Categories
NASIONAL

Dokumen hasil siasatan projek AES diserah kepada SPRM

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 MAC: Pejabat Menteri Pertahanan hari ini menyerahkan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan projek AES ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pertahanan, Rafizal Ali berkata, laporan kepada SPRM dibuat supaya satu siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti punca disebalik arahan atau cadangan pengambil alihan AES dengan harga RM555 juta dilakukan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Katanya, JKSTUPKK yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang mendapati jumlah itu melebihi harga pasaran sekali gus mendedahkan wang pencarum anggota tentera kepada risiko kerugian.

“Dalam hasil siasatan dibentangkan kepada pihak kementerian 28 Januari lalu, JKSTUPKK mendapati pelaksanaan projek AES lebih menguntungkan syarikat konsesi dan meletakkan kerajaan dalam risiko kerugian.

“JKSTUPKK juga mendapati wujud campur tangan anggota pentadbiran kerajaan termasuk Mantan Perdana Menteri dan beberapa Menteri Kabinet kerajaan terdahulu yang lebih menjurus kepada kepentingan politik,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati wujud keraguan terhadap cadangan LTAT mengambil alih projek AES yang hanya dibuat dalam perbincangan tanpa diminitkan antara Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan beberapa menteri, pada September 2014.

“JKSTUPKK berpendapat pemilihan syarikat LTAT untuk mengambil alih AES adalah lebih kepada cubaan menutup tuduhan bahawa kerajaan cuba melaksanakan bail-out.

“Selain itu, wujud keraguan mengapa LTAT perlu membayar dengan jumlah RM555 juta bagi mengambil alih AES sedangkan kos asal adalah RM40 juta,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

AES :Lagi ‘flip-flop’ BN untuk untungkan kroni

aes-johari

SHAH ALAM, 22 OGOS: Tindakan ‘flip-flop’ Kerajaan Umno-BN dalam beberapa isu yang melibatkan pengambilan wang rakyat dilihat seolah-olah sengaja dilakukan bagi membolehkan pemimpin-pemimpin Umno/BN menyalurkan keuntungan kepada para kroni.

Ini termasuklah pengumuman terbaru kerajaan yang bercadang untuk mengambilalih Operasi Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti yang diumumkan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata tidak mustahil kerajaan sudah merancang pengambilalihan operasi AES sebelum sistem perangkap had laju berkamera itu memulakan operasinya tahun lalu.

Johari yakin tindakan kerajaan tersebut diambil ekoran respon dari bantahan yang dibuat rakyat dan pembangkang.

Beliau juga menjangkakan pengambilalihan ini akan melibatkan pengaliran dana kerajaan kira-kira RM1 bilion kepada dua syarikat pengendali terbabit, sekaligus merugikan rakyat.

“Ini bukan dasar ‘flip-flop’, tetapi memang ‘di-design’ untuk ‘flip-flop’ sebab sepatutnya projek seperti ini perlukan tata kelola yang betul, kajian mendalam termasuk ahli akademi dan respon dari persatuan berkaitan.

“Tetapi di Malaysia tidak berlaku, kerajaan lebih berminat memberi projek kepada kroni yang datang dengan pelbagai cadangan, bila gagal dilaksanakan atau dapat tentangan, akhirnya kerajaan mengambil balik projek tersebut dengan bayaran pampasan yang mahal.

“Jadi seolah-olah ia sengaja direka sebegitu rupa, mereka tahu akan mendapat tentangan rakyat dan pembangkang dan akhirnya masalah itu kononnya diselesaikan dengan bayaran kepada pihak swasta,” kata Johari ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Johari berkata antara beberapa projek swasta yang diambilalih kerajaan sebelum ini termasuklah Indah Water Konsortium, MAS dan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Zaman Tun Dr Mahathir pun sama juga, adakan PPSMI tetapi akhirnya ditukar semula kepada Bahasa Melayu dan menyebabkan kita kerugian kira-kira RM6 bilion untuk kos mencetak buku teks dan lain-lain.

“Dasar ini merugikan rakyat dan dalam isu AES ini sepatutnya dihentikan terus bukan kerajaan ambilalih,” ujar Johari lagi.

Johari menambah, isu ini akan dibangkitkan pembangkang dalam persidang dewan rakyat akan datang.

Selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Hishamuddin berkata kerajaan sedang menimbang untuk mengambil alih keseluruhan operasi dan penguatkuasaan AES daripada pengendali sedia ada.

– MZA