Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia akan hulur bantuan sesuai kepada Lubnan

PUTRAJAYA, 7 OGOS: Malaysia akan menghulurkan bantuan yang bersesuaian kepada Lubnan susulan tragedi letupan di Beirut, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurutnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju agar Malaysia menyalurkan bantuan kepada Lubnan dan menyerahkan kepada Wisma Putra untuk memikirkan sumbangan yang terbaik.

Hishammuddin berkata Wisma Putra telah berhubung dengan perwakilan Malaysia di negara berkenaan serta wakil kepimpinan Lubnan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai situasi di tempat kejadian.

“Ini sedang diuruskan dan saya diminta menyampaikan laporan malam ini kepada perdana menteri berhubung bentuk sumbangan yang boleh kita salurkan kepada Lubnan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Hari ASEAN ke-53 di sini hari ini.

Beliau berkata Wisma Putra juga akan mendapatkan pandangan daripada anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) yang bertugas di sana berhubung bentuk bantuan yang perlu disalurkan.

Agensi Anadolu melaporkan tragedi letupan yang dipercayai berpunca daripada amonium nitrat yang disimpan di gudang di pelabuhan Beirut itu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 135 orang terkorban, 5,000 cedera manakala puluhan lagi masih hilang.

Ditanya mengenai lambakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia, Hishammuddin berkata beliau ada membangkitkan perkara itu dalam perbualan telefon dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Michael R Pompeo baru-baru ini.

“Saya meminta AS membantu Malaysia dengan duduk bersama-sama UNHCR untuk melihat kepada isu pelarian Rohingya dan kedudukan di negeri Rakhine,” katanya.

Beliau berkata Malaysia bersetuju menerima pelarian Rohingya sebelum ini dengan syarat mereka akan dihantar ke negara ketiga.

“Tetapi itu tidak berlaku dan lambakan mereka yang berada di Malaysia sekarang jumlahnya begitu besar dan tidak adil kalau ada pihak tertentu yang masih lagi mendesak Malaysia menerima lebih ramai pelarian Rohingya dari Rakhine atau Bangladesh,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat Malaysia di Lubnan selamat – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Semua rakyat Malaysia di Lubnan dilaporkan selamat, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata perkara itu disahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Beirut dalam laporan awalnya.

Kira-kira tengah malam Selasa waktu Malaysia, berlaku kebakaran diikuti letupan dahsyat di sebuah gudang di pelabuhan di ibu negara Lubnan, Beirut, dipercayai tempat bahan letupan disimpan.

Letupan itu mencetuskan kemusnahan di seluruh bandar dan menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang maut dan lebih 3,000 orang cedera.

Hishammuddin berkata pihak kedutaan juga menasihati rakyat Malaysia yang tinggal di negara itu agar kekal berada di dalam rumah.

“Malaysia berkongsi kesedihan dan ingatan serta doa kami mengiringi insan-insan kuat di Lubnan. Kami bersedia untuk memberi sokongan dalam apa juga cara yang mungkin,” katanya dalam ciapan terbaharu di akaun Twitternya.

Malaysia adalah sebahagian daripada Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) bagi tugas menjaga keamanan di selatan Lubnan dan dikhuatiri sebilangan anggota pasukan mungkin berada di Beirut ketika letupan itu berlaku.

Tiada laporan setakat ini sama ada terdapat kapal Malaysia atau kapal yang mempunyai kru Malaysia di pelabuhan itu semasa kejadian.

Presiden Lubnan Michel Aoun dilaporkan telah mengisytihar tempoh berkabung selama tiga hari.

Sementara itu, DAP dalam kenyataan menggesa kerajaan Malaysia agar menghulurkan bantuan kepada Lubnan pada waktu yang sukar ini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

AES: BN ‘jilat semula’ cadangan Pakatan

gambar hiasan
gambar hiasan

PETALING JAYA, 23 OGOS: Barisan Nasional (BN) kini terpaksa menjilat kembali pelbagai alasan mereka ketika menolak hujah Pakatan Rakyat yang menentang kuat langkah menyerahkan perlaksanaan operasi Sistem penguatkuasaan Automatik (AES) kepada pihak swasta diperingkat awal lagi.

Sekiranya, BN mengamalkan sikap terbuka untuk mendengar pendapat pemimpin Pakatan Rakyat dan masyarakat umum sebelum AES dilaksanakan, isu pengambilalihan operasi AES pasti tidak akan timbul sekaligus menyelamatkan wang rakyat.

Langkah pengambilalihan operasi AES seperti yang dinyatakan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini, pasti akan melibatkan pembayaran pampasan yang tidak sedikit kepada dua syarikat pengendali AES swasta.

Menurut Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), kerajaan sepatutnya menjalankan kajian dari semua aspek termasuk pandangan dari Pakatan Rakyat dan masyarakat awam dengan lebih mendalam sebelum melaksanakan sesuatu termasuk isu perlaksanaan AES ini.

“Salah satu sebab kita marah AES ini, ia satu sistem swasta yang mana mereka akan mengaut keuntungannya dan orang mempersoalkan samada akan memberi kesan lebih besar kepada pengguna jalan raya dan sekarang pengambilalihan pula sudah tentu melibatkan wang rakyat.

“Itu antara hujah kita dari awal lagi ketika AES mula-mula hendak dilaksanakan, kita tanya kenapa AES ini perlu diswastakan kalau betul perlu nak buat.

“Kita bukan menentang isu keselamatan jalan raya dan sebagainya tetapi nampaknya ia balik kepada cadangan yang kita suarakan masa mula-mula diperingkat awal perlaksanaan AES dahulu tetapi kalau dari peringkat awal perlaksanaan dengan mengambil sedikit pandangan kita suarakan, tak perlu berhadapan dengan masalah ini,” kata Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor itu.

Terdahulu, diperingkat awal ketika operasi AES hendak dilaksanakan pada tahun lalu, selain tidak bersetuju perlaksanaan AES yang dibuat secara tergesa-gesa, Pakatan Rakyat dan majoriti pengguna jalanraya juga mempersoalkan langkah memberi konsesi operasi AES kepada dua buah syarikat pengendali swasta.

Bagaimanapun kerajaan ketika itu tetap berdegil dengan meneruskan perlaksanaan operasi AES dengan dikendalikan syarikat swasta terlibat.

Bagaimanapun selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, Hishamuddin berkata kerajaan sedang menimbang untuk mengambil alih keseluruhan operasi dan penguatkuasaan AES daripada pengendali sedia ada. – mza

Categories
NASIONAL SELANGOR

AES :Lagi ‘flip-flop’ BN untuk untungkan kroni

aes-johari

SHAH ALAM, 22 OGOS: Tindakan ‘flip-flop’ Kerajaan Umno-BN dalam beberapa isu yang melibatkan pengambilan wang rakyat dilihat seolah-olah sengaja dilakukan bagi membolehkan pemimpin-pemimpin Umno/BN menyalurkan keuntungan kepada para kroni.

Ini termasuklah pengumuman terbaru kerajaan yang bercadang untuk mengambilalih Operasi Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti yang diumumkan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata tidak mustahil kerajaan sudah merancang pengambilalihan operasi AES sebelum sistem perangkap had laju berkamera itu memulakan operasinya tahun lalu.

Johari yakin tindakan kerajaan tersebut diambil ekoran respon dari bantahan yang dibuat rakyat dan pembangkang.

Beliau juga menjangkakan pengambilalihan ini akan melibatkan pengaliran dana kerajaan kira-kira RM1 bilion kepada dua syarikat pengendali terbabit, sekaligus merugikan rakyat.

“Ini bukan dasar ‘flip-flop’, tetapi memang ‘di-design’ untuk ‘flip-flop’ sebab sepatutnya projek seperti ini perlukan tata kelola yang betul, kajian mendalam termasuk ahli akademi dan respon dari persatuan berkaitan.

“Tetapi di Malaysia tidak berlaku, kerajaan lebih berminat memberi projek kepada kroni yang datang dengan pelbagai cadangan, bila gagal dilaksanakan atau dapat tentangan, akhirnya kerajaan mengambil balik projek tersebut dengan bayaran pampasan yang mahal.

“Jadi seolah-olah ia sengaja direka sebegitu rupa, mereka tahu akan mendapat tentangan rakyat dan pembangkang dan akhirnya masalah itu kononnya diselesaikan dengan bayaran kepada pihak swasta,” kata Johari ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Johari berkata antara beberapa projek swasta yang diambilalih kerajaan sebelum ini termasuklah Indah Water Konsortium, MAS dan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Zaman Tun Dr Mahathir pun sama juga, adakan PPSMI tetapi akhirnya ditukar semula kepada Bahasa Melayu dan menyebabkan kita kerugian kira-kira RM6 bilion untuk kos mencetak buku teks dan lain-lain.

“Dasar ini merugikan rakyat dan dalam isu AES ini sepatutnya dihentikan terus bukan kerajaan ambilalih,” ujar Johari lagi.

Johari menambah, isu ini akan dibangkitkan pembangkang dalam persidang dewan rakyat akan datang.

Selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Hishamuddin berkata kerajaan sedang menimbang untuk mengambil alih keseluruhan operasi dan penguatkuasaan AES daripada pengendali sedia ada.

– MZA