Categories
NASIONAL SELANGOR

AES :Lagi ‘flip-flop’ BN untuk untungkan kroni

aes-johari

SHAH ALAM, 22 OGOS: Tindakan ‘flip-flop’ Kerajaan Umno-BN dalam beberapa isu yang melibatkan pengambilan wang rakyat dilihat seolah-olah sengaja dilakukan bagi membolehkan pemimpin-pemimpin Umno/BN menyalurkan keuntungan kepada para kroni.

Ini termasuklah pengumuman terbaru kerajaan yang bercadang untuk mengambilalih Operasi Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti yang diumumkan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata tidak mustahil kerajaan sudah merancang pengambilalihan operasi AES sebelum sistem perangkap had laju berkamera itu memulakan operasinya tahun lalu.

Johari yakin tindakan kerajaan tersebut diambil ekoran respon dari bantahan yang dibuat rakyat dan pembangkang.

Beliau juga menjangkakan pengambilalihan ini akan melibatkan pengaliran dana kerajaan kira-kira RM1 bilion kepada dua syarikat pengendali terbabit, sekaligus merugikan rakyat.

“Ini bukan dasar ‘flip-flop’, tetapi memang ‘di-design’ untuk ‘flip-flop’ sebab sepatutnya projek seperti ini perlukan tata kelola yang betul, kajian mendalam termasuk ahli akademi dan respon dari persatuan berkaitan.

“Tetapi di Malaysia tidak berlaku, kerajaan lebih berminat memberi projek kepada kroni yang datang dengan pelbagai cadangan, bila gagal dilaksanakan atau dapat tentangan, akhirnya kerajaan mengambil balik projek tersebut dengan bayaran pampasan yang mahal.

“Jadi seolah-olah ia sengaja direka sebegitu rupa, mereka tahu akan mendapat tentangan rakyat dan pembangkang dan akhirnya masalah itu kononnya diselesaikan dengan bayaran kepada pihak swasta,” kata Johari ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Johari berkata antara beberapa projek swasta yang diambilalih kerajaan sebelum ini termasuklah Indah Water Konsortium, MAS dan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Zaman Tun Dr Mahathir pun sama juga, adakan PPSMI tetapi akhirnya ditukar semula kepada Bahasa Melayu dan menyebabkan kita kerugian kira-kira RM6 bilion untuk kos mencetak buku teks dan lain-lain.

“Dasar ini merugikan rakyat dan dalam isu AES ini sepatutnya dihentikan terus bukan kerajaan ambilalih,” ujar Johari lagi.

Johari menambah, isu ini akan dibangkitkan pembangkang dalam persidang dewan rakyat akan datang.

Selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Hishamuddin berkata kerajaan sedang menimbang untuk mengambil alih keseluruhan operasi dan penguatkuasaan AES daripada pengendali sedia ada.

– MZA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jangan Flip-flop :Utamakan graduan tempatan – INFO 12

Sinopsis

Info 12 Untuk 28122012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 28 DISEMBER 2012 :

1. Jangan Flip-flop : Kerajaan Pusat perlu mengutamakan graduan tempatan dan menambahbaik sistem pembelajaran negara ini.

2. Kempen Anti Zina dilancarkan sempena karnival Pendidikan Selangor.

3. Naib Presiden PAS menganggap kabinet membantu kroni dalam meneruskan saman AES

Layari http://www.selangorkini.net

mahfuz

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu PTPTN: Kerajaan BN Takut dengan Keberanian, Keupayaan PR

SHAH ALAM, 8 JUN: Terkejut dengan keberanian dan keupayaan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang bersedia untuk menampung pembiayaan pendidikan pelajar Universiti Selangor (Unisel) selain desakan pelbagai pihak, akhirnya Kerajaan Pusat akur dan menarik semula pembekuan pinjaman Perbadanan Tinggi Pinjaman Tabung Nasional (PTPTN).

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Kim dalam reaksinya berkata, tindakan bolak-balik (flip flop) Kerajaan Pusat ini jelas menunjukkan mereka sebenarnya takut dengan keupayaan Kerajaan Negeri yang akhirnya membuatkan pemimpin Umno-BN menjilat air liur mereka semula.

Tindakan kononnya ingin ‘menguji’ Kerajaan Negeri sebenarnya mampu menjadi ‘senjata makan tuan’ kepada Umno-BN memandangkan sebelum ini mereka begitu mendabik dada mampu merampas kembali Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Mereka menguji sehari dan mendapati kerajaan Pakatan Rakyat adalah serius dalam perkara ini. Ini membuktikan pentadbiran Pakatan Rakyat memang mampu untuk membiayai perbelanjaan di peringkat IPTA ini.

“Atas sebab itu mereka terpaksa membuat keputusan untuk menarik balik keputusan sebelum ini,” katanya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid dalam satu kenyataan semalam mengumumkan, pencairan aset hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM yang dianggarkan bernilai RM30 juta bagi membantu pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan Umno-BN membekukan PTPTN.

Tidak sampai 24 jam selepas itu, pihak PTPTN mengumumkan penarikan semula pembekuan pinjaman tersebut yang menyaksikan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) turut menerima nasib sama.

Sebelum ini beberapa pimpinan Umno-BN dengan lantang memuji langkah sekatan yang dikenakan terhadap dua IPT milik kerajaan Selangor namun Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berpendirian sebaliknya.

Teng turut menegaskan, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk membiayai pendidikan di negeri ini sekiranya pembayar cukai membuat bayaran kepada Kerajaan Negeri dan bukannya kepada Kerajaan Pusat.

Katanya, Pakatan Rakyat tetap realistik dan optimis untuk melaksanakan pendidikan percuma sekiranya berjaya menakluki Putrajaya dalam PRU-13.