Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN gesa segera agih komputer riba, pastikan PdPR lancar

SHAH ALAM, 27 APRIL: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyegerakan bantuan komputer riba kepada pelajar memerlukan.

Jawatankuasa Pendidikannya berkata janji Belanjawan 2021 perlu dibuat bagi memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berjalan lancar.

Gabungan itu turut menggesa kerajaan memberi insentif khas kepada guru untuk pembelian data dan alat bantuan mengajar demi memudahkan urusan PdPR.

“Jawatankuasa Pendidikan PAKATAN berpandangan berapa lama tempoh PdPR dilaksanakan sekalipun, yang penting ialah bantuan komputer riba harus disegerakan kepada murid yang memerlukan.

“Arahan melaksanakan PdPR merupakan satu langkah wajar untuk dilaksanakan memandangkan situasi pandemik Covid-19 terus meningkat, tetapi ia harus diiringi bantuan kemudahan PdPR buat murid mahupun guru yang tidak mempunyai kelengkapan,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan.

Kenyataan tersebut dibuat oleh Pengerusinya Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad (Parti Keadilan Rakyat, Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Dr Hasan Baharom (Amanah).

Semalam, KPM memutuskan untuk menutup operasi sekolah rendah dan menengah di seluruh negara selepas cuti Hari Raya Aidilfitri mulai 16 Mei.

Dalam tempoh itu, pelajar akan mengikuti PdPR selama 10 hari mulai 16 Mei bagi sekolah dalam Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 17 hingga 28 Mei (Kumpulan B).

Pelajar seterusnya akan terus bercuti penggal dari 28 Mei hingga 12 Jun (Kumpulan A) dan 29 Mei hingga 13 Jun (Kumpulan B).

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata keputusan menutup sekolah selepas raya selepas mengambil kira trend jangkitan Covid-19 dalam masyarakat ketika ini.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat PAKATAN digerak tangani dasar pulih ekonomi

SHAH ALAM, 9 APRIL: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggerakkan wakil rakyat dan pimpinan negeri untuk menangani isu berkait pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Gabungan itu dalam kenyataan sempena pemukiman pimpinan di Port Dickson menyebut proses libat urus bersama pemegang taruh juga diteruskan bagi membentuk manifesto.

“Kami mengambil pendirian terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat,” katanya.

Pemukiman itu dihadiri pemimpin utama PAKATAN antaranya Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

PAKATAN juga memutuskan siri jelajah ke seluruh negara bagi menerangkan pendirian dan tawaran isu ekonomi, politik dan krisis Covid-19.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN desak PM buat sidang Parlimen, tamatkan darurat

SHAH ALAM, 9 APRIL: Pakatan Harapan (PAKATAN) mendesak perdana menteri mengadakan sidang Parlimen bagi mengatasi masalah negara ketika ini.

Gabungan itu dalam kenyataan turut menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan darurat.

“Menginsafi bahawa pandemik Covid-19 mendatangkan dampak yang cukup mendalam kepada rakyat, ekonomi dan negara malah dasar Perikatan Nasional jelas gagal menangani sepenuhnya.

“Menyesali demokrasi negara parah akibat malapetaka pengkhianatan dan pembelotan politik yang terkutuk hingga meluntur dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap demokrasi,” kata PAKATAN.

Gesaan oleh pemimpin gabungan berkenaan dibuat semasa permukiman dua hari di Port Dickson, Negeri Sembilan yang bermula semalam.

Pemukiman itu dihadiri pemimpin utama PAKATAN antaranya Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Sebelum ini, Majlis Presiden PAKATAN menyarankan Parlimen bersidang seawal Mac susulan pandangan Yang di-Pertuan Agong yang membenarkannya dalam tempoh darurat.

Pada masa sama, gabungan itu turut menamakan Anwar, yang juga pengerusi PAKATAN untuk mengetuai kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan diangkat sebagai calon perdana menteri.

“Kami mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus memperkukuh PAKATAN dalam mendepani PRU15 seterusnya memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah negara dengan amanah, demokratik dan adil,” kata gabungan itu lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ulangi tekad kukuhkan PAKATAN, tolak politik kotor

PETALING JAYA, 28 MAC: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari terus mengulangi tekad untuk  memperkukuh Pakatan Harapan (PAKATAN).

Beliau yang juga pengerusi PAKATAN Selangor menempelak Kerajaan Perikatan Nasional yang seringkali bercakap tidak serupa bikin.

“Kerajaan mereka ‘double standard’ (dwistandart), kononnya kata jangan main politik kotor dan tak adil tetapi mereka pula sebaliknya sehingga ada yang curi wakil rakyat kita (PAKATAN).

“Sebab itu kita tolak mereka dan saya akan terus kekal bersama PAKATAN,” katanya ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang, Budimu Disanjung di Sunway Hotel Spa, malam tadi.

Majlis anjuran Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar itu turut dihadiri Ketua Cabang KEADILAN Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Rodziah Ismail.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Tangguh Undi 18 langgar keputusan Dewan Rakyat

SHAH ALAM, 26 MAC: Tangguhan kelayakan pengundi berusia 18 tahun ke atas (Undi 18) dan pendaftaran automatik melanggar keputusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN).

PAKATAN kesal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunda pelaksanaannya dari Julai tahun ini kepada 1 September tahun depan dan menyifatkan keputusan itu membelakangkan suara rakyat dan menafikan hak anak muda.

“SPR mesti bertanggungjawab sepenuhnya di atas penangguhan ini yang merupakan satu kegagalan besar kerana melanggari Perlembagaan Malaysia,” menurut majlis tersebut malam tadi.

Kenyataan dibuat bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

PAKATAN juga menyifatkan SPR tidak bebas, menyalahi proses perundangan dan tidak berdedikasi terhadap semangat demokrasi.

Kenyataan itu juga menyebut kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus bertanggungjawab atas kegagalan berkenaan yang mengundang kemarahan golongan muda.

Majlis berkenaan turut berpendirian pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak harus dibuat selagi Undi 18 tidak dilaksana sepenuhnya mengikut jadual iaitu Julai tahun ini.

“Sekiranya PRU15 diadakan sebelum Undi 18 dilaksana, ia menafikan suara 3.8 juta anak muda dan menjadi dosa terbesar Kerajaan PN kepada generasi yang akan datang,” kata kenyataan lagi.

Pada 25 Mac, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh menyatakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 hanya boleh dibuat selepas 1 September 2022 ekoran pelbagai kekangan termasuk wabak Covid-19.

Undi 18 dan pendaftaran automatik dirancang, digubal dan diusulkan PAKATAN ketika gabungan itu masih menjadi kerajaan.

 

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN ucap tahniah, polis gagalkan cubaan bunuh pemimpin

SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) mengucapkan terima kepada polis yang menggagalkan cubaan pengganas untuk membunuh beberapa pemimpin penting pada Januari 2020.

Dalam kenyataan media bersama PAKATAN mengambil maklum kenyataan polis berjaya menumpaskan cubaan bunuh terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta bekas menteri-menteri Lim Guan Eng dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Katanya, cubaan bunuh itu juga menyasarkan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, yang masih dalam kerajaan pada masa itu.

Laporan media tidak menyebut sama ada polis memaklumkan kes itu kepada Menteri Dalam Negeri waktu itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, PAKATAN mendesak Muhyiddin, yang kini perdana menteri, menjelaskan siasatan kes tersebut.

“Oleh itu, kami menggesa Tan Sri Muhyiddin untuk memberikan penjelasan di atas perkara ini pada kadar segera,” kata kenyataan itu pada lewat malam tadi.

Kenyataan itu melibatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sebelum ini, media melaporkan Penolong Pengarah Cawangan Khas Counter Terorisme (E8) Bukit Aman, Azman Omar berkata polis menahan seorang lelaki yang mengaku merancang mahu menyerang pemimpin berkenaan namun dapat ditumpaskan.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN gesa kerajaan siasat kartel polis cuba jatuhkan KPN

SHAH ALAM, 23 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa menteri dalam negeri menyiasat segera kewujudkan kartel yang didakwa cuba menjatuhkan ketua polis negara.

Majlis Setiausaha berkata seakan wujud usaha pihak tertentu untuk menjejaskan kebebasan dan integriti polis serta memburukkan imej dan reputasi institusi berkenaan.

“Elemen-elemen ‘kartel’ ini tidak boleh dibenarkan menyusup masuk dan mengawal polis kerana
akhirnya ia akan menghancurkan institusi tersebut,” kata gabungan itu.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (KEADILAN), Datuk Dr Hatta Ramli (Amanah) dan Loke Siew Fook (DAP).

Pada 18 Mac, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan terdapat kartel dalam kalangan pegawai polis yang cuba menjatuhkannya demi kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, beliau belum merancang untuk mendedahkan nama berkenaan dan menolak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Perbahasan Parlimen boleh elak isu kompaun, SOP keliru

SHAH ALAM, 21 MAC: Isu nilai kompaun tinggi berhubung pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 boleh dielak jika dibincang secara teliti dan dibahas di parlimen.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata kebanyakan dasar sedia ada tidak dirangka dengan baik dan tidak memberi dampak terhadap usaha mengawal penularan wabak.

“Maka kami menggesa parlimen segera bersidang semula sebagai salah satu cara menyelamatkan negara dari sudut kesihatan dan ekonomi dengan menggubal undang-undang yang lebih berkesan.

“Tanpa kebertanggungjawaban parlimen, kami risau masalah sedia ada akan berlarutan serta menjadi norma,” kata gabungan itu dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Fahmi Fadzil dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Khalid Samad (Amanah) dan Ong Kian Ming (DAP).

Ketiga-tiga pemimpin itu turut menggesa kerajaan lebih berperikemanusiaan dalam menguatkuasakan undang-undang yang menindas golongan kurang berkemampuan.

Mereka juga meminta kerajaan menunjukkan langkah yang diambil secara ‘saintifik’ dan ‘berasaskan data’ dalam merangka SOP termasuk penggunaan MySejahtera.

“Dilaporkan hanya empat peratus kes Covid-19 dijejak menggunakan aplikasi itu dan kami belum lihat bukti ia dimanfaat secara berkesan sepanjang tempoh perintah kawalan.

“Ahli parlimen PAKATAN komited untuk bekerjasama dengan persekutuan dan negeri bagi memberi input dan cadangan mengekang penularan wabak secara lebih baik,” kata gabungan itu.

Berkuat kuasa pada 11 Mac, individu yang melanggar SOP pencegahan dan kawalan Covid-19 berdepan hukuman denda maksimum RM10,000.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

KEADILAN Selangor tetap teguh jayakan agenda reformasi

SHAH ALAM, 13 MAC: Tidak terjejas dengan pemimpin keluar parti, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor meneruskan agenda memberi manfaat rakyat.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Dato’ Seri Amirudin Shari juga menyeru seluruh penyokong parti dan Pakatan Harapan istiqamah dengan perjuangan.

“KEADILAN dan Pakatan Harapan Negeri Selangor berazam kukuh dan bertekad untuk terus menterjemahkan agenda reformasi kepada dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dan Selangor,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi Pakatan Harapan Negeri mengulas tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar yang meninggalkan parti itu pagi tadi.

Amirudin dijangka bertemu barisan pemimpin KEADILAN Cabang Kuala Langat malam ini bagi memastikan keutuhan parti dan penyusunan program.

Beliau yakin cabang berkenaan kekal bersemangat meneruskan perjuangan demi mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya.

“Saya dan Ahli Dewan Negeri Pakatan Harapan sekalian memberi jaminan bahawa kami tetap setia dengan perjuangan KEADILAN dan Pakatan Harapan yang mengutamakan kecemerlangan, kestabilan dan keutuhan Selangor,” katanya.

Sebelum ini, KEADILAN mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba mengugut wakil rakyat pembangkang untuk mengalihkan sokongan.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Henti peralat agensi kerajaan jadi senjata politik

SHAH ALAM, 5 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengecam tindakan menjadikan agensi kerajaan sebagai senjata politik bagi tujuan tambah sokongan kerajaan minoriti Perikatan Nasional.

Menerusi kenyataan bersama, Majlis Presiden Pakatan berkata pihaknya difahamkan siri tindakan agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis terhadap ahli parlimen pembangkang, pegawai serta ahli keluarga mereka.

Kenyataan itu menegaskan, pertandingan politik di Malaysia wajib berlaku dalam suasana sihat dengan amalan demokrasi berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami difahamkan tindakan itu masih terus dilakukan termasuk tekanan untuk ahli parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dari segi prinsip, kami menyokong tindakan berlandaskan hukum dan undang-undang tetapi sebarang penyalahgunaan institusi atau agensi dengan niat untuk mengganggu, menekan atau menakut-nakutkan musuh politik tidak boleh diterima,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan Presiden Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng.

Selain itu, PAKATAN juga kesal dengan tindakan pihak berkuasa menuntut kewangan yang tidak munasabah serta membeku akaun bank untuk tambah pendapatan kerajaan yang kian berkurangan.

“Tindakan memeras perniagaan dalam keadaan ekonomi meleset harus ditangguh kerana menyukarkan perjalanan perniagaan dan menjejaskan pekerjaan,” tambahnya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pastikan pusat imunisasi Covid-19 seluruh negara cukup

SHAH ALAM, 17 FEB: Kerajaan persekutuan digesa memastikan pusat imunisasi Covid-19 di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak mencukupi.

Jawatankuasa Imunisasi Pakatan Harapan (PAKATAN) mengingatkan program kepada 80 peratus rakyat dewasa di negara ini yang meliputi 66.7 juta dos bukan perkara mudah.

“Kejayaan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan penting untuk memulihkan ekonomi, mengurangkan jangkitan Covid-19 dan memulihkan kehidupan rakyat,” kata kenyataan pada 16 Februari.

Jawatankuasa itu juga menyeru Putrajaya supaya menyediakan kaedah penerangan yang mampu menerangkan rancangan imunisasi kepada rakyat dan pekerja asing.

“Pihak bertanggungjawab perlu menerangkan rancangan imunisasi secara agresif menerusi pelbagai platform dan bahasa kepada warganegara serta bukan warganegara,” kata kenyataan.

Kenyataan itu juga menegaskan PAKATAN menganggap program itu melangkaui perbezaan politik, malah menyifatkan perkara tersebut sebagai misi kebangsaan yang “pantang gagal”.

Jawatankuasa Imunisasi Pakatan terdiri daripada bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Anggota lain ialah empat ahli parlimen iaitu Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching) Dr Mohd Hatta Ramli (Bandar Kuching) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru).

Turut terlibat tiga EXCO Kesihatan negeri iaitu Dr Siti Mariah Mahmud (Selangor), Dr Norlela Ariffin (Pulau Pinang) dan S Veerapan (Negeri Sembilan).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga wakil rakyat PAKATAN anjur saringan Covid-19

SHAH ALAM, 6 FEB: Tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PAKATAN) menawarkan saringan Covid-19 pada harga serendah RM50 secara besar-besaran pada hari ini dan esok.

Ia membabitkan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Menerusi kenyataan bersama, mereka berkata program itu dianjurkan di empat lokasi berbeza bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Menurut kenyataan, 100 individu yang mendaftar awal ditawarkan bayaran RM50 bagi saringan menggunakan kaedah kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag).

“Selebihnya perlu membayar RM70 manakala ujian Tindak Balas Rantai Polimerase (RT-PCR) pula berharga RM180.

“Inisiatif dilakukan setelah mendapati pandemik ini merebak agresif dalam kalangan masyarakat. Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) juga dilihat kurang berkesan membendung penularan wabak,” kata mereka.

Menjelaskan lebih lanjut, kesemua wakil rakyat itu memaklumkan program dua hari itu adalah permulaan dan bersedia melanjutkannya jika ada permintaan.

“Saringan besar-besaran dengan harga yang berpatutan adalah satu langkah yang sangat diperlukan buat masa ini bagi mengekang jangkitan serta menurunkan kadar morbiditi dan mortaliti dengan pengesanan yang pantas,” katanya lagi.

Lokasi ujian saringan:

Sabtu, 6 Feb 2021
1. Dewan Balai Raya Jalan 19, Desa Jaya, Kepong
2. Dewan Serbaguna SS7, Petaling Jaya
3. Dewan MBPJ PJS1, Taman Medan, Petaling Jaya
4. Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh, Kota Damansara, Petaling Jaya

Ahad, 7 Feb 2021
1. Dewan Balai Raya Jalan 19, Desa Jaya, Kepong
2. Dewan Serbaguna SS7, Petaling Jaya
3. Dewan MBPJ PJS1, Taman Medan, Petaling Jaya
4. Dewan MPKK Paya Jaras Tengah, Shah Alam

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-29359812.