Categories
AGENDA SUKANKINI

Azizulhasni jangka laluan sukar berdepan Hoogland

TOKYO, 5 OGOS: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjangkakan yang beliau akan berhadapan laluan sukar pada perlumbaan dengan pelumba Belanda Jeffrey Hoogland pada saringan pertama Pusingan Ketiga 1/8 acara pecut lelaki di Olimpik Tokyo, hari ini.

Bagaimanapun Azizulhasni percaya, apa juga boleh terjadi pada perlumbaan yang akan berlangsung di Veledrome Izu itu.

“Jangan mudah mengalah, terus cuba sebaiknya dan percaya pada diri sendiri,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam channel Youtube Azizul Awang bertajuk ‘Pecutan Hari Pertama | Perjalanan Azizul Awang Mengejar Kilauan Emas’.

Terdahulu Hoogland memecahkan rekod Olimpik bagi acara pecut lelaki apabila mencatatkan 9.215 saat pada pusingan kelayakan.

Azizulhasni mengesahkan tiket ke pusingan ketiga atau 1/8 itu apabila mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menumpaskan pelumba Kanada, Nick Wammes pada perlumbaan repechage 1/16.

Sementara itu Azizulhasni berkata, beliau sedih kerana tidak dapat memperbaiki masa peribadi terbaiknya pada perlumbaan hari ini.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 itu memegang rekod kebangsaan 9.548 saat (s) yang dicatatkan di Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman tahun lepas.

Catatan terbaik beliau hari ini ialah 9.626s, yang dicatatkan pada pusingan kelayakan.

Sementara itu Azizulhasni berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan kejayaan beliau dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di Olimpik Tokyo.

“Teruskan sokong kami, ikuti perkembangan terkini dan terus mendoakan kami. Insya-Allah kami akan lakukan yang terbaik esok,” kata Azizulhasni.

Muhammad Shah Firdaus pula, berpeluang untuk membalas dendam atas kekalahannya kepada Harrie Lavreysen juga dari Belanda pada Pusingan Pertama 1/32 hari ini, apabila kedua-dua mereka akan bertemu semula pada saringan kedua, Pusingan Ketiga, hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Empat atlet negara sambung misi raih emas sulung di Tokyo

TOKYO, 3 OGOS: Harapan dan tumpuan kini terarah kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang bagi melaksanakan misi meraih pingat emas Olimpik pertama negara apabila bakal turun bersaing di Izu Velodrome, Shizuoka, esok.

Mohd Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ bersama rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom masing-masing akan turun bersaing menentang barisan jaguh handalan dunia dalam acara pecut individu sebelum meneruskan aksi acara keirin pada 7 dan 8 Ogos.

Selepas tiga edisi Olimpik sejak Beijing 2008 diikuti London 2012 sebelum kejayaan memenangi pingat gangsa keirin di edisi Rio 2016, Mohd Azizulhasni, 33, yang dipersiapkan lebih awal menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 berada di landasan tepat untuk menjayakan misi bersejarah itu.

Juara dunia keirin 2017 itu bersedia sepenuhnya selepas mengharungi tempoh persediaan yang mencabar sejak Rio 2016 melabuhkan tirai dengan sasaran tunggal membawa pulang pingat emas dinanti-nantikan di bumi Tokyo.

Mohd Azizulhasni turut menambah berat badannya sekitar 10 kilogram (kg), terutama jisim otot di bahagian bawah selepas Rio 2016 untuk meningkatkan kekuatannya sekali gus dapat mempengaruhi serta meningkatkan pecutan.

Segala usaha beliau mula menunjukkan hasil apabila catatannya bagi pecutan 200 meter (m) meningkat dari semasa ke semasa hingga kemuncaknya beliau memecahkan rekod Asia, kebangsaan dan peribadi dengan catatan 9.548 saat (s) di Kejohanan Dunia Berlin, pada Mac 2020.

Beliau tanpa berselindung turut menyahut cabaran membawa pulang pingat emas di Tokyo sebagai menyambung harapan negara di temasya terbesar dunia itu selepas persaraan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

Namun, kemampuan Muhammad Shah Firdaus tidak boleh dinafikan, malah semangat atlet berusia 25 tahun itu semakin membara menjelang acaranya apabila turut memasang impian meraih pingat pada penampilan pertamanya di pentas Olimpik.

Tidak boleh dinafikan, Muhammad Shah Firdaus berupaya mencipta kejutan di Tokyo selepas berjaya mengatasi Mohd Azizulhasni dalam beberapa siri perlumbaan dalam persediaan menghadapi Sukan Olimpik.

Lebih mengujakan, peminat sukan tanah air akhirnya dapat menyaksikan penampilan ‘senjata rahsia’ iaitu basikal model WX-R Vorteq bernilai lebih RM300,000 serta pakaian lumba berteknologi tinggi apabila ia bakal digunakan oleh kedua-dua atlet negara itu untuk membantu mereka mencapai prestasi terbaik.

Teknologi tinggi serta inovasi sukan itu dilakukan menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta antara ISN dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd bermula 2018.

Sementara itu, dua ratu terjun negara Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong pastinya mahu menambah koleksi pingat Olimpik di Tokyo kali ini apabila dijadual turun beraksi dalam acara 10 meter (m) platform wanita esok.

Kedua-dua mereka sebelum ini berjaya menyumbang perak buat negara dalam acara 10m platform seirama wanita di Rio 2016.

Pandelela sudah semestinya mahu menebus kekecewaan aksi pertamanya di Pusat Akuatik Tokyo minggu lepas selepas menduduki tempat terakhir bersama Leong Mun Yee daripada lapan pasangan dalam acara 10m platform seirama wanita.

Bagaimanapun, Pandelela, yang pernah meraih gangsa pada London 2012, dilihat antara pencabar kuat bagi acara 10m platform individu wanita untuk Olimpik Tokyo apabila merangkul pingat emas acara berkenaan pada Piala Dunia Terjun FINA di venue sama Mei lepas.

Namun, kelibat Jun Hoong juga harus diberi perhatian selepas beliau adalah penerjun Malaysia yang mengalahkan penerjun China untuk meraih pingat emas pada acara peringkat dunia di Kejohanan Dunia 2017 di Budapest, Hungary.

Penerjun berusia 31 tahun dari Perak itu terpaksa menempuh saat sukar selepas menjuarai kejohanan di Hungary apabila dihimpit dengan kecederaan sejak itu.

Bukan itu sahaja, Jun Hoong hampir terlepas peluang beraksi di Tokyo namun keputusan pada saat-saat akhir Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) yang membenarkan 18 penerjun terbaik dan bukan hanya 15 penerjun layak ke Olimpik itu membolehkan impiannya kembali menyala untuk beraksi buat kali ketiga di pentas sukan terbesar dunia itu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kelly Tan mahu pamer aksi terbaik pada penampilan kedua Olimpik

TOKYO, 3 OGOS: Pemain golf wanita negara berazam untuk mempamerkan aksi terbaik serta menikmati acara golf di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan membuka tirai pada Rabu di Kasumigaseki Country Club di Saitama, kira-kira 65 kilometer dari sini.

Kelly yang menamatkan saingan dalam Olimpik pertamanya pada edisi Rio 2016 di tempat ke-51, menyedari kualiti pertandingan bakal dihadapinya dan lebih bersikap tenang ketika ditanya mengenai peluang meraih pingat.

“Ia adalah satu penghormatan apabila dapat mewakili negara dan saya teruja untuk melakukannya di Olimpik Tokyo kali ini.

“Sudah semestinya, matlamat utama adalah untuk mendapatkan pingat buat Malaysia tapi ada empat pusingan pertandingan dan membabitkan banyak lubang. Saya mahu menikmati pertandingan kali ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, perjalanan tidak mudah buat pemain berusia 27 tahun negara itu kerana khuatir mengenai keadaan cuaca terik yang turut menjadi kebimbangan pemain golf lain.

Selain itu, juara tiga kali Terbuka Wanita Malaysia itu turut terkesan dengan perjalanan pergi-balik dari perkampungan sukan ke venue yang memakan masa selama tiga jam, tambahan pula beliau masih mengalami ‘jetlag’ selepas perjalanan jauh.

“Leher saya berasa kurang selesa kerana keadaan katil keras dan jelas saya mengalami ‘jetlag’ selepas perjalanan dari Amerika Syarikat baru-baru ini. Tapi jangan bimbang, kerana saya sudah bersedia untuk esok,” katanya.

Kelly akan berentap dengan 60 peserta apabila acara golf wanita berlangsung pada 4 hingga 7 Ogos.

Antara nama-nama hebat yang turut beraksi termasuk juara bertahan Inbee Park dari Korea Selatan, pemain nombor satu dunia Nelly Korda dari Amerika Syarikat dan pemenang 10 kali Jelajah LPGA Brooke Henderson dari Kanada.

Pemain golf lelaki negara Gavin Green menamatkan saingan di tempat ke-57 selepas melengkapkan empat pusingan dengan melakukan empat di atas 288.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Dhabitah beri usaha terbaik tapi belum berjaya dapat gangsa

SHAH ALAM, 1 OGOS: Penerjun muda negara Nur Dhabitah Sabri hampir menghadiahkan pingat buat negara apabila menduduki tempat keempat dalam pusingan akhir acara 3 meter papan anjal wanita.

Penerjun berusia 22 tahun itu menamatkan lima terjunan sebentar tadi dengan kutipan mata 326.15, hanya 17.6 mata di belakang pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat Krysta Palmer.

Nur Dhabitah mara ke peringkat akhir selepas meraih tempat keenam dalam saingan separuh akhir semalam dengan kutipan mata 312.60.

Pingat emas dimenangi juara bertahan dari China Shi Tingmao yang mencatat 383.50 mata sementara rakan senegaranya Wang Han meraih perak dengan kutipan mata 348.75.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pingat pertama ceriakan kontinjen Malaysia di Olimpik Tokyo

TOKYO, 1 OGOS: Memasuki hari sembilan berlangsungnya Sukan Olimpik Tokyo 2020 semalam, Kontinjen Malaysia boleh menarik nafas lega apabila beregu badminton lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbangkan pingat pertama buat negara pada temasya sukan berprestij itu.

Biarpun bukan kilauan emas, pingat gangsa yang diperoleh Aaron-Wooi Yik itu cukup bermakna selepas Kontinjen Malaysia ketandusan pingat setelah beberapa atlet negara yang menjadi sandaran gagal merealisasikan sasaran yang diharapkan.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang diharapkan menghadirkan pingat buat negara terkandas di pusingan 16 terbaik, begitu juga dengan gandingan Pandelela Rinong-Leong Mun Yee dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita.

Turun membawa harapan jutaan rakyat Malaysia agar pingat gangsa yang juga pingat pertama itu menjadi milik Malaysia, pasangan Aaron-Wooi Yik tidak menghampakan apabila menundukkan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan di Musashino Forest Sport Plaza, di sini, malam tadi.

Pusat Akuatik Tokyo turut menjelmakan khabar gembira apabila penerjun negara Nur Dhabitah Sabri berada pada landasan yang betul dalam memburu pingat Sukan Olimpik Tokyo selepas layak ke saingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita individu.

Penerjun berusia 22 tahun itu mempamerkan terjunan konsisten dalam kelima-lima terjunan, menyaksikannya yang bermula di tempat kesembilan pada terjunan pertama melonjak ke kedudukan keenam selepas lima terjunan.

Nur Dhabitah Sabri mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan separuh akhir acara 3m papan anjal wanita individu di Pusat Akuatik Tokyo pada 31 Julai 2021. Foto Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia

Beliau mengumpul 312.60 mata keseluruhan pada saingan separuh akhir semalam. Hanya 12 penerjun terbaik layak ke akhir yang dijadual pada 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) pada Ahad (1 Ogos).

Di Kasumigaseki Country Club, pemain golf utama negara Gavin Green mempamerkan permainan memuaskan dengan melakukan pukulan satu bawah par 70 di pusingan ketiga, namun masih gagal memperbaiki kedudukannya daripada menghuni kedudukan tiga terbawah.

Pemain berusia 27 tahun itu yang mencatat tiga atas par 74 dan satu atas par 72, masing-masing di pusingan pertama dan kedua, melakukan lima birdie dan empat bogey hari ini, untuk mencatat keseluruhan tiga atas par 216 sekali gus berkongsi kedudukan bersama pemain Puerto Rico Rafael Campos (73-73-70) di tempat ke-58 daripada 60 pemain.

Juara empat kali Jelajah Persatuan Pemain Golf Profesional (PGA) Xander Schauffele dari Amerika Syarikat kekal mendahului saingan apabila melakukan tiga bawah par 68, sekali gus mengungguli saingan dengan keseluruhan 14 bawah par 199.

Pusingan keempat dan akhir dijadual berlangsung pada 7.30 pagi waktu tempatan (6.30 pagi waktu Malaysia) Ahad (1 Ogos).

Sementara itu, cabaran jaguh memanah negara Khairul Anuar Mohamad di Sukan Olimpik Tokyo berakhir apabila terkandas pada pusingan ketiga acara Recurve Individu Lelaki.

Pemanah kelahiran Kemaman, Terengganu itu gagal menyaingi kehebatan pemanah Korea Selatan Kim Woojin, yang juga bekas juara dunia, apabila tumpas 0-6 pada aksi yang berlangsung di Lapangan Memanah Yumenoshima.

Kim Woojin, yang menghuni ranking kelima dunia ternyata terlalu handal apabila melakukan panahan sempurna 30 mata pada ketiga-tiga set, berbanding Khairul Anuar yang mencatat 27-27-29 mata.

Cabaran penembak wanita negara Nur Suryani Mohamed Taibi dalam acara 50 meter (m) Rifle 3 Posisi Wanita turut terhenti di pusingan kelayakan selepas menamatkan saingan di tempat ke-34 pada aksi di Lapangan Menembak Asaka.

Nur Suryani, 38, hanya mengumpul 1,142 mata dalam keseluruhan bidikannya, jauh daripada catatan terbaiknya 1,172 mata yang juga rekod kebangsaan, dan rekod tidak rasmi 1,182 mata yang dilakukan pada sesi latihan terakhir sebelum berlepas ke Tokyo.

Hanya lapan penembak terbaik daripada keseluruhan 37 peserta layak ke peringkat akhir, seterusnya akan bersaing untuk merebut pingat emas.

Sukan Olimpik Tokyo menjadi penampilan kedua Nur Suryani di temasya sukan berprestij itu selepas mencuri tumpuan peminat sukan global pada edisi London 2012 apabila bertanding dalam acara 10m Air Rifle Wanita meskipun sedang sarat mengandung lapan bulan.

Sementara itu, di Enoshima Yacht Harbour, gandingan pelayar negara Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali yang berada di kedudukan ke-20 daripada 21 peserta dalam acara International 470 Wanita, setelah mengumpul 91 mata bersih akan meneruskan Perlumbaan Ketujuh dan Kelapan hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap tahniah kepada beregu lelaki negara

SHAH ALAM 31 JULAI: Dato’ Menteri Besar merakam ucapan tahniah buat gandingan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memperoleh pingat gangsa pertama Malaysia dalam Olimpik Tokyo.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook berkata pasangan berkenaan mempamerkan permainan yang bertenaga dan cukup menghiburkan.

“Kejayaan yang amat membanggakan. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada para atlet dan pasukan Malaysia untuk terus mengutip pingat dan memenangi pingat emas yang dinanti-nanti.

“Kemenangan beregu negara ini yang menewaskan ‘The Minions’ dan ‘The Daddies’, beregu nombor satu dan dua dunia tentunya menjadi detik manis bagi pasangan yang pertama kali beraksi di Sukan Olimpik,” katanya.

Aaron Chia-Wooi Yik memperoleh pingat gangsa, pingat pertama Malaysia dalam Olimpik Tokyo selepas lebih dari seminggu temasya sukan terbesar di dunia itu dibuka secara rasmi pada 23 Julai lalu.

Mereka menundukkan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia dengan keputusan 17-21, 21-17, 21-14 dalam aksi hampir satu jam di Musashino Forest Sport Plaza.

Sebelum ini beregu nombor satu negara itu mara ke separuh akhir dengan mengatasi beregu dunia Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dari Indonesia menerusi kemenangan 21-14, 21-17.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Malaysia raih pingat pertama, gangsa untuk beregu badminton

TOKYO, 31 JULAI: Berakhirnya satu penantian.

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memperoleh pingat gangsa, pingat pertama Malaysia dalam Olimpik Tokyo selepas lebih dari seminggu temasya sukan terbesar di dunia itu dibuka secara rasmi pada 23 Julai lepas.

Aaron-Wooi Yik mengambil masa 52 minit untuk menundukkan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa di Musashino Forest Sport Plaza, di sini hari ini.

Ia sememangnya perlawanan sengit dalam set pertama dengan kedua-dua beregu bersungguh-sungguh mendapatkan mata sebelum Aaron-Wooi Yik mendahului 11-9 sebelum perlawanan direhatkan sebentar.

Selepas perlawanan disambung semula wakil Indonesia itu kemudian beraksi dengan agresif dan mendahului 12-9 serta mengekalkan penguasaan mereka sehingga menamatkan set pertama dengan 21-17.

Pada set kedua, Aaron-Wooi Yik bermula dengan baik dan mendahului 5-3 tetapi kesilapan demi kesilapan dilakukan mereka membolehkan lawan mendahului 11-7 sebelum permainan direhatkan dalam set itu.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik tidak mudah menyerah kalah dan cuba mengejar serta berjaya menyamakan kedudukan pada mata 12-12.

Sejak itu, mereka tidak mengekori lawan dan terus beraksi dengan baik untuk mengheret perlawanan ke set penentuan selepas memenangi set kedua 21-17.

Dalam set penentuan, dengan keyakinan yang meningkat beregu Malaysia itu sentiasa mendahului lawan sejak mereka mendahului 1-0 dan seterusnya.

Setelah mendahului 11-7 sebelum waktu rehat, mereka hanya membenarkan wakil Indonesia itu memperoleh tujuh mata sebelum menamatkan set penentuan itu dengan 21-14 menerusi smesy kemenangan Aaron.

Aaron dan Wooi Yik menjerit kegembiraan selepas memenangi perlawanan itu sebelum berbaring di atas gelanggang bagaikan tidak percaya dengan kejayaan dicapai.

Kedua-dua mereka juga kelihatan menitiskan air mata kegembiraan semasa meninggalkan gelanggang.

Sudah pasti bukan mereka berdua merasai kegembiraan itu tetapi semua rakyat Malaysia juga semestinya teruja meraikan pingat pertama negara dan berharap ia merupakan satu titik permulaan untuk kemunculan pingat seterusnya daripada kontinjen negara.

Bagi Aaron-Wooi Yok yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, kemenangan ini juga sebagai membalas dendam kekalahan 16-21 dan 19-21 di tangan beregu Indonesia itu semasa pertemuan mereka dalam perlawanan kedua Kumpulan D, Isnin lepas (26 Julai).

Kemenangan ini merupakan kemenangan kedua Aaron-Wooi Yik ke atas beregu Indonesia itu dalam sembilan perlawanan sejak perlawanan pertama mereka dalam Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2018.

Aaron-Wooi Yik yang mengejutkan beregu pilihan utama, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo juga dari Indonesia, 21-14, 21-17 dalam aksi suku akhir Khamis lepas (29 Julai) gagal mara ke final selepas tewas 22-24, 13-21 kepada beregu pilihan ketiga dari China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen dalam perlawanan separuh akhir, pada Jumaat (30 Julai).

Juara Dunia 2019 Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan kecundang 11-21, 10-21 kepada beregu nombor tiga dunia, Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo: Impian emas beregu badminton berakhir

TOKYO, 30 JULAI: Impian beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mencipta satu lagi kejutan di Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian apabila terpaksa akur dengan kehebatan gandingan dari China Li Jun Hui-Liu Yu Chen pada aksi separuh akhir, malam ini.

Setelah berjaya mengenepikan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia di suku akhir semalam, rentak cemerlang itu gagal diteruskan oleh pasangan negara yang tewas 24-22, 21-13 kepada juara dunia 2018 di  Musashino Forest Sport Plaza.

Aaron-Wooi Yik yang  menghuni ranking kesembilan dunia, mempamerkan aksi meyakinkan apabila memberikan saingan sengit pada set pertama dengan mendahului hampir keseluruhan perlawanan sebelum terikat empat kali bermula dari 19-19 sebelum pasangan China menoktahkan kemenangan 24-22.

Perlawanan set kedua menyaksikan gandingan China yang diletakkan sebagai pilihan ketiga tampil lebih garang dengan corak permainan pantas berjaya memerangkap pasangan negara yang kerap melakukan kesilapan sekali gus memberikan mata mudah kepada lawan.

Ketinggalan 7-11, Aaron-Wooi Yik cuba bangkit dalam usaha mengheret perlawanan kepada set penentuan, namun pasangan China itu ternyata sukar digugat apabila terus mengutip mata untuk menamatkan perlawanan 21-13 dan menempah slot ke final berdepan pasangan Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin.

Semalam, Aaron-Wooi Yik mengejutkan pasangan Indonesia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang 21-14, 21-17 di suku akhir.

Bagaimanapun, perjuangan beregu lelaki utama negara itu belum tamat apabila mereka akan sekali lagi  berdepan pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dalam perebutan pingat gangsa, esok.

Terdahulu, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan tewas kepada pasangan Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin 21-11, 21-10 pada satu lagi aksi separuh akhir.

— BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan papan anjal: Nasib berbeza Dhabitah Sabri dan Yan Yee

TOKYO, 30 JULAI: Nasib berbeza buat dua penerjun negara di Pusat Akuatik Tokyo hari ini apabila Nur Dhabitah Sabri mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir manakala rakannya Ng Yan Yee terkandas di pusingan kelayakan acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Nur Dhabitah, 22, bermula dengan bergaya apabila menduduki ranking ketiga selepas tamat pusingan pertama dengan 67.50 mata, sebelum kedudukan mula merosot namun berjaya menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan mengumpul 291.60 mata.

Bagi Nur Dhabitah, ini dalah penampilan keduanya di pentas Olimpik dengan pencapaian di tempat kelima acara 3m papan anjal seirama ketika bergandingan dengan Cheong Jun Hoong  pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Sementara, Yan Yee yang bermula agak kurang baik, gagal memperbaiki kedudukan pada penampilan ketiganya di Olimpik, sekali gus terlepas peluang ke separuh akhir apabila menamatkan saingan di tempat ke-20 dengan mengumpul 251.95 mata.

Bagaimanapun, Yan Yee yang pernah beraksi pada edisi London 2012 dan Rio 2016, berada dalam senarai penerjun simpanan untuk separuh akhir.

Penerjun China mempamerkan penguasaan mereka apabila juara bertahan Shi Tingmao mengungguli kedudukan selepas mengumpul 350.45 mata, diikuti rakan senegara yang juga bekas juara dunia Wang Han (347.25 mata) dan Jennifer Abel dari Kanada (332.40 mata).

Tingmao dan Wang Han mempunyai keyakinan tinggi di separuh akhir selepas meraih pingat emas acara 3m papan anjal seirama Ahad lepas.

Hanya 18 penerjun terbaik daripada 27 peserta di pusingan kelayakan mara ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia).

Seramai 12 penerjun terbaik layak beraksi di final pada Ahad.

— BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Azreen Nabila perbaharui rekod peribadi, mara ke pusingan pertama

TOKYO, 30 JULAI: Pelari pecut wanita negara Azreen Nabila Alias, menampilkan larian bertenaga untuk mara ke pusingan pertama acara 100 meter (m), selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam pusingan kelayakan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, pagi ini.

Lebih membanggakan, pelari kelahiran Kuala Terengganu itu yang kali pertama beraksi di pentas Olimpik, turut memperbaharui rekod peribadi terbaiknya apabila mencatat masa 11.77 saat (s) dalam saringan kedua acara berkenaan berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.

Catatan peribadi terbaik atlet berusia 21 tahun itu, yang meraih tiket “wild card” di temasya Sukan Olimpik Tokyo adalah 11.92 saat.

Pelari Iran Farzaneh Fasihi, menamatkan saringan tersebut di tempat pertama apabila mencatat masa 11.76s, manakala Alshammari Mudhawi dari Kuwait di kedudukan ketiga dengan masa 11.82s.

Tiga atlet terbaik dalam setiap saringan aksi kelayakan, layak ke pusingan pertama.

Saingan pusingan pertama acara 100m wanita, dijadual bermula pada 12.15 tengah hari waktu tempatan (11.15 pagi waktu Malaysia).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo: Zii Jia lawan Chen Long pusingan kalah mati

TOKYO, 28 JULAI: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melangkah penuh bergaya ke pusingan kalah mati Sukan Olimpik Tokyo 2021, apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut  dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan M, malam ini.

Pemain nombor lapan dunia berusia 23 tahun itu, menampilkan aksi bertenaga untuk membenam pemain Perancis Brice Leverdez dalam masa 35 minit, pada perlawanan yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza.

Pada set pertama, Zii Jia yang membuat penampilan pertama di Olimpik, bermula perlahan apabila ketinggalan 4-7, namun bangkit memperoleh 10 mata berturut-turut untuk mendahului 14-7, sebelum mencatat kemenangan 21-17 dalam masa 19 minit.

Bermula set kedua, juara All England 2021 itu terus garang untuk mengetepikan cabaran Leverdez yang berada di ranking ke-36 dunia, dengan keputusan 21-5.

Zii Jia, bagaimanapun berdepan tugas berat pada pusingan kalah mati, apabila dijadual bertemu pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China, petang esok.

Mengulas mengenai perlawanan malam ini, Zii Jia berkata strategi beliau memaksa lawannya itu bermain secara rali berhasil, apabila berjaya meraih mata demi mata terutama pada set kedua.

“Dia (Leverdez) seorang pemain tidak suka bermain secara rali, dan apabila saya memaksa beliau bermain dengan corak permainan itu dan tidak terburu-buru mendapatkan mata, ternyata menjadi,” katanya dan bahawa beliau tidak akan memandang mudah terhadap mana-mana lawan dihadapinya, pada temasya itu.

Mengenai aksi bertemu Chen Long, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu berkata, beliau akan menampilkan aksi habis-habisan berdepan pemain ranking keenam dunia itu.

“Chen Long seorang pemain berpengalaman dan perlawanan esok sudah pastinya bukan mudah. Saya berharap dapat membuat persediaan yang baik, dan akan memberikan aksi seratus peratus,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Usaha Pandelela-Mun Yee bawa pulang pingat Olimpik Tokyo tidak kesampaian

TOKYO, 27 JULAI: Malaysia terpaksa menunggu lebih lama sebelum meraih pingat pertama di Olimpik Tokyo 2020, apabila usaha Pandelela Rinong-Leong Mun Yee untuk memperolehinya hari ini tidak kesampaian dengan hanya menduduki tempat kelapan dan terakhir acara terjun 10 meter (m) platform seirama wanita di Pusat Akuatik Tokyo.

Pasangan berpengalaman itu bermula dengan baik apabila menduduki tempat kedua dengan 50.40 mata selepas terjunan pertama. Namun pada terjunan selepas itu terutamanya pada tiga terjunan terakhir, mereka gagal mengekalkan prestasi dan hanya mengutip 277.98 mata selepas melengkapkan lima terjunan.

Apa yang agak mengecewakan ialah Pandelela memenangi pingat perak dalam acara yang sama di Olimpik Rio 2016 bersama Cheong Jun Hoong.

China mengekalkan penguasaan mereka dalam acara terjun, apabila Zhang Jiaqi-Chen Yuxi menang emas selepas mencatatkan masa 364.78 mata. China telah memenangi kesemua pingat emas acara terjun seirama sejak pengenalannya pada Olimpik Sidney 2000.

Sementara itu, Delaney Schnell-Jessica Parratto menghadiahkan Amerika Syarikat pingat mereka yang pertama dalam acara itu, apabila menang perak dengan 210.80 mata manakala Alejandra Loza-Gabriela Agundez Garcia dari Mexico (299.70 mata) menang gangsa.

Pandelela, 28, yang bertanding buat kali keempat berturut-turut di Olimpik sejak penampilan pertamanya di Olimpik Beijing 2008, merupakan atlet terjun negara pertama memenangi pingat Olimpik, apabila beliau memenangi pingat gangsa dalam acara 10m platform individu di London 2012.

Dan empat tahun kemudiannya pada Olimpik Rio 2016, penerjun kelahiran Kuching yang ketika itu berpasangan dengan Jun Hoong, menang perak dalam acara 10m platform seirama wanita.

Mun Yee, 36, yang dalam penampilan Olimpiknya kelima sejak penampilan pertamanya pada Olimpik Sydney 2000, telah memenangi pingat dalam hampir kesemua kejohanan antarabangsa, kecuali pingat Olimpik.

Penyertaan Malaysia dalam acara terjun akan diteruskan dengan Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee dalam pusingan awal acara 3m papan anjal individu wanita pada Jumaat (30 Julai) dan juga Pandelela dan Jun Hoong dalam pusingan awal acara 10m platform individu wanita pada 4 Ogos.

– BERNAMA