang

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 FEB: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengalu-alukan jika Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Beliau berkata, kehadiran Abdul Khalid sebagai Pengarah PRK Kajang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon adalah satu gandingan erat bagi melicinkan jentera PRK Kajang nanti.

“Tan Sri Abdul Khalid dengan rekod cemerlangnya menguruskan ekonomi negeri Selangor membabitkan pelbagai program untuk rakyat dan Datuk Seri Anwar selain rekod cemerlang ketika menjawat Menteri Kewangan juga cukup dikenali sebagai ahli politik tegar memperjuangkan kepentingan rakyat.

Nurul-Izzah“Saya yakin gandingan Abdul Khalid dan Anwar bakal menjadi satu gandingan yang mampu mengerakkan jentera kempen dengan lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Nurul Izzah turut menemplak kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang membuktikan kecenderungan parti itu melakukan fitnah termasuk menggunakan politik seks sebagai bahan kempen politik mereka.

“Dia sekadar mendendangkan irama Umno yang gemar memfitnah dan menggunakan politik kotor seperti fitnah seks bagi meraih kemenangan.

“Ini adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dalam mendidik mentaliti yang sihat kepada masyarakat. Beginikah kita sebagai pemimpin membentuk mentaliti masyarakat? Lebih malang lagi seruan seperti ini dikeluarkan menteri sendiri dan Inilah mentaliti menteri yang kita ada,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Bagaimanapun, beliau yakin pengundi di Kajang mampu menilai, sekali gus menolak permainan politik kotor yang dibawakan Umno dalam PRK itu nanti.

“Pakatan Rakyat (PR) akan berbalik kepada isu bagaimana PRK ini akan digunakan sebagai peluang untuk mengatur langkah bagi melahirkan wawasan dan agenda reformasi bagi memartabatkan rakyat Kajang dan Selangor dengan lebih baik lagi,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Nurul Izzah: Selamat Hari Wilayah Persekutuan ke-40

2014 menandakan tahun keenam perayaan Hari Wilayah Persekutuan bagi saya sebagai seorang Ahli Parlimen yang dipilih di Kuala Lumpur; hari ini disambut bukan sahaja oleh orang-orang di Kuala Lumpur, tetapi ia turut disertai para penduduk di Labuan dan Putrajaya.

Kerajaan Persekutuan telah memberi alasan empat dekad lalu bahawa Kuala Lumpur akan ditadbir dengan lebih baik di bawah pentadbirannya – dan melalui pemansuhan pilihan raya tempatan pada tahun 1965, ia direalisasikan.

nurul izzah parlimen 11.10.2012 01Sebagai wakil tempatan dari sebuah pakatan politik yang mendapat sokongan menggalakkan sebanyak 67 peratus pada pilihan raya umum lalu, saya tidak dapat mengelak dari memikirkan tentang kedudukan demokrasi pada hari penuh bermakna ini.

Pertama, sejak permulaan baru hampir empat dekad yang lalu, penduduk Kuala Lumpur telah semakin tidak berkebolehan membuat keputusan berkaitan dengan hak-hak mereka, perkhidmatan dan kemudahan di bandar.

Datuk Bandar yang dilantik memuktamadkan konsesi dalam perkhidmatan asas – antaranya pengumpulan sampah dan rawatan kumbahan, dan baru-baru ini tamparan kepada rakyat Kuala Lumpur dengan kenaikan cukai taksiran.

Kuala LumpurWalaupun menyedari bahawa bantahan sedang berlaku, ramai menjangkakan DBKL tidak akan berganjak, memandangkan keputusan unilateral oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan kadar penilaian dari 6% kepada 4% untuk hartanah kediaman, dan dari 12 % kepada 10% untuk hartanah komersil.

Pengurangan unilateral ini gagal untuk menangani keperluan lebih asas dalam melindungi ketelusan proses penilaian itu sendiri ataupun hak pihak berkuasa tempatan untuk menaikkan kadar penilaian tanpa mempertingkatkan perkhidmatan.

Realiti semasa jauh tersasar dari dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja di Pihak Berkuasa Tempatan, ditubuhkan pada bulan Jun 1965.

Suruhanjaya ini, yang juga dikenali sebagai Suruhanjaya Nahappan, menyokong penuh kehadiran badan-badan majlis yang dipilih.

Seorang ahli majlis yang dipilih membolehkan anda untuk menyalurkan rasa tidak puas hati melalui tiga peringkat struktur demokrasi yang betul – pihak berkuasa persekutuan, negeri dan tempatan.

Kuasa Datuk Bandar , serta orang-orang eselon atasan akan sentiasa disemak, dan penelitian yang lebih besar akan diberikan kepada bagaimana bajet dibelanjakan tahun demi tahun.

Kedua, jika ia bukan untuk struktur tadbir urus yang lebih baik, mengapa perlu kita mengekalkan sistem Datuk Bandar persekutuan yang dilantik sedang pilihan raya tempatan dikembalikan?

Ramai yang lupa bahawa Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada Selangor – sehingga insiden malang pilihan raya 1969 di mana parlimen tergantung, meninggalkan Parti Perikatan dengan hanya 14 daripada 28 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri.

Kuala Lumpur1Dengan itu, Kuala Lumpur telah dilampirkan kepada Kerajaan Persekutuan pada Februari 1974, memastikan Selangor sentiasa di dalam tangan yang selamat .

Sedang kita meraikan Hari Wilayah Persekutuan, adalah penting bagi kita mencari jalan untuk memastikan bandar yang lebih baik dan pemerintahan yang lebih cekap.

Sedang kita meraikan tahun ke-40 Wilayah Persekutuan, adalah penting untuk memastikan Kuala Lumpur dibebaskan dari keputusan-keputsan politik yang banyak dicemari pelantikan berbaur politik.

Dengan itu merampas hak dari para penduduk Kuala Lumpur untuk sebuah kerajaan negeri yang kerap memberi laporan serta mempunyai Belanjawan telus untuk mengurangkan kebimbangan orang awam di Kuala Lumpur. Lagipun, bukankah Putrajaya kini ibu kota rasmi Malaysia?

Raikan Hari Wilayah Persekutuan dengan mengingatkan Kerajaan Persekutuan bahawa tiada cukai tanpa perwakilan, terutama sekali memandangkan sudah 40 tahun berlalu!

Selamat Hari Wilayah Persekutuan ke 40!

* Nurul Izzah Anwar adalah Naib Presiden Keadilan dan Ahli Parlimen Lembah Pantai

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Hutang negara meningkat 70 peratus?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 25 JAN: Hutang sebenar negara dijangka meningkat daripada RM529.2 bilion pada September lalu kepada jumlah hutang semasa yang mengatasi 55 peratus paras siling hutang yang dibenarkan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

DSC_8672Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, berkata anggaran ini dibuat berdasarkan tindak-tanduk Kerajaan Pusat yang sejak mutakhir ini yang masih terus membiayai projek mega yang dijalankan syarikat kroni mereka termasuk projek Mass Rapid Transit System (MRT).

“Ini tidak termasuk hutang halimunan yang kita tidak tahu entah berapa. Cuma kita tahu hutang negara termasuk hutang luar jangka sebelum ini sudah mencecah 69 peratus dan sekarang kemungkinan besar sudah mencapati 70 peratus daripada KDNK.

“Projek MRT sahaja sudah mencecah RM60 bilion yang kebanyakkannya ditanggung kerajaan walaupun pada awalnya dikatakan akan dibiayai pihak swasta,” kata Nurul Izzah ketika ditemui Selangor Kini dalam Program Hormat Diri Anda anjuran Exco Hal Ehwal Wanita Selangor.

DSC_8611Keadaan kerajaan yang digambarkan dalam keadaan terdesak ini disahkan lagi dengan tindak-tanduk kerajaan sejak akhir- ini semakin giat memotong subsidi untuk rakyat seperti menaikan harga petrol dan tarif elektrik.

Terdahulu dalam satu temubual bersama Selangor Kini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata Kerajaan Pusat dijangka mengambil langkah drastik sekiranya pertumbuhan hutang negara mengatasi 55 peratus daripada KDNK.

Langkah itu diambil bagi memenuhi syarat sekiranya kerajaan memutuskan membuat pinjaman baru dari Bank Dunia atau Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mahupun syarikat kewangan antarabangsa lain.

Antara syarat lazim dikenakan kepada negara yang berhadapan bebanan hutang seperti mana dialami Greece, Sepanyol, Iceland, Rusia dan Argentina, mengurangkan jumlah kakitangan awam dan memotong gaji kaki tangan awam yang masih berkhidmat.

Selain itu negara-negara tersebut juga terpaksa memutuskan sama ada memperkenalkan cukai baru atau menaikkan cukai sedia ada sehingga melambung tinggi bagi tujuan mendapatkan dana bagi membayar semula hutang dan menjana semula dana negara.

EZY

Categories
BERITA UTAMA

Surat terbuka untuk PM – Nurul Izzah Anwar

SAYA harap Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan sihat dan tenang. Saya mendoakan Datuk Seri dilimpahkan kerahmatan dan keberkatan daripada ALLAH SWT.

Ingin saya sampaikan bahawa saya memahami keadaan Datuk Seri yang mungkin tersasul semasa memberikan ucapan di Kemaman tempoh hari.

Nurul-IzzahSaya akui, saya juga tertawa kecil, tapi dalam masa sama, saya sedar kita semua manusia, tidak lepas daripada melakukan kesilapan.

Bagaimanapun, Datuk Seri perlu sedar, apa yang Datuk Seri katakan itu cumalah salah satu daripada banyak kenyataan yang keluar daripada mulut Menteri Kabinet Malaysia kebelakangan ini.

Dulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek pernah berkata, “jika harga ayam mahal, jangan makan ayam”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar juga pernah berkata, pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya menganggap kenaikan tol terlalu tinggi. “Bagi mereka yang fikirkan ia terlalu mahal, mereka ada pilihan untuk tidak gunakan jalan tersebut.”

Datuk Seri, cuba tanyakan soalan ini dengan ikhlas kepada diri Datuk Seri sendiri, adakah ini kenyataan daripada mereka yang prihatin dengan masalah rakyat?

Laporan media arus perdana mengatakan kadar inflasi di Malaysia sudah mencapai kemuncaknya pada 2.9 peratus pada November 2013.

Rakyat negara ini sudah lali dengan berita ini. Tetapi, tugas kerajaan bukan sahaja untuk mengawal kadar inflasi ini, tetapi juga untuk memberi penerangan kepada rakyat apakah makna inflasi ini, bagaimanakah kadar inflasi ini dikira dan seterusnya, apakah kesan-kesannya kepada rakyat.

Sebagai ahli ekonomi, saya percaya Datuk Seri tahu akan kepentingan Indeks Harga Konsumer (CPI) kepada penentuan kadar inflasi ini.

cukainaikRakyat marhaen dapat melihat harga barang semakin meningkat dari hari ke hari, tapi perkara ini tidak langsung dicerminkan dalam kadar inflasi. Mengikut perkiraan pakar ekonomi, kadar inflasi yang sebenar di Malaysia berada pada kira-kira 8 peratus.

Dalam soal gaji dan upah, pekerja Malaysia juga jelas terseksa dengan kadar gaji rendah. Pada ketika ini pekerja Malaysia cuma menikmati 28 peratus daripada KDNK, berbanding keuntungan perniagaan pada 67.1 peratus.

Bandingkan dengan negara jiran kita, Singapura yang pada 1997 mempunyai pecahan gaji berbanding KDNK sebanyak 42 peratus. Nampaknya pecahan ini amat tidak seimbang.

Jika kita bandingkan dengan beberapa negara maju lain, pecahan ini lebih besar, contohnya pekerja-pekerja di Jepun menikmati gaji dan upah sebanyak 52 peratus daripada KDNK keseluruhan.

Datuk Seri, saya pelawa Datuk Seri sendiri turun melihat sendiri keadaan rakyat. Baru-baru ini, saya ternampak sebuah iklan jawatan kosong di sebuah restoran makanan segara yang popular, menawarkan gaji RM900 sebulan.

Saya ingin tanya, bagaimanakah seseorang itu boleh hidup di kawasan Lembah Kelang dengan gaji RM900 sahaja?

Kangkung3 (1)Pada hemat saya komen tentang kangkung tempoh hari melihatkan betapa Datuk Seri dan Kabinet Datuk Seri terputus daripada realiti kehidupan rakyat marhaen. Masalah pendapatan ini juga membawa kepada suatu masalah yang lebih besar.

Orang miskin nampaknya tidak ada ruang untuk melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan, kerana pendidikan yang berkualiti tiada dalam jangkauan mereka.

Saya fikir, sekiranya mahukan Malaysia yang terus-menerus mengeluarkan sumber manusia berkualiti secara mampan, isu pendidikan perlu diberi perhatian secara serius, bukan sekadar penukaran kosmetik.

Datuk Seri, saya juga amat bimbang sekali dengan retorik perkauman serta sentimen kebencian yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Isu-isu seperti hak keistimewaan orang Melayu dan isu-isu keagamaan sudah menjadi permainan ahli-ahli politik yang tidak peduli akan hak-hak kemanusiaan sejagat.

Saya amat bimbang anak-anak Malaysia akan terpengaruh dengan sikap perkauman yang melampau, sehinggakan ada semakin berani guna kata-kata kesat atau berbaur ugutan ke atas bangsa-bangsa lain.

Justeru, Datuk Seri perlu menjadi pemimpin kepada semua rakyat Malaysia. Tidak boleh berdiam diri berkenaan isu-isu yang menggugat ketenteraman dan kesejahteraan hidup rakyat.

Apakah dengan mendiamkan diri membolehkan Datuk Seri meninggalkan warisan yang lebih bermakna yang Datuk Seri sendiri inginkan? Pilihan di tangan Datuk Seri. Tepuk dada, tanya selera

* Nurul Izzah Anwar adalah Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai

Dipetik: Sinar Harian

Categories
NASIONAL

Petisyen PRU13: Nurul Izzah kekal, Zahid Hamidi belum pasti

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 23 DIS: Mahkamah Rayuan hari ini menolak petisyen terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) bagi Parlimen Lembah Pantai yang dimenangi Nurul Izzah Anwar.

Izzah PKR“Alhamdulillah, Mahkamah Rayuan menolak petisyen terhadap keputusan PRU-13 P121 Lembah Pantai. Inshaa Allah akan teruskan fokus untuk memberikan khidmat yang terbaik buat warga Lembah Pantai.

“Marilah kita bersama-sama mengorak langkah positif dan berganding bahu demi Malaysia yang lebih baik,” kata Nurul Izzah dipetik dari Laman Facebooknya.

Pada PRU-13 lalu, Nurul Izzah mengalahkan Raja Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi.

Sebelum ini, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur mengekalkan Nurul Izzah sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai apabila menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Setiausaha Umno Lembah Pantai, Mohamad Sazali Kamilan.

Hakim Zabariah Mohd Yusof membenarkan kebanyakan bantahan awal yang dibuat oleh peguam Nurul Izzah, Edmund Bon.

Mahkamah memerintahkan Sazali membayar kos RM40,000.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan hari ini menghantar semula petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh ke mahkamah pilihan raya dan ia menjadikan nasib Ahli Parlimennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi belum dapat diputuskan.

ZAHID HAMIDIPanel lima hakim diketuai Tan Sri Raus Sharif, ketika membenarkan permohonan oleh dua pempetisyen berkata, sesiapa sahaja boleh memfailkan petisyen.

“Pempetisyen tidak perlu secara fizikal memfailkan petisyen itu sendiri,” katanya ketika membacakan keputusan sebulat suara itu dipetik dari The Malaysian Insider.

Madhi Hasan dan Azmi Sulaiman memfailkan dua petisyen dengan asas bahawa Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri didakwa melakukan rasuah dan perbuatan menyalahi undang-undang.

Antaranya ialah membeli undi dan berbelanja melebihi RM200,000 untuk mendapatkan kerusi Parlimen itu.

Bagaimanapun, merit kes berkenaan tidak dapat didengar kerana Hakim Mahkamah Pilihanraya, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid membuang petisyen berkenaan susulan daripada bantahan awal bahawa petisyen perlu dihantar sendiri secara fizikal oleh pempetisyen.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu, Zahid menewaskan Madhi dengan majoriti 2,108 undi. Zahid memperolehi 17,176 undi manakala Madhi yang bertanding atas tiket PKR mendapat 15,068 undi.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Perdana Menteri patut komen kenaikan kadar tol

SHAH ALAM 18 DIS : Nurul Izzah Anwar hari ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar mengeluarkan kenyataan segera berkaitan kadar kenaikan tol bagi meredakan kebimbangan rakyat.

Naib Presiden PKR itu berkata, tindakan Perdana Menteri yang berdiam diri hanya menambahkan kegusaran rakyat ditambah dengan pelbagai berita kenaikan harga sejak beberapa hari yang lalu.

Nurul-Izzah“Saya mendesak agar perdana menteri mengeluarkan respons serta-merta berkenaan kadar kenaikan tol ini.

“Bagi saya janji yang dimungkiri ini akan membebani rakyat, oleh itu saya berasa amat kecewa dengan tumpuan kerajaan BN yang mengukir masa hadapan Malaysia ke arah yang malap, oleh itu perdana menteri harus keluarkan kenyataan bagi menenangkan semula hati rakyat,” kata Nurul Izzah dipetik Sinar Harian Online, hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata kerajaan Pusat mempunyai kuasa penuh dan pengaruh untuk tidak membuat keputusan menaikkan kadar tol ekoran pemegang konsesi lebuh raya adalah anak syarikat milik kerajaan.

plaza tolKatanya dakwaan kenaikan tol tidak dapat dielakkan adalah tidak benar kerana Kerajaan Pusat mempunyai kuasa untuk mengawal kadar kenaikan itu.

Kadar kenaikan tol dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1, tetapi tidak menyatakan untuk jarak perjalanan berapa jauh.

Difahamkan, terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam semakan semula kadar tol itu.

-EZY

Categories
BERITA UTAMA

Nurul Izzah : Apa lagi yang Umno mahu ?

nurul izzahPERHIMPUNAN Agung Umno empat hari mengingatkan saya cerita rakan-rakan sewaktu di universiti dahulu, tentang bagaimana mereka dipau (peras ugut) semasa berada di Kuala Lumpur.

Nampaknya, perangai pemimpin-pemimpin Umno tak ubah seperti kaki-kaki pau, yang berbeza adalah darjatnya. Nampaknya, perhimpunan yang sepatutnya menjadi medan perbincangan isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat, menjadi medan perbincangan tentang bagaimana untuk mengekalkan kuasa dalam tangan mereka.

Sebelum pilihan raya dulu, Presiden Umno pernah berkata mereka prihatin dengan peningkatan kos sara hidup.

Tetapi setelah menang, gerakan “pau” rakyat bermula tanpa belas kasihan. Menurut Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, “rakyat perlu terus bersabar dan berkorban untuk keutuhan kewangan negara.”

Bermula dengan kenaikan harga minyak, kemudian pemotongan subsidi gula, pengenalan GST pada 2015 dan yang terbaharu, pengumuman kenaikan tarif elektrik sebanyak 15 peratus.

Mungkin Umno boleh mencanangkan Agensi Penarafan Antarabangsa Moody’s menaiktarafkan kredit Malaysia kepada A3, tetapi kenapa langsung tidak ada yang mempersoalkan tentang ketirisan dan keborosan, serta gejala rasuah berleluasa yang menyebabkan taraf ini diturunkan terlebih dahulu? Nampaknya, mereka cuma berminat untuk mengambil langkah singkat untuk memenuhkan kembali kewangan negara dengan “pau” duit rakyat.

Ini dikatakan “orang lain boros belanja berhutang, rakyat kena ‘pau’ bayarkan.”

Umno-Najib-Muhyidin-1Justeru, panggilan rakyat untuk reformasi dan bukan sekadar transformasi ekonomi mesti diambil kira bagi memulihkan dan meningkatkan pendapatan rakyat yang sentiasa mendatar yang akan memperluaskan lagi jurang kemiskinan dengan ‘cukai’ dan kos barang naik meninggi yang akan dipikul oleh majoriti orang Melayu.

Di antara reformasi ekonomi yang pernah disebutkan adalah memberhentikan pemusatan kuasa dan ekonomi dengan melaksanakan persaingan sihat yang dapat menurunkan harga rumah, kenderaan dan barangan sara hidup.

Kerajaan mesti meninggalkan aktiviti perniagaan dengan menjual syarikat-syarikat milik kerajaan kepada pengurusan serta kumpulan pekerja agar produktiviti dan inovasi digandakan.

Bajet seimbang jujur lagi berani mengamalkan prinsip ketelusan tender terbuka, melebarkan sumber pendapatan bukan dengan GST, menyelaraskan subsidi berdasarkan keperluan bukan perkauman, melaksanakan penjimatan seperti menggantung program-program Permata mahu pun PLKN, mengkaji semula semua perjanjian konsesi elektrik, air dan lebuh raya.

Penstrukturan semula agihan pendapatan negara daripada kerajaan Pusat terus kepada negeri-negeri sesuai dengan prinsip negara Persekutuan bilamana sebagai contoh rakyat Selangor yang menyumbangkan RM16 bilion cukai pendapatan hanya memperoleh sekitar RM70 juta atau 0.4% melalui pemberian geran ‘capitation’ atau isu menafikan hak negeri seperti Kelantan menerima royalti minyak mesti diperbetulkan.

Pada masa sama sempena Hari Anti-Rasuah Antarabangsa semalam, adalah juga dicadangkan Jabatan Audit Negara dinaiktarafkan menjadi sebuah suruhanjaya dengan digandakan jumlah kakitangan seramai lima kali agar pembelaan dana awam serta membanteras ketirisan menjadi realiti.

Sememangnya apabila digandingkan dengan SPRM yang lebih bebas adalah menjadi harapan agar pegar tidak makan atau ‘pau’ padi lagi.

Isu pendidikan yang merosot juga gagal diketengahkan secara komprehensif. Ranking PISA (Programme for International Student Assessment) Malaysia amat memalukan sekali. Berbanding Vietnam, sebuah negara yang mempunyai sumber ekonomi sangat terhad, Malaysia jauh ketinggalan.

umno-retakDengan itu reformasi dan bukan transformasi pendidikan bermula dengan tidak mempolitikkan pendidikan serta meningkatkan mutu pembelajaran secara serius dan radikal. Tumpuan kepada kaedah berfikir dengan kreativiti dalam sukatan, peningkatan kualiti kemahiran guru-guru serta peningkatan suasana pembelajaran di sekolah-sekolah melalui prasarana taraf dunia dengan penggunaan teknologi terkini mesti disegerakan.

Sudah tiba masanya untuk ditubuhkan satu Majlis Perundingan Pendidikan Kebangsaan yang melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, badan-badan bukan kerajaan dan pakar-pakar antarabangsa untuk menggariskan hala tuju pendidikan yang terbaik secara adil dan telus.

Dipetik dari: www.sinarharian.com.my

Categories
NASIONAL

Pembelaan OKU: Malaysia ‘kalah’ dengan Indonesia – Nurul Izzah

Oleh Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 9 DIS : Kerajaan Pusat perlu belajar daripada Indonesia yang lebih maju dalam memberi pendidikan kepada golongan kelainan upaya (OKU) bagi memastikan mereka terus mendapat pembelaan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata golongan OKU berhak mendapat kemudahan pendidikan terbaik dan masyarakat perlu ada kesedaran membantu OKU khususnya untuk mendapatkan kemudahan perubatan.

ronasina

“Dalam peperiksaan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA), negara kita kalah dengan Vietnam malah dalam penyediaan kepada pendidikan kepada OKU pula, kita kalah kepada Indonesia.

“Kita perlu memikirkan masa hadapan dan bergerak ke hadapan untuk mendapatkan yang terbaik untuk anak-anak,” katanya pada majlis pelancaran buku Surat Untuk Anak di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Buku karya Mohd Affandi Ramli itu mengisahkan susah payah beliau dan isterinya, Raja Rohaisham Raja Muhaiddin menjaga dua anak yang lumpuh otak (Cerebral Palsy) sejak lahir.

lalala1455870_786325804714421_2073516214_n(1)Buku  itu turut menceritakan kesungguhan mereka memperoleh hak pendidikan kepada Annisa dan Annur, masing-masing berusia 10 dan 11 tahun tetapi gagal lantaran sistem di negara ini yang mengabai OKU.

Tulisan Mohd Affandi yang juga seorang kartunis yang terkenal dengan nama Ronasina, boleh ditempah melalui emel: [email protected]

Annisa meninggal dunia Disember lalu menjelang pasangan itu mahu mendapatkan rawatan di Beijing, China dan detik pilu itu turut dimuatkan dalam buku berkenaan.

ron1471259_10202575585328002_1239198613_nPada majlis itu, Nurul Izzah yang kelihatan sebak pada majlis berkenaan turut sedih kerana ada golongan OKU terpaksa mendapatkan pendidikan di luar negara kerana kurangnya kemudahan disediakan kerajaan pusat.

“Yang lebih penting ibu bapa dapat menjalani kehidupan seperti ibu bapa yang memiliki anak normal lain menghantar di sebuah institusi yang dapat menghormati anak-anak itu sendiri,” katanya.

– FZL

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pemimpin Umno gagal bangkit isu semasa, gelapkan masa depan Melayu

Oleh : Nurul Izzah Anwar

Perhimpunan Agung UMNO sudah berlangsung tetapi malangnya masih belum kelihatan kesungguhan daripada para pemimpin UMNO untuk membangkitkan isu-isu semasa yang ketara yang akan menggelapkan masa depan Melayu.

Pertama; Orang lain berhutang boros, rakyat kena bayar.

Isu peningkatan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat kebanyakan tidak langsung diambil endah, malahan, Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak masih mengekalkan retorik lamanya dengan pendekatan, “rakyat perlu terus bersabar dan berkorban untuk keutuhan kewangan negara.”

Baru-baru ini, agensi penarafan antarabangsa Moody’s telah menaikkan taraf kredit Malaysia kepada A3, dilaporkan atas dasar penyatuan dan pembaharuan fiskal yang berkemungkinan semakin baik, disebabkan langkah-langkah penstrukturan semula subsidi yang telah diambil oleh kerajaan. Persoalan yang gagal diketengahkan di Perhimpunan Agung UMNO adalah, bagaimana pengadaran kredit Malaysia diturunkan terlebih dahulu? Mengapalah tidak seorang pun pemimpin atau delegasi yang membangkitkan kesan dari ketirisan, korupsi dan pemborosan salah urus ekonomi ini?

Akibat keborosan dan ketirisan pemerintah, rakyat terpaksa menanggung melalui ‘cukai pemiutang’’ seperti GST, kenaikan harga petrol, gula, tarif letrik dan cukai pintu DBKL yang berganda pada tahun depan – untuk menaikkan taraf kredit negara untuk membolehkan lebih banyak hutang negara diserahkan kepada mereka yang terpilih dalam Agenda Pemerkasaan Ekonomi Melayu (elit UMNO).

Rakyat sudah pun jelas dan tahu seperti yang diumumkan mantan Presiden UMNO Tun Dr.Mahathir bahawa Najib dan konco-konconya adalah perasuah besar kerana rasuah sekarang dibawah Najib dikatakan berganda lagi dasyat berbanding zaman beliau memerintah.

Apakah membasmikan barah rasuah tidak penting bagi UMNO?

Kedua; Orang menjerit gagah, negara tergadai membisu.

Jeritan-jeritan 1Melayu jelas menunjukkan sikap paranoia yang sengaja melepas pandang isu keselamatan serta pembelaan kedaulatan negara yang seharusnya diutamakan.

Perakuan bersumpah Datuk Mat Zain Ibrahim mengenai kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Putih, pencerobohan wilayah Malaysia oleh para pengganas Sulu, isu pemberian kad pengenalan biru dan pembunuhan warga Taiwan di Sabah langsung tidak mendapat perhatian.

Saya masih lagi tidak melihat mana-mana pemimpin atau perwakilan yang menuntut agar isu TPPA yang bakal merobah arena ekonomi tempatan melalui ‘penjajahan ekonomi’, termasuk ekonomi Melayu Bumiputra sendiri didebatkan secara khusus.

Apakah keselamatan dan kedaulatan negara tergadai tidak penting bagi UMNO?

Ketiga; Orang belajar tinggi, rakyat dididik rendah

Isu kemerosotan kualiti pendidikan seperti yang dilaporkan dalam kajian PISA tidak mendapat perhatian sepenuhnya. Apakah perasaan ibubapa apabila mendapat tahu bahawa anak-anak dari Singapura, Korea Selatan dan Vietnam dari darjah 5 dan 6 berpendidikan sataraf dengan para pelajar Tingkatan 3 dari negara kita.

Kegagalan dalam meningkatkan mutu dan pencapaian pendidikan agar kekal bersaing secara global akan terus menggelapkan masa depan anak-anak kita yang akan mewarisi kadar gaji yang malar dan budaya berhutang semata-mata untuk menyara kos hidup yang semakin meninggi.

Masa depan anak-anak Melayu nampaknya perlu terus dibantu ibubapa dengan menumpang rumah, meminjam belanja dan berkongsi kereta.

Apakah pendidikan berkualiti untuk berpendapatan tinggi tidak penting bagi UMNO?

Kesimpulannya, UMNO hanya selesa berada dalam kepompong atau tempurung dan tidak mahu berfikir tentang cara-cara untuk memajukan negara secara keseluruhan melainkan memusatkan kuasa dan kekayaan melalui berbagai usul-usul dan penjenamaan semula dasar ekonomi hanya untuk kepentingan ahli UMNO terpilih sahaja.

Jelas, masa depan Melayu dan Malaysia akan terus menggelap dibawah UMNO jika tidak melaksanakan rekonsiliasi nasional agar usaha melibatkan secara inklusif semua pihak dapat membina masa depan yang cerah.

*Nurul Izzah adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat